Sunday, November 16, 2008

Pergilah Air Mata 19

“What?!,”
Sabrina tersentak. Menyelit di sebelah Badrul yang kelihatan lebih tenang daripadanya. Wajah Datuk Hamidi tidak berani ditentangnya. Cebikan Datin Hamidah pun tidak berani dia lihat.
“Nonsence! Mengarut! Abah tak setuju,”
Sabrina sekali lagi tersentak. Dia memandang wajah Badrul. Tidak sanggup menanggapi kemarahan Datuk Hamidi. Kemarahan itulah yang membuat dia menjadi bisu kelu dua bulan yang lalu. Yang membuat dia setuju menjadi isteri Badrul tanpa sepatah pun bantahan. Yang mambuat melangit marah Badrul padanya.
“Kamu ingat ini perkara main-main ke?,”
“Kamu, Badrul. Kamu rasa kamu ni dah cukup layak ke nak madukan isteri kamu? Dah cukup ilmu di dada tu?,”melantun suara garang Datuk Hamidi memenuhi segenap ruang tamu yang besar itu.
“Kamu pula Sabrina!,”
Sabrina tersentak lagi. Perlahan menngangkat muka memandang wajah menyinga Datuk Hamidi.
“Dah hilang perasaan ke kamu? Senang-senang nak bagi suami kamu kat orang lain?,”
“Tapi, abah…,”
Pantas jemari Badrul menjentik lengannya. Dia menoleh. Badrul meletakkan jari telunjuk ke bibirnya. Memberi isyarat agar dia tidak bersuara.
“Diam! Abah belum habis cakap!,”
Air mata jatuh laju di pipinya mendengar tengkingan itu. Tersentap apabila Datuk Hamidi tiba-tiba menengkingnya kerana menyampuk. Patutlah cepat Badrul memberi isyarat. Namun, terasa perasaannya sedikit tenang apabila jemari Badrul perlahan menggenggam tangannya. Terasa Badrul ada disisinya untuk memberi dia kekuatan berhadapan dengan kemarahan Datuk Hamidi.
“Abah cakap, abah tak setuju. Titik. Kamu dah kahwin dengan Sabrina. Hidup saja dengan Sabrina. Tak payah mengada-ngada nak kahwin lain,”
“Apa salahnya, abah? Menantu awak pun dah setuju, kan?,”Datin Hamidah tiba-tiba menyampuk.
“Dia setuju ke, anak awak yang paksa?,”soal Datuk Hamidi geram.
“Saya yang setuju,”cepat-cepat Sabrina menjawab. Cuba memberanikan diri menyampuk sekali lagi. Datuk Hamidi merenung tajam wajahnya.
“Kenapa?,”
Sabrina menelan liur. Sekali lagi dia memandang wajah Badrul. Entah kenapa, melihat wajah Badrul, dia terasa bagai mendapat kekuatan untuk terus bersuara.
“Sebab Badrul berhak hidup bahagia, abah,”
“Sekarang dia tak bahagia ke?,”soal Datuk Hamidi lagi. Sabrina diam.
“Abah. Saya bercinta dengan Yana dah lama abah. Benarkanlah saya kahwin dengan dia. Saya nak kahwin dengan orang yang saya cinta,”
“Sabrina? Sabrina macam mana?,”
“Abah tak perlu risau pasal saya. Saya boleh terima kenyataan ini,”sekali lagi Sabrina bersuara.
Datuk Hamidi mengeluh keras.
“Kamu orang muda ni kan, semuanya kamu anggap ringan. Bad, kamu ingat senang ke kamu nak pikul tanggungjawab ni? Perkahwinan kamu dengan Sabrina ni pun, abah tengok macam tak berapa nak elok lagi, ada hati pula kamu nak kahwin lain?,”
“Saya dah tak ada masalah dengan Sabrina, abah,”cepat-cepat Badrul bersuara sambil memaut bahu Sabrina. Sabrina tersenyum kelat.
“Kalau tak ada masalah, kenapa nak kahwin lain?,”
Senyum Sabrina mati. Badrul tergamam. Sudahnya dahinya diletakkan di bahu Sabrina. Sabrina memandang wajah bapa mertuanya. Pandai lelaki ini membuat kenyataan yang boleh memerangkap. Memerangkap Badrul. Apa lagi alasan Badrul pada bapanya?
Perlahan Badrul mengangkat mukanya.
“Pleaselah abah. Biarlah saya kahwin dengan Dayana. Inilah satu-satunya permintaan saya. Saya dah tunaikan permintaan abah untuk kahwin dengan Sabrina. Sekarang, abah tolonglah tunaikan permintaan saya pula,”
“Nekad ke kamu nak kahwin dengan Dayana tu?,”
Badrul mengangguk.
“Kamu Sabrina…,”
Sabrina mengangkat muka.
“Ya, abah,”
“Kamu yakin, kamu tak akan menyesal dengan keputusan yang kamu buat ni?,” Sabrina mengangguk.
“Abah mahu kamu jawab,”
“Saya tak menyesal, abah. Kalau saya halang perkahwinan ini, barangkali itu akan buat saya menyesal,”
“Bad… kamu dengar apa yang isteri kamu cakap tu?,”
Giliran Badrul pula yang mengangguk.
“Kamu tak rasa apa-apa?,”
“Rasa apa?,”
Datuk Hamidi merengus marah.
“Kamu yakin kamu tak akan menyesal buat macam ni kat Sabrina?,”
“Tak,”
“Abah tetap tak setuju. Abah bagi kamu masa untuk kamu berdua fikir semula keputusan kebudak-budakan yang kamu buat ni. Tiga hari. Tiga hari abah bagi kamu masa untuk fikir masak-masak. Lepas tu, kalau kamu nak teruskan juga abah tak akan halang. Dan, abah juga tak akan ambil tahu apa-apa lagi pasal kamu berdua. Kalau ada masalah di kemudian hari, jangan cari abah,”
Sabrina menarik nafas sedalam mungkin. Hari ini genap tiga hari masa yang Datuk Hamidi berikan. Entah apalah jawapan yang akan Badrul berikan. Dia harus akur dengan setiap keputusan lelaki itu. Dia sudah bersetuju dengan permintaan Badrul. Matanya ditebarkan ke luar bangunan. Melalui dinding kaca, dia dapat melihat suasana malam di kawasan Sunway Lagoon yang luas. Di sini, tempat kenangannya bersama Ikmal. Dia mengeluh lagi. Leka melayan perasaan di situ. Berterima kasih pada Badrul kerana mengizinkan dia keluar dari banglo besar itu buat seketika.
“Ina…,”
Sabrina sedikit tersentak. Dia mengangkat muka.
“Abang…,”
Dia kaku seketika melihat senyuman yang terukir di bibir Ikmal. Rindunya dia pada lelaki ini. Rindu sunguh-sungguh.
“Apa abang buat di sini?,”
“Apa Ina buat di sini?,”Ikmal bertanya semula soalan yang meniti di bibir Sabrina. Sabrina tersenyum kecil. Ikmal bagai hanyut di dalam senyuman itu. Sesungguhnya dia amat merindui senyuman itu.
“Abang selalu ke sini,”Ikmal menyambung bicara melihat kebisuan Sabrina.
“Kenapa?,”
“Cari Ina,”
“Cari Ina?,”soal Sabrina sedikit hairan.
Ikmal tersenyum kecil.
“Cari Ina dalam kenangan-kenangan kita…,”
“Abang. Janganlah cakap macam tu,”
Ikmal tersenyum pahit.
“Abang buat Ina sedih,”bisik Sabrina perlahan.
“Ina buat abang sakit…,”
“Abang…,”
Ikmal tersenyum melihat wajah Sabrina yang sudah mendung. Tidak banyak berubah sifat Sabrina di matanya. Sabrina tetap seorang gadis yang penuh dengan rasa belas kasihan pada kesusahan orang lain. Ternyata status menantu seorang datuk tidak mengubah personaliti Sabrina yang amat dia senangi itu.
“Abang gurau saja,”
Sabrina tersenyum pahit.
“Gurau abang tak kelakar. Abang sendiri pun tak gelak…,”
Ikmal tersenyum lagi.
“Ina seorang saja ke?,”
Sabrina mengangguk. Ikmal tersenyum lagi. Perlahan melabuhkan punggung di hadapan Sabrina.
“Ina bahagia sekarang?,”
Sabrina tersenyum tawar. Bahagiakah dia? Bagaimana dia mampu bahagia kalau terpaksa berpisah dengan lelaki yang amat dia cintai ini? Sekilas matanya tertangkap sebentuk cincin di jari manis Ikmal. Dia kenal cincin itu. Tanpa sedar dia menyentuh cincin di jari Ikmal. Memandang Ikmal dengan pandangan penuh pertanyaan. Ini cincin yang dia pilih untuk majlis pertunangannya dengan Ikmal. Dia minta Ikmal yang simpan cincin itu cincin yang akan dia sarungkan ke jari lelaki itu.
“Abang?,”Sabrina bersuara sambil menatap mata Ikmal. Mahukan penjelasan dari Ikmal. Hatinya menjadi resah melihat cincin itu tersarung di jari manis lelaki itu.
“Mak. Kehendak mak. Mak nak pertunangan itu diteruskan juga,”
Bagai ada batu yang menghempap dadanya saat dia mendengar kata-kata yang meniti di bibir Ikmal. Maksud lelaki itu, dia kini sudah menjadi tunangan orang? Dia pandang wajah Ikmal. Kekasihnya kini sudah bertunang dengan orang lain. Dadanya menjadi sesak tiba-tiba. Pedih. Perit. Dan ngilu. Ada sesuatu yang sedang menghiris hatinya saat ini. Ada sesuatu yang menghalang nafasnya saat ini. Membuat dia sukar bernafas.
“Siapa bang?,”
Ikmal menelan liur. Soalan lirih Sabrina menggetarkan perasaannya. Dia dapat lihat kesedihan yang tidak tertanggung di mata gadis itu.
“Siapa?,”
“Mar…,”
Tidak! Tidak!
“Sabrina!,”
Sabrina kaku. Memandang kosong wajah Ikmal. Terasa tubuhnya terlalu ringan saat itu. Bagai melayang-layang. Terasa lengannya direntap kuat. Namun, dia tidak berasa apa-apa. Tidak terasa sakit.
“Hey! Jangan buat Ina macam tu,”
Sabrina terkebil-kebil melihat kemarahan Ikmal.
“Kau diam! Dia isteri aku. Suka hati aku, aku nak buat dia macam mana?,”
Pandangannya dialihkan pula Badrul yang menyinga. Entah dari mana lelaki ini muncul. Wajah bengis Badrul tidak dapat menyuntik rasa gentar di hatinya. Dia hilang rasa. Dia hilang perasaan.
“Balik!,”
Dia Cuma mengikut sahaja langkah Badrul yang laju. Dia mendengar mulut Badrul membebel. Tapi, satu pun tidak singgah di fikirannya untuk diproses. Ternyata dia terlalu terkejut dengan berita yang Ikmal sampaikan tadi.
“Sabrina!,”
Dia tersentak. Baru tersedar dia bukan lagi berada bersama Ikmal. Dia bersama Badrul di kawasan meletak kereta. Dalam suasana yang agak gelap dia dapat melihat wajah Badrul yang merah menyala.
“Aku dah agak! Kau jumpa lagi lelaki tu. Itu sebabnya kau nak keluar ya? Patutlah dengan senang hati kau izinkan aku kahwin dengan Dayana. Rupa-rupanya kau ada agenda lain ya? Mulai hari ini aku tak benarkan kau keluar dari rumah. Faham?!,”
Sabrina mendongak memandang wajah Badrul. Rasa sedih dengan pertunangan Ikmal baru membekas di hatinya. Membuat rasa pilu menyelubungi perasaan. Sudahnya, dia menjatuhkan diri ke dalam pelukan Badrul. Melepaskan tangisan semahu-mahunya di dada Badrul. Membuat Badrul kaku seketika. Perlahan menggaru kepala.
“Alahai. Ini yang aku lemah ni. Asal marah.. menangis. Asal marah… menangis. Sudahlah tu. Malu orang tengoklah,”Badrul bersuara geram. Tiada reaksi. Cuma tangisan Sabrina saja yang tetap tidak mahu reda. Dalam enggan perlahan dia mengusap rambut Sabrina yang tersanggul rapi. Mengusap belakang Sabrina. Cuba mententeramkan gadis itu.
“Kenapa ni? Kau menangis sebab aku marah ke sebab kekasih kau tu? Dia mintak duit dengan kau ke?,”
Sabrina menggeleng di dalam pelukan Badrul. Tidak mampu bersuara.
“Sudahlah tu. Jangan menangislah…,”
“Assalamualaikum Encik,”
“Waala…oh my god…,”Badrul tergamam. Kaku melihat dua anggota polis bersama dua orang lelaki berkopiah yang datang menyapa.
“Waalaikumussalam,”jawabnya lemah. Perlahan dia meleraikan pelukannya.
“She’s my wife. Kami dah kahwin,”laju Badrul bersuara. Sabrina mengangkat muka. Terpempan. Takkanlah kot! Takkan sekali lagi?
“Boleh tunjukkan kami kad perakuan nikah?,”
“Kau bawa tak?,”laju Badrul bertanya. Sambil mengesat air mata, Sabrina menggeleng. Membuat Badrul tersandar lemah pada keretanya. Sabrina menahan nafas.
“IC, Encik,”
Badrul akur pada permintaan empat lelaki di hadapannya itu.
“Maaf Encik. Perlakuan Encik tadi tak manis. Encik terpaksa kami tahan. Sila ikut kami ke balai,”
“Dia isteri saya, Encik,”
“Sesiapa pun boleh jadi isteri kalau dah kena tangkap macam ni, Encik,”
Sabrina kelu. Cuma wajahnya terasa menebal. Malu. Malang betul. Tangisannya mati tiba-tiba. Sedihnya juga hilang buat seketika.
“Tapi, Encik…,”
“Sila beri kerjasama encik,”
Badrul mengeluh keras. Sempat menjeling ke arah Sabrina yang kelihatan terkejut. Geram sungguh dia pada gadis itu.
“Baiklah. Tapi, saya follow dengan kereta saya?,”
“Maaf Encik. Encik pergi dengan kami,”
“Kereta saya?,”
Pegawai polis di hadapannya Cuma tersenyum nipis.
“Okay. Tapi, saya nak buat panggilan dulu,”
“Sekejap saja, Encik,”
Badrul mengangguk. Pantas dia mengeluarkan telefon dari poket seluar. Menghubungi bapanya.
“Encik boleh bercakap dengan bapa saya. Dia boleh buktikan yang kami dah kahwin,”
“Semua orang boleh jadi ayah Encik, dalam telefon ni,”salah seorang lelaki berkopiah bersuara lembut. Badrul mengeluh perlahan sambil membawa telefon ke telinga.
“Hello. Assalamualaikum, Abah,”
“Waalaikumussalam,”
“Abah… datang ke balai,”
“Kenapa? Apa kamu dah buat?,”
“Abah bawa sekali kad akuan nikah saya dan Sabrina. Ada dalam laci dalam bilik saya,”
“Kenapa pula?,”
“Saya kena tangkap basah,”
“Hah?! MasyaALLAH Bad. Kamu ni kenapa? Tak habis-habis nak malukan abah. Kali ni, dengan siapa pula?,”
“Dengan Sabrina,”
“Subhanallah! Kamu ni! Kamu kat mana ni?,”
“Subang. Kat Sunway. Cepat sikit abah. Bawa Rahman sekali. Suruh dia datang ambil kereta saya,”
“Abah tak tahulah kamu berdua ni!,”
“Okaylah abah. Cepat sikit ya,”
Talian telefon diputuskan. Tidak mahu mendengar leteran bapanya. Dia memandang wajah Sabrina. Ingin marah, tetapi, memikirkan ada empat orang lelaki sedang memerhatinya, niat itu dibatalkan.
“Encik, sila ikut kami,”
Badrul mengangguk lemah sambil mencapai tangan Sabrina. Melangkah lemah mengekori lelaki-lelaki itu menuju ke arah kereta peronda polis. Nasib baik saat ini kawasan itu lenggang. Tidak ada mata yang memandang. Kalau tidak, tidak tahu di mana hendak dia sorokkan muka.

***

Datuk Hamidi tersenyum.
“Maaf atas salah faham ni, Datuk,”
“Tak apa. Saya faham. Encik Cuma menjalankan tugas,”
Badrul Cuma memandang. Lelaki berkopiah yang bersalam dengan bapanya itu, direnungnya.
“Encik Badrul, lain kali, kalau keluar, jangan lupa bawa dokumen penting,”
Badrul tersenyum kelat. Faham dokumen penting yang dimaksudkan lelaki itu.
“Kami boleh pergi sekarang?,”soal Datuk Hamidi masih bersama senyuman. Badrul turut tersenyum nipis. Dia tahu, senyuman bapanya itu, sekadar menutup rasa marah di hati.
“Kamu ni! Tak serik-serik ya?,”
Badrul tersengih. Betul tekaannya. Suara Datuk Hamidi meninggi sebaik keluar dari balai polis.
“Benda nak jadi, nak buat macam mana, abah?,”
Datuk Hamidi membuang pandang. Geram yang teramat sangat. Kalau tidak memikirkan dia kini berada di kawasan awam, mahu saja dia menengking anak menantunya itu sekuat hati. Tidak pandai menjaga diri!
“Saya minta maaf, abah,”Sabrina bersuara perlahan. Ayat pertama yang meniti di bibir gadis itu sejak dari tadi. Datuk Hamidi menatap wajah Sabrina yang ketakutan. Melihat wajah itu, hatinya panasnya tiba-tiba menjadi sejuk. Marahnya sedikit hilang. Mungkin kata-kata maaf itu yang mencairkan marahnya.
“Kalau tahu nak keluar bersama, bawa kad nikah tu. Benda macam ni, pun kamu berdua tak boleh nak fikir ke? Apa, seronok sangat ke, kena tangkap basah ni? Sampai dua kali kena tangkap?,”
Badrul menjeling ke arah Sabrina..
“Ini semua kau punya pasal, tahu tak?,”
“Apa pulak?,”soal Sabrina sedikit resah. Dia pula yang disalahkan.
“Yang kau peluk aku tu, kenapa?,”
Wajah Sabrina tiba-tiba bertukar warna. Malu pada Datuk Hamidi, apabila kata-kata itu meluncur laju dari bibir Badrul. Datuk Hamidi sembunyi senyum. Sedikit lucu mendengar kata-kata marah anaknya, juga melihat wajah Sabrina yang menahan malu. Hendak marah pun, rasanya tiada guna.
“Sudah! Sama saja. Dah tak boleh tunggu sampai rumah ke?,”
Sabrina tunduk. Perlahan mengetap bibir bibir. Malunya Tuhan saja yang tahu. Gara-gara kata-kata Badrul, bapa mertuanya sudah berfikir yang bukan-bukan.
Datuk Hamidi memandang wajah anak dan menantunya.
“Kalau dah, kat luar pun dah kena tangkap basah lagi sekali ni, nampaknya rancangan kamu tu kira batallah ya?,”
“Rancangan apa abah?,”
“Tak jadilah kamu nak kahwin dengan Dayana?,”
Badrul diam. Mendengar soalan itu, dengan cepat dia teringatkan lelaki bersama Sabrina. Dengan cepat juga dia teringatkan tangan Sabrina yang menyentuh lembut tangan lelaki itu sebentar tadi. Membuat dia yakin, Sabrina memang ada agenda yang tersembunyi. Membatalkan niatnya merupakan satu kesilapan besar. Dia yakin, Sabrina tidak dapat menjadi isteri yang baik untuknya. Gadis itu Cuma bermain wayang.
“Saya nekad. Saya tetap nak kahwin dengan Dayana. Secepat yang mungkin,”
Datuk Hamidi mengeluh panjang. Sabrina merenung kosong wajah Badrul yang tiba-tiba bertukar serius.
“Abah malas nak masuk campur lagi. Kamu buatlah apa yang kamu suka,”
Badrul diam. Marah bapanya sudah sampai ke kemuncak. Dia tahu itu. Dan dia tahu bapanya akan mengotakan tiap katanya. Datuk Hamidi mengatur langkah meninggalkannya bersama Sabrina.
“Betul ke awak tetap nak kahwin dengan Dayana?,”soal Sabrina tiba-tiba.
“Kenapa? Kan kau dah setuju,”
Sabrina diam. Memang dia sudah bersetuju. Tetapi, kenapa tiba-tiba hatinya menjadi gundah? Kenapa tiba-tiba dia mengharapkan Badrul batalkan niatnya itu.
“Kenapa? Kau ubah fikiran ke?,”sekali lagi soalan Badrul singgah di telinganya. Segera dia menggeleng.
“Tak. Saya Cuma Tanya saja,”
“Baguslah,”
Sabrina diam lagi.
“Cepat. Abah dah tunggu,”
Sabrina panjangkan langkah apabila Badrul menarik lengannya. Laju dia berjalan cuba manyaingi langkah Badrul.
“Kereta saya macam mana? Awak turunkan saya kat Sunway. Saya nak ambil kereta,”
“Jangan harap. Kau nak ambil kereta atau kau nak jumpa kekasih kau tu?,”
“Saya Cuma terserempak dengan dia tadi,”
Badrul matikan langkah. Berdiri menghadap wajah Sabrina.
“Terserempak? Oh… terserempak. Aku tengok kau pegang tangan dia. Itu apa? Terpegang?,”
Sabrina ternganga. Salah faham lagi.
“Bukanlah. Saya…saya…,”
“Saya apa?,”
“Lupakanlah,”akhirnya Sabrina bersuara lemah. Sia-sia dia terangkan pada Badrul.
“Ingat sikit. Kau tu isteri orang. Lepas ni, aku tak nak kau keluar ke mana-mana lagi. Kau isteri aku. Tanggungjawab kau, jaga maruah aku…,”
“Tanggungjawab awak pula… apa?,”terlontar soalan itu dari bibir Sabrina. Cepat-cepat dia menutup mulutnya. Tersasul melepaskan geram pada Badrul. Badrul jegilkan mata.
“Kau nak persoalkan tanggungjawab aku pula? Kau nak aku jalankan tanggungjawab aku ke?,”
Laju Sabrina menggeleng. Tidak perlu. Lelaki itu tidak perlu bertanggungjawab ke atasnya. Dia tidak perlukan tanggungjawab Badrul sebagai suami.
“Tak payah. Saya tersalah cakap,”ujar Sabrina sambil mengatur langkah meninggalkan Badrul. Tidak mahu lagi bercakap tentang perkahwinannya dengan Badrul. Topic itu tiba-tiba menyesakkan dadanya. Badrul berlari kecil. Menyaingi semula langkah Sabrina yang laju.
“Aku temankan kau pergi ambil kereta,”
“Kereta awak macam mana?,”
“Rahman bawa,”
“Kereta abah?,”
“Abah drive sendiri,”
Sabrina diam. Badrul turut diam. Cuma melangkah laju kea rah Datuk Hamidi yang sudah menunggu di dalam kereta.
****
[11:35:50 PM] hos.getah: