Wednesday, June 17, 2009

Dairi Firqan...Hati Firqan...

“Ibu cakap Firqan kena sayang mama,”
“Ibu cakap Firqan tak boleh nakal,”
“Ibu cakap Firqan tak boleh susahkan mama,”
Dia melihat wajah itu. Wajah itu tersenyum cuma, namun kata-kata itu melantun kuat membawa pilu di hatinya. Bagai dapat dia sentuh apa yang berlegar di hati wajah kecil itu.
“Firqan nak cakap, Firqan sayang mama…,”
Dia mula teresak-esak.
“Firqan…,”
Wajah itu senyum lagi.
“Firqan pergi mama. Mama tolong jangan sedih ya. Firqan janji Firqan tak akan susahkan mama,”
Suara itu bergema lagi bersama raut senyum dari wajah mulus di hadapannya.
“Firqan!,”
“Mama jangan sedih. Mama jangan menangis. Firqan sayang mama macam Firqan sayang ibu. Macam Firqan sayang papa. Macam Firqan sayang Haqeem…,”
“Firqan! Jangan pergi! Firqan, tunggu mama! Jangan tinggalkan mama…Firqan…,”dia merintih pilu. Merenung dalam asa pada tubuh yang semakin menjauh. Menghilang di sebalik kabus malam.
“Firqan…,”dia merintih lagi. Sungguh dia tidak mahu bayang itu pergi. Dan, dia terus merintih bersama esakan yang tidak berpenghujung.
“Wani…Wani…,”
“Firqan….,”lirih suaranya berbisik tatkala ada suara memanggil namanya. Tubuhnya terasa digoncang lembut.
“Firqan…,”
“Wani…bangun sayang,”
Bersama gerakan lembut di bahunya, dia seakan sedar suara suaminya yang sedang berbisik di telinga. Matanya yang terpejam, di buka perlahan.
“Wani mimpi lagi…,”
Wani diam. Bicara suaminya membawa perit pilu yang mengganggu tidurnya, kembali membelit perasaan. Air mata begitu mudah jatuh ke pipinya. Berakhirnya mimpi itu, bermakna dia sudah kehilangan Firqan. Tiada lagi wajah Firqan. Tiada lagi senyum Firqan. Tiada lagi bicaa lembut Firqan.
“Firqan datang lagi, bang…,”
“Itu Cuma mimpi Wani. Wani terlalu ikut perasaan. Sudahlah tu. Istighfar banyak-banyak,”
Sayu suaminya memujuk. Sayu suara itu membuat esakannya kembali semula. Dia tahu suaminya sedih. Barangkali lebih sedih berbanding dirinya.
“Semuanya salah Wani…,”dia bersuara pilu. Bersandar pada dada suaminya. Terasa rambutnya dielus lembut.
“Firqan tak akan salahkan Wani. Percayalah…,”
“Wani minta maaf bang….,”
“Sudahlah tu. Jangan ikut perasaan. Tidur,”suaminya bersuara sambil meletakkan sebuah buku ke meja sisi katil.
“Buku apa tu bang?,”
Suaminya menoleh. Kelihatan keberatan untuk menjawab.
“Buku apa bang?,”
“Hmmm…. Buku Firqan,”
“Buku apa?,”
“Dairi Firqan,”
“Wani nak baca…,”
“No. That’s not a good idea. Abang tak nak Wani baca,”
“Please bang…,”
“Nanti Wani rasa makin teruk. Abang tak nak Wani terus salahkan diri sendiri. Wani terus murung macam ni. Nanti apa jadi pada Haqeem? Pada abang?,”
“Wani nak baca bang…,”
Suaminya mengeluh perlahan. Buku di meja dicapai lemah. Perlahan buku dihulurkan padanya. Pandangan Wani tertancap pada tulisan tangan yang berukir cantik. Cantik untuk kanak-kanak seusia Firqan.

[DAIRI FIRQAN…HATI FIRQAN….]

Melihat ukiran tulisan itu…membaca kata-kata itu, dia menangis lagi. Menjatuhkan muka ke dada suaminya. Menangis lagi di situ.

****
[ Hari ni, kesian Haqeem. Nak main dengan Firqan, tapi, mama marah. Firqan pun pelik. Kenapa mama marah sangat? Tak apalah. Firqan pun tak nak mama marah-marah. Ibu cakap, tak boleh buat mama marah. Jadi, Firqan suruhlah adik ikut cakap mama.
Lepas tu, Firqan minta mama ajar English. Mama tak nak pun. Eh silap. Hehehe. Mama kata, mama tak ada masa. Bukan mama tak nak. Hmm… nampaknya kena tunggu papa baliklah.
Kena bohong papa lagilah nampaknya. Maafkan Firqan ya papa. Bukan sengaja nak bohong. Ustaz kata x ada bohong sunat, tapi, sebab mama, Firqan buat-buat adalah. Hehehe. Nanti, Firqan cakap, Firqan lupa ada homework. Kalau Firqan cakap mama tak ada masa nak ajar, papa mesti bising-bising kat mama. Firqan tak nak mama kena marah sebab Firqan…
Lepas ni, kena practice mcm mana nak berlakon kat papa ni. Hehehe.]

Dairi Firqan tertutup tiba-tiba. Bibir matanya panas untuk ke sekian kalinya bersama lintasan wajah Firqan dan Haqeem.
“Haqeem!,”
Anak keciknya itu menoleh.
“Ada apa, mama?,”
“Bawa mainan tu, masuk ke dalam. Main kat dalam,”
“Alaa…Haqeem nak main dengan abang Firqan,”
“Jangan lawan cakap mama. Mama beli semua ni untuk Haqeem. Bukan untuk kongsi dengan orang lain,”dia bersuara garang sambil menjeling ke arah Firqan yang menunduk.
“Nanti, kalau rosak, langsung tak boleh main,”
“Alah mama ni. abang Firqan bukan rosakkan pun. Abang Firqan pandai buat bunyi keretapi. Abang Firqan pandai buat bunyi kereta…motor…Abang Firqan…,”
“Sudah!,”Haqeem tersentak. Terus mencerlung marah sambil menarik muncung.
“Jangan nak lawan cakap mama. Sejak bila pandai lawan cakap mama ni?,”
Muncung Haqeem bertambah panjang.
“Tak apalah Haqeem. Haqeem bawa semua mainan ni ke dalam ya. Main kat dalam. Jangan lawan cakap mama. Ibu abang cakap, tak baik lawan cakap mak. Nanti masuk neraka. Neraka tu panas sangat. Haqeem nak masuk neraka ke?,”
Laju kepala Haqeem menggeleng.
“Tak nak… tak nak,”
Firqan tersenyum sambil mengusap rambut lurus milik Haqeem.
“Bawalah mainan ni masuk ke dalam. Main kat dalam. Abang nak buat kerja sekolah dulu,”
“Yalah. Buat cepat-cepat ya. Nanti temankan Haqeem main lagi,”
Firqan tersenyum. Membuat hatinya semakin panas. Haqeem kelihatan begitu akur pada kata-kata anak kecil itu. Kata-katanya bagai tiada makna. Cepat hatinya menjadi panas tiba-tiba.
“Mama…,”suara kecil Haqeem pecah lagi sambil bulat mata memandangnya.
“Hmm… ada apa?,”
“Nanti abang Firqan boleh temankan Haqeem main ya mama. Bolehlah mama,”
“Haqeem tak dengar apa dia cakap tadi? Dia nak buat kerja sekolah kan? Dah pergi masuk. Jangan ganggu dia,”
“Mama ni… suka sangat marah abang Firqan. Cakap kat papa, baru tahu,”
“Haqeem!,”dia mula menekan suara. Haqeem tidak lagi bersuara. Cuma tangannya lincah mengutip satu per satu mainan di lantai. Kemudian terkocoh-koch berlari masuk.
“Mama…,”
Dia menoleh. Merenung tajam wajah Firqan. Sungguh dia rimas mendengar anak kecil mengalun panggilan mama untuknya. Firqan bukan anaknya!
“Ada apa?,”
“Mama bolah ajarkan homework Firqan? English. Ada yang Firqan tak berapa faham,”
“Tolong sikit. Banyak masa aku, nak layan kau? Tak kuasa aku. Kau buatlah sendiri,”
Firqan diam. Tunduk merenung hujung kakinya sendiri. Kemudian perlahan anak itu mengangkat muka. Tersenyum kecil padanya.
“Tak apalah mama. Firqan cuba buat sendiri,”
Tubuh itu berlalu ke meja di anjung rumah. Mula membuka beg sekolahnya…
Tiba-tiba hatinya sayu mengingatkan itu semua. Betapa saat itu, dia gagal menyelami hati kecil milik Firqan.

****

[ Hari ni, Haqeem jatuh. Firqan dah cakap jangan panjat-panjat. Haqeem tak nak dengar. Kesian Haqeem. Kepala Haqeem berdarah. Terhantuk kat meja. Mama cakap Firqan buat. Tak mama. Bukan Firqan yang buat. Firqan nak cakap, tapi mama tak nak dengar. Mama pukul belakang Firqan. Sakit sangat.
Lepas tu, Firqan terkejut sangat -sangat tengok mama ambil penyangkut baju. Sungguh. Firqan takut sangat. Apa mama nak buat dengan penyangkut baju tu? Rupa-rupanya mama nak pukul Firqan. Firqan takut. Firqan takut sakit. Firqan jerit kat mama, jangan pukul Firqan. Mama tak dengar pun…mama pukul jugak.
Mama pukul Firqan sakit sangat. Apa salah Firqan mama? Ibu pun tak pernah pukul Firqan. Papa pun sama. Sakit sangat belakang Firqan ni, mama….
Ibu…Firqan nak ibu…Firqan rindu ibu…Firqan tak nak mama…]

Air matanya merembes tiba-tiba. Bagai terasa perit setiap pukulannya di belakang Firqan. Sungguh. Segunung sesal menyesakkan dadanya saat ini.
“Firqan… mama minta maaf…,”bersama rintihan sekali lagi dia menjengah masuk ke dalam peristiwa lalu.
Tangisan Haqeem yang kuat membuat dia berlari ke ruang tamu. Melihat Firqan membongkok memerhati Haqeem.
“Sakit ke Haqeem?,”
Tangisan Haqeem bertambah kuat.
“Kepala Haqeem berdarahlah. Biar abang kesat darah ni,”
Dia melihat Firqan tunduk sambil menyelak t-shirt yang dipakainya. Menyapu perlahan dahi Haqeem. Membuat tangisan Haqeem bertambah kuat. Membuat hatinya menjadi geram.
“Kenapa ni? Haqeem kenapa?,”lantang dia bertanya sambil bercekak pinggang.
“Kepala Haqeem mama….,”
Saat itu dia melihat dahi Haqeem yang basah dengan darah.
“Ya ALLAH! Apa kamu buat ni Firqan? Kamu nak bunuh Haqeem ya?,”
“Haqem. Dia…,”
Belum sempat Firqan memhabiskan cerita, tangannya sudah mendarat di belakang Firqan. Geram melihat keadaan anaknya. Geram memikirkan apa yang telah Firqan buat terhadap anaknya.
“Sakit mama,”
“Sakit? Kau nak lagi sakit ? tunggu,”
Firqan tercegat. Dia pula melilau mencari sesuatu. Terlihat penyangkut baju di atas sofa, segera dicapai. Mengalih pandangan kea rah wajah Firqan yang kecut.
“Jangan mama. Jangan…,”
“Apa kau buat kat Haqeem hah? Saja nak bagi dia sakit ya? sekarang kau rasa. Aku pula yang buat kau sakit,”
Firqan menggeleng laju.
“Firqan tak buat apa-apa, mama,”
“Tak buat apa-apa sampai berdarah macam ni? aku memang dah lama geram dengan Firqan!,”bagai hysteria, penyangkut baju hinggap di belakang Firqan.
“Aduh! Mama! Sakit mama! Jangan pukul Firqan mama…,”
“Rasakan kau!,”
“Sakit mama. Jangan mama. Ibu! Tolong Firqan ibu. Tolong Firqan ibu,”
“Panggil ibu kau. Panggil!,”
“Mama! Jangan pukul abang Firqan. Mama …jangan pukul abang Firqan!,”Haqeem menjerit kuat. Menangis seiring dengan esakan kuat Firqan.
“Sakit mama…,”rayu Firqan sambil terduduk di sudut dinding. Mendengar rayuan itu, entah kenapa tiada simpati yang berhimpun di hatinya. Tangannya makin laju menghayun penyangkut baju. Bagai puas hatinya mendengar tangisan Firqan.
“Wani! Apa ni?,”
Tangannya dipegang dari belakang.
“Awak nak bunuh budak ni ke?,”
“Kalau dia mati, saya lagi suka! Saya tak suka dia! Tak suka!,”
“Wani!,”
“Saya benci dia. Saya benci abang,”tiba-tiba marahnya berganti sebak. Laju dia meninggalkan suaminya. Meninggalkan esakan Firqan sambil menarik tangan Haqeem. Kepala Haqeem yang berdarah masih membuat dia risau.

****
[Esok, dah 100 hari ibu pergi. Firqan tanda kat kalender. Firqan rindu ibu. Firqan sedih. Tapi, papa selalu cakap, tak baik nangis. Kalau Firqan rindu ibu. Kalau Firqan ingat ibu, papa suruh Firqan baca Al-fatihah. Hadiahkan untuk ibu. Firqan selalu buat, papa. Tapi, esok Firqan teringin sangat-sangat nak tengok org baca Yasin untuk ibu. Baca Yasin kat rumah papa ni. Tapi, (banyaknya tapi…hehe..tak apalah. Inikan dari Firqan..suka hatilah nak letak berapa banyak pun)..Tapi, mama tak bagi. Last-last, papa cakap, buat kat surau ajela. Hmm… tak apalah. Tapi( Tapi lagi), harap-harap nanti, ada benda yang boleh buat mama ubah fikiran.
Satu lagi, teringin sangat nak jalan-jalan dengan papa, mama dan Haqeem esok. Dah cakap dengan papa. Papa pun dah paksa mama ikut. Hehehe. Tak apa ya mama. Sekali ni ajer. Lepas ni, mana tahu, dah tak boleh jalan-jalan dengan mama lagi]

Sungguh semua yang ditulis Firqan. Memang itulah kali terakhir dia bersama-sama dengan Firqan. Memang akhirnya majlis tahlil 100 hari, dibuat di rumahnya.
“Mama tunggu Firqan dulu,”
Dia merengus perlahan. Rimas. Segera dia berpaling. Firqan nampak tidak sabar di sisi suaminya yang sedang membeli aiskrim. Barangkali mahu menyertai dia dan Haqeem. Sengaja dia lajukan langkah kerana tidak mahu bersama-sama anak itu. Biarlah suaminya yang melayan Firqan. Dia ikut pun, sebab terpaksa. Tanpa mempedulikan Firqan, dia melangkah lagi.
“Mama! Berhenti!,”
Firqan menjerit kuat. Dia sendiri tergamam. Terkejut mendengar hon yang kuat. Serentak itu, dia terasa tubuhnya ditolak kuat. Membuat dia terdorong ke tepi bersama-sama Haqeem. Haqeem menangis sebaik dia terjatuh bersama-sama anaknya di atas rumput di tepi jalan.
“Firqan!!!,”
Dia betul-betul tergamam sebaik mendengar dentuman kuat. Sebaik mendengar jeritan suaminya. Dia melihat suaminya yang terpaku. Empat askrim di tangannya sudah jatuh ke jalan. Kereta di hadapannya terhenti. Dan, dia melihat tubuh Firqan kaku ridak bergerak beberapa meter di hadapan kereta tersebut. Ada darah merah yang membasahi jalan raya. Darah itu memberi kesedaran padanya. Firqan kemalangan.
“Firqan!!!,”dia menjerit hysteria saat suaminya sudah meriba tubuh Firqan yang ketara longlai di matanya. Pipinya banjir serta merta.
“Firqan!,”dia menjerit kuat. Membuat dia tersentak sendiri. Memandang sekeliling. Dia berada di bilik Firqan. Dairi Firqan terjatuh dari ribanya. Sungguh dia diburu rasa bersalah yang teramat sangat. Kalaulah dia tidak sebegitu ego, pasti Firqan masih berada di sisinya saat ini. Dia abaikan keselamatan dirinya dan haqeem semata-mata marahnya pada Firqan. Padahal, hakikatnya Firqan langsung tidak bersalah. Begitu buruk layanannya pada Firqan, tetapi Firqan menjadi penyelamatnya. Kalau Firqan tidak menolaknya, pasti tubuhnya dan Haqeem yang melambung ke jalan. Sungguh dia yang bersalah.
Sambil mengesat air mata yang jatuh ke pipi, dia tunduk mencapai semula dairi kecil Firqan. Memang dairi itu membuat dia semakin sdih. Namun, dia begitu ingin menyelami apa yang bermain di hati anak kecil itu. satu perkara yang tidak pernah dia lakukan di saat Firqan masih bersamanya.
Dia membelek lagi. Beberapa helaian awal dairi itu, yang digam pada setiap penjuru buku, menarik perhatiannya. Perlahan dikoyak tempat yang bergam. Rupa-rupanya masih ada catatan di situ.

[ Firqan Cuma ada ibu. Firqan tak ada ayah. Firqan sayang ibu. Ibu cakap ALLAH lebih sayangkan ayah. Tapi, tak ada ayah pun, Firqan tetap gembira. Ibu sayangkan Firqan. Cuma…kalau tengok kawan-kawan dengan ayah dorang, Firqan teringin juga nak ada ayah. Tapi, Firqan tak cakap dengan ibu. Firqan tak nak ibu sedih. Tapi, tiap-tiap malam Firqan berdoa, moga-moga Firqan dapat sorang ayah baru. Hehehe.
Satu hari, ibu cakap, Firqan akan dapat papa. Sukanya. Ibu cakap, Firqan akan dapat papa, mama dan adik.
Lepas tu, papa datang dalam hidup kami. Papa baik. Papa jaga ibu. Papa sayang Firqan Ibu selalu pesan, nanti, kalau ibu dah tak ada, Firqan kena tinggal dengan papa. Firqan sedih dengar ibu cakap macam tu. Firqan tak nak ibu pergi. Firqan sayangkan ibu.
Tapi, akhirnya ibu pergi jugak. Macam ibu cakap, papa pun cakap macam tu. Papa cakap ALLAH lebih sayangkan ibu.
Lepas tu, papa ajak Firqan duduk dengan papa. Hari nilah. Hari ni, Firqan pergi rumah papa. Jumpa mama Wani. Cantik mama Wani. Tapi, garang sangat dengan Firqan. Tak pernah senyum pun kat Firqan. Firqan jumpa Haqeem. Firqan suka sebab Firqan ada adik.
Dari mula-mula Firqan pergi rumah papa, Firqan selalu dengar mama gaduh dengan papa. Mama cakap papa bohong mama. Mama cakap papa jahat. Mama cakap papa kahwin lain sebab papa dah tak sayang mama. Kesian papa kena marah. Papa tak banyak cakap pun. Papa diam ajer.
Lepas tu, mama selalu marah-marah Firqan. Tapi, Firqan ingat pesan ibu. Ibu cakap, Firqan kena sayang mama macam Firqan sayang ibu. Mama dah bagi papa kat Firqan. Ibu cakap, Firqan tak boleh buat mama marah. Tak boleh buat mama sakit hati. Jadi, Firqan sabarlah.
Tapi, sebenarnya ibu… tak ada saper-saper pun boleh ganti ibu. Firqan nak ikut ibu… Firqan nak ibu aje… Firqan rindu sangat kat ibu…]

“Jahatnya mama pada Firqan…,”
Dia melihat ada kesan dakwat pen yang mengembang. Jelas Firqan menangis di saat mencoretkan kata-kata itu. Perlahan dia pejamkan mata. Andai dapat dia undurkan masa, dia tidak akan mahu menjadi seego ini. Apalah dosa Firqan, andai ibu anak kecil itu menjadi madunya. Bukan Firhan yang patut menjadi tempat dia lontarkan rasa geram pada rahsia yang bertahun disimpan suaminya. Dua tahun dia dimadu. Cuma di saat madunya meninggal dunia, barulah dia tahu yang dia ada seorang anak yang perlu diasuk seperti anaknya sendiri. Anak tiri suaminya.
“Wani…,”
Dia mendongak. Suaminya tercegat di hadapannya. Pasti baru pulang dari hospital. Perlahan dia meyeka air mata yang bersisa.
“Sudah-sudahlah tu. Jangan baca lagi dairi tu,”lembur suara suaminya.
“Abang… Wani nak pergi ke pusara arwah isteri abang…,”
Dia sedar wajah suaminya sedikit terperanjat.

***
Dia mengaminkan doa. Surah Yasin dibawa ke dahi. Rupa-rupanya pusara Firqan Cuma bersebelahan pusara ibunya. Firqan menyusul ibunya selepas seratus hari ibunya pergi. Dan, hari ini, genap pula seratus hari pemergian Firqan. Cuma hari ini, dia mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan pusara Firqan. Sebelum ini, dia tidak sanggup. Tidak sanggup memikirkan yang dia sudah terpisah dengan Firqan. Yang Firqan sudah pergi ke alam lain. Meninggalkan dia dengan rasa bersalah yang terlalu sarat.
“Maafkan mama, Firqan. Mama sayang Firqan. Mama banyak bersalah pada Firqan,”
‘Mama tak salah….,”
Bulu romanya terasa meremang tiba-tiba tatkala semilir lambut berhembus di wajahnya Dan suara itu seakan mengiringi hembusan itu. Dia memandang sekeliling. Tiba-tiba terasa Firqan begitu hampir dengannya.
“Mama yang salah. Kalaulah mama hati-hati…,”
‘Jangan salahkan diri mama. Firqan sayang mama. Mama tolong jangan sedih. Firqan tak mahu mama sedih,”hembusan itu membawa suara lagi. Barangkali dia berimaginasi. Barangkali Firqan memang di sisi.
“Firqan..Firqan…,”dia bersuara tiba-tiba. Mencari-cari bayang Firqan.
“Wani…,”suaminya di sisi bersuara perlahan. Air mawar di dalam bekas, di habiskan. Kemudian menabur lebihan bunga di pusara arwah isteri dan anak tirinya.
“Firqan bang. Dia ada di sini. Wani dengar suara dia,”
“Wani. Jangan ikut perasaan sangat. Redhakan pemergian dia. Abang pun sedih. Abang gagal memenuhi permintaan Maizura untuk jaga Firqan betul-betul. Tapi, inikan sudah tersurat. Kita tak boleh lawan qada’ dan qadar ALLAH. Janganlah ikut perasaan. Kita doakan Firqan tenang di sana. Mungkin ini yang terbaik untuk arwah,”
Dia tunduk, menyentuh nisan yang terukir nama Firqan. Kemudia memandang nisan di sebelah. Terukir nama Maizura.
“Dah. Jom kita balik,”
Dia mengangguk perlahan. Berdiri sambil melangkah beriringan dengan suamiya. Sekali lagi dia menoleh.
‘Mama jangan sedih. Mama doakan Firqan dan ibu selalu…,”
Sekali lagi hembusan yang sama membelai wajahnya. Dia tersenyum bersama air mata.
“Mama tak akan sedih lagi sayang…,”dia bersuara perlahan. Menyambung langkah dengan perasaan yang sedikit lega.
“Are you okay?,”
Dia tersenyum di pintu kereta. Soalan suaminya dijawab bersama anggukan. Suaminya tersenyum kecil walau jelas kelihatan kesedihan di mata lelaki itu.
“Abang…,”
“Ada apa?,”
“Boleh Wani tahu kenapa abang kahwin dengan Maizura? Kenapa rahsiakan dari Wani?,”
“Maizura patient abang. Dia ada barah rahim. No chance. Abang selalu tengok Firqan. Selalu menemaninya setiap kali dia ke hospital. Dia sebatang kara. Dia perlukan jagaan. Firqan juga perlukan jagaan. Yang lebih abang risau, kalau Maizura tak ada, bagaimana nasib Firqan. Mereka tak ada sesiapa. Sebab tu, abang kahwin denganMaizura. Abang jaga dia. Dan, abang mahu Firqan masih ada keluarga, biarpun selepas ibunya tak ada,”bicara suaminya terhenti seketika.
“Pasal abang rahsiakan tu. Abang tahu abang salah. Tapi, abang tahu perangai Wani. Dan, Maizura sakit, Wani. Abang tak nak nanti dia stress. Abang rasa, lebih baik Wani tak tahu. Mungkin abang silap. Maafkan abang,”
“Mungkin abang tak silap. Mustahil Wani akan terima semua tu dengan waras, kalau abang berterus-terang dengan Wani dulu. Wani salah faham. Maafkan Wani,”
Suaminya tersenyum hambar. Cuma memaut tubuhnya ke dalam pelukan. Dia tenang di situ.

***
TAMAT


[11:35:50 PM] hos.getah: