Tuesday, July 24, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 18

Suasana yang sunyi tanpa pelanggan memberi aku kesempatan untuk melayan perasaan buat seketika. Kedua-dua pembantu butik milik ibu mertuaku kebetulan keluar untuk makan tengahari. Sambil mengeluh perlahan, mata kulontarkan jauh ke luar kedai. Melalui dinding cermin itu, aku memandang kosong pada kesibukan manusia membawa hala masing-masing. Sekali lagi aku mengeluh berat. Bagai ada satu beban yang tersimpan di hati. Yang perlahan-lahan membuat hati aku mula disapa sangsi. Saat ini memang aku benar-benar berharap aku mempunyai seseorang untuk berkongsi rasa. Tiba-tiba aku berasa aku terlalu ingin Sharifah berada bersamaku. Memberi buah fikirannya agar langkahku tidak tersasar. Namun, mana mungkin aku boleh terus berharap pada Sharifah. Dia sendiri begitu sibuk dengan kehidupan berkeluarganya. Setitis air mata tiba-tiba menitis. Cepat aku seka dan laju juga pandangan aku tebar ke ruangan butik. Bimbang ada mata yang melihat kesedihanku.
            “Saya andaikan mungkin saya perlukan satu atau dua tahun untuk tunggu Firdaus tu, berubah hati. Rupa-rupanya kurang dari setahun, dia dah kembali nak berbaik dengan Mia,”suara itu bersama gelak panjang yang penuh sindiran, kembali menjamah ruang mindanya.
            “Puan Sri cakap apa ni?,”
            “Tak faham? Atau buat-buat tak faham?,”
            “Saya tak faham dan rasanya saya tak nak faham pun. Kalau Puan Sri nak jumpa mummy, sepatutnya call dia dulu. Dia masuk lambat sikit hari ni. Kalau nak tunggu, boleh tunggu tapi, jangan terus-terus sakitkan hati saya,”
            “Wah! Kurang ajarnya. Kamu tak takut nanti saya mengadu dengan mak mertua kamu?,”
            “Saya tak bermaksud nak kurang ajar. Tapi, rasanya Puan Sri yang dah melampai batas yang sepatutnya. Bersungguh-sungguh nak porak-perandakan rumahtangga saya. Apa salah saya pada Puan Sri, hah?,”
            Sekuntum senyum sinis sekali lagi terukir di bibir wanita ini.
            “Anyway, malas saya nak cakap banyak-banyak. Cuma nak nasihatkan, kalau betul-betul sayangkan Firdaus tu, perhatikanlah sikit keinginan dia. Nampaknya dia dah mula cari anak saya. Dah mula rindukan masakan anak saya tu…Tak lama lagi, pasti rindukan orangnya pula,”
Sungguh  bukan sedikit rasa sakit hatiku mendengar kata-kata itu. Tidak tahu mengapa begitu sekali tindakan wanita ini untuk memburukkan hubunganku dengan Encik Firdaus. Sanggup datang ke sini semata-mata untuk menyakitkan hatiku. Dan, benarkah apa yang diperkatakan itu? Benarkah Encik Firdaus mencari Mia? Rindukan masakan Mia? Apa maksud lelaki itu, apabila dia berkata dia sanggup menerimaku walau bagaimana sekali pun keadaanku? Adakah itu cuma satu omong kosong? Mungkinkah kebahagiaan ini tidak mampu aku genggam selamanya? Sesingkat inikah keindahan rumahtangga kami? Sekali lagi bibir mataku memberat. Mak, Tiya keliru mak. Tiya sedih… hatiku mula merintih hiba.
Telefon bimbit di atas meja aku capai perlahan. Mencari nombor telefon Encik Firdaus. Namun, tidak pula aku menghubungi nombor itu. Apa yang hendak aku katakan pada Encik Firdaus? Paling tidak, aku sekali lagi dilabel sebagai seorang isteri yang terlalu meragui suami. Sudahnya jemariku menekan butang panggilan pada nombor telefon rumahku. Aku perlu bercakap dengan seseorang. Aku tidak boleh menyimpan rasa sedih ini sendirian.
“Assalamualaikum…,”
Mendengar suara ibuku, hatiku terus beralun pilu. Salam cuma mampu kujawab jauh di sudut hati.
“Mak…,”aku bersuara sendu. Yakin, ada getaran pada suaraku.
“Tiya? Kenapa ni?,”
“Tiya sedih,”
“Tiya, kenapa ni? Sedih kenapa?,”
Air mata menitis perlahan-lahan. Sedikit perubahan Encik Firdaus juga cerita yang dibawa oleh Puan Sri Ainul tiba-tiba membuat aku berasa cukup jauh dengan lelaki itu. Membuat dada sebak tiba-tiba. Perlahan-lahan ada esakan kecil yang bertandang.
“Kenapa pula ni ,Tiya? Hujan tak ada, ribut tak ada…kenapa tiba-tiba menangis ni?,”
“Tak tahulah. Tiya rasa lainlah. Tiya rasa ada orang yang nak Tiya berpisah dengan abang Firdaus. Abang Firdaus pun sekarang ni dah tak macam dulu,”
“Tiya, jangan fikir yang bukan-bukan. Tiya kahwin belum pun sampai setahun. Tak baik cakap macam tu, nak. Jangan fikir yang buruk-buruk macam tu. Daud tu baik. Mak tahu Daud sayangkan Tiya. Jangan buat perangai lama lagi. Tiya tak sayangkan suami Tiya ke? Tak sayangkan perkahwinan Tiya yang baru sangat lagi ni?,”
Aku terkedu seketika. Kenapa mak tak nak sokong aku?
“Ada orang nak kami berpisah mak,”aku bersuara lagi.
“Tiya… yang penting, kamu dengan Daud. Kalau kamu berdua saling sayang antara satu sama lain, siapa pun tak mungkin boleh pisahkan kamu. Ingat tu. Jangan prasangka yang bukan-bukan. Ada masalah, bincang elok-elok. Jangan suka buat perangai lama Tiya tu. Tahu buat keputusan sendiri aje. Dulu tak apa. belum kahwin. Sekarang mana boleh Tiya buat perangai macam tu lagi,”
“Abang Firdaus pun dah berubah, mak…,”aku cuba mengadu lagi. Benar-benar mahukan pengertian daripada ibuku. Rasanya memang ada sesuatu yang tidak kena pada Encik Firdaus. Ini bukan hanya disebabkan cerita yang Puan Sri Ainul sampaikan semata-mata.
“Berubah macam-mana tu?,”
Aku diam. Berubah bagaimana? Untuk aku perincikan perubahannya, aku sendiri kurang pasti. Namun, jauh di sudut hatiku, aku dapat rasakan ada perubahan dalam sikap Encik Firdaus. Ada sesuatu yang menggaggunya. Mungkinkah gangguan itu, kenangan-kenangan indah bersama Mia? Mungkinkah perkahwinan kami yang menjarakkan hubungan mereka, membuat Encik Firdaus rindu pada gadis itu?
“Tiya?,”
Aku mengeluh perlahan. Pasti ibuku tertunggu-tunggu di hujung talian.
“Tiya rasa abang Firdaus macam kurang selesa dengan Tiya. Entahlah mak. Yang penting, abang Firdaus dah tak macam dulu,”
“Tiya… perkahwinan ni, macam laut. Ada pasang surutnya. Tiya tak boleh nak rasa yang indah saja. Kita kan manusia biasa. Ada masalah dalam rumahtangga tu, perkara biasalah. Daud ada marahkan Tiya ke?,”
“Tak…,”
“Ada cakap yang bukan-bukan pada Tiya? Abaikan Tiya?,”
“Tak…,”
“Dah tu, apa yang berubahnya? Hati Tiya tu yang selalu sangat fikir yang bukan-bukan. Kita, kalau nak bahagia, kena yakin pada pasangan kita. Kalau selalu saja prasangka, sampai bila pun Tiya tak akan bahagia. Tahu tak?,”
Aku diam. Kata-kata ibuku sudah begitu sama dengan kata-kata Encik Firdaus. Seteruk itukah aku? Adakah aku tidak wajar berperasaan begini setelah disogok oleh cerita-cerita daripada Puan Sri Ainul? Tetapi, kalau cerita-cerita itu semuanya benar belaka, bagaimana?
“Kalau kita tak pandai masak, nanti suami akan tinggalkan kita ke, mak?,”spontan soalan yang tiada kena-mengena dengan perbincangan kami, aku lontarkan pada ibuku. Dan, ibuku tergelak kecil di hujung talian.
            “Ini…apa masalah sebenarnya ni? Daud ada bersungut pasal Tiya tak pandai masak ke? Tulah… mak suruh belajar, malas,”
            “Taklah. Tak adalah merungut. Tapi, mana tahu, diam-diam dia cari perempuan yang pandai masak sebab Tiya ni tak pandai,”
            Ibuku tergelak lagi.
            “Tiya, pertama, fikiran tu, janganlah selalu buruk sangka pada suami. Kedua, kalau tak pandai kan boleh belajar. Tiya belajar sampai pandai. Habis cerita. Jangan rosakkan hati dengan melayan bisikan iblis…,”
            Sudahnya aku mengeluh perlahan. Sisa-sisa air mata aku seka sehingga kering.
            “Sesekali berselisih pendapat, sesekali perhatian terkurang tu… itu adat orang berkahwin, Tiya. Ingat tu. Jangan selalu sangat fikir yang bukan-bukan,”
            “Hmm… maafkan Tiya mak,”aku bersuara perlahan. Aku tahu ibu tidak akan sependapat denganku. Sudahnya rasa gusar ini perlu terus aku simpan di hati. Buang jauh-jauh andai aku tidak mahu larutkan rasa ini di dalam hubungan aku dengan Encik Firdaus.
            “Jangan minta maaf dengan mak. Tiya tak buat salah pun. Cuma, ingat pesan mak ya, nak. Ingat betul-betul. Hubungan sebelum kahwin tak sama dengan hubungan selepas kahwin,”
            Aku diam. Kenapa tidak boleh sama? Bukankah perasaan yang membawa kepada hubungan perkahwinan itu, tetap saja rasa cinta yang membuat jiwa sering bahagia? Perasaan itu tidak boleh berubah. Tidak boleh.
            “Tiya? Jangan diam macam tu. Risau mak,”
            “Tiya okay. Terima kasih mak sebab nasihatkan Tiya. Mak sihat kan?,”
            “Baru nak tanya khabar mak?,”
            Aku tersenyum kecil. Lupa pada pertanyaan utama itu, kerana aku khilaf dalam emosiku sendiri. Maafkan Tiya, mak.
            “Tadi, terlupa,”
            “Mak sihat. Alhamdulillah,”
            “Nanti Tiya call lagi ya mak. Tiya kat butik mummy ni,”
            “Yalah. Ingat pesan mak tu. Assalamualaikum,”
            “Waalaikumussalam…,”
            Talian terputus dan aku masih termenung. Entah kenapa hatiku masih berkalung resah walau begitu banyak nasihat yang telah ibuku berikan. Perlahan aku mengeluh. Meraup wajah mencari ketenangan. Cuba melontar jauh-jauh kata-kata Puan Sri Ainul seketika tadi. Kalau aku sayangkan perkahwinanku, aku perlu singkir jauh-jauh segala usaha Puan Sri Ainul. Tentang perubahan  Encik Firdaus pula, barangkali itu pasang surut perkahwinan seperti yang ibuku katakan. Wahai hati, yakinlah pada kata-kata ibuku ini dan singkirlah sejauh mungkin segala kata-kata berselirat niat jahat daripada bibir Puan Sri Ainul.
            “Tiya?,”
            Aku tersentak. Berpusing memandang sekeliling sebelum menggosok perlahan dada tatkala terpandang ke arah Encik Firdaus yang sedang tercegat di hadapanku. Langsung aku tidak menyedari ada seseorang masuk ke ruangan ini. Loceng pintu langsung tidak menjamah gegendang telingaku.
            “Abang… terkejut Tiya,”gumamku perlahan.
            Encik Firdaus tersenyum kecil.
            “Bahaya. Abang masuk pun tak sedar. Jauh sangat melamun,”
            Bibirku mula menggarit senyum.
            “Tiya seorang ke?,”
            Aku mengangguk.
            “Pembantu mummy dua-dua pergi keluar makan. Mummy pula, mungkin masuk lewat sikit. Abang buat apa kat sini?,”
            “Ingat nak culik Tiya. Nak ajak shopping,”
            Aku tergelak kecil.
            “Sejak bila abang suka shopping ni?,”soalku sambil tersenyum lebar. Kebelakangan ini memang Encik Firdaus cukup suka menghabiskan masa membeli itu dan ini. Encik Firdaus sekadar menjongket bahu bersama senyum manis. Melihat senyuman itu, hatiku mula berkata, mungkin benar pendapat ibuku. Encik Firdaus tidak pernah berubah. Apa yang berlaku mungkin asam garam sebuah perkahwinan.
            “Tiya kenapa ni? Muram aje?,”lembut soalan Encik Firdaus sambil menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di sisiku.
            Aku menggeleng perlahan.
            “No. Mesti ada something ni. tell me,”
            “Betul. Tak ada apa-apa. Cuma, baru lepas call mak. Rindu mak,”
            “Hmm… rindu mak rupanya. So, nampaknya abang kena tunggu dia orang balik dululah sebelum dapat culik isteri abang ni. Ya?,”
            Aku tergelak. Kemudian mengangguk perlahan.
            “Abang tak banyak kerja ke hari ni? Sempat pula nak jemput Tiya pergi shopping? Abang nak shopping apa?,”
            “Apa-apa aje. Janji shopping,”
            Aku menggeleng perlahan kemudian mengangkat punggung.
            “Tiya call Suri kejap. Minta dia balik cepat sikit, ya?,”ujarku sambil melangkah menuju ke arah meja telefon. Tidak mahu membuat Encik Firdaus menunggu lama sebenarnya. Encik Firdaus pula cuma tersenyum seakan setuju dengan tindakanku itu. Melihat bibir Encik Firdaus terus tersenyum, membuat sedihku pergi perlahan-lahan.


*****

5 comments:

Anonymous said...

I am confident Encik Firdaus tak akan berubah hati. He is matured enough for Tiya. But then, Tiya pregnant kot?

AniLufias said...

mesti Tiya pregnant nie,,...
x sabar nak tggu episod seterusnya

nOOr79 said...

tiya pregnant ni...sbb tu jiwa ny t'lbih snsitif & prgai en.firdaus lain skit..ntah2 baby girl sbb en.firdaus ska shopping je...hehehh

SAL said...

tak tau juga kan, kalau ada sesuatu yg berlaku melibatkan rumah tangga diaorg..konfliknya muncul di hujung cerita pulak nanti..harap2nya tidak la...

Anonymous said...

Best. Go go writer !!! I will be waiting for you. Tp kan husband shopping itu sgt ssesuatu ya. Last time bila husb sy ajak shop rupa2nya
esok harinya sy disahkan pregnant. Sgt pelik tp benar sama dgn ini cerita. Sy curiga pun ada. Sedih tiba2 pun ada. Last2 kena bahan dgn husb sendiri sampai skrg. HAHA

[11:35:50 PM] hos.getah: