Friday, August 3, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 20

            Senyum lebar aku berikan pada beberapa orang pelanggan yang baru selesai membuat pembayaran di kaunter. Penat juga melayan pelbagai kerenah pelanggan yang cerewet. Namun, apabila berjaya puaskan hati mereka dengan sesuatu yang betul-betul kena dengan jiwa mereka, bagai ada satu kepuasan di situ.
            “Cerewet bukan main,”
            Aku tersenyum mendengar omelan Suri yang sedang menyusun resit pembelian di sudut kaunter.
            “Biasalah. Dia orang kan membeli. Mestilah nak yang betul-betul berbaloi dengan duit yang dia orang keluarkan,”tegurku bersama senyum yang terus terhias di bibir. Teguran yang membuat Suri tersengih cuma.
            “Betul. Mummy setuju. Ragam pelanggan memanglah macam tu. Suri pun, macamlah baru hari ni, kerja ya?,”
            Suri tergelak kecil.
            “Tak adalah Puan. Tapi, customer yang cerewet melampau macam tu, kadang-kadang geram tu datang juga Puan,”
            Aku tergelak mendengar rungutan yang cukup ikhlas itu. Ibu mertuaku cuma menggeleng perlahan.
            “Tiya?,”
            Aku memandang wajah ibu mertuaku dengan sedikit rasa hairan. Kening kuangkat sedikit. Ibu mertuaku tersenyum.
            “Tiya tak geram ke?,”
            Aku tersengih.
            “Adatlah mummy. Nak customer kenalah sabar. Betul tak?,”
            Puan Junaidah tersenyum kecil.
            “Betul…,”balasnya sepatah. Aku senyum.
            Come…,”ujarnya pendek. Terus melangkah menuju ke biliknya. Aku memberi isyarat agar Suri menjaga kaunter dan seorang dua pelanggan yang asyik membelek baju. Suri cuma mengangguk sambil mengangkat ibu jari. Aku tersenyum sambil mengekori langkah ibu mertuaku. Daun pintu kaca aku tutup perlahan kemudian melabuhkan punggung di sebelah ibu mertuaku.
            “Ada apa, mummy?,”
            Senyum sekali lagi mekar di bibir itu.
            “Geram pada pelanggan dah kurang. Geram pada yang tersayang, macam-mana pula?,”
            Aku diam. Wajah Puan Junaidah kuamati sungguh-sungguh. Adakah Puan Junaidah tahu aku sedang perang dingin dengan Encik Firdaus? Bukannya aku yang mahu panjangkan cerita tetapi Encik Firdaus yang seakan-akan mahu isytiharkan perang. Langsung tidak mahu memujukku. Dan, aku pula. Tidak mungkin aku akan mengalah. Aku tidak melihat di mana kesilapanku. Jadi untuk apa aku tunduk mengalah dan secara tidak langsung menunjukkan yang Puan Sri Ainul tiada kaitan di dalam permasalahan kami. Kalau boleh aku mahu seret wanita itu untuk mengaku perbuatannya itu. Tetapi, bukan senang untuk buat orang mengaku sesuatu yang terang-terang dilakukan secara sembunyi.
            “Maksud mummy?,”soalku lambat-lambat. Mana tahu mungkin telahanku silap. Mungkin Puan Junaidah mahu sampaikan sesuatu yang bukan seperti aku fikirkan ini.
            “Ada masalah dengan Fir, ya?,”
            Aku tunduk. Betullah telahanku. Mungkinkah Encik Firdaus bercerita pada ibunya? Apa yang telah lelaki itu ceritakan?
            “Abang Firdaus beritahu mummy ke?,”aku cuba mencungkil maklumat.
            Puan Junaidah tersenyum lebar.
            “Bukan, sayang. Fir bukan suka cerita hal-hal peribadi dia. Cuma, satu dua hari ni, mummy perasan macam ada yang tak kena aje dengan pasangan dua sejoli ni,”
            Aku tersenyum segan. Rasanya sudah sehabis mungkin aku memaniskan wajah ketika bersama Encik Firdaus apabila ibu dan bapa mertuaku ada berhampiran. Tetapi, tetap juga begitu mudah dibaca oleh ibu mertuaku ini.
            “Nak share dengan mummy?,”
            Soalan itu membuat aku sedikit terharu. Tetapi, perlukah aku kongsikan dengan Puan Junaidah? Encik Firdaus sendiri tidak membuka cerita itu pada ibunya. Sudahnya aku menggeleng perlahan.
            “Tak apalah mummy. Perkara kecil aje,”
            Puan Junaidah tersenyum sambil mengangguk perlahan.
            “Okay, kalau macam tu. Tapi, perkara kecil kalau dipanjangkan, nanti tak jadi kecil,”
            Aku terdiam. Ada nada-nada yang memberi isyarat agar aku beralah di situ.
            “Nak dengar mummy cakap sikit?,”
            Giliran aku mengangguk perlahan.
            “Berapa lama Tiya kenal Fir?,”
            Aku termangu. Sebagai seorang majikan, rasanya sudah agak lama aku mengenali Encik Firdaus. Sebagai seorang yang istimewa, rasanya tempoh setahun lebih itu bukanlah jangka masa yang agak lama. Proses perkenalan kami juga tidak begitu baik. Sering terdedah dengan prasangka dan salah sangka. Sebaik salah sangka terlerai,kami terus bertunang.
            “Setahun bertunang dan terus kahwin,”telus jawapan yang aku berikan.
            “Dah betul-betul kenal dengan sikap Fir?,”
            Aku termangu lagi. Setahun di dalam alam pertunangan aku terlalu dimanjakan. Selepas berkahwin pun, Encik Firdaus melayan aku bagai puteri sehingga aku terlupa untuk mengkaji sikap Encik Firdaus sendiri. Sudahnya aku menggeleng perlahan. Baru aku sedar, aku masih belum arif dengan sikap dan perangai insan yang aku cintai. Akukah yang tidak prihatin? Atau aku terlalu pentingkan diri sendiri? Dan, akhirnya… akukah yang bersalah?
            Perlahan Puan Junaidah menggenggam jemariku.
            “Fir… memang cukup gentleman. Penuh dengan kasih-sayang. Tapi, hatinya juga kadang-kadang sangat sensitif. Cuba Tiya fikir semula punca semua ni. Mungkin hati dia terguris sikit kot. Mungkin dia merajuk. Fir pun pandai merajuk tau. Payah nak merajuk tapi, kalau sekali dia merajuk, lama. Jadi, mummy yakin, Tiya tahu apa yang patut Tiya lakukan. Jangan gaduh lama-lama. Tak elok,”
            Aku terkedu. Jadi, sekarang Encik Firdaus merajuk? Encik Firdaus bukan marah padaku, tetapi dia merajuk dengan aku? Tetapi, betul ke? Kalau betul, patutlah dia tidak mahu memujukku. Aku pandang wajah Puan Junaidah.
            “Macam-mana nak pujuk abang Firdaus?,”
            Puan Junaidah tergelak kecil. Aku mula resah. Perlukah aku memujuk? Kenapa Encik Firdaus merajuk? Bukankah dia yang menuduh aku dan tidak mahu mendengar penjelasanku? Tetapi, memikirkan kata-kata ibu mertuaku, mungkin ada benarnya. Takkan aku mahu panjangkan pertelingkahan ini. Sampai bila? Sampai Mia betul-betul muncul dan membawa Encik Firdaus pergi, seperti yang telah Puan Sri Ainul rancang? Aku menarik nafas panjang. Tidak! Terlalu ngeri andaian itu.
            “Macam-mana cara nak memujuk tu, Tiya ajelah yang tahu. Mummy tak boleh tolong,”
            Aku tersenyum kelat. Mula menggigit kuku mencari ilham. Sungguh aku tak tahu.
            “Mummy nak keluar jumpa Puan Sri Ainul kejap. Nak join?,”
            Segera aku mengangkat muka sebaik mendengar nama itu disebut. Laju aku menggeleng. Diberi upah pun aku tidak akan menadah muka di hadapan perempuan itu. Tidak ingin aku!
            “Betul ni? Puan Sri suka tau kalau selalu dapat jumpa Tiya. Dia cakap dia sukakan Tiya. Kalau Tiya free… selalu-selalulah contact dia. Dia tu dah macam family kita. Fir memang sayang benar dengan Puan Sri tu. Maklumlah sejak kecil memang dia manja dengan Puan Sri tu. Dah macam mummy nombor dua dia…,”panjang lebar Puan Junaidah bercerita.
            Haa…. Iya! Sukalah sangat! Aku mengangguk sambil tersenyum lebar. Puan Junaidah mengangkat punggung. Mencapai beg tangannya di atas meja. Aku terus tersenyum.
            “Mummy pergi dulu. Fikirkan kata-kata mummy tu, tau,”
            Aku mengangguk perlahan.
            Take care mummy,”
            Ibu mertuaku cuma tersenyum sambil terus berlalu. Aku pula terus termangu di sofa. Menongkat dagu sambil mengeluh perlahan.
            “…Fir memang sayang benar dengan Puan Sri tu. Maklumlah sejak kecil memang dia manja dengan Puan Sri tu. Dah macam mummy nombor dua dia…,”
            Selintas kata-kata ibu mertuaku seketika tadi, berputar di minda. Patutlah marah benar Encik Firdaus padaku. Jadi, untuk tidak memburukkan lagi keadaan, aku memang perlu beralah. Terpaksa membenarkan perlakuan Puan Sri Ainul demi menjaga hubungan aku dan Encik Firdaus.
            “Puan Sri Ainul…,”tiba-tiba aku berbisik perlahan sambil mencemik. Sungguh sukar dipercayai pertengkaran ini berpunca daripada cerita rekaan Puan Sri Ainul yang disayangi Encik Firdaus dan aku terpaksa lupakan perbuatan itu hanya kerana perempuan itu wanita kesayangan Encik Firdaus. Aku mencemik lagi. Cukup mendidih hatiku tiap kali teringatkan nama itu. Dan, ramai sungguh wanita kesayangan suamiku ini!
            Seketika aku mengetuk dahi sendiri.
            “Tiya, sekarang kau kena fikirkan cara nak pujuk suami kau. Bukan fikir pasal Puan Sri Ainul yang jahat tu!,”aku bersuara geram. Mula menongkat dagu sambil berfikir. Bagaimana caranya untuk aku memujuk Encik Firdaus yang merajuk secara serius buat kali pertama ini? Merajuk main-main bolehlah  aku pujuk secara main-main juga. Tetapi, kalau sudah masuk dua hari tidak bergurau-senda denganku, sahlah rajuk itu sudah serius. Aku mula menggaru kepala. Bergerak ke meja ibu mertuaku. Komputer yang sedia terpasang itu, aku renung seketika. Perlahan aku daftar masuk ke Yahoo! Messenger. ID Encik Firdaus kelihatan sedang offline. Tetapi, memang dia sering memilih status invisible. Malam tadi dia sudi menyapaku di sini, mungkin kalau aku menyapanya, dia akan membalas.
           
Ugly Betty : Salam, bang. Jom keluar makan.

Aku menongkat dagu. Menunggu jawapan. Senyap sahaja. Mungkinkah Encik Firdaus benar-benar offline?

Ugly Betty :BUZZ!
Ugly Betty: Shopping nak? Tiya temankan?

Aku mencuba lagi. Maklumlah sekarang kan, Encik Firdaus cukup suka membeli-belah. Namun, tetap juga tiada jawapan. Aku mengeluh perlahan. Mungkin Encik Firdaus sedang sibuk. Aku pula tidak mahu berlama di sini. Pasti Suri perlukan bantuan di luar sana.

Charmimg :Abang ada meeting in 10 minutes.
Ugly Betty: Ok. Take care…

Tidak menunggu lama aku terus daftar keluar. Alunan ayat pun jelas menunjukkan lelaki ini masih di dalam mood merajuk. Perlahan aku menghela nafas sambil mengangkat punggung. Nampaknya aku perlu berusaha dengan cara lain. Cara apa? Sungguh masih belum ada idea yang terlintas di fikiran. Takkan nak hadiahkan bunga? Coklat? Kalau aku yang merajuk, logiklah begitu cara pujukannya. Kalau Atok merajuk, lagi senang. Peluk dan cium saja. Kalau Encik Firdaus merajuk? Aku garu kepala sekali lagi. Lemah aku melangkah keluar dari bilik ibu mertuaku. Membawa wajah kelat sehingga ke kaunter. Memandang kosong pada Suri yang leka melayan pelanggan, sambil kepala ligat mencari idea untuk menjernihkan semula hubungan aku dan Encik Firdaus. Juga cuba mengingat kembali di mana kesilapan yang mungkin telah aku lakukan selain daripada meletakkan kesalahan kepada ibu Mia. Juga selain daripada pertemuan aku dengan Abang Kamal. Aku yakin, bukan pertemuan itu yang membuat Encik Firdaus marah.
Sudahnya aku mengeluh perlahan. Terkebil-kebil dengan seribu satu perasaan tidak tenteram. Mahu saja aku pergi berjumpa dengan Encik Firdaus saat ini juga. Tetapi, dia kan sedang sibuk. Dan, aku mengeluh lagi.


*****

Biarkan YM Terus Bicara 19



Ugly Betty : Ganggu ke?
Sherry_sweet?: Taklah. Aku tengah main Farm Town. Qalisha keluar cari  
                            burger dengan papa dia..
            Ugly Betty : Boleh ke Man nak drive. Nak melayan Qalisha lagi?
         Sherry_sweet: Drive apanya? Dia beli burger depan rumah aku ni je haa…
            Ugly Betty: Ooooooo….
           
            Aku menongkat dagu. Menatap screen computer riba dengan perasaan kosong. Masih lagi terbawa-bawa dek rasa kecewa diabaikan oleh Encik Firdaus. Sejak aku bertindak meninggalkan dia semalam, dia terus membisu seribu bahasa. Malam ini, dia tekun di meja kerjanya sedang aku selesa meniarap di katil. Menanti sebenarnya. Menanti Encik Firdaus menyapaku.
           
            Sherry_sweet: Apa masalah ni? Ceritalah.
           Ugly Betty: Masalah apa pulak. Saja nak sembang dengan kaulah. Tak baik             tau                    fikir macam tu. Macamlah aku cari kau masa aku ada masalah aje.
            Sherry_sweet: :D hehe. Itu aku tak tahu. Tapi, bila aku tengok oooooo kau yg                             panjang tu, aku tahu kepala kau ke lain. Lain tak ada…mesti                                       tengah kusut kan? Cepat. Cerita kat aku.

            Aku termangu sambil menongkat dagu. Memang betul pun tekaan Sharifah. Tetapi, memang benar juga, bukan itu tujuan sebenar aku menyapa Sharifah. Aku cuma mahu bertanya khabar.
           
            Ugly Betty: alaa… masalah kecil-kecilan aje. Biar aku settle sendirilah.
Sherry_sweet: yalah tu. Sejak kahwin ni, dah pandai settle masalah sendiri ya.
Dah tak sudi dah nak kongsi masalah dengan aku ni. tak apalah…
            Ugly Betty: kau jangan mengada lebih boleh tak?
            Sherry_sweet: ha ha ha… kalau macam tu, cepatlah cerita kat aku sebelum Man                                   balik Nanti kang Qalisha mengacau.

            Aku sambung termenung. Ternyata Sharifah masih tetap memahami aku. Aku mengangkat muka. Encik Firdaus masih tekun menghadap komputer.

Ugly Betty: Dah dekat dua hari Encik Firdaus aku tu tak bercakap dengan                                          aku...
            Sherry_sweet: Dah kenapa pula dengan Encik Firdaus kau?
            Ugly Betty: ada salah faham sikit. Tapi, bukan salah aku…
            Sherry_sweet: alah… setakat salah faham sikit tu, pejam mata ajelah. Kalau dia
                                    tak tegur, kau yang tegur. Apa susah?
            Ugly Betty: Bukan senang nak buat macam tu. Entahlah. Susah aku nak cakap.
            Sherry_sweet:Apa lagi masalah kau ni Diya? Cerita pelan-pelan kat aku.
            Ugly Betty: dia marahkan aku sebab aku keluar dengan Abang Kamal…
            Sherry_sweet: Uik… pelik tu. Setahu aku Encik Firdaus tu tak macam kau.
                                    bukan jenis cemburu buta. Kenapa sampai dia marah pula? Kau
                                    jangan ckp kau ada affair dengan Abang Kamal
            Ugly Betty: Oit! Ckp elok2 sikit. Igt aku jahat sgt ke? Ada org gatal tgn pergi                             Sms dia Siap buat fitnah lagi. Cakap aku pegang-pegang tangan…                                 peluk2 sakan.
            Sherry_sweet: serius tu. Encik Firdaus percaya ke? Siapa pulak yg gatal jari                                           buat cerita tu?
            Ugly Betty: dia tak cakap dia percaya. Tp, dia marah sbb aku keluar dengan
         Abang Kamal tak beritahu dia. Aku try call dia, tp dia x jawab.
                                 Bukan salah aku kan?             
            Sherry_sweet: kau tahu siapa yang sms tu? Encik Firdaus beritahu siapa?
Ugly Betty: aku tahu. Tahu sangat-sangat. Siapa lagi kalau bukan mak Mia yang
jelita tu. Mulut jahat perempuan tu. Aku benci betul dengan mulut dia. Suka suki aje kutuk aku.
            Sherry_sweet: apa Encik Firdaus cakap? Dia tak cakap apa-apa ke kat mak Mia
tu?
            Aku mengeluh panjang. Mata sekali lagi lari ke arah Encik Firdaus yang kebetulan mengerling padaku. Wajah itu nampak serius. Melihat wajahnya yang serius, aku buat muka sepuluh kali serius. Mata kembali tertancap ke screen komputer riba. Layan Sharifah lagi bagus! Nak merajuk dengan aku kan? Jangan harap aku nak pujuk sebab memang bukan aku yang bersalah. Aku mengerling. Sekali lagi bertembung renungan dan aku tarik muka masam. Encik Firdaus mengalihkan pandangan ke skrin komputernya sambil mengeluh perlahan. Aku juga kembali mencari ID Sharifah.

            Sherry_sweet: BUZZ!!!
            Ugly Betty: tu pun satu sebab dia marahkan aku. Dia marah bila aku kaitkan
                                mak Mia...Bila aku ckp itu semua kerja mak Mia. Dia tak percaya.
            Sherry_sweet: kau yakin tu kerja mak Mia, kenapa pula Encik Firdaus tak
percaya?Confuse dah aku ni weh. Janganlah buat aku morningsickness mlm2 buta ni...
Ugly Betty: aku tahu mesti kerja dia. Tapi, dia sms guna nombor lain. Saja nak
                   pedajal org. n… Encik Firdaus aku…skit pun tak nak percaya apa
                  aku ckp tu. Bagi dia orang tua tu baik sangat!
            Sherry_sweet: mungkin betul bukan dia kot. Entah2 org lain?
            Ugly Betty: dahlah. Kau pun samalah mcm Encik Firdaus tu. Knp la susah sgt
                                 korang sumer nak percaya apa aku ckp ya?
            Sherry_sweet: Sbb imaginasi kau selalu tinggi. :D

Aku merengus perlahan. Geram dengan jawapan Sharifah.

            Charming: dah…dahlah mengumpat tu.

Membaca kata-kata daripada tetingkap yang baru muncul di skrin, aku mengerling tajam. Encik Firdaus nampak serius di kerusi. Sesedap rasa sahaja dia menuduh aku mengumpat. Bercakap tidak mahu, tetapi, boleh pula bermesej di sini.

Ugly Betty: Mana ada?
Charming: Igt abang tak tahu? Tgh ngumpat abang dengan Sherry kan?

Aku diam seketika. Menatap tetingkap ID Sharifah. Mungkinkah Sharifah sedang bersekongkol dengan Encik Firdaus? Mungkin Sharifah sedang mengalirkan maklumat perbincangan kami ini kepada Encik Firdaus. Tidak… tidak mungkin. Sharifah bukan begitu orangnya. Mungkin Encik Firdaus sekadar meneka.

Ugly Betty: oklah Sherry. Aku nak off dululah.
Sherry_sweet: laa.. kenapa pulak?
Ugly Betty: ni, Encik Firdaus. Sedap2 mulut aje cakap kita mengumpat dia
Sherry_sweet: kalau bukan mengumpat dia, apa yang kita tgh buat sekarang ni?
Betullah kau tgh ngumpat dia pun. Aku pulak layan kau mengumpat.
            Ugly Betty: skrg ni aku rasa aku betul2 nak off!
Sherry_sweet: ha ha. Marah ke? Jgnlah marah. Kalau kau nak tahu, tu hint
                                    Encik Firdaus nak berbaik dgn kau tu. Kau senyum sikit aje,
                                    confirm berdamai. Tak caya, kau cuba.
            Ugly Betty: Tak naklah. Selagi dia tak minta maaf sbb tuduh aku suka tuduh2
                                mak best friend dia tu, aku tak akan tegur dia.
Sherry_sweet: Malas aku nak ckp byk2 dgn org keras kepala macam kau ni.
Cuma aku nak cakap, tak salah kita beralah untuk kebaikan. Jangan kau cari psal dgn dia, then dia betul2 pergi cari Mia. Baru padan muka kau
            Ugly Betty: Sherry! Mulut kau mmg nak kena.
Sherry_sweet: kih kih. Jangan marah. Betul apa aku ckp. Lelaki ni, jgn bagi dia
                                    stress dengan kita. Kau kena ingat tu…

            Aku diam seketika. Membenarkan kepalaku mencerna kata-kata nasihat daripada Sharifah.

            Ugly Betty: k la Sherry. Aku out dulu ya.
            Sherry_sweet: apa pun, kau kena ingat. Jangan keruhkan keadaan. Kalau perlu
mengalah, x salah kau mengalah. Beralah tak bermakna kita kalah…
            Ugly Betty: Hmm… tgoklah macam mana…
Sherry_sweet: Hmm… maknanya tak adalah tu… harap kau fikir balik
                                    keputusan nak tunjuk keras kepala kau tu.
            Ugly Betty: ok lah. Aku nak tido. Nanti kirim salam kat Man ya.
            Sherry_sweet: Yalah. Take care tau. Salam.

            Aku diam. Terus menamatkan talian sambil salam Sharifah cuma aku jawab di dalam hati. Komputer riba aku tutup perlahan. Bangkit daripada meniarap, aku bersila di tengah-tengah katil.
            ‘Beralah tak bermakna kita kalah…’ kata-kata Sharifah sebentar tadi, kini berlegar-legar di minda.
Bukan aku tidak mahu beralah. Tetapi, hati aku cukup pedih apabila Encik Firdaus langsung tidak mahu mengambil kira pendapatku. Langsung tidak mahu percaya pada kataku. Dia tidak yakin pada aku, sebagaimana dia yakin pada Puan Sri Ainul. Hati aku tidak akan separah ini, seandainya Encik Firdaus mahu pertimbangkan pendapatku. Pendapatku tentang Puan Sri Ainul yang menjadi dalang SMS mengarut itu. Tetapi, Encik Firdaus menolak mentah-mentah apabila nama itu disabitkan. Nampak sangat aku langsung tidak boleh bercakap yang buruk-buruk tentang ibu Mia. Mungkin di matanya saat ini, aku seorang isteri yang sedang memburuk-burukkan insan lain hanya untuk menutup kesilapan sendiri. Memikirkan andaian itu mungkin sedang bersarang di fikiran Encik Firdaus, hati ini merintih sendiri. Tidak… aku tidak akan membiarkan anggapan itu terus bersarang di hati Encik Firdaus. Andai aku beralah dan meminta maaf, sama sahaja seperti aku mengaku silap kerana memburukkan nama Puan Sri Ainul. Walhal, hal yang sebenar bukan begitu! Hal yang sebenar memang wanita itu saat ini sedang menjadi awan hitam yang kelam yang datang untuk membawa kegelapan dalam hubungan kami.
            Aku mengeluh perlahan. Biarlah apa pun yang berlaku, aku tidak akan meminta maaf pada kesilapan yang tidak pernah aku lakukan. Nasihat Sharifah aku buang jauh-jauh. Mata memandang seketika pada Encik Firdaus yang terus kaku di meja. Biarlah… biarlah lelaki itu mahu menjauhiku. Aku akan terus menunggu. Menunggu saat Encik Firdaus mahu menyapaku semula.


*******
[11:35:50 PM] hos.getah: