Wednesday, October 30, 2013

MUNGKINKAH? 5

 Helaian kertas yang sedikit berserakan di atas meja, dikemas dengan segera. Temujanji sudah selesai, perbincangan juga sudah tamat. Dan dia bersedia untuk pulang semula ke pejabat walau lemah semangatnya untuk meneruskan kerja. Tanpa disedari tingkahnya diperhati dalam diam. Mata majikan diam memerhati.
            “Kita balik sekarang? Encik Karim?,”dia bersuara sambil mengangkat muka. Bertentang mata seketika dengan majikannya itu. Lelaki itu tersenyum nipis.
            “Arisa, ayah awak macam -mana?,”soal kerja diketepikan. Dia mahu tahu perkembangan Arisa.
            Arisa diam seketika. Memandang wajah Encik Karim. Majikannya itu kelihatan seperti mahu berlama di restoran ini.
            “Semalam dah boleh balik, Encik Karim,”perlahan dia menjawab. Segera dia teringatkan bapanya yang cukup lemah terbaring di katil. Kasihan bapanya.
            “Apa sebenarnya masalah awak ni? Cuba ceritakan pada saya. Kalau saya boleh tolong, Insya ALLAH saya akan tolong,”
            Mendengar soalan itu, Arisa memilih untuk berdiam diri. Cuma matanya memandang wajah Encik Karim yang kelihatan ikhlas bertanya. Melihat wajah itu, membuat dia teringat pada cadangan Tasnim.
                “Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
            “Kau gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu? Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
            “InsyaALLAH boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
                Kata- kata itu berlegar di mindanya. Perlukah dia senekad itu demi menghalang Radhi daripada terus mengganggu dia dan keluarganya? Sekali lagi pandangan dipaku kemas ke wajah Encik Karim. Namun, bibirnya begitu berat untuk meluahkan apa yang sedang dihadapinya. Tidak. Tidak mungkin dia akan meminta bantuan sebanyak itu daripada Encik Karim. Sudahnya hanya satu gelengan perlahan yang mampu diberi.
            Encik Karim mengeluh perlahan
            “Terlalu peribadi, Encik Karim. Insya ALLAH saya cuba selesaikan sendiri,”akhirnya dia memberi jawapan yang samar-samar. Cadangan Tasnim dilupakan terus. Rupa-rupanya dia tidak cukup gagah untuk meminta-minta.
            Encik Karim tersenyum lagi. Kali ini bersama gelengan perlahan. Dia tahu Arisa merahsiakan sesuatu.
            “Awak pekerja kesayangan saya. Saya tak nak tengok prestasi kerja awak terganggu dengan masalah peribadi yang tak selesai-selesai. Saya tak suka pekerja yang gagal ketepikan masalah bila berada di pejabat,”
            Arisa menunduk. Itu merupakan teguran Encik Karim yang kedua. Ketara sangatkah kegagalannya menjalankan tugas dek kerana masalah dengan Radhi?
            “Saya faham, encik. Saya minta maaf. Saya akan cuba selesaikan masalah ni secepat mungkin,”
            “Macam-mana?,”
            Arisa mengeluh perlahan. Kembali mencari wajah Encik Karim. Soalan itu tiada jawapan kerana dia sendiri masih buntu mencari jalan penyelesaian.
            “Saya boleh pinjamkan awak dua puluh ribu tu,”
            Arisa ternganga. Membuntang mata memandang wajah majikannya itu. Adakah ini semua satu halusinasi? Mungkinkah dia tersilap dengar. Rasanya dia belum meluahkan apa-apa pada lelaki ini. Dari mana lelaki ini mendapat angka itu? Dan, bagaimana Encik Karim tahu tentang masalahnya itu?
            “Arisa, tak salah kalau kita minta bantuan daripada orang lain, kalau kita benar-benar perlukannya. Masalah tak akan selesai kalau awak pendam semua masalah awak ni sendiri. Suami awak terus ganggu awak. Keadaan kesihatan ayah awak pun semakin terganggu. Konsentrasi kerja awak turut terjejas. Sampai bila awak nak hadapi itu semua?,”lembut sahaja suara lelaki itu meresap ke gegendang telinganya. Dengan penuh tanda tanya, dia merenung wajah majikannya itu. Tasnim. Hanya imej Tasnim yang memenuhi mindanya saat ini. Hanya Tasnim yang tahu segalanya. Mungkinkah Tasnim yang bercerita?
            “Tasnim?,”sebaris nama itu meniti perlahan di bibirnya. Satu soalan untuk semua tanda-tanyanya.
            Encik Karim tersenyum nipis. Sekuntum senyuman yang mengiyakan teka-teki di kepalanya.
            “Encik Karim…,”dia benar-benar kehilangan kata-kata. Tiba-tiba muncul rasa malu untuk dia terus berdepan dengan lelaki ini.
            “Tasnim cuma nak membantu awak,”
            Arisa mengeluh perlahan. Memang ada sedikit rasa kecewa dengan sikap Tasnim. Namun, benar kata Encik Karim. Barangkali Tasnim cuba membantunya. Dan, barangkali juga dia patut singkirkan rasa malu itu.
            “Jumlah tu bukannya sikit, Encik Karim. Banyak…,”
            “Anggap saja saya pinjamkan pada awak. Awak bayar perlahan-lahan pada saya. Saya ikhlas nak bantu,”
            Arisa menggeleng perlahan. Merenung wajah majikannya yang sentiasa tenang.
            “Nanti apa kata staff lain?,”
            Lelaki di hadapannya itu tergelak halus.
            “Arisa…Arisa… takkan saya nak buat announcement pada semua staff kalau saya membantu salah seorang staff saya. Yang tahu, cuma saya…awak dan Tasnim. Saya tak nampak di mana masalahnya kalau awak terima pertolongan saya,”
            “Tapi…,”
            “Awak nak terus hidup dengan suami awak?,”
            Arisa menggeleng. Memang perasaan untuk bersama Radhi sudah mati. Cuma satu yang dia harapkan daripada lelaki itu. Berharap agar Radhi terus lenyap dari hidupnya. Kalau boleh, nama lelaki itu pun dia ingin padam dari ingatannya.
            “Geleng? Means? Tak tahu? Tak pasti? Or…tak mahu?,”Encik Karim bertanya lagi.
            Seketika Arisa terdiam. Bibir bagai terkunci. Pelik rasanya apabila hari ini Encik Karim mengajak dia berbincang soal seperibadi ini. Cukup Tasnim seorang yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Apabila Encik Karim turut menunjukkan sikap mengambil berat, dia benar-benar buntu. Benar-benar serba-salah.
            “Arisa… saya mahu bantu awak. Awak kena benarkan saya bantu awak. Berdiam diri. Memendam rasa, bukan cara untuk selesaikan masalah,”
            “Saya tak selesa berbincang soal peribadi macam ni…,”Arisa bersuara dengan nada kurang yakin.
            “Awak kena percayakan saya. Saya ikhlas nak tolong awak. Awak memang perlukan seseorang untuk bantu awak sekarang ni. Awak tak akan boleh selesaikan semuanya sendirian,”
            “Saya tahu,”
            “So?,”
            “Saya malu kalau sampai saya terpaksa pinjam duit Encik Karim. Tapi, saya tak tahu nak minta tolong dengan siapa. Saya tak nak bebankan ayah saya,”
            Encik Karim tersenyum kecil.
            “Awak memang tak mahu lagi hidup bersama suami awak?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibir Encik Karim.
            “Tak nak,”
            “Awak tak cuba minta fasakh? Mungkin itu boleh membantu. Awak tak perlu bayar dia apa-apa pun,”
            “Ayah saya masuk hospital sebab saya beritahu dia, saya nak minta fasakh. Tiap-tiap hari dia datang ganggu ayah…,”Arisa membuka sedikit kisah suramnya. Encik Karim mengangguk perlahan.
            “Jadi, yang dia mahu cuma duit?,”
            Dengan bibir mata mula memberat, Arisa mengangguk perlahan.
            “Dia cuma akan lepaskan awak, kalau awak bayar dia?,”
            Arisa mengangguk lagi.
            “Tebus talak?,”
            “Nampaknya saya terpaksa buat macam tu. Kalau tak, dia dah ugut dia akan terus ganggu kami sekeluarga,”
            Satu keluhan yang keluar dari mulut Encik Karim, mendorong Arisa mengangkat muka. Memandang wajah lelaki itu kini sedikit mendung.
            “Saya tumpang simpati dengan masalah awak…,”
            Arisa tersenyum kelat.
            “Tak patut saya ceritakan semua ni pada Encik Karim…,”
            “Kalau tak nak cerita pada saya, awak nak cerita pada siapa?,”lelaki itu bertanya dengan nada sedikit berseloroh.  Seloroh yang tidak mampu membuat senyum memekar di bibir Arisa.
            “Kalau dah tak ada pilihan lain, awak terimalah bantuan saya. Selesaikan segera masalah awak. Saya harapkan yang terbaik untuk awak,”
            Arisa membeku. Huluran pertolongan sebegini tidak mungkin akan datang untuk kedua kalinya. Apakah dia perlu menerima pertolongan daripada Encik Karim? Sememangnya tiada lagi sumber lain yang boleh dia harapkan. Untuk membuat pinjaman bank, dia tidak mahu terus terbeban. Pinjaman untuk membeli kereta masih lagi belum lunas semuanya.
            “Tapi, saya takut saya tak mampu nak bayar balik semuanya nanti…,”
            Encik Karim senyum.
            “Just take your time. Bayar berapa yang awak mampu,”
            Arisa mengeluh perlahan. Saat ini, memang dia malu mahu berhadapan dengan Encik Karim. Malu dengan ketidakberdayaan dirinya. Namun, peluang ini mustahil mampu dia tolak. Demi bapanya, dia harus singkirkan Radhi secepat mungkin.
            “Saya malu dengan Encik Karim. Tapi, saya memang perlukan bantuan ini. Saya cuba langsaikan pinjaman tu secepat yang saya mampu. Terima kasih, Encik Karim,”
            “Tak boleh bayar, kena jadi wife saya,”
            Arisa terpempan. Tajam merenung wajah lelaki itu yang tersenyum lebar. Tidak percaya majikannya itu boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu.
            “Encik….,”
            Encik Karim tergelak besar.
            “Janganlah buat muka macam tu. Saya gurau saja,”
            Arisa tersenyum kelat. Sungguh kurang senang dengan gurauan majikannya itu.
            “Jangan risau. Saya ikhlas nak membantu,”
            “Terima kasih, Encik Karim…,”
            Lelaki itu membalas hanya dengan senyum manis.
            Seketika saling berdiam diri, akhirnya dia mencapai beg tangannya. Berdiri tegak sambil mencapai beberapa helaian kertas bersama organizer.
            “Saya rasa baik kita balik ke pejabat sekarang? Atau…Encik Karim ada hal lain? Saya boleh balik ke pejabat dengan teksi,”
            “Tak. Saya pun nak pulang ke office,”
            Arisa mengangguk perlahan. Encik Karim tersenyum sambil turut mengangkat punggung.



*****

Wednesday, October 16, 2013

MUNGKINKAH? 4


         
   “Abang… apa semua ni?,”kuat tangannya memegang pintu pagar sambil matanya tajam merenung geram wajah Radhi yang selamba. Tidak mahu tubuh lelaki itu menerobos masuk ke halaman rumahnya. Sakit hati bukan kepalang melihat reaksi Radhi yang teramat jelas sedang memperlekehkan perasaannya. Sedang mencabar kesabarannya.

            “Aku nak masuk…,”
            “Ya. Abang boleh masuk. Tapi, bukan dengan perempuan ni,”bentak Arisa geram. Sedaya upaya dia cuba mengawal suara. Sabarnya kian hilang namun, dia tidak mahu menjemput jiran tetangga menjadi penonton. Tidak mahu keadaan menjadi kecoh. Tidak mahu bapanya menyedari ada pertelingkahan sedang berlaku di sini.
            “Kenapa pula? Ini isteri aku. Kenapa aku tak boleh benarkan dia masuk,”
            Kata-kata yang laju meniti di bibir Radhi membuat jantung Arisa bagai berhenti berdetak. Dengan nafas yang terhenti dia merenung wajah lelaki itu. Ternyata lelaki itu telah berkahwin tanpa pengetahuannya. Walau dia tahu keputusan Radhi, langsung tidak dia menduga Radhi akan hancurkan hatinya secepat ini.
            Terasa cintanya yang masih bersisa untuk lelaki itu, lebur perlahan-lahan. Senyum kemenangan Radhi benar-benar membuat dia berasa kalah. Benar-benar membuat hatinya merintih hampa. Sia-sia dia bersungguh-sungguh mempertahankan cintanya selama ini.
            “Kenapa? Terkejut? Kan aku dah cakap, aku akan kahwin. Jadi, kenalkan ini madu kau, Azilah,”
            Arisa menggetap bibir. Hatinya memang hampir menangis. Namun, melihat keangkuhan lelaki itu, terasa bodoh kalau dia terus melayan perasaan hiba yang bertandang. Dia harus belajar untuk menjadi tabah. Dia harus belajar untuk menjadi kebal menanggapi sikap Radhi yang menyebalkan. Dia perlu kuat. Dia perlu keraskan hati.
            “Siapa pun perempuan ni, itu bukan masalah Rissa. Tapi, ingat. Ini rumah ayah Rissa dan jangan berani nak buat macam ni kat sini. Jangan berani nak bawa orang luar yang tak diundang ke dalam rumah kami!,”
            “Tapi, bini aku tinggal kat sini kan? So, aku berhak masuk. Dan, sudah semestinya bini baru aku pun, berhak masuk,”
            Arisa merengus geram. Hatinya bertambah sakit melihat wanita yang diperkenalkan sebagai Azilah itu, tersenyum sinis di sisi Radhi. Membuat marahnya hampir tidak terkawal.
            “Apa yang kau nak sebenarnya ni?! Apa tujuan kau datang sini bawa perempuan ni? Nak sakitkan hati aku?,”tiba-tiba melantun soalan itu dari bibirnya, sambil tangannya menolak kuat dada Radhi yang berdiri di balik pagar rumah. Membuat lelaki itu terdorong ke belakang. Lupa sudah akan rasa hormat kepada seorang suami, yang perlu dia jaga.
            “Kurang ajar!,”
            Bentakan itu membuat dia sedikit terkesima. Langkah laju Radhi membuat dia gerun. Dia tahu kekerasannya sebentar tadi mengundang marah lelaki itu. Dia sendiri tidak berniat untuk bertindak sekeras itu.
            “Rissa! Apa yang bising tu?,”
            Pantas dia berpaling. Bapanya tercegat di pintu gelongsor yang separuh terbuka. Dan, hatinya berasa tidak senang tiba-tiba.
            “Tolonglah pergi, bang. Abang tahu kan ayah bukan sihat sangat. Abang datang tunjuk perempuan ni, nanti dia sakit hati. Nanti dia marah. Tolonglah pergi,”nada marahnya segera berganti sendu. Memohon sedikit belas kasihan dari Radhi untuk bapanya.
            Radhi merengus keras. Tubuh kecil Arisa ditolak dan pintu pagar yang sejak dari tadi dihalang dengan tubuh Arisa, segera dibuka. Arisa yang hampir terjatuh, tidak sempat berbuat apa-apa. Cuma mendengar bapanya kuat memanggil namanya. Pasti risau melihat dia hampir terjatuh ditolak Radhi.
            “Tujuan abang, apa sebenarnya ni?,”jeritnya dia nada tertahan.
            “Aku datang nak ambil barang-barang aku. Aku datang nak tunjuk bini baru aku pada kau dan bapak mertua kesayangan aku tu. Faham?,”balas Radhi bersahaja.
            Arisa menelan liur. Laju melangkah cuba menghalang langkah Radhi. Wajah bapanya yang memerah di muka pintu benar-benar membuat dia risau.
            “Abang… kalau nak sakitkan hati orang, cukup Rissa seorang. Jangan libatkan ayah,”
            “Kau dengan ayah kau, sama saja. Sama-sama menyakitkan hati,”
            “Kalau menyakitkan hati, kenapa kahwin dengan Rissa?,”
            Radhi tergelak halus. Langkahnya mati untuk seketika. Wajah Arisa direnung bersama senyum mengejek.
            “Kau yang beria-ia nakkan aku, kan? Kau yang sungguh-sungguh nak sangat kita kahwin kan? Bukan aku yang bersungguh-sungguh pun,”
            Arisa kaku tanpa suara. Cuma terkebil-kebil memandang Radhi yang menyambung langkah menuju ke pintu. Terkebil-kebil melihat bapanya bercekak pinggang menghadapi Radhi bersama amarah. Terkesima mendengar pengakuan kejam dari lelaki yang pernah dia cintai sepenuh hati. Baru hari ini dia tahu nilai sebenar cintanya di mata lelaki itu. Baru hari ini dia sedar, sejak dari awal lagi dirinya memang tidak membawa apa-apa makna pada Radhi. Air mata yang menitis tanpa sedar, perlahan-lahan menanam rasa benci yang bukan sedikit di hatinya. Dia tidak akan maafkan lelaki ini. Sungguh dia tidak menyesal diperlakukan sebegini. Mungkin sebaiknya Radhi lenyap terus daripada hidupnya.
            “Radhi! Siapa pula yang kau bawa balik ni? Kau ingat rumah aku ni, apa?,”Haji Salleh membentak marah. Membawa kesedaran menyapa hati Arisa yang kaku. Bapanya cuba menghalang Radhi yang mahu masuk ke ruang tamu bersama wanita yang baru bergelar madunya itu.
            “Ini bini saya, ayah. Kenapa pula dia tak boleh masuk?,”
            “Kurang ajar kau ya. Berani kau bawa perempuan ni masuk ke rumah aku? Berambus. Aku tak benarkan dia jejakkan kaki ke rumah ni. Kau pun boleh berambus!,”
            “Ayah…ayah… bertenanglah. Jaga jantung tu elok-elok. Saya cadangkan ayah duduk elok-elok kat sofa tu. Duduk diam-diam, jangan marah-marah,”bersama senyum mengejek, Radhi bersuara separuh berbisik. Cukup hampir di telinga bapa mertuanya itu.
            “Radhi!,”
            Suara Haji Salleh yang menengking kuat cuma disambut dengan gelak mengejek.
            “Sayang, tak baik cakap macam tu,”
            “Alah… jangan risaulah. Dia dah biasa marah-marah macam tu. Kejap lagi tidur kat ward lah tu. Jom, ke bilik. Sayang tolong kemas barang abang ya,”
            “Abang! Jangan berani nak bawa perempuan tu masuk ke bilik Rissa!,”Arisa melangkah laju. Menghalang langkah Radhi yang cukup santai. Tidak mahu wanita yang kini bergelar isteri Radhi itu menceroboh ke biliknya.
            “Bukan bilik kau seorang kan? Jom sayang…,”
            Arisa tersandar ke dinding apabila ditolak kuat oleh Radhi. Cuba menghalang sekali lagi, namun, panggilan Rianti menghalang niatnya. Dia menoleh. Tergamam melihat Rianti yang sedang memaut tubuh tua bapanya.
            “Ayah…,”
            Lupa pada Radhi yang sedang menceroboh biliknya bersama isteri baru, dia berkejar mendapatkan bapanya yang berkerut muka sambil menekan dada. Kerisauannya menjadi kenyataan.
            “Ayah… ayah tak apa-apa?,”
            Melihat bapanya tidak mampu menjawab, Arisa semakin cemas. Sedihnya hilang entah ke mana. Cuma selaut risau yang mengganti rasanya saat ini.
            “Ati.. ambil ubat ayah…,”
            Tanpa menjawab, Rianti berlari ke arah dapur. Tidak lama kemudian muncul bersama satu botol kecil berisi pil. Segera pil itu disua ke mulut bapanya dengan pipi yang sudah mula basah. Perlahan dia mengurut dada bapanya. Nafas bapanya perlahan-lahan sekata sambil tubuh tua itu bersandar lemah di sofa.
            Arisa menggetap bibir. Air mata yang laju menitis, diseka perlahan. Sakit hati bukan sedikit dengan perbuatan Radhi.
            “Ayah okay?,”sebak suaranya bertanya.
            Haji Salleh mengangguk lemah. Lemah juga jemarinya menyeka air mata di pipi anak sulungnya itu, membuat makin laju deraian air mata bertandang di pipi Arisa. Sungguh dia kasihan pada Arisa. Dia mahu sama-sama bangkit mempertahankan Arisa, namun, dia tidak berdaya.
            “Jahatlah abang Radhi tu!,”
Arisa mendongak. Memandang wajah Rianti yang mencuka. Kata-kata Rianti dibiarkan sepi. Hatinya membentak perkara yang sama. Cuma, saat ini, fokusnya cuma pada bapanya. Kerisauannya cuma pada lelaki tua yang sedang berdepan dengan kesakitan gara-gara kerenah suaminya.
“Betul ayah tak apa-apa ni? Ayah rehat kat bilik ya?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Mustahil dia akan membiarkan Arisa berdepan dengan Radhi sendirian.
“Pergi tengok apa yang mereka buat kat dalam tu. Nanti dengan barang kamu dia angkut sekali,”Haji Salleh bersuara perlahan. Arisa diam. Mendongak memandang wajah adiknya.
“Ati tengok ayah kejap ya,”
Rianti mengangguk sambil terus melabuhkan punggung ke sofa. Arisa bangkit. Berdiri seketika sambil menghela nafas panjang. Bukan sedikit kekuatan yang dia perlukan untuk memulihkan hatinya yang hancur kini. Untuk berdepan dengan Radhi yang menyakitkan hati. Sedaya upaya cuba membuang perasaan yang berbaki di hatinya, dia melangkah menuju ke bilik. Menolak perlahan pintu bilik yang tidak begitu rapat.
Sebaik melihat Radhi asyik menyelongkar beg tangannya, pantas pintu ditolak kuat. Menerpa ke arah Radhi sambil merampas beg tangan di tangan Radhi.
“Tak ada barang abang dalam beg Rissa!,”bentaknya marah.
Radhi tergelak.
“Tapi, ada duit kau…,”balasnya sambil melayang  not-not duit kertas di tangan.
“Bagi balik duit tu!,”

“Alaa…. Buat kali terakhir bagi aku duit sebelum bagi durian runtuh kat aku, apa salahnya?,”
‘Abang ni, memang tak guna!,”
Radhi sekadar tersenyum sambil menyimpan helaian duit kertas ke dalam poket seluar. Kemudian, berpaling ke arah Azilah yang sudah selesai mengemas.
“Sudah, sayang?,”
“Dah,”
“Okay. Aku pergi dulu. Aku tunggu kau bagi duit tu kat aku. Kalau kau nak lengah-lengahkan… Nak juga turun naik mahkamah tuntut hak kau, kau pun tahu apa akan jadi pada ayah. Fikirlah masak-masak ya, sayang,”
Arisa tercegat menahan rasa. Mengiringi langkah Radhi bersama pandangan penuh kebencian. Sebaik pintu itu tertutup, dengan keras dia mencampak beg tangan ke katil. Berombak dadanya menahan marah. Menahan geram dan menahan sedih yang bercampur- baur. Perlahan tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Menggetap bibir agar esakan yang mula bertandang, tidak sampai ke telinga bapanya.
“Kau jahat Radhi…. Aku tak akan maafkan kau…,”gumamnya perlahan sambil tersedu-sedu menahan esakan. Daun pintu yang terbuka, memaksa dia berpaling. Rianti bergegas merapatinya.
“Kak Long…,”
Dia tunduk sambil menyeka air mata. Pelukan lembut Rianti membuat dia sedikit tenang. Perlahan gadis itu mengusap belakangnya.
“Nangislah Kak Long. Tapi, janji…lepas ni, Kak Long jangan lemah lagi. Kak Long jangan tunduk pada abang Radhi lagi. Ati benci abang Radhi!,”pujukan itu perlahan-lahan membuat jiwanya sedikit tegar. Pelukan terlerai. Jemari halus Rianti lembut menyeka pipinya yang basah.
“Orang macam abang Radhi tak layak untuk Kak Long…,”
“Terima kasih, dik…,”
“Ati sayang Kak Long. Ati tak nak Kak Long sedih macam ni,”
“Lepas ni, Kak Long tak akan sedih lagi. Kak Long akan buang abang Radhi jauh-jauh dari hidup kita,”
Rianti tersenyum hiba. Memandang wajah kakaknya yang merah menahan tangis.
“Ayah mana, Ati?,”
“Ati bawa masuk ke bilik. Abang Radhi sakitkan hati ayah tadi. Dia memang melampaulah Kak Long…,”
Arisa mengeluh perlahan. Esakannya kian mereda. Seketika, dia menghela nafas yang cukup dalam.
“Pergi tengok ayah…,”perlahan dia bersuara dengan suara yang sedikit serak.
“Ati suruh Dafi tengokkan ayah. Kak Long dah okay ke?,”
Arisa tersenyum nipis.
“Kak Long ada adik-adik yang sayangkan Kak Long. Mesti Kak Long okay. Jangan risau. Lepas ni, Kak Long tak akan biarkan abang Radhi ganggu hidup keluarga kita. Tak akan…,”
Rianti diam.
“Kak Long nak bersendirian sekejap. Ati pergi tengok ayah, ya. Kejap lagi Kak Long pergi jumpa ayah,”bersama senyum yang cuba dilebarkan, dia bersuara perlahan. Rianti mengangguk akur. Perlahan bangkit berdiri sambil memegang lengan Arisa. Menarik perlahan Arisa berdiri bersamanya.
“Ati keluar dulu, ya?,”
Arisa tersenyum. Melabuhkan punggung ke katil bersama helaan nafas panjang. Ranjau yang menanti terasa semakin sukar.



*****
[11:35:50 PM] hos.getah: