Wednesday, September 30, 2009

Duhai hati...2

Zaquan kaku di situ. Niatnya untuk menjauh terbatal. Melekat matanya pada seseorang. Bagai tidak percaya dengan apa yang dia lihat. Halaman rumahnya yang berkhemah panjang menjadikan suasana cukup riuh. Riuh dengan suara remaja-remaja yang dibawa oleh abangnya. Dan, seraut wajah itu cukup menarik perhatiannya.
“Zaq. Apa yang kamu tengok tu?,”
Zaquan tersentak. Berpaling.
“Along…,”
Wahyudi tersenyum panjang.
“Jangan main mata dengan anak murid Along,”
Zaquan tersenyum hambar. Gurauan abangnya dibalas sepi. Hatinya beku untuk terus bermain mata. Masih pedih ditinggalkan Mesha.
“Mana Haniff?,”
Zaquan membuang pandang. Malas mahu memberi jawapan. Terus memandang seraut wajah yang cukup menarik perhatiannya.
“Peminat Along tu. Kalau try pun, belum tentu dapat…,”Wahyudi bersuara lagi apabila melihat mata Zaquan terus melekat pada Balqis. Zaquan tergelak hambar.
“Hai… cikgu dengan anak murid mana boleh cintan-cintan?,”
Wahyudi tergelak besar.
“Just kidding…,”balasnya sambil menampar lembut bahu Zaquan. Zaquan diam tidak bereaksi. Dia lebih suka melihat tingkah gadis itu.
“Apa nama budak tu?,”
Wahyudi kerutkan kening. Merenung wajah Zaquan dengan riak tidak percaya.
“Kau jangan,Zaq. Bawah umur tu. Takkan budak sekolah pun kau nak try,”
“Apa pula bawah umur. Along cakap semua baru lepas SPM kan? Means, dah dekat-dekat nak cukup umur tu,”
Wahyudi menggeleng. Merenung sama ke arah Balqis yang sibuk mencapai lauk di pinggan Haikal. Tersenyum kecil melihat wajah Haikal yang kelat semacam.
“Jom,”
“Ke mana?,”
“Ikut ajelah,”
Zaquan akur. Bangkit dari kerusi di hujung halaman. Mengekori langkah abangnya.
“Assalamualaikum,”
Balqis menoleh. Tersengih. Ayam goreng yang ditarik dari tangan Haikal, dilepaskan perlahan-lahan.
“Cikgu. Waalaikumussalam. Cikgu dah makan? Nak makan? Saya ambilkan,”
“Hai…kau nak makan, ambil dari pinggan aku. Untuk cikgu, rajin pula kau nak pergi ambil ya?,”
Balqis menjeling. Haikal membuat muka selamba sambil menggigit ayam di tangan. Wahyudi tersenyum.
“Tak apa. Nanti saya ambil sendiri. Kenalkan, adik saya, Zaquan. Areef Zaquan,”
Balqis tersenyum. Haikal mengangguk perlahan, isyarat menyapa adik kepada gurunya itu. Zaquan tersenyum kecil. Senyum Balqis terlalu sama dengan senyum Mesha. Wajah gadis itu juga hampir sama. Tiba-tiba terasa semangat yang hilang kembali semula.
“Tak sangka rupa-rupanya cikgu ni, anak Datuk. Orang kaya rupanya. Kenapa cikgu jadi cikgu? Kalau saya, tak nak saya jadi cikgu. Duit banyak, baik kerja yang lagi glamour ,”Balqis bersuara sambil memandang sekitar halaman yang luas. Jamuan makan tengahari mereka ditanggung sepenuhnya oleh bapa gurunya ini.
“Kenapa? Jadi cikgu tak glamour ke?,”soal Wahyudi sambil berpeluk tubuh.
“Apa pula tak glamour. Kalau tak glamour, takkan Balqis ni boleh angau dengan cikgu,”Haikal menyampuk sambil mengangkat kening.
“Kau diamlah,”
Wahyudi ketawa kecil. Wajah Balqis sudah memerah. Zaquan tersenyum.
“Sembanglah dengan adik saya. Saya nak ke sana,”
Balqis Cuma mengangguk sambil mata tajam menjeling ke arah Haikal. Lelaki itu selamat kerana ada guru dan adik gurunya itu. Haikal tersengih.
“Kenapa? Macam marah aje…,”soalnya sengaja mahu menambah sakit hati Balqis. Balqis membuang pandang. Haikal bangun dari kerusi.
“Aku nak ambil makanan ni. Nak apa-apa tak?,”
“Tak nak,”
“Merajuklah kau…,”
Balqis menjeling. Haikal berlalu. Zaquan pula memerhati.
“Boyfriend ya?,”
Balqis tergelak. Memandang wajah Zaquan.
“Bukanlah,”
“Best friend?,”
Balqis menggeleng.
Zaquan menjongket bahu.
“Semua bukan. Nak kata musuh, nampaknya he cares about you. Takkan musuh kot. Kan?,”
Balqis tersenyum. Memandang ke arah Haikal yang sudah menyertai perbualan Cikgu Wahyudi bersama beberapa orang temannya yang lain.
“Besar betul rumah cikgu Wahyudi ni,”akhirnya dia bersuara sambil sekali lagi memerhati sekeliling. Zaquan tersenyum kecil. Tidak sangka, rupa-rupanya budak kecil ini pun, pandai mengalih topic bicara.
“Ermm… nak panggil apa ni , ek?,”sambungnya sambil memandang wajah Zaquan.
“Panggil apa?,”
“Yalah. Nak panggil apa? Encik Zaquan ke?,”Balqis melebarkan penjelasannya. Untuk ber’awak’ rasanya usia dia dengan lelaki itu agak berbeza. Berencik, seperti terlalu formal. Kau aku…bukan dia berbual dengan Haikal. Abang? Eiii….dia tersengih. Gatal.
“Zaq aje,”
Khayalannya menjauh. Wajah Zaquan dipandang.
“Oh… okay,”Balqis tersengih.
“Saya Balqis,”
Zaquan tersenyum.
“Ayah Zaq, mana?,”
“Office,”
“Zaq dah kerja? Zaq tak kerja ke hari ni?,”
Zaquan tersenyum.
“Balqis, tak perlu sebut nama saya berkali-kali macam tu. Pelik. Just you and I, or saya and awak..kau and aku. What ever. Zaq and Zaq and Zaq…pelik sangat bunyinya,”dia bersuara sambil menggaru kepala. Balqis tersengih.
“Ha ah. Memang pelik pun,”
Zaquan tergelak.
“So, berapa hari lawatan ni? Mana tempat dah pergi?,”
“Esok dah balik dah. Banyaklah jugak. Malas nak sebut. Bukan best pun,”
“Tak best? Tak best kenapa join?,”
“Saja. Nak jalan-jalan. Kenal tempat orang. Bukan selalu boleh jalan-jalan macam ni. Yalah… saya bukan anak orang senang. Ada peluang macam nilah, boleh luaskan pandangan,”
“So, enjoy ke berada kat tempat orang?,”
“Kat kampung saya lagi best. Tak payah pening kepala kena asap kenderaan. KL ni, crowded sangat. Rimas,”
“Belum biasa, memang macam tu,”
Balqis tersenyum.
“So, apa plan lepas habis exam?,”
“Sambung belajarlah,”
Zaquan berpeluk tubuh.
“Oh…kat mana yang terlintas di fikiran?,”
“Hm… yang terlintas tu, banyak sangat. Tengoklah rezeki nanti,”
Zaquan tersenyum lebar. Terlalu kebudak-budakan jawapan itu. Dan, kenapa dia perlu melayan gadis semuda ini?
“Awak dah habis belajar? Ke masih belajar?,”
Soalan itu membuat pandangannya kembali ke wajah Balqis.
“Dah kerja. Baru kerja,”
“Kerja apa?,”
“Kerja tak glamour,”
Balqis tersengih. Zaquan diam sambil terus berpeluk tubuh. Konsentrasinya sedikit terganggu apabila bunyi telefon bimbitnya mengganggu suasana. Dengan malas, telefon dikeluarkan dari poket seluar. Haniff! Telefon segera dimatikan.
“Kenapa tak jawab?,”
“Bukan panggilan penting. So, I nak masuk dalam kejap. Pergilah makan,”
“Okay. Nanti saya makan,”
Zaquan tersenyum sebelum berlalu. Meninggalkan Balqis bersama sengih panjang. Dia kembali mencari bayang Cikgu Wahyudi. Gurunya itu memang penuh dengan kejutan. Kaya. Punya adik yang kacak pula. Dia tersenyum lagi. Terfikir, bagaimanalah dia mahu uruskan angaunya nanti. Wajah Cikgu Wahyudi sudah pun memikat hatinya. Kini, ditambah pula dengan wajah Zaquan. Dalam senyum dia melangkah. Baru dua langkah, dia sudah jatuh terduduk.
“Sorry,”
“Aduh…,”
“Sorry dik. Tak sengaja,”
Perlahan dia mengangkat punggung. Terkebil-kebil melihat wajah kalut seorang lelaki.
“Aik! Cepatnya awak tukar baju,”dia bersuara sambil perlahan-lahan bangun. Belakang punggung disapu perlahan. Sedikit sengal rasanya.
“Awak okay? Sorry. Saya betul-betul tak perasan. Nak cepat,”
Balqis ternganga. Pelik melihat Zaquan sudah berubah imej. Berkemeja. Bertali leher. Dan, kenapa lelaki itu tidak muncul dari arah banglo besar di hadapannya?
“Kata nak masuk ke dalam. Tapi, awak datang dari arah luar,”
“Awak salah orang kot,”
Balqis tergelak.
“Macamlah saya tak cam muka awak,”
“Sekejap ya,”
Balqis mencebik.
“Along, Zaq mana?,”
Mendengar soalan lelaki di hadapannya ini, Balqis sudah mula garu kepala. Zaq? Terkebil-kebil dia melihat wajah lelaki di hadapannya, kemudian memandang pula ke arah Cikgu Wahyudi yang semakin mendekat.
“Zaq mana?,”sekali lagi soalan yang sama meluncur dari bibir lelaki itu.
“Entah. Mana Zaq, Balqis?,”
“Err…ni..?,”
Wahyudi tersenyum. Faham dengan dilemma pelajarnya itu.
“Haniff. Zaq’s twin,”
“Oh…kat dalam…Zaquan cakap dia nak masuk dalam kejap,”
Haniff mengeluh pendek sambil memandang jam di tangan.
“Along tolong ambil barang dalam kereta saya ya. Gift untuk budak-budak ni. Dari papa. Sorry Along. Susahkan along pula. Ganngu Along nak layan student Along. Nanti saya mintak Tumira tolong sekali,”
“Tak jadi hal pun,”
“Saya nak cepat ni. Ada meeting lagi sejam. Rush balik kejap sebab nak hantar barang ni. Call Zaq minta dia tunggu kat luar, dia tak jawab pula. Papa, maybe tak dapat nak jumpa budak-budak ni. Dia kirim salam. Dia sibuklah Along,”
Balqis berpeluk tubuh. Melihat sahaja kembar Zaquan yang kelihatan cukup kelam- kabut itu. Melangkah bersama Cikgu Wahyudi, menuju ke pintu pagar.
“Hensem lagi…,”keluhnya sambil menggeleng perlahan. Angaulah aku… dia tersenyum sendirian dengan rungutan hatinya sendiri.

****

Tuesday, September 29, 2009

Duhai hati...1

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA PEMBACA YANG DISAYANGI.
HMM... UNTUK SAMBUNG E-NOVEL YANG LAIN, MASIH BELUM ADA KESEMPATAN DAN RUANG WAKTU.
CUMA MINI SERIES LOVE STORY AJE YANG MAMPU TERLINTAS DI KEPALA.
HARAP MAMPU BUAT BERSIHKAN SAWANG DI BLOG NI. :D


“Aku nak duduk situlah,”
“Mengada-ngada. Aku yang cop dulu. Kau duduk belakang. Pompuan semua kat belakang. Blah..blah…,”
“Blah mangkuk kau. Aku tak kira. Aku nak duduk sini,”
Kepala Haikal sudah tedorong ke hadapan.
“Siot kau! Tunjal kepala pulak. Ini yang aku hangin ni!,”
Balqis bercekak pinggang. Tercegat menunggu Haikal bangun. Renungan tajam lelaki itu bagai tidak memberi apa-apa kesan padanya.
“Nak lawan, jomlah…,”cabarnya berani.
Haikal mencebik sambil membetulkan rambut yang sedikit hilang kemasnya dek kerana jemari Balqis. Malas melayan amarah gadis itu.
“Malas aku nak layan kau,”
Balqis menahan nafas melihat wajah selamba Haikal. Inilah yang sering mengundang geramnya.
“Bangunlah! Aku nak duduk sini!,”Balqis mula menjerit sambil tangannya kuat menarik lengan Haikal. Haikal tersengih sambil terus membuat muka selamba. Mematung di kerusi sambil keraskan badan.
“Ika!,”
Haikal bangkit serta-merta. Membutang merenung wajah Balqis. Terkejut dengan panggilan gadis di hadapannya itu. Sekaligus menyedari kini semua mata kertumpu padanya. Balqis tersengih sambil mengangkat kening. Padan muka!
“Kau duduk belakang. Aku nak duduk sini,”sekali lagi dia memberi arahan.
“Mimpilah kau. Aku nak duduk sini. Aku yang sampai dulu. Aku yang duduk dulu,”
“Please… Ika….,”
Bulat mata Haikal merenung wajah gadis di hadapannya. Geram melihat senyum pura-pura bersama kedip-kedip mata Balqis.
“Diamlah,”getusnya geram.
“Pleaselah Ika,”
“Siapa Ika?,”satu suara membuat Balqis berpaling. Tersenyum sambil laju jari telunjuknya lentik menunding ke bahu Haikal. Tersenyum lebar melihat muncung panjang Haikal. Habislah macho Haikal hari ini. Jatuh saham hero sekolah yang seorang ini. Balqis tergelak kecil.
“Ika? Haikal Ika?,”separuh bas mengalun soalan yang sama. Balqis tergelak sedang Haikal kuat mencengkam jemari. Geram bercampur cuak.
“Kau memang cari pasallah,”dia menggumam geram.
Balqis sekadar kenyitkan mata. Beg sandangnya dicampak ke kerusi. Pantas Haikal mencapai lalu dihumban semula ke dada gadis itu. Cepat-cepat melabuhkan punggung semula.
“Aku nak duduklah,”
Haikal menjeling. Tidak mengacuhkan kata-kata itu.
“Kenapa kau panggil Haikal, Ika?,”
Balqis menoleh. Rakan sekelasnya yang mengajukan soalan rupanya.
“Sebab…,”
Spontan Haikal berdiri semula. Dengan wajah mencuka dia bergerak mengalah.
“Dah. Duduk situ. Aku duduk belakang,”
Balqis tersenyum kemenangan.
“Love you bebeh,”
Haikal mencebik. Mencapai begnya. Baru sahaja mahu bergerak ke belakang, dia berpaling. Memandang wajah Balqis yang tersengih kemenangan. Tersandar ke kerusi.
“Kau ada minyak angin tak?,”
Balqis menggeleng.
“Panadol?,”
Balqis menggeleng lagi. Dia diam. Cuma tangannya laju menyelongkar beg.
“Nah,”
Balqis tersengih. Panadol dan minyak angin yang Haikal hulurkan disambut bersama senyum manis.
“So sweet. Terima kasih. Jajan ada? Kacang? Sweets?,”
“Hatuk kau! Pergilah beli sendiri,”
Balqis mencebik. Botol minyak angin dan sepapan panadol dimasukkan ke dalam poket beg sandang. Memang dia terlupa. Nasib baik Haikal tolong bawakan. Sudah faham sangat barangkali dengan penyakitnya itu. Cepat pening. Cepat mabuk!
“Hey, Qis. Kau tak cakap lagi. Kenapa kau panggil Haikal tu, Ika,”sekali lagi soalan itu menyapa telinga. Balqis tersengih sambil membetulkan duduk di kerusi bas. Satu-satunya tempat duduk di tepi tingkap. Yang lain semuanya sudah berpenghuni. Terpaksa dia berebut dengan Haikal. Setelah mendapat keselesaan, dia memandang wajah Ieja. Gadis yang sibuk bertanya. Bersedia untuk bercerita.
“Kau nak tahu?,”
“Naklah…,”
Balqis tersengih.
“Meh dekat sikit. Aku cerita,”
Ieja akur.
“Balqis! Kau ingat aku tak nampak ke?,”
Balqis tersengih lagi. Suara Haikal terdengar keras di telinganya.
“Tak boleh cakaplah. Dia nampak tu,”
“Alaa.. bisik kat aku je,”
Balqis tinggikan leher. Dia tersenyum kecut. Haikal sudah tercegat di tempat duduk belakang. Bencana alam. Nampaknya seperti tunggu masa untuk buat serangan sahaja.
“Lain kalilah aku cakap,”
Ieja mengeluh sambil mencebik. Kemudian berlalu ke kerusinya. Balqis menoleh sekali lagi. Haikal masih bersama wajah geramnya.
“Relax la. Takkanlah aku nak cerita kat orang kau suka make up masa kecik-kecik,”
“Hah?,”
Balqis kelu. Ramainya suara terkejut. Dan, muka Haikal yang mencuka, memerah tiba-tiba. Dia tersilap cakap ke? Kepala digaru perlahan.
“Kau memang nak kenalah,”
“Apa? Aku cakap apa?,”
Haikal meluru laju ke arahnya.
“Cikgu!!!!,”kuat Balqis menjerit. Habislah dia kalau lelaki ini mengamuk. Cepat-cepat dia melangkah dari tempat duduknya. Berlari laju menuju ke bahagian hadapan bas. Lebih laju apabila dia sedar Haikal mengejarnya. Cikgu Wahyudi! Cepat-cepat dia bersembunyi di belakang badan sasa cikgu pujaannya.
“Kenapa ni?,”
Balqis mengangkat muka. Merenung wajah lawa milik Cikgu Wahyudi. Sempat dia mengukir senyum manis walau rasa kecut dikejar Haikal masih bersisa.
“Haikal nak pukul saya cikgu,”
“Haikal?,”
Haikal tercegat dengan wajah geram. Pandai pula gadis ini melindungi diri.
“Apa hal ni?,”
“Tak ada apa-apa cikgu,”perlahan dia menjawab dengan suara tertahan.
“Kalau tak ada apa-apa, kamu berdua balik ke tempat duduk masing-masing. Kita dah nak bergerak,”
Balqis diam seketika. Selamatkah dia untuk kembali ke sana? Dia pandang wajah Haikal. Dari wajah itu, dia sudah tahu apa yang sedang bermain di hati Haikal.
“Err… cikgu duduk sebelah saya boleh? Saya takutlah,”
Cikgu Wahyudi tersenyum. Haikal pula, mencebik panjang.
“Takut konon, Cakaplah kau nak ngorat cikgu Wahyudi. Kan? Cikgu, Balqis ni, sebenarnya dah lama suka kat cikgu. Sebab tu dia tak pernah ponteng kelas fizik. Tapi, kalau kerja rumah, semuanya bukan dia yang buat cikgu. Dia tiru saya,”
“Ika!,”
“Apa? Betul apa semua aku cakap tu,”
“Kau memang hantulah,”hilang sudah semua takutnya. Terus dia keluar dari tempat persembunyian. Malu dengan cerita Haikal, walau hakikatnya semua itu adalah kisah benar. Laju tangannya mengetuk kepala Haikal. Memukul bahu dan belakang Haikal.
“Oit! Sekarang siapa yang nak pukul siapa pulak ni?,”Cikgu Wahyudi mula kelam - kabut.
Haikal menunduk. Langsung tidak sempat hendak membalas. Inilah lecehnya kalau perempuan sudah mengamuk.
“Balqis! Sudah!,”Cikgu Wakyudi bersuara sambil memegang bahunya. Membuat pukulannya terhenti tiba-tiba. Lupa dia bertindak ganas di hadapan cikgu pujaan. Mesti jatuh sahamnya di mata Cikgu Wahyudi.
“Cukup. Kan saya gugurkan nama awak berdua dari lawatan ni. Kamu berdua nak digugurkan?,”
Haikal diam dan Balqis menggeleng laju. Seminggu dia memujuk ibunya untuk menyertai lawatan ini. Takkan mungkin dia mahu namanya digugurkan begitu sahaja.
“Dia ni cikgu. Suka buat cerita. Kalau yang best tak apalah jugak. Ini cerita tak best,”rungut Balqis geram, sambil sempat menolak bahu Haikal yang tunduk menggosok lengan. Lebam dek menahan pukulan Balqis.
“Tak best apanya. Best la tu. Cerita ada orang minat kat saya,”selamba Cikgu Wahyudi bersuara. Membuat Haikal tergelak sambil terus menggosok dahi dan bahunya. Balqis menarik muka. Laju meninggalkan Cikgu Wahyudi dan Haikal. Wajah teman-teman yang tersengih-sengih, diabaikan begitu sahaja. Malu sungguh rasanya. Terdengar di telinganya gelak kecil Haikal yang mengekorinya dari belakang.
“Diamlah,”bentaknya tanpa berpaling.
“Apa pulak? Suka hati akulah. Mulut aku. Aku nak gelak, kau bukan boleh tahan,”
“Aku kata diam, diamlah,”
“Aku dah tolong kau luahkan perasaan kau kat cikgu Yudi. Bukannya nak berterima kasih,”
Balqis berpaling. Merenung tajam wajah Haikal yang tersengih panjang.
“Tak cukup lebam tu ya? Nak aku tambah?,”
“Aku cakap kat Cikgu Yudi, kau balik rumah. Nak? Aman kot rasanya kalau aku bercuti tanpa kau…,”
Balqis merengus geram. Tunduk memandang kaki Haikal yang Cuma bersandal. Perlahan dia mendongak. Tersenyum sambil mengangkat kaki. Sekuat hati dia memijak kaki Haikal sambil tersengih panjang.
“Aduh! Sakitlah toyol!,”
“Kenapa tu?,”suara Cikgu Wahyudi meninggi. Haikal menyeringai kesakitan sambil mengangkat kaki.
“Ops! Sorry… sorry… Sorry Eykal. Aku tak sengaja. Tak perasan kau ada kat belakang. Sakit ke? Sorry sangat-sangat. Aku ada minyak urut. Kau nak?,”laju Balqis membuat kalut sebaik dia melihat Cikgu Wahyudi sudah berdiri dari tempat duduknya.
“Siap kau Qis. Kau hutang aku…,”
Balqis tersenyum. Puas hati walaupun ada sedikit rasa kasihan melihat keadaan Haikal. Kulit Haikal yang cerah, jelas sudah lebam-labam dek pukulannya tadi. Dan kini, kaki lelaki itu pula menjadi habuan. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi sambil memerhati Haikal berlalu ke tempat duduk belakang. Seketika sahaja dia duduk, dia kembali bangkit. Dari tempat duduknya dia berpaling.
“Sakit?,”soalnya sepatah sambil matanya memandang Haikal.
“Sedap leee..,”
Balqis tersengih. Laju tangannya menyelongkar beg sandang. Minyak angin yang Haikal berikan padanya sebelum ini, dikeluarkan semula.
“Aku sapu minyak, ek?,”
Haikal cuma menjeling. Balqis tersengih sambil bergerak menghampiri Haikal. Tidak sampai hati membiarkan Haikal menahan sakit sendirian.
“Lain kali janganlah sakitkan hati aku…,”dia merungut perlahan sambil menolak seorang temannya yang duduk di sebelah Haikal. Mencari ruang untuk duduk di sebelah Haikal.
“Kot ya pun, cakaplah. Boleh tumpang duduk ke… tepi sikit ke… Ni main tolak-tolak pulak. Kurang ayu betullah kau ni Qis,”
Balqis tersengih. Teman yang ditolak sudah merungut.
“Sorry Din. Dinda tumpang duduk di sini ya, kanda Din. Andai tidak menyusahkan, bolehlah kiranya kanda Din duduk dulu di tempat dinda ya. Barang seminit dua cuma. Habis tugas dinda di sini, kanda Din kembalilah semula ke sini ya?,”
Izzuddin mencebik. Terus mengangkat punggung menuju ke tempat duduk Balqis. Balqis tersengih sambil membuka botol minyak ubat di tangan.
“Aku sapu minyak kat kaki kau ya?,”
Haikal diam.

***

Tuesday, September 1, 2009

Kuseru Rindu Itu... 24

Dalam diam, Hisyam terus memerhati Idayu yang asyik melayan kerenah Syafiq. Mengajar anak tunggalnya itu membaca. Melihat tingkah isterinya itu, cepat sahaja kata-kata Nora siang tadi kembali bertenggek di fikirannya. Dia buntu dengan perubahan Idayu sejak akhir-akhir ini. Dia binggung menanggapi soalan Idayu yang pelik-pelik. Rupa-rupanya itulah punca perubahan Idayu. Risaunya ternyata berasas. Tekaannya juga tepat. Namun, kenapa Idayu berdiam diri? Ingin sahaja dia meminta penjelasan dari seulas bibir yang penuh dengan senyuman itu. Mengapa Idayu perlu berahsia? Mengapa Idayu mahu sembunyikan apa yang dia tahu? Mengapa Idayu tidak berterus-terang sahaja padanya? Persoalan demi persoalan semakin lama terasa semakin mendera hati lelakinya. Mahu dilontarkan semuanya pada Idayu. Namun, keberanian tidak pernah muncul bersama rasa ingin tahunya yang membuak-buak itu. Dia takut untuk membuka pekungnya sendiri. Dia takut untuk bercerita tentang kebenaran meskipun dia tahu, Idayu sudah maklum tentang itu.
“Abang…Abang tak ada pilihan. Kalau ada pun hanya dua pilihan saja. Sama ada abang terus berahsia dan belajar berbohong. Atau abang tak usah lagi berahsia. Biarkan kebenaran yang muncul. Abang kena ingat. Bila kita bermain kayu tiga, rahsia dan pembohongan itu datang dalam satu pakej. Abang tak boleh pisahkan pakej tu. Pilihan yang abang ada, cumalah... abang terima pakej itu dan jadi pembohong yang baik, atau pun abang tolak pakej itu. Dan biarkan isteri abang tahu segala kebenaran tentang hubungan kita. It just as simple as that,”
Tiba-tiba kata-kata Maisara muncul di fikiran. Permintaan agar hubungan mereka tidak lagi dirahsiakan. Sangkanya akan ada satu hari, di mana keberanian akan muncul. Hari di mana dia memiliki kekuatan untuk berterus-terang Idayu. Namun, saat ini dia teramat sedar. Hari itu memang tidak akan muncul. Dia, sebenarnya langsung tidak memiliki kekuatan itu. Dia menjadi begitu kerdil di sisi Idayu. Haruskah dia lupakan sahaja hubungannya dengan Maisara? Padahal ada cinta yang meranum di hatinya untuk gadis itu. Cinta yang membuka satu jalur bahagia baru untuknya. Bagaimana pula dia hendak berterus-terang pada Idayu? Padahal tiap tingkah Idayu langsung tiada sumbangnya untuk dia lukakan hati isterinya itu. Dia benar-benar tersepit. Benar-benar buntu.
“Hai Syam…tajam renungannya tu,”
Hisyam tersentak. Pandangannya beralih. Mak Teh tersenyum sambil meletakkan cawan kopi pekat kegemarannya di atas meja.
“Minum?,”pelawa Mak Teh sambil terus mengamati wajah majikannya itu.
“Terima kasih, Mak Teh,”
Perlahan Mak Teh melabuhkan punggung ke sofa.
“Kenapa ni?,”Mak Teh mula bertanya. Ingin mencungkil apa yang tersimpan di hati Hisyam. Entah kenapa hatinya terdetik rasa risau melihat tingkah Hisyam. Yang pasti, renungan Hisyam pada Idayu tidak seperti selalu. Cukup dalam renungan itu. Penuh dengan kesayuan di mata Hisyam.
“Kenapa? Kenapa apa?,”soal Hisyam, sedikit hairan dengan soalan yang tiba-tiba meniti di bibir pembantu rumahnya itu.
“Mak Teh Nampak…,”
Hisyam tersenyum kecil.
“Mana ada apa-apa, Mak Teh. Saya cuma tengok Ayu dengan Sayfiq. Itu saja,”
Mendengar jawapan itu, Mak Teh tersenyum panjang.
“Syam…Syam… dah lama Mak Teh tinggal dengan kamu. Rasanya Mak Teh dah masak benar dengan perangai kamu. Mak Teh rasa ada benda yang mengganggu kamu ni. Renungan kamu tu ada dua makna. Pertama, renungan orang tengah bahagia. Kedua, renungan orang serba-salah. Hati Mak Teh beritahu, renungan kamu tu, jatuh pada renungan yang kedua,”
Mendengar kata-kata itu, Hisyam tersenyum kecil. Entah kenapa, sejak dari dulu, apa sahaja yang bermain di hatinya, cukup senang dibaca oleh pembantu rumahnya itu.
“Kenapa Mak Teh cakap macam tu?,”
Mak Teh cuma tersenyum nipis.
“Apa masalahnya? Mana tahu kalau-kalau Mak Teh boleh tolong?,”
“Tak ada apa-apalah, Mak Teh. Mak Teh pun tengok kan? Saya dengan Ayu baik-baik saja. Mana ada apa-apa masalah?,”
Mendengar jawapan itu, lama wajah Hisyam direnung. Mencari kebenaran di wajah itu. Renungan yang membuat Hisyam sedikit gundah. Sudahnya dia tergelak kecil. Cuba menutup rasa gundahnya.
“Harap-harap Hisyam tak tipu Mak Teh,”akhirnya Mak Teh bersuara tenang. Hisyam tersenyum.
“Lagi satu. Mak Teh Cuma Tanya apa masalah kamu. Yang kamu cepat-cepat beritahu kamu dengan Ayu tak ada masalah tu, kenapa? Memang kamu berdua ada masalah kan? Bertengkar?,”tokok Mak Teh dengan nada sedikit menyindir.
Hisyam terdiam mendengar soalan itu. Ternyata dia hampir terperangkap dengan jawapannya sendiri. Apa yang mampu dia lakukan cuma mengukir senyum selebar mungkin. Mak Teh menggeleng perlahan.
“Mak Teh ni, kalau bab korek rahsia orang, memang expert betul,”rungut Hisyam sambil tersengih. Membuat Mak Teh tersenyum kecil. Hisyam menarik nafas panjang sambil bersandar ke sofa. Senyumnya semakin melebar melihat Idayu bergerak ke arahnya. Meninggalkan Syafiq leka bersama buku mewarnanya.
“Berbual pasal apa ni? Bukan main lebar senyumnya,”tegur Idayu bersama senyum yang mekar di bibir. Hisyam turut tersenyum sambil mencapai jemari isterinya. Menarik perlahan agar Idayu melabuhkan punggung di sebelahnya. Idayu menurut sambil terus memandang wajah ceria Hisyam dan wajah kelat Mak Teh. Cukup kontra.
“Tak nak kongsi dengan Ayu ke? Atau… tengah mengumpat Ayu ya?,”melihat Hisyam terus membisu, Idayu mangajukan soalan dengan nada serius yang dibuat-buat. Hisyam terus tersenyum sambil mengusap lembut jemari Idayu di ribaannya.
“Mak Teh nak jadi PI malam ni,”Hisyam bersuara sambil memandang wajah Mak Teh.
“PI? Nak siasat apa Mak Teh?,”soal Idayu bersama gelak kecil.
“Mak Teh nak soal siasat kita,”selamba Hisyam bersuara lagi. Memandang wajah pembantu rumahnya itu sambil mengangkat kening. Membuat Mak Teh memuncung panjang.
“Mak Teh tanya betul-betul, kamu loyar buruk ya, Syam…,”
Hisyam tergelak.
“Tanya apa ni?,”Idayu bertanya lagi. Benar-benar tidak tahu apa yang sedang Hisyam dan Mak Teh bualkan. Dan, mengapa wajah Mak Teh begitu serius?
“Kalau tak ada apa-apa masalah, tak apalah. Alhamdulillah. Kalau kamu berdua nak rahsiakan dari Mak Teh pun, tak apalah. nak buat macam mana. Mak Teh tahu, siapalah Mak Teh ni, kan? Cuma satu saja yang Mak Teh minta. Kalau ada masalah ke..selisih faham ke…selesaikanlah elok-elok,”perlahan sahaja kata-kata itu meniti di bibir Mak Teh.
Idayu memandang wajah yang kelihatan muram itu. Kemudian beralih ke wajah Hisyam. Betul-betul dia tidak faham. Senyum lebar sudah hilang di bibir lelaki itu. Membuat Idayu bertambah binggung dengan perbualan yang tidak dia ketahui hujung pangkalnya.
“Abang…,”dia bersuara perlahan. Merenung wajah Hisyam, menagih penjelasan. Hisyam pula tumpukan perhatian pada wajah tua di hadapannya.
“Mak Teh.. Mak Teh cakap apa ni? janganlah cakap macam ni. saya minta maaf kalau Mak Teh tersinggung. Saya tak bermaksud macam tu. Saya bergurau saja. Mak Teh jangan cakap macam ni lagi. Mak Teh sendiri tahu, kami dah anggap Mak Teh sebahagian daripada keluarga kami. Mak Teh orang yang paling penting dalam hidup kami. Banyak perkara yang tak ada siapa tahu, tapi, Mak Teh tahu. Mak Teh yang lebih dekat dengan saya dan Ayu. Maafkan saya ya,”Hisyam bersuara perlahan sambil menggenngan tangan tua di hadapannya. Berusaha memujuk Mak Teh yang ternyata tersinggung dengan kata-katanya. Mak Teh tersenyum sayu. Memandang wajah Hisyam dan Idayu bergilir-gilir.
“Nak…sebab Mak Teh tahu apa yang orang lain tak tahulah… tiba-tiba Mak Teh rasa susah hati. Jangan buat perangai macam dulu ya. Mak Teh sayang kamu berdua ,”pinta Mak Teh bersungguh. Idayu terkebil-kebil.
“Perangai apa, Mak Teh?,”Hisyam bertanya. Kurang mengerti dengan kata-kata itu.
“Yalah. Buat perangai macam masa baru-baru kahwin dulu. Jangan nak berselindung. Nak tipu orang sekeliling kamu. Berlakon macam tak ada apa-apa masalah. Bukan Mak Teh tak tahu. Kamu ni, pelakon hebat,”
Hisyam tergelak mendengar kata-kata itu. Idayu tersenyum lucu. Walau dia tidak tahu apa pokok perbualan Hisyam dan Mak Teh, tetapi dia maklum maksud kata-kata wanita itu.
“Betul Mak Teh. Saya tak berlakon. Lagipun, sehebat mana pun lakonan saya, mesti kantoi juga depan Mak Teh. Kan?,”ujar Hisyam bersahaja. Dia memandang wajah Idayu yang turut merenungnya. Kata-kata Mak Teh membuat dia teringat semula pada nostalgia lama. Kisah di awal perkahwinannya dengan Idayu.
“Baguslah kalau macam tu,”balas Mak Teh sambil mengangkat punggung.
Hisyam cuma mengangguk. Idayu pula sekadar memerhati langkah wanita separuh umur itu. Kemudian berpaling mencari wajah suaminya.
“Apa sebenarnya yang abang cakap dengan Mak Teh? Sampai Mak Teh merajuk tu?,”
Hisyam menjongket bahu sambil melingkarkan tangannya ke bahu Idayu. Matanya terarah ke screen televisyen yang terpasang sejak tadi.
“Abang…cakaplah,”
Hisyam mengeluh perlahan. Memandang wajah Idayu yang kelihatan sedang menunggu cerita darinya. Wajah tenang yang sentiasa menyenangkan hatinya. Lama matanya melekat di wajah itu. Membuat dia tertanya-tanya, kenapa dia tidak pernah bosan menatap wajah itu?
“Abang… Ayu tunggu ni,”
Hisyam tersenyum sambil menarik perlahan hidung Idayu.
“Tak ada apa-apalah,”akhirnya dia bersuara lembut.
“Kalau tak ada apa-apa takkan Mak Teh ungkit cerita lama?,”
“Entahlah. Abang pun tak tahu. Mungkin dia rasa kita ada sembunyikan sesuatu dari dia,”
Idayu diam. Hisyam turut membisu. Memikirkan rahsia yang tersimpan di hati masing-masing. Seketika matanya di kaca televisyen sebelum renungannya kembali mencari seraut wajah Idayu. Lama menatap wajah itu dengan pelbagai persoalan berlegar di hati. Kenapa tidak ada sedikit pun riak cemburu dan marah pada wajah itu? Ingin sahaja dia bertanya ke mana hilangnya rasa cemburu dan sakit hati Idayu? Bagaimana Idayu boleh menghadapi kecurangannya setenang itu? Namun, soalan itu seperti biasa sekadar mampu melantun di relung hati. Memang dia seorang pengecut. Tidak berani melantunkan soalan yang bakal membongkar rahsianya selama lebih setahun. Apa sebenarnya yang dia takut? Dia sendiri kurang pasti. Dia takut untuk melukakan hati Idayu atau dia takut menghadapi sikap tenang Idayu? Sungguh ketenangan itu membuat dia gerun.
“Abang…,”Idayu bersuara sambil mencuit hidung Hisyam dengan jari telunjuknya. Renungan Hisyam membuat dia resah. Walau tujuh tahun telah berlalu, ternyata renungan itu tetap membuat jantungnya berdegup kencang.
“Kenapa?,”soal Hisyam tanpa mengalihkan pandangan.
“Janganlah pandang Ayu macam tu,”
Hisyam tergelak mendengar jawapan itu.
“Kenapa ya? Abang tak pernah jemu pandang wajah Ayu?,”ujarnya perlahan sambil jemarinya membelai lembut wajah Idayu. Idayu cuba mengukir senyum semanis mungkin. Ternyata pujian itu perlahan-lahan mengguris luka di hatinya. Mendengar kata-kata Hisyam,membuat dia tiba-tiba teringat pada gadis cantik yang bertakhta di hati suaminya itu. Membuat hatinya cepat disambar api cemburu. Tiba-tiba sahaja dia mendengar pujian dan kata-kata manis yang sama diluahkan Hisyam pada gadis itu. Perlahan dia pejamkan mata. Ingin membuang sejauh mungkin andaian-andaian yang menyakitkan hati itu. Dia tidak mahu fikir tentang itu semua. Dia tidak mahu cemburu itu merosakkan rasa bahagia yang sedang membalut hatinya saat ini. Dia mahu menikmati rasa bahagia ini sepenuhnya sementara Hisyam masih sudi menghulurkan rasa itu padanya. Sementara Hisyam masih belum mahu singkirkan dirinya. Dia menarik nafas sedalam mungkin sebelum perlahan-lahan membuka mata. Bersua dengan wajah Hisyam yang begitu hampir, membuat dia tersentak. Pantas bergerak ke belakang sambil menahan tubuh itu dari terus merapatinya.
“Abang… janganlah. Nanti orang nampak,”
“Orang? Mana ada orang? Mak Teh dah bawa Syafiq masuk tidur. Mana ada orang lain lagi dalam rumah ni?,”rungut Hisyam bersama keluhan kecil. Idayu tersenyum manis.
“Memang tak ada. Tapi, Ayu nak cakap sikit,”balas Idayu membuat Hisyam mengeluh panjang.
“Cakap esoklah,”
“Tak nak. Ayu nak cakap sekarang,”
“Okay. Dua minit. Cepat sikit,”
“Abang…,”
Hisyam tergelak melihat mata Idayu sudah membulat. Geram.
“Okay… okay… apa dia?,”
Idayu tersenyum sambil membetulkan duduk.
“Pasal Syafiq. Minggu depan birthday dia kan? Kita buat makan-makan sikit nak?,”
“Good idea. Abang setuju. Nanti abang call Shahrul. Dia tentu seronok nak sambut birthday anak saudara dia yang seorang tu,”
Idayu tersenyum. Setuju dengan cadangan itu.
“Kita nak buat kat mana? Fastfood restaurant atau kat rumah?,”soal Hisyam sambil meneguk kopi yang sudah agak lama terhidang di hadapannya.
“Hmm… tahun lepas dah celebrate kat luar kan? Tahun ni, buat kat rumah ya? Lagipun Ayu nak minta Mak Teh masakkan pulut kuning. Teringin nak makan,”
“Syafiq yang teringin ke… mama Syafiq yang teringin?,”usik Hisyam sambil tersenyum panjang.
“Ayu…,”balas Idayu panjang sambil menjeling manja. Hisyam tersenyum senang menanggapi rajuk manja itu.
“Kalau macam tu, abang pun ada sesuatu nak cakaplah,”
“Apa dia?,”soal Idayu tanpa memandang wajah Hisyam. Fokusnya kini pada televisyen. Hisyam mencapai alat kawalan jauh. Menekan button swith off. Idayu berpaling sambil mengerutkan kening.
“Kenapa tutup? Ayu nak tengok,”
“Cerita tak best. Apa yang abang nak cakap ni, lagi best,”
“Okay. Apa dia? Ayu bagi masa dua minit. Cepat sikit,”
Hisyam tergelak.
“Cepat. Time is running out…,”
“Nakal,”bisik Hisyam sambil tersenyum. Membuat Idayu turut tersenyum. Bahagia apabila satu ciuman singgah di pipinya.
“Well… minggu depan Syafiq dah genap lima tahun kan? Ayu tak rasa ke, dah tiba masanya Syafiq punya adik?,”
Idayu terkedu mendengar soalan itu. Hisyam inign mempunyai seorang lagi anak dengannya? Sungguh dia tidak faham dengan sikap Hisyam. Sampai masa untuk Hisyam bersama dengan kekasihnya, pasti dirinya akan Hisyam singkirkan. Mana mungkin Hisyam perlukan dirinya lagi, kalau hatinya sudah terisi dek cinta si gadis cantik itu. Sungguh dia buntu. Kata-kata Hisyam seolah-olah lelaki itu mahu terus bersama dengannya. Kalau Hisyam tidak berhasrat untuk meninggalkannya, mengapa Hisyam menjalin hubungan dengan gadis itu? Apa sebenarnya yang Hisyam inginkan? Apa sebenarnya yang sedang bermain di hati Hisyam saat ini?
“What do you think?,”bisik Hisyam di telinga Idayu. Nafas Idayu seakan tersekat. Bibirnya bergerak namun, tidak tahu apa yang harus diucapkan.
“Abang serius ke?,”akhirnya dia bersuara perlahan. Membalas renungan Hisyam yang redup. Dia terkebil-kebil saat Hisyam mengangguk perlahan. Ternyata Hisyam serius. Satu kejutan buatnya.
“Ayu setuju?,”
Idayu cuma mampu tersenyum dan terus tersenyum. Tiada jawapan untuk permintaan itu. Satu lagi kejutan Hisyam yang membuat dia keliru.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: