Wednesday, September 10, 2014

Mencari Hilang 5



Melihat suasana sunyi di kawasan itu, hatinya bagai terseret sepi. Untuk ke sekian kalinya dia di sini lagi. Mencari cinta hatinya yang telah pergi. Perlahan dia melutut. Diam di sisi pusara yang ditumbuhi rumput-rumput kecil. Hanya di sini tempat dia meluahkan segala kesedihan yang tersimpan jauh di sudut hati. Tempat dia menjadi Farisya yang tewas. Farisha yang lemah.
            “Mama datang, sayang... mama datang,”dia berbisik. Tidak perlu menunggu lama, air mata mula membasahi pipi. Sudah empat tahun. Tetapi keletah anak kecil itu masih jelas terbayang di ruang matanya. Terasa begitu dekat di hatinya. Namun, kini semua itu tiada lagi. Mustahil Trisya akan kembali menghiburkan hatinya yang lara. Satu-satunya sebab yang membuat dia kuat selama ini, kini tenang bersemadi di sini. Satu-satunya alasan yang memberi dia semangat untuk teruskan hidup, juga sudah tiada. Perlahan dia menyentuh nisan kecil. Rasa bagai menyentuh pipi comel Trisya. Perlahan dia pejamkan mata. Juraian air mata yang luruh, tidak mampu dia tahan.
            “Mama rindu Ticha. Mama rindu Ticha sangat-sangat...,”sedaya –upaya dia cuba tenang. Cuba kuat. Namun, rindu membuat dia rapuh juga. Terlalu dalam rindu dan kesedihan yang mendera. Rindu yang tidak pernah diacuhkan. Kesedihan yang tidak pernah ditenteramkan. Teringat betapa teganya Haziq memberi hukuman. Mengambil kesempatan mencuri kesedihannya. Mengalihkan tumpuan semua orang. Membuat jiwanya yang berat dengan kesedihan, terkontang-kanting keperihan hanya kerana kononnya seorang suami yang lemah memerlukan sokongan isteri yang kuat. Haziq merampas segala-galanya. Bukan hanya kegembiraan, kesedihannya juga tergamak dirampas Haziq.
            Teringatkan perit rasa yang terpaksa dilaluinya, air mata kian laju mengalir. Menangis sendirian di pusara yang sepi. Untuk apa tangisan itu, dia sendiri tidak pasti. Mungkin untuk membayar kesedihan dulu yang tertangguh. Yang dirampas oleh Haziq tanpa sedikit rasa simpati.
            “Sikit pun mama tak boleh lupa, sayang...,”bicaranya putus di situ. Esakan kecil menghalang bibirnya terus berkata-kata. Buat seketika dia larut dalam esakan tertahan. Berasa dirinya sendirian membuat hatinya semakin menangis. Sungguh semua orang yang dia sayang, hilang terus dari hidupnya. Tidak ada di sisi di saat dia sangat memerlukan walau sebaris kata-kata memujuk.
            “Mama rindu... mama rindu...mama rindu sayang. Mama rindu nenek. Mama sunyi hidup sorang-sorang... nenek benci mama, sayang. Mama dah tak ada siapa-siapa. Nenek dah tak mahu pujuk mama. Ticha pun tak boleh suruh mama kuat...,”
Air mata yang membasahi pipi, diseka berkali-kali.
            “Ini sebabnya aku tak suka kau balik Melaka,”
            Farisha mengangkat muka. Tersentak dengan teguran tiba-tiba itum terlontar semua yang sedang bermain di fikirannya. Humaira berpeluk tubuh di pintu bilik. Melihat wajah Farisha yang muram, dia melangkah masuk. Perlahan duduk di hadapan temannya itu.
            Farisha menunduk. Menyapu perlahan air mata yang tanpa sedar jatuh membasahi pipi. Senyum dipamerkan buat Humaira sambil melenyapkan sisa-sisa air mata.
            Humaira memandang lama sambil menghela nafas panjang.
            “Wake up. Jangan terus macam ni. Mulakan hidup baru. Kau boleh dapatkan pengganti arwah Trisya. Kau tak boleh terus macam ni. Balik dari kampung, kau mesti down macam ni,”
            Farisha mengalihkan pandangan. Kata-kata Humaira membuat rindunya pada Trisya semakin menerpa pada sekeping hatinya. Serentak menjemput air mata mengalir ke pipi lagi. Segera diseka. Humaira menggeleng panjang. Gusar melihat temannya yang seorang itu. Farisha sering nampak tenang. Nampak kuat. Tetapi dia tahu hati Farisha tidak sekuat mana. Entah apa penyebab kesedihan temannya itu, terus diam menjadi rahsia. Satu yang dia yakin, kesedihan itu bukan hanya disebabkan kematian anak kesayangan.
            “Kalau dia ada, dia dah sebaya dengan Qayyum...,”sebak dia bersuara sambil cuba memaksa senyum.
            “Isha... janganlah macam ni,”
            “Jangan risaulah. Aku okay... Cuma aku rindukan Trisya. Dulu dia yang buat aku lupa pada masalah aku. Aku sanggup lalui semuanya cuma sebab Trisya. Sekarang, aku tak tahu untuk apa aku hidup. Matlamat hidup aku dah tak ada,”
            “Isha! Tak baik kau cakap macam tu. Selagi Tuhan beri kita nyawa, maknanya memang ada perancangan untuk kita,”
            Farisha menunduk. Beristighfar di dalam hati. Lara hati membuat dia bercakap mengikut emosi.
            “Dan, lagi satu... apa sebenarnya masalah kau tu? Share lah dengan aku. Aku risau tengok kau ni. Macam memendam sesuatu. Beberapa tahun jadi kawan kau ni, aku rasa kau terlalu berahsia,”
            Farisya tersenyum lebar.
            “Aku ingat betul satu kata semangat dia pada aku... Ticha tahu mama kuat. Mama Ticha memang kuat. Tak mau sedih-sedih ya, mama... Itulah yang selalu dia ucapkan pada aku dulu. Jadi, aku akan tetap jadi kuat. Kau jangan risau ya,”ucap Farisya sambil terus tersenyum.
            Humaira diam. Tidak banyak yang mampu dia bantu. Perlahan dia berdiri. Melangkah menghampiri Farisha. Bahu Farisha diusap perlahan.
            “Aku risau kalau kau kuat di luar tapi rapuh di dalam. Trisya mahu kau kuat kan? Trisya juga tak mahu kau sedih-sedih. Jadi, kau kena pastikan kau penuhi permintaan dia,”lambat-lambat dia mengatur kata.
            Farisha mengangguk perlahan.
            “Aku tahu. Tapi, sesekali aku kalah juga,”
            “Cari teman hidup baru. Bukan lupakan Trisya. Tapi, kalau nanti kau ada anak lagi, sekurang-kurangnya rindu kau pada Trisya akan terubat,”
            Kali ini Farisha menggeleng.
            “Aku senang begini,”ucap Farisha sambil meraup wajah. Cuba membuang segala kesedihan.
            Humaira menarik nafas dalam-dalam.
            “Kalau kau begini, sampai bila-bila kau hanya akan hidup dengan kenangan-kenangan sedih. Bangkitlah. Cari kehidupan baru. Yang lebih bermakna,”
            “Aku rasa hidup aku dah lebih bermakna sekarang. Kau tak payah risau sangat,”
            “Jujurnya... aku risau. Aku risau sebab aku tahu, ada sesuatu yang tak kena dengan kau. Tapi, aku tak tahu apa dia,”
            Farisya tertawa kecil.
            “Kau dah okay?,”soalnya sambil mengangkat kening. Walau sedikit pelik, namun hatinya tidak segundah tadi. Sekurang-kurangnya Farisya sudah mampu tersenyum.
            “Aku okay... Cuma sesekali bila rindu tu datang... kita tak boleh bohong diri kita, kan?,”
            Humaira mengangguk. Ada benarnya. Bukan senang untuk menerima kehilangan orang tersayang dengan memadam sekali segala kenangan. Pasti sesekali, hati tersayat juga.
            “Sebab tu aku cakap, kau kena cari kehidupan yang lebih bermakna,”ujar Humaira sambil perlahan mengusap bahu Farisya.
            Farisya mendongak, memandang wajah Humaira dengan pandangan kosong. Humaira turut tersenyum. Daripada berdiri, dia kembali mencari kerusi. Melabuhkan punggung lalu menarik kerusi rapat ke meja.
            “Rayyan,”ucapnya sepatah.
            Farisya mengerutkan kening.
            “Beri ruang. Beri peluang. Yang lepas, biarkan lepas. Kau bina bahagia yang baru. Aku tahu Rayyan tak main-main dengan kau,”
            Farisya tergelak sumbang.
            “Kau layan Hindustan malam tadi, ya?,”
            Humaira menarik muka.
            Sambil menggeleng, Farisya menyambung gelak. Tangannya mula mengemas meja yang sedikit bersepah.
            “Aku seriuslah, Isha,”
            “Rayyan tu, budaklah. Baru nak kenal cinta. Nak kenal dunia. Dia tu, anak teruna. Jauh lagi muda dari aku. Jangan merepeklah. Dan kalau dia serius macam-mana sekali pun, kau rasa, keluarga dia nak menantu berstatus janda untuk anak teruna mereka?,”
            “Sebab tu kau takut? Sebab tu kau langsung tak bagi peluang pada dia?,”
            Farisya diam. Seketika mengetuk jemarinya di meja. Sudah pasti bukan itu sebabnya. Tetapi, rasanya ini bukanlah satu isu besar yang perlu ditarik jadi perbincangan. Sudahnya, dia menjongket bahu.
            “Betul?,”
            “Ni... kau masuk cari aku ni, kenapa?,”
            Humaira mengerling.
            “Tukar topik. Rayyan... tukar topik. Rayyan... tukar topik. Macam sinonim betul, kan?,”
            “Sudahlah tu. Tak payahlah cakap pasal ni. Aku senang begini. Jangan risau. Walaupun aku single, aku tak akan main mata dengan suami kau. Okay?,”
            “Hey!,”spontan Humaira menampar tangan Farisya. Spontan juga Farisya tergelak.
            “Jahat kau. Tak adalah aku sampai nak fikir sampai ke situ. Sampai hati kau. Aku ikhlas nak tengok kau bahagia. Aku tuduh aku macam tu pula. Sampai hati...,”
            Farisya menyambung gelak.
            “Aku gurau je lah. Aku tahu kau ambil berat pasal aku,”
            Humaira menarik muncung. Farisya tersenyum panjang.
            “Marah?,”
            “Mau tak marah? Kau gurau pun, agak-agaklah,”
            “Sorry. Sorry, ya,”melihat Humaira seperti benar-benar terasa hati dengan usikannya, Farisya jadi tidak sedap hati. Perlahan dia mengangkat punggung mendekati Humaira yang diam di kerusi.
            “I’m so sorry. Aku tersilap cakap. Lain kali aku tak cakap macam tu. Sorry, Maira,”
            Humaira mengeluh perlahan.
            “Jangan cakap macam tu lagi. Kalau memang kau nak  ambik Iqram pun, aku memang...,”
            Farisya jegilkan mata.
            “Tak akan beri,”sambung Humaira sambil tersengih.
            Farisya menarik nafas lega. Sangkanya lain yang mahu meniti di bibir Humaira.
            “Kau ni...,”
            Humaira tersenyum cuma.


*****

           

7 comments:

zjirha said...

baca sambil menitik air mata... nasib baik di akhirnya boleh senyum senget..
nak tau sgt2 Trisya meninggal sbb apa...

Eijan said...

Farisha terlalu berahsia.....menanggung kebencian org sbb Haziq pengecut tu....mmg x blh bagi kemaafan kat Haziq ni....

seri ayu said...

Sedihnya......

Ilman Nafia said...

kesian ishaa

nOOr said...

x tau nknkmen ape.. hakhakhak

harap isha bangkit dr kecewa y lalu.. jgn ttup pntu hati dia tuk mna2 llaki lain..

HaziziYusof said...

terbaik dan berbakat lah .. i like.
kelapangan singgah blog kami yer.pasti anda suka http://izzium2u.blogspot.com/

HaziziYusof said...

wahh terbaiklah.. berbakay sungguh..i like,, i like.. :)

kelapangan singgah ke blog saya yer..
murah,murah & murah ada menanti disana.

www.izzium2u.blogspot.com

[11:35:50 PM] hos.getah: