Saturday, January 19, 2013

BIARKAN YM TERUS BICARA 21


  Nescafe panas aku pandang sekali lagi. Selera Encik Firdaus nampaknya sudah berubah. Daripada milo panas, kini Encik Firdaus menggemari Nescafe panas. Perlahan aku ketuk pintu bilik kerjanya. Encik Firdaus bersuara dari dalam. Pasti menyangka Tini yang datang menghantar minumannya kerana dia meminta Tini siapkan Nescafe panas untuknya. Daun pintu aku tolak perlahan-lahan. Menjengah seketika. Encik Firdaus mengangkat muka. Aku mengukir senyum dan Encik Firdaus kembali menunduk. Senyumku mati. Hati tersentuh lagi. Namun, memikirkan pesanan ibu mertuaku siang tadi, hati yang sudah mula mahu ikut merajuk ini, aku pujuk sendiri. Langkah aku atur mendekati meja.
            “Nescafe abang minta,”aku membuka mulut. Sebetulnya, bukan mudah untuk aku buang rajuk ini. Lebih-lebih lagi sewaktu dia pulang dari kerja petang tadi, langsung dia tidak bersuara tentang ajakanku di YM. Seperti tiada apa yang berlaku.
            “Abang ingat Tiya dah tidur,”acuh tidak acuh sahaja kata-kata itu. Atau, aku yang terlebih sensitif lagi? Dalam payah, aku ukir senyum.
            “Belum,”                                                                       
            “Terima kasih,”ucapnya pendek. Cawan Nescafe dicapai lalu diteguk sedikit. Kemudian diletakkan di sudut meja.
            “Sejak bila abang suka minum Nescafe ni? Dulu abang tak suka,”aku cuba beramah. Encik Firdaus mengangkat muka. Masih lagi tiada riak mesra di wajah itu.
            “Entah. Tiba-tiba suka pula,”
            Aku menahan nafas. Jawapan itu seperti melepaskan batuk di tangga. Melampau betul rajuk Encik Firdaus. Aku rasa, aku sendiri tidak pernah merajuk melebih-lebih macam ni!
            “Abang masih marahkan Tiya ke?,”aku terus pergi ke pokok persoalan. Tidak mahu berbasa-basi lagi. Aku tercegat memandang Encik Firdaus yang leka meneliti kertas-kertas di tangan. Perlahan lelaki itu menggeleng.
            “Dah tu, kenapa tak nak bercakap dengan Tiya?,”
            “Sekarang ni, bukan bercakap ke?,”
            Aku tunduk. Bermain dengan jemari sendiri. Bibir mata yang mula memberat, aku biarkan saja. Seketika setelah menenangkan perasaan sendiri, perlahan aku mengangkat muka.
            “Okaylah. Tiya tak nak ganggu abang buat kerja. Tiya keluar dulu,”aku bersuara lirih. Perlahan membelakanginya. Mahu bergerak keluar. Sungguh aku mati akal untuk memujuk Encik Firdaus yang kelihatan begitu berbeza. Biarlah. Biarlah Encik Firdaus begini sehingga rajuknya hilang sendiri. Aku tidak pandai memujuk. Reaksinya cuma mengundang sedihku. Membuat aku semakin berfikir yang bukan-bukan.
            “Tak nak cakap apa-apa dengan abang?,”
            Langkah aku mati seketika. Tanpa berpaling, aku cuma menggeleng perlahan. Lebih banyak aku bercakap, aku yakin, pasti ada air mata yang akan mengalir. Nanti, Encik Firdaus tidak terpujuk, aku pula yang terus memendam rasa.
            “Dah tu, kenapa tiba-tiba ajak abang shopping tadi?,”Encik Firdaus bertanya lagi.
            Aku berpaling perlahan-lahan. Memandang wajah Encik Firdaus yang sudah mula mengangkat muka. Akhirnya dia bertanya juga. Aku tersenyum tawar.
            “Nak pujuk abang,”ujarku berterus-terang.
            “Pujuk abang? Kenapa?,”
            “Mummy cakap abang merajuk,”
            Encik Firdaus mengerutkan kening.
            “Mummy cakap? Kenapa mummy cakap macam tu?,”
            Aku menggeleng. Encik Firdaus masih merenung wajahku. Mencari penjelasan yang lebih terperinci barangkali.
            “Kalau mummy tak cakap?,”
            Bibirku terus kelu. Tidak tahu bagaimana harus aku jawab soalan semudah itu. Sudahnya aku mengeluh lemah. Melangkah menghampiri meja semula.
            “Tiya tak suka kita macam ni. Kalau Tiya ada buat salah, Tiya minta maaf. Tiya… Tiya tak pandai nak pujuk abang, kalau abang merajuk macam ni. Abang janganlah marah Tiya lagi. Janganlah diam macam ni lagi,”perlahan-lahan aku mengatur kata. Bibir mata yang terasa panas, kutahan, jangan sampai ada air mata yang menitis.
            “Abang tak marah Tiya. Abang terkilan bila Tiya terus menolak cakap abang. Nasihat abang. Terus tinggalkan abang padahal, abang belum habis cakap,”
            “Tapi, memang betul Tiya bukan sengaja jumpa abang Kamal. Lagipun, macam-mana Tiya nak ikut cakap abang? Abang Kamal kan sepupu Tiya. Mana boleh Tiya tak boleh jumpa dengan dia langsung?,”
            Encik Firdaus mengeluh kecil. Perlahan mengangkat punggung.
            “Itu yang buat Tiya marah sangat? Tiya cuma risau kalau Tiya tak boleh jumpa Abang Kamal lagi? Sebab tu Tiya terus angkat kaki tinggalkan abang?,”
            Laju aku menggeleng. Sumpah itu semua langsung tidak terlintas di fikiranku saat aku melangkah meninggalkan Encik Firdaus. Aku pergi sebab aku kecewa apabila dia beranggapan aku berprasangka buruk pada Puan Sri Ainul. Aku pergi sebab aku sakit hati apabila Encik Firdaus seakan tidak mahu mendengar kebenaran.
            “Abang tak minta supaya Tiya jangan jumpa Kamal langsung. Cuma, kalau boleh elakkan, kan lebih bagus. Yes…abang percayakan isteri abang. Abang pun tak percaya pada SMS tu. Cuma, SMS macam tu, kalau sampai pada orang lain, ceritanya pasti berbeza kan? Dan lagi, abang tak berapa suka bila Tiya tuduh orang lain sesuka hati. Lebih-lebih lagi orang tu… Puan Sri Ainul…,”
            Aku diam. Hati terasa sakit tiba-tiba. Aku tidak pernah menuduh. Aku yakin dengan apa yang aku rasa. Dan, terang-terangan juga Puan Sri Ainul menyatakan rasa bencinya padaku. Cuma Encik Firdaus yang sering menganggap aku berfikir yang bukan-bukan apabila aku mahu bercerita.
            “Tiya lebih suka menuduh orang lain, daripada duduk dan fikir, mungkin Tiya secara tak sengaja dah buka ruang untuk orang fitnah Tiya. Itu yang buat abang berasa terkilan,”tokok Encik Firdaus apabila melihat aku membisu.
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Tidak puas hati? Memang ya. Sangat-sangat tidak berpuas-hati dengan hujah Encik Firdaus. Namun, untuk menentang aku rasa tindakan itu tidak begitu bijak. Pasti nanti akan mengundang satu lagi salah faham. Akhirnya, dalam terpaksa, aku telan kata-kata itu dengan berat hati.
            “Tiya minta maaf. Tapi, kenapa abang tak terus-terang saja? Kenapa perlu berdiam diri macam ni?,”
            Encik Firdaus tersenyum sedikit. Senyum yang membuat hatiku mula berlagu gembira. Geramku pada Encik Firdaus telah hilang. Kecewaku pada Encik Firdaus juga telah hilang. Encik Firdaus sudah sudi mengukir senyum untukku. Sedikit teragak-agak aku turut membalas senyum itu.
            “Tunggu Tiya datang pujuk abang,”dia bersuara. Sudah sedikit lunak.
            “Tiya ingat abang dah tak sukakan Tiya. Sebab tu abang diam. Tak pedulikan Tiya lagi,”aku bersuara dengan nada sedikit berjauh hati.
            “Salah ke sesekali abang nak isteri abang pula yang pujuk abang?,”
            “Lain kali cakaplah nak suruh Tiya pujuk. Susah hati Tiya abang buat Tiya macam ni,tau,”
            Encik Firdaus sudah tergelak halus. Membuat hatiku berbunga kembali.
            “Ada ke orang merajuk yang buat macam tu?,”
            Aku turut tergelak.
            “I miss you…,”ucap Encik Firdaus lembut.
            “I miss you too…,”
            Perlahan Encik Firdaus mengangkat kedua tangannya. Seolah-olah menjemput aku ke dalam pelukannya. Sambil tersenyum lebar, aku melangkah mendekatinya. Terus jatuh ke dadanya dan erat di dalam pelukannya. Lama kepalaku dikucup.
            “Tiya tak tahu macam-mana rindunya abang pada Tiya dalam dua tiga hari ni. Ingat senang ke abang nak buat-buat tak tahu pada Tiya?,”perlahan Encik Firdaus bersuara. Aku tersenyum sambil erat memeluk pinggangnya.
            “Siapa suruh abang merajuk serius sangat? Tiya tak tahu pun, abang kuat merajuk. Nasib baik mummy beritahu,”
            “Tak sensitive…,”usik Encik Firdaus sambil melonggarkan pelukannya. Hujung hidungku ditarik perlahan. Aku tersenyum.
            “Selalu abang suka memujuk. Mana tahu abang pun pandai merajuk,”rungutku bersama senyum lega. Selesai sudah masalah di antara kami, walaupun ada sedikit rasa tidak puas hati yang melekat di hatiku. Biarlah. Mungkin kali ini, sebaiknya aku mengalah.
            “Abang…,”aku bersuara sambil mengangkat muka. Memandang wajah Encik Firdaus.
            “Hmmm….,”
            “So, Tiya dah tak boleh jumpa dengan Abang Kamal ke?,”soalku sambil merenung tepat ke matanya. Aku perlukan jawapan.
            “Biar abang temankan?,”jawab Encik Firdaus dengan sebaris soalan. Aku diam. Tidak kisah dengan syarat itu.
            “Kalau terserempak macam hari tu? Takkan nak buat macam tak kenal?,”
            Encik Firdaus tersenyum kecil.
            “Elakkanlah daripada boleh buat orang yang pandang jadi salah faham. Abang tahu Tiya memang rapat dengan sepupu Tiya tu. Dan, abang juga tahu, orang yang hantar SMS hari tu, ada niat tak baik pada kita. Cuma, kan elok kalau kita ambil pengajaran dari apa yang dah jadi tu,”
            Aku diam. Cuma perlahan mengangguk setuju. Ada benarnya di situ. Tempoh hari, aku memang menemani Abang Kamal mencari-cari sesuatu untuk dibawa pulang ke kampung. Buah tangan untuk ibu dan ayahnya. Juga aku sempat makan bersamanya. Mungkin keakraban itu yang Encik Firdaus maksudkan.
            “Abang pun… janganlah rapat sangat dengan Mia ya,”tiba-tiba aku bersuara.
            Seperti biasa, lelaki ini tergelak kecil.
            “Abang pun kena sekali?,”
            Aku memandang wajahnya. Menanti reaksi daripada Encik Firdaus. Mana tahu dia kurang senang dengan permintaanku. Namun, wajah itu tetap kelihatan tenang dan ceria.
            “Mungkin permintaan Tiya ni macam mengarut. Tapi, boleh kan, abang jarakkan sikit hubungan abang dengan Mia? Demi Tiya?,”pintaku dengan suara yang cukup lembut.  Ini bukan soal cemburu buta lagi. Tetapi, dengan langkah demi langkah yang telah Puan Sri Ainul aturkan, rasanya aku lebih lega andai Encik Firdaus dapat berjanji denganku. Berjanji yang dia akan jarakkan hubungan dia dengan Mia. Mungkin itu akan membuat hatiku sedikit tenang. Tidak kisahlah apa yang Encik Firdaus mahu fikirkan tentang permintaan itu, tetapi, aku tetap mahu Encik Firdaus bersetuju.
            “Boleh tak bang?,”
            Encik Firdaus tersenyum lagi. Merenung lama ke wajahku. Kemudian mengelus lembut rambutku.
            “Demi Tiya, abang akan cuba,”akhirnya dia bersuara. Memberi satu jaminan padaku. Aku mencapai jemarinya lalu kukucup perlahan.
            “Terima kasih, bang,”ucapku luhur. Memang aku sangat berharap Encik Firdaus akan tunaikan keinginanku yang satu ini. Juga amat yakin yang Encik Firdaus pasti tidak akan kecewakan aku.
            “Sayang,”
            Panggilan itu membuat aku segera mencari wajah Encik Firdaus.
            “Ya, bang?,”
            “Tiya pakai perfume apa?,”
            Aku diam seketika. Sedikit hairan dengan soalan itu.
            “Ini kan perfume yang abang hadiahkan pada Tiya. Kenapa? Takkan dah lupa. Abang cakap abang suka sangat baunya…,”
            “Are you sure?,”
            Pelukan aku leraikan. Berdiri tegak sambil memandang wajah Encik Firdaus yang kelihatan kurang selesa.
            “Mestilah. Kenapa bang?,”
            Encik Firdaus menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil. Aku mengerling sambil mengangkat kening. Gelengan itu mendatangkan rasa hairan. Mesti ada yang tidak kena. Kalau tidak mustahil Encik Firdaus akan bertanya.
            “Are you sure?,”aku pula yang bertanya membuat Encik Firdaus tergelak kecil.
            “Yes, sayang. Cuma baunya pelik sikit,”
            Aku mengerling lagi.
            “Sudahlah. Jom kita masuk tidur,”
            “Kerja abang?,”
            “Abang nak buat kerja lain,”selamba Encik Firdaus bersuara sambil mencapai jemariku. Merenung wajahku sambil tersenyum. Aku juga cuma mampu membalas senyuman itu. Syukur kerana salah-faham ini sudah berakhir. Benar kata Sharifah, benar juga kata ibu mertuaku. Tidak salah kita mengalah andai itu akan memberi kebaikan kepada kita. Kalau aku terus berdegil, pasti kami tidak akan tahu punca yang menjentik perasaan masing-masing. Kini, semuanya sudah terlerai dan aku sudah boleh tersenyum riang semula.


*****


7 comments:

Faten said...

Tia ni pregnant kan?

Anonymous said...

Bila nak keluarkan novel baru???

norihan mohd yusof said...

terjerat hati pd salah paham yg bertempat...org ketiga nih kekadang perlu di jauhi demi kebaikan dlm bersuami isteri...kalu tiya ngan abg kamal nyer,fir plak ngan mia..so mmg harus dielak agar tk di pandang serong olih insan2 disekeliling!pape pun biar lh jodoh fir ngan tiya kekal ke hujung nyawa...tq hanni suker sesangat ngan n3 nih..hilang rindu cikit kat depa berdua..hehe senyum2 bile dpt baca kisah fir n tiya..

MaY_LiN said...

amboi
merajuk lak en firdaus ni

Zalida said...

terubat rindu dgn tiya dan en firdaus dia. bila nak keluar novelnya nk hanni?

Hana Sweet said...

haha.. mcm p.cik sy, waktu m.cik sy pregnant semua perfume dia x suka, katanya semua busuk...btw citer ni funny, interesting, touching semua ada.. ;)

Anonymous said...

Emm bila nak sambung best sangat excited 2 3 x dh ulang ni

[11:35:50 PM] hos.getah: