Saturday, May 14, 2011

Mungkinkah? 13


Zariff diam sambil tanpa sedar jemarinya kemas menggenggam gelas di tangan. Bersandar ke kerusi dengan wajah yang cukup serius. Rasa geram bagai sudah tidak dapat dikawal. Arisa bagai menggunakan sepenuhnya ketidakberdayaannya untuk bertindak sebagai seorang suami. Bebas ke sana dan ke sini tanpa  mempedulikannya. Dia pula perlu menerima situasi itu dengan perasaan terbuku. Kemarahannya mungkin akan menimbulkan rasa pelik pada ibunya. Dia tidak mahu sampai ibunya mengesyaki sesuatu. Rasanya dia perlu mencari waktu yang lebih sesuai untuk berterus-terang. Sekali lagi hatinya membengkak apabila terdengar gelak halus Arisa. Matanya kembali dipanah ke wajah Arisa yang ayu berselendang ungu. Lebih terbuku hatinya, melihat kini senyum manis Arisa terukir untuk lelaki lain.
            “Kenapa kamu ni, Riff? Muka  kelat semacam? Gaduh dengan girlfriend ke?,”
            Zariff mengerling. Senyum ibunya dibalas dengan separuh hati. Pelik rasanya apabila tiba-tiba ibunya sibuk mahu mengundang Arisa ke majlis ini. Lebih pelik apabila Nabila turut sama sibuk mengajak Arisa turut sama di dalam majlis ini. Nabila dan ibunya seperti berpakat. Kini, bertambah pelik rasanya apabila abang Nabila bagaikan tidak mahu berenggang dengan Arisa.
            “Tak fahamlah. Kenapa mama sibuk ajak Arisa datang sekali?,”
            Puan Zahra sekadar memberi renungan kosong.
            “Dan, kenapa tiba-tiba budak Nabila tu boleh jadi kawan Arisa?,”
            “Kenapa? Salah ke? Apa salahnya mereka berkawan? Bukan Nabila tu berkawan dengan lelaki kan?,”
            Zariff menghela nafas panjang. Memandang wajah ibunya. Kemudian pandangannya lari pula kepada pekerja-pekerja catering yang sibuk mengemas. Majlis sudah berakhir.
            “Dan… kenapa tiba-tiba mama buat kenduri kesyukuran ni?,”
            Puan Zahra tersenyum nipis.
            “Apa pula tiba-tiba? Bukan setiap bulan Jun mama buat majlis meraikan anak-anak yatim ke? Kamu tu yang lupa agaknya sebab tak pernah nak sertai sekali. Pelik betul mama, tiba-tiba kamu boleh balik dari Seremban semata-mata nak join majlis ni,”
            “Oh…ye ke?,”balas Zariff lambat-lambat. Matanya ditebar sekali lagi ke sekeliling. Jemputan semuanya sudah pulang. Kini, pandangannya kembali tajam menikam wajah Arisa dan Amirul. Tidak mahu pulangkah lelaki ini?
            “Yalah. Lagi macam tak percaya, anak lelaki mama ni, tiba-tiba boleh segak bergaya dengan baju melayu , malam ni. Kalau tak, bukan main susah nak pakai macam ni. Majlis macam ni, selama ni bukan main mengelak,”
            “Mama ni. Anak mama nak jadi baik, bukan nak bagi support,”balas Zariff tanpa memandang wajah ibunya. Gelagat Arisa dan Amirul lebih menarik perhatian.
            “Alhamdulillah. Anak mama ni dah nak berubah ya? Sukanya mama. Esok kena buat majlis kesyukuran lagi ni,”
            Sekilas dia memandang wajah ibunya yang tersenyum panjang. Berasa tersindir.
            “Tak baik mama sindir saya macam tu…,”
            Puan Zahra tergelak panjang. Sungguh dia sebenarnya suka melihat perubahan anak lelaki tunggalnya itu. Mungkinkah Arisa yang sudah membuat Zaritf berubah sikap?
            “Bukan budak tu dah nak kahwin ke?,”Zariff bersuara perlahan. Sedaya- upaya mengawal nada suaranya. Tidak mahu ada nada cemburu yang singgah ke cuping telinga ibunya.
            “Siapa?,’
            “Si Amirul tu,”
            Puan Zahra tersenyum panjang.
            “Baru nak kahwin. Belum kahwin pun…,”berlagu Puan Zahra menjawab selamba. Membuat Zariff berpaling mencari wajah ibunya. Tidak menjangka jawapan itu yang keluar dari bibir ibunya. Jawapan itu kelihatan sangat positif.
            “Arisa tu…belum kahwin kan? Atau, serius ke kamu cakap hari tu, dia dah kahwin?,”
            “Memang dia dah kahwin,”
            “Hmm… ya ke? Nampaknya tak ada jodohlah,”
            “Jodoh apa pula, mama?,”
            “Baik nampaknya budak Arisa tu ya? Billa ada cakap tadi, tiba-tiba abang dia berkenan pula dengan Arisa tu,”
            “Berkenan apanya? Gila ke nak berkenan dengan bini orang?,”sedikit lantang dia bersuara. Puan Zahra pura-pura terkejut kemudian tergelak kecil.
            “Wah! Dia punya marah… macam dia pula suami budak Arisa tu,”sindir Puan Zahra bersama gelak yang panjang.
            Zariff terkedu. Menatap wajah ibunya yang jelas masih tersenyum lucu.
            “Majlis dah habis ni. Rasanya elok kalau saya hantar Arisa tu balik,”
            “Kenapa pula kamu yang nak hantar?,”
            Zariff memandang wajah ibunya. Hampir tidak berkelip.
            “Takkan mama nak dia tidur kat sini?,”
            “Tak adalah. Tapi, biarlah Billa yang hantarkan. Nanti suami dia tengok kamu yang hantar, lain pula ceritanya. Dibuatnya suami dia tu jenis cemburu buta, macam-mana? Silap-silap tak pasal-pasal kamu kena pukul free,”
            Zariff ternganga. Mahu menjawab namun, situasinya saat ini sedikit sukar. Sekali lagi dia memandang ke arah Arisa dan Amirul. Bengkak hatinya melihat Arisa tersenyum panjang melayan Amirul. Daripada awal majlis rasanya Amirul berusaha mendekati Arisa.
            “Piah!,”
            Tumpuan Zariff sedikit terganggu dengan suara ibunya itu. Dia mengerling dan melihat Kak Piah laju mendekati mejanya.
            “Ada apa, Puan?,”
            “Ni… tolong kemaskan cawan dengan piring kuih ni. Zariff ni, kalau dah makan bukan pandai nak bawa ke sinki…,”
            Kak Piah mengangguk sambil terus mencapai piring yang berisi baki kuih. Zariff sekadar membisu. Membiarkan sahaja ibunya terus menyindir.
            “Lagi satu Piah. Tolong kemaskan sikit ruang tamu tu ya. Buang habuk. Banyak benar habuknya saya tengok. Risau saya, nanti ada pula mata orang termasuk habuk…,”selamba Puan Zahra bersuara sambil bangkit dari kerusi. Terus berlalu tanpa memandang wajahhnya.
            Zariff menelan liur. Entah kenapa, rasanya kata-kata itu memang sindiran yang ditujukan khas buat dirinya. Ibunya sudah berlalu dan Kak Kiah tersengih di hadapannya sambil cepat-cepat mahu berlalu. Pasti, mulut murai Kak Piah sudah menyampaikan cerita pada ibunya. Dia merengus perlahan. Tiada guna memarahi pembantu rumahnya itu, kalau cerita antara dia dan Arisa sudah sampai ke telinga ibunya.
            Sambil mengeluh perlahan dia mengangkat punggung. Melangkah santai mendekati Amirul dan Arisa. Berdehem berlahan sebagai isyarat meminta perhatian.
            “Rith… duduklah. Join kami,”
            “No. Thanks…,”ujarnya sedikit membeku. Langkah laju Nabila bersama senyum yang meleret membuat hatinya semakin rimas.
            “Arisa. Husband you called. Dia minta I hantarkan you pulang. Katanya dia tak boleh nak datang jemput you. Keretanya tiba-tiba down,”
            Nabila melabuhkan punggung sambil memandang wajah Zariff yang sedikit kelat.
            “Kenapa pula husband dia call you?,”
            “Dia tak dapat call Arisa. Jomlah,”
            Nabila mengerutkan kening.
            “I boleh hantarkan Arisa. Lagipun, dia kan datang dengan I? Boleh I explain sekali dekat husband dia, kenapa dia kena tahan kat sini sampai malam macam ni. Boleh Arisa?,”Nabila bersuara sambil memandang wajah Arisa. Arisa termangu. Tidak tahu mahu mengikut rentak lakonan yang mana satu. Sewajarnya dia pulang bersama Nabila, kerana Nabila yang menjemput dia ke sini.
            “Along tak kisahkan? Kita balik, then singgah hantar Arisa sekali?,”Nabila menyambung bicaranya sambil memandang wajah Amirul. Amirul menjongket bahu bersama sekuntum senyum yang teramat lebar. Senyum yang cukup untuk membuat Zariff menarik tangan Arisa dari situ.
            “Langsung tak ada masalah. Kalau Puan Arisa kita ni, nak singgah makan-makan dulu pun, saya tak kisah. Saya sedia temankan,”
            Zariff menggosok perlahan belakang tengkuk. Berusaha untuk terus bersabar.
            “Come Arisa. No, thanks. Mirul. Nanti apa pula kata husband dia, I suruh orang lain pula yang hantar dia,”
            Sekali lagi Amirul menjongket bahu sambiil mengeluh perlahan.
            “Arisa? Jomlah. Tunggu apa lagi?,”
            Arisa mengangkat muka. Perlahan bangkit dari kerusi dengan rasa serba-salah.
            “Saya balik dulu ya, Billa…Mirul…,”
            Amirul tersenyum.
            “Nanti contact I tau..,”
            Arisa tersenyum sambil mengangkat kad nama tangannya. Tergelak kecil sambil mengangguk. Zariff membuang pandang. Entah kenapa, nalurinya kuat berkata Arisa memang sedang cuba untuk membuat dia cemburu. Barangkali Arisa mahu membalas dendam di atas kelancangan mulutnya tempoh hari.
            “Tak sangka Zariff baik dengan husband you, Arisa…,”Nabila bersuara sambil berpeluk tubuh.
            Arisa tersenyum kelat. Mengerling ke arah Zariff yang juga kelat wajahnya. Perlahan dia melangkah meninggalkan Amirul dan Nabila. Melangkah malas di belakang lelaki itu.
            “Saya jumpa mak awak dulu ya,”
            “No…no.. tak payah. Nanti panjang ceritanya. Dia dah suruh Nabila hantarkan you tadi,”laju Zariff menghalang sambil membuka pintu kereta. Memberi isyarat agar Arisa segera masuk ke perut kereta.
            “Apa salahnya saya balik ikut Nabila balik. Lagipun, saya datang dengan kan?,”
            “Dengan lelaki tu. Tak payah. Jangan nak mimpi…,”
            Arisa mencemik. Geramnya pada Zariff, hakikatnya masih belum hilang.
            “Nanti suami saya salah sangka pula tengok saya balik dengan awak ni….,”sindir Arisa sambil melangkah masuk. Zariff tersengih. Turut segera masuk ke dalam kereta sebelum wajah ibunya menjengah semula.

****

            Arisa terus menyelongkar laci almarinya. Puas dicari tetap tidak dijumpainya. Kepala digaru perlahan. Dia yakin, setiap hari disitulah tempat dia simpan semuanya jenis ubat-ubatan. Kotak First Aid turut dibuka. Juga hampa.
            “Cari apa tu?,”
            Dia menoleh. Zariff baru melangkah keluar dari bilik air sambil tangannya mengesat rambut yang basah. Soalan Zariff dibiarkan sepi. Tidak mahu berkongsi apa yang sedang dia cari, dengan Zariff.
            Zariff tersenyum kecil. Baju tidurnya sudah tersedia di atas katil. Laju dia mencapai. Menukar pakaian sambil matanya terus mengamati Arisa yang terus tekun mencari sesuatu. Selesai berpakaian, dia menghampiri meja solek. Mencapai sikat lalu disikat rambutnya yang basah.
            “Cari apa, sayang?,”
            Arisa mengeluh perlahan. Melabuhkan punggung ke katil. Memandang wajah Zariff yang penuh senyuman. Mahu berterus-terang dengan Zariff rasanya Zariff juga tidak tahu hujung pangkal. Sudahnya dia menggeleng perlahan.
            “I dah buang…,’
            Arisa menoleh laju. Memandang wajah Zariff dengan pandangan pelik. Apa yang telah Zariff buang?
            “You cari pil perancang kan?,”
            Arisa memandang dengan renungan yang semakin tajam.
            “Awak selongkar almari saya!,”
            “Almari kita…,”
            Arisa merengus perlahan. Menghenyak punggung ke katil dengan rasa sedikit geram.
            “You tak pernah cakap dengan I pun, you ambil pil tu,”
            “Kenapa perlu nak beritahu awak? Lagipun, takkan awak nak anak dengan saya. Kan?,”
            “Nak. Sebab tu I buang,”
            Arisa mengerling. Zariff merenung wajahnya. Kali ini dengan reaksi yang sedikit serius.
            “Awak ni, makin lama… makin pelik,”
            Zariff tersenyum kecil. Bergerak rapat ke arah Arisa. Mencapai jemari Arisa lalu digenggam lembut.
            “Ubat tu penting pada saya. Kenapa awak buang? Atau… awak nak kita tamatkan semua ni? Saya setuju sebab saya dah mula rasa penat dengan semua ni. Kita dah mula menipu. Mak awak… bakal tunang awak…Saya rasa tak selesa dengan semua ni. Mereka tak perlu terima tamparan sebegini,”
            Zariff diam. Memandang wajah Arisa yang kelihatan cukup serius. Kata-kata Arisa membuat hati sakit dalam diam.
            “Apa Amirul cakap tadi? Bukan main happy lagi…,”akhirnya dia membuka topik yang dia simpan sejak dari rumah ibunya tadi. Tidak mahu panjangkan soal perpisahan yang cukup mudah meniti di bibir Arisa kebelakangan ini.
            Arisa menggeleng perlahan.
            “Takkan tak ada apa-apa. Bukan main lebar senyumnya. Siap gelak-gelak lagi. Sempat pula tu bertukar business card,”
            “Mana ada. Dia yang bagi. Saya tak bagi apa-apa pun,”
            “You bagi your smile to him. Sepatutnya itu hak I saja,”
            “Awak tak marah pun tadi…,”balas Arisa selamba sambil bergerak ke meja solek. Duduk di kerusi sambil merenung wajahnya di cermin. Ketara wajah kelat Zariff terpantul melalui cermin. Tanpa sedar, dia mengukir senyum.
            “Siapa cakap I tak marah? Nasib baik rumah mama. Kalau tak, memang tidur kat hospital budak Amirul tu malam ni,”
            Arisa tergelak halus.
            “Mana business card budak tu?,”
            “Nak buat apa?,”soal Arisa tanpa menoleh.
            “Nak koyak,”
            Arisa tersenyum.
            “Mana boleh. Awak juga yang cakap kan… kalau antara kita dah tak ada apa-apa, mungkin saya akan cari lelaki kaya yang lain pula. Kan? Jadi, rasanya Amirul tu calon yang sesuai kot,”
            “Apa?,”
            Arisa tersentak. Lebih tersentak apabila Zariff sudah tercegat di sisinya.
            “Amirul tu… calon… yang…,”
            “Shut up!,”bentak Zariff sedikit marah. Arisa diam. Mengamati wajah yang merah menahan marah itu. Selesai menyapu losyen di tangan, dia bangkit. Bergerak semula ke katil sambil tangannya menutup suis lampu. Membiarkan cahaya lampu tidur yang memberi pantulan suram. Zariff mengekori dari belakang. Mula menyirap dengan lagak selamba Arisa.
            “Kenapa dengan you ni?,”
            “Good night…,”ucap Arisa lembut sambil menarik selimut menutupi tubuhnya. Soalan Zariff dibiarkan sepi tanpa jawapan. Zariff menahan nafas. Sepantas kilat selimut Arisa ditarik. Merenung tajam wajah itu.
            “You masih marah I? You masih marah sebab I terlepas cakap hari tu? Kan I dah minta maaf,”
            “Ya, mula-mula saya memang marah. Tapi, bila difikirkan, awak Cuma cakap benda yang betul. Saya terima awak, memang untuk dapatkan sumber kewangan  untuk adik-adik saya. Jadi rasanya saya tak layak nak marah,”
            Zariff mengeluh perlahan. Berbaring di sebelah Arisa sambil Arisa mula berpaling membelakangkannya.
            “I langsung tak maksudkan apa yang I dah cakap tu…,”Zariff bersuara sambil memandang kipas yang berputar di siling.
            ‘It’s okay. Saya dah tak ambil hati…,”balas Arisa terus membelakanginya.
             “Kalau tak ambil hati, kenapa layan I macam ni?,”
            “Sebab saya rasa hubungan kita dah sampai ke penghujung,”
            “I tak nak hubungan ni tamat. I nak you kekal jadi isteri I,”
            “Mustahil. Takkan awak masih nak simpan saya, selepas awak kahwin dengan Nabila. Mustahil Nabila boleh terima benda karut macam ni. Dia baik orangnya. Tak salah awak bagi peluang pada dia. Saya yakin dia mampu bahagiakan awak,”
            “I tak akan kahwin dengan dia…,”
            Dalam diam, Arisa tersenyum kelat. Lelaki. Mulut sering manis apabila berkata-kata.
            “Awak sanggup berhabis sepuluh ribu ringgit untuk buat Radhi tutup mulut. Untuk apa semua tu, kalau bukan sebab awak takut Nabila tahu pasal ni? Kalau bukan sebab awak tak mahu Radhi buka mulut? ,”
            “Saya buat macam tu bukan sebab Nabila,”
            Arisa mengeluh perlahan sambil memusingkan badan. Mencari wajah Zariff yang masih jauh merenung kipas sambil kedua tangannya berlipat elok di bawah kepala. Melihat keadaan Zariff, dia turut sama melihat pada kipas yang satu.
            “Awak…. Kita ni bukannya budak-budak lagi. Kita dah cukup matang untuk hadapi apa yang telah kita rancang. Perjanjian kita jelas. Perjalanan hidup awak juga jelas. Awak dah melewati zaman bersuka-ria awak. Sekarang ni, awak dah bersedia untuk ada komitmen. Mak awak pun dah ada calon yang sempurna untuk itu. Jadi, tak ada gunanya kita berbasa-basi pasal hubungan kita yang tak ada hujung pangkal ni. Lebih baik kita putuskan hubungan ni, sebelum mak awak dan bakal tunang awak tahu semua ni. Kita jangan buat benda ni jadi rumit,”
            Zariff berpaling. Memandang wajah Arisa yang kelihatan cukup bersahaja. Langsung tidak berperasaankah perempuan ini.
            “Teruk Radhi kecewakan you. Kan?,”
            “Kita cakap pasal kita. Bukan pasal Radhi…,”
            “Arisa, I nak hidup dengan you. Cuma dengan you. I tak mahu perempuan lain, selain dari you,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Kenapa ketawa?,”
            “You are so funny,”jawab Arisa sambil berpaling membalas renungan Zariff . Membuat Zariff terkesima seketika dengan tajam tikaman renungan itu. Hatinya benar-benar dirantai dek renungan itu.
            “I tak nampak di mana kelakarnya,”
            “Saya janda. Nabilla belum kahwin. Saya cuma janda yang tak ada apa-apa selain daripada beban tanggungan yang akan menyusahkan awak, Nabila anak kenalan emak awak yang sama taraf dengan awak. Tak ada sebab kenapa awak perlu terus bersama dengan saya. Lebih-lebih lagi apabila Radhi sekarang dah mula ganggu hidup awak. Hal kita ni, tak akan terus kekal jadi rahsia. Satu saat semua ini akan terbongkar dan masalah akan jadi semakin rumit,”
            “Susah bercakap dengan orang degil. Keras kepala,”Zariff merungut perlahan. Arisa tersenyum.
            “Arisa. I nak tanya satu soalan,”
            “Apa dia?,”
            “You pandang muka I,”
            Arisa tergelak. Pandangannya yang kembali kepada kipas yang berputar, terus kaku di situ.
            “Kenapa pula nak kena pandang muka awak?,”soalnya lucu tanpa langsung memandang wajah Zariff. Zariff mengetap bibir. Lantas tubuh Arisa dipaut. Arisa yang sedikit tersentak, terpaku memandang wajahnya.
            “You tak rasa apa-apa ke, bila tengok I? You tak ada rasa sayang? Suka? Happy?,”
            Arisa tersenyum nipis. Wajah Zariff yang menjadi igauan setiap wanita itu, dipandang lama.
            “Hidup kita kena realistic…,”
            “Mana ada cinta…kasih sayang yang tak realistic? You tak ajak I kahwin semata-mata sebab nak mengelak daripada gangguan I. Mustahil seorang perempuan macam you akan ambik tindakan semudah tu. I tahu, jauh dalam hati you, you memang sukakan I. kan?,”
            “Saya andaikan awak akan tolak cadangan saya sebenarnya,”balas Arisa tenang.
            “Kenapa I mesti tolak?,”
            “Sebab saya tahu, awak tak akan mahu ada komitmen. Awak Cuma mahu berhibur dengan perempuan yang awak suka. Jadi, saya andaikan mustahil awak sebodoh itu untuk terima seorang janda jadi isteri awak, semata-mata sebab awak suka….,”
            “Tapi, I terima kan?,”
            “Awak ada alasan awak sendiri,”
            “Alasannya, sebab I love you…,”
            “Cinta dah lama hilang dalam hidup saya. Awak pergilah cari cinta lain,”
            “You cuba merawat luka you dengan singkirkan perasaan seindah itu dari hati you…,”
            “Saya dah tak nak cakap lagi. Saya tidur dulu. Good night,”
            “Selepas tiga hari tak pandang wajah you…tak sentuh tubuh you… macam tu saja caranya wish good night to me?,”
            “Takkan nak cakap good afternoon pula?,”
            Zariff diam. Merenung lama wajah yang semakin selamba itu. Banyak sebenarnya yang mahu dia bincangkan dengan Arisa. Namun, berada di atas katil, mindanya lebih terarah ke sesuatu yang lebih indah daripada omongan yang boleh  mencetuskan perselisihan.
            “Dah pandai loyar buruk,”
            Arisa tersenyum manis. Memandang wajah Zariff yang berharap. Melihat wajah itu yang terus dia merenungnya, satu ciuman dihadiahkan ke pipi Zariff.
            “Good night,”bisiknya perlahan.
            “I want more…,”
            Arisa mengerling. Pelukan Zariff terasa semakin erat.
            “Saya tak nak. Saya kena ambil semula ubat saya kat farmasi,”Arisa bersuara kalut.
            “Jangan ambil lagi. I tak izinkan,”
            “Tapi…,”
            “I suami. And, you wajib dengan cakap I. Kan?,”
            Arisa diam. Spontan dadanya mula berombak. Hubungan ini pasti akan bertambah rumit andai tiba-tiba  dia mengandung. Tiba-tiba peluh dingin mula membasahi dahinya.


*****

23 comments:

Anonymous said...

memang zariff tu suka berzina kew dulu???

eyewww....

tak bestlah kalau macam tue..

siap bawa sampai ke ranjang ngan pompuan2..

bodohlah lelaki yang suka berzina....

benci sebenci-bencinya....

i ingatkan setakat mesra2 gitu ngan pompuan. tak sangka pulak sampai bersekedudukan....

puuiihhh... pigidah zariff...

kau sebenarnya tak layak utk arissa...

walaupun dia janda but at least masih suci walaupun bukannya anak dara lagi.

eiiiiiii.. menyampahnya i baca novel nie..

Anonymous said...

uiksss..demer dh kawen lerr...
bestnya hanni...nnt smbg lg ekk

itu_aku +_^zue said...

kak hanni sambung lg..

cactaceous opuntia said...

erk..npe 1st anonymous tu emo...ade ke zariff berzina ngn pmpuan dlm cter ni?konpius sgguh den

Anonymous said...

hmmm, pelik betul hubungan diorg ni.

itu_aku +_^zue said...

anoy,
bace la smpai abih dulu
dun simply jump to coclusion
:)

blinkalltheday said...

hope zariff terus terang nti..arisa ni mesti ade perasaan kt zariff,kan kan?

Juhana Jiha said...

lor.. tak baca dari mula.. tu pasal la... marah tk kena tempat.. hahahah ape je orang tu..
gud good job kak hanni.. i want more.. hehe

Siti Soleha Yahaya said...

alamak....suka plak kat Zariff...hehehe...best..best

Anonymous said...

cek kak kt atas, bc btol2 dr awal ye???

alamak kak hani...sukenye kt zariffff....tp keran sgt lah arissa..kcian zariff..da sah2 org tu sgt die lg x mo perasan ke..huhu..btw sy setia mennti new n3 dr akak...hopeflly new book trus!!*wink

Anonymous said...

Awat cam tu lak....citer ni bestlah sangat bacalah dulu......dont judge the book by it cover....teruskan Hanny best sangat ....kak sari

IVORYGINGER said...

Zariff!!! Zariff!!! Jealous la plak. Pandai tul Mummy dia n Nabila berlakon nk kantoikan Zariff tp sib baik Zariff pandai kawal klu x naya ja Amirul kena belasah. hehehe... ;D

Arisa!!! Arisa!!! ego benor nk ngaku perasaan dia thdp Zariff. Zariff kena tawan hati Arisa lg ni. xcukup lg virus cinta yg ada nk cairkan hati Arisa yg beku tu. Hope Zariff ambik tindakan ngan segera bgtau mummy dia psl Arisa. Takut bekas suami dia bt fitnah jd bukan2 nnti. Sbb hanya Zariff ja ada alasan kukuh sbb dia kahwin ngan Arisa.

deesyirah said...

best3.zariff kena bnyak sabar.arisa dah banyak melalui fsa kekecewaan.bukan senag nak rawat hati yg terlalu terluka xspecially apbla dilukai olh suami org yg dia sngt2 syg.

nia said...

cepat2!! sambung lagi ya hanni.

yanadi said...

stuju gak....suka kt zariff...kak hanni gud job ekk.... nk lg hehe....

Anonymous said...

rasanya arisa pun dah jatuh cinta pd zariff tapi blm mahu mengaku since zariff masih takut utk.beritahu mama dia.dan zariff pula takut berterus terang dgn mama dia sebab dia takut arisa tak menyintai dia....apa2pun hope happy ending ya...mahu zariff end up dgn arisa.

just KD said...

di ulangi,kite suke sgt ngan arissa..keras n slamba je,hihiii..

umiafini said...

takut juga jika gejala perkahwinan just untuk hubungan halal ini ditonjolkan dalam drama atau novel kita hari ini..kerana, saya memang pernah mendgr cerita2 begini, contohnya wanita berkerjaya, cari somebody untuk jadi suami, dapat anak minta cerai...kahwin utk dpt anak kandung sebab tak mahu anak angkat...hakikatnya tak mahu komitmen dgn ikatan itu...wpun berbeza dgn cerita ini, namun kita harus balik kepada hukum...semoga kita semua mendapat iktibar dan pengajaran pada akhir cerita ini dan tolong jgn terlalu tonjolkan hinanya ikatan perkawina.TQ writer..wallahualam...

Anonymous said...

ingat apa zariff pernah cakap pd arisa,one day dia akan buat arisa jatuh cinta pdnya.make sure one day tu ada ye..macamanalah agaknya bila arisa dah jatuh cinta pd zariff?mungkinkah??? segalanya mungkin....tak gitu???

miznza84 said...

xsabar nak tunggu arissa pregnant..
kak hani nak lagi,...

Anonymous said...

ekau anomos 1..aponyo ekau emo somacam..baco xabeh laei da bising2 kat cini..xnak baco pigidah baco tompek laen..
xpo2 kak hanni cito ni bes..ado jo org jeles xtaw baco novel..kih3..jangan mare

Anonymous said...

ye la ntah pape anonymous nie...sesuke die je jump 2 conclusion y cam2...papepon cite kak hanni memng best la....THUMB UP...i loike....smbung la cepat2 kak hanni...xsabar nak tau kesudahan cite zariff ngan arisa....

Anonymous said...

saya sangat suka dengan Arissa. Seorang Hawa yang selamba dan tak berperasaan! hehehe tahniah kak Hani kerana berjaya wujudkan watak seperti ini ;)

[11:35:50 PM] hos.getah: