Monday, September 8, 2014

Mencari Hilang 4



       
     “Kamu ni kenapa, Haziq? Keras kepala! Cakap orang langsung tak nak dengar, kan?,”
            Haziq mendongak. Memandang wajah ibunya yang merah menahan marah. Dia faham kenapa ibunya beria-ia menghalang.
            “Saya tetap nak ke sana, mak,”
            Puan Hairani menghenyakkan punggung ke sofa. Membara marah terasa membuat dia payah menghela nafas. Turun naik dadanya menahan rasa geram pada anak lelakinya yang seorang ini. Kenapalah satu-satu nasihatnya ini, bagai tidak berbekas langsung di hari Haziq.
            “Apa lagi yang kamu harapkan daripada perempuan tu? Mak ingat bila kamu dah kahwin, mak dah tak pening kepala nak fikirkan masalah kamu yang satu ni,”
            Haziq diam. Tidak mampu bersuara walaupun banyak yang ingin dia ujarkan. Namun, semuanya bagai tersekat di kerongkong. Tidak mampu diluah. Semuanya hanya berlegar di ruang hati sendiri.
            “Saya cuma nak jumpa bekas mak mertua saya. Takkan itu pun jadi kesalahan?,”akhirnya dia berdalih. Lemah alasannya. Tetapi hanya itu yang mampu dia beri.
            “Jumpa bekas mak mertua konon. Ya sangatlah tu. Kamu ke sana nak buat apa? Nak tahu kat mana perempuan tu, kan? Mak tak fahamlah dengan kamu ni, Ziq. Tu... cuba kamu pandang muka tu. Muka tu yang kamu patut fikir sekarang ni. Bukan perempuan tu!,”bentak Puan Hairani sambil telunjuknya menuding ke arah Amalia yang diam di sofa.
            “Sikit pun kamu tak fikir apa yang Lia rasa bila kamu cakap macam ni. Dia isteri kamu, Haziq. Dia yang jaga kamu semasa kamu sakit. Semasa kamu tak boleh terima kenyataan anak kamu dah tak ada. Perempuan tu? Perempuan tu ambil keputusan untuk tinggalkan kamu. Tinggalkan kamu semasa kamu perlukan dia! Takkan kamu dah lupa? Hargailah sikit isteri kamu ni,”
            Haziq menggaru dahi perlahan-lahan. Diam-diam, dia sedar hebat impak yang dia tinggalkan untuk Farisya. Segunung benci ibunya pada bekas menantunya itu. Dan, semua itu berpunca daripada dirinya sendiri.
            “Mak Isha tu kawan baik mak. Tapi, hari ni, mak cakap macam mereka tu musuh mak. Sejak saya dengan Isha berpisah, langsung mak tak jumpa makcik Rahmah,”
            Puan Hairani membuang pandang.
            “Saya kahwin dengan Isha pun, sebab mak yang pilih dia untuk saya, kan? Tapi, kenapa hari ni mak berubah sampai macam ni sekali?,”
            “Sebab dia bukan seperti yang mak harapkan. Sebab dia buang Haziq macam Haziq ni tak ada perasaan! Sebab tu mak tak boleh terima dia,”
            “Makcik Rahmah?,”
            Puan Hairani mendengus perlahan.
            “Mak tak boleh terima perbuatan anak dia. Mak ingatkan anak dia perempuan baik,”
            Haziq menelan liur perlahan-lahan. Terasa pahit untuk ditelan.
            ‘Isha memang baik, mak,’getus hatinya di dalam diam. Memang Farisha baik. Cuma dia masih belum mempunyai kekuatan untuk berterus-terang. Tidak sanggup menceritakan keburukan sendiri.
            “Jangan ke sana,”
            Haziq memandang wajah ibunya sebaik larangan itu meluncur di bibir. Perlahan dia mengeluh. Dalam.
            “Dah empat tahun, mak. Bulan ni, genap empat tahun Trisya pergi. Sekali pun saya tak jengah kubur dia. Saya nak tengok kubur anak saya, mak,”
            Puan Hairani terdiam.
            “Saya nak jumpa anak saya,”
            Mendengar suara Haziq yang bergetar, Puan Hairani luluh tiba-tiba. Mengerti perasaan Haziq. Haziq separuh gila kerana tidak dapat menerima pemergian Trisya yang tiba-tiba. Kasihan Haziq berjuang untuk menyambung hidup sendirian apabila isteri sendiri sanggup angkat kaki begitu sahaja. Meninggalkan anaknya menderita menanggung kerinduan. Menanggung kehilangan.
            “Kamu kuat ke?,”
            Haziq diam.
            “Mak tak nak tengok kamu jadi macam empat tahun lepas. Mak tak sanggup,”
            “Insyaa ALLAH, mak. Jadi, benarkan saya ke sana. Saya nak jumpa anak saya. Saya nak jumpa bekas mertua saya. Saya perlu cari Farisha,”
            Mendengar kata-kata itu, Amalia mengangkat punggung. Tidak sanggup lagi mendengar suaminya asyik mengalun nama bekas isteri.
            “Bawa Amalia sekali,”tingkah Puan Hairani tegas.
            “Tak nak,”Amalia membalas laju.
            “Lia... ikut suami kamu. Jangan bagi dia leka layan perasaan mengarut. Asyik duk angau kat orang yang buang dia macam sampah. Lia isteri. Lia ada hak nak pertahankan kedudukan  Lia. Jangan cepat nak mengaku kalah,”Puan Hairani tegas memberi arahan.
            “Rasanya tak perlulah, mak,”Haziq menolak lembut.
            “Kenapa? Takut tak ada peluang kamu nak pujuk balik bekas isteri kamu tu? Jangan mimpi mak akan terima perempuan tu balik, tahu!,”
            “Tak. Bukan macam tu. Tapi, takkan saya nak jumpa makcik Rahmah dengan Lia?,”
            “Apa pula? Eloklah tu. Biar dia tahu, walaupun anak dia buang kamu, tapi kamu masih boleh hidup lagi. Ada lagi perempuan yang jauh lebih baik yang boleh hidup dengan kamu. Yang boleh jaga kamu,”
            Amalia tercegat sambil berpeluk tubuh. Kata-kata ibu mertuanya ada juga benarnya. Dia isteri. Dia ada hak untuk memperjuangkan kedudukannya. Dia tidak boleh duduk diam dan melihat sahaja tingkah melampau Haziq.
            “Tapi kan, Lia pregnant. Nanti dia penat,”
            “Tak apa. Lia tak kisah. Lia nak ikut juga,”ujar Amalia menanggapi penolakan lembut Haziq. Haziq mengerling dengan ekor mata. Isteri dan ibunya sudah sepakat. Tiada apa yang boleh dia lakukan. Walau apa pun, dia tetap mahu ke Melaka. Dia perlu berjumpa dengan Farisha. Dia tidak akan dapat hidup tenang selagi tidak bersemuka dengan Farisha.
            “Jauh-jauh kita pindah sebab tak nak dia susah hati, sudahnya, ke situ juga dia nak pergi,”rungut Puan Hairani sambil mengangkat punggung. Menganggap perbincangan tegang itu sudah selesai, terus dia meninggalkan ruang itu.
            Haziq tidak menyampuk. Faham maksud kata-kata ibunya. Tidak lama selepas kematian Trisya, mereka berpindah ke Pahang. Mahu mencari suasana baru, menurut ibunya. Perlahan dia bersandar ke sofa. Memandang isterinya yang masih tercegat membalas renungannya.
            “Abang tak rasa gembira langsung ke bila Lia pregnant?,”
            Haziq mengeluh.
            “Lia... jangan mulakan lagi,”
            “Kat dalam perut Lia ni, ada anak abang. Anak abang yang ni, ada nyawa tau. Tapi, abang macam tak pernah kisah pun. Sekarang sibuk-sibuk pula nak cari anak abang yang dah tak ada tu!,”
            “Lia!,”
            Amalia merengus marah. Tidak menunggu lama, dia turut berlalu membawa wajah mencuka. Meninggalkan Haziq sendirian di ruang tamu. Diam dan berfikir. Amalia yang pergi membawa rajuk, tidak mampu dia susul untuk memujuk. Bukan dia tidak mahu. Tetapi, entah kenapa, ada sesuatu yang menghalang. Amalia, gadis pilihan ibunya yang datang di saat hatinya parah ditinggalkan Farisha, harus diakui, seorang yang baik. Selalu ada menemaninya. Selalu memujuk agar dia terus melangkah ke hadapan dan tinggalkan segala kenangan yang membuat hidupnya bagai terhenti seketika. Memang dunianya bagai benar-benar terhenti. Bukan di saat anaknya pergi buat selama-lamanya dan dia menagih simpati daripada Farisha. Tetapi di saat bibir Farisha meminta perpisahan.
            Sungguh dia yakin Farisha akan terus bersamanya. Tetapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Bersama bayangan wajah Farisha, perlahan dia bangkit dari sofa. Kemarahan Amalia turut membuat dia serba-salah. Tidak sampai hati melihat isterinya membawa rajuk kerana sikapnya. Sikit pun dia tidak bermaksud mahu menyakiti hati Amalia. Tetapi, untuk dia fokus pada perkahwinan barunya, terasa sangat mustahil. Bayang Farisha ada di mana-mana. Kenangan demi kenangan bersama Farisha seakan mengejarnya. Mungkinkah cinta Farisha yang mendera perasaannya. Atau, mungkinkah dosa-dosanya pada Farisha yang sedang mengejarnya kini? Buntu tanpa jawapan, perlahan dia meraup wajah. Melangkah menuju ke biliknya mencari wajah Amalia.


******
[11:35:50 PM] hos.getah: