Saturday, November 1, 2008

Kuseru Rindu Itu... 1

Dia merenung kosong ke satu arah yang tidak pasti. Tidak ubah seperti perjalanan hidupnya yang tidak pernah ada kepastian yang nyata. Bagai tidak ada noktah yang membahagiakan di dalam hidupnya. Segalanya tinggal tergantung tanpa sebarang kepastian. Dan, akhir-akhir ini, persoalan itu acapkali melingkari fikirannya. Membelit perasaannya. Membuat dia lemas di dalam ketidakpastian perjalanan hidupnya. Dia takut sebenarnya. Takut kebahagiaan yang membaluti dirinya saat ini, bakal terlucut dari genggaman. Tidak sanggup dia bayangkan.
“Mama,”
Perlahan dia menoleh. Menatap wajah kecil yang cukup comel di matanya. Anak kecil berusia empat tahun itu melangkah merapatinya. Perlahan dia merangkul tubuh kecil itu. Erat di dalam pelukannya. Cuma anak itulah sumber kebahagiaannya yang hakiki. Kasih sayang anak itu tidak perlu dia ragui.
“Mama. Nape mama cedih?,”
Idayu tersenyum kecil mendengar soalan anaknya yang agak pelat. Perlahan dia mencium pipi gebu anak tunggalnya itu. Anak itu merenung wajahnya menanti jawapan.
“Mana ada mama sedih? Mama penatlah sayang. Banyak sangat kerja yang mama kena buat kat office tu,”
“Kalau penat.. takyah la keje. Duduk umah ngan Afiq. Ngan Nek Teh,”
Idayu tergelak kecil. Pipi Shafiq dicium lagi.
“Afiq dah makan?,”
“Dah. Afiq makan dengan Nek Teh,”
“Dah mandi?,”
“Dah. Afiq dah mandi. Afiq dah makan. Afiq dah gocok gigi. Semuanya dah,”
Idayu tersenyum panjang. Resahnya bagai menjauh seketika tatkala mendengar celoteh anak kecil itu.
“Kalau semuanya sudah.. jom kita masuk tidur,”ujar Idayu separuh bergurau.
“Tak nak. Afiq nak tunggu papa,”
Idayu diam. Dia memandang jam di dinding. Hampir pukul sepuluh malam. Sudah agak lewat, namun bayang suaminya belum juga muncul. Ke manalah lelaki itu pergi.
“Dah lewat ni. agaknya papa pulang lambat. Afiq tidur dulu ya?,”
Syafiq menggelengkan kepala. Idayu pula tidak memaksa. Tidak mahu melihat Syafiq membuat perangai sebenarnya. Dia penat. Penat dengan kerja di pejabat. Penat dengan kerenah suami. Dia tidak mahu menambah penat itu dengan melihat Syafiq mengamuk pula.
Bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah membuat Syafiq tersenyum riang. Sebaliknya bunyi itu membuat dia menjadi tidak keruan. Rasa pedih tiba-tiba menerpa sekeping hati perempuannya. Tergambar kembali peristiwa petang tadi yang menyaksikan kemesraan suaminya dengan seorang gadis manis. Hatinya remuk perlahan-lahan melihat adegan itu, Hancur luluh.
“Mama, papa dah balik. cepat buka pintu,”gesa Syafiq sambil menarik tangannya. Perlahan dia mengangkat punggung menurut kemahuan Syafiq. Dia berdiri di ambang pintu, sementara Syafiq berlari mendapatkan papanya. Dia cuma merenung wajah milik Hisyam yang tersenyum lebar menyambut huluran jemari kecil Syafiq. Perlahan lelaki itu melangkah keluar dari kereta. Melangkah longlai sambil memimpin Syafiq. Idayu mencapai sambil mencium jemari Hisyam. Bergerak sedikit memberi ruang untuk Hisyam melangkah masuk. Dia masih tercegat di pintu apabila melihat Hisyam melabuhkan punngung ke sofa. Tali lehernya dilonggarkan sambil matanya memandang Idayu yang masih tidak bergerak. Melihat tingkah Idayu, timbul rasa hairan di hatinya. Kebiasaan, Idayulah yang menanggalkan tali lehernya. Menyambutnya dengan senyum manis. Tetapi, hari ini, tingkah Idayu nampak lain sekali.
“Ayu.. Kenapa ni? Lain macam je abang tengok?,”
Idayu tersentak. Matanya liar mencari wajah Hisyam. Rupa-rupanya Hisyam sudah tersandar di sofa. Mengelak daripada soalan seterusnya dari Hisyam, dia mula mengorak langkah menuju ke tingkat atas, menyimpan briefcase Hisyam. Hisyam memandang hairan. Kemudian dia memandang pula ke arah anak tunggalnya yang terlentok manja di ribaannya.
“Mama kenapa?,”soalnya kepada anak kecil itu.
Syafiq cuma menjungkit bahu. Hisyam tidak bertanya lagi. Rambut Syafiq dibelai perlahan sambil dia bersandar ke sofa. Melepaskan segala rasa penat. Matanya dirapatkan. Lega. Penatnya terasa menjauh.
Haruman lembut yang amat dia senangi, memaksa dia membuka mata. Idayu tercegat di hadapannya. Dia tersenyum senang menanggapi renungan Idayu.
“Afiq. Mari tidur,”
Mendengar ajakan Idayu, Shafiq bangkit dari sofa. Matanya yang mulai layu, membuat dia tidak bercakap banyak.
“Biar Mak Teh tidurkan Syafiq,”
Suara pembantu rumahnya yang datang secara tiba-tiba, membuat Idayu sedikit tersentak. Dia berpaling sambil tersenyum kecil. Syafiq pula, tanpa banyak bicara terus mendapatkan Mak Teh.
“Terima kasih, Mak Teh,”ucap Idayu perlahan, dibalas dengan sekuntum senyuman daripada pembantu rumahnya. Idayu cuma memandang Mak Teh yang meniti anak tangga menuju ke bilik Syafiq. Cuma setelah Syafiq hilang dari pandangan, barulah matanya beralih kepada Hisyam. Hisyam mengangkat kening, merenungnya dengan renungan yang mengandungi seribu pertanyaan. Terkesan dengan kelainan sikap Idayu. Layanan Idayu agak dingin malam ini. Melihat wajah Hisyam yang seperti menanti satu penjelasan, Idayu mengukir senyum. Menyembunyikan gundah yang bersarang di hati.
“Abang dah makan?,”
“Dah,”
“Nak minum?,”
Hisyam menggeleng perlahan.
“Kalau macam tu, Ayu nak masuk tidur dulu,”akhirnya Idayu meminta izin untuk meninggalkan suaminya di situ. Dia tidak sanggup berdepan dengan Hisyam sebenarnya. Dia marahkan lelaki itu. Dia kecil hati dengan tindakan lelaki itu. Hisyam tergamak menjalin hubungan dengan perempuan lain, di luar pengetahuannya. Namun, untuk dia luahkan kemarahannya itu, dia tidak berdaya. Perlahan dia mengatur langkah meninggalkan Hisyam,
“Ayu,”
Langkahnya terhenti mendengar suara itu. Dia berpaling. Hisyam yang masih bersandar malas di sofa, tajam merenung wajahnya. Lama pandangan mereka bertemu. Akhirnya Idayu mengalihkan pandangan ke arah lain. Hisyam pula, perlahan mengangkat punggung. Mengatur langkah mendekati Idayu.
“Kenapa ni?,”lembut suara Hisyam mengajukan soalan. Idayu diam. Cuma kepalanya menggeleng perlahan.
“Takkan tak ada apa-apa. Abang tengok Ayu lain macam je,”
“Tak ada apa-apa. Cuma penat sikit. Banyak kerja kat office tadi,”
“Biasanya.. Ayu tak macam ni. Lagipun, bukan hari ni saja kerja kat office tu banyak. Kan? Ada benda lain yang mengganggu Ayu?,”
Tanpa menjawab soalan itu, Idayu memandang wajah Hisyam yang menanti jawapan. Wajah itu nampak sungguh bersahaja. Seolah-olah lelaki itu tidak melakukan apa-apa kesalahan padanya. Mungkinkah Hisyam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan gadis petang tadi? Mungkin dia yang terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mungkin dia yang terlalu wasangka pada suami sendiri. Akalnya mula berdiplomasi dengan hati. Tetapi, kemesraan itu? Barangkali perangai Hisyam dengan teman-teman memang begitu. Barangkali, dia yang tidak perasan selama ini. Akalnya sekali lagi memberi hujah. Membuat resahnya sedikit hilang.
“Ayu..,”
Idayu tersentak. Tersandar di pagar tangga. Hisyam pula tergelak kecil melihat wajah Idayu yang jelas mempamerkan riak terkejut.
“Kenapa ni? Cakap tak ada apa-apa. Kalau tak ada apa-apa, tu.. apa yang dimenungkan tu?,”
Idayu mengukir senyum. Perlahan dia menggeleng.
Hisyam melangkah lebih rapat. Berdiri di hadapannya sambil kedua-dua tangannya memegang pagar tangga. Membiarkan Idayu berada di dalam lingkaran pelukannya.
“Abang tak percaya,”Hisyam bersuara lembut sambil redup pandangan singgah di matanya.
“Betul bang. Tak ada apa-apa,”
Hisyam mencapai jemarinya. Idayu tergamam. Tiba-tiba dia ingin menarik tangannya dari genggaman Hisyam. Beginilah Hisyam menggenggam jemari gadis manis itu. Namun, akalnya cepat menghalang. Dia tidak boleh terus hanyut dalam perasaan cemburunya. Barangkali dia yang tersilap. Barangkali situasi yang sebenar, bukan seperti apa yang sedang bermain di fikirannya. Sudahnya, dibiarkan Hisyan mengusap lembut jemarinya.
“Sure?,”
Idayu mengangguk sambil tersenyum lagi. Hisyam turut tersenyum.
“Kita masuk tidur?,”ujar Hisyam lembut di telinga Idayu. Kedua tangannya kini merangkul pinggang Idayu. Idayu terkedu dengan tindakan Hisyam. Ternyata tidak ada yang berubah pada Hisyam. Hisyam tetap seperti lelaki yang dia kenali tujuh tahun dulu. Barangkali dia yang terlalu prasangka. Perlahan dia membalas pelukan Hisyam. Hisyam memandang wajahnya bersama senyuman yang amat dia senangi. Senyuman yang membahagiakannya selama tujuh tahun ini.
“Abang..,”
“Hmmm..,”Hisyam bersuara dalam sambil hidungnya menikmati haruman rambut Idayu yang mengurai.
“Abang sayangkan Ayu?,”Idayu bertanya sambil mendongak mencari wajah Hisyam.
Hisyam tergelak kecil. Idayu sedang merenung wajahnya. Cukup dalam renungan isterinya itu. Membuat dia kelu seketika.
“Abang cintakan Ayu?,”satu lagi soalan Idayu membuat dia terkedu. Akhirnya, sebuah tawa kecil memenuhi keheningan suasana. Hanya itu yang mampu dia keluarkan dari mulutnya.
“Abang.. Ayu tanya ni. Jawablah,”
“Ayu.. Dah tujuh tahun kahwin, tiba-tiba tanya soalan macam ni. Kenapa ni?,”
“Ayu cuma nakkan jawapan,”
Hisyam merenung wajah Idayu. Mulutnya seakan terkunci. Dan, renungan Idayu yang masih menagih jawapan membuat dia benar-benar bisu.
“Abang..,”
Hisyam cuma berdiam diri sambil jemarinya mengusap lembut wajah Idayu. Kemudian dia leraikan pelukannya. Tubuh kecil Idayu didukungnya. Membuat Idayu terkejut.
“Abang belum jawab soalan Ayu,”
“Sekarang bukan masa untuk bercakap,”bisik Hisyam bersama sekuntum senyuman nakal. Senyuman yang membuat Idayu kembali resah. Hisyam tidak menjawab soalannya. Setelah tujuh tahun berlalu, Hisyam masih tidak menjawab soalannya yang satu itu. Wajah gadis manis bersama Hisyam kembali memenuhi ruang fikirannya. Mungkinkah Hisyam memang menjalin hubungan cinta dengan gadis itu? Sebabnya cukup kukuh. Hisyam tidak pernah mencintainya. Itulah sebabnya. Tiba-tiba hasutan itu berlegar di fikirannya. Menenggelamkan suara-suara nasihat. Yang tinggal hanyalah prasangka yang tidak bertepi.

*****
[11:35:50 PM] hos.getah: