Monday, August 24, 2009

Danny Delaila 1

“Bila kamu nak balik ni, Danny?,”
“Entahlah mak. Lagipun, Danny sibuk sekarang ni. Banyak pula majlis kahwin. Dengan andam lagi, catering lagi. Macam-macam lagilah mak,”
“Ikutkan kerja kamu tu.. memanglah tak ada masa free. Hari-hari ada orang kahwin,”
Daniel tergelak sambil menutup mulut.
“Kamu juga yang tak kahwin-kahwin. Sibuk aturkan perkahwinan orang…,”
Kali ini dia diam. Mendengar perkataan kahwin, membuat dia tiba-tiba teringatkan seraut wajah yang tidak pernah mampu dia padamkan.
“Delaila apa khabar, mak?,”laju soalan itu meluncur di bibir.
“Sihatlah. Baliklah,”
“Mak ajelah datang KL. Saya tak nak balik sana,”
“Sampai bila kamu nak bawa hati macam ni? Baliklah. Cuba-cuba curi hati Delaila tu. Itu lagi bagus daripada kamu duk merajuk sorang-sorang macam ni ,”
“Alaa.. bukan dia nak pandang lelaki macam saya ni mak. saya ni, tak macho..tak hebat macam lelaki-lelaki lain,”
“Itu kamu yang cakap. Belum cuba belum tahu,”
“Dah cubalah tu , mak. Kecil hati saya bila Delaila tolak saya, mak,”
“Alah… kena tolak sekali dah nak merajuk panjang. Baliklah. Cuba tackle balik. Mana tahu dapat,”
“Tengoklah mak. Nanti saya cari masa free…saya balik,”
“Maknanya memang tak nak baliklah tu. Nak tunggu Delaila kahwin dengan orang lain, baru nak balik?,”
Daniel terdiam. Delaila kahwin dengan orang lain? Gerunnya dia memikirkan kemungkinan itu.
“Nanti saya balik. Minggu depan saya balik, mak,”tiba-tiba laju kata-kata itu meluncur dari bibirnya. Bukan sekali dua ugutan itu bermain di bibir ibunya. Namun, ugutan kali ini terasa meresap ke hati. Adakah itu bermakna hati Delaila kini sudah dimiliki?
“Haa..bagus. mak tunggu kamu balik. Asyik mak saja nak kena pergi KL. Sepatutnya anak jenguk mak, bukan mak jenguk anak,”
Daniel tergelak halus.
“Mak ni… ke situ pula. Okaylah mak. Nanti saya balik. Mak..kirim salam kat Mak Som ya,”
“Hmm.. yalah. Kamu, jaga diri,”
“Err….mak. Kat Delaila juga ya,”
Ibunya tidak lagi menjawab. Cuma tergelak sebelum talian terputus. Dia tersenyum. Delaila. Indahnya nama itu. Seindah perasaannya tiap kali wajah itu bermain di fikirannya. Selintas dia senang melayan kenangan lalu.
“Assalamualaikum semua. Saya kenalkan diri ya. Nama saya Danny. Eh, Sorry. Nama saya Daniel. Daniel Hakim,”
“Bin ke binti?,”
Sekilas Daniel menjeling pada suara yang bertanya. Dia diam sambil tercegat di tengah kelas. Geram. Sakit hati mendengar riuh gelak di dalam kelas. Dia tahu satu kelas ketawakan dia. Tawa itu membuat wajahnya bertukar warna. Malu. Dia memandang wajah guru kelas yang masih tidak dia tahu namanya itu. Mohon simpati. Mohon bantuan.
“Sudah…sudah… Biarkan Daniel habiskan cakap dia. Senyap semua!,”
Daniel tersenyum sedikit.
“Terima kasih cikgu,”Daniel bersuara sambil mengangguk lembut. Membetulkan dirinya di hadapan kelas. Dia perlu kuatkan semangat. Dia perlu buang rasa malu ini. Dia mesti jadi seorang yang yakin pada diri sendiri. Dia tidak perlu berasa rendah diri. Dia tidak perlu berasa dia berbeza dari semua rakan baru di dalam kelas ini. Itu nekadnya!
“Saya dari KL,”tegas dia meyambung cerita. Mengukir senyum buat hilangkan resah sendiri.
“Kandang lembu ke?,”
Sekali lagi suasana kelas menjadi hingar. Daniel menjeling. Suara dari orang yang sama.
“Kuala Lumpurlah!,”dia tinggikan suara sambil mengetap bibir. Geramnya!
“Zakry. Sudah. Jangan nak menyakat,”
“Betul tu. Menyampah tau! Sudahlah tu cikgu. Saya tak nak cakap lagilah,”lembut suara Daniel memohon izin agar sesi memperkenalkan diri ditamatkan sahaja. Tidak suka terus menjadi objek gurauan di hadapan kelas.
“Alololo…manjanya dia. Dia dah merajuklah,”
“Zakry! Lagi sekali saya dengar suara awak, berdiri junjung bakul sampah tu kat luar kelas,”
Mendengar amaran itu, Daniel tersenyum simpul. Segera membawa jemarinya ke mulut. Lucu mendengar hukuman yang bakal diberikan. Pandangan dilempar pada Zakry yang sudah diam.
“Padan muka,”cebiknya sambil menjeling. Dan, dia Nampak Zakry mencebik. Dia pula, membalas cebikan itu sambil jelirkan lidah.
“Oklah Daniel. Awak sambung lagi,”
“Nak kena sambung ke cikgu? Ingat dah habis,”
“Belum. Cerita sikit latar belakang keluarga awak. Kenapa awak bertukar sekolah. Dan apa-apa yang awak rasa awak nak kongsi dengan kami,”
Daniel diam sejenak. Berfikir-fikir tentang apa yang mahu dikongsi bersama rakan-rakan baru di hadapannya.
“Hmmm… apa ya? Saya pindah ke sini, sebab ayah saya ditukarkan bertugas ke sini. Saya anak tunggal. Tinggal dengan mak dan ayah saya. Saya suka menjahit. Saya suka cipta fesyen baru. Memasak pun saya suka. Saya suka masak kuih, Suka…,”kata-katanya putus lagi. Kelas bising lagi. Tanpa sedar dia menghentak kaki. Melepaskan geram.
“Cikgu!,”dia berpaling menagih bantuan. Namun, senyum yang turut terukir di bibir guru muda di sebelahnya mematikan suaranya. Dia menjeling lagi. Semua ketawakan dia. Cikgu pun sama!
“Sorry. Okay Daniel. Awak boleh duduk di tempat awak. Delaila…Daniel duduk sebelah awak,”
Daniel tercari-cari pemilik nama Delaila. Mana hendak diletakkan punggungnya ini?
“Sinilah. Tempat awak kat sini,”
Dia memandang ke satu sudut di bahagian belakang kelas. Seorang pelajar perempuan berdiri menunjukkan meja yang kosong di sebelahnya. Dia tersenyum panjang. Itu Delaila rupanya. Laju langkah diatur mendekati gadis itu. Beg sekolah yang sedikit kosong disangkut pada kerusi dengan cermat. Kemudian, perlahan dia keluarkan tisu dari poket seluar. Lap kerusi yang kelihatan sedikit berdebu. Dia tersenyum pada Delaila yang merenung tajam ke arahnya.
“Hai Delaila…,”sapanya sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Perlahan dan sopan. Membuat Delaila tersenyum panjang sambil menggeleng. Kemudian memalingkan muka memandang terus ke hadapan.
“Hurm…saya nak panggil awak apa ya? Awak boleh panggil saya Danny?,”
“Uish…pleaselah. Janganlah skema sangat. Saya…awak….eeeeeeee,”
“Dah tu, nak panggil apa?,”
“Apa-apalah,”
“Saya panggil Delaila ya? Saya suka nama awak. Macam special. Siapa bagi nama tu kat awak?,”
Delaila menoleh.
“Adik ipar kakak mak saya,”
Daniel ternganga. Siapa tu? Perlahan dia menggaru kepala sambil memandang wajah selamba Delaila.
“Ayah akulah.”Delaila bersuara apabila menyedari wajah Daniel yang masih terkulat-kulat.
“Ayah awak? Adik ipar…kakak..mak…awak? Oh… ya..ya.. betul. Ayah awaklah. Pandai awak buat lawak,”mengekek Daniel tergelak sambil menutup mulut, menyedari kegagalan dia menangkap apa yang cuba Delaila sampaikan. Delaila memandang tanpa senyum. Tanpa reaksi. Tanpa perasaan sebenarnya.
“Entah apa-apalah kau ni,”
Daniel tersenyum.
“Delaila…Daniel. Saya tahu banyak yang awak nak bualkan. Tapi, tunggu sampai habis kelas saya ya. Sekarang kita mulakan pelajaran kita hari ni,”
Delaila mencebik. Suara amaran Cikgu Badri dibalas dengan anggukan perlahan.
“Maaf, cikgu,”Daniel pula memohon maaf dengan penuh budi bahasa. Membuat Delaila menggeleng lagi. Cikgu Badri tersenyum sambil bergerak ke mejanya. Mencapai buku latih tubi ekonomi. Melihat buku itu dicapai, satu kelas menyelongkar beg. Mencari buku masing-masing.
“Saya tumpang tengok buku awak, boleh?,”
Delaila menoleh. Daniel tersenyum.
“Boleh ya. Saya belum ada buku ni,”
“Tengoklah…,”
“Terima kasih…,”
“Kalau tak malu,”
Senyum lebar Daniel mati tiba-tiba. Tubuhnya yang sedikit terangkat sambil dia mengangkat sekali kerusinya, juga mati tiba-tiba. Terkedu. Delaila tergelak.
“Sensitiflah kau ni. Nak tengok, tengok jelah. Tak payahlah nak minta permission segala,”
Bibir Daniel terukir senyum semula.
“Awak gurau ya?,”
Delaila mencebik sambil menggeleng. Malas menjawab soalan tidak mencabar itu, Delaila terus membuka buku latihan latih tubi ekonomi di hadapannya.
“Tapi, ada syaratnya tahu,”
Mendengar bisikan Delaila, Daniel mendekatkan telinganya.
“Syarat? Syarat apa?,”soalnya turut berbisik.
“Kalau kau nak share tengok buku ni, lepas ni, Cikgu Badri bagi latihan, kau kena buat. Faham?,”
“Awak buli saya ke?,”
“Tak adalah. Aku cuma nak kau pandai. Itu tolong namanya. Bukan buli…,”Delaila berbisik lagi. Daniel mengangguk perlahan. tidak jadi menjawab apabila mata Cikgu Badri sudah tajam merenungnya. Dia tersengih sambil mengangguk perlahan. Isyarat meminta maaf kerana melanggar arahan guru itu secara tidak sengaja.
Senyum di bibir semakin melebar. Itulah detik perkenalannya dengan Delaila. Tidak mungkin akan dia lupakan sampai bila-bila. Hatinya tiba-tiba tertanya-tanya, apalah yang sedang Delaila lakukan saat ini? Masih ingatkah gadis itu pada dia? Atau sedang bahagia bersama idaman hati? Teringatkan hal itu, tiba-tiba senyumnya bertukar pahit.
“Kenapa? Sebab aku tak macho macam Khairul ke?,”
“Kau ni. Nak marah, marah sajalah. Janganlah sebut nama lelaki hampeh tu!,”
“Hampeh pun, kau tunggu juga kan?,”
“Aku tak tunggu dialah,”
“Dah tu, kenapa kau tak nak kahwin dengan aku? Aku betul-betul sayangkan kau Delaila,”
“Aku tak bolehlah,”
“Kenapa? Kau geli dengan aku ke?,”
“Bukanlah. Bukan itu sebabnya. Aku belum bersedia nak kahwinlah. Banyak lagi benda aku nak fikir,”
“Aku tahu. Kalaulah sekarang ni, yang ajak kau kahwin tu, Khairul…mesti kau terus terima. Kan? Aku sedar diri aku siapa Delaila. Aku tahu aku tak layak untuk kau,”
“Janganlah cakap macam tu, Danny. Kau kan kawan aku,”
Daniel tunduk sambil bermain dengan jemarinya. Tidak hiraukan Delaila yang memandangnya.
“Kau ni…Sentimental betul. Rajuk kau ni, saling tak tumpah rajuk wanita Melayu terakhir.Tahu tak?,”
Daniel bungkam. Gurauan Delaila sudah tidak kedengaran lucu di telinganya.
“Danny…. Sorry ya. Aku sayangkan kau Daniel. Tapi, kahwin? Belum sampai ke peringkat itu sayang aku pada kau. Maafkan aku ya?,”
“Kahwinlah dengan aku. Aku tak kisah kalau kau tak nak masuk ke dapur. Aku akan masak untuk kau. Kau malas nak kemas rumah, aku rajin. Kau malas nak basuh baju, aku sanggup basuh baju hari-hari. Aku sayang sangat pada kau Delaila. Sebab tu, apa pun kau kata kat aku, aku tak pernah marah. Aku tak boleh marah. Sebab aku sayang sangat,”
Delaila menggeleng perlahan.
“Sorry Danny. Aku tak boleh,”
Daniel tunduk lagi. Diam. Lama sebelum dia mengangkat muka semula.
“Kalau kau tetap tolak aku, aku pergi dari sini. Aku tak akan pulang ke sini. Janji aku satu saja. Kalau satu hari, aku kembali ke sini, sebagai lelaki sejati, aku akan bawa kau ke pelamin milik aku. Kalau saat itu, aku gagal juga, aku akan pergi dari hidup kau selama-lamanya,”
Daniel mengeluh pendek. Itulah rajuknya lima tahun tahun dulu. Rajuk yang memisahkan dia dengan gadis kesayangannya itu. yang membawa dia kembali semula ke Kuala Lumpur. Menjalankan perniagaan yang memang menjadi cita-citanya sejak sekian lama.
“Encik Danny…,”
Daniel tersentap. Jauh lamunannya. Dia mengangkat muka. Memandang wajah pembantunya di pintu bilik.
“Ada apa Pika?,”
“Datin Mastura dengan anak dia dah sampai. Nak suruh dia masuk atau, Encik Daniel nak discuss dengan mereka kat luar?,”
Daniel mengangkat tangan seketika, sambil lembut tangan itu kembali ke meja. Menyentuh antara hendak dengan tidak, kertas-kertas yang berselerak di situ.
“Give me five minutes. Saya mahu discuss kat luar saja. Awak bagi mereka tengok latest browser kita pasal wedding concept tu,”ujarnya sambil mengangkat muka. Menghadiahkan senyuman buat pembantunya itu.
“Okay…,”
“And, Pika. Please… one Nescafe for me,”
Pembantunya tersenyum lebar.
“Dah ready dah. Mana boleh tak ada Nescafe masa discussion. Kan?,”
Daniel tergelak kecil. Sudah masak rupanya pembantunya itu dengan keperluannya. Pika berlalu pergi dan dia, perlahan merapikan rambutnya yang memang sudah tersedia kemas. Pantas jemarinya menyusun beberapa majalah dia meja, bersama-sama lakaran-lakaran beberapa fesyen terbaru gaun pengantin. Berpuas hati dengan mejanya yang sudah kemas, segera dia bangkit dari kerusi. Membetulkan pakaiannya sebelum melangkah keluar. Jemari yang baru mahu dihayun ke bahu, segera dijatuhkan semula.
“Kau…kalau jangan jalan cat walk ala-ala Noami Campbell boleh tak?,”
Dia tersenyum sendirian. Cukup melekat di hatinya kata-kata Delaila yang satu itu.


****

PERCUBAAN DAHULU...

Saturday, August 22, 2009

SALAM RAMADHAN BUAT SEMUA...

Salam semua.
Salam manis dari saya untuk semua pengunjung blog yang saya kasihi. Memandangkan hari ini, hari pertama puasa, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh keihklasan dan keberkatan.
Sepanjang bulan puasa ini, saya tak mampu nak janjikan sebarang N3 baru. Cuma yang boleh saya katakan, saya akan cuba setakat yang terdaya.( InsyaALLAH kalau ada keizinan waktu, adalah..)
Yalah... rasanya sedikit bersalah pula pada diri sendiri, andai di bulan penuh keberkatan ini, kita dibuai dengan cerita-cerita fantasi sebegini. Ramadhan cuma datang sekali sahaja. Entahkan ini Ramadhan terakhir buat kita, pun kita tak pasti ( ingatan ini untuk diri sendiri yang sering lalai barangkali).
Namun, itu tidak bermakna saya tidak lagi menghargai pengunjung yang saya sayangi semua. Anggaplah ini sebagai cuti sementara, sekiranya kalian melihat terlalu lama N3 tidak berganti. :)
Pungguk di dahan teggek menunggu,
Menunggu bulan mengintai rasa
Rawan hati menggalas rindu,
Rindu tersemat di ranting jiwa,
Rindu tersemat di ranting jiwa,
Jiwa yang teguh menagih janji,
Janji kuikat takkan kulupa,
Menjelang Syawal, aku kembali...
Salam Ramadhan kepada pambaca yang di kasihi....
Salam manis,
hanni ramsul

Wednesday, August 19, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...(AKHIR)

“Kau buat apa tu?,”
“Makan Maggie…,”selamba aku menjawab soalan Jannah. Sengaja mahu membuat Jannah geram. Aku tersengih kemudian tergelak.
“Dah tengok aku tengah chat, lagi kau nak tanya,”
Jannah mencebik.
“Chat dengan Haniff ke?,”
Aku mengangguk.
“Kau dah tengok rupanya?,”
Aku menggeleng.
“Alaa.. mintaklah dia tunjuk picture. Aku nak tengoklah. Suruh MMS ke. Buat video call ke. Aku dengar suara dia hari tu, best. Mesti hensem orangnya. Kan? Yang bagusnya tu, langsung tak nak layan kita orang. Baik betul budaknya ,”
“Aku ada minta. Dia tak nak kasilah. Tengok live lagi syok. Dia cakap. And, for your information, suara yang best sangat ni, rupa tak berapa nak hensem lah,”
“Yalah tu…,”
Aku berpaling. Komputer riba aku abaikan buat seketika.
“Okay…kau dengar suara Mahathir Lokman? Best tak?,”
“Best…,”
“Lawa ke? Maksud aku hensem giler ke?,”
Jannah diam sambil menggaru dagu.
“Hmm…nak aku kasi contoh lagi?,”
“Bagilah,”
Aku tersengih. Siapa lagi? Aku pun tak tahu.
“Cukuplah. Nanti jadi sesi kutuk orang pula,”dalihku sambil berpaling semula ke screen computer.
“Kiranya kau seriuslah dengan mamat poyo kau ni?,”
Aku menarik nafas lega. Serius ke? Entah. Tak serius? Tak tahu. Sebab, aku seronok berkawan dengan Haniff. Kata-katanya sedap telingaku mendengar. Tiada pujuk rayu. Tiada janji manis. Itu yang membuat aku selesa. Lebih banyak kata-kata yang berbaur nasihat. Juga lebih banyak percakapan yang boleh buat aku dan dia sama-sama berfikir. Aku selesa begitu. Mungkin sebab aku sudah muak dengan kata-kata manis Zaquan.
“Buat apa nak memuja pada yang belum benar-benar jadi milik kita. Bagi saya, saya hanya akan mandikan kata-kata manis hanya pada perempuan yang menjadi teman hidup saya. Yang menjadi rusuk saya. Jadi, maaflah kalau Mesha bosan dengar saya bercakap tentang perkara yang tak boleh membuai perasaan Mesha. Memang saya sukakan Mesha. Tapi, Mesha belum mahu menjadi milik saya yang sebenar. Jadi, saya tak mahu berjanji dan, janji itu tak tentu dapat ditunaikan atau tidak,”
Tiba-tiba aku teringatkan kata-kata itu apabila aku bangkitkan perbezaan antara dia dengan Zaquan. Tidak tahu ucapan itu berbaur cemburu atau dia yang tidak mahu aku terus melayan perasaan indah yang sementara. Apa pun, kata-kata Haniff itu benar pada hematku.
“Mesha..aku tanya, kau diam pula. Jawablah,”
“Entah. Setakat berkawan kot. Lagipun, muka dia pun belum tengok lagi. Nanti dululah. Cuma, buat masa sekarang, aku senang dengan dia. Berbeza dari lelaki lain yang aku kenal,”
“Datuk tahu pasal ni?,”
“Aku ada cakap dengan Datuk Johan tu. Sebab aku tak nak nanti dia fikir aku permainkan perasaan dia pula. Yalah. Aku pun tak tahu perasaan dia yang sebenar. Kalau dia Cuma anggap aku ni macam anak dia, tak apalah. Tapi, kalau dia nak harapkan lebih, sekurang-kurang cerita aku tu, boleh ubah perasaan dia kot,”
“Apa dia cakap?,”
“Tak cakap apa-apa. Cuma dia cakap, pilih yang terbaik,”
“Hmm… macam bagi greenlight aje,”
Aku menjongket bahu. Yang penting, aku lega apabila berterus-terang dengan Datuk Johan tempoh hari.

Haniff_S: Ello..ada lagi ke ni. Diam saja.

Aku tersenyum.
“Kau pergi main jauh-jauhlah. Aku nak sambung chat ni,”aku bersuara sambil menolak tubuh Jannah. Jannah mencebik lagi sambil berlalu.

Mesha007: Ada. Sembang dengan kawan kejap.

Baru aku mahu mengukir senyum, teguran dari satu ID membuat senyum hilang serta-merta. Zaquan muncul di sini pula!

ZaQ_Areef: Sayang. Kenapa ni? Apa salah saya? Dah dekat dua bulan tak nak jumpa saya. Call x jwb. SMS x reply. Kenapa ni?

Aku mencebik. Kenapa? Dia boleh tanya kenapa? Padan muka. Aku cuma membatu. Mahu mendengar rintihan seterusnya dari hero satu Malaya itu. Puas hati pula rasanya mendengar luahan rasanya yang hiba itu.

ZaQ_Areef: Tolong say something Mesha. I miss you. Nak jumpa you sangat2.
Mesha007: Macam nilah Zaq. Anggap saja hubungan kita dah berakhir. Saya tahu, bukan Susah awak nak terima semua ni. Jangan cari saya lagi. Jangan call saya lagi. Saya memang tak nak langsung tengok muka awak.
ZaQ_Areef: Tapi, kenapa? Apa salah saya? Tiba-tiba saja awak hilang. Tak tahu apa puncanya.
Mesha007: Saya belajar dari awak. Tapi, saya hilang bersebab. Awak mmg tahu sangat sebabnya. Tak perlulah saya cakap. Cukuplah saya cakap, saya sudah bangkit dari kebodohan saya mencintai awak sepenuh hati saya.

ZaQ_Areef: Awak dah ada orang lain ke? Datuk tu ke?
Mesha007:Anggap sajalah macam tu
ZaQ_Areef: Tapi, awak cintakan saya. Saya tahu awak cintakan saya. Cuma saya. Tak mungkin awak boleh cintakan orang lain seperti awak cintakan saya.

Aku mengeluh perlahan. Siapa yang mampu nafikan hakikat itu? aku sendiri tidak mampu. Namun, rasa marah berjaya menyingkir rasa itu, akhirnya. Untuk jelmakan rasa itu di hati insane lain, itu aku sendiri pun tidak pasti.

Mesha007: itu memang betul. Tapi, apa gunanya cinta itu, kalau saya menangis
sepanjang masa? Kalau hati saya resah sepanjang masa? Kalau terpaksa
melihat awak curang sepanjang masa? Lebih baik saya tak miliki cinta itu. kalau saya terpaksa sakit kerananya. Sudahlah Zaq. Saya mahu semuanya berakhir di sini.
ZaQ_Areef: berilah satu peluang pada saya. Saya akan buktikan, awak akan bahagiadengan saya.
Mesha007: Saya dah bahagia sekarang. Dan yang penting, saya bahagia kerana berjaya Singkirkan nama awak dari hati saya.
ZaQ_Areef: Jangan macam ni, sayang. Dua bulan lebih sayang ignore saya, saya terasa sangat. Saya sedar, saya tak boleh hidup tanpa awak.
Mesha007: pasti boleh. Saya yakin awak boleh. Awak ada Marissa. Dan saya yakin,
Bukan Cuma Marissa.
ZaQ_Areef: Kan saya dah cakap. Yang saya cinta Cuma awak.
Mesha007: Dahlah Zaq. Saya tak mahu dengar.
ZaQ_Areef: Siapa orang tu? Tak mungkin awak cintakan dia sedalam cinta awak pada saya.
Mesha007: Mungkin. Tapi, kasih dia…sayang dia… buat saya sentiasa tersenyum. Tak pernah buat saya menangis. Oklah. Kita habis kat sini.

Aku nekad. Segera daftar keluar dari Yahoo Mesenger ku. Pasti Haniff hairan. Sapaan Haniff yang seterusnya langsung tidak aku balas. Sibuk melayan pujukan Zaquan yang bukan selalu aku boleh dengar. Dan, sekarang, aku perlu menghubungi Haniff. Memberi penjelasan pada kebisuan aku sebentar tadi.


***

Harus aku akui, dadaku berdegup kencang saat ini. Tapi, aku perlu lalui semua ini. Fasa baru hubungan aku dengan Haniff selepas tiga bulan berkawan cuma melalui telefon. Perlahan aku melangkah masuk ke restoran yang menjadi tempat aku dan Haniff sepatutnya bertemu. Tiba-tiba aku berdoa sangat-sangat agar aku bertemu Zaquan di sini. Agar Zaquan melihat pertemuan aku dengan Haniff. Aku tersenyum. Tetap jahat niatku pada Zaquanku yang satu itu.
“Mesha…,”
Aku berpaling. Terkejut mendengar suara yang menyapaku itu. Datuk Johan? Aku ternganga. Datuk Johan tersenyum lebar padaku. Apa Datuk Johan buat di sini? Haniff itu Datuk Johan ke?! Bukan. Aku yakin aku kenal suara Datuk Johan! Datuk Johan upah seseorang untuk menjadi dia?Fikiranku mula membuat pelbagai andaian. Dan dalam membuat senarai spekulasi, aku bergerak ke meja Datuk Johan.
“Apa Datuk buat kat sini?,”
“Duduklah,”
“Haniff tu Datuk ya? Datuk permainkan saya ya? Tak luculah Datuk,”
“Bukan begitu. Duduk dulu. Saya jelaskan,”
Aku berpeluk tubuh. Menarik muncung. Datuk Johan sudah tergelak kecil. Aku marah, dia rasa kelakar ke? Geram sungguh!
“Kalau marah, saya suka dengar penjelasan sambil berdiri,”ujarku geram.
“Salah tu. Kalau marah, kena duduk. Barulah diri tak dikuasai rasa marah,”
Aku terkebil-kebil. Ada suara lain di belakangku. Suara yang mirip suara Haniff. Jadi, Datuk Johan tidak menyamar. Bulat mataku memandang wajah Datuk Johan yang penuh senyuman. Perlahan-lahan pula aku menoleh ke belakang. Kalau melihat wajah Datuk Johan aku sekadar ternganga, melihat wajah manusia bernama Haniff ini, hampir membuat biji mata aku tersembur keluar. Tidak!
“Hai Mesha. I am Haniff,”
I am Haniff? Tengkorak kau! Haa. Kan dah kena maki. Boleh berlagak selamba macam ni. Geramnya. Aku nekad. Melihat wajah selambanya ini, aku perlu teruskan misiku. Walau kejam, aku perlu teruskan. Terpaksa teruskan. Pantas aku memandang ke meja. Mengabaikan tangan yang dihulur padaku. Laju aku capai gelas di meja Datuk Johan. Sejuk. Aku tidak berpuas hati. Bergerak pula ke meja sebelah.
“Sorry. Boleh pinjam air kejap, Encik?,”
Pemilik segelas air panas di meja sebelah sekadar mengangguk kaget.
“Kenapa Mesha? Apa Mesha nak buat ni?,”
Soalan Datuk Johan tidak aku hiraukan. Gelas di tangan aku celup perlahan. Suam. Bantailah. Janji puas hati.
“Saya nak penuhi misi saya, Datuk,”
Perlahan gelas air suam itu aku tuang ke kepala manusia yang kononnya bernama Haniff ini. Padan muka. Dia ingat aku hilang ingatan ke? Sampai boleh lupa rupanya hanya setakat dia tukar nama. Puas hati aku.
“Padan muka. Rasakan. Kan saya dah cakap, jangan muncul depan saya. Ni, muncul siap tukar-tukar nama lagi. Boleh buat muka selamba nak jabat salam. Ingat saya buta ke?,”luahku sepenuh perasaan sebelum berpaling. Dan, sekali lagi aku terkejut besar. Lebih besar dari yang sebelumnya. Satu lagi kejutan selepas ini, aku yakin aku akan pengsan.
“Mesha. What are you doing here? And… abang. Kenapa ni?,”
Zaquan! Kalau ini Zaquan, siapa yang baru aku mandikan sebentar tadi?
“Apa ni, Datuk?,”akhirnya aku mengalah. Aku pandang wajah Datuk Johan. Minta bantuan. Untuk memandang wajah yang baru aku jirus tadi, aku takut.
“Kenapa mandikan Haniff ni?,”soal Datuk Johan sambil menghulurkan tisu kepada Haniff. Aku tersenyum kecut. Melirik ke arah Haniff yang mengesat perlahan wajah dan bajunya yang basah.
“Memang Haniff ke? Bukan Zaquan?,”
“Saya Haniff lah. Belakang awak tu, itu baru Zaquan. Anyway, awak kenal Zaquan ke?,”
Aku kelu. Zaquan ada kembar ke? Apa pula hubungan meraka berdua dengan Datuk Johan.
“Ini Haniff Sofyan. Baru balik dari Jepun. Itu Areef Zaquan. Dua-dua anak saya,”
Oh…anak. Perlahan-lahan aku mulai faham dengan kekeliruan ini. Terasa ada jemari yang menyentuh jemariku, segera aku bergerak ke sebelah Haniff.
“Sorry awak. Saya ingatkan tadi, awak ni Zaquan,”
“Kenapa mandikan saya?,”
“Sebab memang niat saya nak mandikan adik awak tu dengan air panas…,”
“Nasib baik air tadi suam..,”selamba Haniff bersuara.
Aku tersengih. Memandang wajah Haniff yang menyimpan senyum. Serupa betul. Tetapi, perangai mereka jauh berbeza.
“Haniff tengok gambar kita, masa kat Gunung Tebu. Tiba-tiba nak buat jadi calon isteri pula,”Datuk Johan bersuara sambil tersenyum. Membuat aku pula yang jadi malu tiba-tiba. Namun, sempat aku melihat wajah Zaquan yang keruh.
“Jadi, inilah gadis yang abang nak tackle tu?,”
“Ha ah. Tapi, semua ilmu yang kamu ajar, semua tak boleh pakai pun…,”
Aku melihat Zaquan tersenyum kecil. Sedih melihat senyumnya itu. Tetapi, tiada rasa simpati yang bersarang di hati ini. Cuma terkilan. Niatku tetap tidak terlaksana. Tetapi, tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya doaku supaya pertemuan ini disaksikan Zaquan tertunai juga. Dan, sedetik hatiku bersuara. Kenapa aku boleh jadi sekejam ini pada Zaquan?
“Jadi, inilah orangnya ya?,”Zaquan bersuara hiba.
Aku diam. Kalau dia tanya Haniff kah orangnya? Aku sendiri tidak pasti. Sebab ini semua cumalah satu titik permulaan untuk sebuah perhubungan. Atas dasar apa, aku sendiri masih tercari-cari. Perlukah aku mulai segalanya, atas dasar rasa cinta juga? Atau cukup sekadar rasa sayang dan rasa kasih yang mula menyubur di hati ini. Sungguh aku tidak tahu. Yang aku tahu, hatiku remuk dihancurkan oleh si adik dan kini aku senang membiarkan luka-luka itu sembuh dengan kata-kata si abang.
Aku terkebil-kebil melihat Zaquan melangkah pergi tanpa bicara. Keceweakah lelaki itu? naun, rasanya kecewa yang dia hadiahkan padaku lebih sakit. Serentak terasa jemariku digenggam perlahan. Dan renungan Haniff bagai menagih satu penjelasan dariku. Aku tersenyum. Pasti ada penjelasan Haniff.
“Duduklah dulu. Sudah-sudahlah buat drama kat sini,”
Suara Datuk Johan membuat aku dan Haniff sama-sama tersenyum. Aku memandang sekeliling. Rupa-rupanya semua mata di dalam restoran itu terarah pada kami. Tiba-tiba aku cuma mampu bersuara.
“Malunya….,”
“Tahu pun. Yang kena mandi lagi malu tau!,”
“Sorry…,”
Haniff tersenyum.

TAMAT…

Tuesday, August 18, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...6

“Jadi ke kau pergi memancing pula dengan Datuk?,”
Aku menggeleng. Terus menonton televisyen sambil mengunyah kacang. Soalan Jannah cukuplah dengan gelengan itu sebagai jawapan. Tak kuasa aku hendak berpanas di tengah-tengah laut.
“Nasiblah. Bercinta dengan orang tua. Kena panjat gunung. Kena pergi memancing…,”Jamila menyampuk sambil membelek majalah di tangan. Pantas bantal sponge bob di tanganku, aku lempar ke arahnya. Jamila mengelak sambil mengangkat kening.
“Bila masa pula aku bercinta dengan pakcik tu?,”
“Nak nafikan lagi tu Jam. Kau tak tahu. Siap kongsi layan lagu lagi kat puncak Gunung Tebu. Tau,”Jannah menyampuk sambil tergelak.
“Romantiknya…..,”
“Korang ni. Tak baik tahu. Masin mulut korang, tak naklah aku kahwin dengan orang tua,”
“Okay apa. Dapat jadi Datin. Siapa yang tak nak?,”
Aku menjeling. Kerap benar isu aku dan Datuk Johan dibentangkan di ruang ini.
“Aku tengok Datuk tu ikhlaslah. Tak ada rupa nak ambil kesempatan pun. Dia dah luahkan perasaannya ke?,”Jamila bertanya lagi.
“Mana ada. Tak adalah. Mungkin Datuk tu just perlukan teman nak berbual saja. Dia kesepian kot. Anak-anak dia tak hiraukan dia. Jadi, terpaksalah dia cari anak orang,”
“Dia cakap kat kau macam tu?,”
Aku tersenyum.
“Itu teori aku aje,”
Jamila mencebik. Menyambung bacaannya.
“What ever it is, kau Nampak gembira dengan dia,”Jannah bersuara dengan nada yang sedikit serius. Aku tersenyum. Memanglah aku gembira. Datuk Johan sudi mendengar semua masalah aku. Kata-kata Datuk Johan penuh dengan nasihat yang memberi semangat pada aku. Aku tersenyum lagi, apabila telefonku bula bernyanyi. Pantas aku capai. Kemudian aku campakkan semula ke meja.
“Kenapa tak jawab?,”
Aku menggeleng.
“Siapa? Datuk ke?,”
“Bukanlah,”
“Dah tu, siapa?,”
“Entah. Dah empat hari dah duk ganggu aku,”
Jamila mengangkat kepala. Jannah bangkit dari baring. Dua pasang mata itu, kini bulat memandangku.
“Apa?,”soalku pelik.
“Secret admirer ke?,”serentak soalan itu meniti di bibir Jamila dan Jannah.
“Banyaklah kau punya secret admirer. Salah nombor kot…,”kata-kataku terputus tiba-tiba. Terfikir sesuatu apabila kepala mula memproses tekaan Jamila dan Jannah.
“Tapi..kalau salah nombor, kenapa dia boleh tahu nama aku ya?,”soalku hairan. Jannah membuat muka.
“Secret admirer lah tu…,”
“Tapi, siapa? Aku tak kenal pun,”
Jamila tergelak.
“Kau ni kan. Nama saja every sem dapat anugerah dekan. Itu pun jadi isu. Kalau kau kenal dia, dah tak dipanggil secret admirer. Apa lah kau ni,”
Aku tersengih. Ya tak ya juga.
“Wah. Hebat tu. Habis aje belajar, dapat Datuklah. Secret admirer lah. Tinggal nak pilih aje ni. Yang peminat misteri ni, tua ke muda?,”Jannah menyampuk bersama senyum manis.
“Mana aku tahu. Tak kuasa aku nak lay….,”
“Haa… berbunyi lagi tu. Jawab aje. Layan aje..,”ujar Jannah sebaik telefonku berbunyi lagi. Pantas panggilan itu aku terima.
“Assalamualaikum, Amesha,”
“Waalaikumussalam,”jawabku sambil mengangkat punggung. Tidak mahu menjawab panggilan ini di hadapan Jamila dan Jannah.
“Sedang buat apa tu?,”
“Buat bodoh,”jawabku selamba. Memang betul pun aku sedang buat bodoh di balkoni. Muka poyor giler… kalau ikut ayat Jamila.
“Daripada buat bodoh, baik buat lawa…,”
Aku tersenyum. Melawan Nampak.
“Yang tu tak payah buat. Sebab memang dah semulajadi lawa,”balasku selamba. Dan, telingaku menjamah gelak kecil di hujung talian. Hati tertanya-tanya siapalah makkluk Tuhan yang sedang mempermainkan aku ini. Teman-temanku kah?
“Awak dah makan?,”
“Nasi dah. Orang… belum lagi,”
“Uish… makan orang ke?,”
“Kejap lagi, makan kot…,”
“Siapalah yang akan jadi makanan awak ni, ya?,”
“Awaklah. Kalau awak terus-terus ganggu saya macam ni, harus saya potong awak buat rendang. Awak sebenarnya siapa ya? Dah tak ada kerja? Psiko ke? Kacau orang macam ni?,”
Soalanku dijawab dengan gelak lagi.
“Saya tak kacau awak. Saya nak berkawan dengan awak,”
“Saya tak berkawan dengan orang yang saya tak kenal,”
“Saya nak berkenalan dengan awak. Nak kenal diri awak. Betul ni. Yang ni, bukan main-main,”
Aku tergelak besar. Yalah tu.
“Awak…kalau ada niat nak mainkan perasaan saya, tak payahlah. Lupakanlah,”
“Saya serius. Kita mulakan dengan nama saya ya. awak tak pernah Tanya pun nama saya, kan?,”
“Buat apa saya nak Tanya. Tak penting. Dahlah ya. saya nak letak phone ni. lepas ni, awak jangan telefon saya lagi,”
“Okay. Saya tak call. Saya message. Okay?,”
“Ha ha… very funny!,”aku bersuara geram. Dia tergelak lagi. Harus kuakui. Suaranya sedap di dengar.
“Saya Haniff. Haniff Sofyan,”
“Tak Tanya pun,”
“Saya nak mengenali diri awak. Nak menjadi kawan awak. Kalau boleh…lebih dari itu pun tak apa,”
Aku diam.
“Awak ni siapa?,”
“Nak kenal saya, kita jumpalah. Saya ikhlas ni,”
Ikhlas? Hmm.. memang aku tidak percaya. Ikhlas jugalah yang meniti di bibir Zaquan. Tapi, apa yang aku dapat? Aku ditipu sesuka hati oleh lelaki itu.
“Awak… saya tak percayalah kat janji manis ni,”
“Hmm.. macam pernah kecewa aje, statement nya tu,”
“Berkawan dengan orang yang saya kenal pun, hidup-hidup saya kena tipu. Ini, nak berkawan dengan makhluk asing macam awak? Tak naklah saya. Saya ikhlas juga, terpaksa menolak. Saya minta maaf ya. Saya tak nak jadi kawan awak. Saya tak kenal awak. Saya tak tahu niat awak,”
“Awak kenal dulu saya. Lepas tu awak akan tahu niat saya,”
“Entah-entah awak ni sindiket jual gadis tak?,”
“Astaghfirullahhal’azim. Amesha…sampai ke situ ke? Tak. Saya orang baiklah. Paling baik kat dunia ni kot. Mana pernah saya nak tackle perempuan. Tak pernah tau. Awak ni orang pertama ni…,”
Aku mencemik.
“Tapi, gaya macam expert saja…,”
“Ada nota kat depan ni. Adik saya tolong buatkan nota untuk bercakap dengan perempuan..,”
Aku tergelak. Bukan gelak kecil. Tapi gelak besar. Mahu rasanya aku bergolek kat lantai.
“Poyo lah awak ni. Anyway.. lawak awak menjadi. Sangat-sangat kelakar,”
“Seriuslah. Awak tak percaya ke? Adik saya buat guide ni. Soalan lazim untuk memenangi hati seorang gadis. Soalan pertama, dah makan ke…soalan kedua tengah buat apa tu..,”
“Okay..okay.. cukup. Lawaklah awak ni,”
“Betul... and a few guide yang susah saya nak praktikkan. In other word, bila saya nak apply kat awak, semuanya macam tak boleh pakai aje. Terpaksa saya fikir sendiri juga,”
Aku tersenyum. Betul ke? Perlahan aku menggeleng. Amesha…Amesha…memanglah kau ni cepat sangat percaya dengan kata-kata manis.
“Apa-apalah awak. Janji awak bahagia,”
“Bahagia dengan awak. InsyaALLAH,”
“Mana awak dapat nombor saya? Mana awak tahu nama saya?,”
“Adalah. Kalau nak tahu, bila kita jumpa, saya cerita semuanya. Serius ni,”
“Tak apalah. Saya rasa, saya tak nak tahu. Lepas ni, janganlah kacau saya lagi ya?,”
“Sorrylah. Tak boleh janji. Sebab saya rasa macam nak kacau lagi. Maybe betul apa yang orang cakap pasal awak,”
“Cakap apa pula? Orang apa pula? Scary lah awak ni. Apa orang cakap pasal saya? Kenapa tiba-tiba saya macam popular sangat ni,”aku mula bersuara resah. Daripada niat untuk mematikan perbualan, hatiku segera digaru rasa ingin tahu. Siapalah lelaki ini?
“Adalah… and, cakap yang baik-baiklah. Bukan yang buruk-buruk,”
“Tak sukalah awak main-mainkan saya macam ni,”
“Saya serius. Berapa kali nak cakap?,”
“Tak apalah. Bukan susah pun. Saya boleh tukar nombor lain nanti. Tak adalah awak boleh kacau saya lagi,”
“Pasti tak susah nak dapat nombor baru awak,”
Aku tergamam. Yakin semacam saja nada suara mamat ni. Aku mula menggaru kepala. Temanku yang manalah yang sanggup menambahkan konflik diriku ini.
“Okaylah awak. Saya ada kerja sikit ni. Bye,”
Belum sempat berjawab, telefon sudah aku matikan. Tidak tunggu lama, aku bergegas ke ruang tamu.
“Kau orang berdua ke yang nak dajalkan aku ni?,”
Jamila dan Jannah terkebil-kebil memandangku.
“Apa kes ni? Tiba-tiba hangin pula dia. Siapa tadi tu,”soal Jannah dengan muka hairan.
“Mamat poyo tu la. Kau orang berpakat dengan budak ni, nak permainkan aku ya?,”
“Taklah. Tak kuasa aku. Kenapa? Apa dia cakap?,”
“Entahlah. Nak kenallah. Nak kawanlah,”
“Go on ajelah,”
Aku menjeling. Senangnya Jamila bercakap.
“Aku tak percaya. Ni mesti ada orang nak dajalkan aku ni,”aku bersuara tegas. Kepala ligat mencari suspek. Zaquan ke? Zaquan mahu membalas dendam sebab panggilannya langsung aku tidak jawab? Pesanan ringkasnya juga aku tidak balas. Ada kemungkinan. Mungkin lelaki ini kawan Zaquan. Berpakat dengan Zaquan untuk mempermainkan perasaan aku lagi.
“Siapa pula yang nak kenakan kau? Mungkin dia betul-betul nak berkawan kot,”
“Aku tak percayalah,”
“Dia ada ajak jumpa tak?,”
“Ada. Tapi, aku yakin ada orang nak permainkan aku,”
“Datuk ke?,”Jamila tiba-tiba bertanya.
Aku ternganga.
“Kau ni. tak logic langsung. Takkanlah Datuk nak buat macam ni. Ini kerja budak tak matang,”aku menolak tohmahan itu.
“Alaa.. jumpalah dengan dia. Kalau kau tak nak pergi, biar aku menyamar jadi kau. Bukan dia kenal kau pun..kan?,”
Aku termenung.
“No..no.. bahaya. Kalau dia ada niat jahat, kau jadi mangsa,”saranan Jannah aku tolak mentah-mentah.
“Aku ada satu cadangan,”Jamela tiba-tiba bersuara. Aku melabuhkan punggung ke sofa.
“Apa dia?,”
“Hmm.. dia cakap nak kawan dengan kau kan? Kau tak kenal dia kan?,”
Aku mengangguk.
“Very the kacang kuda. Senang aje,”
“Apa rancangannya?,”Jannah sudah menjadi wakil aku untuk mengajukan soalan. Jadi, aku Cuma mengangguk sahaja menunggu penjelasan dari Jamila. Biasanya rancangan Jamila berprofile tinggi. Tiba-tiba jantung ini sudah berdegup kencang. Melihat senyum yang tidak begitu baik di sudut bibir Jamila, aku sudah mula gerun.
“Sebelum dia nak permainkan kau, kita permainkan dia dulu,”
“Macam mana?,”
Jamela tergelak panjang.
“Kita goda dia…,”
“Hah? Aku ke? Sorry. Aku tak nak. Kau ingat aku perempuan apa?,”aku bersuara lantang. Serentak jari telunjuk Jamela melekat di dahiku.
“Diam! Aku belum habis cakap,”
Aku menarik muncung. Jannah tersengih sambil memeluk teddy bear.
“Kau ni, asal sebut goda, mesti terbayang pakai seksi-seksi. Goda-goda…,”
“Yalah. Itulah goda. Kau yang cakap goda kan?,”aku bersuara lagi. Jamela menggeleng perlahan.
“Bukan itu maksud aku,”
“Dah tu?,”
“Macam ni. Lelaki ni, kalau dia jenis yang suka permainkan perasaan orang, dia akan layan semua perempuan. So, aku, Jannah dengan Nadhira sekali… akan approach dia. Kau kasi nombor dia kat kami. Kalau dia layan kami semua, kau tak payah layan dia. Memang tak boleh pakailah tu. Tapi, kalau tidak tak nak layan kami, maksudnya dia seriuslah nak kenal dengan kau tu. Jadi, tak salahlah kau terima salam perkenalan dia tu,”
Aku diam seketika. Ada betulnya juga kata-kata Jamela itu.
“Betul juga cakap kau tu Jam. Baguslah kau. Okay. Aku setuju,”
“Kalau kau nak berkawan dengan mamat ni, Datuk macam mana?,”Jannah bersuara tiba-tiba.
“Kau ni, tak habis-habis dengan Datuk,”
Jannah tersengih. Aku diam. Macam mana dengan Datuk? Macam mana ya? Aku sendiri mula bertanya benda yang sama. Tapi, setakat ini, Datuk Johan tidak pernah pula bercakap soal hati dan perasaan secara serius. Bermakna, aku dengan Datuk Johan Cuma kawan. Dan, Zaquan? Itu akan jadi sejarah nanti. Dia sudah mula mencari aku. Aku mahu tengok sampai bila dia akan terus mencariku. Aku mahu mendera perasaannya. Itu janjiku. Dan, impianku, aku mahu mandikan Zaquan dengan air panas… Jahatnya. Namun, itulah yang layak untuk Zaquan! Jadi sekarang aku mempunyai dua misi. Mandikan Zaquan dengan ais panas. Dan, permainkan mamat poyo yang ada hati mahu permainkan perasaanku ini.

****

Saturday, August 15, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...5

Serius. Memang serius. Fikiran aku kini, sudah tiada lagi wajah Zaquan. Bohong kalau aku katakan, langsung tiada. Namun, ternyata peralihan perhatian membuat ingatan pada lelaki itu sedikit terabai. Percaya atau tidak, sudah hampir dua minggu aku tidak menghubunginya semenjak aku ternampak dia bersama Marissa tempoh hari. Satu kejayaan besar di dalam hidup aku. Sebab, sebelum ini, aku hanya kuat untuk tidak mencarinya selama sehari setengah sahaja. Selepas itu, jemariku pasti sibuk mendail nombor telefonnya dan menaip pesanan ringkas untuknya. Tidak cukup ke telefon bimbitnya, aku akan cari Zaquan di facebook nya. Tagged nya. Memang sebelum ini aku kejar Zaquan bagai aku kejar bayang-bayangku sendiri. Hampir, namun tidak pernah mampu kumiliki sepenuhnya. Dan, sehingga ke saat ini genap empat belas hari aku tidak mencari Zaquan, terasa seolah-olah aku telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu. Satu kejayaan yang amat besar bagi aku.
“Hello. Melamun apa tu? Boleh tercegat pulak kat situ,”
Aku terpinga-pinga seketika. Memandang sekeliling. Belukar dan semak samun. Belum sampai ke puncak Gunung Kinabalu rupanya. Cuma dalam perjalanan menawan puncak Gunung Tebu. Sudah terlalu penat rasanya dan mungkin sudah hampir ke kemuncak. Sebab menurut Datuk Johan kami boleh sampai ke puncak menjelang petang.
“Cepatlah. Tiba-tiba tercegat macam tiang pulak. Kena tinggal, baru tahu,”
Aku tersengih. Mulut Jannah sudah mula riuh.
“Mesha fikir apa? Tercegat macam dengar lagu kebangsaan,”
Macam dengar lagu kebangsaan? Patriotic apa pula kat tengah-tengan hutan ni. Malunya! Datuk Johan pun perasan ke? Aku menggeleng perlahan sambil menggaru kepala. Lebih malu apabila seluruh mata orang ahli kumpulan mendaki turut melekat di wajahku bersama senyum lucu. Laju aku melangkah mendapatkan Jannah. Bagaimana bayangan Zaquan boleh muncul dalam kepenatan in?
“Mesha menungkan apa?,”sekali lagi Datuk Johan bertanya sambil mengatur langkah.
“Datuk tak penat ke?,”soalku sampai mengelap peluh yang membasahi wajah. Soalan Datuk Johan tidak aku acuhkan. Datuk Johan Cuma tersenyum.
“Dah biasa. Saya memang suka aktiviti lasak macam ni. Puncak Gunung Tebu ni, antara yang paling mudah ditawan. Cantik nanti bila dah sampai ke puncak. Boleh Nampak Pulau Perhentian. Pulau Redang pun boleh,”
“Macam ni punya penat… masuk kategori paling mudah? Kalau yang paling sukar, tak tahulah apa jadi kat saya,”
Datuk Johan tergelak.
“Ni mesti tak biasa buat aktiviti lasak ni. Exercise macam ni, elok. Bersukan sambil menikmati keindahan alam,”
“Tengok dalam picture pun, cantik jugak Datuk. Tak penat pun,”
Datuk Johan tergelak lagi. Langkah mereka terhenti apabila suara pemandu arah memonopoli keadaan. Memberitahu ketibaan kumpulan kami di puncak Gunung Tebu. Aku mengeluh lega. Dah sampai? Leganya. Bermakna kaki ini tidak perlu dihayun lagi. Selepas mendengar sedikit penerangan daripada pemandu arah, aku mengekori Datuk Johan. Sekarang aku akui, memang cantik sungguh pemandangan dari ketinggian lebih 1000 dari aras laut ini.
“Betullah Datuk. Cantik sungguh,”
“Memanglah. Mana sama dengan tengok dalam picture,”
Aku tersenyum. Betul tu. Diperkenalkan dengan aktiviti lasak begini oleh Datuk Johan, aku rasa berbaloi. Berbaloi dengan kepenatan mendaki tadi, kalaulah panorama seindah ini yang menjadi tatapan mata.
“Kita bermalam kat sini ke, Datuk?,”soalku sambil menikmati tiupan angin di puncak.
“Ha ah. Di kemsite. Tak jauh dari sini,”
“Means…kena menapak lagi?,”
Datuk Johan tergelak.
“Yalah. Tapi, tak jauh dah,”
Aku mengangguk perlahan.
“Memang selalu Datuk join aktiviti macam ni?,”
“Sebolehnya saya spend sekali untuk sebulan. Kalau tak sibuklah. Kadang-kadang sibuk. Kebetulan sekarang kurang sibuk. And, tak sangka Mesha nak ikut,”
Aku tersenyum. Keberatan sebenarnya untuk aku meyertai aktiviti sebegini. Tetapi, nasibku sedikit malang kerana Jannah memang kaki mendaki gunung. Tawaran Datuk Johan, dia yang beria-ia terima.
“Sesekali cuba perkara yang baru, elok juga Datuk,”aku bersuara lembut.
“Boleh tenangkan jiwa sekali tau,”tokok Datuk Johan bersama senyum yang aku tahu apa maksudnya. Aku Cuma tersenyum. Tidak mahu menjawab. Sebab, jiwa aku memang sudah tenang.
“So… tak nak cerita apa yang berlaku seterusnya pada saya?,”
Aku menarik nafas panjang. Masih ingin mencungkil rahsia rupanya.
“Mesha ada cari boyfriend Mesha tu lagi?,”
Aku menggeleng.
“Dah dua minggu saya tak contact dia. Cuma.,”
“Cuma apa?,”
Aku tergelak kecil. Malu pula untuk bercerita pada Datuk ini. Aku sendiri berasa malu bila mengingatkan apa yang aku lakukan. Entah bagaimana, dalam melayan emosi aku boleh nekad sebegitu.
“Cuma apa?,”
Aku tersengih.
“Saya bagi dia lagu…,”
Datuk Johan tergelak.
“Janganlah gelak, Datuk…,”
“Okay… sorry. Tak gelak. Tapi, macam zaman dulu-dulu. Tuju lagu bila frust,”
Aku menarik muncung. Terasa tersindir pula. Itu juga yang aku rasa sebenarnya, selepas aku hantar lagu pada Zaquan. Macam sentimenatal sangat.
“Sorry…sorry… jangan marah. Saya dah tak gelak,”
“Tu..gelak tu,”
“Senyum aje ni…,”
“Samalah tu,”
Datuk Johan menutup mulut. Buat-buat muka serius. Gelagat yang membuat aku pula tergelak lucu.
“Dah serius dah. Okay. Mesha bagi lagu apa kat dia?,”
“Datuk nak tahu?,”
“Boleh juga…,”
“Kejap ya…,”aku bersuara sambil mengeluarkan MP3 dari beg. Mencari-cari lagu yang kuberikan pada Zaquan, kemudian menghulurkan earphone kepada Datuk Johan. Datuk Johan menyambut bersama senyum lebar. Dan seterusnya aku bersama dengan Datuk Johan sama-sama menikmati suara Rossa yang merdu mengalun lagu sedihnya.

‘Jangan pernah katakan bahwa cintamu hanyalah untukku
Karena kini kau telah membaginya
Maafkan jika memang kini harus kutinggalkan dirimu
Karena hatiku slalu kau lukai
Tak ada lagi yang bisa ku lakukan tanpamu
Ku hanya bisa mengatakan apa yg kurasa
Ku menangis... membayangkan
Betapa kejamnya dirimu atas diriku
Kau duakan cinta ini
Kau pergi bersamanya
Ku menangis... melepaskan
Kepergian dirimu dari sisi hidupku
Harus slalu kau tahu
Akulah hati yg telah disakiti
Maafkan jika memang kini harus kutinggalkan dirimu
Karena hatiku slalu kau lukai
Tak ada lagi yang bisa ku lakukan tanpamu
Ku hanya bisa mengatakan apa yg kurasa
Ku menangis... membayangkan
Betapa kejamnya dirimu atas diriku
Kau duakan cinta ini
Kau pergi bersamanya
Ku menangis... melepaskan
Kepergian dirimu dari sisi hidupku
Harus slalu kau tahu
Akulah hati yg telah kau sakiti
Ku menangis...
Harus slalu kau tahu
Akulah hati yang telah....Kau sakiti...’

“Sedihnya lagu. Lagu siapa ni?,”
“Rossa,”
“Apa tajuknya?,”soal Datuk Johan lagi sambil menghulurkan earphone padaku.
“Hati Yang Kau Sakiti,”
“Sedih sangat. Jangan pasrah sangatlah. Cuba jadi kuat sikit. Dia tu Cuma seorang lelaki,”
Aku tersengih.
“Saja je Datuk. Nak tengok dia tersentuh ke tidak,”
“Kalau tersentuh, kenapa? Nak berbaik semula dengan dia ke?,”
“Balik semula? Tidak..tidak.. tidak sama sekali. Cuma, manalah tahu kot-kot tiba-tiba dia rasa kehilangan saya. Nak balik semula dengan saya, lepas dengar lagu sedih…sayu tu,”
“Betullah dengan apa yang saya cakap tadi,”
“Bila dia nak balik dengan saya, masa tulah sayang boleh tendang dia jauh-jauh dari hidup saya. Biar dia rasa apa yang saya rasa selama ini,”aku bersuara sambil tergelak. Dan, Datuk Johan menggeleng perlahan.
“Perasan kan, saya ni. Mustahil sebenarnya dia nak balik pada saya. Cuma, kalau boleh lukakan hati dia, bahagianya saya…,”
“Tak baik berdendam,”
“Bukan berdendam Datuk. Ajar sikit. Dia ingat dia lawa..dia hensem, dia boleh mainkan perasaan orang macam tu saja?,”
“Wah. Bersemangat,”
Aku tersengih.
“Saya bersemangat ni pun, sebab Datuk,”
“Oh… ya ke?,”soal Datuk Johan bersama senyum memikatnya juga bersama renungan memikat juga. Tapi, aku tidak terpikatlah. Bercakap dengan Datuk Johan rasa seperti aku bercakap dengan pakcik-pakcik aku saja.
“Apa yang saya buat, sampai Mesha bersemangat macam ni?,”
Aku senyum sambil menongkat dagu. Merenung awan petang yang rasanya seperti cuma sejengkal untuk aku capai.
“Lelaki akan rasa kuat bila tengok perempuan lemah. Tapi, akan rasa kalah bila perempuan itu lebih kuat darinya. Biarkan dia kalah. Kata-kata Datuk tu. Kata-kata tu yang buat saya sedar betapa lemahnya saya selama ni. Apa pun, I have to thank to you. Datuk dah buka mata saya. Memberi arah yang selama ini saya tak nampak. Buat saya sedar banyak lagi cabang lain yang boleh saya terokai daripada saya bermurung hanya kerana memikirkan orang yang saya cintai, sedang curang dengan saya. Sekali fikir, macam bodoh pula,”
“Cinta boleh buat manusia lemah. Tapi, putus cinta boleh buat manusia jadi wira. Percayalah,”
Aku tersenyum. Satu lagi kata-kata hikmat.
“Kata-kata Datuk, semuanya hebat-hebatlah. Kenapalah Datuk jadi businessman ya? Kalau jadi ahli sastera, mesti dapat buat masterpiece yang hebat-hebat,”
Datuk Johan tergelak besar.
“Mesha…Mesha. Pengalaman akan berikan banyak sastera pada kita. Apa yang kita lalui..rasai… itulah nanti rencah yang akan cipta pelbagai kata-kata azimat untuk kita pegang,”
Aku sekadar tersengih macam kerang busuk. Tidak faham. Namun kagum dengan susunan kata Datuk Johan ini.
“Saya cuma tahu rencah Maggie aje Datuk. Dengan rencah nasi goreng kampung dalam beg tu,”
Datuk Johan menyambung gelak.
“Life is a good teacher for you. Jangan risau. Nanti Mesha akan faham. Buat masa ni, rencah Maggie and nasi goreng kampung tu pun penting juga. Boleh buat hidangan makan malam kita nanti,”
“Mesha! Datuk! Kita nak sambung jalan sampai ke kemsite ni. Cepatlah,”
Aku menoleh. Jannah sudah bersiap-sedia bersama ahli kumpulan yang lain. aku mengeluh lemah. Baru saja nak hilang penat, terpaksa berjalan lagi? Datuk Johan sudah berdiri.
“Come. Jangan malas-malas,”
Aku tersengih sambil sedikit memuncung. Perlahan mengangkat punggung sambil mengekori Datuk Johan dengan langkah malas.
“Makan malam nanti, Mesha masak ya?,”
“Saya, bab campak-campak rencah ni, memang tak ada masalah. Boleh aje. Cuma, bab jalan ni, lutut saya dah rasa cam nak tercabut satu-satu,”
Datuk Johan tergelak lagi. Aku mengatur langkah malas. Penat, tetapi seronok.

***

Thursday, August 13, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...4

Datuk Johan. Itulah namanya setelah aku tanya semula nama peminatku itu kepada Jannah. Dan kini, Datuk Johan tersenyum tenang di hadapanku di dalam restoran mewah ini. Kekok? Memang teramat kekok. Menyesal? Memang terlalu menyesal. Nak balik? Memang nak balik sangat-sangat.
“Kenapa tak makan?,”
Aku tersenyum kecil. Merenung hidangan di hadapanku. Kemudian perlahan-lahan menyuap ke mulut. Tiada selera sebenarnya. Rasa sedih dengan perbuatan Zaquan lebih membekas di hati ini.
“Mesha tak bersedia,”
“Hah?,”suapanku terhenti. Segera aku mengangkat muka. Memandang wajah di hadapanku. Memang sedikit berumur. Namun, betul kata Jannah, penampilannya berjaya menutup umurnya itu. Masih Nampak bergaya dan muda. Pasti ramai wanita yang berada di sisi lelaki ini.
“Kan?,”
“Kan?,”aku bertanya. Bertambah keliru mendengar kata-kata tergantung yang meniti di bibir Datuk Johan. Datuk Johan tersenyum. Meletakkan sudu dan garfu di pinggan.
“Pertemuan ni. Mesha tak bersedia. And, this is not what actually you want to. Kan?,”
Aku tersenyum. Tepat pula tekaan orang tua ini.
“Well…,”kini, kata-kataku pula yang tergantung. Haruskah aku berterus-terang? Atau aku perlu berbohong demi menjaga hati lelaki ini? Tapi, aku tidak pernah suka berbohong.
“Well…Well what?,”
“Yup…,”laju aku menjawab.
Datuk Johan tersenyum nipis.
“Very straight to the point. Buat hati saya tersentap. So, kalau ini bukan apa yang Mesha inginkan, kenapa Mesha setuju ya?,”
“Sorry Datuk. Saya buat Datuk tersinggung pula,”
Daruk Johan tergelak halus.
“Tak tersinggung. Cuma terkejut. So, kenapa Mesha nak jumpa juga kalau Mesha tak bersedia nak jumpa dengan saya? Honestly, saya tak suka Mesha jumpa dengan saya sebab terpaksa,”
“Bukan sebab terpaksa,”
“Dah tu?,”
“Sebab saya geram,”aku terlopong dengan jawapanku sendiri. Nampaknya aku sudah menjadi semakin berterus-terang. Serentak itu juga, aku teringatkan kecurangan Zaquan. Membuat hatiku berdarah tiba-tiba. Rasa sedihku sedikit demi sedikit sudah bertukar menjadi marah sebenarnya.
“Geram? Geram sebab saya seperti mendesak?,”
“Bukan.. bukan.. Tak ada kena mengena dengan Datuk. Saya geram dengan boyfriend saya,”tanpa disengajakan aku membuka pekung di dada.
“I see. So, dah ada boyfriend, sebab tu tak nak layan saya. Tapi, Jannah cakap Mesha tak ada teman lelaki,”
“Tak ada siapa yang tahu,”
Datuk Johan mengangguk perlahan.
“So, apa boyfriend Mesha dah buat, sampai Mesha sanggup keluar dengan saya ni?,”
“Dia..dia.. tipu saya. Bohong dengan saya. Curang dengan saya!,”laju aku bersuara. Kemudian terdiam seketika. Terkejut sebenarnya. Namun, aku senang. Ucapan itu tiba-tiba membuat aku berasa sedikit tenang. Mungkin sepatutnya aku memang perlu mencari pendengar untuk mendengar luahan perasaan aku.
“Nak cerita?,”
Aku tersenyum. Malu pula. Kenapa aku boleh membuka cerita itu kepada manusia yang baru pertama kali aku jumpa ini? Perlahan aku menggeleng. Tidak mungkin Datuk Johan ingin mendengar kisah laraku.
“Maaf, Datuk. Saya emosional pula. Sepatutnya bukan ini topik kita. Sorry sekali lagi. Saya rosakkan mood Datuk. Kan?,”
“No. Tak langsung. Cuma I smell ada rasa tak puas hati here. Mungkin dah lama terpendam kot?,”
Aku tunduk. Datuk Johan bagai dapat menghidu keresahan yang aku rasa.
“It’s okay, kalau Mesha segan nak cerita, tak payah cerita. Cuma, kan elok luahkan rasa tak puas hati tu. Jangan biarkan rasa-rasa macam tu jadi beban pada diri Mesha. Mesha berhak menikmati hidup dengan hati yang senang bukan dengan jiwa yang resah,”
Aku diam. Memang betul pun kata-kata Datuk Johan.
“Entahlah Datuk. Mungkin betul juga cakap Datuk tu. Kalau dipendam, jadi beban,”
“Jadi, ceritalah,”
“Saya geram. Saya tahu dia tak setia dengan saya. Saya tahu dia curang di belakang saya. Tapi, saya ingat dia serius dengan saya,”
“Mana ada orang yang curang akan serius pada perhubungan…,”Datuk Johan menyampuk.
“Ya…ya. saya tahu, saya yang bodoh. Tiga tahun saya ikut rentak dia. Dia nak hubungan kami dirahsiakan, saya ikut. Dia muncul dan pergi sesuka hati, saya sabar. Dia tipu saya…dan saya tahu dia tipu saya. Tapi, hati saya selalu nak maafkan dia. Saya marah sangat pada dia. Tapi, bila dengar suara dia, marah saya hilang. Saya pernah benci sangat pada dia. Tapi, bila dia muncul depan saya. Benci saya hilang tiap kali tengok dia senyum pada saya…,”aku menarik nafas panjang. Sedikit mengah apabila semua rasa tidak puas hati terluah cuma dalam satu nafas. Lega. Tidak pernah aku rasa selega ini.
“Sayang betul Mesha pada dia. Tapi, apa yang dia dah buat sampai Mesha benar-benar hilang sabar? Kalau masih boleh sabar, Mesha tak akan keluar dengan saya. Kan?,”
“Dia tipu saya. Cakap ayah dia sakit. Kena tahan kat ward semata-mata tak nak keluar dengan saya. Tak apalah tak nak keluar dengan saya. Saya faham. Ayah dia sakit.Saya risau. Risau pasal ayah dia. Seharian terfikir apalah yang berlaku kat ayah dia. Tapi, saya nampak dia bermesra dengan perempuan lain. Ayah dia sakit, cuma alasan semata-mata sebab dia nak keluar dengan perempuan tu. Melampau! Saya benci betul. Benci sangat-sangat ni. Sia-sia risau saya. Sia-sia rasa kasihan saya pada dia,”
Datuk Johan tergelak halus.
“Itu kisahnya. Kalau itu kisahnya. Fahamlah saya. And, saya yakin, Mesha nampak dia dengan perempuan lain, semasa on call dengan saya. Kan?,”
Aku mengangguk. Memang betul pun tekaan itu. Dan, gelak Datuk Johan menjadi semakin panjang.
“No wonder lah. Semua soalan saya awak jawab yes…,”
Aku tersenyum. Tiba-tiba terasa diri ini sedikit kejam. Aku marahkan Zaquan, dan Datuk Johan menjadi mangsa.
“Sorry. And…kenapa saya cerita semua ni, pada Datuk?,”aku bersuara lagi. Pelik. Apa kena denganku ini? Kenapa Datuk ini tempat aku melepaskan geram?
“Sebab Mesha dah tak boleh simpan beban tu. Semua perkara yang berlaku ada limit. Sampai satu tahap, kita tak boleh lagi terima apa yang selama ini, kita rasa kita mampu hadapi,”
Aku mengeluh perlahan. Memandang wajah Datuk Johan yang tetap tenang. Betul Datuk! Aku menjawab di dalam hati.
“Dah lega?,”
Aku mengangguk. Datuk Johan tersenyum.
“Tinggalkanlah lelaki macam tu. Tak berbaloi untuk Mesha terus berharap. Mesha berhak mendapat yang jauh lebih baik,”
“Ya. Membazir air mata saya saja,”
Datuk Johan tergelak.
“Tapi, bukan senang kan? Sebab Mesha dah serahkan seluruh perasaan Mesha pada dia,”
“Saya tahu tak mudah. Tapi, saya dah tawar hati,”
“Baguslah,”
“Baguslah?,”
“Yalah. Baguslah kalau Mesha dah tawar hati dengan boyfriend Mesha tu. Maksudnya, lepas ni, adalah chance untuk saya jumpa Mesha lagi. Kan?,”
Aku tergelak. Patutlah suruh aku tinggalkan Zaquan. Serampang dua mata rupanya.
“Win win situation. Kan?,”Datuk Johan bersuara seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiranku. Aku tersenyum panjang. Yalah tu.
“So, sekarang, sambung dinner kita,”
Aku mengangguk sambil menyambung suapan. Baru tersedar betapa laparnya aku. Dan baru aku perasan sudah dua hari aku tidak makan. Akibatnya, dalam sekelip mata sahaja, aku habiskan hidanganku. Suapan terakhir, aku terpandang wajah Datuk Johan. Tidak berkelip memandangku. Aku tersengih malu.
“Sorry Datuk. Dari malam semalam saya tak makan sebenarnya. Tadi tak ada selera. Sekarang, betul-betul lapar pula,”
“Tak apa. Jangan segan dengan saya. Nak tambah lagi ke?,”
Aku tersengih sambil menggeleng laju. Janganlah perli macam tu Datuk…
“Saya suka tengok Mesha. Natural. Saya boleh tengok the true of you dalam diri Mesha sekarang,”
Ya sangat. Nampak sungguh betapa pelahapnya aku. Hilang segala protocol yang Jannah ajarkan padaku sebelum keluar tadi. Aku memandang sekeliling. Nasib baik pengunjung tidak ramai. Kalau tidak, pasti aku akan memalukan Datuk Johan.
“Betul tak nak tambah lagi?,”
“Tak nak. Dah kenyang. Janganlah perli saya macam tu, Datuk…selalunya saya sopan sikit. Tak tahulah kenapa hari ni jadi macam ni pula,”
Datuk Johan tergelak riuh.
“Saya faham. Jiwa kacau. Kan?,”
Aku tersengih. Jiwa kacau? Ya lah. Jiwa tengah kacau. Memang sudah terlalu malu rasanya.
“Datuk…,”
“Ya. Ada apa?,”
“Hmm… saya Tanya sikit, boleh?,”
“Boleh. Silakan,”
“Kenapa Datuk nak sangat keluar dengan saya?,”
Datuk Johan terdiam seketika. Memandangku tanpa bicara. Dan, baru aku sedar, Datuk Johan memiliki renungan yang memang memukau. Cepat-cepat aku alihkan pandangan. Bahaya. Aku baru mahu putus kasih dengan Zaquan dan, kenapa hati ini cepat memuji renungan itu? Gatal betul.
“Pertama kali saya tengok awak, memang saya suka. Saya nak kenal awak,”
Aku tunduk. Ayat stereotaip untuk menggoda hati orang muda. Aku mula membuat penilaian sendiri.
“Bunyi macam gatal. Kan?,”
Aku senyum dalam diam. Betul pun.
“So, saya tak nak cakap lebihlah. Cukup saya cakap, awak menarik perhatian saya,”
“Tak risau ke, keluar dengan saya? Nanti kalau Datin tahu, dia tak jelous ke?,”
Datuk Johan tersenyum.
“Saya jawab soalan tersirat Mesha tu. Saya tak ada Datin. Saya komited pada perhubungan. Kalau saya in relation, saya tak akan jumpa Mesha. Saya tak suka menduakan pasangan saya,”
Aku diam. Manisnya tebu yang meniti di bibir lelaki ini. Tapi, aku tidak mahu cakap apa-apa. Aku baru sahaja menjadikan Datuk Johan ini tempat melepaskan perasaan geram aku pada pada Zaquan. Sepatutnya aku perlu berterima kasih untuk itu.
“Nak jumpa saya lagi, lepas ni?,”
“Hmm… tengoklah,”
“I really like you. Bukan cakap-cakap kosong. Serius. Saya tak pernah keluar dengan mana-mana perempuan selepas wife saya meninggal,”
“Meninggal? Wife Datuk sakit ke?,”
“Accident. A few years ago. And, sorry. Saya tak mahu ingat semula semua tu. Saya tak mahu terus bersedih. So, jangan tanya lagi ya,”
“I’m sorry. Saya tak tanya lagi,”
Datuk Johan tersenyum kecil.
“Thanks,”
Aku turut tersenyum kecil. Diam dan terus memerhati Datuk Johan menyambung makannya yang terhenti dek soalanku. Dalam hati aku berteka sendiri. Berapalah usia lelaki ini? Sukar untuk menebak.
“Kenapa Mesha? Kenapa pandang saya macam tu?,”
“Hah?,” aku bersuara separuh terkejut. Aku terlebih pandang ke? Dia sedar akan renungan aku ke? Memang dia sedar, sebab senyum lebar di bibirnya sambil dia meletakkan napkin ke meja.
“Tak ada apa-apalah,”
“Hmm… sambung sikir pasal Mesha ya,”
“Pasal saya?,”
“Ya. Pasal Mesha dan teman lelaki Mesha tu,”
“Oh… tak ada apa-apa lagi nak cakap pasal tu. Saya nak buang dia dari kepala saya ni,”
“You better do that. Jangan hargai orang yang tak mahu hargai kita. Ini ikhlas. Bukan sebab saya nak masuk jarum,”
Aku tergelak. Dan Datuk Johan tersenyum.
“Lelaki akan rasa kuat bila tengok perempuan lemah. Tapi, akan rasa kalah bila perempuan itu lebih kuat darinya. Biarkan dia kalah,”
Aku terpegun. Bermakna sungguh kata-kata hikmah itu. Tidak akan aku lupakan. Ya! Aku akan buat Zaquan kalah.
“Betul Datuk. Saya akan jadi kuat. Saya bodoh selama ini. Tapi, saya tak akan terus jadi bodoh,”
Datuk Johan tersenyum sambil kenyitkan mata. Mak ai! Berjaya juga membuat jantung aku berdetak seketika.
“Semangat itu yang perlu untuk Mesha,”
Aku tersenyum. Malu bercampur gemuruh. Tiba-tiba terasa aku pun seperti sudah mahu curang dengan Zaquan. Ermmm…Datuk ni not bad…hati nakalku sudah mula membuat komentar. Bari aku sedar, rupa-rupanya dalam aku setia separuh mati pada Zaquan, aku ni, gatal juga rupa-rupanya.

****

Wednesday, August 12, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...3

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Sudah mula bosan dan penat.
“Ello… senyumlah sikit,”
Aku tersenyum kecil. Melilau memerhati sekitar food court yang penuh dengan manusia itu.
“Kau nak minum apa? Aku belikan,”
“Apa-apa jelah,”
“Makan?,”
Aku geleng. Jannah menjongket bahu. Bangun dari kerusi dan berlalu. Aku pula kembali menongkat dagu. Penat rasanya menemani Jannah membeli-belah. Belinya tidaklah banyak mana pun. Merayau-rayau yang lebih.
“Mesha…,”
Aku mengangkat muka. Jannah tersengih.
“Kenapa? Air ‘apa-apa jelah’, tak ada ke?,”soalku buat-buat bodoh. Jannah mencemik sambil jelirkan lidah.
“Bukanlah. Aku belum pergi beli pun,”
“Dah tu?,”
“Tu…. Coursemate kau tu. Wah..wah… kan main. Dah macam pengantin baru aku tengok. Meluatlah,”
Aku tidak bersuara. Cuma mengikut arah yang ditunjuk Jannah. Zaquan! Bersama seorang perempuan…
“Tu…,”
“Tu lah Marissa gedik!,”
Aku diam. Tidak mampu bersuara. Terlalu sedih sebenarnya.
“Bencilah aku tengok,”
“Kalau benci, jangan tengok,”
“Tak boleh,”
“Kenapa?,”soalku kaku. Tidak mahu Jannah sedar akan perubahan emosiku saat ini.
“Muka mamat tu hensem sangat. Malanglah siapa yang jadi makwe mamat tu,”
Memang malang. Dan manusia malang itu adalah aku!
“Cepatlah order. Aku dahagalah. Dahlah dari tadi duk berjalan tak berhenti langsung,”aku bersuara sambil jegilkan mata. Jannah tersengih.
“Okay..Okay…,”
Aku sekadar merenung tajam Jannah yang tergesa-gesa berlalu. Sempat pula gadis itu berpaling ke arah Zaquan sekali lagi. Aku sendiri, turut kembali berpaling ke arah yang sama.
“Kita cancel ya date kita esok,”
“Kenapa pula? Dah elok-elok plan,, nak cancel pula,”
“Sorry sayang. Ada hal keluarga,”
“Hal keluarga?,”
“Papa kena tahan kat ward. Sorry ya..,”
Aku termangu. Telefon kualih ke kiri.
“Kenapa? Papa awak kenapa? Teruk ke? Saya pergi tengok, boleh?,”
“Biasalah. Tapi, jangan risau, tak teruk sangat. Nanti,ada masa yang sesuai saya bawa awak jumpa papa saya. Okay?,”
Pipiku basah tiba-tiba. Teruknya aku ditipu Zaquan. Benar-benar aku kecewa dengan penipuan Zaquan kali ini. Kenapa perlu sebesar itu pembohongan yang perlu dibuat hanya kerana ingin keluar bersama gadis yang bernama Marissa ini? Air mata di pipi kuseka segera. Terasa teramat bodoh tangisanku ini, tatkala aku melihat Zaquan tergelak riang sambil menyuapkan aiskrim ke mulut pemilik nama Marissa itu. Tiba-tiba terlintas begitulah barangkali keriangan Zaquan tiap kali aku meratapi kehilangannya. Merindui ketiadaannnya. Risau akan apa-apa yang berlaku padanya apabila terlalu lama dia tidak menjengah di hadapanku. Semuanya ternyata sia-sia. Memang Zaquan kejam atau memang dia yang bodoh?
“Mesha… kau okay ke?,”
Aku berpaling. Tersenyum tawar. Nasib baik air mata sudah kering di pipi.
“Tak ada apa-apa,”
Jannah memandangku dengan renungan tidak percaya.
“Macam tak okay je,”
“Aku tak apa-apa. Jangan risaulah,”
Jannah mengangguk perlahan sambil meletakkan dua gelas fresh orange ke meja.
“Lepas ni, sambung cari barang ya,”
Aku mengeluh.
“Penatlah Jannah,”itu Cuma alasan semata-mata. Sebab utama aku sudah kehilangan semangat. Zaquan telah merentap segala semangat yang ada.
“Alaa… bukan selalu pun. Aku nak beli baju. Nak pakai buat pergi kelas,”
“Makcik…Kelas dah habislah. Nak cuti sem dah pun. Kau nak pergi kelas apa?,”
Jannah tersengih.
“Kelas untuk sem depan,”
Aku mencebik. Lawak Jannah tidak berjaya membius gelakku. Bagaimana mungkin aku tergelak sedang saat ini hati aku meraung. Sekali aku mengerling sudut tersembunyi yang dikongsi Zaquan dan Marissa. Sekali lagi gelagat mereka membakar cemburuku. Sekali lagi membuat aku ingin mengutuk diri sendiri.
“Cara kau tengok-tengok dia orang tu, buat aku rasa ada apa-apa aje antara kau dengan Mr Zaquan tu. Instinct aku betul ke?,”
Aku mengeluh perlahan sambil menarik fresh orange. Menyedut perlahan fresh orange itu membuat relung paru-paru sedikit nyaman. Sekaligus mengurangkan hangat yang mula membakar hati.
“Kau pun suka tengok dia orang. Kan?,”aku cuba berselindung. Jannah mencemik lagi.
“Datuk tu dah tak call ke?,”
Aku tersenyum. Merenung wajah Jannah.
“Banyak betul masa Datuk tu. Kan? Tak bosan-bosan mencuba. Tak habis-habis duk dail nombor aku,”
“Kau pulak, jual mahal. Sombong sangat,”
“Mana ada aku sombong. Aku cuma tak mahu terlibat dengan golongan berstatus ni. Kekok. Tak sesuailah dengan orang macam kita ni. Lainlah kalau kita ni artis. Orang-orang macam ni pun, bukannya nak hubungan serius. Nak enjoy saja,”
“Klise betullah pemikiran kau….,”
Aku tersengih. Hujah Jannah terhenti dek deringan telefonku.
“I bet you… mesti Datuk, kan?,”teka Jannah ceria. Aku keluarkan telefon bimbit dari beg galasku. Memandang seketika screen telefon kemudian mengangguk perlahan.
“Jawablah…,”
Aku berkira-kira sambil memandang kosong pada telefon yang terus berbunyi. Hampir dua minggu diganggu dek panggilan yang tidak pernah aku jawab itu, ternyata lelaki ini seorang yang tidak kenal erti putus-asa.
“Jawab ajelah,”gesa Jannah tidak sabar.
“Mesha ! jawablah,”
Aku memandang sekeliling. Sekali lagi membuat pandanganku bertembung pada kemesraan Zaquan dengan Marissa. Membuat jemariku spontan menekan button menerima panggilan. Dalam terkedu, telefon kubawa ke telinga.
“Assalamualaikum,”
Aku buntu seketika. Tidak percaya aku baru sahaja menjawab panggilan yang mahu aku elak selama ini. Gara-gara kemesraan Zaquan dengan Marissa aku menjawab panggilan itu.
“Waalaikumussalam,”aku menjawab lambat-lambat.
“Akhirnya jawab juga panggilan saya ya,”
Aku Cuma tersenyum kecil. Tiada alasan yang boleh diberikan sebab memang selama ini aku mengelak daripada lelaki ini.
“Macam mimpi,”
Aku tergelak kecil. Berbunga pula bahasa Datuk ini. Memang modal memikat. Berjiwa muda rupanya Datuk ini.
“Datuk nak cakap apa dengan saya ni?,”
“Hmm… kalau tengok pada usaha saya, rasanya tak payah cakap kot sebabnya. Mesha sendiri dah boleh teka,”
Aku senyum lagi. Memang pun. Itu sekadar ayat basa-basi sahaja.
“Kalau sudi, memang teringin nak ajak awak dinner,”
Bulat mataku melihat tangan Zaquan merangkul erat pinggang Marissa. Berlalu dari situ bersama gelak tawa. Membuat darahku menyirap tiba-tiba.
“Okay,”laju aku menjawab.
“Okay?,”
“Ya. Okay,”
“Serius?,”
“Serius,”balasku sepatah. Dan, aku sedar mata Jannah yang membulat memandangku. Reaksi Datuk, tidak pula aku tahu. Yang pasti, suaranya jelas kedengaran terkejut.
“Okay. Malam ni?,”
“Okay,”
“Mesha.. are you okay?,”
“Okay. Saya okay. So, we have a dinner tonight. Right?,”
“Yeah… betul…,”
“Okay. Saya tunggu,”
“Saya jemput awak pukul lapan malam,”
“Deal…Pukul lapan,”jawabku sepatah. Dan, jawapan itu membuat Jannah yang sedang menikmati fresh orange nya tersedak tiba-tiba.

***

Tuesday, August 11, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...2

“Kau marah ke?,”
Aku diam. Membawa pinggan ke sinki. Marah mungkin tidak, tetapi geram tetap ada mengusik hati ini.
“Sorrylah. Aku sebenarnya tak nak bagi. Tapi, Datuk tu, desak akulah. Tak sedap pula kalau aku terus cakap tak tahu. Nampak sangat aku menipu. Cakap tak boleh. Rasa macam kejam pula statement tu. Dah lah Datuk baik hati sudi juga nak tolong aku. Aku tersepit kat tengah-tengah. Jadi, aku bagi ajelah phone number kau tu. Kau tak marah kan?,”
Aku mengeluh perlahan. Panjang pula hujah temanku ini.
“Okaylah…okaylah… Lupakan. Aku nak marah kau lebih-lebih pun, bukan boleh buat nombor aku terdelete dari handphone dia. Lagipun, rasanya dia dah tak ada nak call aku kot,”
“Kenapa?,”
Aku tersenyum. Kemudian menggeleng perlahan. Sudah tiga hari tiada gangguan dari Datuk itu. Barangkali selepas mendengar kata-kata Zaquan tempoh hari.
“Turn kau basuh pinggan malam ni, ya. Make sure kau basuh sekarang. Jangan sampai aku bangun tengah malam, tengok sinki penuh dengan pinggan lagi. Aku buat meeting tergempar lagi, karang,”
Jannah mencemik. Aku tersengih.
“Nasib baik kau dengan aku aje. Nadd dengan Jam tak ada. Tak adalah banyak sangat aku kena basuh…,”
Aku tersenyum sambil menggeleng perlahan. Pemalas. Bagai tahu apa yang bermain di fikiranku, Jannah tersengih lebar.
“Dah selesai soal-selidik kau kat tempat Datuk tu?,”
“Dah. Cuma nak ambik beberapa appendixs. Sebenarnya aku yang lebih kena soal – selidik,”
“Kau? Kena soal-selidik? Pelik tu,”
Jannah tersengih.
“Aku tak tahu sama ada Datuk tu, memang free sangat atau aku ni special sangat, atau dia dah jatuh hati kat kau,”
Aku berpeluk tubuh. Mahu mendengar cerita seterusnya dari Jannah.
“Dia boleh pass aku kat mana-mana staff dia untuk aku dapatkan info yang aku nak. Tapi, dia sendiri yang entertain aku. Mula-mula aku ingat Datuk tu syok kat aku…,”
Aku mencemik sambil Jannah tergelak riuh. Perasan!
“Lepas tu, baru aku sedar, yang aku ni dipergunakan,”
“Dipergunakan? Kenapa? Apa Datuk tu buat kat kau? Dia ada buat benda tak senonoh ke?,”aku bersuara risau. Bukan sedikit cerita buruk yang aku dengar tentang datuk-datuk ini.
Jannah jegilkan mata.
“Hish! Kau ni. Ke situ pula. Datuk tu baiklah. Dia gunakan aku untuk dapatkan maklumat pasal kau. Dia soal-selidik kau,”
Aku terkedu. Kemudian menggeleng perlahan.
“Apa-apalah kau. Malas aku nak layan,”
“Betullah. Macam-macam dia Tanya pasal kau,”
Aku buat pekak. Terus meninggalkan ruang dapur. Tidak mahu mendengar lagi.
“Dia hensemlah. Walaupun dah berusia sikit,”
Aku tersenyum mendengar suara Jannah yang meninggi dari dapur.
“Dia solo tau!,”
“Dia baik tau!,”
“Kau ambiklah Jannah. Aku tak nak,”balasku sambil mencapai telefon bimbitku di atas meja.
“Kalau dia nak kat aku, dah berlari aku kejar dia. Ni, dia nak kat kau…Kau tak nak jadi Datin ke?,”
Aku tersenyum lagi. Malas terus bercakap tentang Datuk pujaan Jannah. Sekarang aku mahu teruskan usaha menjejak Zaquan yang hilang lagi. Kali terakhir bertemu dengannya di kampus tempohari, lelaki itu hilang lagi. Gagal dihubungi seperti biasa.Dan, aku mendail nombor Zaquan untuk yang ke berapa puluh kali, aku sendiri tidak pasti. Sama sahaja. Tidak berjawab. Aku mengeluh perlahan. Berat rasa dada ini menanggung rasa geram..marah..dan rindu sendirian. Tidak mampu untuk aku luahkan kepada sesiapa pun. Lebih-lebih lagi cinta aku dan Zaquan cuma kami berdua sahaja yang tahu.
Aku mengeluh lagi. Entah kenapa, hati aku yakin bersuara. Zaquan punya teman lain. Bukan hanya sekarang, suara hati ini membisikkan kecurangan Zaquan. Sudah cukup lama. Cuma aku tidak mahu bertanya. Aku tidak mahu kehilangan Zaquan kerana satu daerah lain di hati ini, mahu aku terus menyayangi dan mengharapkan Zaquan. Mahu terus mendengar gurau senda dan gelak bahagia Zaquan. Bodoh? Sudah beratus kali perkataan itu aku ungkapkan untuk diri sendiri. Namun, aku tetap mengharapkan Zaquan.
“Hey! Telefon kau berbunyi tu,”
Aku tersentak. Jannah sudah bersila di sofa. Jauh sungguh aku termenung. Irama dari telefonku terus beralun perlahan. Aku biarkan sahaja.
“Siapa tu?,”
“Datuk tu la..,”aku bersuara lemah.
“Kenapa tak jawab?,”
“Malaslah,”
“Kenapa malas?,”
Aku menggeleng perlahan. Memang aku tidak mahu memberi perhatian pada lelaki itu. Cukuplah hanya ada Zaquan di hati ini.
“Apa salahnya berkawan. Tengok macam mana,”
“Orang tualah. Nak kawan dengan orang tua, buat apa? Baik kawan dengan orang muda,”aku beralasan sambil bersandar ke sofa.
“Tua ke… muda ke…sama sajalah. Cubalah. Lagipun, kau ni, selama kita kenal, bukan ada kawan lelaki pun. Carilah pakwe sorang. Belajar dah habis, boyfriend tak ada lagi. Sekalikanlah. Dapat boyfriend dengan dapat degree,”
“Salah tu. Sekalikan dapat degree dengan dapat kerja. Tu baru betul,”
Jannah mencebik. Aku tersenyum sambil menatap telefon sekali lagi. Berkira-kira untuk menghubungi Zaquan sekali lagi. Namun, memikirkan rasa sakit hati yang bakal aku rasakan, seandainya panggilanku tetap tidak dijawab, niat itu aku abaikan. Cuma merenung kosong dan bunyi irama memberitahu ada pesanan SMS, membuat laju jemariku menekan button.

[Sayang, saya kat bawah. Jumpa awak kejap, boleh?]

Lebar senyum yang menghias bibirku. Pesanan dari Zaquan.
“Lebarnya senyum,”
Aku mengangkat muka. Tersenyum pula pada Jannah.
“Siapa?,”
“Coursemate akulah. Zaquan,”
“Oh…jejaka idaman Malaya tu?,”
Aku kerutkan kening.
“Idaman Malaya?,”
“Ha ah. Terkini, heboh minah gedik kelas aku, cakap dia sekarang dengan jejaka hensem tu. Berbulu telinga aku mendengarnya,”
Aku ternganga. Zaquan? Dengan teman sekelas Jannah?
“Apa nama kawan kau tu?,”
“Marissa. Kau tak kenallah. Bukan geng aku,”
“Oh… Oklah. Dia nak jumpa aku ni. Ada kat bawah,”
“Jumpa kau? Tak pernah pula dia jumpa kau. Kau dengan dia ada something-something ke?,”
“Tak ada. Kau ni. Cuba jangan BM kan BI tu. Buruklah bunyinya,”
Jannah tersengih.
“Aku turun kejap,”
“Kirim salam kat dia. Cakap kat dia, kalau nak serius, carilah perempuan lain. Janganlah dengan Marissa gedik tu,”
Aku tersenyum kelat. Cemburu? Memang aku cemburu. Marah? Memang terlalu marah. Namun, bagaimana harus aku hamburkan marah ini? Langkah kuhayun juga keluar dari pangsapuri. Menuju ke lif. Sekejap sahaja aku sudah berada di perkarangan pangsapuri. Melihat Zaquan tersandar di keretanya. Seketika aku tercegat sahaja memerhati dia dari jauh. Membiarkan rasa marah yang mahu menguasai diri ini, kembali surut. Perlahan aku menarik nafas sambil menyambung langkah.
“Awak…,”
Zaquan menoleh. Tersenyum lebar.
“Hai sayang,”
Aku tersenyum kecil sambil berpeluk tubuh. Senyum yang cukup hambar.
“Marahlah tu, ya?,”
“Taklah,”
Zaquan tersenyum. Tunduk merenungku.
“Saya kenal awak. Awak sedang marah. Sorry ya,”
“Saya tak marah, awak. Apalah hak saya nak marah awak kan?,”
“Sayang… jangan cakap macam ni. Tak sukalah dengar sayang macam ni,”
Aku tersenyum kelat.
“Kenapa nak jumpa saya ni?,”aku mengubah topik. Dan Zaquan mengeluh perlahan.
“Nak jumpa awak. Tak boleh ke?,”
“Mesti ada hal. Kan?,”
“Taklah. Rindu saja. Lalu kat depan rumah awak ni, tiba-tiba teringat pula,”
“Hmm… dah jumpa kan? Dah hilang rindu?,”
“Belum. Awak belum senyum kat saya,”
Aku lebarkan senyum.
“Dah. So, dah hilang rindu?,”
“Awak… kenapa ni?,”
“Kenapa ni? Saya marah. Saya marah, tahu tak? Awak janji tak nak buat lagi. Tapi, awak buat jugak. Macam orang gila saya call awak. Lansung awak tak jawab. SMS, tak payahlah nak cakap…,”
Zaquan menepuk dahi.
“Pasal tu ke? Sorry sayang. Saya tertinggal phone kat rumah. Dah tiga hari saya tak balik rumah. Duduk rumah Zul. Nak siapkan assignment kita tu. Minta awak tolong, awak tak nak. Sorry ya. Phone saya kat rumah. Macam mana nak jawab,”
Aku tersenyum sinis. Ya sangatlah tu. Macam manalah Zaquan nak hidup tanpa telefonnya itu. Teruslah berbohong wahai lelaki.
“Betul, sayang. Sumpah,’
“Ni, macam mana boleh SMS saya ni? Kata phone tertinggal,”
“Baru bailk tadi. Ambil telefon, terus ke mari,”
“Takkan tak Nampak call saya yang berpuluh-puluh? Tak masuk lagi SMS saya. Kenapa tak reach me pun?
“Dah memang saya nak ke sini. Nak buat surprise,”
“What ever lah, awak,”
Zaquan tersenyum.
“So, senyumlah sikit,”
Aku tersenyum hambar. Mana pergi marahku tadi? Kenapa hatiku terus sejuk mendengar bicara manis ini? Padahal aku tahu itu semua Cuma alasan untuk melepaskan diri.
“Jom. Kita pergi makan,”
“Baru lepas makan,”
Zaquan buat muka sedih.
“Saya belum makan ni. Temankanlah,”
“Tak naklah. Saya nak tidur,”
“Please….,”
Aku menggeleng perlahan. Walau sudah tiada marah, namun, hatiku tiba-tiba tawar untuk terus menatap wajah itu.
“Sorry ya. Lain kali,”
Zaquan mengeluh hampa.
“Okay. Awak pun tahu, saya tak suka paksa-paksa,”
Aku menganguk perlahan.
“Saya masuk dulu ya,”
Zaquan menjongket bahu.
“Awak…,”
Aku berpaling.
“Serius. I really miss you,”
Aku tersenyum.
“Me too… lebih banyak dari rindu awak,”
Zaquan tersenyum sambil berpeluk tubuh tubuh. Senyum itu Nampak sungguh ikhlas.
“And… awak… housemate saya kirim salam. Dia cakap, kalau nak serius, carilah perempuan lain. Janganlah dengan Marissa gedik tu,” aku bersuara setenang mungkin. Dan, wajah tenang Zaquan berubah tiba-tiba.
“Marissa?,”
“Siapa pun Marissa. Awak masih lagi bernasib baik. Sebab, saya masih tak mampu nak benci awak, Zaq,”
“Mesha…let me explain…,”
Aku tersenyum. Kemudian menggeleng perlahan.
“Saya tak mahu dengar. Saya Cuma mahu tahu cerita awak dan saya. Selain dari tu, saya tak mahu dengar. Awak nak rahsiakan dari saya kan? So, keep it as a secret sampai bila-bila,”
“Saya tak nak lukakan perasaan awak. Sebab tu, saya tak cerita..,”
“No. Awak tak pernah lukakan perasaan saya. Saya yang rela lukakan perasaan saya sendiri. Sebab, saya cintakan awak sangat-sangat,”
“I am sorry, sayang. I love you…Marissa tu, nobody to me,”
Aku tersenyum hambar. Barangkali ayat itu terlalu biasa meniti di bibir lelakiku ini.
“Sorry ya. Saya tak dapat nak temankan awak. Saya benar-benar tak ada mood. And, honestly, cerita Marissa ni, turut jejaskan mood saya. Saya masuk dulu,”aku bersuara sambil terus melangkah. Aku tahu Zaquan ingin bersuara. Tapi, kesempatan itu tidak akan aku berikan. Pasti hati ini akan lebih sakit mendengar sejuta alasannya.

***

Sunday, August 9, 2009

CINTA...SAYANG...ATAU KASIH...

Aku tersenyum. Gembira yang bukan sedikit. Senyum kecil yang terpamer di bibir Zaquan bagai membasuh selaut rindu yang menghimpit dada ini. Senyum yang cuma seketika sebelum senyumnya melebar pada teman-teman yang lama menunggu. Sudah tiada layanan istimewa untukku. Aku faham. Memang dia tidak mahu sesiapa tahu tentang hubungan ini.
“Sorry geng. Lambat sikit. Jammed lah,”
“Tak payah sorrylah Zaq. Kitaorang dah habis discussion pun, dah nak balik dah. So, kerja kau, kau taiplah kita punya final ‘mega project’ ni, ya…Kita orang nak ontime. Jangan sebab kau, kami kena sambung satu sem lagi. Kitaorang nak graduate, tak nak attend kelas! Faham?,”
“Mana aci. Takkan aku yang kena taip. Taip chatting, aku lajulah. Tapi, takkan aku nak kena taip assignment. Tak cool lah,”
Aku cuma tersenyum. Tersenyum mendengar kata-kata Marzuki. Juga tersenyum mendengar jawapan Zaquan. Jemari pantas menyusun buku yang bertimbun di hadapanku. Sama pantas dengan teman-temanku yang lain.
“Oklah. Aku nak blah dulu. Cool ke…warm ke… waima hot sekalipun. Ada aku kisah? Aku! Sebagai ketua kumpulan ni, aku putuskan, keputusan aku, muktamad. Dan, jangan mengada-ngada guna kehenseman kau tu, pi goda anak dara orang suruh tolong buat kau punya kerja. Aku tak benarkan,”Marzuki bersuara sambil mencapai beg galasnya. Ada nada serius dan gurau, bersatu di dalam irama kata yang dilontar. Aku sedar itu. Dan, kata-kata itu membuat aku tergelak. Di ikuti dengan gelak teman-teman yang lain. Membuat wajah Zaquan sedikit kelat. Melihat semua sudah bersedia untuk beredar, aku mengangkat punggung.
“Sayang….,”
Aku terkesima. Liar mataku melihat sekeliling. Mencari kalau-kalau ada telinga yang mendengar. Nasib baik semua teman sekumpulan sudah beredar agak jauh. Pandangan kuhalakan pula ke wajah Zaquan yang tersenyum lawa. Rindunya aku pada lelaki ini.
“I miss you,”
Aku tersenyum. Memeluk buku ke dada. Renungan Zaquan membuat aku lupa, beberapa hari yang lalu, mataku basah dengan air mata hanya kerana seorang Zaquan. Beberapa hari lalu, hatiku remuk dengan tingkah seorang Zaquan.
“Awak tak risau ada orang dengar ke?,”soalku sambil tersenyum lebar. Zaquan tergelak halus.
“Mana ada orang?,”
Aku tersenyum sambil menggeleng perlahan.
“Saya balik dulu, ya,”
“Alaa… tunggulah kejap. Saya baru sampai, semua orang dah nak balik. Sekarang awak pula nak balik. Lama tau, tak tengok awak ni. Rindu sangat-sangat ni,”
“Awak yang lambat. And, awak yang menghilangkan diri. Tak tahu kenapa. Bukan saya yang tak nak jumpa awak,”
“Tak sengajalah, sayang…Sorry ya,”
Aku tersenyum malu. Kekok mendengar Zaquan memanggil panggilan itu secara terbuka begini.
“Saya balik dulu, ya,”aku bersuara lagi.
“Awak marah saya, kan?,”
Aku berpaling. Barangkali Zaquan sudah masak dengan perangaiku. Sudah tahu bila aku marah dan bila aku bahagia dengannya. Dan, sekarang memang aku sedikit terkilan dengan layanannya padaku.
“Saya nampak macam marah ke?,”aku buat-buat tanya. Zaquan mengeluh perlahan sambil menggosok tengkuk.
“Okay…Saya minta maaf ya. Saya tahu saya salah,”
Aku mengeluh perlahan. Perlukah aku mendengar dan menerima lagi ungkapan maaf itu? Baru sahaja aku ingin bersuara, irama telefon bimbitku pula mengganggu. Laju aku menyelongkar beg sandang sambil Zaquan berpeluk tubuh memandangku. Telefon aku keluarkan. Panggilan aku matikan.
“Siapa tu? Kenapa tak jawab,”
Aku menggeleng perlahan.
“Pakwe baru ke? Tak nak jawab call depan saya? Sebab tu, cepat sangat nak balik, ya?,”
Aku mula mengatur langkah. Zaquan mengekori dari belakang. Aku tahu soalan Zaquan sekadar bercanda. Mana pernah Zaquan benar-benar cemburu padaku. Cuma aku sahaja yang saban waktu menahan rasa cemburu melihat Zaquan dikelilingi gadis-gadis cantik.
“Awak ke mana sebenarnya?,”akhirnya terluah juga soalan yang kupendam selama ini. Berpaling sambil merenung wajah kesayanganku itu.
“Ada…,”
“Call tak jawab?,”
“Phone rosak, yang,”
“Email tak reply…,”
“Malas nak buka,”
“Kelas tak masuk…,”
Zaquan tersengih sambil kenyitkan mata. Tahu maksud kenyitan itu. Malas pergi kelas.
“Takkan tak surf internet langsung,”
Zaquan tersengih sambil menggeleng. Aku diam. Kenapa perlu kau berbohong wahai kekasihku? Aku tahu dia berbohong. Tetapi, kenapa tiada daya untuk aku memarahinya? Aku nampak facebook nya sering saja ada aktiviti terkini. Belum lagi pelbagai rangkaian telekomunikasi sosialnya yang lain.
“Kenapa tanya semua ni? Tak pernah saya kena soal siasat macam ni…,”
Aku tersenyum. Sebab saya cemburu dan sakit hati, awak. Aku menjawab bersama senyum yang masih menjadi penyeri di bibir.
“Jom…,”
“Pergi mana?,”
“Kita makan? Saya laparlah. Rush datang sini. Tahu-tahu, dah sampai, semua orang dah nak balik,”
“Salah awak. Semua orang benggang tau. Itu final project. Tapi, awak lepas tangan macam tu pulak,”
“Awak? Awak pun bengang ke?,”
“Saya? Saya benggang sebab dekat dua minggu saya cari awak tak dapat. Awak pun, langsung tak cari saya, kan? Saya risau tau,”
Zaquan tersengih.
“Sorry sayang. Promise. Lepas ni, tak buat lagi,”
Aku mencemik. Janji? Tak apalah. Aku tak mahu pegang pada janji itu. Pasti, lepas ini akan dimungkiri lagi.
“Tak percaya ya?,”
“Awak tak pernah cuba nak buat saya percaya pun. Setiap masa awak berjanji. Setiap masa juga awak buat saya makan hati,”
Zaquan tersenyum.
“Makan hati, sayang? Jahatnya saya, buat awak macam tu. Kan?,”Zaquan cuba bersenda. Aku tersenyum lagi.
“Memang pun…,”balasku selamba. Bulat mata Zaquan merenungku.
“Tak kisahlah kalau awak nak cakap saya ni jahat. Cuma, saya nak awak percaya satu perkara saja,”
“Apa dia?,”
“I love you. Saya sayang awak,”
Aku tersenyum panjang.
“Senyum saja? Senyum pula, lain macam aje?,”
Aku menarik nafas dalam-dalam. Memandang wajahnya yang sedikit kehairanan.
“Sebenarnya kan…,”
Kening Zaquan berkerut.
“Sebenarnya apa?,”
“Yang itu pun, saya tak begitu pasti,”aku berterus-terang.
“Tak pasti?,”
“Yup. Tak pasti. Langsung saya tak pasti kalau awak memang cintakan saya. Kalau-kalau awak cuma nak permainkan saya. Cuma, yang saya cukup pasti, hanya awak saja yang ada dalam hati saya ni. Tak ada daya saya nak lupakan awak. Terpaksalah saya terima apa saja yang awak buat kat saya,”
Zaquan diam. Aku juga diam. Cuma, telefon bimbitku, menjerit sekali lagi. Telefon yang masih di tangan, aku tatap kemudian aku matikan. Kejam? Rasanya sedikit kejam. Tetapi, aku benar-benar tidak mahu menjawab panggilan itu.
“Tak jawab lagi. Is everything okay? Siapa tu? Kenapa tak nak jawab?,”
Aku sekadar jongket bahu sambil menyeluk poket seluar jeans.
“Mesti ada reason kenapa sayang tak nak jawab call tu. Siapa tu?,”
“Orang nak tackle saya,”aku menjawab sambil berpaling mencari wajah Zaquan. Langkah Zaquan terhenti.
“Ohh… betullah saya teka? Siapa? Kenapa tak jawab pula? Kesian orang tu, kan?,”suara Zaquan sudah berubah nada. Barangkali cemburu. Barangkali menyindir. Aku sendiri tidak pasti. Sebab aku tidak pernah melihat lelaki ini cemburu padaku.
“Kalau saya jawab, lagi kesian,”
“Kenapa?,”
Aku mengeluh perlahan.
“Awak… kenapa tiba-tiba awak open macam ni, ya?,”
“Open?,”
Aku berpeluk tubuh. Merenung wajah Zaquan untuk ke sekian kalinya.
“Dah tiga tahun awak declare hubungan kita. Sejak kita mula-mula belajar lagi. Tapi, awak nak rahsiakan. Tiba-tiba hari ni, awak layan saya macam ni. Macam dah tak nak simpan rahsia pula,”
Zaquan tergelak.
“Oh…. Sebab saya… saya… rindu sangat kat awak. Lama sangat tak tengok muka awak. Tak dengar suara awak. Tak boleh kawal perasaan hari ni, sayang,”
Aku diam. Manisnya bicara lelaki ini. Tapi, inilah lelaki yang aku pilih untuk bertakhta di hati. Dan, alunan irama telefonku, membuat Zaquan merengus perlahan.
“Please. Answer it,”
Aku menggaru kepala. Antara mahu dengan tidak, aku jawab juga panggilan kali ketiga itu.
“Sorry, Datuk. Ada discussion tadi. So, tak dapat nak jawab call Datuk…,”
Zaquan beralih cara berdiri.
“Datuk….,”bisiknya perlahan. Aku jegilkan mata. Memberi isyarat agar tidak mengganggu perbualan aku.
“Siapa tu. Macam ada suara menyampuk,”
Aku tersengih.
“Tak adalah, Datuk. Kawan…,”
“Bukan kawan. Ni, kekasih dia. Tolong jangan ganggu kekasih orang, ya,”Zaquan bersuara hampir di telefonku. Segera aku putuskan panggilan. Risau, Zaquan akan merepek lagi.
“Awak….tak baik buat macam tu,”
Zaquan tersenyum lebar. Aku menjeling.
“So, Datuk mana?,”
“Entah,”
“Entah?,”
“Ha ah. Entah. Saya tolong kawan cari bahan untuk project assignment dia. Pergi ke tempat Datuk tu. Dia sudi tolong kawan saya tu,”
“Oh… saya kenal ke kawan awak tu?,”
“Junior kita. Awak tak kenal kot,”
“Apa pula, kena – mengena Datuk tu, dengan awak? Assignment kawan awak, kenapa Datuk tu cari awak?,”
“Mana saya tahu. Kalau awak nak tahu, tanyalah Datuk tu sendiri,”
“Macam mana dia dapat nombor awak?,”
“Orang dah minta, kita bagilah. Kan? Kan itu yang selalu awak cakap dengan saya…,”
“Oh…okay. Bagilah. Memang itu hak awak pun. Saya tak ada hak nak halang,”
Aku tersenyum. Zaquan benggang bila aku menyindirnya begitu. Aku tahu itu.
“Kawan saya tu yang bagi kot. Saya pun tak tahu dari mana dia tahu,”akhirnya aku berterus-terang.
Zaquan tersenyum hambar.
“Tak mahu cakap pasal ni lagi. Jom temankan saya makan,”
Zaquan mematikan bicara. Aku mengangguk perlahan. Itulah cara Zaquan mematikan selisih-faham antara aku dan dia. Tidak pernah mahu panjangkan perkara yang boleh membuat masing-masing hanyut dalam rasa tidak puas-hati. Zaquan hanya mahukan hubungan yang penuh dengan senyum dan tawa. Yang boleh membuat dia bahagia. Aku? Aku juga mahukan perkara yang sama. Namun, kalau tiap kali ada perselisihan, jalan penyelesaiannya cuma menutup cerita tanpa berbincang, aku yakin, satu hari, pasti hubungan ini akan berhadapan dengan masalah.
“Sayang… jomlah,”
Aku tersentak. Zaquan bercekak pinggang bersama mimik muka buat-buat marah. Aku tersengih sambil mencapai tangan yang dihulurkan. Pertama kali jemariku digenggam erat di dalam kawasan kampus. Memang Zaquan pelik hari ini.

***

Friday, August 7, 2009

Minda Tak Berfungsi...3

Keningnya berkerut seribu. Sekaligus diserbu rasa gusar yang bukan sedikit. Jantung sudah seperti mahu terkeluar. Apa kena dengan temannya yang seorang ini. Hilang akal atau sudah dirasuk? Apa pun alasannya, dia sudak kecut perut. Kecut perut yang bukan sedikit.
“Kau kenapa? Gelak apa?,”soalnya resah sambil menjeling pada lampu isyarat. Masih merah. Lambatnya! Sekali lagi dia menjeling cemas.
“Tu haaa… saman je Encik,”temannya bersuara sambil tergelak lagi. Dia menjeling pula pada seorang anggota polis trafik. Bercakap sesuatu dengan seseorang yang mungkin elok kalau dia panggil pakcik.
“Aku rasa kalau ada lagi tiga orang anak, mesti dia angkut lagi naik motor…dah macam keretapi aku tengok,”tambah temannya lagi. Dia tersenyum kecut. Memang kelakar melihat pakcik itu membonceng empat anak sekaligus. Namun, rasanya tidak sesuai untuk dia gelak sekuat temannya itu. Gila ke? Melihat gelak temannya seakan tidak mahu hilang, spontan tangannya menunjal kepala.
“Hei! Kau apahal?,”
“Kau gelak kuat-kuat, kenapa?,”
“Suka hati akulah. Kau dengki kenapa?,”
“Dengki tengkorak kau. Kau gelak, tak pasal-pasal polis tu perasan kita. Bodoh…,”
“Dah tu kenapa?,”
“Kenapa kau tanya? Kita tak pakai helmet ni, dol!,”bisiknya keras.
Temannya sudah ternganga. Padan muka. Saat temannya berpaling, dia betul-betul puas hati melihat muka pucat temannya itu. Tak adalah dia pucat sorang-sorang.
“Adeh Midun. Cam mana ni? Lampu merah lagi ni?,”temannya sudah tidak tentu arah.
“Langgar ajelah. Tak de kereta tu,”
“Gila kau. Kalau dia perasan, kejar kita, macam mana?,”
“Dia tak perasan lah. Tengah sibuk bagi ceramah kat pakcik anak ramai tu,”dia terus menghasut. Risau kalau-kalau kesalahan dia dan temannya pula sempat dihidu polis traffic itu.
“Aku langgar ni,”
“Jap…aku tengok jap. Ok ..ok…dia tak perasan. Line clear. Jalan aje,”
Motorsikal bergerak melanggar lampu merah. Dia mengeluh lega sambil terus memandang ke belakang. Sah polis traffic itu tidak sedar.
“Fuh! Lega!,”
“Hamidon!,”
Leganya tercabut dari rasa. Jeritan temannya membuat dia kembali tidak tentu hala.
“Kenapa?,”
“Siot kau! Habis kita. Masak kita!,”
“Kenapa?,”
“JPJ siot. Road block kat depan tu?,”
Haaaaaaaa?! Jantungnya sudah betul-betul tercabut. Lari dari polis traffic, jumpa JPJ? Tidak! Mimpi ngeri!
“Ni semua kau punya pasal. Aku dah cakap pakai helmet. Kau tak nak,”dia mula membebel. Walaupun dia sendiri tidak perasan bila dia memberi cadangan yang baik itu pada temannya. Dan, dia tahu temannya itu tidak berkeinginan untuk bertekak dengannya saat ini.
“Apa kita nak buat Dun?,”temannya bersuara risau.
“Buat cool. Selamba aje,”
“Selamba hatok kau. Motor bapak aku ni!,”
Dia terdiam. Kelu.
“Dia tahan kita, Dun…,”
“Berhentilah. Jangan lari. Tak baik susahkan kerja polis…,”
Temannya akur bagai seorang anak yang patuh.
“Selamat petang, Encik,”dia menyapa ramah. Namun, kenapa suaranya bergetar. Lantaklah. Sekurang-kurangnya lebih elok dari temannya yang terus membisu seribu bahasa.
“Hmm.. turun kejap,”
Aduhai! Seriusnya. Dia akur. Temannya juga. Perlahan turun dari motosikal.
“Sunyi betul jalan hari ni ya,”
“Ha ah. Encik. Sunyi betul,”laju dia menyampuk sambil menggeleng-gelengkan kepala.. Sekurang-kurangnya dia selamat. Pegawai JPJ ini tidak sedar dia baru sahaja melanggar lampu merah.
“Sunyi ke, kau langgar lampu merah? Kau ingat aku tak nampak?,”
Dia terkedu. Tersengih dan buat buka tidak bersalah. Tunduk dan akur.
“Kau hantuk kepala kat jalan kejap. Aku nak tengok,”
“Hah?!,”sungguh dia terkejut. Temannya juga tentulah sama-sama terkejut.
“Apa pulak Encik. Tak baik guna kekerasan Encik,”temannya tiba-tiba jadi berani. Menentang renungan tajam pegawai yang tercegat di hadapan. Sudah tidak hiraukan lagi beberapa pasang mata pegawai lain yang turut memerhati.
“Kekerasan apa? Aku nak tengok kepala kau kuat ke tak. Kalau tak berdarah, aku tak saman kau. Kalau pecah kepala tu, aku terpaksa saman. Pasal kepala kau tak cukup kuat. Kau kena jugak pakai helmet,”
“Yalah Encik. Salah kita orang, tak pakai helmet. Sorrylah Encik. Lepas ni, kita orang tak buat, Encik,”dia bersuara separuh merayu.
“Ya, Encik. Kita orang janji Encik. Kasi kita orang satu je peluang,”
“Banyaklah kau punya janji. Helmet tak pakai. Langgar lampu merah. Tunjuk lessen, aku nak tengok,”
Dia diam memandang temannya. Wajah temannya sudah semakin mendung.
“Tak apalah Encik. Bawa naik truck la motor saya. Nanti sampai balai saya telefon bapak saya ya,”
Dia terkebil-kebil. Pasrahnya temannya ini.
“Kenapa pulak?,”suara pegawai yang bertanya masih lagi serius.
“Saya tak ada lesen,”
“Hah?! Kau tak ada lesen? Kenapa tak cakap?,”
“Dah kau tak ada. Memanglah aku pun tak ada. Semua benda kita buat sama-sama, kan?,”
“Eloklah. Nanti kau orang berdua, sama-sama terjun gaung ya. Dah tahu tak ada lesen bawa juga. Dah tu, tunjuk hero, helmet tak ada, lampu merah langgar,”
Dia tunduk.
“Nanti kau doakan aku selamat ya, Midun,”
Mendengar suara temannya, dia mengangkat muka.
“Kenapa Pian?,”
“Yalah. Kot-kot aku rentung kena fire ngan bapak aku nanti. Dah Sembilan kali dia marah aku bawa motor hari ni. Enam kali failed seludup keluar motor ni. Ni pun, aku curi-curi ambik masa dia kat bilik air ni,”
Dia mengangguk perlahan mendengar cerita Pian. Patutlah janji Pian pagi tadi, petang sebegini baru tertunai. Tersangkut dengan bapa rupa-rupanya.
“Yalah. Aku doakan….,”
Dia bersuara perlahan. dan dia perasan wajah serius pegawai di hadapannya sedikit tersenyum sambil menggeleng. Dan sudah tentu sambil memberi arahan agar motorsikal temannya itu di bawa ke gigi jalan.
Dia pula… Cuma menepuk perlahan bahu temannya. Cuba tenangkan Pian yang sudah pucat mukanya. Dia yakin, saat ini, Pian lebih takutkan bapanya berbanding pegawai-pegawai di sebelahnya....
[11:35:50 PM] hos.getah: