Tuesday, March 29, 2011

Mungkinkah? 6


            Arisa mengerling agak lama sebaik kereta Zariff berhenti di tempat meletak kereta. Rasa geram masih merantai hati. Masih tidak faham dengan tingkah Zariff yang semakin pelik di matanya. Zariff semakin mengabaikan janji-janji yang dia sendiri telah tetapkan enam bulan yang lalu. Semakin membuat hubungan mereka terdedah kepada pandangan manusia lain.  Satu hal yang paling tidak disukainya. Lelaki itu berkeras mahu menjemput dia ke pejabat. Seribu alasan yang dia berikan, satu pun tidak melekat di kepala lelaki itu. Sudahnya, sekarang dia yang buntu mahu memikirkan seribu alasan untuk diberikan kepada yang bertanya. Zariff pasti tidak berdepan dengan apa-apa masalah. Keluar sahaja dari kereta dan kemudian masuk ke bilik. Lelaki itu sudah selamat. Tiada siapa pun yang berani bertanya banyak. Dia yang akan menanggung pelbagai soalan yang bakal mengasak.
            “Kenapa ni?,”
            Arisa merenung wajah selamba Zariff. Kemudian matanya menatap pula jam di pergelangan tangan. Sudah menghampiri pukul sepuluh setengah pagi.
            “Awak ada jawapan untuk soalan your staffs pada saya nanti?,”
            “Pardon?,”sambil berkerut kening, Zariff bersuara. Pada masa yang sama memandang tepat ke wajah Arisa.
            Arisa mengeluh panjang.
            “Mesti sibuk nanti yang bertanya. Apa you buat dengan bos? You ke mana dengan bos? Kenapa you datang dengan bos? Letihlah saya nak layan soalan macam tu. Saya dah cakap tadi saya tak nak ikut kan? Saya boleh datang sendiri. Tapi, awak degil jugak. Awak masuk aje terus ke bilik. Orang nak bertanya pun fikir sepuluh kali. Yang kena berdepan nanti, saya juga,”
            Zariff tergelak kecil. Itu rupanya persoalan besar yang mengganggu Arisa. Yang membuat bibir mungil itu sedikit memuncung.
            “Besar ke masalah tu?,”soalnya bersama sisa senyum yang membungai bibir. Arisa membuang pandang. Menarik beg tangan lalu disangkut ke bahu. Malas melayan Zariff yang menganggap saolannya itu tidak begitu penting.
            “Ada dua pilihan. First, you boleh cakap you temankan bos you jumpa client or kedua, you boleh cakap, you temankan suami you sarapan. Pilih aje yang mana you nak,”
            Tangan Arisa terhenti di pintu kereta. Berpaling sambil melawan renungan redup Zariff. Sedikit terpana apabila satu kenyitan nakal dihadiah Zariff padanya. Sedikit sebanyak berjaya membuat jiwanya sedikit bergetar. Namun, perasaan itu cepat-cepat dicampak jauh dari hatinya. Hubungannya dengan Zariff tidak perlukan itu semua. Hubungannya dengan lelaki itu satu hubungan yang cukup realistik. Hubungan itu tidak memerlukan segala macam rasa yang cuma akan memburukkan keadaan. Tidak mungkin sekali lagi dia akan korbankan perasaannnya untuk insan yang bergelar lelaki.
            “Awak rasa semua ni perkara main-main, kan?,”dia bersuara dingin. Zariff tersenyum cuma. Semakin hari dapat dia rasakan hati Arisa semakin keras. Pintu kereta dibuka perlahan.
            “Bergantung pada bagaimana you menanggapinya,”balasnya sambil melangkah keluar. Arisa mengeluh berat. Turut sama melangkah keluar dari kereta itu. Berdiri seketika menunggu langkah Zariff sedikit menjauh. Tidak mahu sama-sama melangkah dengan Zariff. Peristiwa Zariff membawa dia ke klinik tempoh hari pun sudah berjaya menarik perhatian beberapa orang staf Zariff untuk membuka cerita hangat. Dia benar0benar tidak mahu menambahkan kehangatan cerita.
            “Sayang? Tunggu apa lagi tu?,”Zariff mengusik lagi.
            Arisa sudah menarik muka masam. Terasa semakin dipermainkan.
            “Awak masuk dulu,”
            Zariff berhenti melangkah. Berpaling sambil sebelah tangan mencekak pinggang.
            “Apa yang you nak takut sangat ni? Dah, come. Masuk office, sebelum I tarik you balik semula ke rumah I. Hari ni, bos and PA datang bersama or bos and PA sama-sama tak jadi masuk office and sama-sama ambil EL. You rasa gossip mana lebih hangat?,”Zariff bersuara lagi. Sempat mengangkat kening sambil tersenyum nakal.
            Tanpa banyak bicara, Arisa mula melangkah. Sama-sama mengatur langkah menuju ke ruang pejabat. Dan, bagai dijangka, renungan pertama daripada Jasmine bagai sudah tergambar apa yang sedang bermain di kepala gadis itu.
            “Good morning, Encik Zariff,”
            “Morning…,”
            “Sama-sama lewat masuk ya hari ni,”ramah Jasmine mengusik. Zariff tersenyum selamba sambil berpaling memandang wajah Arisa yang tidak berperasaan.
            “Kereta Arisa rosak,”dia bersuara sambil pandangan dilarikan semula ke wajah Jasmine. Jasmine mengangguk sambil tersenyum panjang.
            “Ada call untuk saya? Or message for me during my PA tak ada tadi?,”
            “Ada. Bakal tunang Encik Zariff call. Banyak kali. Dia cakap, nanti dia nak datang,”
            “Oh… ok,”seringkas mungkin Zariff menjawab sambil mengerling ke arah Arisa. Mahu melihat reaksi wanita itu.
            “And… Puan Arisa. Ini pula untuk Puan,”Jasmine menyambung bicaranya sambil mengeluarkan satu jambangan mawar merah dari bawah kaunter. Langkah Zariff terhenti. Arisa pula perlahan menggaru dahi.
            “Awak ambillah,”akhirnya dia bersuara perlahan.
            “Kenapa tak ambil? Tak baik tolak pemberian orang,”Zariff mencelah bersama renungan yang cukup dalam. Arisa tersenyum kecil. Lelaki ini… sudah tahu kenapa ditolak, masih juga mahu bertanya.
            “Saya tak suka mawar,”dalihnya sekadar berbasa-basi.
            “Then, you patut beritahu si penghantar tu, you nak bunga lain,”
            Arisa mengukir senyum.
            “Saya tak suka pada yang hantar bunga ni, Encik Zariff,”sampuk Arisa ringkas. Sengaja mahu melayan permainan Zariff. Zariff tersenyum lebar.
            “Begitu ke?,”
            Arisa menjongket bahu
            “Kalau macam tu, senang saja. Jasmine, mulai esok, jangan ambil lagi bunga ni. Atas arahan I, I tak benarkan jambangan bunga ni, dihantar lagi ke sini,”ujarnya sambil berlalu. Meninggalkan Arisa yang sedikit kagum. Kenapalah selama ini dia tidak mengambil pendekatan sebegitu? Kenapalah dia sering mengeluh tiap kali melihat jambangan itu sedangkan dia boleh mengambil pendekatan yang baru sahaja diambil oleh Zariff.
            “Pandailah boss awak. Kenapa saya tak terfikir nak buat macam tu, ya?,”dia bersuara selepas Zariff berlalu meninggalkan dia dan Jasmine. Jasmine tersengih.
            “Nanti tak dapatlah saya nak bawa balik bunga free,”rungut Jasmine sambil membawa jambangan mawar itu ke hidungnya. Arisa tersenyum kecil.
            “Kenapa Kak Rissa tak suka dengan si pengirim ni? Hari-hari dapat bunga ni. Kalau saya, dah lama terpaut,”
            “Jangan cepat terpaut hanya dengan dapat bunga macam ni. Kalau nak cari teman hidup, cari betul-betul. Jangan cepat terpedaya dengan mulut manis. Dengan hadiah banyak-banyak. Sekarang ni, susah nak cari lelaki baik,”
            “Bos tu?,”sampuk Jasmine bersama senyum nakal.
            “Awak lagi tahu perangai dia kot. Saya baru nak dekat dua tahun di sini. Awak lagi lama lama kerja di sini,”
            “Tapi, Kak Rissa yang selalu berdamping dengan dia. Kami ni, cuma tengok dari jauh aje…,”
            Arissa tersenyum kecil.
            “Kak Rissa tahu tak? Ada yang bertanya kat saya ni…,”
            “Tanya apa?,”
            “Ada yang tanya, kak Rissa ada apa-apa ke dengan encik Zariff tu? Tapi, kalau bukan orang tanya, saya pun sebenarnya nak tanya juga soalan tu,”
            “Kenapa nak tanya soalan macam tu pula?,” 
            “Sebab saya tengok Encik Zariff tu caring semacam aje dengan Kak Rissa. Sedang bercinta ya?,”
            Arisa tergelak halus. Nampaknya gosip sudah mula mengambil tempat. Ini semua Zariff punya pasal.
            “Saya tak percaya pada cinta. Mengarut semua tu. Okaylah. Saya kena kerja. Awak pun kena kerja kan? So, buat kerja elok-elok. Jangan bergosip,”
            Jasmine tersengih.
            “Saya tak bergosip. Saya tolong dengar aje. Lepas tu saya inform kat Kak Rissa,”
            “Pandailah awak,”
            Jasmine tersengih lagi sambil mendakap jambangan mawar miliknya. Arisa melangkah meninggalkan kaunter penyambut tetamu. Mahu memulakan kerja yang sudah sedikit terlewat. Bukan salahnya. Zariff yang membuat dia terlewat dan nampaknya majikannya itu benar-benar tidak kisah. Barangkali lelaki itu sudah tahu hari ini jadual kerjanya memang tidak penuh jadi dia boleh sedikit leka dengan hal peribadinya. Sedang dia… begitu banyak senarai kerja yang setia menanti.
            Sebaik tiba di tempatnya, dia duduk seketika di meja sambil menongkat dagu. Di kepala mula merangka-rangka untuk menyusun kerjanya.
            “Rissa, I keluar kejap,”
            Arisa mendongak. Zariff sudah tercegat di hadapannya.
            “Keluar dengan bakal tunang ke?,”terpacul soalan itu di bibirnya. Zariff tercegat di hadapannya. Memandang wajahnya dengan pandangan yang dia sendiri tidak mengerti akan maksudnya. Cukup dalam renungan itu. Menikam sehingga ke relung hati. Membuat dia mula dijentik risau. mungkinkah dia sudah tersilap cakap?
            “Kenapa? Saya salah cakap ke?,”
            Zariff sekadar menjongket bahu. Sedang matanya terus mengamati tingkah Arisa. Arisa kelihatan cukup bersahaja. Benar-benar tidak berperasaan. Membuat dia mula rasa kurang senang. Hatinya membengkak dengan cemburu apabila melihat jambangan mawar daripada bekas suami Arisa, sedangkan Arisa seperti tidak berperasaan apabila bercakap tentang seseorang yang bakal bertunang dengannya. Terasa situasi itu cukup tidak adil. Dia mahu Arisa merasakan apa yang sedang dia rasai.
            “Kenapa you tanya?    Cemburu ke?,”                                                                                                Arisa tergelak halus. Melawan renungan Zariff bersama senyum meleret.
            “Perasaan tu tak ada dalam perjanjian kita. Kan?,”ujarnya dengan nada yang cukup mempersona di telinga Zariff.
            Zariff tersenyum kecil. Memang Arisa benar-benar membuat dia hilang kewarasan. Semakin hari semakin dia sedar, dia memang tergila-gilakan isterinya ini. Namun, dengan senyum selamba Arisa sungguh dia gagal menebak perasaan sebenar Arisa.
            “Bukan. I nak jumpa client. Petang ni I free kan? Tak ada appointment apa-apa kan?,”
            “Tak ada. Kenapa? Lama ke keluar ni?,”
            “Tak pasti. Anything just call me,”
            Arisa mengangguk perlahan. Zariff melemparkan senyum sambil mula mengatur langkah.
            “Oh ya… tadi Jasmine cakap bakal tunang awak nak datang. Kalau dia datang?,”
            “Cakap aje I ada meeting kat luar…I tak suka ada gangguan masa I kerja,”
            Arisa mengangguk lagi.
“Kalau you ganggu, tak apa,”usik Zariff  sambil sekali lagi menghadiahkan satu kenyitan memikat. Arisa menggeleng perlahan sambil mengiringi langkah Zariff dengan ekor matanya. Mindanya mula berbicara. Mula berasa hairan apabila Zariff tidak pernah bercerita dengannya tentang rancangan pertunangan lelaki itu. Namun, bila difikirkan, tindakan Zariff tetap wajar. Hal pertunangan lelaki itu tidak ada kena mengena dengan dirinya. Barangkali sudah sampai masanya untuk Zariff meminggirkan dirinya. Tidak lama tempoh yang diperlukan oleh seorang lelaki untuk berasa bosan dengan perempuan. Dia tersenyum sinis. Mungkin inilah lelaki.
            “I sukakan you,”
            “Mudah betul prinsip Encik Zariff ya. Sebab Encik Zariff suka saya, saya kena setujulah ikut cadangan tak bermoral Encik Zariff tu ya?,”
            “Kenapa? Salah ke?,”
            “Encik Zariff nak ajak saya scandal dengan Encik Zariff, itu tak salah?,”
            “I tak nampak salahnya. I single you pun single,”
            “Ya saya single. Tapi, hidup saya tak bebas macam Encik. Jadi, kita tak sehaluan. Encik Zarif cari saja orang lain untuk jadi teman Encik Zarif. Berhentilah kacau saya macam ni. Saya datang sini untuk kerja. Untuk cari rezeki. Kalau Encik Zariff boleh biarkan saya berkerja dengan aman, sampai mati saya betul-betul terhutan budi dengan Encik Zariff,”
            “I don’t think so. I benar-benar nak bersama dengan you. I boleh tawarkan apa saja. I tahu masalah you. Asal you setuju, I boleh tolong you,”
            “Masalah saya?,”
            “Yup. I tahu masalah kewangan you. Tanggungjawab you. I boleh tolong you…and you tolong I,”
            Dia tersenyum hambar. Sepintas dialog itu mengisi ruang mindanya. Hanya disebabkan malas untuk terus melayan kerenah Zariff yang membuat dia rimas, dia sendiri tidak percaya dia boleh bersetuju dengan rancangan tidak masuk akal Zariff.
            “Kalau Encik Zariff betul-betul nak hidup dengan saya, kita  nikah,”
            Itulah sebaris ayat yang diucapkan sekadar untuk membuat Zariff tawar hati. Memang niatnya ketika itu adalah untuk membuat Zariff bosan dan berhenti mengganggunya kerana dia tahu lelaki seperti Zariff tidak mungkin akan setuju untuk terikat dengan satu komitmen yang begitu besar. Dan, jawapan Zariff benar-benar jauh menyimpang. Dengan tenang Zariff menyatakan persetujuannya. Jawapan yang membuat dia membisu berhari-hari. Terkejut yang bukan sedikit. Zariff yang suka berkawan dengan ramai gadis tiba-tiba manyatakan persetujuan untuk mengahwininya hanya kerana dia tidak mahu mengikut rentak Zariff. Dalam keadaan berbelah-bagi dia tidak tahu tindakan yang diambil itu betul atau tidak. Berkahwin dengan Zariff bermakna gangguan Zariff tidak lagi menjadi satu kesalahan, dan dia juga tidak lagi perlu berasa tertekan dengan pelbagai pendekatan merimaskan yang diambil oleh majikannya. Dari datu sudut lain pula, perkahwinan ini bagai satu ikatan yang cuma untuk menghalalkan satu hubungan  terlarang. Dan, perkara itu  sungguh-sungguh tidak wajar. Namun, akhirnya hubungan itu terjalin juga. Satu perkahwinan tanpa perasaan yang indah-indah. Satu perkahwinan yang mungkin akan berakhir tidak lama lagi. Apa yang perlu dia lakukan sekarang cuma bersedia untuk mendengar ucapan selamat tinggal daripada Zariff.
            Perlahan dia mengeluh. Tersedar dia sudah sedikit jauh melayan perasaan. Satu perkara yang sudah lama dia tinggalkan. Perlahan dia mencapai organizer miliknya. Mahu melupakan situasi antara dia dan Zariff. Menumpukan perhatian kepada kerja jauh lebih baik daripada mengingati semua itu.

*****

Monday, March 14, 2011

Mungkinkah? 5

            Rianti menjeling tajam. Benci benar melihat lelaki di hadapannya itu. Lelaki yang telah membuat kakaknya banyak menangis. Lelaki yang pernah membuat kakaknya berubah menjadi keras hati.
            “Baliklah. Kak Long tak ada,”
            “Pukul berapa Kak Long selalu balik?,”
            Riati berpeluk tubuh sambil berpaling muka.
            “Ati, abang cuma nak tengok keadaan Kak Long. Teruk ke luka dia semalam?,”
            “Dia teruk ke. Tak teruk ke, bukan lagi urusan abang, tau! Tolonglah pergi. Abang tak malu ke? Dulu suka hati mengata Kak Long macam-macam. Sekarang ni, datang sini terhegeh-hegeh cari Kak Long, buat apa?,”
            Radhi mengeluh berat. Sedikit geram dengan kelancangan mulut gadis genit ini. Namun, dia harus bersabar. Dia perlu banyak-banyak bersabar. Walau apa pun caranya, dia mahu Arisa kembali padanya.
            “Kak Long dengan Ati baik-baik saja kan?,”
            “Memang kami baik-baik pun. Abang tak ada, Kak Long lagi baik. Tak perlu nak makan hati macam dulu,”
            “Abang tahu, abang banyak lukakan hati Kak Long dulu. Abang mengaku silap abang. Tapi, sekarang abang dah menyesal. Abang nak perbetulkan keadaan,”
            “Tak payahlah bang. Abang pergilah berbahagia dengan isteri abang yang cantik. Yang kaya tu. Jangan kacau Kak Long kami lagi,”Rianti bersuara sinis. Memang sedikit pun tidak ada perasaan suka apabila dia melihat wajah ini. Wajah yang menyakitkan hati.
            “Kenapa abang sampai hati nak buat Risa macam ni?,”
            “Keputusan aku nak nekad. Aku tak perlukan kau lagi,”
            “Berapa kali lagi abang nak seksa perasaan Risa macam ni? Kalau abang dah nekad sangat nak hidup dengan perempuan tu, baik abang lepaskan Risa. Risa dah penat makan hati dengan perangai abang. Tiap kali Risa bagi abang peluang, tiap kali itu juga abang akan sakitkan semula hati Risa. Tiap kali Risa maafkan kesilapan abang, tiap kali abang akan ulang kesilapan yang sama,”
            “Hmmm…mudah saja. Kau bagi aku duit, aku akan lepaskan kau. Kalau tak, kau akan bermadu dengan kekasih baru aku tu. Mudah, kan?,”
            “Ati…,”
            Rianti tersentak kecil. Wajah Radhi masih bertamu di luar pagar rumahnya. Perbualan itu tidak akan dia lupakan sampai bila-bila. Walaupun Arisa tidak pernah tahu dia mendengar perbualan itu, namun itu semua sudah cukup untuk dia menanam perasaan benci pada lelaki bernama Radhi. Sesuka hati lelaki itu melukakan perasaan kakaknya. Layanan Radhi pada Arisa cukup kejam di matanya. Sekelip mata, perkahwinan Arisa dengan lelaki itu terbubar hanya kerana sejumlah wang. Memang lelaki ini mata duitan.
            “Kenapa abang cari Kak Long ya? Duit simpanan abang dah habis ke?,”tiba-tiba dia bertanya bersama senyum mengejek. Radhi terdiam. Merenung wajah Rianti dengan sedikit geram. Arisa pun tidak pernah sesinis ini dengannya.
            “Tapi… abang kan kahwin dengan perempuan kaya. Atau… duit perempuan tu pun, abang dah habis kikis?,”
            “Ati!,”
            “Apa?! Tersentap? Itu kenyataannya kan? Abang ingat saya nak percaya ke, kalau abang cakap abang dah menyesal. Kalau abang cakap abang kembali sebab cinta abang pada Kak Long? Sikit pun saya tak percaya tau! Sebab saya tahu abang ni, macam mana orangnya,”
            “Apa Ati cakap ni? Tak baik tuduh abang macam tu,”
            Rianti tergelak sinis sambil mencemik. Kereta Myvi berwarna merah yang perlahan berhenti di hadapan rumahnya, menarik perhatiannya. Tidak jadi dia menyambung tempelaknya pada bekas abang iparnya itu. Sedikit gusar pada mulanya. Namun, melihat bukan Arisa yang berada di tempat pemandu dia tersenyum lega. Lega apabila Zariff ada bersama kakaknya. Pantas dia membuka pintu pagar. Radhi meminggir memberi ruang kereta itu memasuki ruangan halaman yang tidah begitu luas.
Pintu kereta terbuka perlahan. Arisa sedikit serba-salah untuk turun dari kereta. Lelaki ini muncul lagi.
“Kenapa ni?,”menyedari Arisa yang sedikit teragak-agak, Zariff bertanya. Pandangannya turut sama jatuh pada seorang lelaki yang tercegat di luar pagar. Memandang wajah Arisa tanpa berkelip.
“Siapa tu?,”dia bertanya lagi. Sedikit kurang senang melihat cara lelaki itu merenung wajah Arisa.
Arisa menggeleng perlahan.
“Awak nak masuk ke? Atau nak saya panggilkan teksi?,”
“I masuk,”dia bersuara sambil membuka pintu kereta. Mustahil dia akan pergi begitu sahaja, meninggalkan Arisa bersama lelaki yang tidak pernah dia kenal ini. Siapa lelaki ini, dan apa hubungannya dengan Arisa?
“Kenapa ni, Ati?,”dia menyapa sambil mata menyoroti lelaki yang turut melakukan hal yang sama padanya.
“Risa!,”
Arisa menoleh seketika. Namun, panggilan itu tidak dia hiraukan. Terus dia melangkah masuk tanpa menunggu lagi. Meninggalkan Zariff yang masih tercegat di tepi kereta.
“Kenapa ni, Ati?,”dia mengulangi soalan yang sama.
“Ni… ada orang tak tahu malu,”
Radhi mengalih pandangan. Merenung wajah Rianti.
“Jaga sikit cakap Ati, tu,”
“Saya cakap yang betul saja,”
Melihat riak tidak senang di wajah Rianti, dia mendekat.
“You ni, siapa? Apa hal datang sini?,”
“Bukan urusan kau. Apa kau buat kat rumah ni?,”
“Bukan urusan you, I guess. Tapi, if you don’t mind, boleh pergi dari sini? Sebab, dari apa yang I tengok, kehadiran you di sini tak dialuk-alukan,”
“Aku datang nak tengok Arisa,”
“Kalau Arisa nak jumpa you, dia tak akan terus masuk ke dalam. So, I andaikan dia tak nak jumpa you,”
“Ati, panggilkan Kak Long kejap. Abang nak jumpa dia,”
“Minta maaf. Saya tak ada masa nak buat semua tu. Saya rasa kan, baik abang pergi ajelah. Tak cukup lagi ke, abang buat Kak Long pecah kepala?,”
“What?! So, lelaki ini yang buat kepala Kak Risa  macam tu,”
“Yalah… siapa lagi. Kalau bukan orang ni…,”
Kali ini, Zariff mengamati wajah lelaki di hadapannya itu dengan pandangan yang cukup tajam. Geram mengingatkan kepala Arisa yang berjahit di klinik tadi.
“I tak tahu you ni siapa, but, tolong pergi sebelum I heret you ke balai polis. Tak malu ke, cederakan orang perempuan?,”
“Kau tak tahu cerita, jangan main tuduh saja. Aku nak jumpa Arisa. And, tolong pergi dari rumah ni. Apa kau buat kat rumah perempuan ni?,”
Zariff tergelak sinis.
“You nak pergi or you nak polis yang datang jemput you pergi?,”
Radhi menahan nafas. Reaksi selamba lelaki ini, benar-benar membuat dia hilang sabar. Lebih membuat dia marah, apabila lelaki ini seakan-akan sudah terlalu biasa dengan rumah Arisa. Sewenang-wenang masuk ke kawasan rumah ini. Cara dia muncul bersama Arisa juga membuat hatinya membara.
“Bukan aku yang akan pergi. Tapi, kau yang akan pergi,”
“Oh… really? We’ll see,”Zariff bersuara sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Mendail seketika sebelum telefon dibawa ke telinga.
“Hello, balai polis…saya nak buat aduan…,”
“Okay! Aku akan pergi. Tapi, itu bukan sebab aku pengecut. Tapi aku tak mahu buat kecoh!,”
Zariff tergelak lagi.
“Yes, I can see it….,”ucapnya separuh mengejek. Membuat wajah Radhi terbakar dek geram dan tercabar.
“Jaga kau…,”
Zariff sekadar berpeluk tubuh sambil memandang Radhi yang berlalu pergi. Setelah kereta lelaki itu bergerak meninggalkan kawasan rumah itu, dia berpaling memandang Rianti.
“Apa cerita ni? Siapa lelaki tu?,”
“Bekas suami Kak Long,”
Zariff terdiam. Dia tahu Arisa pernah berkahwin. Tetapi dia tidak pernah kenal lelaki yang pernah hidup bersama wanita itu. Yang dia tahu, hampir setahun yang lalu, dia menerima seorang pembantu yang berstatus janda. Dan di atas tiket itu, dia terus mencuba mendekati Arisa. Ingin memiliki Arisa yang cukup menarik di pandangan matanya. Ditambah dengan penolakan demi penolakan dari Arisa, dia semakin tertarik pada wanita itu.
“Bekas suami? Apa dia buat di sini?,”
“Nak memujuk Kak Long lah tu. Lelaki tak guna. Tak tahu malu,”
Zariff mendengar mulut itu mengomel tanpa henti.
“Sudahlah tu. Jom masuk, dah nak dekat Maghrib,”
Rianti tersengih. Laju mengangguk sambil berlalu. Zariff tersenyum kecil. Turut melangkah masuk. Mahu mencari Arisa dan mendapatkan penjelasan dari bibir Arisa sendiri. Mulut Arisa yang riuh menjerit menyuruh adik-adiknya mandi membuat dia tersenyum sendiri. Dia jarang ke sini di waktu-waktu begini. Berada di sini saat ini, membuat dia melihat Arisa dari sudut yang berbeza. Tiba-tiba ada jalur bahagia menjamah hatinya. Suka berada di dalam keriuah itu.
“Tu Puteri Tarzan tu. Sebelum Ati pun kena sekali, baik Ati pergi mandi dulu,”Rianti bersuara nakal. Zariff tergelak. Menggeleng perlahan melihat Rianti berlari ke biliknya. Dia mengatur langkah menuju ke ruang dapur yang tidak begitu besar.
“Dafi, lepas mandi pergi surau. Ati, datang tolong Kak Long kejap. Nanti lambat makan malam nanti,”
“Puteri Tarzan?,”tegurnya hampir di telinga Arisa.
Arisa berpaling. Zariff tegap berpeluk tubuh di belakangnya. Arisa tersenyum kecil.
“Maaflah membingitkan telinga awak pula. Bukan salah saya, awak yang datang salah masa,”
“Hmmm…. Tak apa. Boleh juga kenal Arisa sebagai Puteri Tarzan,”
Arisa diam. Cuma tersenyum kecil sambil membasuh sayur di sinki. Diperhatikan Zariff dalam diam. Dia sedar itu. Tetapi dia sengaja buat-buat tidak tahu.
“Sama-sama,”
Arisa berpaling. Pelik mendengar kata-kata Zarith. Dia kerutkan kening menanggapi renungan Zarith yang semakin hari semakin lain di matanya.
“Sama-sama?,”
“Ya. Sebab I dah tolong halau ex-husband you tu, so, I andaikan you dah cakap thank you dalam hati,”
Basuhannya terhenti. Zarith menyindir rupa-rupanya.
“Saya selalunya just ignore him. Lama-lama dia bosan, dia akan pergi,”
“Selalunya? Jadi selalulah dia datang mengganggu di sini?,”
Arisa diam. Cuma meneruskan kerjanya yang terhenti. Selesai membilas sayur bayam, dia kembali mencari wajah Zariff.
“Awak nak mandi? Saya sediakan tuala,”
“Arisa, you tak rasa ke, you patut share your problem dengan I?,”
“Saya tak ada masalah,”
“I kenal manusia macam ex you tu. I tak tahu apa masalah you dengan dia, tapi I nampak niat dia yang tak baik. You tak boleh ambil mudah. You dedahkan adik-adik you dengan bahaya, tahu tak?,”
Arisa mengangkat muka. Menatap wajah Zarith.
“Maksud awak?,”
“I tahu niat lelaki tu tak baik. You biarkan Ati dengan dia. Ati tu budak-budak. Bercakap ikut perasaan. I faham kalau adik you marah. Tapi, silap hari bulan boleh buat ex-husband you marah pada dia. You kena ingat, Ati tu perempuan. Boleh you imagine kalau dia buat sesuatu yang buruk pada Ati?,”
Jantung Arisa berdegup kencang. Kenapa dia tidak pernah memikirkan kemungkinan itu? Kata-kata Zarith ada benarnya. Betapa lalainya dia sebagai seorang kakak.
“Thanks sebab ingatkan saya. I’ll do something about it,”
Zariff berpeluk tubuh. Ego wanita ini. Masih lagi mahu berdiri di atas kaki sendiri.
“I boleh tolong you,”
“No, thanks. Saya boleh selesaikan sendiri. Saya tak nak terhutang budi nanti. Pergilah mandi dulu. Maghrib dah nak masuk ni. Kalau awak nak makan kat sini, nampaknya kena makan lauk simple aje lah. Sebab saya tak sempat nak masak yang susah-susah,”
Zariff menghela nafas panjang. Terang-
“Tak nak cerita apa-apa kat I?,”
Arisa tersenyum sambil menggeleng perlahan. Tidak perlu dia kongsikan segalanya dengan Zariff. Dia boleh menghadapi segalanya sendirian.
“Degil,”
Arisa tersenyum lagi. Biarlah apa juga tanggapan Zariff padanya. Tidak penting padanya selagi dia tidak melanggar apa yang telah dia janjikan pada Zariff.
“I akan cuba cara lain. I nak kenal you,”
Arisa menjongket bahu. Tidak tahu apa pentingnya Zariff mengambil tahu tentang hidupnya. Juga tidak faham kenapa lelaki itu beria-ia benar mahu mencampuri urusan peribadi hidupnya.
“You pergilah. Jangan kacau I nak masak,”
“Okay. I pergi,”
Zariff melangkah pergi. Arisa menghela nafas panjang. Mula mencapai itu dan ini, dia perlu sedikan makan malam secepat yang mungkin.


****
[11:35:50 PM] hos.getah: