Saturday, November 1, 2008

Pergilah Air Mata 6


“Jadi juga kamu ambil barang-barang kamu ya?,”
Sabrina mengangguk.
“Itulah yang kamu nak sebenarnya, kan?,”
“Nak? Nak apa mama?,”
Bulat membutang mata Datin Hamidah merenungnya.
“Jangan panggil aku mama. Aku tak pernah terima kau menjadi menantu aku, tahu!,”
Sabrina tunduk.
“Saya minta maaf, Datin,”
“Huh! Itu sajalah yang kamu tahu. Maaf…Maaf…Maaf…,”
Sabrina diam. Melawan air mata yang mahu bertandang. Dia penat menangis. Dia tidak mahu menangis lagi.
“Kamu memang ada niat nak tinggal dalam rumah besar ni, kan?,”
“Apa maksud Datin?,”
“Kamu sengaja masuk bilik anak aku. Sengaja rancang tangkap basah tu, kan? Semata-mata nak hidup senang dalam rumah besar ni. Kan? Aku tak fahamlah. Manusia sekarang, sanggup buat apa saja semata-mata nak hidup senang. Sanggup gadai maruah. Sanggup biarkan diri kena tangkap khalwat dengan orang yang kau sendiri tak kenal betul buruk baik perangainya,”
“Tak. Saya bukan macam tu, Datin. Saya pun tak…,”
“Dah…dah… aku tak nak dengar alasan kau yang berkarung-karung tu. Aku nak kau ingat satu perkara saja. Jangan ingat, bila kau dak boleh masuk dalam rumah ni, hidup kau akan senang. Tak. Jangan nak bermimpi,”
Sabrina sebak menahan sendu. Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Terus memburu pendengarannya. Setiap kali teringatkan kata-kata Datin Hamidah, terasa betapa kotornya dia di dalam banglo itu. Tidak pernah dia bermimpi untuk tinggal di situ. Keluarga Datuk Hamidi pun dia tidak pernah kenal. Badrul sendiri pun dia tidak pernah kenal. Bagaimana mungkin dia boleh menyimpan niat sejahat itu pada Badrul dan keluarganya? Air mata yang mulai memberat di bibir mata, cepat-cepat dia sapu. Tidak mahu air mata itu menitis di hadapan Badrul. Takut kata-kata sinis Badrul pula yang menghiris perasaannnya. Hatinya yang remuk bagai tidak dapat dirawat lagi.
“Kau ni, kenapa pula?,”
Sabrina menggeleng laju. Badrul menjeling sekilas. Bukan dia tidak sedar akan air mata yang bertakung di mata gadis itu. Melihat gelengan Sabrina, dia terus menyambung kosentrasi pada pemanduannya. Malas melihat air mata gadis itu. Namun, dia sedar. Kebelakangan ini, Sabrina berusaha untuk tidak menitiskan air mata di hadapannya. Setiap permintaannya, pasti Sabrina akan penuhi.
“Kat mana rumah sewa kau?,”
Sabrina mengangkat muka perlahan.
“Jalan terus. Selang tiga rumah, itulah rumah saya,”
“Siapa ada di sana sekarang?,”
“Entah. Mungkin kawan saya,”
Badrul diam. Terus mengemudi kereta dengan hati-hati.
Sabrina menahan nafas seketika. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang sebaik Badrul memperlahankan kereta di hadapan teres dua tingkat yang dia sewa bersama Maria. Toyota Rush hitam di hadapan pagar membuat nafasnya menjadi sesak. Membuat sendu bertandang lagi. Membuat jemarinya dingin serta merta. Kenapa kereta itu harus berada di situ?
“Tak nak turun ke?,”
Sabrina tersentak. Soalan dingin Badrul tidak dijawab. Perlahan dia membuka pintu kereta.
“Awak nak tunggu atau nak balik dulu?,”
“Suka hati akulah,”
“Tapi, saya balik dengan kereta saya ya?,”
“Kau keluar. Tinggalkan aku di sini. Aku nak tunggu ke. Tak nak tunggu ke, itu aku punya pasal. So, may you…?,”
Sabrina diam. Membiarkan sinis bicara Badrul larut di relung hatinya. Membekas di situ. Meninggalkan rasa ngilu yang pasti akan merembeskan lagi air mata di pipi. Perlahan dia menarik nafas. Perlahan juga dia melangkah keluar dari kereta. Melangkah perlahan mendekati Toyota Rush milik Ikmal. Apa Ikmal buat di sini? Bagaimana dia mahu berhadapan dengan lelaki itu. Rasa malu tiba –tiba menyerbu. Malu untuk berdepan dengan Maria dan Badrul, walaupun apa yang berlaku bukanlah salahnya. Dia berpaling ke belakang. Badrul masih di situ. Memerhati tiap langkahnya dari dalam kereta. Dia berdiri seketika di pintu pagar. Mencari sisa kekuatan untuk berdepan dengan insan-insan yang dia sayang. Cuma itulah yang dia ada. Dia Cuma ada Maria dan Ikmal. Namun, rasanya situasi sekarang sudah tidak seperti dulu. Peristiwa hitam itu pasti akan mengubah segala-galanya. Perlahan dia menekan loceng di pintu pagar. Agak lama, Maria terjengul di muka pintu. Dia kaku menatap wajah Maria. Tidak tahu harus menunjukkan reaksi yang bagaimana.
“Ina!,”
“Mar… aku…,”Sabrina cuba bersuara. Namun suaranya terputus di situ. Maria berkejar di pintu pagar. Melihat wajah Maria, air mata sudah laju turun di pipinya. Maria menolak pintu pagar. Memberi ruang Sabrina melangkah masuk.
“Ina…kau datang seorang ke?,”
“Mar…,”Sabrina cuba bersuara lagi. Sekali lagi juga, suaranya tersekat di kerongkong. Sudahnya dia menerkam Maria. Menjatuhkan dirinya ke dalam pelukan Maria. Menangis di bahu Maria. Membuat Maria sedikit tergamam.
“Ina. Sudah. Cuba bertenang. Kenapa ni?,”
Sabrina terus menangis. Tidak punya kekuatan untuk menjawab soalan Maria. Sudah lama dia ingin melampiaskan kesedihannya dengan seseorang. Dengan seseorang yang rapat dengannya.
“Kita masuk dulu,”Maria bersuara sambil memaut bahu Sabrina. Membiarkan sahaja Sabrina terus melayan tangisnya. Masak dengan perangai Sabrina.
“Duduk dulu,”
Sabrina akur. Melabuhkan punggung ke sofa. Menyapu air mata yang bertandang tanpa henti. Maria mengambil tempat di sebelah Sabrina.
“Sorry Ina. Masa kau telefon aku, aku kat kampung. Line tak berapa elok. Sekarang ni, pula, memang aku sibuk sangat. Tak sempat nak telefon kau,”Maria bersuara sambil memandang wajah Sabrina yang basah dengan air mata.
Sabrina tunduk. Walau sedikit sedih dengan sikap Maria, dia tidak boleh memaksa Maria memberi perhatian padanya. Dia harus faham situasi Maria.
“Aku faham,”
“So, kau macam mana sekarang?,”
“Aku rasa teruk sangat Mar. Aku tak kuat nak lalui semua ini. Aku tak salah Mar. Aku tak salah,”
“Macam mana kau boleh ada dalam bilik orang tu?,”Maria bertanya perlahan.
“Aku tak tahu. Aku ingat itu nombor chalet yang kau bagi. Mungkin aku tersilap dengar…,”
Maria diam. Terus memandang wajah hiba temannya itu.
“D07 kan? Nombor tu yang kau cakap kat aku kan?,”soal Sabrina sambil menatap wajah Maria. Maria kerutkan kening.
“G07 lah Ina. Aku beritahu kau, G07,”
Mendengar kata-kata Maria, Sabrina sekali lagi menangis. Dia menutup muka dengan kedua-dua telapak tangannya. Bodohnya dia. Kerana kebodohannya yang sekecil itu, masa depannya gelap sama sekali.
“Bodohnya aku, Mar. Kenapa nasib aku jadi macam ni?,”
Maria memadang simpati.
“Aku tak tahu nak cakap apa, Ina. Aku tumpang simpati,”
“Aku dah tak boleh nak bersihkan nama aku. Semua orang ingat aku ni jahat, Mar. Semua orang ingat aku sengaja buat perangkap ni. Aku kehilangan segala-galanya. Segala-gala yang aku usahakan selama ini. Aku kehilangan kerja aku. Aku kehilangan Ikmal…,”
“Pasal kerja kau tu…aku minta maaf. Aku tak ada niat nak ambil- alih,”
“Aku faham, Mar. Encik Taufik telefon aku. Minta aku serahkan surat perletakan jawatan. Aku tak tahu dari mana dia tahu semua ni. Dia langsung tak beri peluang untuk aku bela diri. Sama dengan semua orang sekeliling aku sekarang. Lebih suka menuduh daripada mendengar. Dia juga beritahu aku, kau akan ambil alih tempat aku. Aku tak marah. Aku tahu, kau pun tersepit di tengah-tengah,”
Maria tersenyum kecil.
“Syukurlah kau faham,”
Sabrina tersenyum hiba. Jawatan yang dia idamkan, terpaksa dia lepaskan begitu sahaja. Dia tahu kini, Maria yang menyandang jawatan itu. Pengurus kewangan. Bermatian dia bekerja dan berusaha untuk sampai ke situ. Belum sampai sebulan dia di kerusi itu, dia diminta berhenti kerja. Alasan Encik Taufik cukup mudah. Dia tidak perlukan pekerja yang tidak bermoral untuk berkhidmat di syarikatnya. Sabrina menyapu lagi air matanya.
“Aku datang nak ambil barang-barang aku…,”
Maria mengangguk perlahan.
“Ikmal?,”
Maria kerutkan kening.
“Aku Nampak keretanya kat depan,”
“Oh… dia datang tadi. Kereta aku rosak. Dia tolong hantar ke bengkel. Sebab, aku nak kena tunggu kau kat sini, kan?,”
Sabrina mengangguk perlahan. Rindunya dia pada Ikmal. Rindu yang tidak terucap. Namun, dia tahu, antara dia dengan Ikmal sudah menjadi kenangan. Dia sudah menjadi isteri orang.
“Maaf. Aku menyusahkan kau pula,”
Maria tersenyum manis.
“Tapi, kau boleh uruskan seorang kan? Aku nak keluar kejap. Kejap jer. Ada hal sikit. Kalau tak sempat tunggu aku, letak kunci rumah, kat tempat biasa,”
Sabrina diam seketika. Entah kenapa, tiba-tiba dia berasa Maria di hadapannya bukan lagi Maria yang dulu. Maria Nampak berbeza. Maria sudah tidak berusaha menyejukkan hatinya seperti selalu. Maria tidak lagi memberi kata-kata semangat padanya. Adakah Maria pun sama dengan Ikmal? Sudah tidak percaya pada kata-katanya lagi? Adakah Maria pun sama dengan orang di luar sana yang lebih suka menghukumnya tanpa memberi kesempatan untuk dia membela diri?
“Boleh kan?,”
Rasa hiba menjenguk lagi. Dia mengangguk perlahan. Biarlah Maria ingin pergi. Dia tidak mahu memaksa. Dia ke sini pun sekadar mengambil barang-barang pentingnya sahaja. Maria tersenyum sambil mengangkat punggung.
“Thanks. Aku pergi dulu,”
Sabrina mengangguk lagi. Maria berlalu keluar. Dia pula menghayun langkah ke biliknya dengan perasaan yang kosong. Tiada lagi sedih. Tiada lagi hiba. Tiada juga marah. Dia seolah-olah sudah kehilangan rasa. Untuk seketika, dia memandang biliknya. Kemas dan tersusun seperti semasa dia tinggalkan hampir sebulan yang lalu. Perlahan dia membuka almari. Mengambil beg pakaian dan memasukkan semua pakaiannya ke dalam beg. Selesai di situ, dia bertenggek di birai katil. Patung teddy bear besar di atas katil, dipegangnya. Hadiah Ikmal yang sering menjadi teman tidurnya. Hatinya berbisik. Perlukah hadiah ini dibawa bersama? Membawa hadiah ini, sama seperti dia membawa kenangan Ikmal bersamanya. Bagaimana mungkin dia boleh hidup bersama kenangan itu, walhal, saat ini dia sudah bergelar isteri kepada lelaki bernama Badrul. Tetapi, rasanya tidak kena untuk dia tinggalkan kenangan itu di sini. Akhirnya dia menarik patung besar itu ke pelukannya. Biarlah patung ini menjadi penemannya. Peneman untuk dia lalui hari-hari duka yang mendatang. Dia memandang sekeliling. Tiada lagi barang penting yang ingin dia bawa bersama. Dengan longlai, dia mencapai pen di meja solek sambil mengambil sehelai kertas dari dalam laci.

[ Maria, Aku dah ambil, semua yang aku mahu. Apa yang aku tinggal ni, terserahlah pada kau sama ada nak simpan atau buang….. Sabrina]

Perlahan dia melipat kertas itu, lalu diletakkan di atas meja solek. Perlahan juga dia mengangkat punggung. Mencapai beg pakaian yang besar, sambil mendukung teddy bear di pinggangnya. Buat kali terakhir dia memandang sekeliling biliknya sebelum dia melangkah keluar. Bergerak ke arah Gen 2 birunya. Memasukkan beg pakaiannya ke dalam kereta. Pergerakannya terhenti apabila sebuah kereta berhenti di hadapan pintu pagar. Kereta milik Maria. Berderau darah naik ke muka, saat dia melihat Ikmal melangkah keluar dari kereta itu. Tergamam. Ikmal berdiri seketika sambil matanya tajam menikam wajah Sabrina. Dengan langkah sedikit kekok, dia melangkah masuk ke laman rumah. Sabrina tunduk. Tidak kuat berdepan dengan Ikmal. Kata-kata Ikmal tempoh hari masih berbekas di hatinya.
“Ina,”
Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Wajah Ikmal sedikit cengkung. Melihat wajah itu, meninggalkan rasa simpati di hati Sabrina. Pasti Ikmal sedih dengan apa yang berlaku.
“Abang sihat?,”soal Sabrina perlahan. Ikmal diam. Cuma matanya menangkap seraut wajah Sabrina sepuas-puasnya.
“Ina minta maaf. Ina dah kecewakan abang,”Sabrina bersuara lagi apabila melihat Ikmal membisu. Mata Ikmal terarah pada patung beruang di dalam pelukan Sabrina. Gadis itu masih mahukan hadiahnya. Hati Ikmal sedikit tersentuh.
Melihat kebisuan Ikmal, Sabrina menjadi salah tingkah.
“Ina pergi dulu ya?,”akhirnya Sabrina mengambil keputusan mengeundur diri. Tidak betah berdepan dengan kebisuan Ikmal.
“Ina… tunggu,”
Sabrina menoleh. Ikmal bergerak ke kereta Maria. Mengeluarkan satu kotak dari situ, kemudian kembali mendapatkan Sabrina ini. Kotak itu dihulurkan pada Sabrina.
“Apa ni?,”
Ikmal diam lagi. Pantas tangannya membuka penutup kotak. Air mata jatuh lagi. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Ikmal. Ikmal kelihatan sedikit serba salah. Bukan senang untuk dia membuat keputusan ini. Satu keputusan sukar yang perlu dia lakukan demi untuk melupakan kekasih hatinya itu. Dia tidak boleh terus melayan rasa cintanya pada isteri orang.
“Kenapa?,”dalam sebak Sabrina bertanya.
Ikmal menyepi.
“Macam tu sekali ke Abang bencikan Ina? Abang macam tak kenal Ina langsung,”
Hibanya hati Ikmal mendengar rintihan itu. Namun, apa dayanya?
“Mungkin ini yang terbaik untuk kita,”Ikmal bersuara serak. Melihat air mata Sabrina, mahu sahaja dia menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu seperti selalu. Tapi, dia tahu, semua itu salah.
Sabrina menyeka air matanya. Kotak berisi hadiah pemberiannya kepada Ikmal dipandang sekali lagi. Ikmal memulangkan semua hadiah yang pernah dia beri. Pilunya hati ini.
“Mungkin Ina pun tak patut simpan ini….”
Patung beruang terlepas dari tangannya. Ikmal menahan sebak. Sabrina pula, terus membiarkan air mata menemaninya. Tiada siapa lagi yang akan memujuknya selepas ini.
“Sama seperti yang ada di fikiran aku!,”
Sabrina tersentak. Ikmal menoleh.
“Ini tujuan sebenarnya kan? Siapa ni? Kekasih kau?,”keras soalan Badrul membuat Sabrina terkedu. Sangkanya Badrul sudah pulang.
“Ini…,”
“Ikmal,”Ikmal bersuara agak lantang. Geram melihat layanan kasar lelaki ini pada Sabrina.
“So, ini semua rancangan kau berdua ya? Berpakat nak mengikis harta aku?,”
“Tak,”hampit terjerit Sabrina menidakkan.
“Cakap baik-baik sikit,”Ikmal membalas geram. Sabrina kecut. Melihat wajah berang kedua-dua lelaki di hadapannya itu, membuat dia gerun.
“Jom, balik,”tengking Badrul sambil menarik tangan Sabrina.
“Tapi, kereta saya? Biar saya drive…,”
“Tak payah. Kau balik dengan aku!,”
“Minta maaf! Aku bukan nak masuk campur. Tapi, tolong jangan layan Sabrina macam ni,”suara Ikmal meninggi tiba-tiba.
“Kenapa? Kau nak aku layan kekasih kau ni, macam mana? Macam permaisuri? Dengar sini! Sabrina, aku tak akan lepaskan kau. Di hadapan kekasih hati kau ni, aku bersumpah aku akan pastikan hidup kau benar-benar hancur. Kau berdua tak akan dapat apa yang kau berdua rancangkan tu. Tak akan,”
“Apa kau cakap ni? Jangan sembarangan cakap,”
Badrul merengus marah. Tangan Sabrina disentap kuat, membuat Sabrina terdorong ke depan sambil menyeringai kesakitan.
“Jangan buat dia macam tu,”tengking Ikmal sambil menahan laluan Badrul.
“Kalau aku buat juga kenapa? Kau nak pukul aku? Silakan. Peliklah kau ni. Kau sanggup serah kekasih kau pada lelaki lain. Sanggup tengok kekasih kena tangkap basah tapi, kau tak sanggup tengok dia kena marah?,”
“Sudahlah tu!,”Sabrina menjerit tiba-tiba. Gerun melihat tangan Ikmal yang sudah mula mahu menghayun penumbuk ke muka Badrul. Juga gerun melihat wajah Badrul yang memerah menahan amarah.
“Sudahlah bang. Jangan macam ni,”
“Dia tak patut layan Ina macam ni,”
Sabrina memandang wajah Badrul.
“Saya balik dengan kereta saya?,”
“Balik dengan aku! Kereta tu, nanti suruh orang datang ambil,”tegas suara Badrul mengunci bicara Sabrina.
Suara yang mengundang geram di hati Ikmal sekali lagi. Entah kenapa hatinya sakit melihat Sabrina diperlakukan sebegitu.
“Abang… biarkan Ina,”Sabrina cepat-cepat bersuara sebaik melihat wajah marah Ikmal. Ikmal diam. Badrul pula terus menarik kasar tangan Sabrina, menuju ke kereta. Sabrina panjangkan langkah mengikut langkah Badrul yang laju. Hatinya kecut memikirkan tindakan Badrul selepas ini.
***

3 comments:

Anonymous said...

menangis bce PAM ni .
walaupun dh bce byk kali . huhu .

Hanni Ramsul said...

TESTING AJERR...

dixie dollz said...

beshh nyer haha :]!

[11:35:50 PM] hos.getah: