Friday, December 28, 2012

MUNGKINKAH? 24



Najman mengerling. Zariff masih diam di kerusi sambil merenung dinding café yang kosong.
              “Dahlah tu. Nanti retak dinding tu,”akhirnya dia bersuara. Bosan dengan suasana sepi sebegitu. Air di dalam gelasnya sudah tinggal separuh, namun sepatah kata pun belum keluar dari bibir temannya itu.
              Zariff memandang sekilas. Teguran itu mengganggu lamunannya. Dia menghela nafas panjang sambil  meneguk minuman yang sudah sedikit dingin.
              “Kalau aku kat rumah, aku boleh tidur puas-puas. Dahlah aku balik lambat malam tadi. Duduk sini tengok muka kau pun, bukan ada faedah,”Najman separuh merungut. Memang dia berniat mahu menyambung tidur apabila Zariff menelefonnya tadi.
              “Tidur kau tu, bila-bila masa boleh sambung…,”
              Najman mengerling.
              “Duduk sini mengadap muka kau yang macam ni pun, bukan ada faedah,”
              Zariff buat-buat tidak dengar.
              “Kau ni kenapa? Macam orang putus cinta,”
              Zariff tergelak kecil.
              “Putus cinta ‘hotak’ kau. Aku tengah bengganglah,”akhirnya Zariff bersuara sambil mengeluh kecil. Di kepala sekali lagi terbayang wajah Arisa. Geram benar dia dengan Arisa. Tercabar bukan sedikit dengan kerenah perempuan itu.
              “Pasal apa? Pasal PA kau tu ke?,”
              “Yalah. Siapa lagi…,”
              Najman tersenyum kecil.
              “Itu yang aku pelik tu. Lain macam kau dengan perempuan tu. Kau nak suka-suka aje dengan dia tu, atau kau nak bawa jadi menantu mama kau?,”soal Najman separuh bergurau.
              Zariff mengerling cuma.      
              “Payahlah. Jual mahal sangat,”rungut Zariff sambil meraup wajah.
              “Kau ni… macam seorang aje perempuan dalam dunia ni ya? Eh, kau tahu tak, selama kau duk teringat perempuan tu, sorang perempuan pun kau tak rapat tau. Aku rasa kau ni memang dah tangkap lentok dengan perempuan tu. Kahwinlah weh,”sakat Najman bersama gelak besar.
              “Kalau tak ada modal nak menolong, kau diamlah Man. Aku tension ni,”
              “Takkan dengan kau pun dia tak boleh cair kot? Tercalar kewibaan kau ni,”
              “Itu yang aku geram tu. Kalau nak dibandingkan dengan bekas bos dia dulu, aku lebih segalanya. Aku tak fahamlah. Dia senang-senang boleh ada affair dengan laki orang tu, tapi dengan aku, tunjuk jual mahal pulak. Apa yang lelaki tu boleh bagi pada dia, aku sanggup bagi lebih dari tu,”
              “Alah… rileks lah. Mungkin dia masih nak sesuaikan diri tu. Takkanlah baru kerja dah nak terus  scandal dengan bos kot. Kau pun, agak-agaklah. Takkan lari gunung dikejar tu. Tak pun, cari perempuan lain ajelah. Berlambak perempuan cantik kat KL ni,”
              “No..no… aku nak dia. Walau macam-mana pun, dia mesti jadi hak aku,”
              “Macam-mana?,”soal Najman sambil mengangkat kening.
              Zariff menjongket bahu. dia sendiri buntu sebenarnya mencari cara untuk memujuk Arisa. Dia tidak mahu memaksa. Memang dia bukan jenis yang suka memaksa. Lagipun, sebelum ini dia tidak pernah mendapat kes sebegini. Selalunya cukup dengan sekuntum senyuman yang menggoda, pasti gadis datang melutut padanya.
              “Kita jumpa bomoh, nak?,”sakat Najman lagi.
              Zariff sudah tayang wajah benggang. Najman ketawa kuat.
              “Kau dah mandi belum? Aku mandikan dengan kopi ni,”
              Bergema tawa Najman. Seronok dapat membangkitkan amarah Zariff. Memang lain sikap temannya yang seorang ini. Sudah lama Zariff tidak turun bersamanya, mencari teman menghibur di hujung minggu. Semuanya bermula dengan seutas rantai dan seraut wajah. Wajah yang sehingga kini, dia sendiri tidak pernah kenal.
              “Teringin aku nak kenal dengan Arisa ni. Nak tengok macam-mana rupa perempuan yang dah huru-harakan hidup kawan aku ni,”
              Zariff memandang wajah Najman. Rasanya perlu ada pembetulan di situ. Kata-kata Najman seolah-olah dia lemah benar.
              “Aku huru-hara dengan jual mahal dia tu. Lagak dia tu… apa pula hidup aku yang nak huru-hara,”
              Najman tergelak kecil. Masih juga tidak mahu mengaku.
              “Tapi, betul ke dia ada skandal dengan bekas bos dia dulu? Salah faham kot. Mungkin dia betul-betul budak baik kot,”
              Zariff tergelak kecil. Andaian Najman sukar untuk diterima pakai.  
              “Aku sendiri yang tengok dia kena tampar dengan bini bos dia. And, dia resign sebab dia tak nak bayar duit bos dia. My HR dah siasat pasal tu. So, teramatlah jelas, dia bukan baik sangat. Jadi, sepatutnya dia tak payah nak buat-buat baik depan aku…,”
              “Mana dia tahu kau dah tahu semua tu. Betul tak?,”
              Zariff menjongket bahu. Ada benarnya kata-kata itu.
              “And you… kau tak kerja ke hari ni?,”tambah Najman hairan. Jarang Zariff mencarinya pada waktu bekerja.
              “Kerja. Tapi, aku kena cari fresh air. Geram dengan Arisa tadi belum hilang. Ada saja akal nak mengelak,”
              Najman tersenyum. Tidak perlu berkata apa-apa. Dia menggeleng perlahan.
              “Mungkin dia nak aku berterus-terang aje kot. So, aku akan berterus-terang. Kita tengok apa pula jawapannya,”Zariff bersuara tiba-tiba. Memang selama ini dia cuba memikat. Tetapi, andai Arisa memandang sepi pada tiap kiasannya, mungkin dia perlu berterus-terang tentang keinginannya. Dia tidak pernah berperasaan begini. Selama ini, dia tidak pernah acuhkan teman-teman perempuannya. Malah tidak pernah terlintas untuk melayan mereka lebih daripada yang sepatutnya. Tetapi, tidak dengan Arisa. Melihat Arisa, dia benar-benar hilang punca.
              Najman diam. Zariff termangu mencari ikhtiar.


*****

              Arisa termenung seketika. Masih terfikir akan renungan yang dia terima sebentar tadi. Juga pada kata-kata yang tertuju padanya sebentar tadi.
              “Arisa? Nama you Arisa?,”
              Dia mengangguk. Wajah wanita itu sedikit berkerut membuat dia tertanya sendiri, pelik benarkah nama Arisa?
              “Teman Zariff?,”
              Dia menggeleng. Zariff ketuanya, bukan temannya.
              “Hmm… tapi, macam pernah dengar nama Arisa ni…,”
              Arisa menggaru perlahan rambutnya yang disanggul rapi. Wanita itu membaca wajah peliknya sehingga ke bilik Saera dan meninggalkan dia di meja, bersama titik-titik hairan. Saera pernah beranggapan dia teman kepada Zariff dan hari ini, wanita ini muncul bersama andaian yang sama. Tercemar namanya hanya kerana dia berdiri di sebelah lelaki bernama Zariff.
              Zariff. Teringatkan nama itu, dia segera melayangkan pandangan ke dinding. Hampir pukul dua belas tengahari dan lelaki itu masih belum muncul. Entah ke mana menghilang. Dia terpaksa panjang lebar mencari alasan apabila beberapa pertemuan penting dengan pelanggan terpaksa dia batalkan. Perlahan dia mengeluh. Hebat menjadi bos. Bibir hanya perlu membuat keputusan. Penjelasan pula terpaksa ditanggung olehnya yang menjadi pekerja bawahan. Di situ beza bos dengan pekerja. Dia tersenyum. Sedar dia sudah mula merungut pada tanggungjawab sendiri.
              “Arisa…Arisa…,”ucapnya perlahan sambil menggeleng. Pantas tangannya mencapai telefon. Waktu makan tengahari sudah hampir dan dia perlu menghubungi Zariff sebelum dia menghilang mencari makanan.
              “Yes. Rindu I?,”
              Arisa terdiam. Belum sempat dia bersuara, suara itu sudah lembut menyapa gegendang telinganya.
              “Nak tahu I kat mana sekarang?,”
              Arisa merengus perlahan.
              “Tak. Saya nak keluar lunch,”
              “Okay. I boleh tunggu you kat sini. Nak lunch dengan I ke?,”
              Arisa menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga. Telefon di tangan dipandang dengan wajah tanpa senyum. Seolah-olah Zariff sedang duduk di hadapannya sambil mengajak dia makan tengahari.
              “Perasan…,”mulutnya merungut kecil. Telefon di bawa semula ke telinga.
              “Tak nak. Terima kasihlah sebab pelawa. Tapi, saya dah ada janji. Jadi, mungkin saya masuk lambat sikit. So, Encik Zariff nak saya siapkan apa-apa ke untuk meeting pukul tiga nanti? Semua dokumen saya dah letak kat meja Encik. Semua dah okay sebenarnya, cuma, kalau-kalau Encik perlukan apa-apa lagi?,”          
              “Janji dengan siapa? Keluar lunch dengan siapa?,”
              “Maknanya Encik Zariff tak perlukan apa-apa lagi kan? So, everything on your table ya. Saya masuk lambat sikit,”tanpa mempedulikan soalan lelaki itu, Arisa membuat kesimpulan sendiri.
              “No. Tak boleh. I nak you ada sekali masa meeting. Jangan masuk lewat. Cancel temu janji tu,”
              Arisa melopong.
              “Tapi…,”
              “Muktamad. Okay… ada apa-apa lagi?,”
              Arisa merengus perlahan.
              “Kalau tak ada apa-apa, I letak,’
              “Eh… erm… kalau pentinglah… ibu Encik Zariff ada kat sini. Dia ada tanyakan Encik Zariff tadi,”
              “Mama? Kat sana? Dah lama ke dia sampai?,”
              “Dalam sepuluh minit,”
              “Okay, thanks. I balik office sekarang,”
              “Eh…,”belum sempat dia merayu sekali lagi untuk masuk kerja sedikit lewat, talian sudah terputus. Dia merengus geram.
              “Masuk lewat sesekali pun tak boleh..,”dia merungut geram sambil jemarinya mula mencari satu nama. Nampaknya pertemuan terpaksa dibatalkan.
              “Nim… sorry. Bos aku tak bagi aku masuk lewat pula. Tak sempat kot nak keluar lunch dengan kau,”sebaik panggilan berjawab, dia segera bersuara.
              “Kejap pun tak boleh?,”
              “Tak bolehlah. Apa hal penting yang kau nak cakap tu? Cakap sekarang, boleh?,”Arisa menjawab bersama soalan yang membuat dia resah dari tadi. Menurut Tasnim, ada perkara penting yang mahu dimaklumkan. Terdengar keluhan kecil Tasnim.
              “Hmm…. Tak boleh jumpa, aku cakap kat sini ajelah. Pesanan Encik Karim sebenarnya ni. Dia suruh aku beritahu kau, dia nak kau langsaikan semua hutang kau tu dalam minggu ni juga. Kalau tak nanti dia akan lantik peguam untuk bawa kes ni ke mahkamah,”
              Arisa terduduk.
              “Aku nak kau tahu cepat benda ni. Aku rasa Encik Karim saja ugut kau. Dia nak kau balik kerja dengan dia,”
              “Kalau aku tak nak balik kerja dengan dia, maknanya memang dia akan buat macam tulah…,”perlahan dia bersuara gusar.
              “Rissa… cuba kau cakap elok-elok dengan dia. Mana tahu nanti dia boleh faham?,”
              Arisa diam. fikiran buntu tiba-tiba. Dia perlu langsaikan semua hutang di dalam tempoh kurang seminggu? Mustahil!
              “Rissa…,”
              “Hah? Oh… thanks Nim. Thanks sebab beritahu semua ni,”
              “Kau okay ke?,”
              “Tak tahulah. Apa pun, thanks ya. Aku nak letak phone ni,”tidak menunggu jawapan daripada Tasnim, talian terus dimatikan. Telefon dicampak ke meja. Hasrat untuk makan tengahari hilang entah ke mana. Selera mati tiba-tiba. Saat ini ada musibah yang lebih besar sedang menanti. Di mana dia mahu mencari duit sebanyak lima belas ribu di dalam tempoh kurang daripada tujuh hari. Perlahan dia meraup wajah. Terbayang wajah Encik Karim. Terbayang pertolongan Encik Karim. Memang silapnya menerima pertolongan itu. Dan, keadaan pada waktu itu pula, memaksa dia akur pada bantuan yang dihulurkan oleh lelaki yang selama ini sangat baik padanya. Sedikit tidak disangka Encik Karim senekad ini. Dia mengeluh panjang. Buntu. Risau.
              “Apa aku nak buat ni…,”gumamnya sendirian. Sungguh, memikirkan masalah sebegini, membuat dia mahu menangis. Tetapi, selesaikah semua masalah andai dia titiskan air mata?


*****
              

15 comments:

eija said...

Aha...lma nya tgu n3 nie...
Cian arisa... En karim keji btl prgai..

misza said...

Zharif bagi duit, sebab tu Arissa terikat jadi isteri dia kan. jenuh fikir ari tu camne Arissa dah jadi isteri Zharif.

zoora said...

salam, cepat smbng!!!

Nora said...

kak Hanni, nest n3 please...cepat2 taw, memang xsabar nak baca full story....hehehe

Anonymous said...

Saya dah baca semua novel kak hanni. And please ada novel baru tak 2013 ni? Saya dah tk nk tunggu entry. Saya nak novel!!!! Wuwuwuw cepat kak hanni.

miznza84 said...

Bestt sgtt, rindu btl dgn nvl Mungkinkah ni...
Kak hani bile cite ni nk dibukukn? Xsbar nk bli..

Apple Pie said...

hani, saya dah baca PAM dan Kuseru Rindu Itu versi cetak. baca berulang kali dan tiap kali baca, saya nangis, touchy. tak sabar tggu Mungkinkah pulak...

Hanni Ramsul said...

terima kasih. :) buat masa ni layan Mungkinkah? di blog dulu ya hehe

Anonymous said...

akk ble nak masuk entry baru?? xsaba dah nie.lama sgt kene tgu

niza said...

Nak n3 lagi

Anonymous said...

kak, cantik blog akak ni. tapi cantik lagi entry akak on mungkinkah.. huhu. best! nak lagi ye kak... tq.

::Em Hej:: said...

bile nak publish novel ni..lama da tunggu :)

Anonymous said...

Hani,citer ni dah hantar ke penerbit untuk penilaian ke,dah lama stop...x sbr tunggu versi cetak lah.

Anonymous said...

Hani,lama betul citer ni stop..dah nak kuar versi cetak ke,hani pun tak da update apa2 di blog..

June said...

Tak de n3 ke? Best la cete nie..

[11:35:50 PM] hos.getah: