Friday, October 31, 2014

Mencari Hilang 7



“Abang tak keluar malam ni, kan?,”
            “Kenapa?,”
“Abang tengokkan Trisya, ya? Saya nak keluar sekejap,”
            “Nak jumpa jantan tu kan?,”
            Farisha menoleh. Tersentap mendengar soalan itu. Tinggi suara Haziq membuat dia geram. Lelaki ini sering membuat keadaan menjadi sukar. Sering membuat andaian yang buruk untuk apa sahaja tindakannya. Sering juga berburuk sangka padanya tetapi tidak pernah mahu berubah.
            “Bahagian mana yang abang kurang faham ya? Abang ingat saya suka-suka nak jumpa dia ke?,”
            “Jangan nak bagi alasanlah. Bincang pasal cari duit tu alasan saja. Yang betulnya, nak keluar mengadap muka dia, kan?,”
            “Kalau saya tak cari duit, siapa yang nak selesaikan semua hutang abang tu? Ingat cukup ke dengan gaji saya aje?,”dia mula menyindir apabila tuduhan Haziq mula mencabar sabarnya. Membuat wajah Haziq memerah menahan marah.
            “Susah cakap dengan Isha ni!”
            “Bercakap dengan abang tu, yang susah. Abang tak percayakan saya langsung. Tak pernah juga nak berubah langsung. Kalau saya betul-betul nakkan lelaki lain, saya dah tak tinggal dengan abang. Dah lama saya lari, tahu tak? Cubalah jangan ikut perasaan sangat bila bercakap. Kita kahwin dah dekat lima tahun, bang. Sepatutnya abang betul-betul kenal isteri abang ni. Susahlah kalau abang langsung tak percayakan isteri sendiri,”
            “Memang abang tak percaya,”
            “Kalau tak percaya, ikutlah sekali. Boleh juga ikut sama cari duit sikit-sikit,”
            “Malas! Bukan boleh kaya pun,”
            “Kaya tu memang tak lah. Tapi, sekurang-kurangnya ada juga usaha nak cari duit lebih. Dah cemburu sangat, ikut saya. Kita pergi sama-sama. Saya tak kisah langsunglah bang. Saya bukannya perempuan gatal yang tak cukup suami!,”sarannya bersama jelingan tajam. Haziq tidak bersuara. Cuma terus mencapai kunci kereta sambil bergerak menuju ke pintu.
            “Nak ke mana tu?,”
            “Rumah mak. Nak jumpa Zul,”
            “Abang, saya nak keluar ni. Tolonglah. Kalau tak boleh nak tolong cari duit untuk saya, takkan tak boleh tolong mudahkan kerja saya?,”
            “Abang tak pernah suruh Isya buat kerja tu kan?,”
            “Tapi abang tak pernah pula tolak bila saya hulur duit dari kerja tu untuk selesaikan semua masalah hutang abang, kan?,”
            Soalannya hanya berbalas rengusan keras.
            “Abang bawalah Trisya sekali,”
            “Isya bawalah sekali,”
            “Abang! Saya bukan pergi bersuka-ria. Saya pergi nak cari rezeki. Untuk kita,”
            “Kalau rasa susah sangat, tak payah nak cari duit lebih sangat. Nak sangat jumpa jantan tu, bawa Trisya sekali!,”keras suara Haziq sekeras bunyi pintu yang berdentum ditarik kasar.
            Farisha bagai tersentak. Perlahan dia meraup wajah. Entah kenapa tiba-tiba bayang Haziq menjengah ke dalam ingatannya. Teringatkan Haziq yang tidak pernah mengerti tentang tanggungjawab. Teringatkan Haziq yang cemburu buta. Teringatkan Haziq yang tidak pernah mahu memahaminya. Teringatkan hatinya yang ditoreh perlahan-lahan dek perbuatan lelaki itu. Sudah lama dia berhenti mengingati lelaki itu. Sejak hatinya benar-benar hancur dek tindakan Haziq. Sejak Haziq terus membuat hatinya terhiris. Tiba-tiba ada kisah pahit yang lama dia tinggalkan, bertaut di ingatan. Dia mengeluh panjang.
            “Jauh termenung? Siap mengeluh panjang lagi,”
            Perlahan pandangannya teralih. Tersapa dek senyum lebar Rayyan yang selamba menarik kerusi. Melabuhkan punggung di hadapannya. Dia tersenyum kecil. Langsung tidak sedar akan kemunculan pemuda itu.
            “Fikir apa sampai macam tu sekali menungnya?,” Rayyan membuka perbualan. Teruja mengamati wajah di hadapannya itu. Beberapa kali memasuki ruang restoran ini, beberapa kali juga kebetulan Farisha tiada di situ. Kali ini dia memang langkah kanan.
            “Tak ada apalah,”
            Rayyan mengangkat kening sambil tersenyum. Sudah menjangka sebenarnya soalannya tidak akan mendapat jawapan yang telus.
            “I ada pesan pada Humaira minta you call I last week,”
            Farisha mengangguk perlahan.
            Rayyan mengangkat kening.
            “So? I rasa phone I tak rosak. Sebab semua orang boleh call I. Cuma call you tak masuk ke phone I,”
            Farisha tersenyum kecil.
            “Ada. Memang ada Humaira beritahu. Tapi I lupa. Lagipun I ke Melaka last week,”
            Rayyan sekadar menjongket bahu mempamerkan sedikit rasa kecewa.
            “Bercuti?,”tebaknya sambil terus meneliti wajah Farisha. Jawapannya yang diterima cuma segaris senyum. Ringkas dan jauh seperti selalu. Farisha memang tidak pernah menunjukkan minat untuk dekat dengannya. Untuk mesra dengannya.
            “Dah order?,”
            Rayyan tergelak kecil sambil menggeleng tidak percaya.
            “Serius... selain sebagai customer tetap, tak boleh ke bagi layanan yang lebih special sikit untuk I?,”soalnya dengan nada mengusik.
            Farisha tersenyum cuma. Senyum yang tidak begitu sampai ke hati.
            “Kalau semua customer buat request macam you ni, I kena buat buku log,”
            Rayyan ketawa lepas.
            “Kita keluar malam ni?,”di hujung tawa, Rayyan bersuara serius.
            Kali ini Farisha tergelak kecil. Kemudian dia menggeleng. Spontan membuat Rayyan mengeluh perlahan. Agak hampa apabila ajakannya ditolak lagi. Namun, dia tidak bersuara apabila pesanannya sudah sampai ke meja.
            “Asyik gelak then geleng. Bila dapat tengok you angguk pula?,”sebaik sahaja pelayan berlalu, dia ajukan soalan itu pada Farisha. Selama hampir setahun berusaha mendekati Farisha, rasanya memang wajar dia mula merungut apabila Farisha masih kelihatan tidak berminat padanya.
            Farisha mengeluh perlahan.
            “Makanlah ya. I tak nak ganggu you lunch,”dia bersuara sambil mengangkat punggung.
            “Duduklah. Temankan I makan,”
            “Dan... kalau semua customer macam you, tak bergeraklah semua kerja I,”Farisha merungut perlahan. Rayyan tersenyum.
            “Please?,”
            Melihat wajah Rayyan yang berharap, Farisha tersenyum kecil sambil melabuhkan semula punggung ke kerusi. Memerhati Rayyan yang mula menyuap nasi goreng paprik ke mulut. Menu kegemarannya barangkali kerana itulah pilihan Rayyan setiap kali masuk ke sini.
            “Kenapa ya?,”
            Farisha mengangkat kening. Soalan Rayyan tiada mukadimah.
            “Kenapa langsung tak nak beri I peluang? Mustahil you tak faham apa yang bermain di hati I,”Rayyan bersuara tenang. Tidak perlu lagi rasanya dia terus berteka-teki. Tidak perlu juga untuk dia kawal perasaan sendiri.  Dan soalannya membuat Farisha terus mengunci mulut.
            “I serius,”
            Farisha menunduk sambil mengerutkan kening. Selama ini dia sedar. Cuma dia berpura-pura tidak menyedari akan perasaan lelaki itu padanya. Tetapi, hari ini jelas lelaki ini berani berterus-terang.
            “I tak cukup bagus untuk you?,”
            Farisha mengangkat muka.
            “I senang hidup macam ni. I tak perlukan teman,”
            “I tak kisah kalau kita mulakan sebagai kawan. Be my friend?,”
            Farisha tersenyum kelat sambil menggeleng.
            “Sebaiknya terus begini saja,”balasnya sambil mengangkat punggung.
            “Makanlah. I ada kerja sikit,”tanpa menunggu jawapan daripada Rayyan, dia terus berlalu.
            “Farisha...,”Rayyan memanggil dengan suara yang tidak begitu tinggi. Tidak mahu mengganggu pelanggan lain yang sedang menjamu selera. Farisha terus berlalu dan dia mengeluh panjang. Gagal lagi. Sudu dan garfu dilepaskan ke dalam pinggan. Hilang sudah selera makan.
            “Jangan cepat putus –asa kalau betul-betul mahu,”
Dia mengangkat muka mencari suara yang menyentuh gegendang telinganya. Humaira tersenyum lebar di hadapannya. Senyum itu dibalas lemah.
            “Tak tahu lagi macam mana nak usaha...jual mahal sangat,”ujarnya separuh mengalah.
            Humaira tertawa kecil.
            “Qayyum pergi dekat ibu. Mama nak cakap dengan uncle Rayyan kejap,”Humaira bersuara sambil mengusap perlahan rambut anak tunggalnya itu. Sambil mengangguk, laju Qayyum berlari mencari Farisha. Humaira melabuhkan punggung ke kerusi.
            “Isha tak jual mahal. Dia takut. Dia serik...,”Humaira membuka bicara. Melihat sikap tertutup Farisha, dia juga berasa risau. Farisha sepatutnya memberi peluang untuk kembali mencapai bahagia.
            “Takut apa? Serik apa?,”
            “Bila perkahwinan gagal, kita boleh trauma. Takut nak mulakan semuanya sekali lagi. Takut akan gagal lagi,”
            Rayyan diam.
            “So, kalau you betul-betul serius dengan Isha, you jangan putus-asa,”
            “Kenapa dia bercerai?,”
            Humaira tersenyum.
            “Cari jawapannya dari Isha sendiri. I tak dapat ceritakan semuanya,”jawabnya ringkas.
            Rayyan tersenyum tawar. Humaira sudah berlalu. Meninggalkan dia sendirian berdepan dengan hidangan makan tengah hari yang sudah tidak nampak menyelerakan di matanya.


******

2 comments:

Anonymous said...

Begitulah kalau hati dilukai, hilang kepercayaan pada lelaki..saya suka kalau haziq merana di atas segala perbuatan terhadap farisya..

Anonymous said...

akak sokong beri pengajaran pada haziq...tak bersyukur atas kebaikan isteri...bila dah tak ada menyesal tak sudah.

~k.min~

[11:35:50 PM] hos.getah: