Tuesday, February 8, 2011

Kuseru Rindu Itu... 34


            Sambil bersandar, dia merenung gelagat Idayu dengan hati yang benar-benar dibungai bahagia. Seharian dia menghabiskan masa mengelilingi Tanah Tinggi ini. Menikmati suasana damai ini sepenuhnya. Sepanjang bersama Idayu di sini, sedikit pun fikirannya tidak terganggu dek nama Maisara. Dia langsung tidak teringat pada gadis itu. Aneh. Kenyataan itu semakin membuat dia keliru. Dia semakin tidak faham pada perasaannya sendiri. Benarkah dia cintakan Maisara? Atau sebenarnya, cintanya telah beralih pada Idayu? Atau barangkali dia yang gagal mencari cinta yang sememangnya sudah lama tersemat untuk Idayu.
            Matanya kembali terarah pada Idayu yang leka melihat kuntuman mawar di sekelilingnya. Dia tersenyum. Idayu kelihatan cukup memikat. Senyum Idayu seindah jambangan mawar kuning di sekelilingnya. Sememangnya cinta Idayu pada mawar itu tidak pernah berkurangan. Perlahan dia bergerak menghampiri isterinya itu. Jiwanya berlagu riang melihat wajah itu penuh dengan ceria. Ceria Idayu bagai terapi yang menenangkan.
            “Sudah-sudahlah tu. Dalam bilik tu, dah boleh buka kedai bunga mawar kuning dah,”
            Idayu berpaling. Tersenyum sambil mencapai beberapa kuntum mawar kuning.
            “Sikit je,”ucapnya bersama senyum meleret.
Hisyam menggeleng perlahan. Bilik penginapannya kini penuh dengan hiasan mawar itu. Indah dan romantis. Dia sendiri suka dengan sentuhan hiasan Idayu.
“Nanti kita borong dengan kedai ni sekali, ya?,”dia menyindir dalam senyum. Idayu turut tersenyum.
“Kena tanya tauke kedai ni, dulu lah,”
“Tanya apa?,”spontan Hisyam bertanya.
“Yalah. Kalau-kalau dia nak jual. Kalau tak, mana boleh nak borong kedai ni,”tingkah Idayu bersama sekuntum senyum nakal. Hisyam tergelak sendiri. Dia terkena dengan sindiran sendiri. Pantas jemarinya mengusap wajah Idayu lembut.
“Dah habis pilih?,”
Idayu mengangguk dan Hisyam berlalu ke kaunter bayaran. Selesai membuat bayaran, pantas tangannya memaut jemari Idayu. Melangkah keluar dari kedai bunga segar yang saban hari dikunjungi isterinya itu.
“Nak makan?,”soalnya sambil menarik Idayu ke pelukannya. Idayu menggeleng perlahan.
“So, kita nak ke mana ni? Abang rasa nak balik ke bilik aje ni,”
Idayu mengerling. Tersenyum melihat senyum Hisyam.
“Ayu nak jalan-jalan. Ambil angin,”
Hisyam menjongket bahu sambil membuat riak kecewa. Idayu tergelak. Pantas jemarinya bergerak ke lengan Hisyam. Menampar perlahan lengan Hisyam membuat Hisyam turut tergelak. Merenung wajah Idayu untuk ke sekian kalinya. Seperti biasa, wajah itu tidak pernah menjemukannya. Wajah itu mula membawa gelora indah di hatinya. Sudah jatuh cintakah dia?
“Terima kasih, Ayu,”
Idayu mengangkat muka. Menentang renungan Hisyam yang menusuk ke hatinya. Hampir seminggu di sini, dia benar-benar bahagia. Layanan Hisyam padanya umpama dia seorang puteri.
“Ayu bahagia. Sangat bahagia,”bisiknya lembut.
“Abang pun…,”balasnya sambil menarik Idayu lebih rapat padanya. Melangkah perlahan menelusuri panorama indah sambil tangannya erat memeluk pinggang Idayu.
“Ayu harap bahagia ni akan kekal dalam rumahtangga kita,”
“InsyaALLAH, Ayu,”
Idayu diam. Terus menikmati kehangatan pelukan Hisyam yang mendamaikan. Dalam diam, hatinya mengharapkan agar pelukan ini cuma akan menjadi miliknya. Ikutkan hatinya, dia tidak sanggup berkongsi pelukan ini. Senyum Hisyam, gurau Hisyam biarlah terus menjadi miliknya. Perlahan dia mengeluh. Benar-benar berharap nama Maisara tidak lagi berada di hati suaminya itu. Dalam diam dia merenung wajah Hisyam. Lama. Wajah itu seceria wajahnya. Barangkali sebahagia dirinya juga.
“Kita balik bilik, jom,”ujar Hisyam perlahan.
“Kenapa pula?,”
“Abang tak tahan bila Ayu renung abang macam tu,”
Idayu tergelak sambil spontan mencubit lengan Hisyam. Hisyam tergelak besar.
“Ayu nak jalan-jalan dulu,”
“Yalah, sayang,”ujar Hisyam bersama senyum yang sentiasa menawan. Membuat jantung Idayu berdetak laju. Ungkapan sayang dari bibir Hisyam seakan membuat dia melayang ke alam lain.
“Sayang?,”soalnya lembut. Hisyam tersenyum.
“Ya. Sayang,”
“Baru dua atau tiga kali abang panggil Ayu macam tu. Kali pertama semasa Ayu menangis kat rumah mak. Kedua masa abang pujuk Ayu…,”
Hisyam terdiam. Ungkapan itu spontan meniti di bibirnya. Dan, benar kata-kata Idayu. Dia tidak pernah memanggil Idayu dengan panggilan itu walaupun jiwanya melaut dengan rasa sayang. Ungkapan itu cuma terucap apabila dia bersama Maisara.
“Walau abang tak pernah ucap, tapi hati abang penuh dengan sayang pada Ayu,”
Idayu tersenyum kecil.
“Ayu selalu nak lebih daripada sayang,”bisiknya perlahan.
Hisyam tersenyum berhenti melangkah. Langkah Idayu turut terhenti. Lama Hisyam cuma merenung wajahnya tanpa suara. Dalam rasa yang tidak pasti, bibirnya berat untuk bersuara, namunnya hatinya kini yakin. Dia telah jatuh cinta pada Idayu. Pada Idayu yang sering memikirkan tentang bahagianya semata-mata. Pada Idayu yang tidak pernah jemu membuat bibirnya tersenyum. Pada Idayu yang terlalu banyak berkorban. Pada Idayu yang cuma dimiliki olehnya sejak dari dulu. Idayu miliknya yang abadi. Satu kucupan lembut singgah di dahi Idayu.
“Abang bertuah. Ayu cuma milik abang seorang,”
Idayu diam. Cuma menyambung langkah yang terhenti.
“Ini adalah bulan madu paling indah bagi abang,”sambung Hisyam lagi. Idayu mengiyakan dalam diam. Siapa yang mampu menyangkal kenyataan itu?
“Dan, sebab ini bulan madu, abang dah tak nak jalan-jalan lagi. Abang nak balik ke bilik,”
“Belum boleh,”
“Please sayang…,”
Idayu tersenyum kecil. Wajah Hisyam begitu menambat hati wanitanya.
“Ayu nak makan. Tiba-tiba lapar. Boleh kan?,”Idayu bersuara sambil memberi satu renungan yang cukup menggoda.
“Ayu sengaja nak dera abang,”
Idayu menyambung senyum sambil mengangkat kening. Satu pandangan yang cukup nakal di mata Hisyam. Selama ini, tingkah Idayu yang sebegini, sekadar menyenangkan hatinya. Tapi, kini, tingkah yang sama, membuat hatinya terdera dek perasaan indah yang terlalu sukar diungkap. Idayu berjaya membuat dia penasaran. Membuat dia tergamam di hadapan Idayu.
“Abang… abang marah Ayu?,”Idayu bersuara lagi, apabila melihat Hisyam kaku di sisinya. Merenung wajahnya tanpa berkelip.
“Ok… kita balik bilik,”sambungnya lagi apabila Hisyam terus tidak bereaksi dengan soalannya. Hisyam terkebil-kebil. Melayan degup jantungnya yang seakan tidak mahu mereda. Idayu mula di sapa rasaa pelik. Jemarinya dilayangkan di hadapan muka Hisyam. Membuat Hisyam mula tersedar.
“Abang nak balik bilik, jomlah,”dia bersuara lagi.
“Tadi kata lapar,”
“Abang macam tak nak makan saja. Kita balik ke bilik ajelah,”
Hisyam tersenyum. Dapat mengesan ada rajuk pada nada suara Idayu.
“Abang tergamam kena goda dengan Ayu. Tak dengar apa Ayu cakap,”usiknya senang. Idayu menjeling.
“Jom. Kita pergi makan,”
Senyum tiba-tiba terukir di bibirnya. Hilang rajuk mendengar bicara semanis itu. Layanan Hisyam terasa lebih istimewa di hatinya. Membuat rasa ingin tahu berkocak hebat di jiwa. Ingin sahaja bibirnya melantun soalan tentang kedudukannya di hati lelaki itu. Namun, memikirkan kecewa yang sering diterima setiap kali dia bertanya, dia memilih untuk terus diam. Kalau memang sudah ada cinta buatnya di hati Hisyam, biarlah Hisyam sendiri yang meluahkan segalanya. Dia serik untuk terus menagih.
“Ayu? Cepatlah,”
Idayu sedikit terpinga-pinga. Merenung jemarinya yang ditarik oleh Hisyam. Sempat pula dia mengelamun. Hisyam mengangkat kening bersama senyum memikatnya. Sekali lagi Hisyam menghujani hatinya dengan kebahagiaan yang tidak bertepi. Hisyam sempurna sebagai suaminya. Cuma segarit rasa cinta itu yang Hisyam gagal hadiahkan untuknya. Perlahan dia melangkah. Beriringan sambil berpegangan tangan. Sesekali mengerling pada Hisyam. Kalaulah Sayfiq ada di sisi, rasanya lengkap kebahagiaan ini.
“Tiba-tiba rindu kat Afiq,”sambil berpaling mencari wajah Hisyam, Idayu bersuara lembut.
“Kan hari-hari call. Kejap-kejap call,”
“Mana sama….,”
Hisyam tersenyum kecil.
“Siapa yang bagi cadangan nak honeymoon berdua?,”
Idayu diam bersama wajah yang sedikit mendung. Rindu pada keletah Syafiq. Rindu pada celoteh Syafiq yang sering menjentik bahagia di hati.
“Siapa?,”sekali lagi Hisyam bertanya perlahan.
“Ayu….,”Idayu menjawab panjang sambil menjeling.
Hisyam tergelak halus.
“Tak apa lah. Bukan selalu kan. Afiq tu pun, macam faham aje mama dengan papa dia nak jadi pengantin baru. Tak ada pun dia merungut macam mama dia ni,”
“Bukan merungutlah bang. Teringat saja,”
“Nanti kita bagi hadiah special kat Afiq. Okay?,”pujuk Hisyam sambil kenyitkan mata. Idayu mencemik. Membuat laju jemari Hisyam mencucuk perlahan pinggangnya. Spontan jeritan kecil pecah di remang petang yang indah. Hisyam ketawa riuh.
“Abang! Janganlah. Geli tau,”
“Nak lagi?,”
            “Tak nak,”
            Hisyam tergelak lagi.
            “Kalau tak nak, cepat senyum,”
            Idayu mencemik sekali lagi, namun cepat-cepat tertawa halus sambil bergerak menjauh apabila jemari Hisyam sekali lagi mahu menggeletek pinggangnya.
            “Tahu takut…,”
            “Bukan takut. Gelilah bang,”
            “Kalau macam ni?,”tingkah Hisyam sambil terus menarik pinggangnya ke pelukan. Idayu tersenyum.
            “Macam ni… macam tak tahu malu pulak,”senda Idayu senang.
            “Ada abang kisah?,”
            “Ayu pun tak kisah…,”balas Idayu tersengih. Dia sudah tidak peduli pada mata yang memandang. Dia mahu melayan bahagia ini sepuas-puasnya.
            Bulat mata Hisyam merenung wajahnya.
            “Isteri abang dah tak malu-malu…,”
            “Nak malu apa, abang kan suami Ayu,”
            Bibir Hisyam terus dibungai senyum. Senang dengan perubahan Idayu. Idayu bagai tidak kekok lagi menerima kemesraannya di khalayak ramai.



****
[11:35:50 PM] hos.getah: