Monday, March 30, 2009

Pergilah Air Mata 47


“Ina?,”
Sabrina menoleh. Memandang wajah Jamilah yang tajam merenungnya.
“Kamu kenapa? Macam nampak hantu rupanya tu,”
Sabrina sekadar mengukir senyum. Menutup rasa debar yang masih belum hilang di dadanya. Rangkulan tangan Badrul di pinggangnya seakan masih terasa.
“Jumpa Encik Badrul?,”wanita itu bertanya lagi.
Kepalanya sekadar mengangguk sambil memandang donut pelbagai jenis yang terhidang di pinggan.
“Banyaknya. Mana Kak Milah dapat ni?,”
“Encik Badrul yang bawa. Kegemaran Datin semua ni. Ina nak?,”
Sabrina menggeleng.
“Saya tak suka sangat. Manis…,”
Jamilah tersenyum.
“Nak minum ke?,”Jamilah bertanya lagi. Dibalas dengan satu lagi gelengan.
“Dayana tak datang sekali ke, Kak Milah?,”Sabrina mula bersuara. Mula mahu merisik apabila menyedari Dayana tiada di ruangan itu. Juga tiada bersama Badrul tadi.
“Tak. Encik Badrul seorang saja, tadi…,”
Mendengar jawapan itu, Sabrina tidak lagi menyambung bicara. Cuma terselit sedikit rasa hairan apabila memikirkan hubungan antara Badrul dan Dayana. Seakan tidak harmoni. Sering membuat keputusan yang tidak sama. Jarang jumpa kata sepakat. Sudah lama dia perhatikan hal itu. Kata sama-sama cinta. Sama-sama sayang. Tetapi, seolah-olah tiada keserasian. Dalam rasa hairan, dia membawa langkah ke ruang tamu. Bertenggek ke sofa sambil mencapai majalah di meja. Ingin lari ke biliknya, hatinya meronta untuk terus menatap wajah Badrul. Dia yakin, dia pasti tidak akan dapat bertemu dengan lelaki ini seandainya dia berkurung di bilik. Badrul pasti tidak akan mengacuhkannya. Badrul pasti berlalu tanpa datang menemuninya. Menyedari niatnya yang sedikit jahat, dia mengeluh perlahan. Tiba-tiba rasa bersalah pada Dayana menyelinap di hati. Dia telah berjanji pada Dayana yang tidak akan ada apa-apa hubungan perasaan di antara dia dengan Badrul. Dan, saat ini dia tersandar di sofa dengan niat ingin menatap wajah Badrul. Tidak. Tidak seharusnya dia berperasaan begini. Tidak sepatutnya dia bertindak begini. Dia harus melawan perasaan yang baru muncul ini. Perlahan dia mengangkat punggung.
“Nak ke mana tu?,”
Sapaan itu membuat dia terjerit kecil. Terkejut mendengar suara itu, sedekat itu. Segera dia menoleh. Badrul tersandar di sofa. Rupa-rupanya Badrul sudah berada di sebelahnya.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?,”
“Kau nak ke mana tu?,”
“Haa.. errr.. hurm…,”
“Apa haa..err.. hurm..? Nak lari ke?,”
“Tak,”
“Kalau tak… duduk…,”Badrul bersuara sambil menarik tangan Sabrina. Memaksa Sabrina menurut.
“Macam mana saya boleh tak sedar awak duduk kat sebelah saya?,”
Badrul tergelak kecil.
“Kau tanya aku? Manalah aku tahu. Entah apa yang kau angankan. Kalau perompak masuk rumah ni pun… kau takkan sedar. Tahu tak?,”
Sabrina diam. Badrul sudah mula membuat andaian melampaunya.
“Kau sihat?,”
Sabrina menoleh. Memandang Badrul yang santai bersandar ke sofa, di sebelahnya. Membuat debarnya datang semula. Renungan Badrul mengunci mulutnya buat seketika.
“Kenapa? Tak sihat? Rindu kat aku?,”
Spontan bibir Sabrina mencebik.
“Rindu ke?,”soal Badrul tersenyum nakal. Sabrina tersenyum sambil mengangguk. Anggukan yang menyingkir senyum nakal Badrul perlahan-lahan. Bagai tidak percaya, jawapan itu yang diberikan Sabrina. Soalannya sekadar untuk mengusik. Dan, dia cuma mahu melihat wajah Sabrina yang gelisah menahan marah dan malu. Itu sahaja. Dia tidak mengharapkan jawapan yang sebegitu positif daripada Sabrina.
“Betul?,”sedikit serius Badrul meminta kepastian. Sabrina tersengih sambil mengangguk lagi.
“Kau nak mainkan aku ke?,”
“Taklah,”balas Sabrina bersama senyum yang mekar di bibir.
“Kenapa lebar benar senyumnya tu?,”
Sabrina menyambung senyum tanpa menjawab soalan Badrul. Badrul pula, berdehem perlahan sambil bergerak hampir dengan Sabrina. Mengangkat kaki ke sofa sambil menghadap wajah gadis itu.
“Kau… rindu aku? Rindu yang macam mana tu?,”
Sabrina menutup majalah di tangan. Menatap wajah Badrul yang sedikit serius sambil tersenyum.
“Betul nak tahu?,”
Badrul diam. Tidak memberi jawapan. Cuma renungannya memberi isyarat dia memang mahukan jawapan.
“Hmm… rindu sebab tak ada orang nak marah-marah saya. Tak ada orang nak sindir-sindir saya. Nak takutkan saya, pun tak ada…,”balas Sabrina sambil tergelak.
“Bodoh!,”geram alunan suara Badrul sambil jari telunjuknya melekat ke dahi Sabrina. Sabrina tergelak besar sambil cuba mengelak, walaupun sebenarnya sudah terlambat.
“Dah agak kau memang nak kenakan aku,”
Sabrina terus tergelak. Melihat gelak itu, tanpa sedar, bibir Badrul turut mengukir senyum. Senang dengan apa yang dilihatnya. Dia sekadar memerhati Sabrina membuka semula majalah yang masih terpegang di tangannya bersama sisa-sisa senyum. Manis.
“Kau sihat?,”Badrul bertanya lagi.
Sabrina mengangguk.
“Okay tinggal di sini tanpa aku?,”
Sabrina mengangguk lagi.
“Baguslah kalau macam tu…,”
Sabrina tersenyum kecil. Melarikan semula pandangannya ke wajah Badrul. Dalam menolak,dia tidak mampu melawan hatinya. Dia mahu menatap wajah itu sepuas hati. Selepas ini, wajah itu tiada lagi. Kini, dalam keliru, dia biarkan perasaan membalut rasanya. Dia alpa untuk melawan rasa yang bertandang. Dia biarkan akalnya jauh terpinggir.
“What?,”
Sabrina terkedu sejenak.
“What? What, apa?,”soalnya sedikit hairan dengan soalan tiba-tiba dari bibir Badrul. Badrul tersenyum lebar.
“Kau tak rindukan marah aku kan? Kau tak rindukan sindiran aku kan? Kau rindu aku.. betul kan?,”
“Tak betul langsung…,”
“It’s okay. Deny it. Nafikan selagi boleh. Kau dah jatuh cinta kat aku kan?,”
Sabrina menelan liur. Celuparnya tekaannya Badrul. Tekaan yang mengubah keseluruhan warna wajahnya. Melihat perubahan itu, Badrul tergelak besar. Sabrina menahan geram. Terasa tercabar dengan gelak itu.
“Kalau betul saya dah jatuh cinta kat awak, kenapa?,”dalam geram, lantang suara Sabrina melontarkan soalan itu. Hampir-hampir dia menampar pipinya sendiri di atas kelantangannya itu. Kelantangan yang sungguh tidak disengajakan. Tetapi, melihat tawa Badrul terhenti tiba-tiba, dia mengeluh lega. Dan melihat wajah Badrul yang sedikit terpinga-pinga, dia yakin kata-katanya berjaya membuat Badrul pula menjadi kelu.
“Kenapa diam?,”soalnya sedikit berani.
“Berani kau sekarang ya? Kau nak aku lawan ke?,”Badrul bersuara dengan wajah yang sedikit tegas. Membangkitkan semula rasa bimbang Sabrina. Dan, sekaligus menyingkir keberaniannya yang tadi berkobar-kobar.
Perlahan Sabrina menggeleng. Tidak mahu bercanda soal perasaan lagi. Bimbang dia akan terperangkap di dalam perasaannya sendiri. Badrul turut membisu. Dia sendiri tidak mahu panjangkan topik itu. Topik tidak selamat selagi perasaannya bagai terawang di udara.
“So, macam mana rumah baru?,”Sabrina mula mengubah tajuk perbualan.
“Okay..,”
“Baguslah. Tapi, Datin betul-betul risaukan awak. Rindukan awak. Sejak awak pindah, dia murung. Tak banyak cakap. Selalu menyendiri,”
“Kau?,”
Sabrina mengerutkan kening. Sedikit geram apabila Badrul seakan berlucu dengan topik yang sedang dia bicarakan.
“Saya… masa awak ada pun memang suka termenung… menyendiri. Saya seriuslah awak. Janganlah main-main pula,”
Badrul mengeluh perlahan. Memandang wajah Sabrina. Betul, gadis itu serius. Sedikit pun tiada senyuman di bibir.
“Mula – mula mungkin susah dia nak terima kot. Maklumlah, mama memang tak pernah berpisah dengan aku. Tapi, InsyaALLAH, nanti, mama akan biasa,”
“Awak selalulah jenguk dia…,”
“Tahulah aku,”
Sabrina tersenyum kecil. Senang dengan jawapan yang sedikit positif daripada Badrul.
“And… thanks Sabrina…,”
Badrul tersenyum. Sekali lagi dahi Sabrina berkerut. Satu perlakuan spontan Sabrina yang baru dia sedar. Suka kerutkan kening. Dan, dia suka melihat kerutan itu. Kenapa mesti dia sukakan segalanya tentang gadis ini, kini?
“Thanks? For what?,”Sabrina bertanya hairan.
“Buat mama faham. Aku cakap benda yang sama dengan mama before aku pindah. Tapi, mama marah aku sampai aku keluar. And… bila kau cakap tadi, mama diam. Diam… dengar…dan terima. Aku tak tahulah. Tapi, kau ni memang ada miracle. Kau tahu tak?,”
Sabrina tergelak.
“Miracle? Mengarutlah. Tak baik cakap macam tulah,”
“Serius…,”
Sabrina menyambung gelak sambil menggeleng.
“Mungkin cara cakap tak sama. Mungkin emosi mama awak yang berbeza. Mungkin itu penyebabnya. Tak ada kena mengena dengan miracle segala. Awak jangan cakap yang bukan-bukanlah…,”akhirnya Sabrina bersuara memberi pendapat.
Badrul diam. Tidak menjawab. Kesederhanaan Sabrina lebih membuat dia leka berbanding daripada kata-kata yang meniti di bibir gadis itu. Lembut… tenang…dan rendah diri. Hari demi hari kelebihan Sabrina yang makin bertambah di matanya. Perlahan-lahan membuat prasangkanya menyisih.
“Bad…,”
“Hmm….,”
Panggilan lembut itu seperti biasa meresap jauh ke tangkai jantungnya. Memang dia suka setiap kali Sabrina mengalun namanya selembut itu.
“Saya tanya sikit, boleh?,”
“Apa dia?,”
“Ermm….Awak dengan Dayana ada masalah ke?,”
“So far tak ada. Kenapa? You wish for it?,”
“Ish! Awak ni! Tak baiklah. Ingat saya jahat sangat ke?,”
Badrul tergelak. Marah betul Sabrina dengan andaian itu.
“Just kidding…,”
Sabrina menjeling. Sedikit terasa sebenarnya dengan kata-kata gurauan itu. Dia tidak sejahat itu untuk mendoakan ketidaksejahteraan rumahtangga orang lain. Soalannya, cuma kerana dia peduli.
“Why?,”
Sabrina menggeleng perlahan. Niatnya untuk bertanya. Niatnya untuk menegur sudah hilang entah ke mana. Yang ada cuma rasa terkilan dengan kata-kata yang dianggap gurauan oleh Badrul.
“Cakaplah. Kenapa kau tanya?,”
“Tak ada apa-apa…,”
“Mustahil. Kau tak akan tanya kalau tak ada sebab. Cakap jelah..,”
“Tak ada apa-apa. Just forget it,”
Badrul diam. Mengamati wajah Sabrina yang sedikit kelat sambil membelek majalah. Pantas majalah itu dicapai.
“Kenapa ni? Orang nak baca ni…,”
“Terbalik,”selamba Badrul bersuara sambil menghulurkan semula majalah di tangannya. Teguran yang membuat darah menyerbu naik ke wajah Sabrina. Terbalik? Betul ke dia tengok majalah terbalik? Dia cuba mengingat kembali. Gagal. Dan, untuk menoleh mancari jawapan di wajah Badrul, malu rasanya. Sudahnya dia mengerutkan kening dalam diam. Cuba untuk mengingati sekali lagi.
“Aku tipu pun… kau dah confuse. Apa kau buat pun, kau tak tahu. Melamun? Or… merajuk?,”
Sabrina menoleh. Tipu? Bulat matanya merenung wajah Badrul. Badrul membuat muka tiada perasaan. Menambah rasa geram di hati Sabrina.
“So, kenapa kau tanya?,”
“Kan dah cakap tak ada apa-apa,”
“Merajuk?,”
“Taklah,”
“Sebab aku cakap macam tu?,”
“Mana ada?,”
“Marah?,”
“Tak,”
“Sebab aku tanya macam tu kan?,”
“Malas nak layan awak…,”
“Betullah tu merajuk,”
Sabrina menoleh. Memandang wajah Badrul.
“Kan?,”soal lelaki itu tersenyum manis. Sabrina menghela nafas panjang.
“Malas nak layan awak…,”ujarnya sekali lagi sambil mengangkat punggung.
“Kau nak aku pujuk ke tu?,”
“Saya tak merajuklah,”
“Tak merajuk… cakaplah apa kau nak cakap tu…,”
Sabrina tercegat di hadapan Badrul sambil menggaru kepala.
“Hmmm… I made up my mind. Tak nak campur hal rumahtangga awak. So, lupakan,”sambil tersenyum Sabrina memberi jawapan. Badrul mencebik sambil menggosok hidung.
“Lupakan apa ni?,”
Sabrina menoleh. Badrul perbetulkan duduk. Datin Hamidah tercegat di belakangnya.
“Tak ada apa-apa Datin,”
“Hmm…. Kamu Bad? Bermalamlah kat sini malam ni..,”
Badrul diam.
“Sesekali ingatkan diri tu. Kat sini pun kamu ada tanggungjawab. Biar sama berat. Biar sama rata,”
Mendengar kata-kata kiasan ibu mertuanya, Sabrina segera berlalu. Tidak mahu mendengar lebih lanjut. Dan, Badrul terus termangu.
“Hai… mama cakap, buat muka cicak telan kapur pula?,”
“Tengoklah mama. Tak janji, okay,”
“Kasihan Sabrina, Bad…,”
Badrul tersenyum kecil. Datin Hamidah bergerak perlahan mengambil tempat di sebelah anak tunggalnya.
“Nampaknya dah satu rumah sayangkan Sabrina tu ya?,”
Datin Hamidah mengeluh panjang.
“Kenapalah kau orang mesti kahwin pasal kena tangkap basah, dulu?,”
Badrul tersenyum kelat. Soalan ibunya dibiar sepi. Sebolehnya dia mahu melupakan mimpi ngeri yang memalukan itu.
“Tidur sini ya?,”
“Saya tengok baju saya dulu. Tak sure saya ada tinggal ke tak kat bilik. Kalau ada saya stay,”
“Jangan nak mengada. Baju abah melambak. Tidur kat sini. Bukan mama suruh tinggal terus pun. Cuma bermalam aje,”pujukan Datin Hamidah sudah bertukar menjadi arahan tegas. Badrul tergelak.
“Yalah, mama. Saya nak jenguk bilik kejap,”akhirnya Badrul memberi persetujuan sambil mengangkat punggung. Bergerak meninggalkan ruang tamu, menuju ke biliknya. Bilik yang sepatutnya menjadi milik Sabrina sekarang. Itulah pesannya pada Sabrina sebelum dia berpindah. Pintu bilik diketuk perlahan. Tidak bersahut. Agak lama menunggu, dia memulas tombol. Membuka pintu yang tidak berkunci. Kemas dan teratur sama seperti sewaktu dia meninggalkan bilik ini. Laju kakinya melangkah menuju ke arah almari. Pintu almari dibuka. Kosong. Cuma ada beberapa helai pakaian dia dan Dayana. Terbukti, Sabrina tidak mengikut arahannya. Segera dia meninggalkan bilik, menuju pula ke bilik Sabrina. Tanpa mengetuk, pintu terus dibuka. Membuat Sabrina tersentak di meja soleknya.
“Awak! Tolonglah ketuk pintu. Terkejut saya,”
Tanpa menjawab, kakinya terus dihayun merapati meja solek. Memandang Sabrina yang merenungnya dengan renungan pelik.
“Kenapa?,”
“Kalau tak silap aku… sebelum aku pindah, aku suruh kau pindah ke bilik aku, kan?,”Badrul bersuara sambil memeluk tubuh. Sabrina mengalihkan pandangan ke cermin. Menyambung semula kerjanya yang terhenti. Facial cotton diusap lembut ke wajahnya. Membersihkan muka.
“Sabrina…,”
“Pasal tu ke awak redah masuk bilik saya?,”Sabrina bersuara apabila nada suara Badrul sudah sedikit berubah. Memang dia sudah tahu, pantang bagi Badrul kalau cakapnya tidak diacuhkan.
“Ya. Kenapa tak ke sana?,”
Sabrina meletakkan kapas muka ke meja. Memandang wajah Badrul.
“Itu kan bilik awak. Buat apa saya nak ke sana?,”
Badrul mengeluh.
“Orang nak bagi selesa, tak nak…,”rungutnya perlahan sambil bergerak ke birai katil.
“Tak apalah. Kat sini pun dah selesa. Lagipun, awak bukan tak balik ke sini kan? Kalau awak dengan Dayana balik ke sini, awak berdua nak tidur kat mana?,”
“Hmmm… betul juga. Kenapa aku tak terfikir ya?,”Badrul bersuara perlahan. Malas bertekak tentang itu sebenarnya. Tidak penting untuk dipanjangkan. Selebihnya, perasaan untuk bertengkar seakan-akan sudah tawar di hatinya.
“Buat apa kat situ?,”laju Sabrina bertanya, sebaik melihat Badrul mahu melabuhkan punggung ke katil.
“Duduklah,”jawab Badrul pelik. Sebenarnya sedikit hairan dengan tingkah Sabrina. Sikap gadis itu sudah mula berubah-ubah.
“Eh, tak payahlah. Pergilah keluar,”
“Kau halau aku ke?,”
“Bukan halau. Tapi, tak selesa kan? Lagipun saya nak mandi. Awak pergilah keluar. Sembang dengan mama awak ke…,”sejujur mungkin Sabrina bersuara. Tidak mahu Badrul berasa dirinya dihalau. Tidak mahu Badrul berkecil hati.
“Hmm… sediakan towel untuk aku, boleh?,”
“Nak buat apa?,”
“Nak mandi,”
“Hah?! Awak ni kenapa? Nak mandi kat sini, buat apa? Pergilah mandi kat bilik awak,”
“Ada aku cakap nak mandi kat sini ke? Aku cuma nak towel. Perasaan,”
Sabrina tersengih malu. Wajah mula terasa membahang. Segera dia bergerak ke almarinya. Mengeluarkan sehelai tuala berwarna biru yang belum dipakai. Segera dihulurkan pada Badrul.
“Terima kasih…,”ujar Badrul sambil tersenyum.
“Awak tak balik ke?,”
“Malam ni turn kau…,”Badrul bersuara sekadar berjenaka. Jenaka yang tidak mampu mengurangkan bahang di wajah Sabrina. Jenaka Badrul mampu meledakkan jantungnya. Mampu membuat wajahnya hangus andai lelaki itu menyambung lagi.
“Okay, sayang?,”usik Badrul senang sambil mengusap pipi Sabrina. Seronok melihat wajah itu merah menyala menahan malu.
“Keluarlah…,”
Badrul tergelak kecil.
“Thanks for this towel…,”ujarnya sambil berlalu ke pintu. Sabrina tidak menjawab. Cuma mematung sambil mendengar degup jantungnya sendiri.
“Hantu….,”bisiknya perlahan.
“Apa kau cakap?,”
Sekali lagi Sabrina tersentap. Pintu yang hampir tertutup, terbuka semula. Terjengul wajah Badrul yang masih tersimpan sisa senyuman. Laju dia melangkah ke pintu. Menolak pintu agar tertutup rapat. Terdengar gelak Badrul yang semakin menjauh di telinganya. Perlahan dia menyentuh pipinya. Hangat. Tangannya dibawa ke dada. Degup jantung terasa cukup laju. Menyesakkan nafas.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: