Sunday, December 21, 2008

Akukah lelaki itu?

Di satu sudut di ruang kamar yang lesu…

Dia tersenyum bahagia. Bersandar pada dinding bersama senyum yang seakan tidak mahu putus dari bibir.
“Ini berita paling indah yang abang dapat untuk seumur hidup abang sayang. Syukur. Penantian bertahun kita selama ini, akhirnya berakhir dengan berita seindah ini…,”
Dia senyum lagi.
“Apa? Girl? No. No. Abang nak boy. Nanti boleh temankan abang main bola. Hmm…janganlah merajuk. Abang gurau saja. Abang tak kisah sayang. Boy atau girl. Abang tak kisah. Yang penting baby kita nanti cantik macam mamanya tak pun, lawa macam papanya,”dia bersuara sambil tergelak. Namun, gelak itu cuma seketika. Sekelip mata, senyum manis yang menghiasi bibir hilang begitu sahaja. Segera dia memalingkan muka. Bingkas bangun dari sandarnya. Berjalan mundar mandir di ruang bilik itu sambil tangannya menepuk kepala. Berkali-kali.
“Diam! Diam! Aku tak nak dengar! Aku tak nak dengar! Itu bukan anak aku! Bukan!,”bergema bilik itu dengan amarahnya yang tiba-tiba. Matanya meliar memandang sekeliling. Menjerit-jerit marah sambil tangannya memukul dinding yang kaku.
“Aku tak nak dengar! Kau tipu! Itu bukan anak aku…. Bukan…,”jeritannya kemudian sedikit mengendur. Amarah yang menyapu wajah berganti pula dengan satu renungan sendu pada katil bayi di hujung bilik. Segera dia menghampiri katil yang masih terhias cantik itu.
“Anak aku! Mana anak aku? Anak aku dah tak ada. Mana? Mana anak aku?!,”liar matanya memandang sekeliling. Laju pula tangannya menyelongkar timbunan bantal dan lampin yang memenuhi ruang katil kecil itu. Dicampak semua yang dia capai.
“Mana? Mana anak aku? Aku nak anak aku! Niza! Jangan buat abang macam ni. Kembalikan anak kita Niza! Jangan tinggalkan abang macam ni. pulanglah Niza…Pulanglah pada abang. Abang dah tak marah lagi. Abang tak marah… abang Cuma nak Niza. Abang nak anak kita….,”dia merintih pilu. Membiarkan air mata merembes laju ke pipi. Tubuhnya longlai. Jatuh perlahan. Terjelepuk di lantai bersama ngongoian sendu. Berteleku sambil menarik lutut rapat ke dada. Esakan yang tidak bertepi, bagai irama pada tarian bahunya yang terhenjut-henjut. Terus merintih memanggil satu nama… Niza..Niza dan Niza.
Sedang di satu sudut, dua pasang mata merenung pilu bersama deraian air mata. Sekelip mata mereka kehilangan seorang anak yang terlalu baik pada mereka satu ketika dulu. Rindunya mereka pada anak lelaki yang bertahun-tahun membuat mereka bangga. Namun, hari ini…segalanya sudah tidak seperti dulu. Dan, mereka tahu, itu semua bukan salah takdir.

*****

Fiman Allah didalam surah Al-Baqarah ayat 216:-"...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."…….

Ketukan pintu yang bertalu tidak diendahkan. Hatinya parah. Jiwanya mati. Dan, ketukan itu sungguh membingitkan. Menambah gelodak geram di hati.
“Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku….,”
“Khai! Sampai bila kau nak macam ni? Bukalah pintu ni. Kita duduk berbincang elok-elok,”
Khairul merintih sendiri. Perlahan-lahan menjatuhkan dirinya ke lantai. Sungguh dia tiada upaya untuk berdiri lagi. Apa yang hendak dibincangkan lagi? Segala-galanya sudah musnah. Impiannya punah. Harapannya hancur.
“Khai!,” ketukan bertalu lagi. Segera telapak tangannya menutup telinga. Bisingnya!
“Buka pintu ni. Sampai bila kamu nak macam ni? Sikap kamu ni, tak membantu langsung. Kau tak boleh lepas tangan macam ni. Kasihan Niza. Kamu jangan jadi selfish macam ni, nak,”
“Abah, tolonglah. Just leave me alone. Saya nak bersendirian. Jangan ganggu saya!,”
“Kamu pentingkan diri sendiri Khai. Kamu tak boleh macam ni. Ini semua dah ditetapkan. Kita kena redha,”
Dada Khairul beralun mendengar bicara itu. Senang sungguh bapanya berhujah. Memang senang! Sebab, bukan bapanya yang alami semua ini. Dia! Dia yang harus menelan pahit kenyataan ini. Tidak tertelan rasanya. Kenapa? Kenapa semua ini harus berlaku padanya? Kenapa takdir ini begitu kejam? Tidak bolehkah memberi sedikit keadilan padanya? Haruskah penantiannya yang begitu lama, berakhir begini?
“Khai… dengar cakap abah. Jangan macam ni. Susah hati mama dengan abah tengok kamu macam ni,”
“Mama tak faham! Abah pun tak faham! Kenapa semua orang tak faham apa yang saya rasa sekarang? Kenapa semua ni jadi pada saya? Kenapa tak jadi pada orang lain? Saya benci! Saya tak boleh terima semua ni…tak boleh…,”
“Dah dua hari kamu kurung diri macam ni. Keluarlah. Kita ke hospital sama-sama. Kasihan Niza tu. Kasihan baby,”
“Tak mahu. Tolonglah. Tinggalkan saya sendirian,”
Dia mendengar keluhan lemah di pintu biliknya. Dan, selepas itu suasana sepi. Pasti ibu dan ayahnya sudah berlalu. Tinggal dia sendirian di situ. Terus membiarkan fikirannya sendat dengan rasa marah dan tidak puas hati. Pada siapa? Dia sendiri tidak tahu. Dalam marah itu, air matanya mengalir laju. Sungguh hebat dugaan ini untuk dia tempuh.
***
Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.


“Abang tak datang, mama?,”
Dia memandang wajah mertuanya yang layu. Senyum cuba diukir. Dia tahu wanita tua itu tidak bersedia memberi jawapan.
“Abang marah Niza ya, mama? Abah?,”
“Berilah Khai sedekit ruang Niza. Beri dia masa,”
Niza tersenyum lagi. Cuba bergerak. Tetapi, tubuhnya terasa terlalu lemah. Saat ini, yang mahu dia lakukan, cumalah membiarkan matanya terpejam rapat. Namun, sebelum sepasang mata ini tertutup, ingin sekali dia menatap wajah Khairul. Menitipkan pesan buat ayah kepada seorang bayi yang baru keluar dari rahimnya beberapa hari yang lalu. Pesan yang mungkin menjadi pesan terakhir. Wallahu’Alam.
“Niza bimbang. Niza bimbang Niza yang tak cukup masa. Niza nak jumpa abang. Sekejap pun jadilah. Kalau abang tak mahu jumpa Niza… abah tolong ya,”
“Tolong apa? Apa Niza cakap ni? Niza tak apa-apa kan?,’Hasan utarakan pertanyaan. Kata-kata itu membuat hatinya bergetar halus.
Niza senyum lagi. Senyum yang cukup layu dari bibirnya yang putih pucat.
“Cakap pada abang. Ampunkan segala dosa Niza pada dia. Halalkan makan minum Niza salama Niza jadi isteri dia. Dan, abah… mama… ampunkan segala dosa Niza ya. Halalkan juga makan minum Niza selama Niza menjadi menantu,”
“Niza. Jangan cakap macam tu. Niza tak pernah buat salah pada kami. Niza menantu yang baik,”
“Aiman. Doktor cakap jantung Aiman ada masalah, abah. Suruhlah abang datang jenguk Aiman. Kasihan Aiman, abah…,”
Menitik air mata di birai mata tanpa sedar. Perlahan Hasan mengesat matanya yang sudah sedikit basah. Rayuan itu cukup memilukan. Dia menoleh. Memandang isterinya yang tertunduk di kerusi. Dia tahu isterinya juga menangis mendengar rayuan Niza.
“Niza takut…. Niza takut abang tak sempat…,”rayuan bersambung lagi.
“Abah akan cuba pujuk dia lagi. Sekarang, Niza berehatlah. Jangan banyak fikir. Tenangkan fikiran tu,”
Niza mengangguk dalam resah. Bagaimana mungkin dia boleh tenangkan tasik akalnya yang berkocak hebat? Rasa sedih. Bersalah. Lemah. Putus-asa. Semuanya berhimpun menjadi satu. Dia berusaha untuk membahagiakan suaminya. Berusaha mengotakan segala impian suaminya. Impian indah yang mereka cipta bersama-sama. Namun, ketentuan ALLAH, tiada sempadan. Sebagai hamba yang kerdil, segalanya dia terima sebagai ujian. Ujian yang menunjukkan kasih sayang ALLAH padanya. Dia redha. Tetapi, kenapa tidak Khairul? Kenapa Khairul berubah? Kenapa Khairul degil untuk menerima ketentuan ini? Kenapa?
Perlahan dia pejamkan mata. Membiarkan air mata menitis membasahi pipi.
“Niza…,”
Matanya dibuka perlahan. Tersenyum lagi. Menatap wajah ibu dan bapa mertuanya yang kelihatan sedikit risau. Wajah-wajah yang tidak pernah jemu jengahkan muka di sisi katilnya.
“Mama…abah… cuba selamatkan Aiman ya. Kalau takdir tidak mahu Aiman mengikut Niza, mama sayangilah dia. Lindungi dia. Tapi, kalau takdir mahu Aiman menemani Niza, maafkan Niza ya, mama…abah. Niza sudah cuba sedaya upaya untuk berikan abang zuriat. Untuk hadiahkan cucu pada mama dan abah. Maafkan Niza kalau Niza gagal,”
“Niza. Jangan cakap macam tu, nak,”
Niza tersenyum dan membiarkan matanya terpejam perlahan-lahan.
***
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Apabila disebut tentang qadar maka diamlah...(Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).

“Kau kejam!,”
Khairul tersentak. Segera dia bangkit. Suara itu kuat melantun di bilik yang sepi itu.
“Kau pentingkan diri sendiri,”
“Tidak!,”
“Ya! Kau pentingkan diri sendiri,”
“Siapa kau?,”
“Aku adalah kau…,”
Khairul tersentap. Memandang sekeliling. Kosong. Cuma dia di situ. Dan suara itu? Dadanya berombak kencang. Itu Cuma imgaginasi. Imaginasi!
“Bukan! Aku bukan imaginasi! Aku wujud. Di sini. Bersama kau…,”
Suara itu melantun lagi. Membuat Khairul terfana.
“Tidak! Ini semua hanya mainan perasaan,”
Dan, hilai tawa suara tanpa wajah itu memenuhi ruang bilik.
“Khairul…Khairul.... Kau memang pengecut. Kau nafikan semua kenyataan di hadapan kau. Kau memang manusia kejam,”
“Tidak! Aku tak kejam. Mereka yang kejam. Takdir yang kejam! Kenapa takdir aku seburuk ini? Aku tak patut terima ini semua. Aku berhak dapat yang terbaik,”
“Selama ini memang kau sudah dapat yang terbaik, Khairul. Kenapa kau nafikan? Kau ada ibu dan ayah yang baik. Isteri yang baik. Pengaruh yang baik. Hidup yang baik. Keluarga yang sempurna. Kenapa kau nafikan?,”
Khairul diam.
“Kau tinggalkan isteri kau sendirian selepas dia bertarung nyawa menghadiahkan kau seorang bayi yang memang kau tunggu selama bertahun-tahun. Mana pergi perasaan kau Khairul? Kau tinggalkan bayi kau, sebelum sempat pun kau pandang wajah dari darah daging kau sendiri. Kau memang kejam…,”
“Itu bukan anak aku!,”
“Itu memang anak kau!,”
“Diam! Anak aku tak cacat! Anak aku mesti sempurna! Anak aku tak akan cacat…,”
“Hah! Itu yang kau sibukkan? Kau tinggalkan anak isteri kau sendirian, semata-mata kerana itu? Walau macam mana keadaan anak itu, itulah anak kau. Kasihan anak itu. Bapanya tidak ingin menatap wajahnya sebaik dia kenal dunia ini. Jauh sekali hendak alunkan azan di telinganya. Alunan dari suara yang memberinya kesempatan untuk kenal dunia ini. Sayang…Sungguh sayang,”
“Diam!,”
“Aku boleh diam. Tapi, aku kasihan. Kasihan tengok manusia tidak tahu bersyukur macam kau. Kau ingkar pada ketentuan yang ALLAH tetapkan. Kau manusia bongkak Khairul. Nasiahat aku, pergilah, Khairul. Pergi lihat isteri dan anak kau, sebelum kau terlambat,”
“Tidak! Aku malu. Aku tak boleh ada anak cacat. Macam mana aku nak berdepan dengan masyarakat? Macam mana aku nak beritahu kawan-kawan aku? Tak mungkin. Ini semua tak adil!,”
“Kau yang tak adil pada diri kau sendiri Khairul. Kau gagal. Kau kejam. Kau kalah…,”
“Pergi! Jangan kacau aku!,”Khairul menjerit kuat. Seiring dengan kuat ketukan pada pintu biliknya. Suara itu terus sepi. Yang kedengaran cuma ketukan yang terus berlagu keras bersama suara bapanya yang kedengaran sedikit sendu.
“Khai.. buka pintu ni…,”
Dengan dada yang masih berombak, dia bergerak ke pintu. Membuka pintu perlahan. Merenung wajah bapanya yang jelas membekas air mata di pipi. Mata diaihkan pula ke arah ibu yang tunduk dalam pelukan bapanya. Reaksi itu sedikit berbeza dengan reaksi sebelum ini. Tiada lagi suara marah-marah. Tiada lagi lagu nasihat yang kedengaran sumbang di telinganya. Reaksi yang tiba-tiba mengundang debar di hati.
“Kenapa abah?,”
“Niza. Niza dah tak ada. Aiman pun pergi bersamanya….,”
Putus nafas Khairul tiba-tiba. Terduduk di lantai tiba-tiba. Kaku tiba-tiba. Dadanya kembali berombak. Laju. Dan semakin laju. Niza tiada? Dia kehilangan isterinya? Gadis yang dia cintai bertahun-tahun lamanya? Dan, bayi kecil itu? Tidak! Dia kehilangan bayi dari benihnya sebelum sempat dia pandang wajah itu. Wajah yang dia tunggu selama bertahun-tahun. Dadanya berombak lagi. Tanpa suara, pipinya basah dengan air mata. Perlahan tangannya meraup rambut yang sedikit masai.
“Abah bohong kan? Abah cuma nak saya pergi jumpa mereka kan?,”
“Sabarlah Khai. Mengucap. Istighfar banyak-banyak…,”
“Abah bohong! Abah tipu. Niza tak akan tinggalkan saya…,”
“Khai…Tumpah darah Niza tak berhenti. Dan…,”
“Tidakkkk!!!,”
Kata-katanya bapanya tidak dibenarkan bersambung.
****
“…maka jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul…”. Surah an-Nisa: 59

Air mata yang terus laju di pipi, dibiarkan sahaja. Longlai langkahnya sambil tangannya kuat mendakap tubuh kecil ke dadanya. Namun, tiada kehangatan pada tubuh kecil itu. Kaku berbalut kain putih. Perlahan dia menoleh. Sayu menatap pada jenazah Niza yang diusung di belakangnya. Sekelip mata dia kehilangan segalanya. Sekelip mata, dia tinggal sendirian di dunia ini. Tanpa sedar, bahunya berenjut lagi. Gagal menahan esakan yang pecah tiba-tiba.
“Sabar, Khai…,”
Pelukan di bahunya ternyata sedikit membantu. Dia menoleh, menatap wajah sugul bapanya.
“Khai menyesal. Khai tak sempat…,”
“Jangan cakap apa-apa. Semua sudah tersurat, Khai,”cepat bapanya menyampuk. Barangkali tidak mahu dia melayan emosi di saat isteri dan anaknya mahu pulang ke sisi yang Esa. Perjalanan terasa tidak memberi penat di kaki. Perasaannya seakan hilang tatkala dia menghulurkan jenazah kecil di pelukannya untuk disemadikan di sisi wanita kesayangannya itu. Esakannya datang tiba-tiba tatkala memandang ketulan-ketulan tanah yang di kepal lalu di susun di dalam liang. Dan apabila tanah perlahan-lahan ditimbus, dia tahu dia sudah terpisah selamanya dengan dua nyawa yang rapat di hatinya itu. Belati rasa tiba-tiba membidas keras di hati. Besar sungguh dosanya pada Niza. Pada bayi kecil itu. Dia kejam. Dan, dia tidak sempat memohon kemaafan atas kekejamannya itu. Dia biarkan Niza sendirian menghadapi saat sukar. Dia biarkan bayinya sendirian melawan kesakitan. Dia kejam.
“Niza…jangan tinggalkan abang sendirian….,abang perlukan Niza. Abang akan terima anak kita, Niza. Pulanglah… ”Khairul merintih pilu. Terjelepok di tepi nisan. Memandang sepi, pada pembaca talkin.
“Khai…. Jangan macam ni,”
Kahirul menoleh. Siapa lagi? Pastilah itu suara bapanya. Bapanya yang tidak putus-putus memberi semangat padanya. Tapi, ternyata semangatnya sudah pergi bersama Niza dan anaknya. Dia mengangkat muka. Melihat Niza tersenyum padanya. Melihat jemari kecil yang tergawang-gawang. Bayinya dipeluk erat oleh Niza.
“Niza!,”
“Relakan kami pergi, bang….,”
“Tidak! Abang tidak rela. Jangan pergi! Jangan pergi Niza. Niza! Tunggu abang!,”
Niza melangkah perlahan. Berpaling dan terus melangkah.
“Niza! Tunggu abang! Jangan tinggal abang! Jangan bawa anak kita. Niza!,”dia menjerit kuat. Melangkah laju sehingga hampir melanggar manusia-manusia yang berkerumun di kuburan itu. Dia mesti cepat. Dia tidak boleh biarkan Niza terus berlalu dari hidupnya. Laju dia mengejar. Mengejar pada bayang yang hilang dibawa kabus yang muncul selepas renyai berhenti.
“Niza….,”tangisnya apabila langkahnya mati. Kakinya longlai. Dan matanya layu. Pandangannya gelap.

TAMAT
RUJUKAN…
http://www.iluvislam.com/v1//news.php
http://tasekpauh.blogspot.com/
http://bobex.wordpress.com/

17 comments:

Anonymous said...

Subhanallah...ssungguhnye kuasa ALLAH melebihi segalanya...
Same2 laa kita beringat...m'beri dakwah kpd umat islam...walaupun skadar dalam karya spt ini...
Sabda Rasulullah S.A.W. 'sampaikanlah pesanku walaupun sepotong ayat...'

Nurul said...

cerpen kali ni buat sy menangis la hanni ,

BabyPink said...

cite ni sedih betul...T_T

Anonymous said...

sedih sgt cerpen k.hanni ni,,,sampai air mata keluar pun x perasan..ekekekek

nin said...

sedihnya citer ni... menusuk jiwa..

LeaQistina said...

sedih dan pilu.. penyesalan tiada lagi gunanya...

nana_yoong said...

kesedaran selalunya wujud selepas kehilangan... moga2 kita sentiasa menjadi insan yang lebih bersyukur...

Anonymous said...

Salam hanni... harap2 diya bukan dgn abang kamal dlam BYMYB:D

Azi.

~~Lolipop~~ said...

sedih...
sedih....
kenape mesti begitu sikapnya..
x dapat menerima takdir illahi..
hanya inginkan kesempurnaa..
last2 menyesal x sudah..

great job k hanni..

Anonymous said...

sedihnya ada manusia bersikap macam tu kan...
tapi hakikatnya memang ada..
itu belum lagi ibu membunuh hidup-hidup zuriat yang dikandungnya sebab tak mampu menanggung malu..
setiap UJIAN yang ALLAH turunkan kepada kita pasti ada HIKMAHNYA kan kak Hanni?

Terima kasih kerana menjadi penulis yang menginsafkan saya...dan pembaca lain..MiM

iLaauLaLa said...

sunguh menyayat hati...sedeh3..T_T..
hargai mereka yg menyayangi kite sebelum ia pergi..kelak menyesal merana diri..

aku tak bersalah said...

sedih citer ni...
teringat kat anak buah yg hidup 2 bulan je.. meninggal pada tarikh bufday sya lak tu...
x sempat nak jmpe die dri dia lhir smapi die mniggal dunia..

dania_ariesya said...

TERSENTUH...
penyesalan mmg da xde gnenyer...seelok2nyer trima sesuatu seadenyer..
kt dunia nie nobody one is perfect..xsume yg kte nk ley dpt..nie la lumrah khidupan..yg hidup akn pergi jua..dunia nie hanya sementara..umpatan,hina,caci n keji masyarakat hny sementara..tu sume hnya duniawi semata2..so bersyukur gan ape yg ade k!!..neyway gud job..hu3

e-kin said...

ni baru citer yang best.........sampai e-kin meniskan air mate.......

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali said...

ya allah, sedihnyer cerpen nih.. huhu sob3..

zainabmardhiahkhairudin said...

sedihhh...
brgenang mata ni..
hmmm..
best2..
i'm so touched..

Husna said...

k.hanni...
saya nangis larh kak...
mak tgor saya nper mata n id0nG merah...
ho malunyaa...
tapi best lah..
wat gy cerpen sedey..
hehe
suka menghayati..

[11:35:50 PM] hos.getah: