Saturday, December 31, 2011

Ini Perang Cinta! 1


Selesai urusan di kaunter,  terus dia melangkah laju. Sebaik sampai di hadapan pintu, pintu sudah terkuak. Dia menjeling.  Elman sudah membukakan pintu untuknya. Tanpa bersuara, terus dia melangkah keluar. Tidak mahu berlama di situ.
“Hey! Janganlah laju sangat,”
“Badilah duduk sini lama-lama,”
Elman tergelak besar. Sekali lagi berpaling ke arah balai polis yang sudah dia tinggalkan.
“Nasib baik kau. Kalau tak, free je tidur dalam lokap malam ni,”
“Tidur dalam lokap pun aku puas hatilah,”bentaknya geram.
“Aira!,”
Pantas tangannya menarik lengan Elman. Tidak mahu berpaling melihat pemilik nama yang sedang melaung namanya itu. Elman kaku tidak bergerak. Mula serba-salah. Yang menarik tangannya seorang teman baik. Yang sedang menjerit di belakangnya juga seorang teman baik.
“Kau nak balik ke tak nak?,”bentak Aira geram.
“Ashraf panggil kau tu...,”
“Peduli apa aku. Kau nak layan dia, kau layan. Aku pergi,”Aira membentak lagi. Lengan Elman dilepaskan dan terus berlalu keluar dari perkarangan balai polis. Tidak mahu melihat wajah yang telah membuat sekeping hati perempuannya hancur lebur.
“Aira! Tunggu!,”
Elman mengeluh perlahan. Mencapai lengan Ashraf yang mula mengatur langkah untuk mengejar Aira. Ashraf berpaling. Menghadiahkan satu renungan tajam buat Elman. Dengan wajah sedikit serba-salah, Elman memandang ke arah seorang gadis yang tegak berdiri tidak jauh darinya, sekaligus membawa pandangan Ashraf ke arah yang sama. Melihat muncung panjang wajah gadis yang tajam merenungnya itu, Ashraf mengeluh berat. Dia di dalam dilema. Siapa yang harus dia pilih kini?
“Ini semua kau punya pasal,”dia berbisik keras, sambil mencerlung wajah Elman.
“Apa pulak? Takkan aku nak tengok aje kau tipu Aira macam tu...,”
“Aku bukan tipu dia lah,”
Elman membuang pandang. Bukan tipu konon.
“Bini kau dah nak meletup tu. Pergilah,”
Ashraf merengus. Memandang wajah isterinya yang kelihatan cukup tidak berseri di dalam persalinan baju pengantin putih gading yang sangat indah.
“Kenapa kau beritahu Aira?,”
“Dia memang patut tahu. Nasib kau baik, Aira campak mercun bola tu kat kek kahwin tiga tingkat kau tu aje. Kalau aku, aku campak dalam seluar kau...,”Elman bersuara selamba. Kesempatan untuk menghambur rasa tidak puas hati pada Ashraf digunakan sepenuhnya.
“Mulut kau...,”
Elman mengeluh perlahan.
“Aku mintak maaf. Aku cuma rasa, Aira patut tahu apa yang sedang berlaku. Kau bersikap tidak adil pada dia. Tapi, serius... aku tak sangka tindakan Aira sampai macam ni sekali. Aku nak pergi tengok Aira. Aku tahu dia tengah sedih gila. Kau pergilah pujuk wife kau tu. Sure wife kau pun tengah sedih gila tu,”
Ashraf kelu. Dia mahu pastikan Aira tidak apa-apa. Namun, pastilah tidak wajar dia tinggalkan isterinya yang sudah seperti nenek kebayan tersilap baca mentera itu. Sungguh hatinya berat mahu mengejar Aira.
“Nanti aku cari Aira,”
“Sekarang ni, wife kau lebih penting. Kau datang jumpa Aira pun, bukan boleh ubah apa-apa,”
“Aku tak mahu Aira sedih,”
Elman tergelak kecil.
“Aira tu, bukan setakat sedih. Dah hancur semua harapan dia pun. Kalau bukan sebab kecewa, kau rasa dia akan bertindak macam tu ke?,”
Ashraf terdiam. Elman menepuk perlahan bahunya sebelum berlalu. Meninggalkannya sendiri di bawah remang mentari petang.
“Kenapa abang tarik balik report tu?,”
Ashraf sedikit tersentak. Segera dia berpaling. Wajah isterinya yang masih ada sedikit sisa krim kek itu dipandang lama.
“Jom kita balik,”
“Lina tak puas hati. Dia dah rosakkan majlis kita! Abang pulak boleh suruh mama tarik balik report tu?,”
Ashraf memandang wajah Salina dengan pandangan kosong. Perlahan mencapai jemari isterinya.
“Kita balik,”
“Tak nak! Lina tak puas hati. Dia dah rosakkan majlis kahwin Lina!,”Salina membentak sambil merentap jemarinya daripada genggaman Ashraf.
“Tak nak balik sudah. Duduk sini,”Ashraf bersuara sambil mula mengatur langkah. Kali ini, kepalanya buntu untuk mencari ayat memujuk. Kepalanya penuh dengan wajah Aira.
“Abang!,”Salina menjerit. Membentak sambil menghentak kaki geram. Kemudian menjerit lagi sambil mula merengek.
Ashraf menoleh. Salina sudah tiada di belakangnya.
“Abang! Tolonglah...,”
Dia tunduk. Salina sudah terduduk ke tanah.
“Laaa.... yang duduk kat tanah tu kenapa pulak?,”
“Lina jatuhlah. Tumit kasut patah. Kaki Lina sakit ni...,”
Ashraf mengeluh perlahan. Segera menghulurkan tangan membantu Salina berdiri bersama tangis panjang. Kasut segera ditanggalkan sambil dia melangkah perlahan. Sakit. Pasti kakinya sudah terseliuh.
“Ini semua perempuan tu punya pasal!,”
“Lina yang jatuh, kenapa Aira pula yang salah?,”
“Oh..jadi nama dia Aira? Siapa dia tu bang?,”
Ashraf diam. Tidak mahu mencetuskan pertengkaran. Lebih-lebih lagi melihat ibunya sudah bercekak pinggang di tepi kereta.

***

Pipinya yang basah diseka lagi. Puas dipujuk mata itu agar jangan lagi mengalirkan air mata. Namun, dia gagal. Sungguh dia kecewa. Kecewa yang bukan sedikit. Sewenangnya kesetiaannya dipermainkan. Teringatkan senyum bahagia Ashraf di pelamin, hatinya kembali terasa bagai disiat-siat. Teringat pula pada tindakan spontannya yang menyeluk saku kemeja –T Elman. Mengeluarkan mercun bola yang ada di dalam saku kemeja –T lelaki itu. Teringat juga kek tiga tingkat yang sedia menanti saat untuk dipotong itu tiba-tiba hancur dek penangan mercun bola yang dia campak. Juga wajah Ashraf dan isterinya yang putih dengan krim kek. Dalam esakan yang bersisa, dia tergelak tiba-tiba. Terbayang semua itu sekali lagi, rasa lucu tiba-tiba berganti tempat.
“Aira. Kau okay ke?,”
Gelaknya semakin panjang. Elman di sisi mula menjarakkan diri. Tawa Aira kedengaran sedikit pelik.
“Weh! Kau jangan nak takutkan aku macam ni. Kau okay ke ni? Tak okay, aku hantar kau ke hospital,”  
Aira berpaling. Merenung wajah Elman yang sedikit cuak.
“Lawak gilalah. Kau tengok tak muka dia orang tadi? Putih macam muka hantu kena krim kek. Rugi tak ambil gambar,”
Elman menahan senyum. Kejam rasanya tolong ketawakan situasi Ashraf. Namun, sebaik bayangan yang sama muncul di kepala, spontan juga pecah tawanya. Tergamam Ashraf dan Salina yang bergerak ke arah kek untuk acara potong kek, apabila satu letupan tiba-tiba berlaku.
“Aku rasa wedding dia orang paling bersejarah kat Malaysia kot,”tambah Elman sambil terus menyambung gelaknya. Aira turut ketawa besar.
“Padan muka dia!,”
Elman menggeleng sambil cuba menahan gelak.
“Tapi... aku tetap rasa sedih...,”nada suara Aira mula berubah. Kembali sebak. Tawa juga hilang perlahan-lahan. Dia tertunduk sambil menarik kedua lutut rapat ke dada. Malam ini, Ashraf bukan lagi miliknya. Malam ini, Ashraf bakal melayari kehidupan baru. Kehidupan baru yang dalam angannya, cuma ada dia. Tetapi, rupa-rupanya, Ashraf tidak pernah mahu memilihnya.
“Agaknya apa yang dia orang tengah buat sekarang ya?,”dia bersuara pilu. Merenung jauh ke tengah padang permainan. Membiarkan air mata bertamu semula di birai mata. Elman terdiam. Inilah yang tidak sanggup dia lihat.
“Dia janji, cuma aku yang akan jadi pengantin dia. Dia janji nak bawa aku honeymoon kat oversea. Dia janji nak buat wedding yang cukup meriah untuk kami...,”
“Aira, berhenti sakitkan hati sendiri. Jangan ikut rasa sedih tu,”
“Siapa perempuan tu? Kau kenal dia? Kau tahu kan, selama ni dia tipu aku?,”
Elman mengeluh perlahan. Ada rasa bersalah pada gadis ini.
“Itu tunang dia. Dah tiga tahun dia orang bertunang. Perempuan tu baru habis belajar kat oversea. Balik ke sini, terus kahwin,”
Aira tergelak kecil. Tiga tahun bertunang? Jadi, selama dua tahun ini, dia menjalinkan hubungan cinta dengan tunang orang?
“Kenapa hari ni baru kau nak beritahu aku semua ni? Kenapa tak beritahu awal-awal? Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal yang Ashraf dah bertunang?,”
“Dia yang larang. Dia cakap dia memang cintakan kau. Dia cakap, dia memang nak putuskan pertunangan dia dengan Salina,”
“Cuma cintakan aku? Kau tengok tak muka bahagia dia kat atas pelamin? Kau tengok tak?,”
“Aku sanggup simpan rahsia ni, sebab aku ingat dia memang betul-betul cintakan kau. Tapi, bila dia cakap dia nak kahwin and teruskan hubungan dengan kau, aku rasa ini tak adil untuk kau. Sebab tu aku beritahu kau semua ni,”
Aira tunduk lagi. Memang dari awal Ashraf berniat untuk terus membohonginya. Perlahan air mata diseka lagi.
“Sakit hati aku dia buat macam ni. Aku sayangkan dia sangat-sangat. Aku cintakan dia. Aku dengar semua cakap dia. Tapi, dia tipu aku hidup-hidup. Aku tak akan maafkan dia,”
“Aku tahu semua ni sukar untuk kau. Tapi, aku juga tahu, kau seorang yang kuat. Kau pasti boleh lalui semua ni,”
Aira mengeluh perlahan. Perlahan mengangkat punggung.
“Aku nak baliklah,”
“Nak aku temankan?,”
Aira menggeleng perlahan. Elman mengeluh kecil.
“Sure kau okay ni?,”
Perlahan dia menjongket bahu.
“Kau jangan bunuh diri...,”
Aira menjeling tajam. Elman tersengih.
“Okay. Kau masih waras. Bermakna kau memang okay. Apa-apa hal, call aku,”
“Thanks, Man. Aku balik dulu,”ujar Aira sambil menepuk perlahan bahu Elman. Elman mengangguk. Berdiri tegak melihat Aira mengatur langkah meninggalkannya. Sekali lagi dia mengeluh panjang.


*******

Friday, December 30, 2011

Biarkan YM Terus Bicara 6

            Aku garu kepala. Yang mana satu ni? Sesekali aku menjenguk ke pintu dapur. Mahu bertanya, tetapi aku malu. Malu pada Mia yang tekun menemani Abang Kamal. Sudahnya aku terduduk di tunggul kelapa yang sudah kontot. Memandang Atok yang melingkar di kaki. Memang satu kesilapan aku ingkar pada nasihat ibuku yang satu ini.
            “Yang mana satu ni, Atok? Akak tak tahu ni,”
            Atok cuma mengingau halus. Aku mengeluh risau. Pasti Atok pun sedang keliru macam aku. Sekali lagi aku menggaru kepala.
            “Nanti kalau akak tanya, mesti Mia gelakkan akak. Malulah akak,”
            Atok mendongak merenung wajahku dengan matanya yang bercahaya. Tumpang simpati untukku barangkali.
            “Haaa… kenapa akak lupa ya. Kan Sherry ada…,”aku terjerit lega. Teringat pada tetamuku yang baru tiba itu. Senyum melebar tiba-tiba. Memang cutiku untuk menjengah ibu, kali ini cukup meriah. Kebetulan hari ini Abang Kamal datang ke rumah, Sherry pula baru pulang menjenguk ibunya. Jadi, riuhlah rumahku hari ini. Sejak berkahwin, memang bukan selalu aku dapat berjumpa dengan Sherry dan Abang Kamal.
            “Kenapa sayang?,”
            Aku tersentak. Segera berpaling. Encik Firdausku sudah tercegat di belakang. Aku tersenyum panjang.
            “Mana Sherry?,”laju aku bersuara.
            “Ada kat atas. Kenapa?,”
Mendengar soalan Encik Firdaus, kepala kugeleng perlahan.
“Nak pegang baby?,”Encik Firdaus bertanya lagi.
            Soalan yang membuat aku tersengih sambil melihat Qalisha yang selesa di dalam pelukan Encik Firdaus. Perlahan aku mengangkat punggung. Melayangkan satu ciuman ke pipi gebu Qalisha. Tembam dan comel.
            “Comelnya dia. Comelnya dia…,”agahku sambil menyentuh hujung jari Qalisha yang kecil.
            “Kedekutlah mama Tiya ni. Untuk Lisha aje.  Untuk Papa Fir tak ada pun,”
            “Apa yang tak ada?,”
            Encik Firdaus tersenyum sambil suakan pipi.  Aku tersenyum lebar sambil jelirkan lidah.
            “Kedekut…,”rungutnya separuh bergurau. Aku cuma tersenyum.
            “Kenapa cari Sherry?,”
            Soalan itu membuat aku sedar yang aku hampir terlupa pada pesanan Abang Kamal.
            “Err…nak tanya dia, mana satu daun limau purut ni?,”
            Encik Firdaus tergelak besar.
            “Apa? Tak tahu daun limau purut ke?,”soalnya kuat membuat mataku membulat.
            “Abang ni. Nanti orang dengarlah,”
            “Ok..Ok… Apa? Tak tahu daun limau purut ke?,”Encik Firdaus mengulang soalan yang sama dengan nada perlahan. Aku menjeling. Tahu, dia memang sengaja menyindir.
            “Abang ni….,”
            Encik Firdaus terus menyambung gelak.
            “Itulah. Suruh duduk rumah. Sibuk nak ikut mummy jaga butik. Kalau duduk kat rumah kan, boleh belajar masak,”
            “Mummy yang ajak. Bukan Tiya nak ikut,”
            Encik Firdaus mengukir senyumnya yang sentiasa menawan itu sambil menggeleng perlahan. Gelengan pun seperti mahu menyindir.
            “Abang tahu ke?,”soalku sambil berpeluk tubuh. Geram pula melihat senyum yang menghiasi bibir itu.
            Encik Firdaus bergerak ke arah pagar kecil yang meletakkan pelbagai jenis pokok di dalamnya.
            “Yang ni, sayang,”
            Mataku mengikut arah telunjuk Encik Firdaus. Segera aku memetik beberapa helai daun yang didakwa Encik Firdaus sebagai daun limau purut. Betul la kot. Aku membuat penilaian sendiri.
            “Betul ni, bang?,”
            “Betullah,”
            “Macam mana abang tahu?,”
            “Dulu abang selalu temankan Mia shopping barang dapur. Mia suka memasak,”
            “Oooo…,”balasku kaku. Seperti biasa, apabila nama Mia yang disebut-sebut, hati ini pasti menjadi murung. Teruk betul. Padahal Mia tidak pernah menganggap dirinya pesaing aku. Cemburu butakah aku ini?
            “Hmmm…mama Tiya dah tarik muncung… dah jealous lah tu…,”
            “Tak lah,”laju aku bersuara sambil berpaling. Bersua dengan wajah jelita Mia. Aku tersengih.
            “Ada tak?,”Mia bersuara bersama senyumnya yang sentiasa manis. Bertuah Abang Kamal.
            “Ada,”laju aku menjawab sambil menghulurkan beberapa helai daun di tanganku kepada Mia. Mia tersenyum. Helaian daun bertukar tangan.
            “Abang Kamal you risau, takut you tak kenal daun limau purut,”Mia bersuara bersama gelak halus.
            Aku tersengih. Gelak Mia bagai satu sindiran, walaupun aku tahu gadis itu langsung tiada niat sebegitu.
            “You ni… takkanlah wife I ni, tak kenal daun limau purut kot. Kan, sayang kan?,”Encik Firdaus pula bersuara, menambahkan lagi rasa malu pada diri sendiri ini. Mia tergelak. Encik Firdaus tersenyum panjang.
            “Ok. I nak masuk. Kamal waiting for this. Dia nak masak paprik campur,”
            “You?,”
            “Hari ni, I jadi assistant aje,”
            Encik Firdaus tersenyum. Mia berlalu masuk ke dapur. Aku berpaling. Memandang wajah Encik Firdaus. Lama.
            “Kenapa?,”soalnya perlahan.
            Aku tersenyum. Mengalihkan pandangan ke wajah mungil Qalisha. Langsung tidak meragam berada di dalam dukungan Encik Firdaus. Encik Firdaus pula, langsung tidak kelihatan kekok mengendong tubuh kecil Qalisha.
            “Kenapa Tiya? Mesti ada something bermain kat kepala tu kan?,”
            “Tak ada apa-apa,”
            Encik Firdaus tersenyum tidak percaya.
            “Tell me,”
            Aku mengeluh. Bukannya aku boleh berahsia dengan Encik Firdaus. Perlahan aku melangkah bersaing dengan langkahnya yang tidak begitu laju.
            “Tiya tanya sikit, boleh?,”
            “Boleh. Tapi, dengan satu syarat,”
            Aku menjeling. Lebih kepada jeling mengada-ngada sebenarnya.
            “Pegang Lisha. Penatlah,”
            Aku sengih. Melihat tubuh kecil Qalisha aku jadi sedikit gerun. Jadi sedikit trauma bila teringatkan aku berjaya membuat Qalisha tergolek dari ribaku tiga bulan yang lalu. Cuak betul aku selepas kejadian itu. Lebih-lebih lagi bila teringatkan tangisan Qalisha yang nyaring.
            “Takutlah bang,”aku bersuara perlahan. Dari riba ke lantai, tidaklah tinggi mana. Tapi, bila aku bayangkan dari dukunganku ke tanah, aku jadi gerun. Tinggi tu.
            “Takut kenapa?,”
            “Nanti jatuh macam dulu,”
            Encik Firdaus tergelak.
            “Tak adalah. Masa tu, Lisha baru tiga bulan. Sekarang dah besar sikit. Dah tak susah nak pegang pun. Kan Lisha kan…,”ujar Encik Firdaus sambil mengagah anak kecil itu. Aku tersenyum senang. Jelas terpamer sifat kebapaan suamiku ini. Dalam rasa sedikit bimbang, aku mendukung Qalisha. Erat kupeluk ke dada. Bimbang terlepas dari peganganku.
            “Boleh kan?,”
            Aku mengangguk. Encik Firdaus regangkan kedua-dua tangannya. Betullah penat agaknya.
            “Semangat betul anak dara Cik Sherry ni ya,”aku bersuara separuh mengagah. Lebar senyumku melihat Qalisha tersenyum.
            “Dia senyum bang…,”
            Encik Firdaus tersenyum. Perlahan memaut pinggangku sambil turut mengagah. Melihat senyum Qalisha kami sama-sama tergelak.
            “Cutenya….,”aku bersuara sambil terus mengagah.
            “Hai… kat sini ya anak dara mama. Ganggu Papa Fir dating ya?,”
            Aku mengangkat muka. Sharifah melangkah santai menghampiri kami.
            “Aku baru nak dukung…,”
            “Nak dukung…. Mengandunglah. Kemudian bersalin…,”selamba Sharifah bersuara sambil mengambil anaknya dari peganganku. Aku mencemik membuat Sharifah tergelak. Encik Firdaus tersenyum cuma.
            “Dah berapa bulan ya?,”
            “Enam bulan dua puluh tiga hari setengah. Malam sikit cukup dua puluh empat hari,”selamba Encik Firdaus yang menjawab soalan yang aku tujukan kepada Sharifah.
            “Amboi. Bukan main ingat lagi,”aku bersuara separuh kagum.
            “Mestilah. Sama usia dengan perkahwinan kita,”
            Aku tersenyum panjang. Lupa. Qalisha menjengah dunia pada malam perkahwinan kami.
            “Mama Tiya ni, memang tak sayang papa. Berapa lama kahwin dengan papa pun dia tak ingat,”
            Sharifah tergelak. Aku pamerkan senyum bersalah.
            “Bukan tak ingatlah. Tapi, tak perasan,”
            Encik Firdaus menjeling. Lembut jelingannya membuat aku yang tersenyum malu.
            “Aku nak bagi susu kat Qalisha ni. Aku ke atas dulu. Saya pergi Encik Firdaus,”
            Aku cuma mengangguk sambil memandang Sharifah berlalu bersama Qalisha. Kemudian tersenyum apabila terasa pautan tangan Encik Firdaus makin erat di pinggangku.
            “So, apa Tiya nak tanya abang tadi?,”
            “Tanya?,”
            Encik Firdaus merenung wajahku.
            “Tadi cakap nak tanya sikit,”
            “Sikit sangat kot, sampai Tiya pun dah lupa,”aku berseloroh sambil tergelak kecil. Encik Firdaus menghadiahkan satu renungan tidak puas hati. Membuat mindaku bekerja keras cuba mengingati apa sebenarnya soalan yang ingin aku ajukan. Terdengar gelak Mia di dapur, aku jadi teringat. Namun, baru sahaja aku ingin membuka mulut, aku batalkan niat itu. Memberi perhatian kepada langkah laju ibuku yang tiba-tiba muncul di halaman.
            “Lajunya mak. Nak ke mana ni?,”
            “Tanya pula. Kan dah nak masuk time makan tengahari ni. Mari tolong mak masak. Boleh belajar sekali,”
            “Tak boleh mak. Tiya baru kena halau,”
            “Kena halau?,”
            “Abang Kamal booking dapur. Tak mahu orang kacau dia masak. Mia aje yang dia izinkan,”
            “Bila Kamal datang?,”
            “Lepas mak pergi kelas agama tadi. Sherry pun ada kat atas tu, mak. Baru sampai,”
            “Ya ke?,”
            Aku mengangguk.
            “Mak jenguk mereka kejap,”
            Aku mengangguk lagi. Seperti biasa, laju kaki ibuku melangkah meninggalkan kami.
            “Yalah tu, kena halau…,”Encik Firdaus bersuara separuh mengusik.
            Aku tersenyum.
            “Betullah bang. Lagipun, Tiya segan nak tolong sebab Mia ada. Nanti Mia tahu Tiya tak pandai masak,”
            “Bukan tak pandai…,”
            “Dah tu?,”
            “Tak pandai langsung,”balas Encik Firdaus bersama gelak besar. Aku jegilkan mata.
            “Abang…,”
            Encik Firdaus terus tergelak.
            “Dah tahu Tiya tak pandai masak, kenapa kahwin dengan Tiya?,”aku merungut. Sudah separuh merajuk.
            “Abang cari isteri. Bukan cari tukang masak,”Encik Firdaus bersuara. Lembut dan merdu bunyinya di telingaku. Rajukku hilang entah ke mana. Berpaling memandang wajah Encik Firdaus.
            “Abang… kenapa abang tak pilih Mia ya?,”soalku lambat-lambat. Memang itu pun soalan yang ingin aku tanyakan pada Encik Firdaus tadi.
            “Sebab abang dah pilih Tiya,”
            “Yalah. Maksud Tiya, sebelum abang kenal Tiya lah. Abang kan dah lama kenal Mia. Mia tu, sempurna tau. Baik… pandai masak…bijak… cantik…,”
            “Hmm…nanti abang fikirkan,”
            “Fikirkan apa?,”
            “Nak kahwin dengan Mia,”
            Aku ternganga. Encik Firdaus gelak besar. Namun, cuma seketika, kerana selepas itu dia menyeringai kesakitan. Padan muka. Sekuat hati hati aku cubit lengannya.
            “Sakit sayang…,”
            Aku menjeling. Ada hati nak fikirkan? Memang sengaja buat aku marah. Memang saja cari penyakit.
            “Marah ke?,”Encik Firdaus berbisik lembut.
            “Tak. Geram aje,”
            Encik Firdaus tersenyum. Memalingkan tubuhku menghadap wajahnya.
            “Nurul Adiya Fatiha. Cinta ni, bukan boleh dipaksa. Abang dah jumpa cinta abang. Susah nak dapat. Takkanlah bila dah dapat, abang nak sia-siakan pula. Abang cintakan Tiya. Tak perlu kesempurnaan kalau hati  kita dah suka kan?,”
            Aku termangu. Kemudian tertunduk malu. Biasalah. Bila Encik Firdaus dah mula romantis sebegitu, kelulah jadinya lidah ini. Berbunga-bunga hati ini mendengar bicara itu.
            “Cuma…satu saja,”
            “Cuma apa bang?,”
            “Abang teringin nak dukung baby,”
            “Baru dukung tadi, nak dukung lagi? Pergilah dekat Sherry,”aku bersuara sambil tergelak kecil. Menggeleng sekali. Betul-betul kemaruk baby suamiku ini.
            Encik Firdaus tersenyum.
            “Abang nak baby kita,”
            Gelakku mati serta-merta.
            “Kita?,”
            “Yalah. Kenapa?,”
            Aku sudah tersenyum kelat. Mendengar cadangan itu membuat hatiku kecut. Teringat cerita ngeri Sharifah. Pengalaman Sharifah mengandungkan Qalisha. Pengalaman melahirkan. Pengalaman berpantang. Semuanya menakutkan.
            “Nantilah dulu. Kita baru aje kahwin,”
            “Tak salah pun. Kan?,”
            Aku tersenyum. Tiba-tiba perut terasa memulas. Parah. Darah gemuruhku sudah datang. Itu baru mendengar cadangan.
            “Takkan dengar cadangan abang, sampai pucat macam ni sekali mukanya. Nak tangguh sebab baru kahwin ke, Tiya takut nak pregnant?,”
            Aku menyentuh wajah. Pucat ke?
            “Pucat ke?,”soalku sambil menampar pipi yang terasa kebas.
            “Ya, sayang,”
            Aku tersenyum nipis. Ketara benarkah ketakutanku ini?
            “Abang tak paksa, sayang. Jangan risau sangat ya,”
            Aku diam. Melihat senyum lebar Encik Firdaus, aku jadi bahagia. Teringatkan cadangan untuk mengandung, perutku memulas lagi.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: