Wednesday, September 3, 2014

Mencari Hilang 2



            Farisha mengangkat punggung meninggalkannya. Tiada kata-kata dari bibir itu, tetapi dia tahu Farisha marah. Dia juga yakin Farisha kecewa. Tetapi, apa lagi pilihan yang dia ada. Dia bangkit. Menjejak langkah Farisha yang menuju ke dapur.

            “Kalau bukan dengan Isha, abang nak minta tolong dengan siapa lagi?,”pujuknya lembut.

            “Abang tak bosan ke ulang ayat yang sama tiap-tiap bulan? Abang kerja kan? Mana pergi duit abang? Bagi pada saya? Satu sen pun saya tak pernah nampak duit abang, jauh sekali nak pegang. Mana pergi gaji abang?,”

            “Isha nak tolong ke tak nak?,”

            “Tak nak,”

            Dia merengus.

            “Isha memang berkira kan? Suka tengok abang susah macam ni, kan? Kalau tak bayar nanti kereta tu kena tarik,”

            “Biarlah. Bukan masalah saya. Itu masalah abang. Pergilah minta tolong kawan-kawan abang tu. Kat situ duit abang habis kan?,”

            “Abang minta elok-elok ni, kan? Tak payahlah nak sindir-sindir abang pula,”emosinya terpancing tiba-tiba mendengar kata-kata Farisha.

“Abang nak buktikan apa sebenarnya, hah? Nak tunjuk pada semua orang, abang tu berduit? Dengan kawan-kawan... untuk diri sendiri, abang tak berkira langsung. Habis terus semua gaji... semua duit yang ada. Tapi, hakikatnya semua hutang-hutang abang ni, abang serah pada saya untuk bayar? Saya ni tukang bayar hutang abang ke?,”

            “Kalau tak nak tolong, sudahlah! Tak payahlah nak membebel panjang!,”dia membentak geram. Tercabar apabila keupayaannya sebagai suami mula dipertikaikan.

            “Memang saya tak nak tolong! Saya penat tolong abang, tahu tak? Bukan sekali dua. Tapi, selang dua bulan itulah masalah yang abang hadapkan pada saya. Ya, saya bekerja tapi, tak bermakna abang boleh abaikan tanggungjawab abang! Penatlah saya hidup macam ni. Ada suami macam tak ada suami,”

            Perlahan dia pejamkan mata. Tiba-tiba rintihan sebegitu begitu menyentuh perasaannya. Kenangan-kenangan itu sering muncul dan menghantar rasa kesal yang tidak bertepi padanya. Sungguh dia rindukan Farisha. Farisha lantang melawannya, tetapi, Farisha tidak pernah membiarkan dia terkontang-kanting gagal dalam menyelesaikan masalahnya. Farisha tetap membantu walau mulutnya penuh dengan kata-kata sinis. Dulu, dia marah, dia kecewa dengan kata-kata itu. Tetapi kini, dia faham. Dia faham betapa dia terlalu kejam pada Farisha. Dia faham bagaimana Farisha yang langsung tidak pandai melawan boleh bangkit menentangnya.

            “Abang selalu cakap saya mengungkit. Ya betul saya mengungkit. Tapi, saya mengungkit sebab saya nak abang sedar. Saya nak abang berusaha untuk ubah hidup abang. Hidup kita. Tapi, abang tetap tak faham-faham...,”

            Sebaris kata-kata yang sering dihidangkan padanya satu masa dulu, kini dia faham benar akan maksudnya. Andainya dia pilih untuk berubah, pasti dia masih dapat memiliki Farisha. Sekeping gambar di tangannya, ditatap lagi. Itulah pengubat rindu yang mampu memberi kekuatan padanya. Dia kuat kerana Farisha. Dia mahu berubah juga kerana Farisha. Dia mahu buktikan pada Farisha, dia bukan lagi lelaki yang pernah menyusahkan hidup wanita kesayangannya itu. Andai dia mampu mengulangi semula semua yang telah dia rosakkan.

            “Abang tahu tak, hati saya sakit tengok abang asyik pegang gambar tu?,”

            Haziq menoleh. Berpandangan seketika dengan renungan tajam Amalia. Sambil mengeluh perlahan, gambar di tangan disimpan di dalam laci sambil dia mengangkat punggung. Bergerak menuju ke katil. Wajah mencuka wanita di hadapannya, dibuat tidak peduli.

            “Sampai bila abang nak hidup dengan gambar tu?,”

            Haziq memandang wajah Amalia memuncung panjang.

            “Lia sepatutnya tak perlu tanya soalan tu. Lia dah tahu dan Lia cakap Lia sanggup,”balas Haziq sambil merebahkan badan ke katil.

            Amalia merengus perlahan. Kesanggupannya terasa mula menjerut perasaan sendiri. Sebagai isteri, rasanya memang wajar dia marah apabila suami lebih leka merenung sekeping gambar perempuan lain, daripada memandang wajah isteri sendiri.

            “Tapi, Lia tak sangka sampai dah dekat dua tahun pun, abang masih duk hadap gambar tu,”

            “Abang sayangkan dia. Lia pun tahu. Semua orang tahu...,”

            “Itu.... bekas isteri abang. Lia ni.... yang sedang berdiri depan abang ni... isteri abang. Siapa yang lebih penting pada abang?,”Amalia mula meninggikan suara. Melihat Haziq yang acuh tidak acuh melayannya, hatinya semakin sakit.

            “Lia, jangan mulakan lagi. Dari awal lagi Lia dah tahu apa yang akan Lia lalui. Kenapa sekarang Lia nak pertikaikan?,”

            “Sebab Lia rasa dah lama sangat Lia diabaikan...,”ketus kata-kata yang meluncur  di bibir Amalia. Kalau muncul bunga-bunga pertengkaran pun dia tidak kisah. Rasanya cukuplah selama ini dia cuba memahami Haziq.

            “Diabaikan macam –mana lagi? Apa yang Lia nak, semua abang dah bagi, kan?,”

            Amalia merengus geram.

            “Lia nak abang lupakan perempuan tu. Lia nak abang buang gambar dia. Abang tak ingat ke apa yang dia dah buat pada abang? Dia tinggalkan abang, sewaktu abang sangat-sangat perlukan dia. Berbaloi ke abang nak  terus ingat pada perempuan macam tu? Masa senang bersama abang. Tapi, bila abang susah, dia rela minta cerai. Dia minta cerai sebab tak sanggup nak jaga abang. Berbaloi ke abang asyik renung gambar perempuan macam tu?,”

            Haziq mengangkat kepala. Memandang lama wajah Amalia yang masam mencuka. Kata-kata Amalia menghantar beban yang memberat di hatinya. Dia tidak boleh menerima kata-kata itu.

            “Lia tak tahu apa-apa, jadi lebih baik Lia jangan cakap apa-apa,”

            “Pelik betul abang ni. Abang fikirlah sikit, semasa abang sakit... abang susah, siapa yang ada dengan abang? Siapa yang tak putus-putus beri semangat pada abang? Tu... perempuan dalam gambar tu... dia orang pertama yang angkat kaki. Dia orang pertama yang tak nak jaga abang. Tapi, abang? Tengoklah... macam orang angau duk hadap gambar perempuan tu,”

            “Lia... kalau tak tahu apa-apa, jangan cakap apa-apa,”sekali lagi diulang kata-kata yang sama dengan nada sedikit tinggi.

            “Lia isteri abang, memanglah Lia berhak bercakap. Ya, mungkin Lia tak tahu apa-apa. Tapi, mak tahu semua yang berlaku, kan? Kak Long pun tahu apa yang perempuan tu buat pada abang. Daripada dorang pun, Lia boleh tahu siapa sebenarnya bekas isteri abang tu. Orang buat abang sampai macam tu pun, abang masih nak fikir pasal dia lagi,”

            Daripada baring, Haziq kembali bangkit. Hatinya tiba-tiba sakit mendengar kata-kata itu. Amalia terlalu lancang memburukkan Farisha. Dia tidak boleh terima itu tetapi di dalam masa yang sama, dia tidak bersedia membuka pekung sendiri.

            “Abang tak pernah minta Lia jadi isteri abang. Berkali-kali abang beritahu Lia, abang tak mungkin boleh terima perempuan lain dalam hidup abang. Tapi, Lia dengan mak, bersungguh-sungguh mahukan perkahwinan ni. Jadi, sekarang ni, Lia jangan merungut. Abang dah sediakan semuanya untuk Lia, kan? Apa lagi yang kurang?,”

            Amalia terdiam. Kata-kata Haziq mengunci terus bibirnya. Memang dia yang mengambil risiko. Sangkanya setelah berkahwin, Haziq dapat membuang jauh-jauh kenangan dia bersama Farisha. Sangkanya Haziq akan jatuh cinta padanya. Tetapi, setelah dua tahun, Haziq seolah-olah tidak dapat langsung melupakan Farisha. Farisha... dia kenal namanya, namun, dia tidak begitu kenal wanita itu secara peribadi. Menurut kata ibu mertuanya, Farisha cuma seorang wanita kejam yang meninggalkan anak lelakinya terumbang-ambing sendiri menghadapi ujian terbesar di dalam hidupnya. Farisha mengambil jalan mudah, meminta untuk bercerai di saat Haziq melalui saat-saat yang sukar. Anehnya, Haziq masih lagi mengingati wanita itu. Masih lagi menyimpan rasa cinta pada wanita itu.

            “Jangan sampai kita bertengkar pasal benda ni lagi, okay?,”

            Amalia mengangkat muka mendengar amaran itu.

            “Salah ke kalau Lia mahukan kasih sayang daripada suami sendiri?,”

            “Kasih sayang yang macam-mana lagi yang Lia nak?,”

            Amalia menggigit bibir. Sukar untuk menjawab soalan itu. Kenapa Haziq tidak pernah cuba untuk memahami dirinya? Dia cuma mahukan perhatian sepenuhnya daripada lelaki bernama suami.

            “Abang masih cintakan bekas isteri abang. Abang langsung tak cintakan Lia. Abang Cuma anggap Lia sebagai isteri sebab perkahwinan kita ni. Itu tak adil untuk Lia,”

            “Bukan sekarang untuk Lia cakap tentang adil atau tidak. Lia cakap Lia dah fikirkan semua ni semasa kita nak kahwin dulu,”

            Amalia merengus geram.

            “Apa kelebihan yang ada pada dia, tapi tak ada pada Lia, hah? Lia sanggup buat apa sahaja untuk jadi lebih baik dari dia. Abang cakap saja apa yang abang nak Lia lakukan?,”



            Haziq menunduk. Perkahwinan yang diatur oleh ibunya ini, terasa kosong sebenarnya. Amalia isteri yang baik, namun, dia tetap mengharapkan Farisha yang berada di sisinya. Bukan perkara mudah untuk dia lupakan Farisha. Bukan hanya disebabkan cinta, tetapi juga kerana rasa bersalah yang menghukumnya secara perlahan-lahan. Yang tidak member ketenangan pada jiwanya.

            “Abang tak pernah paksa Lia...,”akhirnya dia bersuara. Perlahan dia mengangkat punggung.

            “Abang nak ke mana?,”

            “Tak ke mana,”balasnya tenang sambil melangkah keluar dari bilik.

            Amalia merengus geram. Ada rasa tidak puas hati yang tidak terluah. Dia menghayun langkah keras sambil menghenyakkan punggung ke katil. Diakah yang silap membuat perhitungan atau Haziq yang bersalah kerana tidak pernah memberi peluang. Haziq menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami, tetapi dia tahu hati Haziq tidak pernah ada untuknya. Sambil berteleku dia meraup wajah perlahan-lahan. Kenapa dia perlu kalah pada pemilik nama Farisha? Kenapa terlalu sukar untuk nama itu terpadam daripada fikiran suaminya? Perlahan dia menarik laci. Sekeping gambar yang baru sahaja disimpan oleh suaminya, dicapai. Dengan perasaan yang bercampur aduk antara marah dan kecewa, gambar Farisha dipandang lama. Lama sebelum sekeping gambar itu dicampak semula ke dalam laci. Geram.

            Dengan tergesa-gesa dia melangkah keluar dari bilik. Tidak sanggup berada di ruangan itu dengan perasaan marah yang meluap-luap.

            “Amalia!,”

            Langkahnya terhenti tiba-tiba sebaik tubuhnya bertembung dengan satu lagi tubuh dan namanya terpantul agak kuat dari bibir ibu mertuanya.

            “Maaf, mak. Tak perasan,”

            “Tergesa-gesa nak ke mana ni? Muka pun masam aje. Kenapa ni?,”

            Amalia tersenyum kelat. Laju langkahnya keluar dari bilik sehingga bertembung dengan ibu mertuanya itu.

            “Bergaduh dengan Haziq lagi?,”Puan Hairani menebak sebaik sahaja pandangannya menyapu wajah kelat Amalia.

            Mendengar soalan itu, Amalia melepaskan rengusan keras.

            “Tak habis-habis dengan bekas isteri dia. Dia ingat Lia ni patung kat dalam rumah ni?,”

            “Dah... jangan marah-marah. Jaga sikit. Kamu tu baru lekat perut. Nanti ikutkan marah, jadi benda lain pula. Sudahlah. Biar mak saja yang cakap dengan Haziq nanti,”

            “Dah dekat dua tahun, mak. Daripada sakit, sampai dah sihat macam ni, perempuan tu jugak yang ada dalam kepala dia. Penat kita yang jaga dia masa dia sakit, langsung dia tak ingat,”

            Puan Hairani mengeluh panjang. Dia sendiri menahan rasa melihat perangai Haziq yang satu itu.

            “Sudahlah... pergi berehat. Jangan ikut perasaan sangat,”akhirnya dia bersuara. Cuba meredakan kemarahan menantu. Amalia diam. Diam menahan geram.





******

13 comments:

norihan mohd yusof said...

sape yg patut di persalah kn dlm persoalan nih...namun farisya ttp yg terbaik...nape haziq tk mo cerita perkara yg sebenar...rase cam tk adil plak wat farisya...

mim said...

Lelaki...biasalah..EGO..
mana nak bukak pekung sendiri

ummu sulaim said...

tlg lah haziq , sangup pertahan ego sendri smpai biar je isteri ngn mak mertua kutuk2 farisha .. smpai bila nk biar org slh sangka cmni , hishhh geram nye .. ade sambungan ke kak??

Eijan said...

Haziq x jujur sampai semua org anggap dia x bertanggung jawab...so selagi haziq x berterus terang...selagi itu di x tenang....

cayla iman said...

Heishhh geram jer dgn amalia nih

che`leen said...

...hmmm...... ..
Tuan rumah.....
Cat rumah ni....terang sgt.....
..silau mak..

cyah said...

Huh haziq... haziq

noorliyana Shamsuddin said...

Tak faham lagi.....

chah husain said...

terima kasih tuan rumah..mintak tambah nasi lagi ya eheheh

zjirha said...

klu haziq cerita perkara sbnr jatuhlah maruah dia.. Farisha je yg tahu rahsia tu..

nOOr said...

smua slhkn farisya..sian dia..
diaorg x tau crite sebeno ny..

Anonymous said...

Haziq tuh dah kecewa farisya nak kecewa kan amalia pulak..xtaw bersyukur mende depan mata heih

celoretcute said...

Ego seorang lelaki...isteri mn xcmburu bl suami asyik tkenang wnita lain..lg2 la bks isteri..buat ap khwn lain andai xmmpu mlupakan..jgn smpi nnt yg dkjr xdpt yg dkndong kcicirn..tp begitulah hdup..xslalu spt yg kita harapkn..ujian sering mlanda mnguji ktahann jiwa&kkuatan iman....tahniah Hanni Ramsul...bait2 katamu sering mngusik jiwa.

[11:35:50 PM] hos.getah: