Tuesday, December 27, 2011

Biarkan YM Terus Bicara 5

            Sebaik melangkah masuk ke bilik, beg tangan aku letakkan perlahan di atas meja solek. Sejak membantu ibu mertuaku di butiknya, masaku sedikit terisi. Seperti kehendak Encik Firdaus, tepat pukul lima, aku harus berada di rumah. Itu syarat yang dia letakkan. Perlahan aku melabuhkan punggung ke katil. Memandang sekeliling bilik yang cukup luas. Bersendirian di bilik, membuat aku teringatkan ibu di kampung. Segera aku bergerak semula ke meja solek. Mencari telefon bimbit di dalam beg tangan. Sebaik telefon bimbit tergenggam di tangan, segera aku mencari nombor telefon rumahku. Membuat satu panggilan. Sambil melekapkan telefon ke telinga aku bergerak semula ke katil. Menanti panggilanku berjawab.
            “Assalamualaikum, mak,”aku bersuara laju sebaik panggilan berjawab.
            “Waalaikumussalam…,”
            Aku tersenyum lebar. Bersandar pada kepala katil.
            “Mak sihat?,”
            “Sihat. Alhamdulillah. Anak mak sihat?,”
            “Sihat….Cuma rindu kat mak aje,”
            “Dah jadi isteri orang, tak bolehlah rindu-rindu sangat…,”
            “Kenapa pulak? Kahwin ke tak kahwin ke, mak tetap mak Tiya,”
            Terdengar ibuku ketawa kecil.
            “Kalau boleh tiap-tiap minggu Tiya nak balik jenguk mak,”
            “Mana boleh macam tu. Kesianlah suami Tiya. Mak kat sini baik-baik aje. Tiya tak payah risaulah,”
            Aku mengeluh kecil.
            “Tiya ajak tinggal dengan Tiya, mak tak nak…,”aku bersuara separuh merajuk. Teringat pada saranan Encik Firdaus yang aku sampaikan pada ibuku sebulan yang lalu. Ibuku menolak mentah-mentah.
            “Mana boleh mak nak tinggal kat bandar tu. Rumah kita ni, macam-mana?,”
            “Sesekali kan boleh balik tengok rumah…,”
            “Mak sayanglah nak tinggalkan rumah ni. Semua ada kat sini. Tak apalah. Mak sihat lagi. Tak perlu Tiya risau sangat. Nanti, kalau mak dah sakit-sakit, tak ada orang yang nak jaga, bolehlah mak tinggal denggan Tiya…,”
            Aku diam.
            “Tiya telefon ni, kenapa? Nak beritahu mak berita gembira ke?,”
            “Berita gembira apa?,”
            “Manalah tahu kot-kot mak nak dapat cucu,”
            Aku tergelak besar.
            “Mak ni. Ada pula ke situ perginya. Tak adalah. Tiba-tiba Tiya teringatkan mak. Tiya baru balik ni. Tiya tolong mummy kat butik dia. Bosanlah duduk rumah…,”
            “Hmmm….. eloklah tu. Jaga suami elok-elok. Jaga mertua elok-elok,”
            “Baik…. mak….,”ujarku berlagu.
            “Nanti senang-senang Tiya call lagi ya, mak. Tiya nak mandi. Kejap lagi abang Firdaus balik,”
            “Yalah… sampaikan salam mak pada Daud, ya,”
            Aku tergelak lagi.
            “Gelak pulak…,”
            “Mana ada orang nama Daud kat sini, mak,”sakatku girang. Terdengar ibuku merengus perlahan di hujung talian.
            “Main-mainkan mak, ya,”
            Aku tergelak lagi.
            “Okaylah mak. InsyaALLAH nanti Tiya sampaikan salam pada Daud tu. Assalamualaikum mak,”
            Ibuku menjawab salam sambil mengomel kecil. Seketika kemudian talian terputus. Aku merenung telefon bimbit di tangan bersama senyum yang belum hilang.
            “Daud…,”bisikku bersama tawa kecil. Firdaus sudah bertukar menjadi Daud. Perlahan aku menggeleng. Mengatur langkah menuju ke arah meja solek. Telefon bimbit aku letakkan di atas meja solek, sambil mata menyapu wajah yang terpantul di cermin. Kapas muka aku capai lalu dibasahkan dengan susu pembersih wajah. Perlahan-lahan aku sapukan pada wajah. Menghilangkan bekas solekan nipis yang melekat di wajah. Rambut yang terikat elok, aku leraikan. Mencapai sikat lalu disikat perlahan-lahan.
Bunyi pintu dibuka menarik perhatianku. Segera mata teralih ke pintu bilik. Bersua dengan wajah Encik Firdaus
“Assalamualaikum, sayang…,”
Aku senyum sambil perlahan menjawab salam itu. Sikat aku tinggalkan di meja solek, sambil terus mendapatkan Encik Firdaus. Mengucup tangannya sambil mencapai beg komputer riba yang tersandang di bahunya.
“Awal abang balik?,”
Encik Firdaus mengeluh panjang.
“Penat sikitlah. Rasa macam tak larat,”
Aku pandang wajah itu agak lama. Perlahan meletakkan jemariku ke dahi lelaki itu. Kemudian beralih ke lehernya. Agak panas.
“Abang nak demam ya? Panas ni…,”
“Penat sikit aje kot. Abang tak apa-apalah,”Encik Firdaus berdalih sambil bergerak menuju ke katil. Aku mengerling tidak puas hati. Melabuhkan punggung di sebelah Encik Firdaus yang sudah terbaring. Jelas menunjukkan yang lelaki itu benar-benar tidak larat.
“Tiya ambilkan ubat ya?,”
Encik Firdaus menggeleng perlahan. Aku pula mengeluh panjang.
“Dah tak sihat… tak nak makan ubat pula…,”aku merungut perlahan. Mengundang senyum di bibir Encik Firdaus, walau mata lelaki itu terpejam rapat.
“Jangan cakap abang aje…Tiya pun sama…,”sempat Encik Firdaus perli dalam lembut. Aku mahu menjawab, namun melihat keadaan suamiku itu, tidak sampai hati pula.
“Kepala abang pening sikitlah. Boleh tolong picitkan tak?,”
Tanpa banyak bicara, perlahan aku memicit kepala Encik Firdaus.
“Tadi Tiya call mak. Dia kirim salam kat Daud,”
Spontan gelak kecil pecah di bibir lelaki itu. Gelak yang membuat aku turut tersenyum.
“Waalaikumussalam. Mak sihat?,”
“Sihat. Abang dah solat Asar ke belum ni?,”aku bertanya sekadar mengingatkan apabila terpandang jam di dinding hampir menunjukkan pukul enam petang.
“Dah. Di office,”
“Abang rehat dulu ya. Tiya belum solat. Nanti Tiya sambung picit kepala abang ya?,”aku bersuara lembut. Memohon diri untuk meninggalkannya seketika. Tanganku dicapai sambil dibawa ke bibirnya. Mata yang terpejam dibuka perlahan.
“Thanks. Dah kurang sikit. Pergi solat dulu. Abang nak tidur kejap. Nanti kejutkan abang,”
Aku tersenyum sambil mengangguk perlahan. Mengusap lembut rambut Encik Firdaus yang lebat sambil satu kucupan singgah di dahinya sebelum aku berlalu meninggalkannya.


*******


            Puan Junaidah sudah mengerutkan kening. Aku pula menjengah bubur nasi yang Tini siapkan.
            “Jarang Fir tu demam. Tiba-tiba saja demam…,”
            Ibu mertuaku meluahkan rasa tidak puas hatinya. Aku cuma tersenyum kecil. Demam Encik Firdaus nampaknya tidak semakin baik. Makan pun tidak lalu.
            “Tiya ajak pergi klinik, abang tak nak,”
            “Bagi Fir tu makan ubat dulu. Kalau tak kurang juga, baru pergi klinik,”Tuan Rashid memberi saranan.
            Aku mengangguk perlahan. Bapa mertuaku sudah mengangkat punggung meninggalkan meja makan.
            “Puan, buburnya dah siap ni,”
            Aku berpaling memandang Tini. Semangkuk bubur sudah diletakkan di dalam dulang bersama segelas milo panas.
            “Terima kasih, Tini,”
            “Tini, buatkan kopi panas satu untuk Tuan. Nanti hantar ke depan,”Puan Junaidah memberi arahan. Satu kebiasaan bapa mertuaku. Minum kopi panas selepas makan malam. Tini bergegas menuruti arahan ibu mertuaku.
            “Tiya naik dulu, mummy. Kasihan abang, tadi tak makan,”
            “Yalah. Kejap lagi mummy tengok Fir,”
            Aku mengangguk. Dulang terus aku capai sambil melangkah meninggalkan ruang makan. Mahu segera sampai ke bilik. Pintu bilik aku tolak perlahan. Encik Firdaus terbaring ke katil. Dulang aku letakkan di atas meja sisi di tepi katil.
            “Abang…,”panggilku perlahan sambil menyentuh jemarinya. Punggung aku labuhkan di birai katil. Encik Firdaus membuka mata. Sempat mengukir senyum walau tidak selebar mana.
            “Tini buatkan bubur. Abang makan sikit ya. Tadi, langsung abang tak makan. Lepas makan bubur, makan ubat ya?,”ujarku sambil membetulkan bantal. Memberi keselesaan untuk Encik Firdaus bersandar.
            “Abang okaylah…,”
            “Okaylah sangat…,”omelku sambil mencapai mangkuk bubur. Bubur yang masih berasap itu, aku kacau perlahan-lahan. Encik Firdaus tergelak halus.
            “Tiya suapkan…,”dia bersuara lembut. Mahu bermanja barangkali. Aku tersenyum lebar.
            “Boleh. Tapi, ada syaratnya,”
            “Apa dia?,”
            “Kena habiskan bubur ni,”aku bersuara separuh bergurau. Perlahan bubur nasi, aku suap ke mulut Encik Firdaus.
            “Hai… teruk nampaknya demam ni. Sampai makan kena bersuap,”
            Aku berpaling. Ibu mertuaku sudah tercegat di pintu bilik. Melangkah masuk bersama senyum lebar di bibir.
            “Sekali-sekala nak bermanja, apa salahnya mummy…,”Encik Firdaus bersuara bersama senyum kecil di bibir. Puan Junaidah mencemik.
            “Macam-mana boleh demam ni? Jarang sangat Fir demam, tau. Pelik mummy…,”
            “Dah nak demam, nak buat macam-mana? Cuaca panas sangat agaknya,”
            “Hmm… kerja tu jangan sampai abaikan kesihatan. Tiya, pastikan Fir makan ubat tau. Dia ni susah sangat kalau suruh makan ubat,”
            “Tak payah ubat, mummy. Tak elok manjakan sakit dengan ubat ni. Nanti, sakit sikit nak ubat…,”
            “Jangan dengar alasan dia ni,”bantah Puan Junaidah serius.
Aku tergelak kecil.
            “Mummy keluar dulu. Lepas makan ubat, rehat…,”sambung wanita separuh umur itu sambil melangkah keluar dari bilik. Sebaik pintu tertutup rapat, satu tawa kecil terlepas dari bibir.
            “What?,”soal Encik Firdaus bersama senyum di bibir.
            Aku menggeleng. Terus suapkan bubur yang sudah tinggal separuh.
            “Abang bukan macam Tiya, takut makan ubat. Abang cuma tak suka biasakan diri dengan paracetamol ni,”
            “Tak tanya pun….,”usikku nakal. Lemah jemari Encik Firdaus jatuh ke kepalaku. Mengusap lembut rambutku.
            “Cukuplah. Abang tak nak dah,”Encik Firdaus menolak suapanku seterusnya. Aku pula tidak mahu memaksa. Mangkuk bubur aku letakkan ke dulang, kemudian menghulurkan gelas berisi milo panas pada Encik Firdaus.
            “Makan ubat ya, bang. Takkan abang nak demam lama-lama,”
            “Okaylah, sayang…,”akhirnya Encik Firdaus mengalah. Aku tersenyum sambil terus mencapai dua biji panadol yang sudah aku sediakan. Menghulurkan tablet itu kepada Encik Firdaus.
            “Tak nak potong kecil-kecil ke?,”usik Encik Firdaus. Aku jegilkan mata. Encik Firdaus tergelak lemah sambil membuka mulut. Aku suapkan panadol ke mulut Encik Firdaus dan segera Encik Firdaus telan bersama air milo di tangan.
            “Thanks, sayang,”ucap Encik Firdaus begitu hampir di telingaku. Wajah lelaki itu aku usap perlahan. Masih panas.
            “Abang rehat ya…,”
            “Temankan abang…,”bisiknya sambil menarikku rapat padanya. Aku diam. Cuma bantalnya aku betulkan dan membantu dia berbaring dengan selesa. Perlahan dia pejamkan mata sambil erat tangannya memeluk pinggangku yang bersimpuh di sisinya. Lama aku merenung wajah yang kelihatan penat itu. Membelai lembut rambut yang jatuh ke dahinya. Mahu suamiku itu lena dengan tenang.


*******
[11:35:50 PM] hos.getah: