Monday, December 8, 2008

Pergilah Air Mata 27

“Kau ni, kenapa? Resah saja aku tengok. Makan tadi pun, macam gelisah semacam,”
Badrul menoleh ke arah Darius. Menyambung langkahnya dengan malas. Soalan Darius dibiarkan sepi.
“Bad, aku bercakap dengan kau ni…,”
Sekali badrul memandang wajah temannya itu.
“Aku peliklah. Kenapa ayah aku nak jumpa si Sabrina tu ya?,”akhirnya dia memberi jawapan. Jawapan untuk kegelisahan yang mengganggunya sedari tadi. Sejak melihat wajah serius bapanya dan sejak melihat wajah manis Sabrina apabila dibela bapanya.
“Kau tak Tanya ke?,”Darius cuba merisik. Aneh rasanya kalau Badrul tidak tahu apa-aapa, padahal, Sabrina isterinya. Dan, Datuk Hamidi adalah bapanya. Tidak mungkin mereka berdua berkomplot menyembunyikan sesuatu daripada Badrul.
Badrul mencebik geram. Mendengar soalan Darius, cepat sahaja dia teringatkan setiap kata-kata bapanya yang membuat suhu darahnya naik mendadak sebentar tadi.
“Dah. Aku buka mulut saja, terus dia halau aku keluar,”dalam geram yang masih memburu perasaanya dia lepaskan kata-kata itu pada Darius.
Darius tergelak besar.
“Anak bos kena halau? Ish…ish… serius tu,”
Badrul diam. Dia memandang jam di tangan. Hampir pukul tiga setengah petang. Sudah pulangkah Sabrina? Atau masih lagi di bilik bapanya? Betul-betul dia dilanda rasa ingin tahu. Apa sebenarnya yang mahu bapanya bincangkan dengan Sabrina.
“Sabrina…,”
Segera Badrul mengangkat muka. Suara ceria Darius menarik perhatiannya. Lebar senyum di bibir Darius. Dia memandang ke hadapan. Sabrina tercegat di hadapan mereka. Tersenyum manis membalas senyuman Darius.
“Baru selesai ke urusannya?,”
Badrul menjeling. Soalan yang baru ingin dia lontarkan , terlebih dahulu keluar dari mulut Darius. Kurang asam!
“Ha ah,”
Kali ini matanya tajam merenung wajah Sabrina. Lembut betul suara Sabrina menjawab. Tetapi, apabila difikirkan sekali lagi, memang begitulah nada bicara Sabrina walau dengan siapa pun dia bercakap. Cuma dengannya, sesekali suara Sabrina bertukar tinggi. Itupun, apabila dia mula membuat andaian-andaian tentang gadis itu. Menyedari senyum lebar masih menghiasi bibir gadis itu, pantas dia mencapai tangan Sabrina. Suka benar Sabrina berjumpa dengan Darius. Pantang berjumpa dengan lelaki kategori kacak. Bukan main suka lagi gadis ini.
“Kau masuk dulu. Aku ada hal sikit,”Badrul bersuara sambil menarik tangan Sabrina. Meninggalkan Darius yang terkulat-kulat sendirian.
“Discussion kita macam mana?,”Darius bersuara dengan nada sedikit tinggi, memandangkan Badrul sudah agak jauh meninggalkannya. Badrul menoleh.
“Tunggu aku balik,”
“Oi! Sekarang dah tiga setengah. Sempat ke kau balik? Aku nak balik awallah. Tak nak tunggu kau,”
“Esoklah,”pendek jawapan Badrul sambil menyambung langkahnya. Menarik tangan Sabrina agar gadis itu mengikut setiap langkahnya.
“Nak ke mana ni?,”soal Sabrina separuh berlari. Cuba menyaingi langkah Badrul yang laju.
“Bukan main lagi kau dengan Darius ya? Kau suka kat dia ke?,”
Sabrina mengeluh pendek. Malas menjawab tuduhan itu.
“Kita nak ke mana ni?,”sekali lagi Sabrina bertanya.
“Aku nak cakap sikit,”
“Cakap sajalah. Jangan tarik saya macam ni. Penatlah nak kejar awak,”
Badrul berhenti melangkah. Memandang wajah Sabrina yang kelihatan sedikit mengah.
“Okay. Kita cari tempat yang sesuai untuk bercakap,”
Sabrina menatap wajah Badrul.
“Apa awak nak cakap sebenarnya sampai nak kena cari tempat sesuai? Cakaplah kat sini. Lagipun, saya dah nak balik ni,”
“Jom. Aku drive kereta kau,”Badrul bersuara sambil menghulurkan tangan. Meminta kunci dari Sabrina. Sabrina diam seketika. Mencari kesungguhan di wajah Badrul. Seriuskah lelaki ini?
“Cepatlah,”
“Awak kan tengah kerja. Balik nantilah kita cakap,”
“Jangan bayak cakap, boleh tak? Kau ni kan, makin lama, makin suka menjawab pula. Cepat bagi kunci,”
Sabrina mengeluh perlahan sambil menyelongkar beg yang dia pegang. Mengeluarkan segugus kunci.
“Nah,”
“Jom,”Badrul bersuara sambil mencapai kunci di tangan Sabrina. Sabrina tersenyum kecil. Rasanya dia sudah dapat meneka apa yang ingin Badrul bualkan dengannya. Pasti ingin mengorek topik perbualannya dengan Datuk Hamidi.
“Kau dah makan?,”
Sabrina menggeleng sambil bergerak menuju ke arah Gen 2 birunya.
“Nak makan ke?,”
“Tak naklah. Tak lapar,”
Badrul diam. Perlahan membuka pintu kereta untuk Sabrina. Sabrina tersenyum kecil seraya melangkah masuk ke dalam perut kereta.
“Aku temankan kau lunch,”
“Tak payahlah. Saya tak lapar. Pagi tadi dah makan nasi lemak Kak Milah buat,”
Dup! kuat bunyi pintu kereta ditutup. Dia faham. Badrul tidak akan mendengar cakapnya. Perlahan dia mengeluh sambil matanya mengamati setiap langkah Badrul mengahala ke arah pintu pemandu.

****
Sabrina memerhati sekeliling. Badrul pernah membawanya ke sini. Ke satu kawasan sunyi yang jauh daripada pandangan orang. Memang Badrul arif mencari tempat untuk dia hamburkan kemarahan. Cepat matanya meneliti telapak tangannya. Masih berbekas parut di situ. Parut disebabkan dia terjatuh di sini tidak lama dulu.
“Kenapa bawa saya ke sini?,”Sabrina bersuara. Memecah kesunyian. Badrul menoleh seketika. Kemudian dia melangkah keluar dari kereta. Pintu kereta ditutup perlahan. memandang keadaan sekeliling. Bersandar pada kerata, menunggu Sabrina melangkah keluar. Sabrina pula, seakan faham kehendak Badrul, membuka pintu kereta perlahan-lahan. Dengan sedikit malas, dia melangkah keluar. Mengambil tempat di sebelah Badrul.
“Awak nak cakap apa?,”sekali lagi Sabrina membuka mulut. Badrul berpeluk tubuh. Memandang wajah Sabrina yang juga sedang merenungnya.
“Kau pun tahu aku nak cakap apa,”
“Pasal abah ke?,”
Badrul mengangguk. Sabrina tersenyum kecil.
“Abah offer saya kerja di syarikat tu,”
“What?!,”
Sabrina tersentak. Badrul menoleh laju. Menikam wajah Sabrina yang sedang terkejut.
“Kau cakap dengan abah ke, kau nak kerja? Kan aku dah cakap. Aku tak izinkan kau kerja. Tak faham ke? Aku tak setuju. Tak setuju. Faham?! Jangan nak mengada-ngada terima tawaran tu. Aku nak kau tolak tawaran abah tu! Faham?!,”kuat suara Badrul menengking. Berita yang sememangnya di luar jangkaan.
“Memang saya tolak pun,”Sabrina menjawab perlahan. membuat wajah Badrul terasa sedikit panas. Ada rasa malu yang melintas di hati. Ternyata tengkingannya sia-sia. Dia benar-benar yakin Sabrina terima tawaran bapanya itu. tetapi, jawapan dari mulut gadis itu ternyata meleset sama sekali.
“Kau tolak?,”soalnya juga perlahan sambil menggosok hidung.
Sabrina mengangguk.
“Kenapa tak cakap awal-awal?,”
“Tak sempat nak cakap, awak dah tengking-tengking,”
Badrul tersenyum nipis. Sabrina turut tersenyum. Kemudian sedikit terpinga-pinga apabila perlahan Badrul menunjal dahinya. Pantas tangannya mencapai jemari Badrul di dahinya. Satu tindakan yang membuat mereka sama-sama kaku seketika.
“Buat aku sakit tekak saja, tahu?,”gumam Badrul sambil tersengih. Sebenarnya mahu menutup keterlanjurannya sendiri. Sungguh, dia tidak bermaksud untuk berbuat begitu pada Sabrina. Ada rasa tidak selesa di hatinya, dengan kemesraan yang dia tonjolkan itu. Kemesraan yang janggal. Entah kenapa, melihat senyuman Sabrina, tiba-tiba dia berasa dekat dengan gadis itu. Mendorong dia mencipta satu suasana yang cukup akrab denga gadis itu.
Sabrina turut tergelak sumbang. Cepat-cepat dia lepaskan tangannya yang terpegang jemari Badrul dengan tidak disengajakan. Bergerak pantas meninggalkan Badrul. Malu dengan tingkah serba tidak kena antara meraka. Pelik. Satu tindakan yang pelik. Dan satu perasaan yang pelik. Sudahnya, dari atas puncak bukit itu, dia menebarkan pandangan ke arah langit yang meluas. Terasa begitu hampir dengannya. Langit sudah sedikit kelam. Matahari mula tunduk melabuhkan tirai siang. Pancaran sinarnya sudah tidak begitu terik, dan ditambah dengan deru angin di puncak bukit itu, dia betul-betul terasa nyaman.
“Awak selalu ke sini ke?,”soalnya tanpa memandang wajah Badrul. Diam.
“Awak?,”
Juga diam. Dia menoleh. Badrul masih tersandar pada kereta sambil merenungnya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Perlahan dia menelan liur. Terus memandang ke hadapan sambil meletakkan kedua telapak tangannya ke pipi. Cuba menyembunyikan pipinya yang terasa panas tiba-tiba. Sembunyikan daripada siapa? Dia sendiri tidak tahu. Mungkin dari dirinya sendiri. Memang dia cukup risau apabila Badrul tidak lagi membuka mulut. Diam Badrul mengundang pelbagai rasa di hatinya.
“Kadang-kadang,”
Suara Badrul yang tiba-tiba terdengar di sebelahnya, membuat dia tersentak. Perlahan dia mengurut dada. Badrul tersenyum sambil melabuhkan punggung di atas batu besar di situ. Menepuk batu di sebelahnya, sebagai isyarat meminta Sabrina duduk di sebelahnya. Sabrina menurut. Duduk di sebelah Badrul.
“Cantik tempat ni. Hari tu, saya tak perasan tempat ni, cantik,”
Badrul tersenyum lagi. Bagaimana Sabrina hendak sedar akan segala keindahan ini, kalau mereka datang hanya sekadar untuk bertengkar.
“Kejap lagi, boleh tengok matahari hilang balik awan tu,”sampuk Badrul sambil memandang ke arah sinar mentari yang sedikit lemah walaupun masih menyilaukan pandangan.
“Boleh kita tunggu?,”pinta Sabrina lembut.
Badrul mengangguk. Sabrina tersenyum. Sudah lama dia tidak melihat panorama seindah itu.
“Tak ada siapa tahu tempat ni, ya?,”
Badrul menjungkit bahu.
“Entah. Tak tanya…,”selamba Badrul memberi satu jawapan yang separuh mengejek. Sabrina tersenyum kecil.
“Saya suka tengok bola merah tu…,”
“Bola merah?,”soal Badrul pelik. Wajah Sabrina dipandang. Meminta penjelasan. Sabrina memuncungkan mulut ke arah matahari yang sudah bertukar menjadi sebiji bola yang merah menyala. Tetapi, kini, sinarannya sudah betul-betul malap. Sudah tidak menyilaukan seperti sebentar tadi. Memang betul kata Sabrina. Kini, matahari itu betul-betul menyerupai sebiji bola berwarna merah.
“Masa kecil-kecil, saya selalu pergi kat bukit, belakang rumah saya. Tunggu matahari bertukar jadi bola merah. Masa tu, satu saja cita-cita saya, tau,”
“Apa?,”soal Badrul bersahaja.
“Saya nak naik kapal terbang and, ambil bola merah tu,”
Badrul tergelak besar. Itu cita-citanya? Sabrina mencebik.
“Masa tu, umur saya tujuh tahunlah….,”cepat-cepat Sabrina menyambung cerita. Tidak mahu Badrul menganggapnya seorang gadis bodoh. Namun, terasa penjelasannya sia-sia. Badrul terus melayan gelak.
“Janganlah gelakkan saya,”
“Dah tak ada cita-cita lain ke? Naik kapal terbang pergi ambil bola?,”soal Badrul sambil menahan senyum. Walau rasa lucu belum hilang, ada rasa kasihan yang singgah di hati apabila melihat wajah Sabrina merah menahan malu. Sabrina menjeling mendengar soalannya itu.
“Okaylah. Saya tak cerita apa-apa lagi,”
Badrul tersenyum. Sabrina merajukkah?
“Kau merajuk?,”
“Hah? Mana ada?,”cepat-cepat Sabrina menjawab soalan itu. Dia? Merajuk dengan Badrul? Tidak mungkin. Tidak mungkin dia mahu merajuk pada orang yang tidak sudi memujuknya. Badrul tersenyum lagi. Terhibur melihat wajah Sabrina yang tiba-tiba berubah gundah. Tujuan utama dia membawa Sabrina ke sini, sudah menjadi tidak penting lagi. Tiba-tiba dia jadi leka mendengar celoteh gadis itu.
“Kat mana kampung kau?,”
“Pekan. Pahang,”
“Ada kampung rupanya. Kenapa masa kita kena nikah hari tu, seorang pun saudara kau tak datang?,”
Sabrina tersenyum pahit.
“Saya dah tak ada sesiapa pun,”perlahan dia menjawab.
“Oh…I’m sorry,”balas badrul sedikit serba-salah. Sabrina tesenyum sambil menggeleng perlahan.
“Tak apa. Saya tak kisah. Semua tu dah berlalu…,”
Badrul diam. Tidak mahu terus mencungkil cerita gadis itu setelah melihat wajah Sabrina sedikit mendung meskipun ada senyum yang menghias bibirnya.
“So, kenapa kau tolak tawaran abah?,”soalnya cuba mengalih topik perbualan. Soalannya tidak berjawab.
“Sabrina. Kau dengar tak aku Tanya?,”
Sabrina diam. Cuma matanya tidak berkelip merenung matahari merah yang perlahan-lahan hilang di balik awan. Badrul mengeluh sambil melayangkan tangannya di hadapan Sabrina. Tindakbalas Sabrina sedikit menghiburkan. Sambil meninggikan kepala, gadis itu terus menolak tangannya ke riba. Tidak mahu pandangannya terhalang. Kalau bagitulah cara Sabrina menikmati matahari terbenam, memang wajar cita-cita zaman kanak-kanaknya, ingin membawa pulang bola merah itu. Dia tersenyum sambil membiarkan tangan Sabrina erat menekan tangannya. Risau pandangannya terhalang lagi, barangkali. Akhirnya, dia sama-sama merenung ke arah mentari yang perlahan-lahan hilang dari pandangan. Sabrina tersenyum lebar. Lamanya dia tidak menikmati suasana sebegini. Terasa bagai ada nostalgia yang singgah di hati. Apa dia? Dia tidak tahu. Yang pasti, perasaannya begitu indah saat ini. Mengulangi perkara yang amat dia sukai ini, membuat dia benar-benar bahagia.
“Cantik kan?,”dia bersuara ceria sambil menoleh, memandang wajah Badrul.
“Cantik tu, memang cantik. Tapi, tangan kau merayap tu, kenapa?,”
“Ha? Mana ada?,”
Badrul muncungkan mulut ke ribanya. Sabrina tunduk. Tidak! Cepat-cepat dia mengalihkan tangannya. Tidak sedar bila dia memegang tangan lelaki itu. Sungguh memalukan.
“Sorry. Tak sengaja,”
Badrul menggeleng perlahan.
“Kau ni, memang suka sangat tengok matahari terbenam, ya?,”
Sabrina mengangguk sambil cuba melarikan pandangannya dari bola mata Badrul. Ternyata hari ini, berkali-kali dia terkena.
“So, berbalik pada soalan aku…,”
“Soalan apa?,”
“Laaaa… kau tak dengar ke aku Tanya tadi?,”
Sabrina menggeleng. Melihat gelengan itu, memebuat dia menggeleng sama.
“Aku Tanya… kenapa kau tolak tawaran abah?,”
“Oh…Awak tak izinkan saya kerja kan?,”
Badrul diam. Itukah sebabnya? Patuh pula gadis ini.
“Itu saja sebabnya?,”dia bertanya lagi.
Sabrina tersenyum. Tentulah bukan itu sahaja penyebabnya. Banyak sebab lain yang membuat dia menolak. Tetapi, perlukah dia kongsikan sebab lain itu dengan Badrul? Dia mula mencongak sendiri. Barangkali tidak perlu. Cukuplah Datuk Hamidi yang tahu sebabnya.
“Sabrina,”
“Ya,”cepat Sabrina menjawab, sebaik mendengar suara Badrul sudar bernada tegas.
“Macam nilah isteri aku. Dengar cakap,”
Sabrina tercenggang. Badrul terkedu. Tidak percaya dengan kata-kata yang meniti di bibirnya sendiri. Sabrina menahan nafas. Sama ada Badrul sengaja mahu menduganya atau tidak, kata-kata itu mampu membuar jiwanya berkocak hebat. Segera dia mengangkat punggung. Pantas juga tangan Badrul mencapai lengannya. Dalam redup senja, dia kaku melihat renungan lembut lelaki itu. Perlahan Badrul mengangkat punggung. Berdiri di hadapan Sabrina. Menatap lembut wajah itu. Sungguh dia keliru dengan perasaan ini. Dan, anehnya, dia mahu akur pada kekeliruan ini. Perlahan dia mengusap pipi Sabrina. Menyentuh bibir Sabrina yang sedikit bergetar dengan jemarinya.
“Saya rasa, baik kita pulanglah,”Sabrina memberanikan diri, membuka mulut. Takut memikirkan tindakan Badrul seterusnya. Lebih takut pada perasaanya sendiri. Kenapa dia seakan pasrah? Kenapa saat ini, akalnya seakan tidak berfungsi? Atau, dia sendiri yang mencegah akalnya dari berfikir tentang apa yang patut dan apa tidak? Degup jantung bertambah kuat, apabila dia dapat rasakan tangan Badrul merangkul pinggangnya. Dia tidak mampu menegah, namun dia amat berharap Badrul akan hentikan semua ini. Ternyata doanya termakbul apabila telefon bimbit Badrul tiba-tiba mengganggu. Tanpa sedar, dia menarik nafas lega. Pelukan Badrul terlerai. Badrul mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Dayana. Cepat dia menekan butang menerima panggilan.
“Ya, Yana. Kenapa?,”
Mandengar nama Dayana, Sabrina melangkah perlahan meninggalkan Badrul. tidak mahu mengganggu perbualan Badrul dan Dayana. Cepat –cepat dia melangkah masuk ke dalam kereta. Sekejap sahaja Badrul sudah selesai bercakap, kemudian melangkah laju menuju ke kereta.
“Kenapa? Sekejap saja?,”Sabrina mengajukan soalan. Badrul menutup pintu kereta setelah melangkah masuk.
“Tak ada apa-apa,”
Sabrina diam. Perlahan memasang tali pinggang keledarnya.
“Just inform me. Dia balik lewat malam ni,”sambung Badrul semula. Tidak sampai hati membiarkan Sabrina tertanya-tanya, setelah dia melihat Sabrina terus membisu mendengar jawapannya tadi. Sabrina Cuma tersenyum, kemudian tunduk. Badrul pula cepat-cepat menghidupkan enjin kereta. Cuba membuang sejauh mungkin perasaan pelik yang bertenggek di hatinya. Bodoh betul tindakannya.
*****
[11:35:50 PM] hos.getah: