Friday, November 18, 2011

Mungkinkah? 15


Pandangannya tertebar jauh pada tasik kecil yang tenang. Jauh merenung liku kehidupan yang harus dia lalui. Kian hari terasa kian membebankan. Dia benar-benar tersepit. Encik Karim bijak menggunakan peluang yang ada. Radhi pula sudah mula muncul menayangkan muka yang menyakitkan hati. Sedang Puan Salma jelas berusaha untuk menyingkir dirinya daripada terus berada hampir dengan suaminya.
            “Aku tak mahu tengok muka kau lagi kat pejabat tu. Kalau ikutkan hati aku, aku mahu malukan kau depan semua staff lain. Biar semua orang tahu macam-mana teruknya perangai kau. Tapi, aku masih fikirkan air muka kau. Jadi, baik kau berambus daripada hidup aku…hidup laki aku secara baik. Jangan sampai aku datang malukan kau di pejabat,”
            “Puan… tak mungkin saya boleh pergi macam tu saja…,”
            “Kenapa? Sebab kau masih harapkan laki aku? Sebab kau andaikan dia akan kahwin dengan kau? Jangan mimpi. Langkah mayat aku dulu, kalau kau ada simpan niat tu,”
            “Bukan… tak mungkin saya boleh berhenti macam tu saja. Saya perlu langsaikan pinjaman saya dengan Encik Karim dulu….,”
            “Sudah! Jangan nak cari alasan. Kau ingat aku tak tahu? Laki aku tak pinjamkan duit pada kau. Dia bagi kau duit sebab kau sanggup jadi perempuan simpanan dia. Kau sanggup bayar pada laki kau, supaya diceraikan semata-mata kau nak bersama dengan laki aku. Kau ingat aku tak tahu? Aku tak kira. Aku nak kau berhenti kerja atau aku akan hebahkan cerita busuk kau ni pada semua orang. Pilihan di tangan kau!,”
            “Astaghfirullahal’azim….,”dia beristighfar perlahan. Tunduk meraup wajah. Kata-kata tajam Puan Salma lewat pertemuan mereka beberapa hari lalu, kembali singgah di minda. Dia tahu wanita itu nekad. Dia  pasti fitnah mainan Radhi akan tersebar andai dia terus berada di situ. Andai dia terus bekerja dengan Encik Karim. Namun, bagaimana mungkin dia boleh pergi begitu sahaja, sedangkan dia terikat dengan hutang yang bukan sedikit. Mustahil dia dapat langsaikan semua pinjaman itu sekaligus.
            Satu keluhan berat muncul di bibirnya. Betapa manusia bernama lelaki telah berjaya membuat hidupnya menjadi porak-peranda. Berat beban yang ditanggung hampir membuat dia tidak mampu bernafas. Bagaimana dia mahu keluar daripada permasalahan ini? Cerita yang dicanang Radhi terlalu berat untuk dia tanggung. Dan, Encik Karim lebih senang berdiam diri, menunggu dia bersetuju apabila dia benar-benar tersepit nanti. Dia pasti itulah niat Encik Karim. Seorang lelaki yang selama ini dia sangkakan seorang yang budiman. Ternyata, antara Radhi dan Encik Karim, tiada bezanya. Encik Karim tidak pernah mahu berusaha untuk menjelaskan kedudukan sebenar pada isterinya. Sedang kata-kata yang meniti di bibirnya, semuanya dianggap dusta oleh Puan Salma. Bagaimana dia boleh menegakkan kebenaran apabila dia cuma terkontang –kanting sendirian.  Sungguh, dia tidak mempunyai sesiapa yang boleh membantunya.
            “Ayah… Rissa tak tahu nak buat apa sekarang…Rissa perlukan ayahnya…,”perlahan bibirnya merintih. Sungguh dia buntu mahu mencari jalan penyelesaian. Andai dia terus bekerja, pasti fitnah akan tersebar dan aib yang bukan sedikit akan terpalit padanya. Andai dia pergi, pasti masalah pinjaman akan Encik Karim persoalkan nanti. Mustahil Encik Karim akan berdiam diri.
            Dia tertunduk. Membiarkan air mata menitis perlahan.
            “Kat sini kau rupanya…,”
            Pantas jemarinya menyapu pipi. Perlahan dia mengangkat muka. Memandang wajah Tasnim yang tersenyum. Namun, cuma untuk seketika senyum terukir di bibir gadis itu. Pasti Tasnim sedar ada tangisan yang cuba dia sembunyikan.
            “Kau okay?,”
            Arisa mengukir senyum paksa.
            “Apa kau buat kat sini? Macam – mana kau tahu aku kat sini?,”dia bertanya tanpa mengacuhkan soalan Tasnim.
            “Aku dari rumah kau. Ati cakap kau kat sini,”Tasnim memberi penjelasan ala kadar. Perlahan dia melabuhkan punggung di sisi Arisa.
            Arisa diam. Memang dia mahu bersendirian. Sebab itu dia ke taman rekreasi yang tidak jauh dari rumahnya ini. Dia tidak mahu menunjukkan wajah murung di hadapan adik-adiknya. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu adik-adiknya terseret di dalam masalah ini. Mereka terlalu muda untuk sama-sama menanggung derita.
            “Kau okay ke ni?,”Tasnim bersuara lagi. Sejak Arisa memulakan tugas, dia dapat rasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena pada temannya itu. Makin hari Arisa semakin murung. Mungkinkah Arisa masih bersedih di atas kematian bapanya, atau mungkinkah ada masalah lain yang sedang membelenggu Arisa?
            “Rissa?,”
            Arisa mengeluh perlahan. Wajah Tasnim dipandang seketika. Kemudian pandangan jatuh lagi pada tasik kecil di hadapannya.
            “Kalaulah hidup setenang tasik tu… kan bagus,”dia bersuara perlahan. Kemudian sekali lagi berpaling mencari wajah Tasnim. Kemunculan Tasnim secara tiba-tiba, membuat jiwanya sedikit tenang. Sekurang-kurangnya dia punya teman untuk bercakap.
            “Mana ada hidup yang akan tenang sentiasa. Hidup mestilah ada turun naiknya,”
            Arisa tersenyum nipis.
            “Apa lagi masalah kau ni? Sejak masuk kerja aku tengok kau lain macam. Langsung tak ceria. Aku faham kalau kau masih bersedih. Tapi, aku rasa bukan itu puncanya, kan?,”
            “Kau dah makin memahami aku, ya?,”usik Arisa hambar. Tasnim juga tergelak lesu. Tidak terkesan dengan usikan itu.
            “Tak sangka, kita boleh rapat hanya kerana masalah aku. Kan? Sebelum ni, kita tak serapat mana. Mungkin sebab aku memang tak pandai berkawan. Tak ada kawan pun sebenarnya. Hidup aku cuma untuk keluarga aku dan Radhi. Aku tak pernah ada kawan baik. Kau percaya tak?,”
            “Percaya. Kau suka menyendiri. Suka buat hal sendiri. Dulu aku fikir kau ni, sombong sebenarnya,”balas Tasnim sambil tersenyum kecil. Memang Arisa bukan jenis yang suka bergaul mesra bersama teman. Waktu kerja hanya dihabiskan dengan bekerja.
            Arisa mengangguk perlahan bersama sekuntum senyum kecil.
            “Selama ni, aku hanya fikirkan orang yang penting dalam hidup aku, adalah keluarga aku dan orang yang aku cintai. Teman-teman cuma sekadar pelengkap semasa kita gembira. Tapi, aku lupa, ada saatnya… teman itu penting. Ada saatnya aku perlukan seorang teman untuk berkongsi rasa. Berkongsi masalah…Saat orang yang kita cintai menghancurkan perasaan kita… dan, saat ahli keluarga bukan tempat yang tepat untuk kita meluahkan rasa…. ,”
            “Rissa…Insya-ALLAH, aku boleh jadi teman yang akan berkongsi kesusahan kau,”
            “Terima kasih, Nim…,”
            “So, apa masalahnya kali ni? Radhi lagi?,”
            Arisa diam. Merenung wajah Tasnim sebelum mengeluh panjang.
            “Plus Encik Karim and Puan Salma…,”
            Tasnim mengangkat kening. Apa pula masalah Arisa dengan Encik Karim dan Puan Salma? Masih belum selesaikah masalah yang Radhi timbulkan?
            “Takkan Encik Karim belum jelaskan apa-apa pada isteri dia?,”
            Arisa tersenyum sinis.
            “Mungkin dia tak akan jelaskan apa-apa…,”
            “Maksud kau?,”
            “Dia ambil kesempatan atas perbuatan Radhi. Dia memang tak nak jelaskan perkara sebenar pada Puan Salma. Dia ajak aku kahwin dengan dia…,”
            Tasnim ternganga. Benar-benar terkejut dengan pernyataan yang baru meniti di bibir Arisa.
            “Dia mula ungkit pasal pinjaman tu. Katanya, dia akan lupakan pasal pinjaman tu, kalau aku kahwin dengan dia. Gila…,”
            Tasnim diam. Tidak sangka rupa-rupanya kebaikan Encik Karim bersebab.
            “Puan Salma pula, ugut supaya aku berhenti kerja. Kalau aku tak berhenti, dia nak hebahkan fitnah Radhi pada semua. Dengan Encik Karim yang tak nak buka mulut, siapa yang akan percaya cakap aku nanti? And… kalau aku berhenti kerja, pinjaman aku dengan Encik Karim macam-mana? Mustahil aku boleh bayar semuanya sekaligus,”
            Tasnim mengeluh panjang. Memang wajar Arisa bermurung saban hari. Bukan kecil masalah yang mendatang.
            “Kasihannya kau. Takkan Puan Salma langsung tak percaya apa kau cakap?,”
            Arisa menggeleng.
            “Sikit pun dia tak percaya. Tapi, aku tak salahkan dia. Macam-mana dia nak percaya kalau suami dia main tarik tali macam tu? Encik Karim seolah-olah nak isteri dia syak yang memang kami ada hubungan. Aku betul-betul tak sangka dia sanggup buat aku macam ni, Nim…,”
            “Aku pun tak sangka. Biar aku jelaskan pada Puan Salma. Nak?,”
            Laju Arisa menggeleng.
            “Jangan. Puan Salma benci betul dengan aku. Aku tak nak libatkan kau. Nanti kau susah,”
            “Dah tu, apa kau nak buat? Pilihan apa yang kau ada?,”
            “Terjun dalam tasik ni kot…,”ujar Arisa perlahan.
            “Oit!,”Tasnim membentak serentak dengan satu pukulan yang agak keras di bahu Arisa. Membuat Arisa menyeringai menahan sakit.
            “Jangan cakap macam orang bodoh macam tu,”
            Arisa tersenyum kecil.
            “Gurau pun tak boleh?,”
            Tasnim menjeling marah. Arisa pula mengeluh panjang.
            “Aku pun tak tahu nak buat macam-mana, Nim. Untuk merayu pada Encik Karim, rasanya sia-sia saja. Kalau tak ada pilihan, mungkin aku terpaksa berhenti. Aku tak mahu maruah aku dipermainkan nanti,”
            “Bekas suami tak guna kau tu pula, macam mana? Masih datang ganggu kau?,”
            “Ada juga. Tapi aku tak layan. Penat aku nak layan. Nak tambah sakit kepala. Masalah bertimpa-timpa. Layan dia, bertambah lagi masalah aku,”
            “Aku tumpang simpati dengan nasib kau. Kalaulah aku boleh tolong…,”
            Arisa diam. Pegun memandang ke tengah tasik. Lega sedikit hatinya setelah berkongsi cerita. Walau masih buntu mencari jalan penyelesaian , sekurang-kurangnya dadanya sedikit lapang.
            “Kalau dapat diputarkan waktu, aku tak mahu terlibat dengan mana-mana lelaki pun. Aku tak akan biarkan bayang lelaki datang singgah dalam hidup aku…,”Arisa bergumam perlahan. Satu penyesalan yang timbul daripada kekecewaan demi kekecewaan yang muncul dalam hidupnya.
            “Bukan salah lelaki, Rissa. Cuma, dalam hidup kau tu, kau sering berjumpa dengan lelaki yang salah. Lelaki yang tak tepat untuk dijadikan pasangan. Jangan salahkan takdir…,”
            Arisa diam. Dia tidak mahu salahkan takdir, namun, dia akan pastikan takdir ini tidak akan berulang. Cukuplah perit hidupnya dipermainkan oleh lelaki. Selepas ini, biarlah hidupnya cuma untuk adik-adik yang masih memerlukannya.
            “Anyway, thanks. Kau banyak bantu aku,”Arisa bersuara sambil mengeluh pendek. Tidak mahu panjangkan lagi soal takdir dan soal malang hidupnya.
            Tasnim tersenyum kecil. Dia tidak menjawab. Cuma, kali ini matanya turut jatuh pada tasik yang tenang. Jauh di sudut hatinya, dia berdoa agar satu hari nanti, Arisa akan menemui ketenangan di dalam hidupnya.


*******

5 comments:

miznza84 said...

ala siannya la arissa.. bila la cik abg hero nak datang menyelamat...kak hani sambung lagi pls..

Anonymous said...

grrrrrrrr..geram lah ngan encik karim tu..!! ish2 heheheh emosi lah pulak ..


myeha ireland setiasa tunggu n3 baru kak hanni..ngee:)

Anonymous said...

sambung kak hani...

nanacunoi said...

sedih betul baca n3 kali nie..terasa sy berada di tmpt arissa. patutla arissa susah nk terima zariff..hope lepas nie dia jumpa zariff..bleh kan k.hanni?? hehe..bestt...

Anonymous said...

best.... cpt sambung yer kak hani..

[11:35:50 PM] hos.getah: