Monday, June 13, 2011

Mungkinkah? 2

 SILA ABAIKAN MUNGKINKAH? 1-16 DI MINI LOVE STORIES. SIRI INI SEDANG DIUBAH SUAI KE BENTUK NOVEL. MAAF UNTUK KEKELIRUAN YANG MUNGKIN TIMBUL.   



BAB DUA






                Arisa memerhati di balik pantulan cermin. Melihat Radhi yang sedang bersiap. Bibirnya berat untuk bersuara. Malas mahu bertanya. Paling tidak, jawapan yang bakal menjamah telinganya pasti akan menyakitkan hatinya. Biarlah Radhi dengan caranya. Dia sudah tidak kuat lagi untuk mempertahankan hubungan ini.
            “Tak nak tanya aku nak ke mana?,”
            Arisa menggetap bibir. Berpaling mencari wajah Radhi. Soalan itu seakan sengaja mahu memercikkan api kemarahan. Mencetuskan pertelingkahan seperti biasa. Kalau ikutkan hati yang tidak pernah reda dengan rasa kecewa, undangan pertengkaran itu mahu saja disambut dengan senang. Namun, memikirkan pertengkaran demi pertengkaran tidak dapat mengubah apa-apa dia memilih untuk diam. Merenung wajah selamba itu seketika.
            “Risa tak nak tanya. Risa cuma nak bincang. Kita perlu berbincang,”
            “Bincang apa? Dah ada duit? Kalau tak ada, tak apa yang hendak dibincangkan,”
            “Abang… kenapa abang berubah sampai macam ni sekali? Kenapa abang sanggup nak lukakan perasaan Risa? Apa salah Risa pada abang?,”
            Reaksi Radhi yang sekadar menjongket bahu, membuat hatinya membara. Mengundang geram yang tidak berpenghujung. Senyum sinis Radhi hampir membuat air matanya menitis. Tidak pernah ada ruang untuk dia berbincang dari hati ke hati dengan Radhi. Radhi tidak mahu berbincang tentang masalah mereka.
            “Arisa? Are you okay?,”
            Imej Radhi hilang perlahan-lahan. Dia mengangkat muka. Bertemu dengan senyum nipis majikannya.
            “Encik Karim… sorry. Encik Karim perlukan apa-apa?,”sedikit kalut dia bersuara. Membuang perasaan sedih yang mula menyelubungi hati.
            “Awak ada masalah?,”
            Arisa menggeleng. Dan gelengannya bersambut dengan senyum lebar Encik Karim. Lembut renungan lelaki itu sambil berpeluk tubuh.
            “Awak bukan sehari dua bekerja dengan saya. Kalau ada masalah, selesaikan segera. Kalau perlukan bantuan saya, cerita pada saya,”
            Arisa tersenyum tawar. Sekali lagi dia menggeleng sambil menggaru kepala.
            “Encik Karim perlukan apa-apa ke?,”Arisa mengulangi soalan yang sama.
            “Sure okay ni?,”
            “Saya okay,”
            “Kalau okay, baguslah. And, saya tak mahu apa-apa. Cuma nak bertanya…dah lunch hour. Awak tak makan ke?,”
            Arisa termangu seketika. Mata dilarikan pada jam di dinding. Pukul satu tengahari. Rupa-rupanya dia leka melayan lamunan. Melayan masalah yang membelenggu diri.
            “Oh…,”
            “Oh?...,”Encik Karim bersuara sambil tersenyum. Arisa mengukir senyum terpaksa.
            “Tak perasan…,”ujarnya perlahan sambil mengangkat punggung. Encik Karim tergelak kecil.
            “Itu sebabnya saya cakap awak ada masalah. Awak hilang fokus,”
            “Pandailah Encik Karim ni…,”
            “Memang saya pandai. Dah. Jom…join lunch dengan saya,”
            Arisa menggeleng perlahan.
            “No, thanks. Saya makan sendiri,”
            “Jangan risau. Join me dengan my wife. Kami ada lunch date hari ni,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Lagilah… no thanks. Bertiga nanti crowded,”usik Arisa bersama senyum hambar.
            “Ya ke? Saya berlima dengan anak-anak, kenapa tak rasa crowded pun?,”
            Arisa tergelak lagi. Pandai majikannya ini membuat dia lupa seketika pada masalah yang ditanggung.
            “Okaylah Encik Karim. Saya keluar lunch dulu. Enjoy your lunch ya. Kirim salam pada Puan Salma,”
            Sambil mengeluh perlahan Encik Karim mengangguk. Mengukir senyum manis buatnya.
            “Silakan…,”lelaki itu bersuara sepatuh berbisik.
            Arisa tersenyum sambil terus mengatur langkah meninggalkan lelaki itu. Melihat kebanyakan meja yang sudah kosong. Masing-masing hilang mencari hidangan makan tengahari. Nampaknya dia makan sendirian hari ini.
            “Risa. Baru nak keluar makan ke?,’
            Sekilas dia menoleh. Tersenyum lebar melihat langkah laju Tasnim. Dia menjawab dengan anggukan perlahan.
            “Good. Ada teman aku nak makan,”
            “Jomlah. Aku pun seorang ni,”
            Tasnim tersengih sambil melangkah bersaing. Arisa pula tersenyum nipis. Sekurang-kurangnya ada teman untuk dia makan tengahari bersama.


****

            “Macam tak ada selera aje?,”
            Arisa mengangkat muka. Sudu yang dikuis-kuis perlahan di pinggan, terhenti dengan sendiri. Diletakkan perlahan di tepi pinggan.
            “Tak laparlah,”
            Tasnim tersenyum panjang. Menongkat dagu sambil merenung wajah Arisa.
            “Cuba kau cerita apa masalah kau sebenarnya? Sejak akhir-akhir ni, makin murung aku tengok kau ni,”
            Arisa diam. Memandang wajah Tasnim buat seketika. Kemudian melepaskan satu keluhan yang cukup panjang.
            “Entahlah Nim. Susah aku nak cakap,”
            Tasnim perlahankan suapan. Memandang wajah Arisa yang jelas seperti sedang bermasalah..
            “Pasal apa? Pasal kerja? Or…peribadi?,”
            Tanpa menjawab, Arisa terus memandang wajah Tasnim. Seorang rakan sekerja yang rapat dengannya.
            “Betul nak tahu?,”
            “Kalau kau nak share…,”
            Arisa mengangguk perlahan.
            “Radhi…,”sepatah nama itu mengiringi anggukannya.
            “Kenapa dengan Radhi? Apa yang dia dah buat?,”
            “Dia nak kahwin lain,”
Kunyahan Tasnim terhenti. Bulat memandang wajah Arisa. Dia kenal Arisa. Dia juga tahu sedikit sebanyak tentang Radhi, walau Arisa jarang bercerita soal rumahtangganya. Radhi mahu berkahwin lagi? Sukar untuk dia percaya.
            “Kau ni. Cakap biar serius,”
            “Dia nak kahwin dengan janda muda kematian suami,”
            Tasnim diam seketika. Meneguk jus tembikai sambil menolak pinggan nasi. Mahu mendengar keseluruhan cerita temannya itu.
            “Sorry… bukan aku nak persendakan suami kau. Tapi, Radhi tu kan tak kerja. Nak kahwin lain pulak? Macam mana dia nak tanggung dua isteri sekaligus?,”
            Arisa diam. Satu lagi kenyataan yang membias rasa malu diwajahnya.
            “Kau setuju?,”
            Pandangannya dibawa ke wajah Tasnim sebaik soalan itu meniti di bibir Tasnim.. Tersenyum kelat sambil melurut rambutnya yang jatuh ke bahu.
            “Isteri mana yang setuju suami dia kahwin lain? And… kalau aku cakap, aku tak setuju, kau rasa dia akan batalkan niat dia tu?,”
            Tasnim mengeluh perlahan. Simpati melihat keadaan teman sekerjanya itu. Arisa bagai lupa cara untuk bergembira semenjak berkahwin. Dalam diam, dia sedar perubahan itu. Tetapi, apabila Arisa begitu berhati-hati tiap kali bercakap soal perkahwinannya, dia akur. Menghormati pendirian Arisa  yang tidak mahu bercerita soal peribadinya itu.
            “Masalah kau sebenarnya lebih besar dari ini, kan?,”
            Soalan Tasnim dijawab dengan anggukan kecil. Dia perlukan pendapat seseorang untuk keputusan yang telah dia ambil. Mungkin Tasnim calon paling layak untuk tujuan itu.
            “Takkan kau nak tanggung seorang semua beban hati tu?,”
            “Aku nak tarik diri. Aku tak nak teruskan lagi perkahwinan aku dengan Radhi. Masa depan aku makin gelap kalau aku teruskan. Kalau aku ada anak…macam mana? Apa akan jadi pada anak aku? Dengan perangai suka berfoya-foya dia yang tak pernah dia nak buang tu. Aku serik, Nim. Aku nak mulakan hidup yang lebih tenang,”
            “Kalau kau dapat anak tiri, macam-mana? Mesti bertambah masalah kan?,”
            Arisa tersenyum kelat.
            “Hey! Aku seriuslah. Dia tak kerja. Siapa nak tanggung semua anak-anak dia? Kalau janda tu kaya, tak apa. Kalau kayap? Kau nak kena tanggung semua?,”
            “Janda kaya. Sebab tu dia sanggup nak kahwin lain…,”
            “I see….,”gumam Tasnim bersama anggukan kecil.
            “So? Sekarang ni, apa masalahnya?,”
            “Dia bagi kata dua pada aku, bila aku minta dia lepaskan aku,”
            “Kata dua?,”
            Arisa tersenyum tawar. Tunduk seketika sebelum mengangkat muka, menebarkan pandangan ke ruangan restoran yang luas.
            “Risa?,”Tasnim bersuara dengan nada kurang sabar.
            “Aku bagi dua puluh ribu pada dia, baru dia akan lepaskan aku…,”
            “What?! Dua puluh ribu? Masa kahwin dulu berapa hantaran yang dia bagi kat kau?,”
            “Lima ribu. Tu pun duit aku,”balas Arisa bersahaja.
            “Jantan macam tu pun ada kat dunia ni? Tak sedar diri betul! Geramlah aku dengar,”
            “Aku tak nak fikir semua benda yang dah berlalu. Sekarang ni, aku tengah buntu nak cukupkan dua puluh ribu. Kemudian bagi kat dia…Aku pun bukan orang senang. Bukan mudah nak cari duit sebanyak tu,”
            Tasnim menelan liur.
            “Banyak tu Risa. Kau tak rasa sia-sia ke senangkan lelaki macam tu? Senang-senang dia dapat duit dua puluh ribu. Apa kata kau cuba minta fasakh. Dengan rekod buruk dia, mungkin ada pembelaan untuk kau,”
            Arisa mengeluh lemah. Kurang bersetuju dengan usul Tasnim.
            “Panjang ceritanya nanti. Aku kenal Radhi. Dia suka menyusahkan aku. Kalau tak dapat apa yang dia nak, mesti dia akan terus susahkan aku. Aku tak kisah kalau aku kena hadapi semua tu. Tapi, aku tak sanggup tengok ayah aku tertekan dengan kerenah Radhi nanti. Ayah aku tak sihat, Nim. Perangai Radhi sekarang ni pun, dah cukup buat dia susah hati. Aku kasihankan ayah aku. Kalau boleh aku nak semua ni cepat-cepat berakhir. Aku nak Radhi berhenti ganggu aku dan ayah aku. Kesian ayah aku…,”
            Tasnim termenung.
            “Kau dah cuba bincang elok-elok?,”
            "Tak ada apa yang nak dibincangkan. Dia dah tak macam dulu. Tak tahu ke mana hilang cinta dia dulu. Lagipun, tiap kali aku ajak dia berbincang, dia tak nak,”
            “Kau pula? Kau masih sayangkan dia? Masih cintakan dia?,”
            Arisa menjongket bahu perlahan.
            “Aku kecewa. Aku tawar hati,”
            “Aku tak tahu nak cakap macam-mana. Aku simpati dengan kau. Tapi, kau fikirlah masak-masak. Banyak jumlah duit yang dia minta tu,”
            “Daripada aku terus makan hati…sakit hati…mungkin aku perlu korbankan duit aku,”
            “Apa kata kau minta nasihat dulu? Dengar apa kata pejabat agama. Refer ke sana dulu ke?,”Tasnim cuba memberi cadangan.
            Arisa mengeluh perlahan. Cadangan Tasnim dibiarkan menyapu perlahan gegendang telinganya. Was-was untuk mengheret Radhi ke pejabat agama dan membiarkan kes perceraian menjadi meleret dan tergantung andai permintaan lelaki itu tidak dipenuhi. Tidak mungkin Radhi akan lepaskan dia semudah itu.
            “Pelik aku. Kau kahwin atas dasar cinta. Kenapa dia boleh berubah macam tu?,”
            Arisa menggeleng lemah. Dia sendiri tidak pernah menjangka Radhi akan berubah sebegitu sekali. Atau mungkin dari dulu lagi, Radhi tidak pernah serius mencintainya? Mungkin benar tekaan bapanya. Radhi cuma mahu mendapatkan kesenangan dengan kelebihan yang ada padanya. Walau apa pun punca yang menyebabkan Radhi berubah, itu bukan lagi persoalan utama yang perlu dia fikirkan saat ini. Ada perkara lain yang jauh lebih penting. Dia perlu memikirkan soal masa depannya. Dia perlu fikirkan untuk menyenangkan hati bapanya yang sudah begitu lama turut terseret dengan onar Radhi. Dia mahu hidup bersama dengan bapa dan adik-adiknya tanpa ada gangguan yang menyakitkan hati.
            “Risa…,”
            Lamunan Arisa terputus. Matanya melekat pada wajah Tasnim. Gadis itu seakan mahu memberitahu sesuatu padanya.
            “Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
            Arisa jegilkan mata.
            “Kau gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu? Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
            Tasnim mengeluh perlahan.
            “InsyaALLAH boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
            Arisa menggeleng laju. Langsung tidak bersetuju dengan cadangan itu.


******

7 comments:

Minsofea said...

...nk menangani masalah rumahtangga yg biasa2 ni pun dh nk stress....kalau masalah mcm arisa ni x tau la.....
...arisa penyabar orangnya kan?!

aqilah said...

tu la tu,.....masalah yg biasa-biasa pun dah tension, ni kan dapat suami mcm Radhi........nauzubillah......
apapun, best!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

sofi said...

hanni, cepat2 jdkan novel ya. good storyline citer ni tau...

farAh manaf said...

nak lg.... :)

Hanni Ramsul said...

Min & aqilah: rencah hidup berumah tangga :)
Kak Sofi: Tq sudi jengah blog saya. InsyaALLAH kalau ada rezeki mmg niat di hati kita sebagai penulis, sentiasa begitu. betul tak? :)

miznza84 said...

berat sungguh masalah Arissa..
nk diamkn makan diri sendiri.. nk minta tlg orang memalukan plak.. ibarat diluah mati emak ditelan mati ayah.. harap2 dia tabah..

IVORYGINGER said...

Ini lah masalah perempuan Malaysia. Takut malu n meleret ceta nya pasal. takut nk mengadu kat mahkamah syariah. Bila kes dah teruk tpapar kat kaca tv br nk mgaku yg suami tak btanggungjawablah xbg nafkah xlayan baik. Tgk skrg ni bnyk ja kes jenayah blaku smpai berbunuhan pun ada kes suami isteri ni. For example kes Arissa n Radhi. Org mcm Radhi tu jgn bagi muka. sepatutnya refer mahkamah jgn bayar sesen pun. Org tak guna camtu kaki kikis duit org jgn dilayan baik. If say Radhi ganggu boleh ja dpt perintah mahkamah utk jauhkan dia dr mengganggu Arissa. Undang2x negara kan ada apa yg takutnya. Aduh... kesian betul.

[11:35:50 PM] hos.getah: