Monday, May 16, 2011

Mungkinkah? 14


Melihat Arisa yang termenung jauh, hatinya tersapa untuk mendekati. Sudah dua tiga hari dia berdepan dengan pemandangan itu. Bagai ada sesuatu yang sedang mengganggu Arisa. Dengan santai dia melabuhkan punggung rapat pada tubuh Arisa. Mengembalikan semula Arisa ke dunia nyata. Sebaik Arisa berpaling, sekuntum senyum dihadiahkan buat Arisa. Senyum yang cuma dibalas hambar. Mug milo panas dihulurkan pada Arisa.
            “Awak nak minum kenapa tak beritahu saya?,”soal Arisa sambil memandang wajah Zariff. Sedikit serba-salah membiarkan Zariff sediakan sendiri minuman untuknya. Itu sepatutnya menjadi tanggungjawabnya.
            “Orang tu bukan nak layan kita dah. Lagi suka layan menung dia. Terpaksalah kita pandai-pandai sendiri,”
            Arisa mengeluh perlahan. Berasa sedikit bersalah dengan rajuk Zariff.
            “Sorry…,”
            Zariff tersenyum. Bersandar pada sofa sambil memaut bahu Arisa.
            “Kenapa ni? Dua tiga hari dah I tengok you macam ni. Kalau Radhi tu ganggu you, you beritahu I. Please, jangan rahsiakan apa-apa dari I,”
            Arisa diam. mengangkat muka, memandang wajah Zariff. Lama dia menatap wajah itu. Mengenali Zariff sebagai pembantu peribadi dan mengenali Zariff sebagai seorang isteri , perbezaannya terlalu ketara. Dulu, Zariff muncul sebagai penggoda yang merimaskan. Kini, Zariff bagai seorang pelindung yang mendamaikan. Tetapi, untuk berapa lama? Kelainan perasaannya sedikit sebanyak membuat dia bertambah khuatir.
            “Hensem kan? Sebab tu tak rugi you pilih I jadi husband you…,”usik Zariff sambil melawan renungan Arisa yang begitu dalam. Spontan Arisa mencemik membuat pautan Zariff semakin erat.
            “Saya nak baliklah. Saya tak pernah tinggal budak-budak sendirian malam macam ni,”
            “Nak risau apa? Kan ada pembantu. Dia boleh jaga adik-adik you tu,”
            Arisa diam. Dengan menggunakan sepenuhnya kuasanya sebagai suami, Arisa tewas lagi dengan Zariff. Dalam tidak mahu, akhirnya dia terpaksa akur untuk berpindah. Berpindah ke rumah yang lebih selesa dan juga dengan seorang pembantu yang bertanggungjawab untuk menjaga keperluan adik-adiknya. Begitu sekali Zariff mahu pastikan keselesaannya. Juga mahu pastikan Radhi tidak lagi muncul mengganggu.
            “Kalau saya boleh tanya, kenapa awak buat semua ni? Ini semua sudah keterlaluan untuk saya. Saya tak perlu perhatian sebegini besar dari awak,”
            “Because I love you. Mungkin cara kita berkenalan tidak betul. Mungkin niat I mulanya sedikit terserong. Tapi, hidup dengan you buat I sedar. I memang benar-benar perlukan you dalam hidup I,”
            Arisa mengeluh perlahan. Benar-benar rimas mendengar luahan perasaan sebegitu. Tangan Zariff ditolak perlahan. Mahu beralih sedikit menjauh. Namun, Zariff menarik tangannya sebelum sempat dia berlalu.
            “You tak boleh tutup perasaan you macam ni. Tiap kali I cakap macam ni, you mesti mengelak…,”
            Arisa berpaling. Memandang wajah Zariff yang sedikit tegang.
            “Lupakanlah soal perasaan. Saya tak nak terlibat lagi dengan soal perasaan macam tu,”
            “Bukan semua lelaki macam Radhi…,”
            Arisa tersenyum pahit. Mungkin bukan semua lelaki seperti Radhi, tetapi barangkali Zariff lupa. Lupa yang dia lebih hebat daripada Radhi. Selama dia bekerja dengan lelaki itu, sudah berapa kali dia melihat teman Zariff yang sering bertukar ganti. Melihat wajah kecewa yang ditinggalkan. Melihat wajah bangga apabila dipeluk mesra oleh lelaki itu. Begitu banyak kepalsuan yang sudah terhidang di hadapannya. Dan kini, Zariff berbicara soal perasaan.
            “So, memang tak nak saya balik ke rumah ke, malam ni?,”
            “Arisa, jangan ubah topik. I nak kita discuss pasal ni. Secara serius. I rasa tak sedap hati. I tak nak mama tahu pasal kita dari orang lain. Tapi, I tak nak terus-terang dengan mama kalau kita tak sama-sama declare perasaan sebenar kita,”
            Jantung Arisa berdetak halus. Dia juga tidak mahu perkara ini menjadi semakin rumit.
            ‘I nak cerai…,”bisik Arisa sambil menunduk. Cuma itu saja jalan penyelesaian untuk mengekalkan rahsia ini. Sudah beberapa hari dia memikirkan soal ini. Hakikat hubungan dia dan Zariff cuma akan menyakitkan hati Puan Zahra dan Nabila.
            Zariff mengeluh keras. Memandang wajah Arisa dengan satu renungan tajam.
            “Jangan sesekali sebut perkataan tu depan I,”
            Arisa turut mengeluh.
            “Dah tu, apa awak nak buat? Lagi lama kita macam ni, masalah akan jadi makin rumit. Dengan masalah Radhi lagi. Saya risau tahu tak?,”
            “Buat apa nak risau kalau jalan penyelesaian dah ada? You saja yang keras kepala. Ego,”balas Zariff sedikit geram. Soal cerai yang Arisa bangkitkan benar-benar mencabar sabarnya.
            “Kita kembali semula pada yang asal. Kita tamatkan semua hubungan mengarut ni. awak teruskan hidup awak. Saya teruskan hidup saya,”
            “Hubungan apa yang mengarut? I tak pernah anggap apa yang kita jalani selama ni, mengarut. Apa yang I rasa dalam masa lebih kurang enam bulan ni, adalah satu perkara paling bermakna bagi I. I kenal diri I… I tahu apa yang telah I tinggalkan selama ini. I tahu apa yang I nak dalam hidup I,”
            “Jangan cakap yang indah-indah macam tu, boleh tak?  Saya tak suka dengar,”
            “You tak suka sebab you tutup hati dan perasaan tu,”
            “At least saya realistic. Tak ada hanyut sorang-sorang. Then, lemas sorang-sorang,”
            “No. You tak akan lemas sekarang. I ada untuk terus jaga you…,”
            “Awak? Lagi bahaya. Silap-silap boleh terus mati…,”
            Zariff memandang dengan wajah mencuka. Sungguh dia terguris dengan penilaian itu. Seharusnya dia sudah biasa dengan tanggapan negatif sebegitu. Namun, kebelakangan ini, keras hati Arisa cepat membuat dia terguris. Perlahan dia mengangkat punggung. Melangkah meninggalkan Arisa terkebil-kebil.
            Arisa memandang kosong pintu bilik yang ditutup perlahan.
            “Merajuk ke? Sejak bila dia pandai merajuk?,”gumamnya perlahan. Tidak sangka sebenarnya dengan reaksi Zariff. Perlukah dia pujuk lelaki itu? Dia mula gelisah di sofa. Dan, loceng pintu yang berbunyi, menambahkan gelisahnya. Segera dia bangkit menuju ke bilik. Pintu diketuk perlahan. Daun pintu ditolak. Pandangan menyentuh susuk tubuh Zariff yang tercegat merenung malam di jendela yang terbuka.
            “Awak…ada orang datang,”
            “So?,”
            “Tak nak buka pintu ke?,”
            “Pergilah buka,”
            Arisa ternganga.
            “Saya? Mana boleh. Kalau mama awak yang datang macam mana? Kalau Nabila yang datang. Macam mana?,”
            “Mama tak datang malam macam ni. And, yes I suka berpeleseran. Tapi, I tak bawa perempuan balik rumah,”
            Arisa diam. Garangnya jawapan Zariff. Benar-benar merajuk nampaknya.
            “Okay, saya buka…,”balasnya perlahan sambil bergerak meninggalkan Zariff yang masih melayan muncungnya. Menghampiri pintu dengan perasaan yang bercampur-baur. Siapa pula yang bertandang malam-malam begini? Daun pintu dikuak perlahan. Tergamam seketika melihat lelaki bersongkok tercegat di hadapannya. Serta-merta dia disapa rasa terkejut. Wajah yang tercegat diluar pintu grill itu juga sedikit terkejut.
            “Assalamualaikum…,”
            “Waalaikumussalam. Ya, encik. Nak jumpa siapa?,”soal Arisa cemas. Jangan ini satu operasi tangkap khalwat sudahlah. Hatinya berdoa panjang. Namun, seketika kemudian dia tersedar. Kenapa perlu dia takut kerana dia dan Zariff mempunyai ikatan yang sah. Hatinya tersenyum lucu. Bodohnya kau Arisa.
            “Saya cari Encik Zariff,”
            “Oh.. encik ni siapa?,”
            “Ustaz… Saya ingat ustaz tak jadi datang…,”
            Arisa menoleh. Zariff sudah berada di sisinya. Pantas tangan lelaki itu membuka pintu grill yang berkunci.
            “Masuk ustaz…,”
            Arisa terkebil-kebil. Zariff didatangi seorang ustaz? Cukup dalam renungannya pada Zariff. Renungan yang menagih seribu penjelasan.
            “Saya tak mengganggu ke ni? Sebenarnya program saya batal malam ni. Sebab tu saya ke sini. Tapi, kalau Zariff ada hal, saya datang minggu depan saja. Silap saya. Saya tak double confirm dulu. Saya tak ada hal, tak bermakna Zariff juga tak ada hal. Kan?,”
            Zariff tersenyum lebar.
            “Taklah. Saya tak ada hal pun. Anyway, inilah wife saya tu,”Zariff bercerita. Mahu memberi penjelasan apabila matanya menyedari ada rasa kurang senang di wajah ustaz itu.
            “Oh.. isteri. Maaf. Saya tak tahu. Selalu dengar cerita saja, orangnya tak pernah nampak…,”
            “Arisa… ini Ustaz Khalid,”
            Arisa tersenyum sambil mengangguk. Rasa pelik masih beraja di hati.
            “Apa Ustaz Khalid buat di sini?,”satu soalan bodoh meniti di bibirnya. Sungguh dia mengharapkan Zariff menjelaskan sesuatu padanya.
            “Kita ke bilik bacaan ya ustaz? Ustaz pergi dulu. Saya menyusul nanti,”
            “Ya. Boleh,”
            Arisa terus memandang langkah Ustaz Khalid. Nampaknya lelaki ini sudah biasa dengan rumah ini.
            “Awak?,”
            Zariff berpaling.
            “What’s going on here?,”soal Arisa dengan wajah sedikit geram. Zariff seolah-olah sengaja buat tidak faham. Sengaja mahu membuat dia tertanya-tanya.
            Zariff tersenyum kecil.
            “Nak tahu ke?,”
            “Ya. Saya nak tahu…,”
            “I belajar dengan Ustaz Khalid. Belajar mengaji. Sambil tu, dengar ceramah dan nasihat-nasihat dia. Please. Jangan gelakkan I. I tahu I tak sepandai you…,”
            Arisa tergamam. Terkebil-kebil memandang wajah Zariff. Tiba-tiba hatinya berasa lapang. Teramat lapang. Pengakuan Zariff cukup menyentuh perasaannya. Entah kenapa, hatinya berlagu riang mendengar kata-kata Zariff.
            “I tinggalkan you dalam sejam? Ustaz Khalid menunggu. Sebenarnya, kelas malam ni sepatutnya batal. Dia kata dia ada hal. Tapi, dia dah datang… so, izinkan I, ya?,”
            Arisa terus diam. Kata-kata Zariff bagai satu alunan indah yang membuat dia terbuai.
            “Arisa?,”
            Arisa tersentak. Memandang wajag Zariff yang tercegat di hadapannya. Kemudian, laju dia mengangguk. Rasanya saat itu, mahu saja dia memeluk erat tubuh itu. Mahu menyatakan betapa dia bahagia mendengar pengakuan itu.
            “Pergilah…,”
            “You tunggu ya. I tak nak ajak you join. Sebab I malu. I pernah dengar you mengaji. Malu I dengan you…,”
            Arisa tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Mungkin dia sendiri tidaklah sebagus mana. Namun, kalau itu yang Zariff mahukan, dia hormat permintaan itu.
            “Tunggu I ya,”
            “Ya….,”jawabnya sepatah bersama senyum yang benar-benar berseri.


****

            “Kenapa pandang I macam tu? Nak goda I ke?,”
            Arisa tersenyum lebar. Lupa pada pertengkaran kecil antara dia dan Zariff sebentar tadi. Ustaz Khalid sudah pun pulang.
            “Saya ingatkan tadi, orang pejabat agama datang nak tangkap basah. Takut saya,”
            Zariff tergelak lepas.
            “Kenapa nak takut? Kita kan dah kahwin,”
            Arisa tersenyum.
            “Saya lupa kita dah kahwin,”
            “Macam-macamlah you,”ujar Zariff sambil merapati Arisa yang bersandar di balkoni.
            “Macam mana tak lupa. You tak pernah mahu tinggal dengan I,”sambungnya bersahaja.
            Arisa diam. Tanpa sedar, jemarinya mengelus lembut lengan Zariff. Satu perbuatan yang membuat Zariff cukup hairan. Arisa bukanlah seorang isteri yang mahu memulakan kemesraan. Namun, rasa pelik itu disimpan sahaja di hati. Dia mahu merasai kemesraan itu. Terasa rajuknya seketika tadi pergi begitu sahaja. Jemari Arisa yang mengelus lembut itu, disentuh lalu digenggam erat. Arisa mengangkat muka. Tersenyum. Senyum yang membuat jantung Zariff seakan berhenti berdegup. Itu senyum paling luhur yang pernah muncul di bibir Arisa. Terasa senyum itu benar-benar muncul dari hati Arisa yang ikhlas.
            “Sejak bila awak belajar agama? Kenapa tak beritahu saya?,”soal Arisa sambil terus memandang wajah Zariff. Merenung wajah Zariff yang kelihatan cukup lain dengan songkok di kepala. Teramat jarang dia melihat Zariff dalam gaya sebegini.
            Zariff tersenyum kecil. Songkok di kepala ditanggalkan. Diletakkan ke kepala Arisa bersama senyum nakal. Pantas jemarinya menyentuh lembut pipi mulus itu. Arisa mengerling. Songkok di kepala kini dipegang. Matanya pula terus menikam wajah Zariff. Mahu mendengar satu kisah yang tidak pernah dia tahu ini. Kisah yang membuka sudut lain di dalam kehidupan Zariff.
            “Awak?,”dia bersuara lagi apabila melihat Zariff terus membisu.
            “Ya, ada apa?,”
            “Soalan saya tu, tak jawab pun…,”
            Zariff tersenyum lebar.
            “Rayu I dulu. Baru I cerita…,”
            Arisa merengus perlahan.
            “Tak nak cerita tak apalah. Saya faham. Itu hak awak kan? And, saya tak ada hak untuk ambil tahu itu semua kalau awak tak nak cerita,”
            Zariff tergelak halus. Rajuk Arisa benar-benar membuat hatinya penuh dengan bunga-bunga bahagia.
            “I malu nak beritahu you. Dekat empat bulan dah. I kenal ustaz tu masa pergi surau dengan Dafi. Kebetulan Ustaz Khalid penceramah jemputan kat surau masa tu,”Zariff mula membuka cerita. Arisa tersenyum.
            “Tahniah,”
            Zariff tersenyum.
            “Ikhlas ke sindir ni?,”
            “Kenapa pula nak sindir? Saya gembira awak bersedia nak belajar benda-benda baik macam ni. Memang betul tindakan awak ni. Nanti boleh jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak awak,”
            “Anak-anak kita…,”bisik Zariff hampir di telinga Arisa.
            Arisa membeku membuat Zariff diam seketika. Perlahan dia memeluk lembut pinggang Arisa sambil matanya memandang pada kegelapan malam.
            “Dulu… hidup I gelap macam malam ni. Tak ada arah untuk I tuju. I leka dengan keseronokan. I ada segala-galanya. Itulah yang I rasa dulu. Tapi, bila I jumpa you, I sedar semua tu tak ada makna. I tak boleh tawan hati you dengan segala yang I miliki. Sebab tu I sanggup ikut syarat you. I sanggup sebab I benar-benar nak you jadi milik I. Bila I berjaya memiliki you, you jadi bintang I. You jadi cahaya yang memberi I arah untuk I ikut,”
            “Saya tak pernah buat apa-apa,”
            “You kenalkan I pada dunia baru. Dunia yang tak pernah I mahu dekati sebelum ini. I rugi banyak perkara selama ni. I bersyukur dengan ikatan kita ni…,”
            Arisa diam. Terasa pujian Zariff berlebih-lebih. Dia sendiri masih tercari-cari hala hidup sendiri. Pujian itu benar-benar tidak layak untuknya.
            “I pandang positif pada hubungan kita ni. Memang kita mulakan hubungan ini dengan satu tujuan yang tidak sepatutnya. Tapi, I benar-benar mahu teruskan hubungan ini, dengan kejujuran dan kasih sayang. I mahu ikatan perkahwinan ini menjadi satu ikatan yang diredhai,”
            Arisa kaku di dalam pelukan Zariff. Mengeluh perlahan.
            “Saya gembira dengan perubahan awak. Tapi, untuk teruskan hubungan kita ni…,”
            “Kita bagi peluang pada diri kita…,”tingkah Zariff laju.
            Arisa tersenyum pahit. Kalaulah ianya semudah itu untuk memadam segala kepahitan yang telah dia lalui.
            “Entahlah…saya dah tak percaya pada semua tu. Jadi awak janganlah berharap sesuatu yang saya tak boleh bagi,”
            “Siapa kata you tak boleh bagi?,”
            “Saya seriklah fikir benda macam tu. Serik fikirkan kebahagiaan orang…Malas cakap pasal ni lagi,”
            “Arisa… tak perlu fikirkan soal kebahagiaan orang. Kita cuma bina kebahagiaan kita sendiri. I mahu terus hidup dengan you dan adik-adik you. I senang membina keluarga ni,”
            Arisa menggeleng perlahan. Tangan Zariff di pingganggnya dileraikan perlahan.
            “Nabila lebih sesuai untuk awak. Itu pilihan tepat dari mama awak. Awak patut pertimbangkan hal tu,”
            “I tak akan kahwin dengan Nabila…,”
            “Kalau mama awak paksa?,”
            “I mahu ceritakan semuanya pada mama. Tapi, sebelum tu, I mahu dengar you cakap, you pun mahu teruskan perkahwinan ni. You pun mahu hidup dengan I. Menyayangi i… mencintai I,”
            “Saya nak tidur,”ujar Arisa sambil melangkah meninggalkan Zariff tersandar di balkoni.
            Zariff mengeluh perlahan.
            ‘I dendam dengan Radhi…,”
            Arisa berpaling. Memandang wajah Zariff tanpa berkelip.
            “Kenapa? Sebab dia ugut awak? Kan saya dah cakap, jangan ikut permintaan dia. Saya percaya lepas ni, mesti dia datang lagi cari awak. Dan, yang lebih saya risau, dia akan cari mama awak…,”
            “See… kalau sebut pasal Radhi, you begitu emosi. Hati you penuh dengan rasa benci kan?,”
            Arisa diam. Zariff melangkah mendekat. Memegang dua bahu Arisa.
            “I dendam dengan Radhi sebab dia dah bunuh perasaan you. Dia buat you jadi macam ni. Dan, I kecewa dengan you…,”
            “Kenapa?,”
            “Sebab you kalah pada Radhi,”
            “Saya tak pernah kalah dengan dia. Ya.. mungkin dulu saya bodoh. Saya naïf dengan cinta. Saya sanggup buat apa saja demi cinta. Saya cuma mahu tengok orang yang saya cinta hidup bahagia. Saya nak tengok dia gembira. Saya mahu dia terus berasa senang hidup dengan saya. Tapi itu dulu. Sekarang saya dah tak perlukan semua perasaan karut macam tu…Saya dah boleh hidup tanpa cinta..,”
            “Di situ kekalahan you, Arisa,”
            “Kenapa pula?,”
            Zariff tersenyum. Mengelus lembut rambut Arisa yang jatuh ke dahi. Soalan Arisa tidak mahu dia jawab.
            “You know something?,”
            “Apa dia?,”soal Arisa lembut. Jiwanya mula tenang dengan layanan lembut Zariff.
            “Radhi lelaki paling bodoh dalam dunia ni…,”
            Arisa tersenyum.
            “Kenapa?,”
            “Sebab dia langsung tak tahu hargai permata yang pernah dia miliki ni,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Saya tahu… awak nak cakap, awaklah yang paling cerdik ni?,”usik Arisa bersama senyum lebar. Usikan yang meletuskan tawa besar Zariff. Ke situ pula kesimpulan yang dibuat oleh Arisa.
            “I serius…,”ujar Zariff di hujung tawanya.
            Arisa kembali membisu. Termenung memikirkan tentang Zariff yang dapat dirasakan semakin berubah. Dan, perubahan Zarith ke arah yang positif itu benar-benar meruntun hati wanitanya.
****

21 comments:

hajar said...

suka.. suka.. suka.. dan suka sgt2... :))

sjsm said...

suka..suka sgt...tp part yg paling sy suka lau da part yg zariff cemburu...suka bangat sih...

sjsm said...

terima kasih kak hanni kerna mengubati rindu sy pd zariff&arisa

faten said...

sukanya zariffffffffffff

Minsofea said...

suka sangat...!!!! mudah2an arisa lembut hati utk terima zariff.....

IVORYGINGER said...

mmg suka betul lah ngan perubahan Zariff tu. ;D
Hope Arisa sedar cepat btapa Zariff penting dlm hidup dia. Perubahan Zariff harus ddorong terus oleh Arisa. Jgn masih tbelenggu ngan kisah lama. klu x mmg spt Zariff ckp Arisa kalah pd Radhi. Sbb Radhi dia tutup tuk cari kebahagian dia sndr. pdhal Radhi heran apa. So u should get ur happiness with someone else who is know to appreciate u.

cikdidasyuhada said...

suka dan suka dan suka sangat2!

deesyirah said...

bagus!!!!! zariff dah temui turning point dlm hdup dia.zariff perlu ubati kelukaan dihati arisa dengan kesabaran2 dan kesabaran....ok...next n3 plezzz.

Sharifah Nadzarah said...

harap2 citer ni hepi ending yer...suke sgt zariff & arisa hepi

nani jurainie said...

saya nak buku terus bleh? suka sangat2lah..wat lah buku cepat2...(^^)novel hanni mmg x pnah mengecewakan...

miznza84 said...

Best... maju setapak lagi..
kak hani nak lagi...

cactaceous opuntia said...

pliz2..bukakla pintu hati arsa tu...sian zariff

idA said...

salam..hopefully arisa buka pintu hatinya menyangi zariff yg da berubag 360% tu,,harap arisa dapat lepaskan sejarah lama dan start sejarah baru..ingat pepatah ada mengatakan yang U akan berjumpa ngan orang yg salah sebelum u berjumpa ngan org yg betul..agar u dapat lebih menghargai org itu...let bygone be bygone..lets starts a a new day today...

itu_aku +_^zue said...

hohohho
sweet la zariff ni
xkan arisa x cair lagi..
:)

Siti Soleha Yahaya said...

kerasnya hati Arisa......

just KD said...

..optimis la arisa,sian zariff tu..rase trharu ngan prubahan zariff..

aqilah said...

mmg bestttttttttttttttttttttttttttttt

ummu_khadijah said...

mungkinkah adalah karya hanni yg terbaik. jln ceritanya berbeza dr kebnykkn novel yg ada.

FAEZATUL AZWANI said...

KAK HANNI, NAK LAGI....HEHEH..
KALAU KAK HANNI TUNJUKKN BNYAK PERUBAHAN PADA DIRI ZARIFF MUNGKIN HATI ARISA AKAN TERBUKAK KOT..HEHEH...APE POZ , KAK HANNI THE BEZZZ...SAMBUNG2.... X SABAR NAK BACA SMBUNGANYA.. TIAP2 HARI BUKAK BLOG KAK HANNI..HEHEHE

Anonymous said...

buat zariff merajuk dan arisa mula merindui zarif.

NukSe said...

huhu best333... suka sgt.. senyum sorg2 baca entry ni.. hihi

[11:35:50 PM] hos.getah: