Friday, June 8, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 10


“Abang jumpa Taufik kejap,”
Aku angguk dan Encik Firdaus bergerak meninggalkan aku. Menyertai Taufik yang kulihat sedang bersiap-siap dengan joran. Pastu mahu pergi memancing. Aku pula terus menuju ke anak tangga. Dari halaman kulihat Pak Long sedang termenung di beranda rumah bersama cawan di tangan.
“Tiya!,”
Aku menoleh. Encik Firdaus memberi isyarat mahu pergi bersama Taufik. Aku mengangguk sambil tersenyum. Sejak jadi orang kampung, Encik Firdaus bukan main suka lagi dengan aktiviti-aktiviti orang kampung.
“Assalamualaikum, Pak Long,”aku memberi salam sambil menanggalkan sandal di kaki. Pak Long kulihat mengalihkan pandangan ke arahku.
“Waalaikumussalam… Adiya. Sorang saja ke?,”
“Dengan abang Firdaus. Tapi, dia ikut Taufik pergi mancing kot. Mak Long ada, Pak Long?,”ujarku sambil meniti anak tangga. Langkah terhenti seketika di beranda sambil mataku menjengah ke dalam.
“Hmm… Mak Long kamu ada dekat dapur tu haaa… Entah apa kena pula hari ni. Termenung panjang tu. Tengok ni… kopi Pak Long pun kurang manisnya. Mesti buat sambil mengelamun ni,”
Aku tergelak kecil apabila Pak Long suakan cawan di tangannya padaku.
“Mak Long sayang Pak Long tu. Tak nak Pak Long kena kencing manis…,”
Pak Long sekadar mencemik. Membuat aku tersenyum lebar.
“Kamu bawa cawan ni ke dapur ya. Tak selera Pak Long nak minum kopi tawar ni. Cakap dengan Mak Long kamu, Pak Long nak ke sungai ya…,”
Aku mengangkat kening.
“Merajuk dengan Mak Long ke ni, Pak Long?,”
Sekali lagi Pak Long mencemik. Cawan yang dihulur aku capai, dan Pak Long terus mengangkat punggung.
“Pak Long nak cari rebung. Firdaus suka makan rebung kan? Terlanjur kau orang ada kat kampung ni, Pak Long carikan kejap,”
Aku tersengih. Laju aku mengangguk. Bukan Encik Firdaus saja yang sukakan rebung. Aku pun gila rebung!
“Cari banyak sikit ya, Pak Long…,”usikku sambil tersengih. Pak Long yang sedang menyarung selipar di kaki cuma berdehem perlahan. Melihat Pak Long melangkah meninggalkan halaman, aku segera melangkah masuk ke dalam. Laju bergerak menuju ke dapur. Sebaik terpandang Mak Long yang termenung panjang di meja makan, aku perlahankan langkah. Seketika aku tercegat di belakangnya tanpa dia sedar.
“Mak Long!,”sergahku sambil menyentuh bahunya.
“Mak aku sedih…sungguh aku sedih…,”
Aku tergelak besar. Mak Long menoleh sambil mengurut dada.
“Diya! Terkejut Mak Long,”
Aku tersenyum. Cawan kopi yang bagai tidak berusik di tangan, aku letak ke atas meja.
“Bukan kopi Pak Long kamu ke ni? Kenapa tak diminumnya? Tadi, bising nak kopi,”
“Pak Long merajuk. Dia cakap Mak Long buat kopi tawar,”
“Ya ke?,”laju cawan kopi diambil lalu diminum. Kemudian termenung seketika.
“Ni bukan tawar sikit. Agaknya Mak Long lupa letak gula ni…,”
Aku tergelak lagi. Lupa? Lama aku pandang wajah Mak Long yang berkerut sambil meletakkan semula cawan kopi.
“Macam-mana boleh lupa ni?,”
Mak Long mengeluh perlahan.
“Mak Long duk fikir ni… apalah nasib si Idayu tu nanti…,”
“Idayu? Idayu mana pula ni Mak Long?,” kerut kening aku bertanya. Pantas cuba mengingati kalau-kalau ada orang kampung yang bernama Idayu.
“Sampai hati si Hisyam tu. Buta hati lelaki tu. Ada ke dia ceraikan Idayu tu. Sakit hati Mak Long ni. Kesian Idayu tu,”
Aku diam. Memandang Mak Long yang perlahan mengupas bawang  di tangan. Rasanya kerja itu terhenti dek lamunannya tadi.
“Kena cerai?,”
“Ya! Cemburu butalah tu. Dia main kayu tiga, tak ada pun Idayu tu mengamuk. Kena tang batang hidung dia, nak melenting pulak. Geram sungguh…,”
Aku melabuhkan punggung ke kerusi. Seperti serius cerita ibu saudaraku ini.
“Orang kampung kita ke, Mak Long? Diya tak pernah dengar nama tu. Baru pindah ya?,”
Mak Long mengangkat muka. Bawang diletakkan semula ke dalam pinggan.
“Siapa yang baru pindah?,”
“Tu…Idayu tu…,”
“Tak lah…,”
“Dah tu… siapa? Kesiannya kena cerai dengan suami dia. Sekarang dia kat mana?,”
“Tak tahu lagi. Baru sampai kat dia kena cerai. Nak sambung baca sampai habis, sibuk  Pak Long kamu minta buat kopi…,”
“Tak tahu lagi? Sambung baca?,”
“Yalah. Mak Long tak habis baca lagi novel tu,”
Aku terlopong. Begitu beria Mak Long bercerita, rupa-rupanya hanya satu kisah di dalam novel?
“Novel ke Mak Long?,”
“Yalah. Kamal belikan masa dia balik semalam,”
Aku tergelak. Rupa-rupanya aku sudah tertipu. Dan, aku terfikir, sejak bila pula ibu saudaraku ini minat membaca?
“Kamu datang sorang saja ke? Selalu tak boleh nak berenggang dengan suami tu…,”
“Mak Long ni…tak baik cakap Diya macam tu, tau. Tapi, memang datang dengan Abang pun tadi. Dia ikut Taufik pergi mancing kot. Mak Long, abang Kamal mana? Kereta dia ada kat laman tu. Tapi, kereta Mia tak ada. Dia keluar dengan Mia ke?,”bertingkat-tingkat soalanku sambil menjenguk ke halaman dari tingkap dapur.
“Ada tadi. Solat Asar kot. Mana ada Mia tidur sini pun. Datang semalam… balik dari rumah kamu tu, dia terus balik KL…suruh abang Kamal kamu pelawa bermalam pun, tak dilayannya…,”
“Ehem…ehem… tak baik mengumpat,”
Aku mengalihkan pandangan. Tersenyum pada Abang Kamal yang kelihatan segar wajahnya. Mak Long kulihat mengangkat kening padaku. Aku tersengih.
“Takut benar orang mengumpat kamu ya?,”Mak Long bersuara sambil mengangkat punggung. Bergerak menuju ke arah peti sejuk. Mengeluarkan sesuatu dari situ sambil terus bergerak ke sinki. Abang Kamal mengambil tempat ibunya. Bekas bawang dihulurkan kepadaku. Pinggan berisi bawang turut terhulur padaku.
“Kupas bawang ni. Belajar jadi suri rumah,”usik Abang Kamal bersama senyum. Aku jegilkan mata sambil sebiji bawang merah kulontar padanya. Abang Kamal mengelak sambil tergelak kecil.
“Cepat Mia balik. Ingatkan dia bermalam kat sini,”aku bersuara. Abang Kamal terus diam. Cuma perlahan dia menjongket bahu. Wajah ceria sudah berganti sedikit kelat. Puncanya pasti topik tentang Mia.
“Tak baik tau, buat muka macam tu. Kasihan Mia…,”
“Tiha… please…,”
Aku merengus perlahan sambil mencemik. Kalau sepatah lagi bicara tentang Mia meniti di bibirku, pasti bibir Abang Kamal tidak akan mengukir senyum petang ini.
“Abang… sejak bila Mak Long suka baca novel?,”aku separuh berbisik. Nampaknya topik baru ini lebih membuat Abang Kamal selesa. Buktinya, dia mampu tersenyum semula.
“Sejak Taufik berjinak-jinak beli novel,”
Aku kerutkan kening.
“Taufik pun suka baca novel juga? Macam perempuan… Tapi, Mak Long emosi betul ya?,”
Abang Kamal mengangguk perlahan.
“Sekarang ni, kalau dia tengah baca novel, ayah aje yang boleh minta macam-macam. Permintaan anak-anak tak akan dilayan,”bisik Abang Kamal membuat aku tergelak halus.
“Mak Long dengar ada orang ngumpat Mak Long,”dari sinki, Mak Long bersuara.
“Ops…,”ucapku sepatah sambil menutup mulut dengan jari. Abang Kamal tersenyum. Mak Long pula menjeling.
“Daripada penat fikirkan kamu yang tak nak kahwin-kahwin, baik mak baca buku cerita. Hilang tension mak ni, tau,”
Aku tersengih. Abang Kamal mengeluh berat sambil perlahan menggosok belakang leher.
“Tengok muka dia tu Diya… tengok. Macam tulah bila Mak Long buka mulut pasal kahwin,”
“Mak… tak kahwin tak bermakna dunia ni dah kiamat mak. Lagipun, kalau ada jodoh, saya tetap akan kahwin…,”
Aku diam tidak bersuara. Cuma kepalaku sekejap berpaling ke arah Mak Long di sinki, sekejap berpaling pula pada Abang Kamal di hadapanku.
“Jangan-jangan kamu ni gay tak?,”
“Mak!,”spontan Abang Kamal terjerit.
Aku ternganga. Melihat reaksi terkejut Abang Kamal juga wajah serius Mak Long sungguh aku mahu tergelak. Lebih melucukan lagi apabila tiba-tiba ibu saudaraku menjadi wanita serba tahu tentang segala informasi sebegitu.
“Mak cakap apa ni?,”
“Mak baca buku cerita. Ada orang lelaki kalau kecewa bercinta, dia jadi macam tu. Mak tak nak kamu pun jadi macam tu…,”
“Mak… selama tiga puluh tiga tahun mak bela saya ni, ada ke cirri-ciri saya nak jadi macam tu? Mengarutlah mak ni. Baik jangan baca novel lagi. Nampaknya novel bagi pengaruh tak baik kat mak,”
Mak Long sudah bercekak pinggang. Abang Kamal mengangkat punggung.
“Nak pergi mana tu?,”
“Nak pergi mengorat anak dara kat kampung ni,”
Terhambur gelak di bibirku.
“Eloklah tu. Kalau nak mengorat anak dara, mak sokong,”
Abang Kamal berpaling. Memandang geram ke arah ibunya. Kemudian matanya teralih padaku.
“Pengaruh novel….,”ucapnya padaku sambil berlalu. Aku tergelak sakan. Melihat Mak Long mencapai senduk, laju Abang Kamal berlari ke ruang tamu. Aku menggeleng perlahan sambil tersenyum lebar.
“Payah benar nak pujuk abang Kamal kamu tu Diya,”
Aku tersenyum kecil.
“Mak Long sabarlah. Bagi masa pada Abang Kamal. Macam dia cakap tadi, kalau ada jodoh dia pasti akan kahwin,”
Mak Long mengeluh perlahan. Kemudian mengangkat muka memandangku.
“Berapa hari kamu balik kampung ni?,”
“Esok balik KL…,”
Mak Long diam. Aku mengangkat punggung. Bergerak mendekati Mak Long.
“Nak Diya tolong?,”aku bersuara. Mak Long pula dengan senang hati menghulurkan sayur sawi yang baru selesai dibersihkan.
“Potong ni,”
Aku tersenyum. Dengan senang hati mahu menolong Mak Long sementara menanti Encik Firdaus pulang bersama Taufik.


*****

Biarkan YM Terus Bicara 9

Aku garu kepala. Yang mana satu ni? Sesekali aku menjenguk ke pintu dapur. Mahu bertanya, tetapi aku malu. Malu pada Mia yang tekun menemani Abang Kamal. Sudahnya aku terduduk di tunggul kelapa yang sudah kontot. Memandang Atok yang melingkar di kaki. Memang satu kesilapan aku ingkar pada nasihat ibuku yang satu ini.
            “Yang mana satu ni, Atok? Akak tak tahu ni,”
            Atok cuma mengingau halus. Aku mengeluh risau. Pasti Atok pun sedang keliru macam aku. Sekali lagi aku menggaru kepala.
            “Nanti kalau akak tanya, mesti Mia gelakkan akak. Malulah akak,”
            Atok mendongak merenung wajahku dengan matanya yang bercahaya. Tumpang simpati untukku barangkali.
            “Haaa… kenapa akak lupa ya. Kan Sherry ada…,”aku terjerit lega. Teringat pada tetamuku yang baru tiba itu. Senyum melebar tiba-tiba. Memang cutiku untuk menjengah ibu, kali ini cukup meriah. Kebetulan hari ini Abang Kamal datang ke rumah, Sherry pula baru pulang menjenguk ibunya. Jadi, riuhlah rumahku hari ini. Sejak berkahwin, memang bukan selalu aku dapat berjumpa dengan Sherry dan Abang Kamal.
            “Kenapa sayang?,”
            Aku tersentak. Segera berpaling. Encik Firdausku sudah tercegat di belakang. Aku tersenyum panjang.
            “Mana Sherry?,”laju aku bersuara.
            “Ada kat atas. Kenapa?,”
Mendengar soalan Encik Firdaus, kepala kugeleng perlahan.
“Nak pegang baby?,”Encik Firdaus bertanya lagi.
            Soalan yang membuat aku tersengih sambil melihat Qalisha yang selesa di dalam pelukan Encik Firdaus. Perlahan aku mengangkat punggung. Melayangkan satu ciuman ke pipi gebu Qalisha. Tembam dan comel.
            “Comelnya dia. Comelnya dia…,”agahku sambil menyentuh hujung jari Qalisha yang kecil.
            “Kedekutlah mama Tiya ni. Untuk Lisha aje.  Untuk Papa Fir tak ada pun,”
            “Apa yang tak ada?,”
            Encik Firdaus tersenyum sambil suakan pipi.  Aku tersenyum lebar sambil jelirkan lidah.
            “Kedekut…,”rungutnya separuh bergurau. Aku cuma tersenyum.
            “Kenapa cari Sherry?,”
            Soalan itu membuat aku sedar yang aku hampir terlupa pada pesanan Abang Kamal.
            “Err…nak tanya dia, mana satu daun limau purut ni?,”
            Encik Firdaus tergelak besar.
            “Apa? Tak tahu daun limau purut ke?,”soalnya kuat membuat mataku membulat.
            “Abang ni. Nanti orang dengarlah,”
            “Ok..Ok… Apa? Tak tahu daun limau purut ke?,”Encik Firdaus mengulang soalan yang sama dengan nada perlahan. Aku menjeling. Tahu, dia memang sengaja menyindir.
            “Abang ni….,”
            Encik Firdaus terus menyambung gelak.
            “Itulah. Suruh duduk rumah. Sibuk nak ikut mummy jaga butik. Kalau duduk kat rumah kan, boleh belajar masak,”
            “Mummy yang ajak. Bukan Tiya nak ikut,”
            Encik Firdaus mengukir senyumnya yang sentiasa menawan itu sambil menggeleng perlahan. Gelengan pun seperti mahu menyindir.
            “Abang tahu ke?,”soalku sambil berpeluk tubuh. Geram pula melihat senyum yang menghiasi bibir itu.
            Encik Firdaus bergerak ke arah pagar kecil yang meletakkan pelbagai jenis pokok di dalamnya.
            “Yang ni, sayang,”
            Mataku mengikut arah telunjuk Encik Firdaus. Segera aku memetik beberapa helai daun yang didakwa Encik Firdaus sebagai daun limau purut. Betul la kot. Aku membuat penilaian sendiri.
            “Betul ni, bang?,”
            “Betullah,”
            “Macam mana abang tahu?,”
            “Dulu abang selalu temankan Mia shopping barang dapur. Mia suka memasak,”
            “Oooo…,”balasku kaku. Seperti biasa, apabila nama Mia yang disebut-sebut, hati ini pasti menjadi murung. Teruk betul. Padahal Mia tidak pernah menganggap dirinya pesaing aku. Cemburu butakah aku ini?
            “Hmmm…mama Tiya dah tarik muncung… dah jealous lah tu…,”
            “Tak lah,”laju aku bersuara sambil berpaling. Bersua dengan wajah jelita Mia. Aku tersengih.
            “Ada tak?,”Mia bersuara bersama senyumnya yang sentiasa manis. Bertuah Abang Kamal.
            “Ada,”laju aku menjawab sambil menghulurkan beberapa helai daun di tanganku kepada Mia. Mia tersenyum. Helaian daun bertukar tangan.
            “Abang Kamal you risau, takut you tak kenal daun limau purut,”Mia bersuara bersama gelak halus.
            Aku tersengih. Gelak Mia bagai satu sindiran, walaupun aku tahu gadis itu langsung tiada niat sebegitu.
            “You ni… takkanlah wife I ni, tak kenal daun limau purut kot. Kan, sayang kan?,”Encik Firdaus pula bersuara, menambahkan lagi rasa malu pada diri sendiri ini. Mia tergelak. Encik Firdaus tersenyum panjang.
            “Ok. I nak masuk. Kamal waiting for this. Dia nak masak paprik campur,”
            “You?,”
            “Hari ni, I jadi assistant aje,”
            Encik Firdaus tersenyum. Mia berlalu masuk ke dapur. Aku berpaling. Memandang wajah Encik Firdaus. Lama.
            “Kenapa?,”soalnya perlahan.
            Aku tersenyum. Mengalihkan pandangan ke wajah mungil Qalisha. Langsung tidak meragam berada di dalam dukungan Encik Firdaus. Encik Firdaus pula, langsung tidak kelihatan kekok mengendong tubuh kecil Qalisha.
            “Kenapa Tiya? Mesti ada something bermain kat kepala tu kan?,”
            “Tak ada apa-apa,”
            Encik Firdaus tersenyum tidak percaya.
            “Tell me,”
            Aku mengeluh. Bukannya aku boleh berahsia dengan Encik Firdaus. Perlahan aku melangkah bersaing dengan langkahnya yang tidak begitu laju.
            “Tiya tanya sikit, boleh?,”
            “Boleh. Tapi, dengan satu syarat,”
            Aku menjeling. Lebih kepada jeling mengada-ngada sebenarnya.
            “Pegang Lisha. Penatlah,”
            Aku sengih. Melihat tubuh kecil Qalisha aku jadi sedikit gerun. Jadi sedikit trauma bila teringatkan aku berjaya membuat Qalisha tergolek dari ribaku tiga bulan yang lalu. Cuak betul aku selepas kejadian itu. Lebih-lebih lagi bila teringatkan tangisan Qalisha yang nyaring.
            “Takutlah bang,”aku bersuara perlahan. Dari riba ke lantai, tidaklah tinggi mana. Tapi, bila aku bayangkan dari dukunganku ke tanah, aku jadi gerun. Tinggi tu.
            “Takut kenapa?,”
            “Nanti jatuh macam dulu,”
            Encik Firdaus tergelak.
            “Tak adalah. Masa tu, Lisha baru tiga bulan. Sekarang dah besar sikit. Dah tak susah nak pegang pun. Kan Lisha kan…,”ujar Encik Firdaus sambil mengagah anak kecil itu. Aku tersenyum senang. Jelas terpamer sifat kebapaan suamiku ini. Dalam rasa sedikit bimbang, aku mendukung Qalisha. Erat kupeluk ke dada. Bimbang terlepas dari peganganku.
            “Boleh kan?,”
            Aku mengangguk. Encik Firdaus regangkan kedua-dua tangannya. Betullah penat agaknya.
            “Semangat betul anak dara Cik Sherry ni ya,”aku bersuara separuh mengagah. Lebar senyumku melihat Qalisha tersenyum.
            “Dia senyum bang…,”
            Encik Firdaus tersenyum. Perlahan memaut pinggangku sambil turut mengagah. Melihat senyum Qalisha kami sama-sama tergelak.
            “Cutenya….,”aku bersuara sambil terus mengagah.
            “Hai… kat sini ya anak dara mama. Ganggu Papa Fir dating ya?,”
            Aku mengangkat muka. Sharifah melangkah santai menghampiri kami.
            “Aku baru nak dukung…,”
            “Nak dukung…. Mengandunglah. Kemudian bersalin…,”selamba Sharifah bersuara sambil mengambil anaknya dari peganganku. Aku mencemik membuat Sharifah tergelak. Encik Firdaus tersenyum cuma.
            “Dah berapa bulan ya?,”
            “Enam bulan dua puluh tiga hari setengah. Malam sikit cukup dua puluh empat hari,”selamba Encik Firdaus yang menjawab soalan yang aku tujukan kepada Sharifah.
            “Amboi. Bukan main ingat lagi,”aku bersuara separuh kagum.
            “Mestilah. Sama usia dengan perkahwinan kita,”
            Aku tersenyum panjang. Lupa. Qalisha menjengah dunia pada malam perkahwinan kami.
            “Mama Tiya ni, memang tak sayang papa. Berapa lama kahwin dengan papa pun dia tak ingat,”
            Sharifah tergelak. Aku pamerkan senyum bersalah.
            “Bukan tak ingatlah. Tapi, tak perasan,”
            Encik Firdaus menjeling. Lembut jelingannya membuat aku yang tersenyum malu.
            “Aku nak bagi susu kat Qalisha ni. Aku ke atas dulu. Saya pergi Encik Firdaus,”
            Aku cuma mengangguk sambil memandang Sharifah berlalu bersama Qalisha. Kemudian tersenyum apabila terasa pautan tangan Encik Firdaus makin erat di pinggangku.
            “So, apa Tiya nak tanya abang tadi?,”
            “Tanya?,”
            Encik Firdaus merenung wajahku.
            “Tadi cakap nak tanya sikit,”
            “Sikit sangat kot, sampai Tiya pun dah lupa,”aku berseloroh sambil tergelak kecil. Encik Firdaus menghadiahkan satu renungan tidak puas hati. Membuat mindaku bekerja keras cuba mengingati apa sebenarnya soalan yang ingin aku ajukan. Terdengar gelak Mia di dapur, aku jadi teringat. Namun, baru sahaja aku ingin membuka mulut, aku batalkan niat itu. Memberi perhatian kepada langkah laju ibuku yang tiba-tiba muncul di halaman.
            “Lajunya mak. Nak ke mana ni?,”
            “Tanya pula. Kan dah nak masuk time makan tengahari ni. Mari tolong mak masak. Boleh belajar sekali,”
            “Tak boleh mak. Tiya baru kena halau,”
            “Kena halau?,”
            “Abang Kamal booking dapur. Tak mahu orang kacau dia masak. Mia aje yang dia izinkan,”
            “Bila Kamal datang?,”
            “Lepas mak pergi kelas agama tadi. Sherry pun ada kat atas tu, mak. Baru sampai,”
            “Ya ke?,”
            Aku mengangguk.
            “Mak jenguk mereka kejap,”
            Aku mengangguk lagi. Seperti biasa, laju kaki ibuku melangkah meninggalkan kami.
            “Yalah tu, kena halau…,”Encik Firdaus bersuara separuh mengusik.
            Aku tersenyum.
            “Betullah bang. Lagipun, Tiya segan nak tolong sebab Mia ada. Nanti Mia tahu Tiya tak pandai masak,”
            “Bukan tak pandai…,”
            “Dah tu?,”
            “Tak pandai langsung,”balas Encik Firdaus bersama gelak besar. Aku jegilkan mata.
            “Abang…,”
            Encik Firdaus terus tergelak.
            “Dah tahu Tiya tak pandai masak, kenapa kahwin dengan Tiya?,”aku merungut. Sudah separuh merajuk.
            “Abang cari isteri. Bukan cari tukang masak,”Encik Firdaus bersuara. Lembut dan merdu bunyinya di telingaku. Rajukku hilang entah ke mana. Berpaling memandang wajah Encik Firdaus.
            “Abang… kenapa abang tak pilih Mia ya?,”soalku lambat-lambat. Memang itu pun soalan yang ingin aku tanyakan pada Encik Firdaus tadi.
            “Sebab abang dah pilih Tiya,”
            “Yalah. Maksud Tiya, sebelum abang kenal Tiya lah. Abang kan dah lama kenal Mia. Mia tu, sempurna tau. Baik… pandai masak…bijak… cantik…,”
            “Hmm…nanti abang fikirkan,”
            “Fikirkan apa?,”
            “Nak kahwin dengan Mia,”
            Aku ternganga. Encik Firdaus gelak besar. Namun, cuma seketika, kerana selepas itu dia menyeringai kesakitan. Padan muka. Sekuat hati hati aku cubit lengannya.
            “Sakit sayang…,”
            Aku menjeling. Ada hati nak fikirkan? Memang sengaja buat aku marah. Memang saja cari penyakit.
            “Marah ke?,”Encik Firdaus berbisik lembut.
            “Tak. Geram aje,”
            Encik Firdaus tersenyum. Memalingkan tubuhku menghadap wajahnya.
            “Nurul Adiya Fatiha. Cinta ni, bukan boleh dipaksa. Abang dah jumpa cinta abang. Susah nak dapat. Takkanlah bila dah dapat, abang nak sia-siakan pula. Abang cintakan Tiya. Tak perlu kesempurnaan kalau hati  kita dah suka kan?,”
            Aku termangu. Kemudian tertunduk malu. Biasalah. Bila Encik Firdaus dah mula romantis sebegitu, kelulah jadinya lidah ini. Berbunga-bunga hati ini mendengar bicara itu.
            “Cuma…satu saja,”
            “Cuma apa bang?,”
            “Abang teringin nak dukung baby,”
            “Baru dukung tadi, nak dukung lagi? Pergilah dekat Sherry,”aku bersuara sambil tergelak kecil. Menggeleng sekali. Betul-betul kemaruk baby suamiku ini.
            Encik Firdaus tersenyum.
            “Abang nak baby kita,”
            Gelakku mati serta-merta.
            “Kita?,”
            “Yalah. Kenapa?,”
            Aku sudah tersenyum kelat. Mendengar cadangan itu membuat hatiku kecut. Teringat cerita ngeri Sharifah. Pengalaman Sharifah mengandungkan Qalisha. Pengalaman melahirkan. Pengalaman berpantang. Semuanya menakutkan.
            “Nantilah dulu. Kita baru aje kahwin,”
            “Tak salah pun. Kan?,”
            Aku tersenyum. Tiba-tiba perut terasa memulas. Parah. Darah gemuruhku sudah datang. Itu baru mendengar cadangan.
            “Takkan dengar cadangan abang, sampai pucat macam ni sekali mukanya. Nak tangguh sebab baru kahwin ke, Tiya takut nak pregnant?,”
            Aku menyentuh wajah. Pucat ke?
            “Pucat ke?,”soalku sambil menampar pipi yang terasa kebas.
            “Ya, sayang,”
            Aku tersenyum nipis. Ketara benarkah ketakutanku ini?
            “Abang tak paksa, sayang. Jangan risau sangat ya,”
            Aku diam. Melihat senyum lebar Encik Firdaus, aku jadi bahagia. Teringatkan cadangan untuk mengandung, perutku memulas lagi.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: