Monday, November 14, 2011

Biar YM Terus Bicara 2



Hampir sepuluh minit aku setia berada di sisi Puan Junaidah. Memandang kelincahan jemarinya membelek utas demi utas rantai tangan pelbagai rekaan. Sesekali aku bersuara memberi pendapat. Boleh tahan cerewet ibu mertuaku ini. Memberi ruang untuk dia membuat pilihan yang tepat, aku mengalihkan pandangan pada susunan rantai leher pula. Sekadar menjamu mata.
“Tiya nak apa-apa tak?,”
Aku mengangkat muka. Memandang wajah ibu mertuaku. Kemudian aku menggeleng perlahan. Bagai ada satu perasaan halus yang menjalar di hatiku tiap kali ibu mertuaku itu mengalun nama ‘Tiya’. Satu perasaan indah yang membuat aku berasa tidak pernah jauh dengan ibuku. Panggilan itu sering mengingatkan aku pada ibu. Dan, syukur di sini aku juga memiliki seorang lagi ibu yang begitu menyayangiku.
“Takkan tak ada yang berkenan? Kan banyak pilihan ni…,”
Aku tersenyum. Pandanganku jatuh kembali pada deretan barang kemas di kedai emas terkemuka itu. Memang cantik-cantik. Namun, bukan hobiku mengumpul koleksi barang kemas. Juga aku tidak gemar memakai perhiasan sebegitu.
“Tiya tak suka sangatlah, mummy. Tapi, Tiya boleh tolong pilihkan untuk mummy,”aku bersuara sambil tersenyum lebar. Puan Junaidah turut tersenyum.
“Tak apa. Biar mummy pilihkan untuk Tiya,”bersungguh Puan Junaidah bersuara.
Aku diam. Tidak terus menolak. Bimbang andai nanti wanita itu tersinggung dengan penolakanku. Sudahnya aku cuma tersenyum dan Puan Junaidah mula tekun meneliti koleksi rantai yang ada. Satu demi satu dia minta untuk ditelek sepuas hati. Aku sekadar memandang sambil sesekali memberi komen apabila diminta. Akhirnya seutas rantai halus berloket kecil menjadi pilihan apabila cuma yang itu sahaja mampu membuat aku tertawan. Juga untuk tidak menghampakan ibu mertuaku sebenarnya.
“Hadiah untuk menantu mummy. Tapi, kenapa kecil sangat? Tak menyesal ni?,”
Aku tergelak besar. Lucu mendengar komentar itu. Tentu saja aku tidak menyesal. Puan Junaidah tersenyum.
“Mummy ni, ke situ pula. Mana boleh menyesal…,”aku bersenda masih bersama gelak kecil.
Selesai urusan jual beli, kami bergerak keluar mencari haluan lain pula. Tugas aku hari ini, menemani ibu mertua membeli-belah. Sedikit penat sebenarnya, namun aku seronok. Kemesraan Puan Junaidah tidak pernah berubah dan aku yakin, aku adalah menantu yang paling bertuah kerana mendapat ibu mertua sebaik Puan Junaidah. Tidak banyak bersungut walau aku terlalu banyak kekurangan.
“Mummy nak cari apa lagi?,”aku bertanya sambil melangkah perlahan seiring dengan langkah ibu mertuaku itu.
“Cari baju nak? Dah lama juga mummy tak shopping baju ni,”
Aku mengangguk setuju. Sambil mata memerhati persekitaran kompleks membeli-belah yang tidak begitu sesak. Terasa rutin harianku semakin berubah sejak bergelar isteri.
“Pasal cadangan mummy tu, Tiya dah tanya Fir?,”Puan Junaidah mengajukan soalan sambil matanya terus menikam wajahku. Membuat aku terpinga-pinga seketika. Cadangan? Cadangan apa pula? Puan Junaidah mengangkat kening dan aku pula mula kerutkan kening. Menantu mummy lemah daya ingatanlah… aku bermonolog sendiri.
“Hmmm…. Belum tanya ya?
“Cadangan?,”aku mengulangi soalan ibu mertuaku. Dan, wanita itu mengangguk perlahan sambil berpeluk tubuh. Membuat aku semakin serius memerah otak. Cuba mengingati sesuatu yang pernah dicadangkan oleh ibu mertuaku. Sejenak sebelum aku tersenyum lebar.
 “Oh… tolong mummy di butik tu? Kan? Dah. Tiya dah tanya,”aku memberi jawapan bersama senyum lebar.
“Apa kata Fir?,”
“Abang setuju,”
Puan Junaidah tersenyum lebar.
“Good…,”sepatah bicara Puan Junaidah sambil mencapai lenganku. Laju melangkah menuju ke sebuah butik. Sapaan mesra pekerja butik tersebut, cukup memberitahu ibu mertuaku barangkali pelanggan tetap di situ.
“Mummy memang selalu ke butik ni, ya?,”
Puan Junaidah mengangguk.
“Mummy suka pakaian di sini. Kena dengan citarasa mummy. Memang mummy ada btuk sendiri. Tapi, mummy suka shopping kat butik orang lain. Kalau mahu tempah baju, pun mummy suka tempah di sini. Nanti, kalau Tiya nak tempah baju, boleh tempah di sini,”ibu mertuaku bercerita sambil tergelak halus.
Aku tersenyum kelat. Di tempat eksklusif sebegini? Tiba-tiba terasa hidupku telah banyak berubah.
“Dulu mummy selalu ke sini dengan Mia,”lancar Puan Junaidah menyambung cerita sambil mula membelek baju-baju yang bergantungan. Cerita yang membuat senyumku mati perlahan-lahan. Nama Mia yang dialun ibu mertuaku, menghantar satu perasaan kurang enak di  hati. Tiba-tiba teringat tentang hasrat Puan Junaidah yang mahukan Mia menjadi menantunya. Kecewakah Puan Junaidah apabila hasratnya tidak menjadi kenyataan? Mustahil. Dia yakin Puan Junaidah menerima kehadirannya sebagai ahli keluarga, dengan tangan terbuka. Barangkali cerita itu muncul di bibir Puan Junaidah, hanya kerana Mia pernah akrab dengannya. Hatinya memujuk lembut.
“Tiya? Kenapa ni?,”
Aku sedikit tersentak. Sempat mengelamun melayan perasaan rupanya. Sambil menggeleng aku mengukir senyum. Tiya… jangan mudah prasangka yang bukan-bukan. Hatiku memujuk lembut.
“Berangan pula dia. Cepat pilih yang mana satu Tiya nak?,”
“Mummy ni… nak shopping untuk mummy ke untuk Tiya? Asyik tanya apa Tiya nak…,”aku bersuara lembut.
“Untuk mummy dan untuk Tiyalah. Mummy suka blouse ni. Mummy belikan untuk Tiya, nak?,”
“Tadi dah belikan rantai untuk Tiya…,”aku bersuara perlahan. Sedikit serba-salah untuk menerima satu lagi pemberian daripada Puan Junaidah.  
Puan Junaidah tersenyum. Perlahan menyentuh bahuku.
“Mummy memang suka hadiahkan sesuatu untuk orang yang mummy sayang. Iecha dah balik kampus. Tiya lah yang ada untuk mummy. Farid dengan Firdaus lain. Orang lelaki tak suka shopping macam ni,”
Aku tergelak kecil.
“Mummy baik. Baik sangat-sangat…,”
Puan Junaidah tidak menjawab. Cuma mencapai blouse berbunga kecil lalu dilayangkan di hadapanku.
“Apa kata Tiya cuba yang ni? Yang ni sesuai dengan jeans. Tiya kan suka pakai jeans,”
Aku mencapai blouse di tangan ibu mertuaku. Dirapatkan ke tubuhku.
“Cantik. Tiya suka. Okay, ini mummy belikan untuk Tiya. Now, mummy pilih untuk mummy pula. Tiya hadiahkan untuk mummy,”
Puan Junaidah tertawa halus.
“Tak payah sayang. Hari ni, mummy belanja semuanya,”
“Satu pun tak boleh?,”dugaku sambil mengangkat kening. Puan Junaidah tersenyum sambil menggeleng.
“Tak boleh…,”
Aku mengeluh sambil membuat wajah kecewa. Puan Junaidah terus tertawa sambil memeluk erat bahuku. Kemesraan yang membuat aku terus lupa pada Mia yang pernah hampir menjadi menantunya.


******


Perlahan aku mengurut kakiku yang terasa sedikit lenguh. Seharian berjalan ke sana sini memang memenatkan.
“Penat ya?,”
Aku mengangkat muka. Encik Firdaus tersenyum memandangku. Melabuhkan punggung ke katil sambil perlahan tangannya menolak jemariku. Kini jemarinya yang mengurut lembut kakiku.
“Lenguh sikit aje bang. Tak payahlah urut. Abang mungkin lebih penat dari Tiya,”aku bersuara sambil menarik kakiku. Rasa tidak kena apabila Encik Firdaus tenang mengurut. Tidak pantas rasanya membiarkan suami mengurut kaki yang tidak sesakit mana. Namun, Encik Firdaus bagai tidak membenarkan aku menarik kaki. Pegangannya sedikit keras dan aku diam tidak bergerak. Memandang dengan rasa serba-salah. Terlalu baik layanan ini.
“Mummy dera Tiya hari ni?,”dia membuka mulut.
Aku tergelak halus.
“Taklah. Tak baik cakap mummy macam tu, tau,”
Encik Firdaus mengukir senyum. Terus mengelus lembut betisku. Memberi rasa lega yang bukan sedikit.
“Kejap bang…,”aku tiba-tiba bersuara. Menarik kaki sambil bergerak turun dari katil. Segera aku mencapai beg kertas di atas meja solek dan kembali semula ke katil. Encik Firdaus tenang menunggu. Aku keluarkan blouse yang dibeli oleh ibu mertuaku siang tadi. Melekatkan ke dadaku sambil aku pandang wajah Encik Firdaus.
“Mummy belikan. Cantik tak?,”soalku ceria. Encik Firdaus memandang sambil menggosok dagu.
“Hmmm…. Tak berapa seksi,”
Aku jegilkan mata dan Encik Firdaus tergelak riang.
“Nak Tiya pakai seksi-seksi ke?,”
“Mestilah. Untuk abang mestilah kena seksi-seksi,”
Aku mencemik. Blouse itu aku masukkan semula ke dalam beg kertas.
“Cantik. Tiya pakai apa pun mesti cantik,”suara Encik Firdaus kendur memujuk. Mungkin dia risau aku merajuk. Aku buat-buat tidak dengar. Sibuk selongkar mencari kotak kecil untuk ditunjukkan kepada Encik Firdaus.
“Ini pun mummy belikan untuk Tiya,”aku bersuara lagi sambil membuka kotak kecil yang sudah berada di tangan. Encik Firdaus bergerak merapatiku. Menarik aku rapat ke dadanya sambil menyentuh kotak yang masih di tanganku.
“Abang nak belikan barang kemas untuk Tiya, Tiya tak nak…,”
Aku mengangkat muka. Memandang wajah Encik Firdaus yang sedang merenungku. Aku tersenyum. Encik Firdaus mencapai rantai halus di dalam kotak. Aku bersandar di dadanya.
“Tiya pun tak nak. Tapi, Tiya tak berani nak tolak banyak kali. Takut mummy kecil hati,”
“Dengan abang? Tak takut abang kecil hati?,”
“Tiya tahu hati abang besar. Jadi Tiya tak takut sangat…,”aku bersuara separuh bergurau. Gurauan yang membawa jemari Encik Firdaus ke pinggangku. Aku terjerit kecil. Segera melompat turun dari katil. Pantang aku digeletek begitu. Nasib baik aku yang melompat turun dari katil dan bukan Encik Firdaus yang aku tendang ke bawah.
“Abang!,”
Encik Firdaus tergelak besar.
“Sekali lagi….,”
“Okay…okay… abang tak buat lagi. Jadi, jangan nak buat lawak dengan abang, faham?,”laju Encik Firdaus bersuara sebelum sempat aku habiskan bentakan geramku. Segera aku menarik muka masam.
“Come… abang tak buat lagi. Promise….,”sekali lagi Encik Firdaus bersuara bersama senyum yang mekar di bibir.
Aku menjeling. Namun, kaki kembali melangkah menuju ke katil. Jemariku dicapai lembut menarik aku duduk semula di sisinya.
“Marah ke ni?,”bisik Encik Firdaus lembut.
“Yalah. Janganlah buat macam tu. Tiya tak suka. Geli tahu tak?,”
Encik Firdaus terus tergelak halus.
“Apa gelak-gelak? Nak Tiya buat abang macam tu juga ke?,”soalku sambil menjeling. Masih tidak berpuas-hati.
Pantas Encik Firdaus mengangkat kedua-dua tangan sambil menggeleng.
“Tahu takut…,”gumamku perlahan. Maklum yang Encik Firdaus pun lebih kurang denganku. Pantang digeletek.
“Bukan takut. Tapi geli, sayang,”
Aku mencemik. Satu ciuman dilayangkan ke pipiku.
“Cantik rantai ni,”ujar Encik Firdaus lembut. Aku mengerling. Encik Firdaus memandang rantai di telapak tangannya.
“Abang pakaikan?,”sekali lagi suara lembut Encik Firdaus menyapa gegendang telingaku. Menghalau semua rasa geram yang singgah seketika. Segera aku menarik rambut ke hadapan sambil duduk membelakangkan Encik Firdaus. Membenarkan Encik Firdaus memakaikan rantai ke leherku. Rantai hadiah daripada ibu mertuaku kini menghiasi leherku. Perlahan aku menyentuh loket kecil yang terhias indah di leherku. Cantik. Aku tersenyum lebar.
“Cantik kan?,”soalku laju sambil bergerak berdepan dengan Encik Firdaus.
“Perasan…,”
Senyumku terus mati. Sekali lagi wajah itu kujeling sekilas.
“Memang pun…,”balasku selamba sambil menyambung senyum yang terbantut dek usikan Encik Firdaus.
“Abang call mak petang tadi,”
Laju aku berpaling. Topik paling aku gemar.
“Kita balik tengok mak hujung minggu ni. Nak?,”
Aku tersenyum lebar. Inilah yang buat aku sayang sangat-sangat pada Encik Firdaus. Segala tindakannya membahagiakan aku.
“Nak! Mestilah nak. Terima kasih bang,”ujarku riang.
Encik Firdaus tersenyum sambil jari telunjuknya menyentuh pipi sendiri. Faham dengan isyarat itu, laju satu ciuman singgah ke pipinya bersama erat pelukannya. Aku tersenyum gembira. Hujung minggu ini dapat jumpa mak!


*****

9 comments:

~Cik MI~ said...

sweeeeeettttttttttttttt yeaaaaaaa~~~~~~~ kak nak lagi..

evy said...

besttt...nak lg...

niK hAmiZaH said...

akak.... best... better dari y lama rasenye...
hehe... nie baru buat xsabo nk tunggu novel sambungan nie....

Nur Syahida said...

best la akak..

miznza84 said...

nak lagi kak hani..

Anonymous said...

terubat sikit rindu kat En.Firdaus & Tiya...kihkihkihkihkih
nak lagi.....chaiyok !!!!!

DaQ ComeL said...

best...cpt2 sambung...hik10

KNR_Nida said...

best sgt!!!

sue said...

Terbaikkk.... So Sweet...
nak lagiiiiiiiiiii....

[11:35:50 PM] hos.getah: