Tuesday, July 24, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 18

Suasana yang sunyi tanpa pelanggan memberi aku kesempatan untuk melayan perasaan buat seketika. Kedua-dua pembantu butik milik ibu mertuaku kebetulan keluar untuk makan tengahari. Sambil mengeluh perlahan, mata kulontarkan jauh ke luar kedai. Melalui dinding cermin itu, aku memandang kosong pada kesibukan manusia membawa hala masing-masing. Sekali lagi aku mengeluh berat. Bagai ada satu beban yang tersimpan di hati. Yang perlahan-lahan membuat hati aku mula disapa sangsi. Saat ini memang aku benar-benar berharap aku mempunyai seseorang untuk berkongsi rasa. Tiba-tiba aku berasa aku terlalu ingin Sharifah berada bersamaku. Memberi buah fikirannya agar langkahku tidak tersasar. Namun, mana mungkin aku boleh terus berharap pada Sharifah. Dia sendiri begitu sibuk dengan kehidupan berkeluarganya. Setitis air mata tiba-tiba menitis. Cepat aku seka dan laju juga pandangan aku tebar ke ruangan butik. Bimbang ada mata yang melihat kesedihanku.
            “Saya andaikan mungkin saya perlukan satu atau dua tahun untuk tunggu Firdaus tu, berubah hati. Rupa-rupanya kurang dari setahun, dia dah kembali nak berbaik dengan Mia,”suara itu bersama gelak panjang yang penuh sindiran, kembali menjamah ruang mindanya.
            “Puan Sri cakap apa ni?,”
            “Tak faham? Atau buat-buat tak faham?,”
            “Saya tak faham dan rasanya saya tak nak faham pun. Kalau Puan Sri nak jumpa mummy, sepatutnya call dia dulu. Dia masuk lambat sikit hari ni. Kalau nak tunggu, boleh tunggu tapi, jangan terus-terus sakitkan hati saya,”
            “Wah! Kurang ajarnya. Kamu tak takut nanti saya mengadu dengan mak mertua kamu?,”
            “Saya tak bermaksud nak kurang ajar. Tapi, rasanya Puan Sri yang dah melampai batas yang sepatutnya. Bersungguh-sungguh nak porak-perandakan rumahtangga saya. Apa salah saya pada Puan Sri, hah?,”
            Sekuntum senyum sinis sekali lagi terukir di bibir wanita ini.
            “Anyway, malas saya nak cakap banyak-banyak. Cuma nak nasihatkan, kalau betul-betul sayangkan Firdaus tu, perhatikanlah sikit keinginan dia. Nampaknya dia dah mula cari anak saya. Dah mula rindukan masakan anak saya tu…Tak lama lagi, pasti rindukan orangnya pula,”
Sungguh  bukan sedikit rasa sakit hatiku mendengar kata-kata itu. Tidak tahu mengapa begitu sekali tindakan wanita ini untuk memburukkan hubunganku dengan Encik Firdaus. Sanggup datang ke sini semata-mata untuk menyakitkan hatiku. Dan, benarkah apa yang diperkatakan itu? Benarkah Encik Firdaus mencari Mia? Rindukan masakan Mia? Apa maksud lelaki itu, apabila dia berkata dia sanggup menerimaku walau bagaimana sekali pun keadaanku? Adakah itu cuma satu omong kosong? Mungkinkah kebahagiaan ini tidak mampu aku genggam selamanya? Sesingkat inikah keindahan rumahtangga kami? Sekali lagi bibir mataku memberat. Mak, Tiya keliru mak. Tiya sedih… hatiku mula merintih hiba.
Telefon bimbit di atas meja aku capai perlahan. Mencari nombor telefon Encik Firdaus. Namun, tidak pula aku menghubungi nombor itu. Apa yang hendak aku katakan pada Encik Firdaus? Paling tidak, aku sekali lagi dilabel sebagai seorang isteri yang terlalu meragui suami. Sudahnya jemariku menekan butang panggilan pada nombor telefon rumahku. Aku perlu bercakap dengan seseorang. Aku tidak boleh menyimpan rasa sedih ini sendirian.
“Assalamualaikum…,”
Mendengar suara ibuku, hatiku terus beralun pilu. Salam cuma mampu kujawab jauh di sudut hati.
“Mak…,”aku bersuara sendu. Yakin, ada getaran pada suaraku.
“Tiya? Kenapa ni?,”
“Tiya sedih,”
“Tiya, kenapa ni? Sedih kenapa?,”
Air mata menitis perlahan-lahan. Sedikit perubahan Encik Firdaus juga cerita yang dibawa oleh Puan Sri Ainul tiba-tiba membuat aku berasa cukup jauh dengan lelaki itu. Membuat dada sebak tiba-tiba. Perlahan-lahan ada esakan kecil yang bertandang.
“Kenapa pula ni ,Tiya? Hujan tak ada, ribut tak ada…kenapa tiba-tiba menangis ni?,”
“Tak tahulah. Tiya rasa lainlah. Tiya rasa ada orang yang nak Tiya berpisah dengan abang Firdaus. Abang Firdaus pun sekarang ni dah tak macam dulu,”
“Tiya, jangan fikir yang bukan-bukan. Tiya kahwin belum pun sampai setahun. Tak baik cakap macam tu, nak. Jangan fikir yang buruk-buruk macam tu. Daud tu baik. Mak tahu Daud sayangkan Tiya. Jangan buat perangai lama lagi. Tiya tak sayangkan suami Tiya ke? Tak sayangkan perkahwinan Tiya yang baru sangat lagi ni?,”
Aku terkedu seketika. Kenapa mak tak nak sokong aku?
“Ada orang nak kami berpisah mak,”aku bersuara lagi.
“Tiya… yang penting, kamu dengan Daud. Kalau kamu berdua saling sayang antara satu sama lain, siapa pun tak mungkin boleh pisahkan kamu. Ingat tu. Jangan prasangka yang bukan-bukan. Ada masalah, bincang elok-elok. Jangan suka buat perangai lama Tiya tu. Tahu buat keputusan sendiri aje. Dulu tak apa. belum kahwin. Sekarang mana boleh Tiya buat perangai macam tu lagi,”
“Abang Firdaus pun dah berubah, mak…,”aku cuba mengadu lagi. Benar-benar mahukan pengertian daripada ibuku. Rasanya memang ada sesuatu yang tidak kena pada Encik Firdaus. Ini bukan hanya disebabkan cerita yang Puan Sri Ainul sampaikan semata-mata.
“Berubah macam-mana tu?,”
Aku diam. Berubah bagaimana? Untuk aku perincikan perubahannya, aku sendiri kurang pasti. Namun, jauh di sudut hatiku, aku dapat rasakan ada perubahan dalam sikap Encik Firdaus. Ada sesuatu yang menggaggunya. Mungkinkah gangguan itu, kenangan-kenangan indah bersama Mia? Mungkinkah perkahwinan kami yang menjarakkan hubungan mereka, membuat Encik Firdaus rindu pada gadis itu?
“Tiya?,”
Aku mengeluh perlahan. Pasti ibuku tertunggu-tunggu di hujung talian.
“Tiya rasa abang Firdaus macam kurang selesa dengan Tiya. Entahlah mak. Yang penting, abang Firdaus dah tak macam dulu,”
“Tiya… perkahwinan ni, macam laut. Ada pasang surutnya. Tiya tak boleh nak rasa yang indah saja. Kita kan manusia biasa. Ada masalah dalam rumahtangga tu, perkara biasalah. Daud ada marahkan Tiya ke?,”
“Tak…,”
“Ada cakap yang bukan-bukan pada Tiya? Abaikan Tiya?,”
“Tak…,”
“Dah tu, apa yang berubahnya? Hati Tiya tu yang selalu sangat fikir yang bukan-bukan. Kita, kalau nak bahagia, kena yakin pada pasangan kita. Kalau selalu saja prasangka, sampai bila pun Tiya tak akan bahagia. Tahu tak?,”
Aku diam. Kata-kata ibuku sudah begitu sama dengan kata-kata Encik Firdaus. Seteruk itukah aku? Adakah aku tidak wajar berperasaan begini setelah disogok oleh cerita-cerita daripada Puan Sri Ainul? Tetapi, kalau cerita-cerita itu semuanya benar belaka, bagaimana?
“Kalau kita tak pandai masak, nanti suami akan tinggalkan kita ke, mak?,”spontan soalan yang tiada kena-mengena dengan perbincangan kami, aku lontarkan pada ibuku. Dan, ibuku tergelak kecil di hujung talian.
            “Ini…apa masalah sebenarnya ni? Daud ada bersungut pasal Tiya tak pandai masak ke? Tulah… mak suruh belajar, malas,”
            “Taklah. Tak adalah merungut. Tapi, mana tahu, diam-diam dia cari perempuan yang pandai masak sebab Tiya ni tak pandai,”
            Ibuku tergelak lagi.
            “Tiya, pertama, fikiran tu, janganlah selalu buruk sangka pada suami. Kedua, kalau tak pandai kan boleh belajar. Tiya belajar sampai pandai. Habis cerita. Jangan rosakkan hati dengan melayan bisikan iblis…,”
            Sudahnya aku mengeluh perlahan. Sisa-sisa air mata aku seka sehingga kering.
            “Sesekali berselisih pendapat, sesekali perhatian terkurang tu… itu adat orang berkahwin, Tiya. Ingat tu. Jangan selalu sangat fikir yang bukan-bukan,”
            “Hmm… maafkan Tiya mak,”aku bersuara perlahan. Aku tahu ibu tidak akan sependapat denganku. Sudahnya rasa gusar ini perlu terus aku simpan di hati. Buang jauh-jauh andai aku tidak mahu larutkan rasa ini di dalam hubungan aku dengan Encik Firdaus.
            “Jangan minta maaf dengan mak. Tiya tak buat salah pun. Cuma, ingat pesan mak ya, nak. Ingat betul-betul. Hubungan sebelum kahwin tak sama dengan hubungan selepas kahwin,”
            Aku diam. Kenapa tidak boleh sama? Bukankah perasaan yang membawa kepada hubungan perkahwinan itu, tetap saja rasa cinta yang membuat jiwa sering bahagia? Perasaan itu tidak boleh berubah. Tidak boleh.
            “Tiya? Jangan diam macam tu. Risau mak,”
            “Tiya okay. Terima kasih mak sebab nasihatkan Tiya. Mak sihat kan?,”
            “Baru nak tanya khabar mak?,”
            Aku tersenyum kecil. Lupa pada pertanyaan utama itu, kerana aku khilaf dalam emosiku sendiri. Maafkan Tiya, mak.
            “Tadi, terlupa,”
            “Mak sihat. Alhamdulillah,”
            “Nanti Tiya call lagi ya mak. Tiya kat butik mummy ni,”
            “Yalah. Ingat pesan mak tu. Assalamualaikum,”
            “Waalaikumussalam…,”
            Talian terputus dan aku masih termenung. Entah kenapa hatiku masih berkalung resah walau begitu banyak nasihat yang telah ibuku berikan. Perlahan aku mengeluh. Meraup wajah mencari ketenangan. Cuba melontar jauh-jauh kata-kata Puan Sri Ainul seketika tadi. Kalau aku sayangkan perkahwinanku, aku perlu singkir jauh-jauh segala usaha Puan Sri Ainul. Tentang perubahan  Encik Firdaus pula, barangkali itu pasang surut perkahwinan seperti yang ibuku katakan. Wahai hati, yakinlah pada kata-kata ibuku ini dan singkirlah sejauh mungkin segala kata-kata berselirat niat jahat daripada bibir Puan Sri Ainul.
            “Tiya?,”
            Aku tersentak. Berpusing memandang sekeliling sebelum menggosok perlahan dada tatkala terpandang ke arah Encik Firdaus yang sedang tercegat di hadapanku. Langsung aku tidak menyedari ada seseorang masuk ke ruangan ini. Loceng pintu langsung tidak menjamah gegendang telingaku.
            “Abang… terkejut Tiya,”gumamku perlahan.
            Encik Firdaus tersenyum kecil.
            “Bahaya. Abang masuk pun tak sedar. Jauh sangat melamun,”
            Bibirku mula menggarit senyum.
            “Tiya seorang ke?,”
            Aku mengangguk.
            “Pembantu mummy dua-dua pergi keluar makan. Mummy pula, mungkin masuk lewat sikit. Abang buat apa kat sini?,”
            “Ingat nak culik Tiya. Nak ajak shopping,”
            Aku tergelak kecil.
            “Sejak bila abang suka shopping ni?,”soalku sambil tersenyum lebar. Kebelakangan ini memang Encik Firdaus cukup suka menghabiskan masa membeli itu dan ini. Encik Firdaus sekadar menjongket bahu bersama senyum manis. Melihat senyuman itu, hatiku mula berkata, mungkin benar pendapat ibuku. Encik Firdaus tidak pernah berubah. Apa yang berlaku mungkin asam garam sebuah perkahwinan.
            “Tiya kenapa ni? Muram aje?,”lembut soalan Encik Firdaus sambil menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di sisiku.
            Aku menggeleng perlahan.
            “No. Mesti ada something ni. tell me,”
            “Betul. Tak ada apa-apa. Cuma, baru lepas call mak. Rindu mak,”
            “Hmm… rindu mak rupanya. So, nampaknya abang kena tunggu dia orang balik dululah sebelum dapat culik isteri abang ni. Ya?,”
            Aku tergelak. Kemudian mengangguk perlahan.
            “Abang tak banyak kerja ke hari ni? Sempat pula nak jemput Tiya pergi shopping? Abang nak shopping apa?,”
            “Apa-apa aje. Janji shopping,”
            Aku menggeleng perlahan kemudian mengangkat punggung.
            “Tiya call Suri kejap. Minta dia balik cepat sikit, ya?,”ujarku sambil melangkah menuju ke arah meja telefon. Tidak mahu membuat Encik Firdaus menunggu lama sebenarnya. Encik Firdaus pula cuma tersenyum seakan setuju dengan tindakanku itu. Melihat bibir Encik Firdaus terus tersenyum, membuat sedihku pergi perlahan-lahan.


*****

Biarkan YM Terus Bicara 17


“Apa Tiya cari dalam kedai buku tu?,”
            “Hah?,”
            “Tiya beli apa tu, sayang?,”sekali lagi soalan meniti di bibir suamiku.
            “Ha? Oh… tak ada apa-apa…,”laju aku menjawab sambil beg kertas kudakap erat di dada. Encik Firdaus tersenyum. Aku tersengih. Mana boleh aku bongkarkan apa yang aku beli ini. Nanti hilang kejutan yang ingin aku buat.
            “Dengan abang pun, nak berahsia…,”
            Suamiku itu sedikit merungut. Aku pamer senyum meleret. Segera memaut lengannya sambil beg kertas tetap kemas di genggaman. Sengaja mahu memujuk agar tiada rajuk yang menyinggah. Sejak kebelakangan ini, terasa Encik Firdaus sedikit sensitif. Sering berjauh hati walaupun rajuknya tidak pernah lama.
            “So, kita nak ke mana ni?,”aku bersuara ceria. Melihat sekitar ruangan pusat membeli -  belah yang agak penuh dengan manusia.
            “Tiya nak ke mana?,”
            “Makan? Nak?,”saranku laju.
            Encik Firdaus kerutkan kening. Merenung wajahku agak lama. Perlahan jemarinya melekat ke dahiku. Kemudian pipi. Kemudian leher.
            “Abang ni, kenapa?,”soalku sedikit pelik dengan tingkah Encik Firdaus.
            “Tak demam isteri abang ni. Tapi, kenapa lain benar ni? Selalu sehari sekali pun susah nak makan. Ni, belum pukul dua dah empat kali Tiya ajak abang makan ni,”
            Aku termenung. Membalas renungan Encik Firdaus sambil terfikir-fikir.
            “Ya ke?,”
            Encik Firdaus mengangguk bersama senyum lebar.
            “Tak boleh ke? Tiya rasa nak makan lagi ni…,”
            “Boleh sayang. Tapi, ikut abang kejap. Abang nak beli hadiah,”
            “Hadiah apa?,”
            “Adalah… mana boleh bagitau,”
            Aku mencemik. Balas dendamlah tu. Aku diam sambil terus melangkah seiring  dengan langkah Encik Firdaus. Tanganku yang sebentar tadi melingkar dilengannya, perlahan aku leraikan. Membuat Encik Firdaus berpaling.
            “Kenapa lepaskan?,”  
            Aku tersengih.
            “Dah rasa macam pengantin baru pula…,”balasku selamba. Encik Firdaus tergelak.
            “Biarlah. Apa salahnya…Lagipun, abang rasa kita ni memang masih pengantin baru,”balasnya sambil mencapai jemariku. Menggenggam erat sambil menyambung langkah yang terhenti. Aku terus menurut tanpa banyak bicara. Merenung pada genggaman erat Encik Firdaus, membuat bibirku menguntum senyum perlahan-lahan. Langkah Encik Firdaus terhenti di bahagian kelengkapan bayi.
            “Abang nak beli hadiah apa?,”soalku pelik. Kalau hadiah untuk aku, bahagian ini tidak ada kena mengena langsung.
            “Tiya pilihlah,”Encik Firdaus bersuara lembut.
            Aku tergelak.
            “Semua ni, untuk baby. Tiya tak pakai semua ni. Macam mana nak pilih?,”
            “Siapa cakap abang nak hadiahkan pada Tiya?,”
            “Ooo..ek? Dah tu, untuk siapa?,”dengan perasaan sedikit malu, aku bertanya perlahan. Cukup yakin aku membuat kesimpulan Encik Firdaus mahu membelikan hadiah untuk aku. Rupa-rupanya tekaanku meleset. Perasan betul.
            “Johan,”
            “Johan?,”
            “Yalah. Johan peminat setia Tiya lah. Siapa lagi,”
            Aku mencemik. Macamlah aku tidak kenal Johan.
            “Tahulah Johan. Bukan Tiya tak kenal Johan..,”aku merungut perlahan. Encik Firdaus tersenyum kecil.
            “Hmm.. Lelaki yang dukung Tiya dulu, sebelum abang…,”Encik Firdaus bersuara sambil membuat muka tidak berpuas-hati.
            “Hah? Bila masa pula?,”
            “Masa Tiya pengsan duk papah abang dulu,”
            Aku tergelak kecil. Kisah itu rupanya yang sedang Encik Firdaus persoalkan.
            “Abang ni. Itu darurat…,”
            “Darurat? Tiya tak tahu hati abang lagi darurat masa tu. Rasa macam nak bangun aje mintak tukar dengan dia,”
            Aku tergelak.
            “Tapi. Tiya nampak cool aje,”
            “Macam mana Tiya nampak? Tiya dah pengsan,”
            Aku tergelak lagi. Ya tak ya juga.
            “Salah abang. Siapa suruh sorok handphone dalam poket? Abang berat tau. Penat Tiya…,”
            Encik Firdaus tersenyum. Senyumnya aku yakin sama lebar dengan senyumku. Mengingati semula peristiwa-peristiwa lepas, memang membuat aku bertambah bahagia. Kenangan itu akan tetap menjadi kenangan paling manis dalam hidupku. Juga dalam hidup Encik Firdaus barangkali.
            “Stop dreaming, sayang. Cepat. Pilihkan hadiah untuk baby Johan,”
            “Dah bersalin ya wife dia?,”
            “Ha ah. Semalam,”
            “Abang tak cakap pun…,”
            “Dah tu, sekarang ni, abang duk menyanyi ke?,”
            Aku tarik muncung. Encik Firdaus tertawa senang.
            “Cepatlah. Tiya nak kasi apa?,”
            “Hmm… manalah Tiya tahu. Abang  aje yang pilih. Abang ada chemistry dengan baby. Pilihan abang mesti lagi tepat,”
            Encik Firdaus menjeling.
            “Kalau malas nak pilih, cakaplah malas. Jangan buat alasan pula. Memang dari dulu, malas sangat dia ni nak pilih hadiah tau,”
            Aku tersengih. Encik Firdaus merungut lagi. Tetapi, memang betul pun rungutan itu. Bab memilih hadiah memang aku tidak pernah suka. Bukan tidak suka sebenarnya. Tetapi setiap kali memikirkan apa yang hendak diberi, aku jadi buntu. Rasa buntu itu yang aku tidak suka.
            “Abang pilih ya? Tiya sokong dari belakang,”sendaku sambil menggenggam jemarinya. Membuat dia tersenyum sambil pantas tangannya menyentuh hidungku.
            “Oklah sayang,”
            Aku tersenyum kecil sambil menurut setiap langkahnya menjejalahi bahagian kelengkapan bayi itu.


***

            “Mak ai, banyaknya…,”
            Aku tersengih. Satu kenyataan. Memang banyak. Malah aku rasa terlalu banyak.
            “Nak buat apa banyak sangat ni, Fir? Tiya pregnant ya?,”
            Belum sempat punggung aku labuhkan ke sofa, aku sudah tersedak. Terbatuk-batuk sambil mengurut dada. Air coke di tangan segera aku letak di meja.
            “Tak lah mummy. Abang ni. Rabun mata masuk kat bahagian baby . Tujuan asalnya cuma nak beli hadiah untuk baby Johan aje. Tapi, tengoklah apa yang dia beli. Nasib baik satu department tu dia tak angkut semua,”aku bersuara sebaik batukku mereda. Encik Firdaus sekadar tersenyum sambil santai mengambil tempat di sebelahku.
            Puan Junaidah membelek beg kertas yang tersusun.
            “Alaa.. untuk Qalisha sekali tu,”balas Encik Firdaus lembut. Aku tersenyum. Memang akrab benar hubungan Encik Firdaus dengan Qalisha. Memang banyak hadiah yang Encik Firdaus beli untuk bayi itu.
            “Asyik beli untuk baby orang. Bila nak beli untuk baby sendiri?,”Puan Junaidah mencelah. Aku terdiam. Encik Firdaus tersengih. Tidak pernah ibu mertuaku membuka topik ini. Adakah ini bermakna ibu mertuaku sedang mengharapkan sesuatu? Hatiku mula berdetak bimbang.
            “Itu mummy kena tanya Tiya,”
            Segera aku mengangkat muka. Memandang tajam wajah ceria Encik Firdaus. Tanya aku pula. Ini tidak adil.
            “Apa pulak?,”bantahku laju.
            “Yalah. Kena tanya Tiyalah. Abang… sekarang pun dah ready nak jadi papa,”
            Aku kerutkan kening. Anehnya perasaan membicarakan soal ini di hadapan ibu mertuaku. Ada rasa segan yang menggunung. Juga rasa takut yang kian menghimpit perasaan. Bagaimana kalau ibu mertuaku tidak terbuka seperti Encik Firdaus apabila topik ini dibincangkan? Bagaimana kalau ibu mertuaku mahukan cucu secepat mungkin? Sudah bersediakah aku? Andai aku belum bersedia, dan Puan Junaidah ini mahu Encik Firdaus berkahwin dengan Mia, bagaimana? Hatiku mula berombak bimbang.
            “Kenapa? Tiya tak ready lagi ke? Dapat baby cepat-cepat kan elok,”lembut suara ibu mertuaku membuahkan pendapat. Membuat aku tiba-tiba disapa rasa malu. Tak bestnya topik ni. Hatiku merungut perlahan.
            “Tak adalah mummy. Tiya tak kisahlah. Kalau ada rezeki, Tiya terima aje,”lambat-lambat jawapan skema itu meniti di bibirku. Seram sungguh topik di petang hari ini.
            “Abang nak minum? Mummy nak minum?,”soalanku melencung tiba-tiba.
            “Tengoklah tu. Nak larilah tu. Mana dia senang duduk kalau keluar topik ni,”usikan Encik Firdaus membuat aku terduduk semula. Juga membuat ibu mertuaku tergelak kecil. Aku gelisah sendiri.
            “Dia takut nak pregnant mummy…,”
            Aku menjeling. Teruknya suamiku. Itu pun nak cerita ke? Encik Firdaus tersenyum nakal.
            “Sebelum ada orang marah, baik abang pergi jauh-jauh dulu,”dia mengusik lagi sambil mengangkat punggung.
            “Abang nak mandi dulu,”ucapnya sambil berlalu. Sempat kenyitkan mata padaku. Aku menjeling lagi. Mengekor langkah Encik Firdaus dengan ekor mata. Memang aku tidak puas hati dengan Encik Firdaus saat ini.
            “Betul ke?,”
            “Ha?,”aku terpinga-pinga dengan soalan ibu mertuaku yang cukup pendek itu.
            “Betul ke apa Fir cakap tu?,”soal Puan Junaidah lembut.
            “Taklah mummy. Mana ada macam tu,”
            Puan Junaidah tersenyum. Jemariku ditarik ke ribanya.
            “Cakap saja dengan mummy. Tak payah sembunyi. Apa yang Tiya takut sangat?,”
            Aku terdiam. Tunduk seketika. Kemudian mengangkat muka memandang wajah Puan Junaidah.
            “Bukan Tiya tak nak pregnant mummy. Tapi, rasa gerunlah. Tengok kawan-kawan Tiya yang dah pregnant. Macam-macam cabaran. Tiya rasa macam Tiya tak boleh lalui semua tu. Tiya jadi takut,”laju saja luahan hati meluncur di bibir sebaik mendengar pujukan Puan Junaidah.
            “Tapi, Tiya tak ada cakap dengan abang, Tiya tak nak pregnant, mummy…,”tokokku laju sebelum Puan Junaidah membuat andaian yang negatif padaku. Sebelum wajah Mia terlintas di kepalanya untuk dijadikan menantu nombor dua. Minta dijauhkan. Amin…
            Puan Junaidah tersenyum. Mengusap lembut jemariku. Membuat aku rasa tidak pernah jauh dengan emak.
            “Tak ada apa yang nak ditakutkan Tiya. Saat mengandung adalah saat yang paling indah. Bayangkan kita berkongsi nafas dengan bukti kasih- sayang kita. Semua yang sekarang Tiya nampak macam satu beban, nanti bila Tiya lalui sendiri… beban tu akan jadi detik-detik yang indah. Percayalah,”
            “Betul ke mummy?,”
            “Tak percaya, cuba pregnant dulu..,”
            Aku tergelak. Usikan itu terdengar lucu di telingaku.
            “Mummy dulu masa pregnant teruk ke kena morning sickness?,”
            “Yang paling teruk, semasa mummy mengandungkan Firdaus. Sampai nak dekat bersalin pun masih muntah-muntah,”
            Aku diam. Lamanya derita itu. Sampai mahu bersalin? Bermakna sembilan bulan terpaksa menanggung derita itu?
            “Tapi, setiap kali merasa baby bergerak. Setiap kali teringat baby berada dengan kita dua puluh empat jam, semua sakit tu hilang macam tu saja. Yang tak pernah hilang… rasa seronok,”
            Aku tersenyum. Mendengar cerita itu, seolah membawa aku menikmati satu keindahan pula. Hilang seketika rasa gerunku. Membuat aku turut teringin merasai keseronokan yang Puan Junaidah ceritakan.
            “Tiya tak perlu takutlah. Itu semua lumrah. Jangan fikir kita tak boleh lalui. Setiap wanita pasti dapat lalui semua itu. Setiap wanita ada kekuatan untuk menghadapi cabaran itu,”
            Aku diam seketika.
            “Thanks mummy. Mummy buat Tiya rasa lapang sikit. Kalau tak, tiap kali abang cakap pasal ni, Tiya kecut perut,”
            Puan Junaidah tergelak.
            “Tiya tengok dari sudut yang teruk-teruk. Sebab tu jadi takut,”
            “Mungkin kot,”
            “Sudahlah tu. Jangan takut-takut lagi. Mummy dengan abah pun dah teringin nak timang cucu,”
            Aku tersengih segan. Puan Junaidah tersenyum panjang.
            “Tiya naik atas dulu ya. Nak simpan barang ni,”
            “Yalah. Kalau ada apa-apa, mummy ada kat sini untuk berkongsi rasa,”
            “Thank you, mummy,”ucapku sekali lagi. Perlahan mengangkat punggung sambil mencapai beg-beg kertas yang penuh di atas meja.
            “Tiya naik dulu,”
            Puan Junaidah mengangguk dan aku terus berlalu. Meniti anak tangga menuju ke bilik. Daun pintu aku tolak perlahan. Encik Firdaus yang sedang merapikan rambut, berpaling. Menghadiahkan sekuntum senyuman manis buatku.
            “Lama sembang dengan mummy?,”
            Aku tersenyum. Meletakkan beg kertas di tepi meja solek.
            “Tak baik abang tau. Ada ke cakap kat mummy benda tu semua,”
            Encik Firdaus tergelak kecil.
            “Sayang marah?,”
            “Mula-mula macam nak marah. Tapi, Tiya tahu kenapa abang cakap dengan mummy macam tu,”
            “Oh ya? Kenapa?,”sambil berpeluk tubuh Encik Firdaus tercegat di hadapanku. Aku senyum.
            “Thank you bang,”ucapku senang. Encik Firdaus kerutkan kening.
            “Thank you for what?,”
            Aku tersenyum. Bergerak hampir pada Encik Firdaus. Merenung lembut wajahnya yang cukup bersahaja itu.
            “Abang nak mummy say something to me kan? Abang nak mummy nasihat Tiya kan? Sekarang Tiya rasa lega sikit,”
            “Lega? Lega macam mana tu?,”
            Aku jelirkan lidah. Tahu Encik Firdaus sekadar mengusik. Encik Firdaus tergelak. Aku tersenyum. Memang suamiku bijak. Hampir-hampir aku marah kerana dia membocorkan kelemahanku pada ibunya tanpa aku sedar niatnya cukup baik. Niatnya cuma tidak mahu aku terus dengan perasaan tidak menentu setiap kali membicarakan soal anak.
            “Lega macam mana?,”Encik Firdaus mengulangi soalannya sekali lagi.
            “Adalaaaa….,”berlagu aku menjawab sambil mencapai tuala. Meninggalkan Encik Firdaus bersama senyum.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: