Suasana yang sunyi tanpa pelanggan memberi aku
kesempatan untuk melayan perasaan buat seketika. Kedua-dua pembantu butik milik
ibu mertuaku kebetulan keluar untuk makan tengahari. Sambil mengeluh perlahan,
mata kulontarkan jauh ke luar kedai. Melalui dinding cermin itu, aku memandang
kosong pada kesibukan manusia membawa hala masing-masing. Sekali lagi aku
mengeluh berat. Bagai ada satu beban yang tersimpan di hati. Yang
perlahan-lahan membuat hati aku mula disapa sangsi. Saat ini memang aku
benar-benar berharap aku mempunyai seseorang untuk berkongsi rasa. Tiba-tiba
aku berasa aku terlalu ingin Sharifah berada bersamaku. Memberi buah fikirannya
agar langkahku tidak tersasar. Namun, mana mungkin aku boleh terus berharap
pada Sharifah. Dia sendiri begitu sibuk dengan kehidupan berkeluarganya.
Setitis air mata tiba-tiba menitis. Cepat aku seka dan laju juga pandangan aku
tebar ke ruangan butik. Bimbang ada mata yang melihat kesedihanku.
“Saya andaikan mungkin saya perlukan
satu atau dua tahun untuk tunggu Firdaus tu, berubah hati. Rupa-rupanya kurang
dari setahun, dia dah kembali nak berbaik dengan Mia,”suara itu bersama gelak
panjang yang penuh sindiran, kembali menjamah ruang mindanya.
“Puan Sri cakap apa ni?,”
“Tak faham? Atau buat-buat tak
faham?,”
“Saya tak faham dan rasanya saya tak
nak faham pun. Kalau Puan Sri nak jumpa mummy, sepatutnya call dia dulu. Dia
masuk lambat sikit hari ni. Kalau nak tunggu, boleh tunggu tapi, jangan
terus-terus sakitkan hati saya,”
“Wah! Kurang ajarnya. Kamu tak takut
nanti saya mengadu dengan mak mertua kamu?,”
“Saya tak bermaksud nak kurang ajar.
Tapi, rasanya Puan Sri yang dah melampai batas yang sepatutnya.
Bersungguh-sungguh nak porak-perandakan rumahtangga saya. Apa salah saya pada
Puan Sri, hah?,”
Sekuntum senyum sinis sekali lagi terukir
di bibir wanita ini.
“Anyway, malas saya nak cakap
banyak-banyak. Cuma nak nasihatkan, kalau betul-betul sayangkan Firdaus tu,
perhatikanlah sikit keinginan dia. Nampaknya dia dah mula cari anak saya. Dah
mula rindukan masakan anak saya tu…Tak lama lagi, pasti rindukan orangnya
pula,”
Sungguh bukan
sedikit rasa sakit hatiku mendengar kata-kata itu. Tidak tahu mengapa begitu
sekali tindakan wanita ini untuk memburukkan hubunganku dengan Encik Firdaus.
Sanggup datang ke sini semata-mata untuk menyakitkan hatiku. Dan, benarkah apa
yang diperkatakan itu? Benarkah Encik Firdaus mencari Mia? Rindukan masakan
Mia? Apa maksud lelaki itu, apabila dia berkata dia sanggup menerimaku walau
bagaimana sekali pun keadaanku? Adakah itu cuma satu omong kosong? Mungkinkah
kebahagiaan ini tidak mampu aku genggam selamanya? Sesingkat inikah keindahan
rumahtangga kami? Sekali lagi bibir mataku memberat. Mak, Tiya keliru mak. Tiya
sedih… hatiku mula merintih hiba.
Telefon
bimbit di atas meja aku capai perlahan. Mencari nombor telefon Encik Firdaus.
Namun, tidak pula aku menghubungi nombor itu. Apa yang hendak aku katakan pada
Encik Firdaus? Paling tidak, aku sekali lagi dilabel sebagai seorang isteri
yang terlalu meragui suami. Sudahnya jemariku menekan butang panggilan pada
nombor telefon rumahku. Aku perlu bercakap dengan seseorang. Aku tidak boleh
menyimpan rasa sedih ini sendirian.
“Assalamualaikum…,”
Mendengar suara ibuku, hatiku terus beralun pilu.
Salam cuma mampu kujawab jauh di sudut hati.
“Mak…,”aku bersuara sendu. Yakin, ada getaran pada
suaraku.
“Tiya? Kenapa ni?,”
“Tiya sedih,”
“Tiya, kenapa ni? Sedih kenapa?,”
Air mata menitis perlahan-lahan. Sedikit perubahan
Encik Firdaus juga cerita yang dibawa oleh Puan Sri Ainul tiba-tiba membuat aku
berasa cukup jauh dengan lelaki itu. Membuat dada sebak tiba-tiba.
Perlahan-lahan ada esakan kecil yang bertandang.
“Kenapa pula ni ,Tiya? Hujan tak ada, ribut tak
ada…kenapa tiba-tiba menangis ni?,”
“Tak tahulah. Tiya rasa lainlah. Tiya rasa ada orang
yang nak Tiya berpisah dengan abang Firdaus. Abang Firdaus pun sekarang ni dah
tak macam dulu,”
“Tiya, jangan fikir yang bukan-bukan. Tiya kahwin
belum pun sampai setahun. Tak baik cakap macam tu, nak. Jangan fikir yang
buruk-buruk macam tu. Daud tu baik. Mak tahu Daud sayangkan Tiya. Jangan buat
perangai lama lagi. Tiya tak sayangkan suami Tiya ke? Tak sayangkan perkahwinan
Tiya yang baru sangat lagi ni?,”
Aku terkedu seketika. Kenapa mak tak nak sokong aku?
“Ada orang nak kami berpisah mak,”aku bersuara lagi.
“Tiya… yang penting, kamu dengan Daud. Kalau kamu
berdua saling sayang antara satu sama lain, siapa pun tak mungkin boleh
pisahkan kamu. Ingat tu. Jangan prasangka yang bukan-bukan. Ada masalah,
bincang elok-elok. Jangan suka buat perangai lama Tiya tu. Tahu buat keputusan
sendiri aje. Dulu tak apa. belum kahwin. Sekarang mana boleh Tiya buat perangai
macam tu lagi,”
“Abang Firdaus pun dah berubah, mak…,”aku cuba
mengadu lagi. Benar-benar mahukan pengertian daripada ibuku. Rasanya memang ada
sesuatu yang tidak kena pada Encik Firdaus. Ini bukan hanya disebabkan cerita
yang Puan Sri Ainul sampaikan semata-mata.
“Berubah macam-mana tu?,”
Aku diam. Berubah bagaimana? Untuk aku perincikan
perubahannya, aku sendiri kurang pasti. Namun, jauh di sudut hatiku, aku dapat
rasakan ada perubahan dalam sikap Encik Firdaus. Ada sesuatu yang menggaggunya.
Mungkinkah gangguan itu, kenangan-kenangan indah bersama Mia? Mungkinkah
perkahwinan kami yang menjarakkan hubungan mereka, membuat Encik Firdaus rindu
pada gadis itu?
“Tiya?,”
Aku mengeluh perlahan. Pasti ibuku tertunggu-tunggu
di hujung talian.
“Tiya rasa abang Firdaus macam kurang selesa dengan
Tiya. Entahlah mak. Yang penting, abang Firdaus dah tak macam dulu,”
“Tiya… perkahwinan ni, macam laut. Ada pasang
surutnya. Tiya tak boleh nak rasa yang indah saja. Kita kan manusia biasa. Ada
masalah dalam rumahtangga tu, perkara biasalah. Daud ada marahkan Tiya ke?,”
“Tak…,”
“Ada cakap yang bukan-bukan pada Tiya? Abaikan
Tiya?,”
“Tak…,”
“Dah tu, apa yang berubahnya? Hati Tiya tu yang
selalu sangat fikir yang bukan-bukan. Kita, kalau nak bahagia, kena yakin pada
pasangan kita. Kalau selalu saja prasangka, sampai bila pun Tiya tak akan
bahagia. Tahu tak?,”
Aku diam. Kata-kata ibuku sudah begitu sama dengan
kata-kata Encik Firdaus. Seteruk itukah aku? Adakah aku tidak wajar berperasaan
begini setelah disogok oleh cerita-cerita daripada Puan Sri Ainul? Tetapi,
kalau cerita-cerita itu semuanya benar belaka, bagaimana?
“Kalau kita tak pandai masak, nanti suami akan
tinggalkan kita ke, mak?,”spontan soalan yang tiada kena-mengena dengan
perbincangan kami, aku lontarkan pada ibuku. Dan, ibuku tergelak kecil di
hujung talian.
“Ini…apa masalah sebenarnya ni? Daud
ada bersungut pasal Tiya tak pandai masak ke? Tulah… mak suruh belajar, malas,”
“Taklah. Tak adalah merungut. Tapi,
mana tahu, diam-diam dia cari perempuan yang pandai masak sebab Tiya ni tak
pandai,”
Ibuku tergelak lagi.
“Tiya, pertama, fikiran tu,
janganlah selalu buruk sangka pada suami. Kedua, kalau tak pandai kan boleh
belajar. Tiya belajar sampai pandai. Habis cerita. Jangan rosakkan hati dengan
melayan bisikan iblis…,”
Sudahnya aku mengeluh perlahan.
Sisa-sisa air mata aku seka sehingga kering.
“Sesekali berselisih pendapat,
sesekali perhatian terkurang tu… itu adat orang berkahwin, Tiya. Ingat tu.
Jangan selalu sangat fikir yang bukan-bukan,”
“Hmm… maafkan Tiya mak,”aku bersuara
perlahan. Aku tahu ibu tidak akan sependapat denganku. Sudahnya rasa gusar ini
perlu terus aku simpan di hati. Buang jauh-jauh andai aku tidak mahu larutkan
rasa ini di dalam hubungan aku dengan Encik Firdaus.
“Jangan minta maaf dengan mak. Tiya
tak buat salah pun. Cuma, ingat pesan mak ya, nak. Ingat betul-betul. Hubungan
sebelum kahwin tak sama dengan hubungan selepas kahwin,”
Aku diam. Kenapa tidak boleh sama?
Bukankah perasaan yang membawa kepada hubungan perkahwinan itu, tetap saja rasa
cinta yang membuat jiwa sering bahagia? Perasaan itu tidak boleh berubah. Tidak
boleh.
“Tiya? Jangan diam macam tu. Risau
mak,”
“Tiya okay. Terima kasih mak sebab
nasihatkan Tiya. Mak sihat kan?,”
“Baru nak tanya khabar mak?,”
Aku tersenyum kecil. Lupa pada
pertanyaan utama itu, kerana aku khilaf dalam emosiku sendiri. Maafkan Tiya,
mak.
“Tadi, terlupa,”
“Mak sihat. Alhamdulillah,”
“Nanti Tiya call lagi ya mak. Tiya
kat butik mummy ni,”
“Yalah. Ingat pesan mak tu.
Assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam…,”
Talian terputus dan aku masih
termenung. Entah kenapa hatiku masih berkalung resah walau begitu banyak
nasihat yang telah ibuku berikan. Perlahan aku mengeluh. Meraup wajah mencari
ketenangan. Cuba melontar jauh-jauh kata-kata Puan Sri Ainul seketika tadi.
Kalau aku sayangkan perkahwinanku, aku perlu singkir jauh-jauh segala usaha
Puan Sri Ainul. Tentang perubahan Encik
Firdaus pula, barangkali itu pasang surut perkahwinan seperti yang ibuku
katakan. Wahai hati, yakinlah pada kata-kata ibuku ini dan singkirlah sejauh
mungkin segala kata-kata berselirat niat jahat daripada bibir Puan Sri Ainul.
“Tiya?,”
Aku tersentak. Berpusing memandang
sekeliling sebelum menggosok perlahan dada tatkala terpandang ke arah Encik
Firdaus yang sedang tercegat di hadapanku. Langsung aku tidak menyedari ada
seseorang masuk ke ruangan ini. Loceng pintu langsung tidak menjamah gegendang
telingaku.
“Abang… terkejut Tiya,”gumamku
perlahan.
Encik Firdaus tersenyum kecil.
“Bahaya. Abang masuk pun tak sedar.
Jauh sangat melamun,”
Bibirku mula menggarit senyum.
“Tiya seorang ke?,”
Aku mengangguk.
“Pembantu mummy dua-dua pergi keluar
makan. Mummy pula, mungkin masuk lewat sikit. Abang buat apa kat sini?,”
“Ingat nak culik Tiya. Nak ajak
shopping,”
Aku tergelak kecil.
“Sejak bila abang suka shopping
ni?,”soalku sambil tersenyum lebar. Kebelakangan ini memang Encik Firdaus cukup
suka menghabiskan masa membeli itu dan ini. Encik Firdaus sekadar menjongket
bahu bersama senyum manis. Melihat senyuman itu, hatiku mula berkata, mungkin
benar pendapat ibuku. Encik Firdaus tidak pernah berubah. Apa yang berlaku
mungkin asam garam sebuah perkahwinan.
“Tiya kenapa ni? Muram aje?,”lembut
soalan Encik Firdaus sambil menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di sisiku.
Aku menggeleng perlahan.
“No. Mesti ada something ni. tell
me,”
“Betul. Tak ada apa-apa. Cuma, baru
lepas call mak. Rindu mak,”
“Hmm… rindu mak rupanya. So,
nampaknya abang kena tunggu dia orang balik dululah sebelum dapat culik isteri
abang ni. Ya?,”
Aku tergelak. Kemudian mengangguk
perlahan.
“Abang tak banyak kerja ke hari ni?
Sempat pula nak jemput Tiya pergi shopping? Abang nak shopping apa?,”
“Apa-apa aje. Janji shopping,”
Aku menggeleng perlahan kemudian
mengangkat punggung.
“Tiya call Suri kejap. Minta dia
balik cepat sikit, ya?,”ujarku sambil melangkah menuju ke arah meja telefon.
Tidak mahu membuat Encik Firdaus menunggu lama sebenarnya. Encik Firdaus pula
cuma tersenyum seakan setuju dengan tindakanku itu. Melihat bibir Encik Firdaus
terus tersenyum, membuat sedihku pergi perlahan-lahan.
*****
5 comments:
I am confident Encik Firdaus tak akan berubah hati. He is matured enough for Tiya. But then, Tiya pregnant kot?
mesti Tiya pregnant nie,,...
x sabar nak tggu episod seterusnya
tiya pregnant ni...sbb tu jiwa ny t'lbih snsitif & prgai en.firdaus lain skit..ntah2 baby girl sbb en.firdaus ska shopping je...hehehh
tak tau juga kan, kalau ada sesuatu yg berlaku melibatkan rumah tangga diaorg..konfliknya muncul di hujung cerita pulak nanti..harap2nya tidak la...
Best. Go go writer !!! I will be waiting for you. Tp kan husband shopping itu sgt ssesuatu ya. Last time bila husb sy ajak shop rupa2nya
esok harinya sy disahkan pregnant. Sgt pelik tp benar sama dgn ini cerita. Sy curiga pun ada. Sedih tiba2 pun ada. Last2 kena bahan dgn husb sendiri sampai skrg. HAHA
Post a Comment