Wednesday, December 4, 2013

MUNGKINKAH? 7

Suara Azilah yang bertanyakan menu pilihannya, langsung tidak diendah. Fokusnya kini cuma satu pada seraut wajah yang kelihatan tenang mendengar bicara seorang lelaki. Dia kenal lelaki itu. Dia lebih kenal pada seraut wajah bersama lelaki itu. Sukar hati lelakinya menerima hakikat saat ini Arisa sedang makan malam bersama majikannya. Mungkinkah ada sesuatu yang sedang berlaku antara Arisa dan lelaki itu? Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Tasnim, rakan sekerja Arisa beberapa hari yang lalu. Dia menarik nafas panjang.
            “Abang…,”
            Suara sedikit keras itu, mengalihkan perhatiannya. Wajah Azilah mencuka merenungnya.
            “Dengar tak Azie tanya ni?,”
            “Suka hatilah. Order apa saja…,”acuh tidak acuh dia menjawab sambil matanya kembali terarah pada Arisa.
Arisa semakin cantik dengan senyum yang sering menghias bibir. Ketara Arisa begitu gembira dengan perpisahan mereka. Dia tersenyum kecil. Senyum yang mengundang rasa sangsi di hati Azilah. Menu di tangan diletakkan ke atas meja. Mahu sama-sama mencari sesuatu yang begitu menarik perhatian suaminya itu. Dan, pandangannya turut jatuh ke wajah Arisa. Menjemput rasa cemburu di hati.
“Tengok bekas isteri ke?,”sinis dia bertanya sekadar mahu menarik perhatian Radhi.
Radhi menjongket bahu tanpa mengacuhkannya. Terus memerhati pasangan yang sedang menikmati makan malam itu dari jauh.
“Biarkanlah dia. Apa pun dia nak buat dengan lelaki tu, dah bukan urusan abang, kan? Abang dengan dia dah tak ada apa-apa. Kan?,”
“Apa yang jadi urusan abang , juga bukan urusan Azie. Jadi, tolong diam dan tolong jangan masuk campur,”
Azilah terdiam. Terkedu mendengar kata-kata itu. Bagai tidak percaya Radhi baru sahaja mengucapkan kata-kata setajam itu padanya.
I am your wife!,”
Radhi mengeluh perlahan. Merenung tajam wajah Azilah yang semakin mencuka. Namun, apa dia kisah pada perubahan wajah itu?
So?,”
“Abang ni, kenapa? Kenapa jadi sinis macam ni dengan Azie? Abang cakap isteri abang tu curang pada abang, jadi buat apa abang duk perhati dia orang lagi? Depan Azie pula tu!,”
“Tak ada siapa yang boleh tentukan apa yang Radhi boleh dan tak boleh buat. Ingat tu…,”perlahan Radhi bersuara sambil tersenyum nipis. Pipi Azilah diusap perlahan sebelum perlahan-lahan juga dia mencengkam pipi itu. Membuat Azilah menyeringai menahan sakit. Spontan tangan lelaki itu ditepis.
“Sakitlah,”sedikit membentak dia melontarkan rasa marah.
Radhi tersenyum. Azilah menggosok pipinya bersama jelingan tajam. Sakit di hati belum hilang, Radhi sudah menghantar rasa sakit di pipinya. Kali pertama Radhi berani menyakitinya.
“Apa kena dengan abang ni? Tiba-tiba jadi macam ni?,”
“Lebih dari ini pun kau boleh dapat kalau kau lebih-lebih masuk campur urusan aku. Faham?,”
Azilah terdiam lagi. Malam ini, Radhi benar-benar lain. Sekelip mata Radhi berubah menjadi tidak berperasaan. Sungguh dia keliru. Dan, untuk dia bersuara lagi, dia tidak mahu. Tidak mahu mencetuskan kekecohan di restoran ini.
“Azie datang sini nak makan. Bukan nak tengok abang intip ex-wife abang,”
Radhi menghela nafas panjang. Merenung wajah Azilah sambil mengangkat jari telunjuknya lalu diletakkan ke bibir.
“Kalau nak makan, order. Jangan ganggu aku. Faham?,”
Azilah merengus marah dan Radhi kembali memerhati Arisa. Tersenyum sambil menggeleng perlahan. Mustahil dia boleh biarkan Arisa segembira ini. Arisa tidak boleh sebahagia ini hidup tanpanya. Perlahan dia mengangkat punggung. Meninggalkan Azilah yang merah padam menahan marah. Langkah santai diatur mendekati meja Arisa. Berdiri seketika di situ bersama senyum lebar.
“Hai sayang… apa khabar?,”sambil tundukkan kepala separas bahu Arisa, dia menegur lembut. Puas hati apabila wajah Arisa yang terkesima cukup menceritakan betapa wanita itu terkejut dengan kehadirannya. Senyumnya semakin lebar.
“Dah lupakan abang?,”
Arisa kaku di kerusi. Sungguh kehadiran lelaki ini di luar jangkaannya. Juga terasa amat mengganggu.
“Sedang berbahagia nampaknya. Masa dengan abang, tak pernah pun Rissa nak senyum bahagia macam ni, kan? Betul-betul tak adil,”
“Apa awak buat kat sini. Tolong pergi dan tolong jangan ganggu saya lagi,”
Radhi tergelak halus.
“Janganlah macam ni. Walaupun kita dah tak ada apa-apa hubungan, kita masih tetap boleh berkawan. Kan?,”
Arisa membuang pandang.
“Encik Radhi, rasanya tak sopan awak ganggu Arisa macam ni,”
Pandangan Radhi kini teralih. Tersenyum panjang sambil berpeluk tubuh. Selamba dia melabuhkan punggung ke kerusi. 
“Encik Karim… bertuah Arisa dapat bos yang baik macam Encik Karim ni. Kan? Mana nak cari bos yang sanggup pinjamkan berpuluh ribu sebab nak tolong staff. Kalau sepuluh orang staff ada masalah macam Arisa, banyak juga duit Encik Karim yang lebur kan? Atau…. Pinjaman tu cuma khusus untuk si cantik Arisa ni saja? Hmmm.. Encik Karim?,”
Arisa mengangkat muka.
“Awak boleh berambus dari sini tak? Saya tak nak tengok muka awak lagi. Tak nak dengar suara awak lagi. Jangan nak mengarut kat sini,”
“Sebab Rissa dah ada Encik Karim yang kaya? Encik Karim yang baik? Patutlah sanggup bayar berpuluh ribu pada abang. Rupa-rupanya Rissa dah dapat lebih dari itu ya? Kalau boleh abang tahu, sejak bila Rissa ada ‘sesuatu’ dengan bos baik hati ni? Sejak Rissa masih isteri abang, atau….  ,”
“Awak jaga sikit mulut tu. Jangan nak reka cerita yang bukan-bukan. Kalau tak tahu hal sebenar, baik diam saja!,”
Radhi tertawa lepas. Bersahaja bangkit semula dari kerusi.
“Kita tengok macam-mana hal sebenarnya nanti. Okay, sayang? I miss you…,”bersama satu kenyitan dia berlalu. Berlalu meninggalkan rasa sebal di hati Arisa.
“Encik Karim… maafkan saya,”laju dia bersuara sebaik Radhi kembali ke mejanya.
It’s okay. Saya faham,”
“Dah lewat juga ni. Rasanya baik saya balik dulu. Terima kasih untuk makan malam ni,”
“Saya hantarkan?,”
No..no.. tak payah. Saya boleh balik dengan teksi. Saya balik dulu ya,”
Bersama senyum  nipis, Encik Karim mengangguk perlahan.
“Terima kasih sebab sudi nak temankan saya makan, malam ni,”
Arisa tersenyum kecil. Perlahan dia mengangkat punggung sambil mencapai beg tangannya.
“Saya balik dulu,”sekali lagi dia meminta diri dan mahunya kini cuma satu. Mahu segera beredar dari ruangan ini. Tidak mahu melihat wajah Radhi yang menyakitkan hati.


****


            Dengan perasaan terbuku, beg tangan dicampak ke sofa. Wajah suaminya direnung tajam. Geramnya masih belum hilang. Rasa sakit hatinya juga masih bersarang di jiwa. Kebahagiaan alam perkahwinan kali keduanya dirasakan kian menghilang. Wajah sebenar lelaki yang baru dikahwininya ini, bagai mula tersingkap. Hilang sudah Radhi yang penyayang. Hilang sudah Radhi yang cukup melindungi.
            “Kenapa ni? Tiba- tiba nak marah-marah ni?,”
            Azilah tergelak besar. Merenung wajah Radhi dengan pandangan tidak percaya. Mustahil lelaki itu tidak tahu punca kemarahannya. Atau lelaki itu sengaja mahu membangkitkan lagi gelora marahnya?
            “Kenapa? Abang boleh tanya kenapa? Jelas-jelas depan mata Azie abang tengok bekas isteri abang macam nak telan, abang tanya kenapa? Depan-depan Azie abang boleh pergi ke meja dia, abang tanya kenapa? Abang cemburu ya? Cemburu dengan bekas isteri abang tu? Masih sayangkan dia? Kalau masih sayangkan dia, kenapa kahwin dengan Azie?! Kenapa ceraikan dia?!,”
            Radhi menjeling sekilas. Perlahan bergerak ke jendela. Malas mahu melayan emosi Azilah. Rasa geram melihat Arisa bersama-sama dengan majikannya di restoran sebentar tadi, masih membekas di hati. Sakit hatinya tatkala melihat bibir Arisa tersenyum manis.
            “Kenapa pula tu? Termenung macam orang gila talak? Dah gila talak? Dah habis duit perempuan tu, tiba-tiba teringat balik kat perempuan tu?! Kata perempuan tu main kayu tiga, tapi yang abang macam terhegeh-hegeh pula ni, kenapa?,”
            Soalan Azilah yang separuh menjerit mula membingitkan telinganya. Mula mengganggu emosinya. Mula membangkitkan rasa marah.
            “Jangan buat abang marah…,”
            “Kenapa pula? Tercabar? Tak betul apa Azie cakap? Abang ni memang tak guna kan? Entah-entah abang saja aje tuduh bekas isteri abang tu curang, tak?,”
            “Diam…aku kata diam. Jangan sampai tangan aku naik ke muka,”
            “Jangan harap Azie nak diam. Abang kahwin dengan Azie, habiskan duit Azie. Konon janji nak bayar bila dapat duit dari bekas isteri abang tu! Dapat duit, satu sen pun tak bayar duit Azie! Azie diamkan sebab Azie sayangkan abang. Tapi,  sekarang ni, bila dah ada hati nak renung-renung bekas isteri, abang memang saja nak cari pasal dengan Azie lah. Nak berbaik dengan bekas isteri abang tu? Ingat Azie ni tunggul? Ingat Azie ni bodoh?!,”
            Perlahan Radhi menghela nafas panjang sambil menggosok tengkuknya. Mulai rimas dengan leteran yang seakan mahu berlarutan.
            “Aku nak keluar…,”akhirnya dia bersuara perlahan. Langkah dihayun menuju ke pintu. Tidak mahu berlama mendengar omelan itu. Lebih baik dia mencari tempat yang tenang untuk dia fikirkan tentang Arisa. Masih ada yang boleh dia harapkan daripada Arisa.
            “Ke mana?! Nak berjudi? Lepas kalah, balik minta duit Azie?! Malulah sikit. Abang tu lelaki. Sepatutnya abang tanggung Azie, bukan Azie yang tanggung abang!,”Azilah menjerit marah. Tercabar dengan sikap acuh tidak acuh Radhi. Jeritan yang berjaya membuat lelaki itu berpaling ke arahnya. Merenung tajam wajahnya.
            Langkah Radhi yang pantas merapatinya, membuat dia sedikit kecut.
            “Radhi tak akan tanggung sesiapa. Tapi, perempuan yang akan tanggung Radhi. Faham!,”bentak Radhi sambil menunjal kepala Azilah. Membuat Azilah terdorong ke belakang.
            “Dayus!,”
            Satu ketawa panjang pecah di bibir Radhi. Tersenyum sinis menanggapi kemarahan isterinya itu.
            “Ini bukan dayus namanya. Ini bijak…,”
            “Kalau hidup nak makan duit perempuan… nak tipu duit perempuan, baik jangan jadi lelaki, bang,”
            “Pembetulan. Aku tak pernah tipu duit perempuan. Aku minta duit isteri aku. Tak salah kan?,”
            “Kau perdaya perempuan!,”Azilah mula membentak.
            “Yang bodoh saja…,”tingkah Radhi sambil tersenyum kecil.
            “Dan kau… kalau kau nak tahu, kau tu sama bodoh dengan Arisa. Kau tahu tak? Kau ingat aku kahwin dengan kau sebab aku cintakan kau ke? Hey perempuan, cinta tak boleh kenyangkan perut yang lapar lah. Aku kahwin sebab duit. Aku nak duit…,”sambungnya bersama senyum yang berganti sinis.
            “Tak guna!,”
            Jeritan marah Azilah hanya membuat tawanya semakin kuat. Perlahan dia menggeleng.
            “Salah tu sayang. Bukan aku yang tak guna. Kau tu yang dah tak guna. Dah tak ada gunanya untuk aku, kalau kau tak beri aku duit tiap-tiap bulan,”
            Azilah merengus marah. Membuang pandang bersama sesalan yang menggunung. Menyesal kerana hanyut dalam pujuk rayu Radhi. Menyesal kerana hatinya cepat tertawan pada lakonan Radhi. Melihat layanan buruk Radhi pada Arisa, dia berasa semua itu wajar apabila Radhi bercerita tentang Arisa yang curang di belakangnya. Radhi sering mengadu Arisa ada hubungan sulit dengan majikan sendiri. Namun, kini dia yakin, itu semua hanya cerita rekaan Radhi. Cara Radhi menagih simpatinya.
            “Azie nak cerai,”akhirnya dia bersuara perlahan. Biarlah dia menjadi janda sekali lagi. Namun, untuk terus hidup menyenangkan lelaki itu, dia tidak mahu. Dia tidak ingin.
            “Cerai? Kau nak cerai? Cerai aku mahal harganya. Nanti aku tentukan berapa harganya. Okay?,”Radhi bersuara lembut sambil mengelus pipi Azilah yang merah menahan marah.
Sekali lagi dia mengukir senyum. Azilah cepat melenting. Azilah terlalu emosional. Tidak seperti Arisa yang lebih tenang menanggapi sikapnya.
            “Jangan ingat Azie sama dengan Arisa…,”
            “Kita tengok nanti..,”sambil menjongket bahu dia bersuara selamba. Niatnya untuk keluar, terbatal begitu sahaja. Sudahnya dengan santai dia melabuhkan punggung ke sofa. Terus melayan bayangan Arisa bersama majikannya. Sekuntum senyum terukir di bibirnya. Senyum yang cukup lebar yang mengundang rasa menyampah Azilah. Pantas dia merentap kembali beg yang telah dicampak. Bergerak menuju ke pintu.
            “Nak ke mana tu?,”
            “Keluar. Menyampah tengok muka abang!,”
            Radhi tergelak lagi.
            “Jangan tak ingat nak balik, dahlah ya,”
            Azilah menjeling tajam dan daun pintu ditutup kuat.
            “Hoi!,”jerit Radhi pada pintu yang sudah tertutup rapat. Spontan tangannya mencapai kusyen lalu dibaling ke arah pintu yang sepi.
            “Bodoh!,”gumamnya geram sambil bersandar santai.  Namun, geram itu tidak dilayan. Azilah pun sudah tiada di depan matanya. Sia-sia dia menghamburkan marah pada Azilah.
            Saat ini, ada agenda lain yang lebih penting yang sedang bermain di kepalanya. Arisa bakal menyenangkan hidupnya sekali lagi. Itu sudah tergambar di ruang matanya dan bibirnya sekali lagi mengukir senyum lebar.
            “Arisa sayang… tolong abang sekali lagi ya…,”bisiknya perlahan sambil tangannya mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Merenung seketika telefon di tangan sambil sekali lagi bibirnya tersenyum.



*****
[11:35:50 PM] hos.getah: