Thursday, June 9, 2011

Mungkinkah? 1


 SILA ABAIKAN MUNGKINKAH? 1-16 DI MINI LOVE STORIES. SIRI INI SEDANG DIUBAH SUAI KE BENTUK NOVEL. MAAF UNTUK KEKELIRUAN YANG MUNGKIN TIMBUL.              
                  




BAB SATU






“Gila ke laki kau ni, Risa?,”
Arisa menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah dipandang dengan rasa hiba. Terasa beban yang ditanggung sudah tidak mampu digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi. Semakin hari semakin teruk layanan Radhi padanya. semakin hari Radhi semakin sengaja mahu menyakitkan hatinya.
“Itulah. Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon. Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Itu yang kamu nak pertahankan sangat cinta kamu tu?,”
“Silap  Risa. Risa mengaku semuanya salah Risa. Tapi, sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah,”
“Lelaki ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Tengoklah macam-mana dia buat kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada anak? Bertambah-tambah beban kamu. Yang dia, seronok berjoli,”
Arisa mengeluh perlahan. Buntu memikirkan masalah yang menyesakkan kepala. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah tidak mampu untuk dia harungi sendiri, cuma bapanya yang dia ada untuk mengadu. Dan, kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil kesempatan padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat melampiaskan nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat melepaskan amarah Radhi. Selain daripada itu, rasanya tidak ada lagi fungsinya pada lelaki itu. Satu kenyataan yang membuat hatinya tersayat pilu. Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.
“Sakit dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini. Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia nanti? Kamu?,”sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh. Berbaur geram nada yang sampai ke telinga Arisa itu.
Arisa tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata menitis lagi. Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah cukup menghancurkan perasaannya. Selama dua tahun dia menikmati cinta suci Radhi. Cinta yang penuh dengan caci-maki dan air mata. Baginya cinta suci itu cuma omong kosong. Cinta langsung tiada nilai untuk dia terus agungkan.
“Ayah tak fahamlah. Apa yang kamu tengok pada si Radhi tu? Langsung tak ada masa depan. Tak cukup ke dia buat kamu selama ni? Dua tahun kahwin, paling lama ayah tengok dia kerja dua bulan saja. Lepas tu, jadi kutu rayau. Duduk rumah bapak mertua buat macam rumah sendiri. Nak keluar minta duit bini. Balik marah-marah bini,”
Arisa tunduk. Kata-kata itu sedikit sebanyak membias rasa malu di hatinya. Malu dengan sikap suami sendiri. Mahu nafikan, itulah kenyataannya. Cuma Radhi seakan tidak pernah ada rasa malu pada bapanya.
“Malu Risa dengan sikap dia tu, ayah,”
“Kenapa pula kamu yang nak malu? Yang buruk perangai suami kamu…,”
Arisa mengeluh lagi. Perlahan menolak ke belakang rambut ikalnya yang disapa angin petang.
“Apa rancangan kamu sekarang? Nak ikutkan juga kehendak suami kamu tu? Nak bermadu? Sah-sah beban kamu yang bertambah nanti. Sekarang tanggung laki. Nanti dengan madu kamu pun kamu tanggung. Kalau beranak-pinak nanti? Macam mana? Ayah ni, bukan apa. Ayah tak nak tengok kamu hidup macam ni. Tak ada guna kamu hidup dengan lelaki macam tu. Bukan ayah nak minta kamu runtuhkan rumahtangga kamu. Tapi, ayah tak sampai hati nak tengok kamu hidup makan hati macam ni. keputusan macam ni, kamu kena fikir masak-masak. Jangan fikir untuk tempoh esok atau lusa. Kamu kena fikir macam –mana hidup kamu sepuluh tahun nanti kalau kamu setuju nak bermadu?,”
“Risa dah ambil keputusan, ayah,”
“Keputusan apa?,”
“Risa nak bercerai. Risa tak nak hidup dengan Radhi lagi. Risa tak nak bermadu. Risa tak nak tambah beban dalam hati Risa,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Memandang wajah anak sulungnya itu dengan renungan simpati. Susah untuk dia memberi pendapat. Mahu Arisa teruskan perkahwinan itu, dia yakin Radhi tidak akan berubah. Dia yakin Radhi tidak akan berhenti menyusahkan Arisa. Mahu menyokong Arisa memutuskan hubungan itu, dia juga serba-salah. Bukan elok bercerai-berai. Dia juga tidak mahu anaknya itu menempah gelaran janda.
“Ayah tak tahu nak cakap apa. Serba-salah ayah jadinya. Risa buatlah keputusan yang paling baik untuk Risa,”
Arisa mengeluh perlahan. Sepi waktu petang sebegini memberi dia peluang untuk bercakap panjang lebar. Ketiadaan adik-adiknya membuat dia tergerak untuk berkongsi rasa dengan bapanya. Dia perlu berbincang dengan bapanya. Hal ini bukan hal kecil untuk dia simpan sendiri di hatinya. Keputusan yang ingin dia ambil juga satu keputusan yang akan mengubah hidupnya seratus peratus.
“Tapi…,”
“Tapi apa pula?,”
Arisa menghela nafas panjang. Memandang wajah bapanya yang kelihatan setia menunggu. Dia sedikit serba-salah. Perlukah dia berkongsi dengan bapanya? Atau dia perlu tanggung semua ini sendirian? Perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan kesilapan yang telah dia buat?
“Risa? Ada apa ni? Cuba cerita dengan ayah,”
“Radhi tak nak ceraikan Risa. Dia nak madukan Risa. Dia cakap, kalau Risa bagi dia duit, baru dia akan lepaskan Risa. Kalau tidak, dia tak mahu lepaskan Risa,”
Haji Salleh merengus marah. Turun naik mengawal nafas yang tidak terkawal. Perlahan dadanya diurut. Sungguh sakit hatinya memikirkan tentang menantu sulungnya itu. Arisa bergerak menghampiri bapanya.
“Ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Arisa mengusap perlahan dada bapanya. Sudah mula risau andai jantung bapanya bermasalah lagi. Silap dia, membuka cerita sebegitu pada bapanya. Timbul rasa menyesal di hati. Mungkinkah dia perlu menyimpan masalah ini sendiri?
“Ayah tak apa-apa. Berapa yang hantu tu nak?,”
Arisa diam. Cuma memandang wajah bapanya yang jelas tegang melayan marah.
“Kita bincang lain kali ya, ayah. Ayah tak okay ni. Risa tak nak nanti ayah jatuh sakit,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Mengurut perlahan dadanya. Matanya lari ke wajah anak sulungnya itu. Wajah itu kelihatan hilang seri. Barangkali terlalu banyak derita yang dipendam sendiri.
“Ceritalah pada ayah. Ayah nak tahu. Ayah nak dengar. Sudah-sudahlah makan hati sebab nak lindung kesalahan Radhi tu…,”
Arisa diam seketika. Tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Berdoa agar apa yang meluncur di bibirnya itu, tidak memberi kejutan berat pada bapanya.
“Radhi nak duit…,”lambat-lambat patah perkataan disusun. Melantun dalam nada seperlahan yang boleh. Berharap agar suaranya tidak sampai ke telingan Haji Salleh.
“Berapa yang Radhi minta?,”
Arisa mengangkat muka. Bapanya mendengar.
“Dua puluh ribu, ayah,”
Haji Salleh diam. Mengurut dada yang mula terasa sesak. Arisa menggelebah.
“Ayah… ayah tak apa-apa?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Mengurut dada sambil cuba bernafas setenang mungkin.
“Gila suami kau ni, Risa…,”
Air mata Arisa menitis. Memeluk tubuh tua itu sambil mengurut dada Haji Salleh. Mungkin benar suaminya itu sudah gila. Gila pada duit. Gila pada perempuan.
“Risa minta maaf, ayah. Sepatutnya, Risa dah tak jadi beban pada ayah….,”
“Ayah tak akan biarkan Radhi buat Risa macam ni. Dia ingat dia siapa? Risa ni anak ayah. Ayah tak akan biarkan Risa tanggung semua ni sendiri,”
“Ayah… Risa tak nak panjangkan hal ni. Risa tak nak gaduh. Risa tak nak dia cari pasal dengan ayah. Risa tak nak ayah sakit sebab Risa. Ayah sakit sebab melayan perangai Radhi tu. Risa akan berikan apa yang dia nak…,”
“Banyak tu, nak,”
“Risa akan usahakan. Yang penting, lepas ni biarlah dia lenyap terus dari hidup Risa. Risa tak nak tengok muka dia lagi,”
“Bagi duit macam tu aje pada jantan tak guna tu? Tak cukup selama kahwin dengan kamu, dia peras duit kamu, sampai nak ceraikan kamu pun dia nak peras kamu juga?,”
Arisa tersenyum pahit. Memandang seketika wajah bapanya. Mahu melihat keadaan bapanya itu. Haji Salleh kelihatan sudah sedikit tenang. Perlahan dia tunduk sambil bermain dengan jemari sendiri.
“Risa dah serik, ayah. Risa dah tak sanggup nak hidup dengan dia lagi. Radhi yang jadi suami Risa, terlalu jauh bezanya dengannya Radhi yang mencintai Risa dulu,”Arisa mengadu perlahan. Tidak pernah diluahkan kesengsaraan yang dilaluinya saban hari. Hari ini, dia mahu mengadu pada bapanya. Dia mahu kosongkan hatinya yang tepu dengan kecewa. Kecewa pada sebuah ikatan perkahwinan. Angannya, perkahwinan dia dan Radhi akan menjadi satu perkahwinan yang paling indah. Angannya juga, dia mahu menjadi isteri Radhi yang paling bahagia rentetan hidupnya. Dia cuba menjadi isteri yang sempurna dan Radhi akan cuba menjadi suami yang sempurna juga. Namun, angan-angan itu cuma tinggal satu impian kosong.
“Dulu dia sayang sangat kat Risa, ayah…,”gumamnya perlahan bersama air mata yang bertandang lagi.
“Dia buat Risa rasa Risa manusia paling bertuah dalam dunia ni…,”
Haji Saleh diam seribu bahasa. Hatinya tersentuh melihat air mata itu. Jiwanya menangis mendengar rintihan itu. Dia faham keperitan yang ditanggung oleh Arisa. Selama berkahwin, sepatah pun tiada rungutan daripada bibir itu. Semuanya didiamkan sendiri. Hari ini, apabila anaknya itu bersuara, dia mahu mendengar semua luahan hati Arisa.
“Luahkan semua yang Risa pendam selama ni. Biar ayah dengar semuanya,”
Arisa menggeleng perlahan. Menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi.
“Risa dah tak tahu macam –mana nak luahkan apa yang Risa rasa ni, ayah. Risa rasa macam orang bodoh. Cuba berusaha untuk pulihkan hubungan ini, sedangkan Radhi langsung tak mahu lihat perkahwinan kami jadi lebih baik. Dia cuma leka dengan hidup dia sendiri,”
“Ayah nak yang terbaik untuk anak ayah. Fikirlah apa yang terbaik untuk Risa. Dulu, Risa rasa, Radhi yang terbaik untuk Risa, ayah mengalah. Sekarang pun, ayah tak mahu buat keputusan untuk Risa. Ayah yakin, Risa lebih tahu apa yang hati Risa inginkan,”
Arisa mengangguk perlahan. Merenung wajah tua di hadapannya itu.
“Mungkin ini balasan sebab Risa ingkar pada cakap ayah dulu. Kan?,”
Haji Saleh menggeleng perlahan.
“Jangan sesekali cakap macam tu. Memang ayah tak setuju bila Risa pilih Radhi. Tapi, kalau cuma itu yang boleh buat Risa bahagia, ayah restu. Ayah tak akan sampai hati nak buat anak ayah hidup susah. Ayah tetap sokong anak ayah,”
“Risa minta maaf, ayah. Risa tak pernah jadi anak yang menyenangkan. Tak habis-habis Risa bagi masalah pada ayah,”
“Sekarang ni, Risa fikirkan masa depan Risa. Bukan pandang ke belakang. Yang dah berlaku, kita tak mampu nak ubah. Tapi, kita mampu mengubah masa depan kita. Fikir dalam-dalam. Doa banyak-banyak. Apa pun keputusan Risa, ayah akan tetap sokong anak ayah,”
“Terima kasih, ayah…,”perlahan Arisa berbisik sambil memeluk tubuh itu. Tenang hatinya apabila bapanya menepuk perlahan belakangnya. Juraian air mata jatuh ke pipi. Membasuh semua kesedihannya. Lega hatinya apabila semua yang tersimpan kini terluah sudah.



*****

8 comments:

The Lady Chosen said...

best2 kak hanni ..nk jadi novel ekk..x sbr nk tunggu kesudahannyer~ great

Faten said...

haha, novel pulak...xkesah la, cerpen pun rasa mcm dah panjang sgt.. so nanti akan dibukukan ke kak?

itu_aku +_^zue said...

x kisah la
yg penting n3 s'tiasa ada

Anonymous said...

ala..makin lama r nk tggu ending cite nie...x saba r...

izzahmdshah said...

KSRI bila nk publish kak?

miznza84 said...

suka sgt.. thanks kak hani..

< siti nurainin sofia > said...

waduh.............bestnya!!!!!!!!!!!!!gempak!!!!!!!!!!!!! follow.............

miss bomb....bombastic! said...

kak lagi kak... x saba nih..

[11:35:50 PM] hos.getah: