Friday, May 27, 2011

JIRAN BARU: AKU MASIH SAYANG KAMU


“Kau saja cari penyakit, Lang...,”bebel Toy sambil menghisap ibu jari.
            Lang diam. Cuma mengusap rambutnya yang rentung separuh. Sedih hatinya masih terasa.
            “Janganlah ikut perasaan. Anggaplah itu bukan jodoh kau. Kita ni tak setaraf dengan mereka. Kau jangan terus bersedih macam ni Lang. Sedih aku tengok. Aku rindukan kau ceria macam dulu. Dah seminggu kau macam ni,”Achong pula memujuk.
            Lang tetap diam. Terus merenung kegelapan malam dengan perasaan sebak....

******


Bersama senyum meleret, Lang terus mengelus rambutnya yang panjang mengurai. Terus tersenyum sambil matanya merenung rembulan yang kelihatan sedikit kelam dilindung awan mendung.
            “Engkau laksana bulan....Tinggi di atas...kayangan....,”bibirnya yang melimpah dengan senyuman, kini mula berlagu perlahan. Bersenandung bahagia.
            “Ha! Ha! Ha!....Pump It! Ha! Ha! Ha! Pump It! Turn up The Radio...Blast the Stereo....,”
            Gangguan itu membuat dia tersentak besar. Terloncat dari dahan terus terdampar ke dalam semak bersebelahan kediaman mereka.
            “Aduh! Toy! Bodohlah kau ni! Terkejut aku!,”jeritnya marah. Sikat yang terpelanting segera ditinjau. Rambutnya yang disikat rapi, kembali kusut.
            Toy yang sudah berhenti menari di sebelah radio sederhana besar terlopong memandang Lang yang mencangkung mencari sikat.
            “Kenapa tu Lang? Aku dengar macam ada orang jatuh aje,”Achong menegur. Tegak berdiri memandang dahan pokok penginapan mereka yang sebesar sepemeluk.
            Toy tersengih sambil menggeleng.
            “Kau ni Achong. Aku rasa kau kena pakai cermin matalah. Makin teruk rabun kau. Pusing belakakanglah! Kita orang kat belakang kau,”ujarnya sambil menggeleng. Acong tergelak segan sambil berpusing perlahan.
            “Aku bukan rabunlah. Kain terjatuh tutup mata lak. Kau tolong baiki sikit,’
            Toy mengeluh sambil melompat barbaut pada ranting yang berjuntai. Kain berwarna kuning kusam yang menutup separuh mata Achong, dibetulkan.
            “Haaa... baru jelas pandangan. Lagu apa kau dengar tu? Best pula aku dengar,”
            “Entah. Budak-budak punk hari tu yang tinggalkan benda alah ni. Aku ambiklah. Aku tak curi tau. Aku ambil. Seminggu aku survey rumah jiran kita, nak belajar cara guna benda alah ni....,”
            Lang menjeling sambil perlahan menyambung menyikat rambut. Melangkah perlahan menghampiri Toy.
            “Penat aku sikat rambut aku dari petang tadi tau tak! Tengok sekarang, dah kusut balik,”Lang melepaskan geram sambil laju tangannya menunjal kepala Toy membuat Toy jatuh terduduk.
            “Kau pun satu Lang. Aku suruh kau pakai syampoo kau tak nak. Rambut kau tu dah kejung macam akar pokok aku tengok. Pakailah Rejoice ke, Sun Silk ke...Pantene pun ok juga...,”Acong bersuara sambil bersandar pada pokok.
            Lang menjeling tajam. Laju mendarat semula ke dahan. Bersandar sambil mencari sesuatu.
            “Pelik aku tengok Lang tu, Cong. Kau perasan tak, sejak akhir-akhir ni melaram aje kerjanya. Tu tengok tu, entah apa disental kat bulu mata dia tu. Aku tengok dah macam bulu ayam aje bulu matanya tu,”
            “Tu ok lagi. Tengoklah kejap lagi. Merah menyalalah bibir dia tu. Si Penan hirup jus roselle pun tak ada merah macam tu bibirnya,”bisik Acong bersama gelak kecil dan disambut pula gelak Toy yang mengekek.
            “Adoi!,”Acong mengaduh kuat. Ada benda melayang dan mendarat di kepalanya. Dia mendongak.
            “Apa ni Lang? Main baling-baling kayu pulak,”
            “Ngumpat aku kan? Korang tengah ngumpat aku kan?,”jerit Lang marah.
            “Sensitiflah kau ni, Lang. Gurau sikit pun nak terasa. Kenapa kau ni? Sedang bercinta ke?,”
            Marah Lang hilang tiba-tiba. Senyum kini terukir dari bibirnya yang sudah merah-menyala. Segera dia mengambil tempat di sisi Acong dan Toy.
            “Anyway, mana kau dapat semua benda yang kau tempek kat muka tu?,”Acong bersuara. Toy tergelak besar.
            “Mak ai! Acong cakap omputih! Caya lahhh,”sakatnya sambil terus menyambung gelak.
            Acong menjeling.
            “Penan yang ajar aku. Dia kata, kita tinggal kat KL ni, kena maju. Kena pandai cakap English. Nanti dia nak buat kelas untuk kita,”
            Toy menggelupur ketawa. Lang tersengih-sengih sambil menongkat dagu memandang bulan. Acong menyambung jeling yang semakin tajam.
            “Lang! Aku Tanya tu, jawablah!,”tidak mahu terus melayan rasa geram pada Toy yang asyik ketawakan dia, Acong kembali menarik perhatian Lang.
            “Alaa.. aku ambil beg ada sorang budak punk tu tertinggal kat rumah kosong dulu tu,”
            Acong mengangguk perlahan. Deruman motosikal membuat dia mengeluh perlahan.
            “Budak-budak ni.... nampaknya tak dapat tidur lagilah aku malam ni,”Acong merungut perlahan. Lang pula sudah tegak berdiri dengan wajah berseri-seri.
            “Oklah weh. Aku nak keluar kejap. Kau orang tak payahlah tunggu aku,”Lang bersuara sambil terus berlalu.

******

            “Joey, kau tak takut ke?,”
            “Takut apa pulak?,”
            “Aku dengar ada gang punk cakap tempat ni keraslah bro,”
            Joey tergelak.
            “Jalan tar ni. Memanglah keras,”
            “Dorang jumpa hantulah. Empat sekawan. Langsuir...penanggal... toyol...pocong. kita cari port lainlah,”
            Kali ini, gelak Joey lagi kuat.
            “Hey! Sejak bila pulak hantu ada bawa geng? Diaorang saja buat cerita, tak nak port ni kena kacaulah tu. Aku tak naklah. Sini port bagus. Jalan cun. Sunyi pulak. Letihlah aku nak lari dengan polis. Mulai sekarang kita race kat sini aje. Kawan-kawan! Kau semua setuju? Tak setuju pun aku peduli apa? Aku ketua,”panjang lebar Joey bersuara bersahut dengan sorakan. Membuat temannya itu berlalu dengan wajah kelat.
            “Okay kawan-kawan! Jom kita bergumbiraaaa!,”
            Sorak-sorai yang riuh itu membuat senyum Lang yang bertenggek di pinggir parit di gigi jalan itu semakin lebar.
            “Jom kita bergumbira.... kau memang tak pernah berubah Hasan....,”ucapnya perlahan sambil tersenyum bahagia. Senyum manis itu hilang perlahan-lahan. Selalunya lelaki itu dating bersendirian. Namun, matanya bulat memandang pada seorang gadis yang datang rapat pada kekasih hatinya itu. Senyum bahagia yang terukir di bibir lelaki itu tiba-tiba membuat hatinya sakit. Lelaki itu ada perempuan lain. Dia mula teresak menangis. Kian lama kian kuat. Dan apabila melihat gadis itu erat dipeluk, dia tidak sanggup lagi. Terus dia berlalu bersama pipi yang basah.

****
           
            “Lang... janganlah macam ni. Dah tiga hari kau diam aje. Bercakap tidak. Mengilai tidak. Duk menangis aje. Apa masalah kau sebenarnya? Kongsilah dengan kita orang,”Achong bersuara. Sekali lagi cuba memujuk.
            “Yup. Betul tu. You kena beritahu kitaorang kalau you ada masalah, Lang. Share with us...,”Penan menokok sambil menyedut jus roselle.
            “Aku sedih. Aku berkorban macam ni, tapi, dia curang dengan aku,”
            Tersembur jus roselle di mulut Penan. Langsung gelak besar pecah di bibirnya.
            “Apa kau cakap ni Lang? Siapa yang sanggup nak curang dengan kau ni? Pandai betul orang yang nak curang tu. Kalau aku pun, mesti aku nak curang kalau dapat girlfriend macam kau,”hilang semua perkataan Inggeris dari mulut Penan. Luahan hati Lang benar-benar lucu.
            “Kau ni Pan. Tak baik gelakkan Lang macam tu,”Achong bersuara lembut.
            “Ok..ok... I am so sorry. Ok, teruskan cerita kau Lang. Tapi, sebelum tu aku nak tanya ni. Toy mana?,”
            “Entah. Katanya jumpa kawan,”
            “Hati-hati. Jangan pergi kat kawasan rumah orang. Kawasan sini keras. Aku takut nanti kau yang hangus,”
            “Hey! Korang ni, nak dengar cerita aku ke tak? Tadi tanya!,”Lang menjerit kuat apabila topic percakapan sudah mula lari.
            “Ceritalah. Tapi, janganlah jerit-jerit. Pitching kau larilah. Sakit telinga aku,”bentak Penan geram.
            Lang menjeling sambil menarik muncung panjang. Menyilang kaki di dahan sambil bersandar. Dalam kegelapan malam, dia terrmenung.
            “Aku jumpa dia semula. Setelah bertahun-tahun aku jumpa dia semula. Masih muda..masih kacak...masih hebat macam dulu,”Lang membuka cerita.
            “Siapa?,”serentak Penan dan Achong bertanya.
            “Hasan,”
            “Hasan? Boyfriend kau dulu? Dah tua kerepot dah Hasan tu. Toy cakap dia selalu terserempak dengan Hasan tu kat Taman hujung jalan ni,”Achong member penjelasan. Penan termenung mendengar. Lang pula membuang pandang.
            “Tiap-tiap malam aku jumpa dia. Aku tahulah. Masih juga dengan hobi lama dia dulu. Rindu aku time dulu-dulu. Seronok. Aku nak balik semula pada dia...,”
            “Lang. Kau mabuk ke? Hisap darah cicak ke? Mabuk semacam. Hasan tu dah tua kerepotlah. Kau bercinta dengan dia dua puluh tahun lepas kan?,”Penan menyampuk. Lang merengus marah.
            “Betul aku tak tipu. Itu dia. Tapi, dia curang! Dia ada perempuan lain. Dia curang dengan aku. Sanggup dia buat macam tu. Aku dah berkorban banyak untuk dia...,”
            “Itu bukan berkorban. Itu bodoh...,”Penan bersuara lagi.
            “Kau diamlah Penan,”
            “Sebab kau nak buang anak kaulah. Tuan aku kena amuk dengan orang kampung. Sampai aku kena bawa diri lari sampai KL ni, tau!,”
            “Pasal tuan kau yang tak professional tu jugaklah sampai aku jadi macam ni, tau! Mati katak je....,”
            “Padanlah dengan muka. Bodoh. Ada otak tak reti nak pakai,”
            “Hey...hey...dahlah tu. Janganlah...,”
            “Kau diam Achong!,”serentak Lang dan Penan mengherdik. Membuat Achong terus tersandar kelu di celah banir pokok yang merendang.
            “Malaslah layan korang bertengkar,”rajuk Achong sambil bangkit dan melompat laju. Kemudian mengaduh kuat apabila kepalanya terhantuk pada pokok. Lang dan Penan yang sama-sama berpaling, hanya mampu menggeleng perlahan.
            “Suruhlah Toy rembat cermin mata satu kat kedai. Kesian benar aku tengok kau ni, Chong,”Penan bersuara sekadar meluahkan pendapat.
            “Mata aku oklah! Kain ni asyik jatuh tutup mata,”jerit Achong marah.
            “Uish... Achong pun dah tahu marah-marah....,”bisik Penan hampir di telinga Lang.
            “Tak kisahlah dengan marah dia. Yang aku tahu, sekarang ni, aku nak  tuntut hak aku. Dia dah janji tak akan tinggalkan aku. Tapi, dia biarkan aku mati seorang kat tengah padang belakang rumah kau. Dia lari berdesup takut kat orang kampung,”
            Penan tergelak mengekek. Membuat wajah Lang semakin mencuka.
            “Kita ni, kalau jadi perempuan, kena pandai jaga diri. Ni, sayang sikit, semua nak diberi. Bila dah termengandung, kena campak macam tu saja. Kau mati katak, dia hidup bahagia sampai sekarang,”ujar Penan tergelak sinis.
            “Sakit hatilah cakap dengan kau ni! Baik aku pergi cari Hasan...,”
            Penan terus tergelak sambil melingkar di ranting. Memandang Lang yang semakin menjauh sambil perlahan menyedut jus roselle.
            “Lang...Lang.....,”gumamnya masih bersama sisa-sisa gelak.


****

            “Cepatlah balik, Joey. I rasa tak sedap hatilah,”
            Joey menoleh.
            “Kenapa ni sayang? Kejaplah. Lepak kejap,”
            “I takutlah. Rasa macam semacamlah malam ni,”
            Joey tergelak. Disambut dengan gelak teman-temannya yang lain. Membuat suasana yang sunyi menjadi riuh seketika. Lang mengerling. Gadis di sisi lelaki miliknya itu menarik muncung. Dia juga sudah menarik muncung panjang. Sakit hati melihat tingkah manja gadis itu. Terus dia mendekat.
            “You! I nak balik,”
            “Youuu...I nak balikkk....,”ajuk Lang geram. Kepala gadis yang separuh menangis itu ditunjal perlahan. Membuat gadis itu jatuh terduduk. Kuat gadis itu meraung. Membuat kumpulan anak muda itu terdiam. Tergamam melihat gadis itu tiba-tiba jatuh terduduk.
            “Kenapa you ni?,”
            “I tak tahu. Ada benda tolak I. I nak balik!!,”jerit gadis itu sambil berusaha bangun. Melangkah menghampiri teman lelakinya. Segera dia menghalang.
            “Jangan dekat dengan dia!,”jeritnya panjang. Serentak muncul di hadapan gadis itu. Membuat gadis itu menjerit kuat. Seiring dengan jeritan yang lain.
            “Hantu!,”
            Dia menoleh. Jeritan kuat dari lelaki ini benar-benar membuat dia terluka.
            “Sayang...sampai hati panggil Jijah hantu....ini Jijahlah,”bisiknya perlahan sambil mendekat. Membuat lelaki itu menjerit semakin kuat. Enjin motosikal dihidupkan dan tanpa menoleh pada teman wanitanya yang sudah jatuh pengsan, dia terus memecut.
            “Sayang! Tunggu!,”Lang menjerit sambil terus mengejar. Laju dan laju selaju motosikal untuk memecut.
            “Hantu tu kejar Joey!,”terketar seorang temannya bersuara.
            “Pedulikanlah. Cepat tolong Hanis. Dia pengsan tu. Lepas tu kita blah....,”


****
           
            “Kenapa tu Pak Ray? Kecoh bunyinya,”sambil melompat ke atas pasu bunga, Toy bersuara. Sesekali dia cuba lagi melompat. Mahu tahu apa yang sedang berlaku di rumah jiran Pak Ray.
            “Janganlah lompat-lompat. Pecah karang pasu tu. Jenuh Tuan Pak marahkan Pak,”
            Toy tersengih. Terus diam di atas pasu. Namun. Hatinya masih membuak dengan rasa ingin tahu. Bunyi tawa yang mengilai itu, rasanya seperti dia kenal. Namun, mustahil Lang berada di sini. Lang tidak suka bersosial di tempat baru mereka ini. Sama seperti Achong yang lebih selesa terperap di rumah. Cuma dia saja yang suka berjalan ke taman ini.
            “Jom kita tengok jiran Pak Ray tu. Apa kena menjerit-jerit tu?,”
            “Hish! Kau nak rentung? Jangan pergi. Dorang sedang berubat tu,”
            “Berubat apa?,”
            “Anak si Hasan tu kena sampuk. Ada langsuir bertenggek. Dah dua hari dah orang duk halau. Tak nak pergi langsuir tu,”
            “Langsuir?,”
            “Ha ah,”
            Toy diam. Mula berfikir secara serius. Segera dia teringat Lang yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah. Mungkinkah jeritan itu memang milik Lang?
            “Kamu nak tahu cerita tak?,”bisik Pak Ray sambil mengengsot ke tiang porch.
            “Cerita apa?,”
            “Dengar cerita... langsuir tu, rupa-rupanya makwe si Hasan tu. Girlfriend masa muda-muda....,”berlagu Pak Ray bercerita.
            Toy mengangguk perlahan.
            “Mati masa nak gugurkan anak,”bisik Pak Ray lagi. Toy mengerdipkan mata sambil berpaling perlahan. Tempias memercik dari mulut Pak Ray yang terkumat-kamit bercerita. Demi menjaga hati teman yang jauh lebih tua darinya itu, dia cuba mengukir senyum sambil menahan nafas. Sah, Pak Ray tidak pernah gosok gigi.
            “Masa nak buat kerja tulah, orang kampong serbu rumah bidan tu. Berdesup semua lari. Hasan lari tinggalkan makwe dia tu mati sorang-sorang. Tu yang makwe dia datang balik mengacau anak dia tu,”sambung Pak Ray sambil mengekek perlahan. Toy diam. Hatinya semakin yakin, Lang yang sedang menjerit di rumah jiran Pak Ray.
            “Kawan saya langsuir tu, Pak Ray. Jomlah kita pergi tolong dia...,”
            “Hish! Tak mahu aku. Dengan aku sekali rentung nanti,”
            Toy diam. Membuat muka kasihan di hadapan Pak Ray. Pak Ray cuma membuang pandang. Toy tunduk. Umpannya tidak mengena. Pak Ray tidak langsung menunjukkan reaksi bersimpati.
            “Aku tak nak pergi! Aku nak duduk di sini. Aku suka dia! Dia kekasih akuuu!,”
            Jeritan itu membuat Toy terlompat. Tergolek di tengah laman. Segera dia bangkit. Berlari-lari anak ke pintu pagar. Jeritan Lang semakin kuat. Singgah satu-satu di telingannya.
            “Kuat ke yang ubatkan anak Hasan tu, Pak Ray?,”
            “Tak kuat kau cakap? Ustaz tu. Aku tak berani nak pergi dekat,”
            “Dah tu, mana Pak Ray tahu semua cerita tu?,”
            “Pak dengar isteri Tuan Pak yang bercerita. Dia pergi masa ustaz tu berubat semalam,”
            Toy mengangguk. Anggukannya semakin perlahan apabila sepantas kilat dia melihat Lang melayang keluar dari tingkap rumah Hasan.
            “Hah! Dah lari dah...,”ujar Pak Ray sambil menunding ke arah Lang yang melayang lemah.
            “Saya balik dululah Pak Ray. Nak tengok Lang tu,”
            “Yalah. Pak pun  nak tidur ni. Hati-hati balik tu,”
            Toy mengangguk sambil melompat keluar dari pagar. Berlari terkedek-kedek mengejar Lang.


*****

            “Kau nak ke mana lagi tu Joey? Tak serik-serik lagi?,”
            Joey berpaling. Memandang wajah ibunya yang kelihatan sedikit marah. Dia tahu ibunya masih merajuk dengan bapanya setelah semua rahsia terbongkar.
            “Joey nak pergi masjidlah, mak,”
            “Hai... nak merempit kat masjid pulak?,”
            “Taklah makcik. Lepas apa yang jadi pada Joey, kami taubat makcik. Kami dah tak mahu keluar sampai pagi lagi. Kami dah tak mahu merempit lagi. Kami serik....,”tingkah seorang teman, membuat Joey tersenyum kecil. Memang dia juga sudah serik. Terbayang pada lembaga kuning kusam berambut panjang yang mengejar motosikalnya. Kalaulah dia di dalam perlumbaan, dia yakin dia boleh menjadi juara. Namun, dia merempit dengan langsuir, pastilah dia yang pengsan tergolek.
            “Hmmm.... eloklah kalau dah sedar. Jadi budak baik. Jangan jadi macam bapak kamu tu. Sebab dia, hantu tu kacau kamu, tahu tak?,”
            “Awak ni...dah...dahlah tu. Sampai bila awak nak marah saya ni? Saya dah menyesal dah. Itu semua cerita masa budak-budak,”
            Joey memandang. Ibunya menjeling. Terus berlalu dengan wajah mencuka.
            “Ayah... Joey pergi masjid dulu,”
            “Pergilah. Ayah menyusul nanti,”
            Joey mengangguk. Melangkah keluar mendapatkan teman-temannya yang sudah menunggu di luar pagar. Motosikal dihidupkan dan mereke berkumpulan bergerak menuju ke arah masjid.

******


            “Lang....penatlah aku nak nasihat kau ni...,”
            Lang menoleh. Menyeka perlahan air mata.
            “Aku sedihlah,”         
            “Ya. Aku tahu kau sedih... tapi kau tak  boleh macam ni. Dia manusia. Mana setaraf dengan kita? Kita kena sedar siapa diri kita ni,”
            “Aku tak kisah dia nakkan aku atau tidak. Aku sedih sebab diaorang dah lama tak datang sini... berlumba. Kau tak tahu. Aku ni dah bertahun-tahun rindu nak racing. Racing tu dah sebati dengan jiwa aku. Tahu tak? Aku rindu nak lumba motor macam dulu-dulu,”
            Toy tergelak besar. Disambut dengan gelak sopan Achong.
            “Jiwa racing rupanya. Rindu nak berlumba ke? Ingatkan rindukan anak Pak Hasan,”ujar Toy sambil bersandar ke pohon besar.
            Lang mengerling.
            “Harap-harap malam ni, diaorang datanglah...,”
            “Tak payah berharaplah. Budak-budak tu semua dah taubat dah. Hari-hari pergi masjid sekarang ni,”balas Toy bersahaja.
            “Mana kau tahu?,”
            “Alah...aku selalu lepak dengan Pak Ray. Aku tahulah,”
            “Siapa pula Pak Ray ni? Aku tak pernah tahu pun?,”Achong menyampuk.
            “Alaa...hantu raya Pak Darus jiran Hasan. Hasan bekas pakwe Lang ni....,”
            Lang menjeling lagi. Achong mengangguk faham. Toy tersenyum panjang.
            “Sedihnya aku. Jadi, dah tak merasalah aku nak berlumba ni?,”
            Toy menjongket bahu. Dan, wajah Lang ceria kembali
            “Haaa...dengar tu. Ada bunyi motor. Banyak tu. Mesti ada group baru datang nak berlumba kat sini. Aku chowww....,”ujat Lang girang. Terus berlalu tanpa menunggu jawapan daripada Toy dan Achong.
            “Nampaknya lepas ni, ada lagilah  group mat rempit yang bertaubat...,”ujar Toy sambil tersenyum sumbing.
            “Biarkanlah dia, Toy....,”balas Achong.
            Toy cuma memandang Achong yang serius bercakap sambil memandang terus pada serumpun pokok bunga raya yang tumbuh meliar. Perlahan dia menggeleng. Pasti kain sekali lagi menutup mata Achong....

Tamat....

 KEPADA SESIAPA YANG PERTAMA KALI MEMBACA KISAH INI, DAN BLUR SIKIT, BOLEH BACA CERPEN JIRAN BARU DAN JIRAN BARU:KL KAMI DATANG...

5 comments:

MissNera said...

best lah kak citer ni.. mula saya ingat burung ke hape.. lepas tu dah setengah baca baru tau.. hehehe

faten said...

Aaaaaaa rindunye kat Achong, Penan, Lang n Toy....

Thanks akak :)

Suhaila said...

Huhu..best3.. Akhirnya antoo 3+1 sekawan kembali.. :D
Pocong,toyol,langsuir+penanggal.. Kali ini ade kwn baru lg, raya plak..

Aya Ariel said...

hahahha..macam2 hantu dah kuar..nanti buat lagi yeh kak..sonok bace..klaka..hehhe

IVORYGINGER said...

mmg best ceta ni. kelakar ada nasihat pun ada. he...
manusia yg mati tak diterima bumi hantu lah jadinya. Bila manusia skrg perangai cam hantu, hantu jgk lak yg boleh sedar kan dia. he... ;D good job akak. boleh bt pedoman.

[11:35:50 PM] hos.getah: