Monday, August 2, 2010

Sekadar Di hati...13

“Aja dah kahwin,”

“Hah?! Bila? Dengan siapa?,”

“Dah dekat tiga bulan. Dengan siapa, kami tak tahu. Tiba-tiba saja dia ambil keputusan nak nikah. Sekarang pun dia dah tak tinggal dengan kami,”

Itu berita tentang Najwa yang sampai ke telinganya. Ingatannya pada gadis itu memaksa dia mencari berita tentang Najwa. Dan, berita pernikahan Najwa membawa dia pulang semula ke sini. Tidak betah untuk terus berada di Jepun. Dia mahu mencari Najwa. Ada rasa ralat membekas di hatinya setelah apa yang dia lakukan pada gadis itu. Ada rasa menyesal. Lebih dari itu, dia mahu mendapat kesahihan tentang berita yang dikhabarkan oleh teman serumah Najwa daripada mulut gadis itu sendiri. Gadis yang pernah membungai rasa bahagia di hatinya. Gadis yang telah dia tinggalkan bersama derita paling dahsyat.

Walau dia cuba nafikan, tetap sahaja dia tidak mampu menipu diri sendiri. Sejak dia meninggalkan gadis itu, begitu banyak rententan kenangan yang mengekori langkahnya. Membuat dia tidak pernah jauh dari Najwa. Malah kenangan –kenangan itu mula menghantar rasa rindu pada gadis itu. Kursus selama enam bulan ditinggalkan begitu sahaja. Sudah tidak penting rasanya setelah berita tentang Najwa singgah di telinganya. Dia mahu kembali mendapatkan Najwa.

“Belum tidur, Rith?,”

Sapaan itu memaksa dia berpaling. Wajah ibunya yang masih tertinggal sedikit sisa-sisa marah, dipandang sekilas. Marah dengan tindakan tidak bijak yang telah dia ambil.

“Kejap lagi, mama,”

“Hmmm….,”cuma itu balasan daripada ibunya sebelum wanita itu berlalu pergi. Dia kembali fokus pada malam yang kelam. Mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Memang sebaik sampai di rumah dia mahu menghubungi Najwa. Namun, keberanian seolah-olah hilang untuk jemarinya menekan nombor telefon gadis itu. Diam untuk beberapa ketika, akhirnya jemarinya laju mencari nama Najwa di dalam senarai nama kenalan.

Beberapa kali mencuba, panggilannya tidak berjawab. Sedikit putus –asa, telefon dicampak ke meja. Bergerak pula ke arah telefon di atas meja kecil. Mendail nombor yang sama. Tidak perlu menunggu lama, suara yang pernah menemani malam-malamnya dulu kini sudah di hujung talian. Membuat dia kelu seketika.

“Hello… siapa ni?,”

Perlahan dia pejamkan mata. Lembut suara itu meresap ke segenap jiwanya. Rindunya dia pada Najwa. Tindakanya menghina Najwa dulu… kini dia sedar tindakan itu cuma biasan rasa takut untuk menggalas tanggungjawab. Rasa takut yang mendorong dia melakukan sesuatu tanpa berfikir. Dia tidak pernah berniat untuk menghamburkan penghinaan itu. Dia sayangkan Najwa. Dan, memang ada cinta di hatinya untuk Najwa. Tetapi dia tidak bersedia untuk tanggungjawab itu. Masih terlalu banyak yang ingin dia kejar.

“Hello…,”

Dia kelu lagi. Membayangkan betapa parahnya keadaan Najwa saat dia tinggalkan gadis itu. Maafkan aku, Aja. Hatinya mula berbisik sendu.

“Tak nak bercakap, saya letak ya..,”

Jiwanya seakan dipalu seribu rindu. Dia terus diam. Membenarkan lirih suara itu meresap ke jiwanya. Menjadi penawar pada rindunya.

“Hello…,”

“Aja…,”dia bersuara perlahan. Sepi. Agak lama.

“Aja….,”sekali lagi dia bersuara, sebelum satu suara lain yang mengganti lembut suara Najwa. Dia kenal suara itu! Telefon dihempas ke gagang. Tidak mungkin!

“Mama! Mama!,”

Laju dia mengatur langkah. Mencari bayang ibunya. Laju meniti anak tangga menuju ke bilik ibunya. Ada sesuatu yang dia tidak tahu. Ada penjelasan yang perlu dia dengar.

“Mama!,”

“Kenapa ni Rith? Terjerit-jerit macam kena histeria,”sedikit kalut suara ibunya sebaik pintu bilik ibunya terbuka.

Dia kaku. Cuma pandangan tajam yang dihalakan ke wajah ibunya. Puan Juwita memandang hairan.

“Kenapa ni, Rith?,”

“Abang nikah dengan Najwa?,”

Puan Juwita terdiam. Sedikit terkejut sebenarnya. Tanpa suara dia cuma merenung wajah Zarith yang jelas terkejut dan nampak kecewa.

“Kenapa mama tak beritahu saya?,”

Puan Juwita terus diam. Topik ini, bukan topik kegemarannya. Pandangannya dihalakan ke arah lain.

“Mama..say something,”

“Semua tu tak ada kena-mengena dengan mama. Mama tak nak ambil tahu. Jangan tanya mama apa-apa,”

“Mama patut beritahu saya…,”

“Budak tak guna tu tak ada kena mengena dengan mama. Tak ada kena dengan Rith kan?,”

Zarith mengeluh lemah. Memang satu berita yang jauh dari sangkaannya. Tidak pernah terlintas di fikiran, lelaki yang menjadi suami Najwa adalah abangnya sendiri. Najwa kini milik abang kandungnya sendiri. Kenyataan yang membuat dia tersandar lesu ke dinding. Perlahan melurut rambut bersama kesal yang menggunung.

“Najwa sekarang isteri abang, mama…,”berat bibirnya meluahkan kenyataan yang menghiris hatinya. Dia sanggup menerima berita pernikahan Najwa dengan sesiapa sahaja, tetapi tidak dengan abangnya sendiri. Nekadnyua, dia kembali untuk merebut Najwa semula. Tetapi, bagaimana mungkin dia boleh merebut gadis itu daripada abangnya sendiri?

“Kalau abang kesian, abanglah yang nikah dengan dia…,”

Tiba-tiba kata-kata itu, singgah di minda. Wajah ibunya direnung lagi.

“Kenapa mama tak beritahu Rith?,”sekali lagi soalan yang sama diajukan.

“Penting ke? Mama larang abang kamu. Tapi dia degil. Tak tahulah apa yang rasuk dia. Budak macam tu pun, dia kutip jadikan isteri. Marah betul mama dengan abang kamu tu,”

“Anak tu, anak saya mama. Mana boleh dia kahwin dengan abang…,”

Puan Juwita kelu. Bulat matanya merenung wajah Zarith.

“Saya balik untuk ambil tanggungjawab saya,”

“Kamu pun nak rebut budak perempuan tu? Budak rosak tu?,”

“Saya yang rosakkan dia mama,”

“Mengarut! Apa dah jadi dengan dengan kamu ni? Dah kena rasuk macam abang kamu juga ya? Dah! Mama tak mahu dengar apa-apa. Mama tak suka nama tu disebut dalam rumah ni!,”kuat suara itu melantun di ruang yang luas. Bagai tidak percaya Zarith kembali untuk Najwa.

“Mama…,”

“Mama tak akan terima menantu yang dah mengandung tu! Baik kamu..baik abang kamu… siapa saja pun yang nikah dengan dia, mama tetap tak terima dia jadi menantu mama,”

Zarith terus membeku. Tidak langsung mengacuhkan marah ibunya. Berita yang mengejutkan itu masih belum boleh menjadikan dia lebih bersedia menanggapi marah ibunya.







****



Luqman berpaling. Melihat telefon bimbit Najwa yang tercampak ke sofa.

“Kenapa Aja?,”

Wajah itu pucat. Wajah yang tadi sedikit ceria, kini berganti mendung. Membuat hatinya mula digaru resah. Perlahan dia mengangkat punggung. Meninggalkan meja kecil di sudut ruang tamu. Meninggalkan kertas-kertas ujian pelajarnya yang baru separuh disentuh.

“Kenapa ni?,”

Najwa terus membisu. Melihat keadaan itu, dia mencapai telefon di sofa. Laju di bawa ke telinga. Sebaik bersuara, talian terus terputus. Menambahkan rasa hairan. Jarinya mula menekan. Melihat senarai panggilan masuk. Nombor telefon rumahnya. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Najwa yang jelas masih terkejut.

“Mama call Aja?,”

Najwa menggeleng.

“Siapa yang call kalau bukan mama?,”

“Zarith…,”perlahan nama itu meluncur di bibir Najwa. Membuat Luqman turut dijentik rasa hairan. Dia tidak tahu Zarith pulang ke Malaysia. Perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa. Duduk di sebelah Najwa.

“Apa Zarith cakap?,”

Najwa menggeleng perlahan. Diam di sudut sofa bersama wajah yang kembali mendung. Luqman mengeluh perlahan. Tidak faham dengan tindakan Zarith sebenarnya.

“Aja… cerita dengan abang,”

“Tak ada apa-apa, bang. Aja tak nak dia kacau Aja lagi. Aja tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia. Kenapa dia cari Aja? Bila Aja dah boleh terima apa yang dia dah buat pada Aja, kenapa dia muncul lagi?,”

Luqman menghela nafas panjang. Tiada jawapan untuk persoalan Najwa. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang Zarith inginkan. Sudahnya, dia mendekat. Memaut bahu Najwa sambil membawa gadis itu ke pelukannya. Najwa akur. Segala keresahannya sebentar tadi seolah-olah hilang. Kali pertama Luqman tenangkan dia dengan pelukan yang cukup kemas. Tanpa kata-kata nasihat yang menggunung. Cuma bersama usapan lembut di belakang juga kucupan lembut di kepalanya. Namun, itulah yang mampu membuat dia tenang.

“Walau apa pun yang Zarith mahu, abang nak Aja kuat…,”

“Aja benci dia bang…,”

“Abang faham. Sudahlah. Jangan fikir lagi,”

Najwa mendongak. Merenung wajah Luqman yang tenang. Luqman tersenyum nipis. Renungan gadis itu mula menghantar debar di hati. Berada serapat ini, juga mula membuat dia resah sendiri.

“Dah okay ke ni?,”soalnya bersama senyum pura-pura.

Najwa tersenyum hambar.

“Terima kasih, bang…,”

Luqman menelan liur, takkala tangan Najwa membalas pelukannya.

“Hmm….dah lewat ni. Pergilah masuk tidur. Dah time baby tidur ni,”guraunya sambil perlahan meleraikan pautan di bahu Najwa. Membuat Najwa tersedar tangannya turut erat memeluk Luqman. Pantas pelukan terlerai. Laju dia mengangkat punggung.

“Maaf. Aja tak sengaja,”menunduk dia meminta maaf. Untuk mengangkat muka memandang wajah Luqman, dia malu. Luqman turut terdiam seketika.

“Aja masuk tidur dulu,”

“Pergilah,”

Najwa mula melangkah namun, langkahnya terhenti. Kembali berpaling.

“Abang nak minum apa-apa ke? Sebelum Aja masuk tidur, Aja boleh buatkan air untuk abang,”soalan itu terpacul dari bibir sedang mata gadis itu langsung tidak menikam wajahnya. Jelas serba salah tingkah Najwa saat itu.

Luqman tersenyum. Melihat wajah yang kurang ceria dan dengan wajah memerah menahan malu, tidak sampai hati dia mahu memberi arahan. Selebihnya, dia juga tidak keruan untuk terus berdepan dengan gadis itu.

“Tak apalah, abang tak nak apa-apa. Aja pergi tidur,”

“Selamat malam,bang,”

Luqman sekadar mengangguk. Najwa berlalu meninggalkan degup jantung yang masih bersisa di hatinya. Hatinya mula resah. Tindakannya mendekati Najwa, ternyata kurang bijak. Tindakan yang mula membuat perasaannya bersulam dengan rasa yang aneh. Kedua tapak tangannya diraup ke wajah bersama keluhan panjang. Perlahan dia mengangkat punggung. Memandang seketika kertas yang menimbun di meja. Keinginan untuk terus meneliti kertas ujian yang menimbun itu, sudah tiada. Mindanya cuma memikirkan tentang Najwa. Sudah mula kurang mengerti dengan apa yang dia rasa. Yang jelas, dia sudah melakukan satu kesilapan.


****


21 comments:

mama_ariana09 said...

ermmm,,zarith kembali,,,jgn di rebut najwa balik sudah,,

srikandi said...

luqman, fallin in luv is not a crime!

aqilah said...

apalah luqman ni........menyukai isteri sendiri bukan satu kesalahan.......malah it's a start between najwa dan luqman..................

Minah Gendot said...

pastinyer di tgh2 cter berlaku perebutan antara zarith n luqman tuk memiliki aja..pape pn..hehehe..suek watak luqman dlm cter nie..

aNYsa said...

best...xsabar nakl tahu seterusnya..

Anonymous said...

jgn biar luqman bagi aja kat zarith ..........
biarlah luqman terus jadi suami aja

Anonymous said...

nk luqman terus jd sumai aja...

Anonymous said...

nk luqman terus jd suami aja walauapapun berlaku...

hana_aniz said...

pe maksud luqman yg dia kata dia dah buat silap? rancangan je ke nk dptkn najwa tu? ada agenda lain??

MaY_LiN said...

mmm..
sumting goods..
bagusla..
luqman n aja ade rasa yang sama..

Anonymous said...

emmmmmmm..saya nk akk teruskan sambung sekadar di hati lagi jer...


myeha ireland

Anonymous said...

kesilapan yang luqman mksd kn rasa nya, dia kan tak boleh sentuh najwa, najwa kan mengandung yg bkn ank nya...kna tunggu najwa da besalin dulu...
ya tak Kak Hanni???
hehehe...

best dorg da ada rsa yg sama...
cpt ya kak smbg new n3:)

Kasih Firdaus said...

sy harap diaakhir cerita ..najwa berpaling Zharith..biar zharith bertanggungjawab atas segalanya..biar kepayahan zarith mendapatkan najwa semula menjadikan pengajaran buat dia..sbb najwa kandungkan anak dia.biar zarith pulak menjadi seorang perayu pada seorang wanita bernama Najwa..

azzakiah said...

konflik baru bermula....
hurm.. hope luqman kuat n x lepaskan aja.. n aja pun x kembali pada zarith even kene pujuk rayu pun..

Aida Azman said...

best best... hanni, kekalkan ummpphh citer ni yea, and harap sgt jgnla matikan either zarith or luqman to end the 'saga', tak semestinya nak endingkan novel yg best mesti ada watak yg meninggal kan?? hihihihi.. tak sabar nak tunggu next n3... good luck hanni!!!...

Anonymous said...

best la kak hani....bile next nyerrrrr.....

Fill@ @naheR said...

Jgn lah ambek Najwa dari lukman pepelis~~~

Anonymous said...

ishhh gram tol la ngan mak lukman nie...nape cam 2 skali prangaai die!!!!kak hanni bile episod seterusnyerrrrrr???????????.......
sian najwa 2...

Anonymous said...

best citer ni...cpt la smbung =)

Anonymous said...

NAK AJA NGAN LUQMAN............
X NAK AJA NGAN ZARITH.........

nurhakim said...

dalam hati sudah ada cinta nampak....hihiii
sukelah lukman ngan aja.
sweeet jer.....=)
xnklah aja ngan zarith.
pe2 pn gud job kak hani.

[11:35:50 PM] hos.getah: