“Apa
Tiya cari dalam kedai buku tu?,”
“Hah?,”
“Tiya beli apa tu, sayang?,”sekali
lagi soalan meniti di bibir suamiku.
“Ha? Oh… tak ada apa-apa…,”laju aku
menjawab sambil beg kertas kudakap erat di dada. Encik Firdaus tersenyum. Aku
tersengih. Mana boleh aku bongkarkan apa yang aku beli ini. Nanti hilang
kejutan yang ingin aku buat.
“Dengan abang pun, nak berahsia…,”
Suamiku itu sedikit merungut. Aku
pamer senyum meleret. Segera memaut lengannya sambil beg kertas tetap kemas di
genggaman. Sengaja mahu memujuk agar tiada rajuk yang menyinggah. Sejak
kebelakangan ini, terasa Encik Firdaus sedikit sensitif. Sering berjauh hati
walaupun rajuknya tidak pernah lama.
“So, kita nak ke mana ni?,”aku
bersuara ceria. Melihat sekitar ruangan pusat membeli - belah yang agak penuh dengan manusia.
“Tiya nak ke mana?,”
“Makan? Nak?,”saranku laju.
Encik Firdaus kerutkan kening.
Merenung wajahku agak lama. Perlahan jemarinya melekat ke dahiku. Kemudian
pipi. Kemudian leher.
“Abang ni, kenapa?,”soalku sedikit
pelik dengan tingkah Encik Firdaus.
“Tak demam isteri abang ni. Tapi,
kenapa lain benar ni? Selalu sehari sekali pun susah nak makan. Ni, belum pukul
dua dah empat kali Tiya ajak abang makan ni,”
Aku termenung. Membalas renungan
Encik Firdaus sambil terfikir-fikir.
“Ya ke?,”
Encik Firdaus mengangguk bersama
senyum lebar.
“Tak boleh ke? Tiya rasa nak makan
lagi ni…,”
“Boleh sayang. Tapi, ikut abang
kejap. Abang nak beli hadiah,”
“Hadiah apa?,”
“Adalah… mana boleh bagitau,”
Aku mencemik. Balas dendamlah tu.
Aku diam sambil terus melangkah seiring
dengan langkah Encik Firdaus. Tanganku yang sebentar tadi melingkar
dilengannya, perlahan aku leraikan. Membuat Encik Firdaus berpaling.
“Kenapa lepaskan?,”
Aku tersengih.
“Dah rasa macam pengantin baru
pula…,”balasku selamba. Encik Firdaus tergelak.
“Biarlah. Apa salahnya…Lagipun,
abang rasa kita ni memang masih pengantin baru,”balasnya sambil mencapai
jemariku. Menggenggam erat sambil menyambung langkah yang terhenti. Aku terus
menurut tanpa banyak bicara. Merenung pada genggaman erat Encik Firdaus, membuat
bibirku menguntum senyum perlahan-lahan. Langkah Encik Firdaus terhenti di
bahagian kelengkapan bayi.
“Abang nak beli hadiah apa?,”soalku
pelik. Kalau hadiah untuk aku, bahagian ini tidak ada kena mengena langsung.
“Tiya pilihlah,”Encik Firdaus
bersuara lembut.
Aku tergelak.
“Semua ni, untuk baby. Tiya tak
pakai semua ni. Macam mana nak pilih?,”
“Siapa cakap abang nak hadiahkan
pada Tiya?,”
“Ooo..ek? Dah tu, untuk
siapa?,”dengan perasaan sedikit malu, aku bertanya perlahan. Cukup yakin aku
membuat kesimpulan Encik Firdaus mahu membelikan hadiah untuk aku. Rupa-rupanya
tekaanku meleset. Perasan betul.
“Johan,”
“Johan?,”
“Yalah. Johan peminat setia Tiya
lah. Siapa lagi,”
Aku mencemik. Macamlah aku tidak
kenal Johan.
“Tahulah Johan. Bukan Tiya tak kenal
Johan..,”aku merungut perlahan. Encik Firdaus tersenyum kecil.
“Hmm.. Lelaki yang dukung Tiya dulu,
sebelum abang…,”Encik Firdaus bersuara sambil membuat muka tidak berpuas-hati.
“Hah? Bila masa pula?,”
“Masa Tiya pengsan duk papah abang
dulu,”
Aku tergelak kecil. Kisah itu
rupanya yang sedang Encik Firdaus persoalkan.
“Abang ni. Itu darurat…,”
“Darurat? Tiya tak tahu hati abang
lagi darurat masa tu. Rasa macam nak bangun aje mintak tukar dengan dia,”
Aku tergelak.
“Tapi. Tiya nampak cool aje,”
“Macam mana Tiya nampak? Tiya dah
pengsan,”
Aku tergelak lagi. Ya tak ya juga.
“Salah abang. Siapa suruh sorok handphone
dalam poket? Abang berat tau. Penat Tiya…,”
Encik Firdaus tersenyum. Senyumnya
aku yakin sama lebar dengan senyumku. Mengingati semula peristiwa-peristiwa
lepas, memang membuat aku bertambah bahagia. Kenangan itu akan tetap menjadi
kenangan paling manis dalam hidupku. Juga dalam hidup Encik Firdaus barangkali.
“Stop dreaming, sayang. Cepat.
Pilihkan hadiah untuk baby Johan,”
“Dah bersalin ya wife dia?,”
“Ha ah. Semalam,”
“Abang tak cakap pun…,”
“Dah tu, sekarang ni, abang duk
menyanyi ke?,”
Aku tarik muncung. Encik Firdaus
tertawa senang.
“Cepatlah. Tiya nak kasi apa?,”
“Hmm… manalah Tiya tahu. Abang aje yang pilih. Abang ada chemistry dengan
baby. Pilihan abang mesti lagi tepat,”
Encik Firdaus menjeling.
“Kalau malas nak pilih, cakaplah
malas. Jangan buat alasan pula. Memang dari dulu, malas sangat dia ni nak pilih
hadiah tau,”
Aku tersengih. Encik Firdaus
merungut lagi. Tetapi, memang betul pun rungutan itu. Bab memilih hadiah memang
aku tidak pernah suka. Bukan tidak suka sebenarnya. Tetapi setiap kali
memikirkan apa yang hendak diberi, aku jadi buntu. Rasa buntu itu yang aku
tidak suka.
“Abang pilih ya? Tiya sokong dari
belakang,”sendaku sambil menggenggam jemarinya. Membuat dia tersenyum sambil
pantas tangannya menyentuh hidungku.
“Oklah sayang,”
Aku tersenyum kecil sambil menurut
setiap langkahnya menjejalahi bahagian kelengkapan bayi itu.
***
“Mak ai, banyaknya…,”
Aku tersengih. Satu kenyataan.
Memang banyak. Malah aku rasa terlalu banyak.
“Nak buat apa banyak sangat ni, Fir?
Tiya pregnant ya?,”
Belum sempat punggung aku labuhkan
ke sofa, aku sudah tersedak. Terbatuk-batuk sambil mengurut dada. Air coke di
tangan segera aku letak di meja.
“Tak lah mummy. Abang ni. Rabun mata
masuk kat bahagian baby . Tujuan asalnya cuma nak beli hadiah untuk baby Johan
aje. Tapi, tengoklah apa yang dia beli. Nasib baik satu department tu dia tak
angkut semua,”aku bersuara sebaik batukku mereda. Encik Firdaus sekadar
tersenyum sambil santai mengambil tempat di sebelahku.
Puan Junaidah membelek beg kertas
yang tersusun.
“Alaa.. untuk Qalisha sekali
tu,”balas Encik Firdaus lembut. Aku tersenyum. Memang akrab benar hubungan
Encik Firdaus dengan Qalisha. Memang banyak hadiah yang Encik Firdaus beli
untuk bayi itu.
“Asyik beli untuk baby orang. Bila
nak beli untuk baby sendiri?,”Puan Junaidah mencelah. Aku terdiam. Encik
Firdaus tersengih. Tidak pernah ibu mertuaku membuka topik ini. Adakah ini
bermakna ibu mertuaku sedang mengharapkan sesuatu? Hatiku mula berdetak
bimbang.
“Itu mummy kena tanya Tiya,”
Segera aku mengangkat muka.
Memandang tajam wajah ceria Encik Firdaus. Tanya aku pula. Ini tidak adil.
“Apa pulak?,”bantahku laju.
“Yalah. Kena tanya Tiyalah. Abang…
sekarang pun dah ready nak jadi papa,”
Aku kerutkan kening. Anehnya perasaan
membicarakan soal ini di hadapan ibu mertuaku. Ada rasa segan yang menggunung.
Juga rasa takut yang kian menghimpit perasaan. Bagaimana kalau ibu mertuaku
tidak terbuka seperti Encik Firdaus apabila topik ini dibincangkan? Bagaimana
kalau ibu mertuaku mahukan cucu secepat mungkin? Sudah bersediakah aku? Andai
aku belum bersedia, dan Puan Junaidah ini mahu Encik Firdaus berkahwin dengan
Mia, bagaimana? Hatiku mula berombak bimbang.
“Kenapa? Tiya tak ready lagi ke?
Dapat baby cepat-cepat kan elok,”lembut suara ibu mertuaku membuahkan pendapat.
Membuat aku tiba-tiba disapa rasa malu. Tak bestnya topik ni. Hatiku merungut
perlahan.
“Tak adalah mummy. Tiya tak
kisahlah. Kalau ada rezeki, Tiya terima aje,”lambat-lambat jawapan skema itu
meniti di bibirku. Seram sungguh topik di petang hari ini.
“Abang nak minum? Mummy nak
minum?,”soalanku melencung tiba-tiba.
“Tengoklah tu. Nak larilah tu. Mana
dia senang duduk kalau keluar topik ni,”usikan Encik Firdaus membuat aku
terduduk semula. Juga membuat ibu mertuaku tergelak kecil. Aku gelisah sendiri.
“Dia takut nak pregnant mummy…,”
Aku menjeling. Teruknya suamiku. Itu
pun nak cerita ke? Encik Firdaus tersenyum nakal.
“Sebelum ada orang marah, baik abang
pergi jauh-jauh dulu,”dia mengusik lagi sambil mengangkat punggung.
“Abang nak mandi dulu,”ucapnya
sambil berlalu. Sempat kenyitkan mata padaku. Aku menjeling lagi. Mengekor
langkah Encik Firdaus dengan ekor mata. Memang aku tidak puas hati dengan Encik
Firdaus saat ini.
“Betul ke?,”
“Ha?,”aku terpinga-pinga dengan
soalan ibu mertuaku yang cukup pendek itu.
“Betul ke apa Fir cakap tu?,”soal
Puan Junaidah lembut.
“Taklah mummy. Mana ada macam tu,”
Puan Junaidah tersenyum. Jemariku
ditarik ke ribanya.
“Cakap saja dengan mummy. Tak payah
sembunyi. Apa yang Tiya takut sangat?,”
Aku terdiam. Tunduk seketika.
Kemudian mengangkat muka memandang wajah Puan Junaidah.
“Bukan Tiya tak nak pregnant mummy.
Tapi, rasa gerunlah. Tengok kawan-kawan Tiya yang dah pregnant. Macam-macam
cabaran. Tiya rasa macam Tiya tak boleh lalui semua tu. Tiya jadi takut,”laju
saja luahan hati meluncur di bibir sebaik mendengar pujukan Puan Junaidah.
“Tapi, Tiya tak ada cakap dengan
abang, Tiya tak nak pregnant, mummy…,”tokokku laju sebelum Puan Junaidah
membuat andaian yang negatif padaku. Sebelum wajah Mia terlintas di kepalanya
untuk dijadikan menantu nombor dua. Minta dijauhkan. Amin…
Puan Junaidah tersenyum. Mengusap
lembut jemariku. Membuat aku rasa tidak pernah jauh dengan emak.
“Tak ada apa yang nak ditakutkan
Tiya. Saat mengandung adalah saat yang paling indah. Bayangkan kita berkongsi
nafas dengan bukti kasih- sayang kita. Semua yang sekarang Tiya nampak macam
satu beban, nanti bila Tiya lalui sendiri… beban tu akan jadi detik-detik yang
indah. Percayalah,”
“Betul ke mummy?,”
“Tak percaya, cuba pregnant dulu..,”
Aku tergelak. Usikan itu terdengar
lucu di telingaku.
“Mummy dulu masa pregnant teruk ke
kena morning sickness?,”
“Yang paling teruk, semasa mummy
mengandungkan Firdaus. Sampai nak dekat bersalin pun masih muntah-muntah,”
Aku diam. Lamanya derita itu. Sampai
mahu bersalin? Bermakna sembilan bulan terpaksa menanggung derita itu?
“Tapi, setiap kali merasa baby
bergerak. Setiap kali teringat baby berada dengan kita dua puluh empat jam,
semua sakit tu hilang macam tu saja. Yang tak pernah hilang… rasa seronok,”
Aku tersenyum. Mendengar cerita itu,
seolah membawa aku menikmati satu keindahan pula. Hilang seketika rasa gerunku.
Membuat aku turut teringin merasai keseronokan yang Puan Junaidah ceritakan.
“Tiya tak perlu takutlah. Itu semua
lumrah. Jangan fikir kita tak boleh lalui. Setiap wanita pasti dapat lalui
semua itu. Setiap wanita ada kekuatan untuk menghadapi cabaran itu,”
Aku diam seketika.
“Thanks mummy. Mummy buat Tiya rasa
lapang sikit. Kalau tak, tiap kali abang cakap pasal ni, Tiya kecut perut,”
Puan Junaidah tergelak.
“Tiya tengok dari sudut yang
teruk-teruk. Sebab tu jadi takut,”
“Mungkin kot,”
“Sudahlah tu. Jangan takut-takut
lagi. Mummy dengan abah pun dah teringin nak timang cucu,”
Aku tersengih segan. Puan Junaidah
tersenyum panjang.
“Tiya naik atas dulu ya. Nak simpan
barang ni,”
“Yalah. Kalau ada apa-apa, mummy ada
kat sini untuk berkongsi rasa,”
“Thank you, mummy,”ucapku sekali
lagi. Perlahan mengangkat punggung sambil mencapai beg-beg kertas yang penuh di
atas meja.
“Tiya naik dulu,”
Puan Junaidah mengangguk dan aku
terus berlalu. Meniti anak tangga menuju ke bilik. Daun pintu aku tolak
perlahan. Encik Firdaus yang sedang merapikan rambut, berpaling. Menghadiahkan
sekuntum senyuman manis buatku.
“Lama sembang dengan mummy?,”
Aku tersenyum. Meletakkan beg kertas
di tepi meja solek.
“Tak baik abang tau. Ada ke cakap
kat mummy benda tu semua,”
Encik Firdaus tergelak kecil.
“Sayang marah?,”
“Mula-mula macam nak marah. Tapi,
Tiya tahu kenapa abang cakap dengan mummy macam tu,”
“Oh ya? Kenapa?,”sambil berpeluk
tubuh Encik Firdaus tercegat di hadapanku. Aku senyum.
“Thank you bang,”ucapku senang.
Encik Firdaus kerutkan kening.
“Thank you for what?,”
Aku tersenyum. Bergerak hampir pada Encik
Firdaus. Merenung lembut wajahnya yang cukup bersahaja itu.
“Abang nak mummy say something to me
kan? Abang nak mummy nasihat Tiya kan? Sekarang Tiya rasa lega sikit,”
“Lega? Lega macam mana tu?,”
Aku jelirkan lidah. Tahu Encik
Firdaus sekadar mengusik. Encik Firdaus tergelak. Aku tersenyum. Memang suamiku
bijak. Hampir-hampir aku marah kerana dia membocorkan kelemahanku pada ibunya
tanpa aku sedar niatnya cukup baik. Niatnya cuma tidak mahu aku terus dengan
perasaan tidak menentu setiap kali membicarakan soal anak.
“Lega macam mana?,”Encik Firdaus
mengulangi soalannya sekali lagi.
“Adalaaaa….,”berlagu aku menjawab
sambil mencapai tuala. Meninggalkan Encik Firdaus bersama senyum.
****
No comments:
Post a Comment