Tuesday, September 18, 2012

Lampin Cinta Buat Papa 3



Dia diam seketika. Berbelah- bagi mendengar cadangan yang luar biasa hebat itu. Matanya dialihkan ke wajah comel Qalish.
            “Kenapa saya Puan?,”dia bertanya. Sengaja mahu mendapatkan kepastian yang lebih jelas. Apa hebat dirinya sehingga dia menjadi pilihan Puan Rogayah? Adakah disebabkan dia cantik? Atau dia baik?
            “Sebab Qalish dah serasi dengan kamu. Dan, saya rasa kamu boleh jaga Qalish dengan baik,”
            Raisya tersenyum kelat. Nampaknya bukan sebab dia cantik dan bukan juga disebabkan dia baik. Dia menjadi calon hanya kerana dia boleh menjaga Qalish.
            “Qalish memang budak baik, puan,”ujarnya sambil tergelak kecil. Buat-buat segan dengan komentar Puan Rogayah. Puan Rogayah tersenyum kecil.
            “Jadi, macam-mana? Kamu setuju?,”
            Dia termenung seketika. Tawaran itu sukar untuk dia tolak. Teramat sukar.
            “Tapi, Encik Farish setuju ke?,”dia bertanya lagi. Keputusan ini adalah satu keputusan sukar. Dia tidak boleh bersetuju begitu sahaja.
            “Yang penting keputusan kamu. Macam-mana?,”
            Raisya tersengih. Tetapi senyumannya mati sebaik sahaja melihat wajah serius Farish yang melangkah masuk ke ruang tamu. Wajah itu tidak bereaksi seperti biasa. Sekuntum senyuman dia lemparkan pada lelaki itu. Tidak berbalas. Dia mengalihkan pandangan ke arah Puan Rogayah. Tidak berasa apa-apa dengan sikap Farish kerana sejak hari pertama dia muncul di rumah ini, lelaki itu tidak pernah mengacuhkannya. Bukan dia sahaja, tetapi rasanya lelaki ini dingin dengan semua orang.
            “Farish, baru balik?,”menyedari kehadiran lelaki itu, Puan Rogayah menyapa.
            “Hmmm...,”
            Dia termangu seperti biasa. Cuma itu jawapan Farish dan Farish terus berlalu menuju ke biliknya.  Melihat gaya lelaki itu, tawaran Puan Rogayah sebentar tadi menjadi sedikit goyah.
            “Tak payah hiraukan Farish. Saya harap kamu setuju ya. Demi Qalish?,”
            “Tapi, sampai bila saya kena...,”
            “Sampai bila-bila,”laju Puan Rogayah memotong kata-kata Raisya.
            Raisya menelan liur.
            “Sampai bila-bila? Macam tak best aje...,”dia mula merungut sendiri.
            “Yalah. Ini bukan benda main-main. Sebab tu saya tanya betul-betul sama ada Raisya nak atau tak nak? Saya tak nak nanti Raisya rasa ini keputusan yang salah. Saya buat semua ini untuk Qalish,”
            Raisya diam. Merenung wajah Qalish. Bulat mata comel itu memandangnya sambil bercakap dengan bahasa yang langsung tidak dia mengerti.
            “Kalau sebab Qalish, saya boleh jaga dia macam ni aje kan?,”
            Puan Rogayah mengeluh lemah.
            “Juga untuk Farish. Mana tahu nanti Farish boleh berubah,”
            Raisya tergelak halus. Tidak terjangkau di fikirannya bagaimana Farish boleh berubah hanya kerana dia. Kalau sebab pertama, dia yakin dia boleh lakukan. Tetapi, untuk sebab kedua, terasa lucu dia mendengarnya.
            “Farish nak balik ke rumah lama dia. Saya tak mahu dia tinggalkan Qalish di sini. Anak dia kena duduk dengan dia. Kamu pula kena jaga Qalish,”Puan Rogayah melanjutkan bicara. Raisya mengangguk perlahan. Mula faham dengan cadangan Puan Rogayah. Puan Rogayah tidak mahu pisahkan Qalish dengan Farish.
            “Seratus ribu ringgit. Elaun bulanan sebanyak tiga ribu. Setuju?,”
            Jantung Raisya bagai berhenti berdegup. Banyaknya. Peluang sebegini tidak akan datang untuk kedua kalinya di dalam hidup.
            “Kerja saya cuma jaga Qalish aje kan?,”
            Puan Rogayah tersenyum. Wajah Raisya yang bersinar itu dipandang lama. Hampir enam bulan mengenali Raisya rasanya dia sudah mula kenal siapa gadis ini. Cukup berkira... mata duitan... tetapi, dia nampak keikhlasan tiap kali dia melihat Raisya menjaga Qalish. Duit tidak penting padanya apabila dia sudah bertemu dengan seorang yang boleh menjaga cucunya dengan baik. Dan, berharap mungkin dapat menjaga Farish juga.
            Perlahan dia menggeleng sebagai menjawab soalan gadis itu.
            Raisya kerutkan kening.
            “Apa lagi tugas saya?,”          
            “Jadi isteri Farish...,”tenang Puan Rogayah member jawapan.
            “Saya setuju,”
            Puan Rogayah sedikit mencerlung. Laju benar gadis ini member jawapan.
            “Tak nak fikir dulu?,”
            Raisya menggeleng. Tawaran itu terlalu hebat untuk dia berkata tidak. Bimbang nanti Puan Rogayah bakal berubah fikiran, sebaiknya dia memberi jawapan secepat yang mungkin. Lagipun, rasanya tugas menjadi isteri kepada Farish yang dingin itu tidaklah sesukar mana.
            “Hmm... saya bagi masa dua hari untuk kamu fikir betul-betul. Nanti beritahu saya semula keputusannya,”akhirnya Puan Rogayah mengambil keputusan untuk menolak jawapan yang terlalu cepat itu. Raisya mengeluh sambil tersenyum. Puan Rogayah mengangkat punggung.
            “Fikir elok-elok,”ujarnya sebelum berlalu.
            Raisya diam memandang Puan Rogayah menghilang ke halaman. Pandangannya bersatu lagi dengan renungan Qalish di atas baby bouncher. Qalish tersenyum sambil menggapai tangan.
            “Beritahu nenek Qalish, aunty Isya tak perlu masa nak fikir,”ujarnya sambil tersenyum. Qalish mengekek. Dia tersenyum.
            “Nanti aunty Isya dapat duit seratus ribu, aunty belanja Qalish makan bubur nasi ayam. Okey...,”agahnya lagi membuat tawa Qalish makin kuat. Dia ketawa senang. Polosnya wajah anak kecil ini. Belum mengerti apa-apa. Belum tahu apa yang berlaku di sekitarnya. Melihat wajah Qalish, dia jadi teringat pada Farish. Seingatnya, semenjak dia mula menjaga Qalish, sekali pun Farish tidak datang dekat pada anak kecil ini. Tidak pernah menyapa jauh sekali menyentuh. Dia sedar itu semua, tetapi, bibirnya berat mahu bertanya. Tugasnya cuma menjaga Qalish. Dia dibayar untuk menjaga bayi itu, jadi hal lain memang tidak penting langsung padanya. Yang dia tahu, Qalish hanya ada seorang bapa yang sangat dingin.
            “Kenapa papa Alish jadi macam tu ya?,”dia bersuara sambil menyentuh jemari kecil Qalish yang tergapai-gapai mahu menyentuh tangannya. Mahu diangkat. Anak kecil itu cuma tergelak-gelak.
            Raisya mengangkat tubuh kecil itu.
            “Jomlah kita jalan-jalan. Boring kan duduk aje,”tuturnya pada Qalish yang belum mengerti apa-apa. Cuma galak ketawa apabila didukung.
            “Raisya...,”
            Mendengar namanya dipanggil, segera Raisya berpaling. Tidak sangka sebenarnya namanya dipanggil oleh suara itu.
            “Ya Encik Farish....,”balasnya bersama senyum lebar. Tetapi, senyumnya hilang tanpa berbalas. Wajah Farish serius memandangnya.
            “Ya, Encik Farish...,”sekali lagi dia bersuara. Kali ini, riak wajah tidak segirang tadi.
            “Awak ada naik atas ke tadi?,”
            Raisya termangu seketika. Kemudian mengangguk.
            “Ada. Saya duduk kat ruang rehat dengan Alish. Kenapa Encik Farish?,”
            “Boleh tak tiap kali awak duduk kat situ, jangan tinggalkan mainan bersepah-sepah?,”
            Raisya mengerutkan kening. Seingatnya cuma satu atau dua sahaja mainan Qalish yang tertinggal di atas sofa.
            “Mana ada bersepah. Ada dua aje,”balasnya laju.
            Farish membuang pandang. Geram apabila kata-katanya seakan-akan dipersoalkan.
            “Tak kira satu atau dua. Atau sepuluh sekali pun, benda-benda tu semakkan mata saya. Saya nak buat kerja. So, tolong alihkan semua tu,”
            “Kerja saya, jaga Alish saja. Kemas-kemas rumah ni, bukan kerja saya. Suruhlah Kak Nom yang kemaskan,”selamba Raisya bersuara sambil mula mengatur langkah mahu meninggalkan Farish.
            “Hei...,”
            Raisya berpaling. Buat pertama kali dia melihat wajah lelaki itu beremosi. Lelaki itu menatap geram padanya.
            “Apa?,”
            “Awak jaga Qalish, jadi tanggungjawab awak untuk pastikan semua mainan dia dikemas. Saya nak awak kemaskan sekarang. Saya nak buat kerja,”
            Raisya merengus perlahan. Cerewet pula lelaki ini.
            “Dua aje kan? Encik Farish kemaskanlah sendiri. Saya nak bawa Alish jalan-jalan kat laman ni. Kesian dia dari tadi tak keluar lagi,”
            Farish menahan nafas. Untuk kali pertama dia berkomunikasi dengan gadis ini, dia sudah disogok dengan rasa geram yang semakin membuak-buak.
            “Please. Now. Don’t waste my time,”
            Raisya merengus geram. Laju dia melangkah mendekati Farish.
            “Nah...,”ucapnya sepatah sambil menghulurkan Qalish kepada Farish.
            “Hey! Apa ni?,”
            “Peganglah kejap. Saya nak kemas mainan Alish ni,”
            “Awak kemas sambil pegang budak ni. Ambil balik,”Farish bersuara geram. Kaku memegang Qalish yang dilepaskan Raisya ke pegangannya.
            “Macam-mana saya nak kemas kalau saya pegang dia. Lagipun, Encik Farish kan ayah dia. So, peganglah kejap. Tadi sibuk sangat suruh saya kemaskan,”Raisya bersuara garang sambil laju meniti anak tangga. Farish terkebil-kebil. Melihat Raisya semakin jauh, dia turut melangkah sambil kedua-dua tangannya memegang tubuh Qalish. Merengus geram dengan tindakan penjaga anaknya itu. Kali pertama tubuh kecil itu berada di tangannya. Sampai di tingkat atas, dia melihat Raisya sibuk mencapai dua mainan Qalish yang terletak di atas sofa. Di sofa kegemarannya.
            “Ambillah ni,”dia bersuara sambil menghulurkan Qalish apabila melihat Raisya selamba berlalu ke tangga. Gadis itu tidak mengacuhkannya. Terus meniti turun anak tangga, memaksa dia turut melakukan hal yang sama. Mengekori Raisya sehingga ke bilik Qalish.
            “Ambil budak ni,”
            Raisya berpaling. Tersenyum selepas mainan sudah diletakkan di dalam bakul.
            “Okay. Done,”ujarnya sambil tersenyum lebar.
            “Okay...sekarang ambil budak ni,”
            Raisya mencemik. Segera dia mendukung Qalish yang dihulurkan oleh Farish sejak dari tadi.
            “Jangan sesekali buat macam tu lagi pada saya,”Farish bersuara garang sambil berlalu pergi. Raisya memandang dengan perasaan yang bercampur baur. Pelik dan kasihan. Pelik pada tingkah Farish dan kasihan pada Qalish yang diperlakukan begitu oleh bapanya sendiri. Farish benar-benar tidak mahu dekat dengan Qalish.
            “Peliklah papa Alish. Tak apalah. Kalau papa Alish tak nak baik dengan Alish, jom kita cari nenek. Kita main dengan nenek,”
            Qalish terkekek seperti selalu.


****

7 comments:

Lina Baharuddin said...

Best...suka. sambung lagi ya kak hanni.

Sky b4 Pinky said...

best..lah..

cyah said...

Sian qalish bila farish nak sedar? Harap x terlambat..

Anonymous said...

best citer ni..sambung cepat2 kak. kak hanni please jgn berhenti berkarya di sini. saya masih nak membaca karya2 kak hanni.

izzatitajuddin said...

akak.. tak sambung ke cerita ni ? best sangattttttttt !!! kalau dah publish, I would pay for it (Y)

Anonymous said...

Hanni,
di mana boleh saya baca keseluruhan cerita ni? atau ada novel ke yang boleh saya beli?
cerita best.........

Anonymous said...

Bila nk sambung cite ni... Xsabar nk baca

[11:35:50 PM] hos.getah: