Monday, May 14, 2012

BIARKAN YM TERUS BICARA 7


“Selamat hari lahir, abang,”ucapku bersama senyum yang mekar di bibir. Abang Kamal cuma menjawab dengan sekuntum senyum. Senyum yang tidak begitu lebar. Pasti masih ada rasa geram padaku.
              “Selamat hari lahir, Kamal…,”Encik Firdaus pula menghulurkan ucapan.
              Aku sekadar memerhati tangan Encik Firdaus yang erat menjabat tangan Abang Kamal. Abang Kamal cuma mengangguk. Kemudian melabuhkan punggung ke sofa, bersama-sama dengan Encik Firdaus.
              “Birthday boy mana boleh serius sangat…,”tegurku cuba mengusik Abang Kamal yang memang kelihatan amat serius. Abang Kamal tersenyum nipis. Memandang sekilas pada Encik Firdaus sebelum pandangannya jatuh ke wajahku.
              “Tak perlu semua ni sebenarnya. Tiha pun tahu abang bukan suka sambut benda-benda macam ni. Ini tidak… Fir…tengoklah apa yang dah Tiha buat?,”Abang Kamal bersuara. Dengan nada kurang serius, tetapi aku yakin dia memang bersungguh-sungguh dengan apa yang diucapkannya itu. Cuma dia tidak mahu nanti Encik Firdaus berfikir yang bukan-bukan.
              Aku tersengih. Mendengar bunyi pinggan disusun di ruang dapur rumah Abang Kamal, aku tahu Mia sedang sibuk menyediakan hidangan makan malam. Aku yang memaksa, dan seperti biasa, Abang Kamal terpaksa setuju pada permintaanku. Terpaksa aku pada pujukanku. Mungkin juga sebab Abang Kamal tidak mahu aku mengganggu waktu malamnya selama tiga hari berturut-turut. Berkali-kali aku menelefon memujuknya. Pelbagai alasan yang dia berikan dan sudahnya dia terpaksa mengalah.
              “Tiha nak tolong Mia kejap,”aku bersuara sambil mengangkat punggung. Meninggalkan Abang Kamal bersama Encik Firdaus. Perlahan aku menjenguk ke ruang makan. Mia sedang leka menyusun hidangan.
              “Hai… boleh tolong?,”
              Mia mengangkat muka. Serentak senyum riang terpamer di wajahnya.
              “Diya… awal sampai. Hidangan belum siap. Tapi, bagus juga you dah sampai. Kamal dah nak keluar lagi tadi. Dia balik tadi, tengok you dengan Fir belum sampai, dia tak nak duduk dalam rumah,”
              Aku tersenyum. Memandang hidangan makanan barat di atas meja. Pasti Mia sendiri yang sediakan.
              “Nak saya tolong apa-apa ke?,”aku bertanya lagi.
              Mia menggeleng.
              “Dah hampir siap pun. And, thanks ya…sebab tolong pujuk sepupu you tu. I cakap I nak masakkan special untuk birthday dia, terus dia reject. Kecil hati I tau…,”Mia terus berceloteh. Sama laju dengan pergerakannya yang langsung tidak nampak kekok berada di dapur. Cukup jelas membuktikan yang dia sudah terlalu mahir di dapur. Aku pula memandang kagum pada kelincahannya juga pada hidangan yang tersedia.
              “Awak masak semua ni?,”
              Mia mengangguk dengan wajah berseri-seri. Nampak benar dia gembira dengan apa yang sedang dia lakukan saat ini.
              “Tapi, dia sudi izinkan I masak semua ni pun, sebab you yang pujuk dia. Kalau tak memang dia tak nak celebrate pun birthday dia. Even for me…I nak jemput kawan-kawan rapat yang lain pun dia tak bagi tau,”
              Aku diam sejenak. Kata-kata Mia bagai sedikit berjauh hati. Walaupun itu semua ulangan luahan minggu lepas, namun hati ini tetap tersentuh. Perlahan aku melabuhkan punggung ke kerusi.
              “Abang Kamal memang macam tu. Dari dulu pun, dia memang tak berapa suka sambut birthday sendiri. Tapi, birthday orang, tak pula dia lupa. Dia cakap, dia tak nak ingatkan diri sendiri yang umur dia dah makin tua…,”aku sedikit berseloroh. Mia tersenyum kecil.
              “Nasiblah Diya. Dah kita ni, bertepuk sebelah tangan. Terpaksalah buat muka tebal macam ni,”
              Aku pandang wajah Mia yang sedikit suram. Rasanya tidak wajar kata-kata itu meniti daripada bibir wanita sesempurna Mia. Memang bodoh Abang Kamal, kalau dia menolak wanita seperti Mia.
              “Jangan cakap macam tu. Saya yakin Abang Kamal tahu awak istimewa di mata dia,”
              Mia tersenyum cuma. Mengangkat muka sambil memandang wajahku.
              “Tapi, tak seistimewa you, Diya. I  tahu dia masih belum boleh lupakan you. Setiap kali I bercerita pasal you, I  nampak ada cahaya bahagia dalam mata dia. You’re so lucky, Diya. Fir betul-betul crazy about you. Kamal pun sama…,”
              Aku kelu. Sedikit terkesan dengan luahan hati Mia. Tiba-tiba hati jatuh simpati pada gadis di hadapanku ini.
              “Mia… mungkin Abang Kamal keras hati sikit. Tapi, saya nampak dia dah mula bawa awak masuk ke dalam hidupnya. Dia tak pernah ada kawan perempuan. Dan, dia tak pernah layan perempuan seperti dia layan awak. Dia dah kenalkan awak dengan Mak Long dan Pak Long…,”
              “Kenalkan sebagai rakan setugas…,”sedikit hambar Mia menyampuk.
              “Awak betul-betul cintakan Abang Kamal?,”
              Mia tergelak halus.
              “I tak pernah seserius ni…Cuma I tak nak mendesak. I tak nak memaksa. Kalau ada jodoh antara kami, I nak jodoh tu datang secara natural. Bukan kerana desakan I, bukan kerana terpaksa,”ujarnya perlahan.
              Aku mengangguk perlahan. Kagum dengan kesabaran Mia. Juga, sedikit geram dengan hati batu Abang Kamal. Tidakkah Abang Kamal nampak betapa sempurnanya wanita yang saban hari cuba memenangi hatinya ini?
              “Oh ya… jom tengok kek I buat. I buat cheese cake. Kalau untuk Fir dulu, wajib chocolate cake lah… tapi, you cakap Kamal suka cheese cake kan?,”
              Aku tersenyum. Sedikit kelat senyumanku tatkala nama Encik Firdaus turut dibawa bersama. Adakah setiap kali ulang tahun kelahiran Encik Firdaus, Mia akan sediakan kek untuk lelaki itu?
              “Diya?,”
              Aku termangu-mangu seketika. Kemudian segera mengangkat punggung menuju ke arah ruang dapur basah. Melihat kek yang dihias indah.
              “Cantik…,”pujiku ikhlas. Cemburunya pada kebolehan gadis ini.
              “Kalaulah saya pun pandai masak macam awak…,”aku bersuara lagi. Mengundang tawa kecil Mia.
              “Bolehlah. Mana ada benda mustahil. You boleh belajarlah…,”
              Aku tersenyum kecil. Terus memandang ukiran kata-kata ucapan selamat hari lahir buat Abang Kamal. Begitu sekali Mia mahu menyambut hari lahir Abang Kamal. Semoga Abang Kamal menghargai setiap apa yang telah Mia lakukan ini.
              “Semua dah siap. You duduk dulu. I panggil Kamal and Fir…,”
              Aku mengangguk. Memandang kosong pada langkah Mia yang anggun menuju ke ruang tamu. Jauh di sudut hati, aku ingin sekali berkebolehan seperti Mia. Mia bagai ratu cantik yang berkebolehan di dalam semua perkara. Juga dihadiahkan dengan sekeping hati yang cukup baik. Syukur tiada rasa cinta di hati Encik Firdaus untuk Mia. Kalau tidak, tentu aku tidak akan mampu memiliki lelaki itu. Jujurnya, aku tidak mampu menandingi Mia. Antara aku dan Mia umpama langit dan bumi.


*****


              “Abang bertuah. Mia sanggup lakukan semua ni, untuk abang,”aku membuka bicara setelah makan malam berakhir. Setelah sambutan hari ulang tahun kelahiran yang dibuat serba ringkas itu berakhir.
              Abang Kamal kulihat tersenyum cuma. Lebih senang menikmati suasana malam dari halaman rumahnya itu. Mia meminta diri ke dapur untuk menghidangkan sedikit pencuci mulut dan Encik Firdaus meminta diri ke tandas. Kesempatan yang kurasakan sesuai untuk aku katakan sesuatu pada Abang Kamal.
              “So, apa pendapat abang tentang Mia tu?,”bisikku perlahan sambil tersenyum nakal.
              Abang Kamal sekadar menjongket bahu. Membuat aku sedikit geram. Seperti tiada perasaan.
              “Takkan abang tak rasa apa-apa?,”
              Abang Kamal mencemik pula.
              “Well… bila ada seorang kawan yang begitu bersungguh-sungguh nak adakan sesuatu yang istimewa macam ni, untuk abang, memanglah ada rasa terharu sikit. Lebih-lebih lagi dia sanggup minta tolong dari adik abang ni…,”Abang Kamal bersuara bersama nada menyindir di hujungnya.
              “Kawan aje?,”soalku tanpa mempedulikan sindiran Abang Kamal.
              Abang Kamal mengangguk.
              “Ya. Kawan aje,”
              Aku merengus geram.
              “Abang janganlah keras hati sangat. Peluang untuk abang kenal gadis baik macam Mia tu, cuma datang sekali sahaja dalam seumur hidup. Jangan sampai abang menyesal nanti…,”
              Abang Kamal tergelak kecil.
              “Dah tukar kerja ya?,”
              Aku kerutkan kening.
              “Tukar kerja apa?,”
              “Jadi macth maker…,”
              Aku tarik muncung. Sedikit geram dengan nada main-main Abang Kamal.
              “Tiha seriuslah bang… Sampai bila nak membujang macam ni? Dia sendiri yang cakap, tiap kali sambut birthday, maknanya umur dah makin meningkat. Dah makin tua… tapi tak pernah fikir nak cari teman hidup,”aku mula mengomel.
              Abang Kamal tersenyum lagi kemudian mengeluh perlahan. Memandang wajahku dengan riak yang sedikit serius.
              “Biar makin tua. Jangan tersilap memberi harapan,”
              Aku pandang wajah Abang Kamal. Apa maksud Abang Kamal? Tidak mngkin Abang Kamal masih mengharapkan aku yang kini sudah pun bergelar isteri orang!
              “Kenapa abang cakap macam tu?,”
              “Tiha… terima kenyataan hidup mungkin mudah. Tapi, nak padam apa yang ada dalam hati, tak mudah. Abang tak mahu nanti baik abang…atau Mia… kami sama-sama menyesal dengan keputusan yang abang ambil. Abang tak berani nak terima sesiapa selagi hati abang belum terbuka untuk sesiapa. Lebih-lebih lagi untuk gadis sebaik Mia,”
              Aku tunduk seketika. Sebegitu parahkah luka yang aku tinggalkan di hati Abang Kamal? Perlahan aku mengangkat muka. Memandang wajah Abang Kamal yang tenang.
              “Semuanya sebab Tiha ke, bang?,”
              Abang Kamal tersenyum kecil.
              “Dah tentulah bukan sebab Tiha. Semuanya sebab abang. Kedegilan hati abang. Abang boleh terima kenyataan yang Tiha memang bukan milik abang. Tapi, hati abang tak boleh melupakan semua perasaan yang terbina sekian lama. Bila abang tak boleh lupakan semua tu, macam-mana abang nak terima Mia dalam hidup abang? Tak adil bagi Mia kan?,”
              “Kasihan Mia…,”
              “Kan lebih kasihan kalau abang terima dia hanya semata-mata sebab abang nak buang Tiha dari hidup abang. Itu lagi tak adil untuk dia, kan? Kalau abang tak berjaya lupakan Tiha, apa akan jadi pada dia?,”
              Aku mengeluh berat. Bila soal perasaan yang dibincangkan, pastinya tiada satu kata putus yang melegakan boleh diambil.
              “Bincang apa ni, serius betul muka?,”
              Pantas aku berpaling. Melihat senyum lebar Mia bersama sepiring oren yang sudah siap dipotong.
              “Sembang kosong…,”pantas Abang Kamal menjawab.
              Dapat kulihat senyum di bibir Mia seakan tidak begitu ikhlas. Mungkinkah Mia mendengar perbualan kami? Sungguh aku bersimpati dengan Mia. Dan, kenapa aku yang menjadi punca Mia gagal mendapat cinta Abang Kamal? Mungkinkah kalau aku menerima Abang Kamal, Mia masih ada peluang untuk mendapatkan cinta Encik Firdaus? Tiba-tiba mindaku bergerak cukup jauh mencari konklusi. Satu konklusi yang membuat jantungku berdetak laju. Mana boleh! Encik Firdaus cuma milikku. Hanya akan menjadi milikku sampai bila-bila!
              “Tiya?,”
              Aku tersentak. Lamunanku pecah perlahan-lahan. Encik Firdaus sudah pun berada di hadapanku.
              “Melamun?,”soalnya sambil tersenyum. Aku tersengih. Encik Firdaus mengalihkan pandangan ke arah Abang Kamal.
              “Kamal, I rasa, baik kami beredar dulu. Thanks for dinner. And…Mia… your dinner, macam selalu… the best among the best,”Encik Firdaus bersuara.
              Ucapan untuk Abang Kamal membuat hati aku riang, namun ucapan untuk Mia tiba-tiba membuat aku sesak nafas. The best among the best? Aku mengerling ke arah Encik Firdaus. Kemudian pada Mia yang tersenyum lebar. Tetapi, makan malam tadi memang sedap. Rasanya pujian itu pun memang wajar. Cuma apabila mulut Encik Firdaus yang memuji, hati aku sudah gundah-gulana.
              “Thanks for coming,”ucapan basa-basi Abang Kamal sudah tidak melekat di hati. Kepala asyik memproses pujian Encik Firdaus untuk Mia. Aku mengeluh perlahan. Parah kau Tiya! Bila nak belajar kurangkan cemburu buta tu? Tiba-tiba satu herdikan pecah di hatiku. Membuat aku malu sendiri. Fokus kini kualihkan semula pada tiga insan di hadapanku.
              Encik Firdaus sudah mencapai jemariku. Memberitahu aku yang sudah sampai masanya untuk kami beredar.
              “Tiha balik dulu, bang. Mia… saya balik dulu. Betul kata abang Fir, masakan awak memang superb…,”aku bersuara sambil tersenyum.
              Mia tergelak panjang.
              “Ada-ada ajelah. Biasa saja Diya,”balas Mia riang. Kemudian pandangan Mia beralih ke arah Abang Kamal.
              “And…. tuan rumah… rasanya I pun patut balik kot, sebelum kena halau. Takut betul dia nak duduk berdua dengan I,”usik Mia sambil mengerling ke arah Abang Kamal. Encik Firdaus tergelak kecil.
              “Bukan takut…tapi, kurang manis. You jangan salah faham pula,”
              Mia mencemik.
              “Betul…. Apa pun, thank you so much. Maybe ini sambutan ulangtahun yang tak akan I lupakan sampai bila-bila. Sambutan yang ke…,”
              “Tiga puluh tiga,”laju aku menyampuk.
              “How about, tolak tiga kat belakang tu?,”Abang Kamal berseloroh. Mengundang tawa aku dan Mia.
              “Perasan nak mudalah tu…,”ejekku masih bersama tawa yang panjang. Encik Firdaus sekadar tersenyum. Sedikit lebar berbanding senyum Abang Kamal.


****

Saturday, May 12, 2012

BIARKAN YM TERUS BICARA 6


“Tiya…,”
            Aku berpaling. Wajah tidak semanis mana. Melihat kereta Mia perlahan mengekori kereta Encik Firdaus memasuki halaman rumah, hatiku tiba-tiba menjadi gelisah. Tertanya-tanya tujuan Mia muncul pada lewat petang begini. Emosi juga sedikit sukar dikawal, lebih-lebih lagi apabila teringatkan mimpi aku tempoh hari.
            “Kenapa ni? Tak sihat ke?,”laju Encik Firdaus bertanya. Mungkin melihat wajahku yang tidak ceria. Aku menggeleng perlahan sambil memaksa sekuntum senyuman untuk muncul di bibir.
            “Betul ni?,”
            Kali ini aku mengangguk sambil perlahan mendekati Encik Firdaus. Mencapai jemarinya lalu kukucup lembut. Seperti biasa, usapan lembut menyentuh rambutku bersama satu kucupan di dahi sebaik aku mengangkat muka.
            “Mia ada kat luar,”Encik Firdaus mula berbicara. Tak payah beritahu pun, Tiya dah tahu…aku merungut di dalam hati.
            “Mia datang nak jumpa abang ke?,”soalku sambil cuba mengawal suara. Tidak mahu rasa kurang senang ini muncul bersama nada suaraku.
            Encik Firdaus menggeleng. Dan gelengan itu menarik perhatianku. Kalau bukan mahu berjumpa dengan suamiku, apa tujuan Mia ke sini? Mungkin mahu berjumpa dengan ibu mertuaku. Mindaku mencari jawapan.
            “Dia cakap nak jumpa Tiya. Dia tunggu kat luar.”
            Penjelasan yang meniti di bibir Encik Firdaus membuat aku pegun seketika. Mahu berjumpa denganku? Wajah Encik Firdaus aku tatap lama. Memberi renungan tidak percaya dan, Encik Firdaus mengukir senyum nipis. Hatiku tiba-tiba menjadi tidak enak. Mungkinkah Mia mahu memberitahu yang dia sedang bercinta dengan Encik Firdaus? Dia mahu berkahwin dengan Encik Firdaus? Sama seperti apa yang berlaku di dalam mimpiku?
            “Tiya… kenapa ni? Pucat. Are you sure, you okay ni?,”
            Aku tersentak. Kepala kugeleng laju.
            “Pergilah. Dia tunggu Tiya tu,”
            Aku menjenguk sambil menyelak langsir. Mia sedang santai  di taman mini, sambil merapikan rambutnya yang mengurai cantik.
            “Kenapa Mia nak jumpa Tiya?,”aku bertanya sambil pandangan terus kupakukan pada tingkah Mia. Tidak mendapat jawapan daripada Encik Firdaus, aku berpaling. Encik Firdaus tercegat memandangku sambil berpeluk tubuh. Aku tersenyum kelat. Pasti ada tingkahku yang tidak kena di mata lelaki itu. Perlahan aku bergerak menjauhi jendela sambil menggaru kepala.
            “Kenapa terintai-intai macam tu?,”
            Aku tersenyum kecil. Tahu Encik Firdaus kurang senang dengan tindakanku itu.
            “Pelik. Sebab tiba-tiba Mia nak jumpa Tiya,”balasku masih dengan rasa hairan.
            “Abang tahu kenapa?,”sambungku sambil menatap wajah Encik Firdaus. Sedikit hampa apabila Encik Firdaus cuma menjongket bahu.
            “Kalau nak tahu, apa kata Tiya pergi jumpa Mia. Terjenguk-jenguk macam ni, nanti kalau Mia tengok, apa pula yang dia fikir. Dah…pergilah. Jangan buat Mia tertunggu-tunggu macam tu. Tak baik,”
            Aku diam. Cuma kepala mengangguk perlahan.
            “Oh ya. Abang nak apa-apa? Nak minum?,”
            Encik Firdaus menggeleng.
            “Abang nak mandi. Pergilah jumpa Mia dulu. Nanti abang menyusul,”
            Sekali lagi aku mengangguk. Tersenyum memandang Encik Firdaus melangkah menuju ke anak tangga. Aku pula, perlahan menghela nafas sambil bergerak meninggalkan ruang tamu. Mahu berjumpa dengan Mia. Juga mahu tahu apa yang ingin Mia sampaikan padaku.
            Seketika aku tercegat di belakang Mia. Merenung Mia yang santai di kerusi. Cuba mendidik minda untuk berfikiran positif.
            “Assalamualaikum..,”sapaanku membuat Mia menoleh. Lebar senyum terukir di bibirnya.
            “Waalaikumussalam…Adiya..,”
            Aku tersenyum sambil perlahan melabuhkan punggung di sebelah Mia.
            “Abang Fir beritahu Mia nak jumpa saya?,”
            Laju Mia mengangguk. Aku tersenyum kecil.
            “I tak mengganggu you, kan?,”soal Mia sambil memandang wajahku. Aku menggeleng laju. Dan, Mia pula mengangguk perlahan.
            “I need your help,”tanpa berbasa-basi, Mia terus ke agenda pertemuan. Aku diam. Mahu menjadi pendengar terlebih dahulu. Pertolongan apa yang Mia perlukan daripadaku?
            “Boleh?,”Mia bertanya lagi. Aku tergelak kecil.
            “Boleh… InsyaALLAH kalau saya boleh tolong, saya pasti tolong,”
            Mia tersenyum. Namun, kali ini senyum itu tidak seceria tadi.
            “Diya tahu kan, minggu depan birthday Kamal?,”
            Soalan Mia meresap perlahan ke gegendang telingaku. Jadi, pertemuan ini ada kaitan dengan Abang Kamal. Aku tersenyum sambil mengangguk perlahan. Tiba-tiba berasa bodoh kerana berprangsaka yang bukan-bukan pada Mia. Kenapa aku selalu lupa yang Mia begitu suka pada Abang Kamal?
            “I ingat nak masak special untuk dia. Nak buat jamuan kecil untuk dia. Tapi, dia tak nak…,”Mia meluahkan hasrat itu bersama nada suara yang tidak begitu ceria. Wajah itu juga sudah sedikit murung.
            “Abang Kamal memang tak berapa suka nak sambut birthday sendiri…,”ujarku lambat-lambat. Tidak mahu Mia salah anggap pada Abang Kamal.
            “Kenapa?,”                                                                        
            Aku termangu. Kenapa ya? Aku sendiri tidak tahu. Mungkin itu bukan satu kebiasaan pada Abang Kamal. Dia disibukkan dengan tanggungjawab sebagai anak sulung sejak dari kecil. Barangkali itu yang membuat dia tidak pernah menganggap sambutan hari jadi itu satu perkara penting baginya.
            “Mungkin Abang Kamal tak ada masa nak sambut birthday sendiri kot?,”pandai-pandai aku membuat andaian sendiri. Lebih kepada mahu bergurau sebenarnya.
            Mia memandangku dengan renungan pelik. Membuat aku turut berasa pelik. Tidak lucukah gurauanku tadi?
            “Mana ada orang yang tak ada masa nak sambut hari penting macam tu? Jangan cakap you pun tak suka sambut birthday… I love birthday party. I suka celebrate birthday kawan-kawan I …birthday orang-orang yang I sayang…itu bukti kita ambil berat tentang mereka. Don’t you think so?,”
            Aku membeku seketika. Soalan Mia membuat aku turut terfikir kenapa selama ini Abang Kamal tidak pernah sibuk dengan tarikh kelahirannya tetapi cukup hafal tarikh hari lahirku. Itu tandanya dia mengambil berat tentang diriku. Dan, aku pula, tidak pernah mengacuhkan tarikh  lahir Abang Kamal. Memikirkan situasi itu, perlahan-lahan aku mula berasa bersalah. Juga berasa simpati pada Abang Kamal. Rasanya, selama ini, dia banyak menghabiskan masanya dengan memikirkan tentang aku. Sudahnya, dia kecewa dengan keputusan aku walaupun dia akur. Akur bahawa cinta itu sebenarnya tidak mungkin boleh dipaksa-paksa.
            “Diya? Dengar tak apa I cakap ni?,”
            Soalan Mia membawa aku ke alam sedar. Spontan  aku tersenyum sambil mengangguk perlahan.
            “So, awak nak saya buat apa?,”soalku lambat-lambat.
            Mia mengukir senyum. Walau senyum itu amat jelas bagai hilang manisnya. Melihat tingkah Mia, hati aku tertanya-tanya sendiri. Sejauh mana harapan Mia terhadap Abang Kamal? Juga, tertanya-tanya kenapa Abang Kamal gagal melihat kesungguhan Mia cuba mendekatinya?
Pelik betul. Mia cuba mencapai sesuatu yang dia suka namun, sepertinya tidak berjaya. Abang Kamal pula, seperti lebih selesa membuai perasaan dengan kisah-kisah silam sehingga dia buta. Buta untuk melihat ada segaris sinar yang pasti akan menerangi jalannya andai dia memberi kesempatan kepada Mia.
            “Pujuk Kamal?,”
            Aku mengangkat muka. Merenung wajah Mia buat seketika.
            “Pujuk?,”soalku meminta kepastian.
            “Pujuk Kamal supaya dia benarkan saya sambut birthday dia. Boleh kan?,”
            Aku diam. Sedikit berat untuk tunaikan permintaan Mia. Aku tidak suka  menjadi orang tengah. Lebih-lebih lagi apabila hal itu berkait rapat dengan perasaan. Juga, tidak selesa untuk cuba mendekatkan Abang Kamal dengan Mia walhal aku cukup tahu perasaan Abang Kamal padaku. Pasti tindakan itu akan menyakitkan hati Abang Kamal. Aku tahu itu.
            “Boleh kan, Diya? I tahu Kamal akan dengar cakap you…,”nada suara Mia sudah separuh memujuk. Semakin membuat aku tersepit.
            “InsyaALLAH. Tengoklah nanti saya cuba…,”senang betul bibirku memberi harapan, sedang otakku masih berkecamuk mencari alasan untuk hindarkan diri daripada situasi sebegini. Mia tersenyum lebar. Laju tangannya menyentuh jemariku.
            “Thanks, Diya. I hargai sangat-sangat pertolongan you ni…,”
            Aku tersengih. Bibir sudah terlepas cakap. Apa lagi yang mampu aku katakan…


****

            Cuitan lembut di hidungku mematikan lamunan yang beraja di kepala. Perlahan aku berpaling. Bersua dengan senyuman Encik Firdaus. Senyum itu aku balas hambar. Berpaling semula sambil menyambung menunganku.
            “Kenapa ni?,”
            Aku berpaling semula. Kemudian menggeleng perlahan.
            “Pasal Mia ke? Kenapa Mia nak jumpa Tiya?,”
            Mendengar soalan itu, aku mengeluh perlahan. Tiba-tiba terus teringat pada permintaan Mia. Beratnya untuk aku berdepan dengan Abang Kamal dan meminta sesuatu yang aku tahu memang tidak disukai oleh Abang Kamal.
            “Mia cakap apa dengan abang?,”aku pula bertanya. Encik Firdaus mencemik sambil menjongket bahu.
            “Dia cuma cakap nak minta tolong sikit dengan Tiya…,”
            Aku mengeluh lagi. Bergerak hampir pada Encik Firdaus yang berdiri tegap di balkoni. Kepala aku lentokkan ke dada Encik Firdaus.
            “Susahlah bang…,”aku bersuara separuh mengadu. Seperti biasa, apabila suaraku sudah selemah itu, pasti ada gelak kecil yang meniti di bibir Encik Firdaus. Perlahan tangan Encik Firdaus memeluk erat tubuhku.
            “Kenapa ni? Cerita kat abang? Takkan mimpi Tiya dah jadi kenyataan?,”usik Encik Firdaus yang spontan membuat aku muncung panjang. Dadanya kupukul perlahan.
            “Janganlah cakap macam tu. Tiya tak suka,”
            Encik Firdaus tergelak lepas.
            “Ok… now tell me. Apa yang susah sangat tu?,’
            Aku mengeluh lagi. Mendongak memandang wajah Encik Firdaus yang tenang  menanti ceritaku.
            “Mia minta Tiya tolong pujuk Abang Kamal…,”
            “Tolong apa?,”
            “Minggu depan birthday Abang Kamal. Dia nak sambut. Nak masak special untuk Abang Kamal tapi Abang Kamal tak nak…,”
            “Then?,”
            Aku membuang pandang. Pelukan Encik Firdaus aku leraikan. Bergerak sedikit menjauh daripada Encik Firdaus sambil bercekak pinggang.
            “Then? Then… Mia suruh Tiya tolong pujuk Abang Kamal. Itulah yang susahnya,”ujarku bersungguh-sungguh.
            Encik Firdaus kulihat mengangguk perlahan.
            “Kalau Tiya tak nak tolong, cakap saja tak nak. Abang yakin Mia tak akan berkecil hati. I know her…,”
            Aku mengeluh sambil terduduk di kerusi kayu di anjung balkoni.
            “Masalahnya Tiya dah setuju. Dah tercakap akan tolong dia…,”
            Encik Firdaus mengangguk lagi. Dia meraup perlahan wajah sambil berpeluk tubuh. Perlahan dia bergerak menghampiriku.
            “Jadi… itu masalahnya?,”
            Aku mendongak. Memandang wajah Encik Firdaus sambil mengangguk lemah.
            “So, apa tindakan Tiya sekarang?,”
            Sekali lagi mataku cuma terkebil-kebil memandang wajah Encik Firdaus. Encik Firdaus menarik nafas perlahan sambil mengambil tempat di sebelahku. Tangan jatuh ke bahuku dan menarikku rapat padanya.
            “Tiya tengok tu…,”bisiknya perlahan. Jari telunjuknya terarah pada langit yang kelam. Aku akur. Terkebil-kebil memandang langit tanpa sebarang tujuan.
            “Cantik tak?,”
            Aku mencemik sambil menjongket bahu.
            “Tak cantik. Tak ada bintang,”jawabku acuh tidak acuh. Kepalaku berkecamuk dengan permintaan Mia, Encik Firdaus mahu bercakap tentang langit yang gelap gelita pula.
            “Kenapa tak ada bintang?,”
            Aku mengeluh perlahan. Encik Firdaus memang nak kena! Sabar Tiya…sabar…hatiku memujuk lembut.
            “Sebab nak hujanlah abang sayang….,”jawabku berlagu panjang. Geram!
            “So, itu perkara baik atau tak baik?,”
            “Abang ni kenapa? Kita cakap pasal permintaan Mia kan? Janganlah sibuk dengan langit… dengan hujan… dengan bintang dulu,”aku sudah separuh membentak. Wajah pun sudah kelat semacam. Encik Firdaus yang tersenyum, aku jeling tajam.
            “Abang tanya, jawab ajelah…,”
            “Kalau malam… nak hujan… tak ada bintang, tak bestlah nak tengok langit…,”dalam tidak mahu, aku menjawab juga.
            “Kalau hujan, dan esoknya pokok-pokok bunga yang layu segar semula, itu macam-mana pula?,”soal Encik Firdaus lembut.
            Aku berfikir seketika sambil bersandar di bahu Encik Firdaus.
            “Eloklah…,”akhirnya aku menjawab malas. Layan ajelah!
            “So?,”
            Aku ternganga.
            “So?,”soalku balik sambil memandang wajah Encik Firdaus untuk ke sekian kalinya.
            “Depend pada Tiya. Tiya nak pandang tindakan tu dari sudut positif atau negatif. Kalau Tiya harapkan bintang, hujan tu akan jadi petanda kurang baik. Kalau Tiya harapkan bunga-bunga segar semula, hujan yang datang tu akan jadi penyelamat…,”
            Aku termangu seketika. Dalamnya bicara suamiku ini. Sayangnya aku kurang bijak dalam subjek sastera. Jadi kata-kata itu tetap juga membuat aku terkulat-kulat mencari makna.
            “Tak faham?,”
            Aku menggeleng dengan jujurnya. Sungguh aku tidak faham. Encik Firdaus tersenyum panjang. Jemariku diusap lembut.
            “Tiya beritahu abang, kenapa Tiya berat nak tolong Mia? Sebab Tiya takut Abang Kamal akan tersinggung?,”
            Aku mengangguk perlahan.
            “Tiya tahu perasaan Abang Kamal pada Tiya. Tiya tak nak nanti Abang Kamal rasa Tiya sengaja nak sakitkan hati dia…,”
            “Kenapa Tiya tak fikir dari sudut lain pula?,”
            “Sudut macam-mana, bang?,”
            “Mungkin bantuan Tiya akan dapat dekatkan dia dengan Mia? Mungkin nanti dia dapat cari pengganti Tiya? Dapat bahagia dengan orang lain sebab Tiya cuma milik abang seorang? Tiya tak nak tengok Abang Kamal Tiya tu bahagia?,”
            Aku diam. Tekun memikirkan kata-kata Encik Firdaus. Ada benarnya kata-kata itu. Mungkin ini boleh jadi satu usaha untuk buat Abang Kamal lupakan aku.
            “Pandailah suami Tiya,”ujarku senang sambil menarik perlahan hidung Encik Firdaus yang mancung. Kenapalah aku tidak berfikir kea rah itu tadi?
            “Suami Tiya memang pandai…,”balas Encik Firdaus sambil mengangkat kening. Aku tersenyum. Memeluk erat tubuh Encik Firdaus bersama satu helaan nafas lega. Seperti kata Encik Firdaus, aku mesti berfikiran positif. Positif!
            “Abang bagi cadangan kan? So, berjaya tolong selesaikan masalah Tiya tak?,”
            Aku mengangguk senang.
            “Angguk aje? Upahnya, tak ada?,”
            “Ada…,”jawabku sepatah. Melihat senyum Encik Firdaus pun sudah kutahu apa yang bermain di kepalanya.
            “Ada?,”
            Aku diam sambil buat-buat tidak dengar. Terus memandang ke hadapan tanpa mengacuhkan soalan Encik Firdaus. Tetapi cuma seketika apabila jemari Encik Firdaus mula menggeletek pinggangku. Pantas aku bingkas bangun lalu berlari menuju ke bilik. Meninggalkan Encik Firdaus melayan tawanya.


*****
[11:35:50 PM] hos.getah: