Tuesday, August 17, 2010

Biar YM Terus Bicara...5

“Apa Tiya cari dalam kedai buku tu?,”

“Hah?,”

“Tiya beli apa tu, sayang?,”sekali lagi soalan meniti di bibir suamiku.

“Ha? Oh… tak ada apa-apa…,”laju aku menjawab sambil beg kertas kudakap erat di dada. Encik Firdaus tersenyum. Aku tersengih. Mana boleh aku bongkarkan apa yang aku beli ini. Nanti hilang kejutan yang ingin aku buat.

“Dengan abang pun, nak berahsia…,”

Suamiku itu sedikit merungut. Aku pamer senyum meleret. Segera memaut lengannya sambil beg kertas tetap kemas di genggaman. Sengaja mahu memujuk agar tiada rajuk yang menyinggah. Sejak kebelakangan ini, terasa Encik Firdaus sedikit sensitif. Sering berjauh hati walaupun rajuknya tidak pernah lama.

“So, kita nak ke mana ni?,”aku bersuara ceria. Melihat sekitar ruangan pusat membeli - belah yang agak penuh dengan manusia.

“Tiya nak ke mana?,”

“Makan? Nak?,”saranku laju.

Encik Firdaus kerutkan kening. Merenung wajahku agak lama. Perlahan jemarinya melekat ke dahiku. Kemudian pipi. Kemudian leher.

“Abang ni, kenapa?,”soalku sedikit pelik dengan tingkah Encik Firdaus.

“Tak demam isteri abang ni. Tapi, kenapa lain benar ni? Selalu sehari sekali pun susah nak makan. Ni, belum pukul dua dah empat kali Tiya ajak abang makan ni,”

Aku termenung. Membalas renungan Encik Firdaus sambil terfikir-fikir.

“Ya ke?,”

Encik Firdaus mengangguk bersama senyum lebar.

“Tak boleh ke? Tiya rasa nak makan lagi ni…,”

“Boleh sayang. Tapi, ikut abang kejap. Abang nak beli hadiah,”

“Hadiah apa?,”

“Adalah… mana boleh bagitau,”

Aku mencemik. Balas dendamlah tu. Aku diam sambil terus melangkah seiring dengan langkah Encik Firdaus. Tanganku yang sebentar tadi melingkar dilengannya, perlahan aku leraikan. Membuat Encik Firdaus berpaling.

“Kenapa lepaskan?,”

Aku tersengih.

“Dah rasa macam pengantin baru pula…,”balasku selamba. Encik Firdaus tergelak.

“Biarlah. Apa salahnya…Lagipun, abang rasa kita ni memang masih pengantin baru,”balasnya sambil mencapai jemariku. Menggenggam erat sambil menyambung langkah yang terhenti. Aku terus menurut tanpa banyak bicara. Merenung pada genggaman erat Encik Firdaus. membuat bibirku menguntum senyum perlahan-lahan. Langkah Encik Firdaus terhenti di bahagian kelengkapan bayi.

“Abang nak beli hadiah apa?,”soalku pelik. Kalau hadiah untuk aku, bahagian ini tidak ada kena mengena langsung.

“Tiya pilihlah,”

Aku tergelak.

“Semua ni, untuk baby. Tiya tak pakai semua ni. Macam mana nak pilih?,”

“Siapa cakap abang nak hadiahkan pada Tiya?,”

“Ooo..ek? Dah tu, untuk siapa?,”dengan perasaan sedikit malu, aku bertanya perlahan. Cukup yakin aku membuat kesimpulan Encik Firdaus mahu membelikan hadiah untuk aku. Rupa-rupanya tekaanku meleset. Perasan betul.

“Johan,”

“Johan?,”

“Yalah, Johan peminat setia Tiya lah. Siapa lagi,”

Aku mencemik. Macamlah aku tidak kenal Johan.

“Tahulah Johan. Bukan Tiya tak kenal Johan..,”

“Hmm.. Lelaki yang dukung Tiya dulu, sebelum abang…,”

“Hah? Bila masa pula?,”

“Masa Tiya pengsan duk papah abang dulu,”

“Abang ni. Itu darurat…,”

“Darurat? Tiya tak tahu hati abang lagi darurat masa tu. Rasa macam nak bangun aje mintak tukar dengan dia,”

Aku tergelak.

“Tapi. Tiya nampak cool aje,”

“Macam mana Tiya nampak? Tiya dah pengsan,”

Aku tergelak lagi. Ya tak ya juga.

“Salah abang. Siapa suruh sorok handphone dalam poket? Abang berat tau. Penat Tiya…,”

Encik Firdaus tersenyum. Senyumnya aku yakin sama lebar dengan senyumku. Mengingati semula peristiwa-peristiwa lepas, memang membuat aku bertambah bahagia. Kenangan itu akan tetap menjadi kenangan paling manis dalam hidupku. Juga dalam hidup Encik Firdaus barangkali.

“Stop dreaming, sayang. Cepat. Pilihkan hadiah untuk baby Johan,”

“Dah bersalin ya wife dia?,”

“Ha ah. Semalam,”

“Abang tak cakap pun…,”

“Dah tu, sekarang ni, abang duk menyanyi ke?,”

Aku tarik muncung. Encik Firdaus tertawa senang.

“Cepatlah. Tiya nak kasi apa?,”

“Hmm… manalah Tiya tahu. Abang aje yang pilih. Abang ada chemistry dengan baby. Pilihan abang mesti lagi tepat,”

Encik Firdaus menjeling.

“Kalau malas nak pilih, cakaplah malas. Jangan buat alasan pula. Memang dari dulu, malas sangat dia ni nak pilih hadiah tau,”

Aku tersengih. Encik Firdaus merungut lagi. Tetapi, memang betul pun rungutan itu. Bab memilih hadiah memang aku tidak pernah suka. Bukan tidak suka sebenarnya. Tetapi setiap kali memikirkan apa yang hendak diberi, aku jadi buntu. Rasa buntu itu yang aku tidak suka.

“Abang pilih ya? Tiya sokong dari belakang,”sendaku sambil menggenggam jemarinya. Membuat dia tersenyum sambil pantas tangannya menyentuh hidungku.

“Oklah sayang,”

Aku tersenyum kecil sambil menurut setiap langkahnya menjejalahi bahagian kelengkapan bayi itu.





***



“Mak ai, banyaknya…,”

Aku tersengih. Satu kenyataan. Memang banyak.

“Nak buat apa banyak sangat ni, Fir? Tiya pregnant ya?,”

Belum sempat punggung aku labuhkan ke sofa, aku sudah tersedak. Terbatuk-batuk sambil mengurut dada. Air coke di tangan segera aku letak di meja.

“Tak lah mummy. Abang ni. Rabun mata masuk baby department. Tujuan asalnya cuma nak beli hadiah untuk baby Johan aje. Tapi, tengoklah apa yang dia beli. Nasib baik satu department tu dia tak angkut semua,”aku bersuara sebaik batukku mereda. Encik Firdaus sekadar tersenyum sambil santai mengambil tempat di sebelahku.

Puan Junaidah membelek beg kertas yang tersusun.

“Alaa.. untuk Qalisha sekali tu,”balas Encik Firdaus lembut. Aku tersenyum. Memang akrab benar hubungan Encik Firdaus dengan Qalisha. Memang banyak hadiah yang Encik Firdaus beli untuk bayi itu.

“Asyik beli untuk baby orang. Bila nak beli untuk baby sendiri?,”Puan Junaidah mencelah. Aku terdiam. Encik Firdaus tersengih. Tidak pernah ibu mertuaku ini membuka topik ini.

“Itu mummy kena tanya Tiya,”

“Apa pulak?,”bantahku laju.

“Yalah. Kena tanya Tiyalah. Abang… sekarang pun dah ready nak jadi papa,”

Aku kerutkan kening. Anehnya perasaan membicarakan soal ini di hadapan ibu mertuaku.

“Kenapa? Tiya tak ready lagi ke? Dapat baby cepat-cepat kan elok,”lembut suara ibu mertuaku membuahkan pendapat. Membuat aku tiba-tiba disapa rasa malu. Tak bestnya topik ni. Hatiku merungut perlahan.

“Tak adalah mummy. Tiya tak kisahlah. Kalau ada rezeki, Tiya terima aje,”lambat-lambat jawapan skema itu meniti di bibirku. Seram sungguh topik di petang hari ini.

“Abang nak minum? Mummy nak minum?,”soalanku melencung tiba-tiba.

“Tengoklah tu. Nak larilah tu. Mana dia senang duduk kalau keluar topik ni,”usikan Encik Firdaus membuat aku terduduk semula. Juga membuat ibu mertua ku tergelak kecil.

“Dia takut nak pregnant mummy…,”

Aku menjeling. Teruknya suamiku. Itu pun nak cerita ke? Encik Firdaus tersenyum nakal.

“Sebelum ada orang marah, baik abang pergi jauh-jauh dulu,”dia mengusik lagi sambil mengangkat punggung.

“Abang nak mandi dulu,”ucapnya sambil berlalu. Sempat kenyitkan mata padaku. Aku menjeling lagi. Mengekor langkah Encik Firdaus dengan ekor mata. Memang aku tidak puas hati dengan Encik Firdaus saat ini.

“Betul ke?,”

“Ha?,”

“Betul ke apa Fir cakap tu?,”soal Puan Junaidah lembut.

“Taklah mummy. Mana ada macam tu,”

Puan Junaidah tersenyum. Jemariku ditarik ke ribanya.

“Cakap saja dengan mummy. Tak payah sembunyi. Apa yang Tiya takut sangat?,”

Aku terdiam. Tunduk seketika. Kemudian mengangkat muka memandang wajah Puan Junaidah.

“Bukan Tiya tak nak pregnant mummy. Tapi, rasa gerunlah. Tengok kawan-kawan Tiya yang dah pregnant. Macam-macam cabaran. Tiya rasa macam Tiya tak boleh lalui semua tu. Tiya jadi takut,”laju saja luahan hati meluncur di bibir sebaik mendengar pujukan Puan Junaidah.

“Tapi, Tiya tak ada cakap dengan abang Tiya tak nak pregnant, mummy…,”tokokku laju sebelum Puan Junaidah membuat andaian yang negative padaku.

Puan Junaidah tersenyum. Mengusap lembut jemariku. Membuat aku rasa tidak pernah jauh dengan emak.

“Tak ada apa yang nak ditakutkan Tiya. Saat mengandung adalah saat yang paling indah. Bayangkan kita berkongsi nafas dengan bukti kasih- sayang kita. Semua yang sekarang Tiya nampak macam satu beban, nanti bila Tiya lalui sendiri… beban tu akan jadi detik-detik yang indah. Percayalah,”

“Betul ke mummy?,”

“Tak percaya, cuba pregnant dulu..,”

Aku tergelak. Usikan itu terdengar lucu di telingaku.

“Mummy dulu masa pregnant teruk ke kena morning sickness?,”

“Yang paling teruk, semasa mummy mengandungkan Firdaus. Sampai nak dekat bersalin pun masih muntah-muntah,”

Aku diam. Lamanya derita itu.

“Tapi, setiap kali merasa pergerakan baby. Setiap kali teringat baby berada dengan kita dua puluh empat jam, semua sakit tu hilang macam tu saja. Yang tak pernah hilang… rasa seronok,”

Aku tersenyum. Mendengar cerita itu, seolah membawa aku menikmati satu keindahan pula. Hilang seketika rasa gerunku. Membuat aku turut teringin merasai keseronokan yang Puan Junaidah ceritakan.

“Tiya tak perlu takutlah. Itu semua lumrah. Jangan fikir kita tak boleh lalui. Setiap wanita pasti dapat lalui semua itu. Setiap wanita ada kekuatan untuk menghadapi cabaran itu,”

Aku diam seketika.

“Thanks mummy. Mummy buat Tiya rasa lapang sikit. Kalau tak, tiap kali abang cakap pasal ni, Tiya kecut perut,”

Puan Junaidah tergelak.

“Tiya tengok dari sudut yang teruk-teruk. Sebab tu jadi takut,”

“Mungkin kot,”

“Sudahlah tu. Jangan takut-takut lagi. Mummy dengan abah pun dah teringin nak timang cucu,”

Aku tersengih segan. Puan Junaidah tersenyum panjang.

“Tiya naik atas dulu ya. Nak simpan barang ni,”

“Yalah. Kalau ada apa-apa, mummy ada kat sini untuk berkongsi rasa,”

“Thank you, mummy,”ucapku sekali lagi. Perlahan mengangkat punggung sambil mencapai beg-beg kertas yang penuh di atas meja.

“Tiya naik dulu,”

Puan Junaidah mengangguk dan aku terus berlalu. Meniti anak tangga menuju ke bilik. Daun pintu aku tolak perlahan. Encik Firdaus yang sedang merapikan rambut, berpaling. Menghadiahkan sekuntum senyuman manis buatku.

“Lama sembang dengan mummy?,”

Aku tersenyum. Meletakkan beg kertas di tepi meja solek.

“Tak baik abang tau. Ada ke cakap kat mummy benda tu semua,”

Encik Firdaus tergelak kecil.

“Sayang marah?,”

“Mula-mula macam nak marah. Tapi, Tiya tahu kenapa abang cakap dengan mummy macam tu,”

“Oh ya? Kenapa?,”sambil berpeluk tubuh Encik Firdaus tercegat di hadapanku. Aku senyum.

“Thank you bang,”ucapku senang. Encik Firdaus kerutkan kening.

“Thank you for what?,”

Aku tersenyum. Bergerak hampir pada Encik Firdaus. Merenung lembut wajahnya yang cukup bersahaja itu.

“Abang nak mummy say something to me kan? Abang nak mummy nasihat Tiya kan? Sekarang Tiya rasa lega sikit,”

“Lega? Lega macam mana tu?,”

Aku jelirkan lidah. Tahu Encik Firdaus sekadar mengusik. Encik Firdaus tergelak. Aku tersenyum. Memang suamiku bijak. Hampir-hampir aku marah kerana dia membocorkan kelemahanku pada ibunya tanpa aku sedar niatnya cukup baik. Niatnya cuma tidak mahu aku terus dengan perasaan tidak menentu setiap kali membicarakan soal anak.

“Lega macam mana?,”Encik Firdaus mengulangi soalannya sekali lagi.

“Adalaaaa….,”berlagu aku menjawab sambil mencapai tuala. Meninggalkan Encik Firdaus bersama senyum.





****

Monday, August 2, 2010

Sekadar Di hati...13

“Aja dah kahwin,”

“Hah?! Bila? Dengan siapa?,”

“Dah dekat tiga bulan. Dengan siapa, kami tak tahu. Tiba-tiba saja dia ambil keputusan nak nikah. Sekarang pun dia dah tak tinggal dengan kami,”

Itu berita tentang Najwa yang sampai ke telinganya. Ingatannya pada gadis itu memaksa dia mencari berita tentang Najwa. Dan, berita pernikahan Najwa membawa dia pulang semula ke sini. Tidak betah untuk terus berada di Jepun. Dia mahu mencari Najwa. Ada rasa ralat membekas di hatinya setelah apa yang dia lakukan pada gadis itu. Ada rasa menyesal. Lebih dari itu, dia mahu mendapat kesahihan tentang berita yang dikhabarkan oleh teman serumah Najwa daripada mulut gadis itu sendiri. Gadis yang pernah membungai rasa bahagia di hatinya. Gadis yang telah dia tinggalkan bersama derita paling dahsyat.

Walau dia cuba nafikan, tetap sahaja dia tidak mampu menipu diri sendiri. Sejak dia meninggalkan gadis itu, begitu banyak rententan kenangan yang mengekori langkahnya. Membuat dia tidak pernah jauh dari Najwa. Malah kenangan –kenangan itu mula menghantar rasa rindu pada gadis itu. Kursus selama enam bulan ditinggalkan begitu sahaja. Sudah tidak penting rasanya setelah berita tentang Najwa singgah di telinganya. Dia mahu kembali mendapatkan Najwa.

“Belum tidur, Rith?,”

Sapaan itu memaksa dia berpaling. Wajah ibunya yang masih tertinggal sedikit sisa-sisa marah, dipandang sekilas. Marah dengan tindakan tidak bijak yang telah dia ambil.

“Kejap lagi, mama,”

“Hmmm….,”cuma itu balasan daripada ibunya sebelum wanita itu berlalu pergi. Dia kembali fokus pada malam yang kelam. Mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Memang sebaik sampai di rumah dia mahu menghubungi Najwa. Namun, keberanian seolah-olah hilang untuk jemarinya menekan nombor telefon gadis itu. Diam untuk beberapa ketika, akhirnya jemarinya laju mencari nama Najwa di dalam senarai nama kenalan.

Beberapa kali mencuba, panggilannya tidak berjawab. Sedikit putus –asa, telefon dicampak ke meja. Bergerak pula ke arah telefon di atas meja kecil. Mendail nombor yang sama. Tidak perlu menunggu lama, suara yang pernah menemani malam-malamnya dulu kini sudah di hujung talian. Membuat dia kelu seketika.

“Hello… siapa ni?,”

Perlahan dia pejamkan mata. Lembut suara itu meresap ke segenap jiwanya. Rindunya dia pada Najwa. Tindakanya menghina Najwa dulu… kini dia sedar tindakan itu cuma biasan rasa takut untuk menggalas tanggungjawab. Rasa takut yang mendorong dia melakukan sesuatu tanpa berfikir. Dia tidak pernah berniat untuk menghamburkan penghinaan itu. Dia sayangkan Najwa. Dan, memang ada cinta di hatinya untuk Najwa. Tetapi dia tidak bersedia untuk tanggungjawab itu. Masih terlalu banyak yang ingin dia kejar.

“Hello…,”

Dia kelu lagi. Membayangkan betapa parahnya keadaan Najwa saat dia tinggalkan gadis itu. Maafkan aku, Aja. Hatinya mula berbisik sendu.

“Tak nak bercakap, saya letak ya..,”

Jiwanya seakan dipalu seribu rindu. Dia terus diam. Membenarkan lirih suara itu meresap ke jiwanya. Menjadi penawar pada rindunya.

“Hello…,”

“Aja…,”dia bersuara perlahan. Sepi. Agak lama.

“Aja….,”sekali lagi dia bersuara, sebelum satu suara lain yang mengganti lembut suara Najwa. Dia kenal suara itu! Telefon dihempas ke gagang. Tidak mungkin!

“Mama! Mama!,”

Laju dia mengatur langkah. Mencari bayang ibunya. Laju meniti anak tangga menuju ke bilik ibunya. Ada sesuatu yang dia tidak tahu. Ada penjelasan yang perlu dia dengar.

“Mama!,”

“Kenapa ni Rith? Terjerit-jerit macam kena histeria,”sedikit kalut suara ibunya sebaik pintu bilik ibunya terbuka.

Dia kaku. Cuma pandangan tajam yang dihalakan ke wajah ibunya. Puan Juwita memandang hairan.

“Kenapa ni, Rith?,”

“Abang nikah dengan Najwa?,”

Puan Juwita terdiam. Sedikit terkejut sebenarnya. Tanpa suara dia cuma merenung wajah Zarith yang jelas terkejut dan nampak kecewa.

“Kenapa mama tak beritahu saya?,”

Puan Juwita terus diam. Topik ini, bukan topik kegemarannya. Pandangannya dihalakan ke arah lain.

“Mama..say something,”

“Semua tu tak ada kena-mengena dengan mama. Mama tak nak ambil tahu. Jangan tanya mama apa-apa,”

“Mama patut beritahu saya…,”

“Budak tak guna tu tak ada kena mengena dengan mama. Tak ada kena dengan Rith kan?,”

Zarith mengeluh lemah. Memang satu berita yang jauh dari sangkaannya. Tidak pernah terlintas di fikiran, lelaki yang menjadi suami Najwa adalah abangnya sendiri. Najwa kini milik abang kandungnya sendiri. Kenyataan yang membuat dia tersandar lesu ke dinding. Perlahan melurut rambut bersama kesal yang menggunung.

“Najwa sekarang isteri abang, mama…,”berat bibirnya meluahkan kenyataan yang menghiris hatinya. Dia sanggup menerima berita pernikahan Najwa dengan sesiapa sahaja, tetapi tidak dengan abangnya sendiri. Nekadnyua, dia kembali untuk merebut Najwa semula. Tetapi, bagaimana mungkin dia boleh merebut gadis itu daripada abangnya sendiri?

“Kalau abang kesian, abanglah yang nikah dengan dia…,”

Tiba-tiba kata-kata itu, singgah di minda. Wajah ibunya direnung lagi.

“Kenapa mama tak beritahu Rith?,”sekali lagi soalan yang sama diajukan.

“Penting ke? Mama larang abang kamu. Tapi dia degil. Tak tahulah apa yang rasuk dia. Budak macam tu pun, dia kutip jadikan isteri. Marah betul mama dengan abang kamu tu,”

“Anak tu, anak saya mama. Mana boleh dia kahwin dengan abang…,”

Puan Juwita kelu. Bulat matanya merenung wajah Zarith.

“Saya balik untuk ambil tanggungjawab saya,”

“Kamu pun nak rebut budak perempuan tu? Budak rosak tu?,”

“Saya yang rosakkan dia mama,”

“Mengarut! Apa dah jadi dengan dengan kamu ni? Dah kena rasuk macam abang kamu juga ya? Dah! Mama tak mahu dengar apa-apa. Mama tak suka nama tu disebut dalam rumah ni!,”kuat suara itu melantun di ruang yang luas. Bagai tidak percaya Zarith kembali untuk Najwa.

“Mama…,”

“Mama tak akan terima menantu yang dah mengandung tu! Baik kamu..baik abang kamu… siapa saja pun yang nikah dengan dia, mama tetap tak terima dia jadi menantu mama,”

Zarith terus membeku. Tidak langsung mengacuhkan marah ibunya. Berita yang mengejutkan itu masih belum boleh menjadikan dia lebih bersedia menanggapi marah ibunya.







****



Luqman berpaling. Melihat telefon bimbit Najwa yang tercampak ke sofa.

“Kenapa Aja?,”

Wajah itu pucat. Wajah yang tadi sedikit ceria, kini berganti mendung. Membuat hatinya mula digaru resah. Perlahan dia mengangkat punggung. Meninggalkan meja kecil di sudut ruang tamu. Meninggalkan kertas-kertas ujian pelajarnya yang baru separuh disentuh.

“Kenapa ni?,”

Najwa terus membisu. Melihat keadaan itu, dia mencapai telefon di sofa. Laju di bawa ke telinga. Sebaik bersuara, talian terus terputus. Menambahkan rasa hairan. Jarinya mula menekan. Melihat senarai panggilan masuk. Nombor telefon rumahnya. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Najwa yang jelas masih terkejut.

“Mama call Aja?,”

Najwa menggeleng.

“Siapa yang call kalau bukan mama?,”

“Zarith…,”perlahan nama itu meluncur di bibir Najwa. Membuat Luqman turut dijentik rasa hairan. Dia tidak tahu Zarith pulang ke Malaysia. Perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa. Duduk di sebelah Najwa.

“Apa Zarith cakap?,”

Najwa menggeleng perlahan. Diam di sudut sofa bersama wajah yang kembali mendung. Luqman mengeluh perlahan. Tidak faham dengan tindakan Zarith sebenarnya.

“Aja… cerita dengan abang,”

“Tak ada apa-apa, bang. Aja tak nak dia kacau Aja lagi. Aja tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia. Kenapa dia cari Aja? Bila Aja dah boleh terima apa yang dia dah buat pada Aja, kenapa dia muncul lagi?,”

Luqman menghela nafas panjang. Tiada jawapan untuk persoalan Najwa. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang Zarith inginkan. Sudahnya, dia mendekat. Memaut bahu Najwa sambil membawa gadis itu ke pelukannya. Najwa akur. Segala keresahannya sebentar tadi seolah-olah hilang. Kali pertama Luqman tenangkan dia dengan pelukan yang cukup kemas. Tanpa kata-kata nasihat yang menggunung. Cuma bersama usapan lembut di belakang juga kucupan lembut di kepalanya. Namun, itulah yang mampu membuat dia tenang.

“Walau apa pun yang Zarith mahu, abang nak Aja kuat…,”

“Aja benci dia bang…,”

“Abang faham. Sudahlah. Jangan fikir lagi,”

Najwa mendongak. Merenung wajah Luqman yang tenang. Luqman tersenyum nipis. Renungan gadis itu mula menghantar debar di hati. Berada serapat ini, juga mula membuat dia resah sendiri.

“Dah okay ke ni?,”soalnya bersama senyum pura-pura.

Najwa tersenyum hambar.

“Terima kasih, bang…,”

Luqman menelan liur, takkala tangan Najwa membalas pelukannya.

“Hmm….dah lewat ni. Pergilah masuk tidur. Dah time baby tidur ni,”guraunya sambil perlahan meleraikan pautan di bahu Najwa. Membuat Najwa tersedar tangannya turut erat memeluk Luqman. Pantas pelukan terlerai. Laju dia mengangkat punggung.

“Maaf. Aja tak sengaja,”menunduk dia meminta maaf. Untuk mengangkat muka memandang wajah Luqman, dia malu. Luqman turut terdiam seketika.

“Aja masuk tidur dulu,”

“Pergilah,”

Najwa mula melangkah namun, langkahnya terhenti. Kembali berpaling.

“Abang nak minum apa-apa ke? Sebelum Aja masuk tidur, Aja boleh buatkan air untuk abang,”soalan itu terpacul dari bibir sedang mata gadis itu langsung tidak menikam wajahnya. Jelas serba salah tingkah Najwa saat itu.

Luqman tersenyum. Melihat wajah yang kurang ceria dan dengan wajah memerah menahan malu, tidak sampai hati dia mahu memberi arahan. Selebihnya, dia juga tidak keruan untuk terus berdepan dengan gadis itu.

“Tak apalah, abang tak nak apa-apa. Aja pergi tidur,”

“Selamat malam,bang,”

Luqman sekadar mengangguk. Najwa berlalu meninggalkan degup jantung yang masih bersisa di hatinya. Hatinya mula resah. Tindakannya mendekati Najwa, ternyata kurang bijak. Tindakan yang mula membuat perasaannya bersulam dengan rasa yang aneh. Kedua tapak tangannya diraup ke wajah bersama keluhan panjang. Perlahan dia mengangkat punggung. Memandang seketika kertas yang menimbun di meja. Keinginan untuk terus meneliti kertas ujian yang menimbun itu, sudah tiada. Mindanya cuma memikirkan tentang Najwa. Sudah mula kurang mengerti dengan apa yang dia rasa. Yang jelas, dia sudah melakukan satu kesilapan.


****


[11:35:50 PM] hos.getah: