Saturday, April 5, 2014

CERPEN: RASA



Dari jauh dia terus memandang. Diam-diam menilai apa yang mungkin sedang dirasai oleh pasangan dua sejoli yang agak jauh di hadapannya itu. Namun, senyum yang terukir indah bagai merungkai semua yang berada di hati. Atau, barangkali masih ada yang tersembunyi yang tidak dia ketahui?
            “Abang cintakan Zarra. Kenapa Zarra boleh fikir sampai ke situ? Tak mungkin, Zarra. Tak mungkin...,”
            Teringatkan kata-kata itu, sekuntum senyum terukir di bibir. Barangkali benar tidak mungkin, tetapi itu bukan bermakna mustahil. Dan kalau sesuatu yang tidak mungkin boleh menjadi tidak mustahil, masih ada sisa usaha yang masih belum dia cuba kah? Perlahan dia mengeluh. Kadang-kadang dalam mencari kepastian, dia sering tersesat arah. Terus mencari-cari tanpa jawapan yang pasti. Kata Nina, dia terlalu banyak berfikir sehingga satu tindakan pun tidak mampu dibuat. Benarkah begitu? Barangkali juga benar kata Nina. Sekali lagi dia mengeluh sambil berpaling.
            “Eh..eh..,”
            Langkahnya mati tiba-tiba. Hampir-hampir terlanggar seorang pemuda yang kebetulan terburu-buru langkahnya.
            “Sorry,”
            Pemuda itu sekadar tersenyum sambil terus berlalu.
            “Nasib baik tak accident,”
            Lebar senyumnya mendengar teguran itu.
            “Dah?,”soalnya tanpa mempedulikan sapaan temannya itu.
            Athirah tersenyum lebar sambil mengangat beg plastik yang berisi beberapa buah novel.
            “Dah. Kak Zarra tengok apa sampai macam tu sekali lekanya?,”
            Zarra menggeleng perlahan.
            “Kita balik sekarang?,”soalnya sambil mengangkat kening.
            “Okay. Dah dapat apa yang Thirah nak. Akak nak pinjam satu?,”jawab Athirah sambil mengangkat tinggi beg plastic di tangan.
            Zarra tergelak sambil menggeleng.
            “No, thanks,”
            Athirah turut tergelak. Maklum, Zarra bukan peminat novel tegar seperti dirinya.
            “Thanks kak sebab sudi temankan saya cari novel ni,”
            “Hmm... perkara kecil aje. Jomlah. Akak nak balik dah ni. Penat,”
            “Yalah. Nanti nak siapkan makan malam untuk suami pula kan?,”usik Athirah bersama senyum lebar.
            Zarra turut tersenyum.
            “Jom,”
            Athirah menjongket bahu sambil mula mengorak langkah. Bersaing dengan langkah Zarra yang tenang.


*****


            “Buat apa?,”
            “Buat lawa,”
            Zarra tersenyum mendengar gelak di hujung talian. Langkah dihala ke arah beranda. Bersandar di situ sambil bersedia untuk terus menyambung bicara.
            “Seorang ke?,”           
            “Ha... ah,”
            “Amboi. Patut suara macam merdeka je,”
            Zarra senyum lagi.
            “So, macam-mana kau sekarang?,”
            Diam seketika mendengar soalan Nina, sudahnya dia menghela nafas perlahan.
            “Dah, mengeluh pulak?,”
            “Nina, kau rasa, betul ke apa yang aku buat ni?,”
            “Tanya aku? Kenapa tanya aku? Kau sendiri... apa kau rasa sekarang? Sama macam sebelum ni? Lebih baik? Atau.. lebih teruk?,”
            “Entah. Aku pun tak tahu,”
            Jawapannya dibalas dengan keluhan Nina.
            “Aku tak boleh jawab bagi pihak kau, Zarra. Kau yang lalui semuanya. Kau lebih tahu apa sebenarnya yang kau nak. Apa yang terbaik untuk kau. Kau sendiri yang cakap, kau nekad nak buat sesuatu untuk diri sendiri, kan? Kalau kau dah nekad macam tu, kau tak patut persoalkan salah atau betul tindakan kau ni,”
            Zarra menggosok perlahan dahinya.
            “Apa pun yang kau putuskan, pastikan itu adalah keputusan yang benar-benar kau nak. Aku akan sentiasa sokong dari belakang,”
            Zarra diam. Diam dan kepalanya kembali berat berfikir.
            “Hello... tidur ke?,”
            “Hah? Oh... tak...,”
            “Mengelamunlah tu. Okay lah. Sebelum aku cakap sorang-sorang, aku letak dululah. Ingat, kalau perlukan apa-apa, aku selalu ada,”
            “Hmmm... yalah. Thanks Nina,”
            Panggilan telefon berakhir. Hilang suara Nina, suasana menjadi sepi. Tetapi, rasanya kesepian sudah tidak janggal di dalam hidupnya. Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia merenung malam yang pekat. Sunyi namun tenang.
            “Dah berapa tahun kau fikir? Dua tahun? Tiga tahun?,”
            “Lima tahun,”
            “Lima tahun. Kau punya fikir sampai lima tahun, apa kau dapat? Tak ada apa-apa kan? Aku rasa kau dah boleh berhenti berfikir dan mula buat keputusan... tindakan,”
            “Daniel macam-mana?,”
            “Apa maksud kau Daniel macam-mana? Kau dengan Fitri sendiri, macam-mana? Kau rasa hubungan kau dengan Fitri selama ini, sihat untuk ruang membesar Daniel? Kalau maksud soalan kau tu, kau risau emosi Daniel kalau ada apa-apa yang berlaku antara kau dengan Fitri, situasa kau orang berdua sekarang pun tak begitu positif untuk dia. Betul tak cakap aku?,”
            “Banyak sangat benda dalam kepala aku, sampai aku tak tahu apa sebenarnya yang patut aku fikirkan,”
            “Sebagai sahabat kau... aku mahu kau fikirkan pasal diri kau. Keinginan kau. Cukuplah kau bertahan hanya berpegang pada rasa risau... pada takut... pada kasihan. Diam-diam jiwa kau menderita Zarra. Kau boleh tunjuk pada semua orang, rumahtangga kau tak ada masalah, tapi, mata kau beritahu aku sebaliknya. Kau pendam semuanya sendiri. Sampaikan, aku rasa Fitri pun tak tahu apa yang kau rasa. Kan? Setiap orang ada hak untuk hidup mereka sendiri. Kau pun sama. Dan, kalau Fitri rasa dia betul-betul sayangkan kau, dia sepatutnya fikir sejenak apa yang kau rasa juga,”
            Kata-kata Nina sejak beberapa bulan yang lalu, bagai terngiang-ngiang di telinga. Bicara dari hati ke hati itu, akhirnya member sedikit keberanian untuk dia mulakan langkah. Tidak sanggup selamanya dia begini. Hampir tidak jelas di mana kesan calar yang menghiris rasanya, tetapi, hakikatnya dia sudah tidak mampu berusaha lagi. Tidak mampu untuk terus menjadi seorang isteri yang sempurna. Tidak mahu dicari di mana silapnya, juga tidak mahu mengungkit segala jerih yang pernah menghiris, yang mampu dia pegang kini, hanya satu. Dia sudah penat. Dia sudah tidak boleh teruskan lagi. Walau masih kabur, harapannya, biarlah segalanya berakhir dengan baik. Dia tidak betah mahu mencipta sengketa tetapi, langkahnya terasa menghala ke arah itu.
            Getaran telefon di tangan bersama nada dering yang berkumandang memberitahu ada pesanan yang masuk. Segera kotak pesanan ringkas dibuka. Daripada Fitri.

            [ Daniel tidur sini malam ni. Boleh ke?]

            Zarra pegun seketika.

            [Baju dia tak ada kan?]

            Perlahan-lahan pesanan ringkas daripada Fitri dibalas. Tidak lama menunggu, Fitri sudah membalas.

            [ Tini ada belikan baju untuk dia]

            Hatinya berdetik halus. Perasaan apakah itu? Cemburu pada Tini yang kini menjadi milik suaminya atau tidak rela membenarkan Daniel menerima kasih daripada wanita itu? Sungguh berat hatinya untuk memberi kebenaran. Tetapi, bukankah ini sebaiknya? Dalam hati yang masih berteka-teki, telefonnya bergetar lagi dan alunan lagu yang menyentuh gegendang telinga meminta dia menjawab panggilan itu. Sedikit teragak-agak panggilan dijawab. Dia tahu Fitri mahukan jawapan.
            “Boleh ke?,”
            “Kalau bawa dia balik dulu tak boleh?,”
            “Sebenarnya Daniel dah tidur jadi abang rasa biarlah dia tidur kat sini aje malam ni,”
            Zarra bungkam. Sungguh hatinya berat untuk membenarkan Daniel berada dengan orang lain.
            “Zarra?,”
            “Okay,”pantas dia menjawab.
            “Betul? Zarra okay?,”
            “Okay. Abang tak perlu risau,”
            “Kalau Zarra nak abang balik...,”
            “Tak. Tak apa. Okaylah bang. Saya ada kerja sikit. Jaga Daniel untuk saya,”laju dia memotong kata-kata Fitri. Dan, tidak tunggu lama, panggilan diputuskan. Kembali termenung sambil menongkat dagu.


****
           

            “Kenapa susah sangat Zarra nak faham? Apa lagi yang abang kena lakukan untuk buktikan cinta abang pada Zarra?,”
            “Bukan saya yang tak faham. Abang sebenarnya yang tak pernah faham. Tak pernah nak faham dan tak mahu faham. Abang sanggup tengok saya terus macam ni? Atau.. sebenarnya abang tak sedar pun apa yang saya rasa selama ni? Boleh tak untuk sekali saja... untuk sekali ini, permintaan terakhir saya... cubalah letakkan diri abang di tempat saya. Faham apa yang saya rasa. Letih saya... lelah saya...,”
            “Abang dah berubah kan? Apa lagi yang Zarra mahu? Zarra cakap tak perlu ungkit semua yang dah lepas tapi, Zarra macam ni...,”
            “Ya. Memang itu yang saya cakap. Tapi, satu perkara yang saya dah tak mampu nak ubah lagi. Kembalikan perasaan yang dah hilang. Saya tak mampu. Dan... saya tak mahu kita terus begini. Bertengkar demi hak. Hak abang... hak saya... Penat,”
            “Dah tu, apa yang Zarra nak?,”
            “Jangan tanya saya apa yang saya nak. Sejak kebelakangan ni, memang jelas sungguh saya beritahu apa yang saya nak. Tanya diri abang, sanggup ke tidak luangkan sikit masa fikirkan tentang apa yang saya rasa. Tentang apa yang saya nak,”
            “Abang, jauh termenung?,”
            Fitri tersentak. Tersedar dari lamunannya yang panjang. Hartini tersenyum lebar.
            “Teringat orang sana ke?,”
            Fitri mengukir senyum.
            “Abang kata tengah hari ni, nak makan tengah hari dengan Kak Zarra. Tapi, abang datang jumpa Tini kat sini pula. Kak Zarra tak marah?,”
            “Memang abang dengan dia tadi masa Tini call,”
            Hartini melabuhkan punggung ke sofa.
            “Kak Zarra marah abang ke?,”
            Fitri menggeleng. Rasanya sudah lama Zarra tidak memarahinya. Kadang-kadang perkembangan itu membuat dia gusar. Adakah itu petanda hubungan mereka semakin rapuh? Perlukah dia korbankan rasanya untuk Zarra? Kuatkah dia?
            “Abang? Kenapa ni?,”
            Fitri tersenyum. Sekali lagi menggeleng. Wajah Hartini yang penuh tanda tanya itu dipandang lama. Ini adalah sesuatu yang sangat-sangat di luar fikirnya. Memiliki Hartini rasanya dia mendapat semua yang dia dambakan daripada Zarra. Namun, Hartini bukan Zarra. Dan di hatinya tetap juga ada Zarra. Bagaimana dia boleh terjebak dengan permainan ini. Diakah yang tamak atau Zarra kah yang pentingkah diri sendiri? Atau memang benar Zarra sudah tidak mampu menerima cintanya lagi? Dia tahu tidak mudah laluan Zarra sebagai isterinya. Lebih-lebih lagi sejak dari awal dia memang tahu hanya dia yang menyimpan rasa. Tetapi, demi memiliki Zarra, dia sanggup ketepikan semua itu.
            “Abang bergaduh dengan Kak Zarra kan?,”
            “Tak. Sebenarnya Kak Zarra yang suruh abang datang, bila jiran call beritahu Tini pengsan tadi,”
            “Tapi, dia tak datang sekali?,”
            Fitri ketawa kecil.
            “Dia kan kerja. Kalau dia ke sini, pukul berapa dia nak masuk office. Tapi, dia ada pesan, kalau ada apa-apa, inform dia,”
            Hartini tersenyum nipis. Sedikit lega dengan penjelasan itu.
            “Tapi, kenapa abang macam stress aje? Tak happy ke?,”
            “Happy... Happy sangat-sangat,”
            Hartini tersenyum lagi. Bergerak merapati Fitri. Perlahan bersandar ke dada Fitri yang sedang bersandar di sofa.
            “So, malam ni, abang kat sini atau balik sana?,”
            “Tini macam-mana? Okay sikit ke? Kalau Tini rasa kurang sihat, abang rasa Kak Zarra faham,”
            Hartini menggeleng.
            “Jangan macam tu. Tini rasa dah okay dah. Tak naklah nanti Kak Zarra fikir yang bukan-bukan,”
            Fitri diam. Namun, hatinya sedikit lega. Memang dia berhasrat untuk pulang ke rumah. Rumah dia dan Zarra.
            “Kalau ada apa-apa, Tini call abang,”
            Hartini mengangguk. Menghadiahkan satu senyuman sambil tegakkan badan. Fitri membalas senyum itu sambil perlahan mengusap jemari Hartini. Hartini adalah kemunculan yang tidak disangka-sangka. Muncul di saat Zarra bagai makin hilang dalam hidupnya. Muncul di saat dia semakin keliru untuk terus berjuang. Arah perjuangan tidak lagi sama di matanya. Kebahagiaanya tidak lagi membawa maksud Zarra juga bahagia. Dan, untuk memenuhi bahagia yang Zarra cari, dia pasti hatinya tidak akan kuat. Atau benar kata Zarra? Bukan lagi bahagia yang dia cari. Dia cuma inginkan kelangsungan hidup yang tenang. Kenapa Zarra jadi begitu? Perlahan-lahan dia terpaksa akui, dia punca Zarra menjadi Zarra yang sekarang.
            Perlahan dia mengeluh sambil menolak perlahan jemari Hartini di ribaan.
            “Rasanya baik abang balik office dulu. Kalau rasa tak sihat, rehat je. Jangan buat kerja sangat. Nanti abang call,”dia bersuara seraya mengangkat punggung.
            Hartini mengangguk sambil turut berdiri. Melangkah mengiringi Fitri sampai ke pintu.


*****


            “Mama, aunty Tini suruh Daniel panggil dia ibu. Boleh ke macam tu, mama?,”
            Suapan nasi terhenti seketika. Perlahan dia mengalihkan pandangan ke wajah anak tungal kesayangannya. Jelas wajah anak kecil yang baru berusia lima tahun itu mahukan penjelasan daripadanya. Dia tersenyum kelat. Hal tidak menjadi begitu berat semasa dia memikirkan tentang perkongsian Fitri. Tetapi, apabila Daniel bersuara begini, hatinya goyah. Bagaimana nanti kalau kasih-sayang Daniel terbahagi dua? Daniel anaknya. Daniel sepenuhnya milik dia.
            “Aunty Tini baik?,”soalnya perlahan-lahan.
            Daniel mengangguk.
            “Daniel suka dia?,”
            Anak kecil itu mengangguk lagi.
            “Hmm... dia pun ibu Daniel. Apa salahnya Daniel panggil dia ibu,”lambat-lambat dia memberi jawapan yang paling positif sedangkan hatinya sudah berperang sendiri. Dia tidak boleh begini. Minda terus cuba menyuntik rasa positif.
            “Kenapa Daniel ada dua ibu?,”
            “Hmm... sebab papa Daniel kahwin dengan aunty Tini,”
            “Kenapa papa kahwin dengan aunty Tini?,”
            Zarra tersenyum. Mencari-cari jawapan yang wajar.
            “Papa gatal ya?,”
            Zarra tergelak tiba-tiba.
            “Ish... kenapa cakap macam tu. Mana dengar cakap macam ni?,”
            “Dalam tv. Kalau ada orang kahwin dua, dia kan gatal,”
            Zarra tersenyum lucu.
            “Tak sayang. Papa Daniel tak gatal. Tapi, papa Daniel nak Daniel happy dapat dua ibu. Sekarang Daniel ada mama... Daniel ada... ibu Tini. Kan? Daniel suka tak?,”
            Daniel mengangguk.
            “Dah. Jangan cakap lagi. Makan dulu,”
            “Okayyy...,”
            Zarra tersenyum. Merenung lama Daniel yang kembali menyambung suapan. Bunyi daun pintu utama ditolak, memaksa dia sedikit menjengah. Fitri melangkah masuk.
            “Daniel makan dulu. Mama nak cakap dengan papa kejap,”dia bersuara sambil menolak pinggan. Tangan dibasuh sebelum bergerak meninggalkan ruang makan.
            “Ingat tak balik ke sini,”tegurnya sambil memandang Fitri yang bersandar ke sofa. Fitri senyum sedikit.
            “Tini kenapa?,”soalan dilontar sambil melabuhkan punggung ke sofa.
            Fitri sekadar memerhati. Memerhati Zarra yang meletakkan duduknya agak jauh. Hatinya perih melihat keadaan itu. Dia mahu Zarra yang dulu. Zarra yang baru dinikahinya. Tetapi Zarra itu telah hilang perlahan-lahan bersama kepayahan hidup mereka. Dan, di saat semuanya seakan beransur baik, Zarra telah benar-benar hilang untuknya. Barangkali inilah yang Zarra maksudkan. Ketidaksediaannya membawa dosa apabila dia seakan tidak rela.
            “Tini mengandung,”ujarnya perlahan.
            Zarra mengangkat kening.
            “Wow!,”
            Fitri mengangkat muka. Melihat reaksi Zarra dia bagai tersindir. Dulu dia pertahankan cintanya hanya untuk Zarra. Bermatian dia tekankan, tidak mungkin dia mampu mencari wanita lain selain daripada Zarra.
            “Jangan sindir abang. Ini kemahuan Zarra juga kan?,”
            “Dan, ianya berjaya. Kan? Abang cuma perlu beri ruang. Ruang untuk terima orang lain dalam hidup abang,”
            “Kenapa tidak Zarra yang beri ruang pada diri Zarra juga?,”
            Zarra diam.
            “Kenapa diam?,”
            “Kalau saya mampu, saya tak akan minta abang buat semua tu. Abang cakap abang tak boleh kehilangan saya. Tapi, dengan keluarga baru abang, saya rasa benda tu dah tak jadi payah,”
            “Zarra... kenapa kena jadi macam ni? Kenapa kita perlu seksa hati kita macam ni?,”
            “Sebab arah kita dah tak sama. Kita terus bersama, pasti kita akan lebih terseksa,”
            “Lepas apa yang Zarra dah buat. Apa yang kita dah lalui...,”
            “Mungkin ini sebaiknya untuk kita, bang,”
            “Zarra bantu abang. Zarra jadikan abang seorang yang berjaya berdiri atas kaki sendiri. Kenapa Zarra tak boleh ada bersama-sama abang? Kita sama-sama hidup dalam suasana yang baru ni. Kita dah tak susah macam dulu, kan? Abang janji, abang tak akan layan Zarra macam dulu lagi,”Fitri bersuara penuh harapan. Memujuk Zarra tidak lagi mudah. Silapnya kerana sering mengacuhkan perasaan Zarra satu ketika dulu. Kalaulah dia tahu sikapnya itu telah menyuntik titik-titik kebal di hati Zarra, pasti dia tidak akan lakukan khilaf itu.
            “Mungkin kejayaan abang ni, abang perlu kongsi dengan anak dan isteri baru abang. Saya gembira bila abang gembira,”
            Fitri bungkam.
            “Kalau abang nak balik ke sana tengok Tini, saya tak kisah,”
            Mendengar ucapan itu, Fitri cuma menggeleng.
            “Kalau macam tu, pergilah mandi. Saya siapkan makanan,”
            Zarra sudah berlalu dan Fitri masih di situ. Memandang Zarra mengemaskan meja makan. Juga  Daniel yang perlahan menolak pinggan ke arah ibunya. Perlahan dia pejamkan mata. Sukarnya situasi ini. Bagaimana dia tega lepaskan dua wajah itu dari hidupnya? Apa lagi usaha yang dia perlukan untuk membawa semula Zarra ke hatinya?


****


            “Termenung!,”
            Zarra berpaling. Nina mengangkat kening. Zarra tersenyum sambil mengengsot perlahan memberi ruang Nina melabuhkan punggung di sisinya. Pandangan dilontar semula ke tengan tasik yang tenang.
            “Tenang kan? Tapi, kita tak tahu berapa banyak duri dan batu tajam kat dasar tu,”Nina membuka mulut.
            Zarra tergelak.
            “Tak payah nak berfalsafah sangatlah,”
            Nina turut tergelak.
            “Kenapa? Terasa ke?,”
            Zarra mengerling.
            “So, kenapa bawa hati ke tepi tasik ni?,”
            “Bawa hati apa pulak? Saja ambil angin,”
            “Daniel mana?,”
            “Dengan mak baru dia,”
            Nina mengangkat kening.
            “Fitri bawa dia keluar dengan Tini. Nak shopping katanya,”
            Nina mengangguk perlahan.
            “Dan, kau kat sini? Kenapa?,”
            Zarra berpaling sekali lagi.
            “Lepak tepi tasik. Apa masalahnya?,”
            Nina mencemik. Zarra tersenyum.
            “Daniel bagitau, Tini suruh panggil dia ibu,”Zarra bersuara perlahan.
            “So?,”
            “Aku rasa susah hati. Macam-mana kalau nanti Daniel lebih sayangkan dia daripada aku?,”
            “Kau miss part ni ya? Semasa kau suruh Fitri kahwin lagi, kau lupa pasal ni ke?,”
            Zarra diam.
            “Zarra... kau ibu Daniel. Mana mungkin kasihnya akan kurang, kalau cukup kasih sayang kau beri pada dia. Dan, kalau Tini dapat terima Daniel dengan baik, kau patut bersyukur. Sekurang-kurangnya kau tak perlu risau bila Daniel berada dengan mereka,”
            Zarra tidak bersuara. Ada benarnya pendapat Nina.
            “Tini pregnant,”terlontar lagi cerita di bibir Zarra setelah beberapa ketika suasana menjadi sepi.
            “Wow! Dalam duk cinta kau seorang saja ya?,”
            Zarra tersenyum.
            “Tak baik kau,”
            “See... lelaki... selamanya akan tetap jadi lelaki,”tokok Nina sambil menggeleng.
            “Baguslah untuk dia,”ujar Zarra sambil memandang wajah temannya.
            “Kau pula macam-mana? Apa kau rasa sekarang?,”
            “Lega. Sejak dia kahwin dengan Tini, tak ada lagi pertengkaran bodoh. Tak ada lagi permintaan yang aku dah tak mampu nak penuhi,”
            Nina tersenyum.
            “Kalau boleh aku tahu, kenapa kau jadi macam ni? Baru dalam setahun ni aje, kau buka mulut pasal rumah tangga kau. Aku tahu kau cerita sebab kau dah tak mampu nak hadap sorang-sorang. Aku nak tahu apa sebenarnya yang berlaku?,”
            Zarra menjongket bahu.
            “Aku tak salahkan Fitri seratus peratus. Aku yakin, aku silap daripada mula lagi. Aku tak patut terima Fitri hanya sebab aku tak sampai hati nak kecewakan dia,”
            “Simpati...,”
            Zarra mengangguk perlahan.
            “Simpati boleh hilang apabila setiap usaha kita langsung tak dihargai. Bila simpati tu hilang, apa lagi yang tinggal untuk aku pertahankan rumah tangga aku?,”
            “Tapi, kau tetap cuba sehingga ke tahun keenam?,”
            Zarra mengeluh perlahan.
            “Kau tahu tak? Ia macam... macam api dalam sekam. Kau tak nampak tapi, kau tahu ada sesuatu yang memusnahkan dari dalam. Kau tak tahu punca, tapi, kau boleh menangis sendiri sampai pagi. Kau cuba perbetulkan, tapi, kau tak tahu apa yang perlu kau betulkan. Sungguh lepas setahun berkahwin, semuanya jadi lain. Aku tak perlu bercakap soal sikap sesiapa. Tapi, hasil tolak-tarik, aku tahu aku menderita. Dan, derita aku turut buat Fitri sama-sama menderita,”
            Nina terdiam.
            “Kau tak faham kan?,”soal Zarra sambil tersenyum sumbing.
            Nina pula tersenyum kelat.
            “Aku paksa untuk terima semua ni sebagai sesuatu yang aku perlu lalui. Makin aku cuba perbetulkan, makin aku nampak semuanya semakin serba tak kena. Sampai satu ketika, aku kebalkan hati. Aku teruskan hidup tanpa fikir perasaan aku,”
            “Kau tak pernah bincang dengan Fitri?,”
            “Fitri... dia cuma mahu dengar apa yang dia nak dengar. Apa yang dia nak dengar, cuma satu. Dia cintakan aku. Cintakan aku sangat-sangat. Tak boleh hidup tanpa aku. Jadi apa pentingnya apa yang aku rasa pada dia?,”
            “Dan, kau simpan semua ni sorang-sorang? Sampai kau lupa pada aku? Aku kawan kau yang kau boleh share apa saja?,”soal Nina sebak. Sebak apabila di sebalik ketenangan Zarra bercerita, ada air mata yang mengalir di pipi.
            “Fitri tak suka kisah kami sampai ke telinga orang lain. Aku sendiri, aku tak mahu cerita aku nanti buat orang fikir macam-macam pasal Fitri. Di sebalik kekurangan dia, ada juga baiknya. Mungkin dia gagal memahami aku betul-betul,”
            “Bercerita masalah kau, tak bermakna kau memalukan pasangan kau. Mana boleh kau pendam semua masalah sendiri?,”
            “Ya, betul. Sebab tu, akhirnya aku cari kau,”
            “Dan akhirnya kau suruh suami kau kahwin lain. Gila. Siapa yang sanggup suruh suami berusaha untuk jatuh cinta lagi? Kahwin lagi?,”
            “Aku lega akhirnya dia nak juga dengar sikit luahan aku. Dan usahakan sesuatu demi aku. Paling tidak, dia dapat pengganti yang lebih layak untuk dia. Aku tahu selama enam tahun ini, aku bukanlah isteri yang terbaik untuk dia,”
            Nina memaut perlahan bahu Zarra. Lamanya Zarra menyimpan seribu kedukaan yang mengelirukan.
            “Aku mahu kau cari bahagia untuk diri kau. Fitri mungkin sudah jumpa bahagianya dengan isteri baru dia,”
            Zarra tersenyum sayu.
            “Cukup aku dapat teruskan hidup aku tanpa rasa berdosa. Tanpa rasa bersalah. Hanya itu yang aku mahu,”ucapnya perlahan sambil pandangan kembali ditebarkan jauh ke tengah tasik.
            “Pasal rancangan kau, mak kau dah tahu?,”
            Zarra menggeleng.
            “Aku akan beritahu bila Fitri dah bersedia,”
            Nina diam. Kerutkan kening seketika sambil berpaling mencari wajah Zarra.
            “So... tak betullah ya pada pepatah yang kata... pilih orang yang cintakan kamu, bukan yang kamu cinta,”
            Zarra tergelak.
            “Kalau kau tanya aku, memang aku akan jawab tak betul. Satu-satu hubungan perlu ada unsur memberi dan menerima. Kalau tak ada, hubungan tu jadi tak balance. Endingnya, pasti tragis,”balas Zarra tanpa mengalihkan pandangannya yang terus ke tengah tasik.
            Nina turut mengalihkan pandangan ke arah yang sama.
            “Dan sadis...,”
            Zarra tersenyum.


****


            Wajah Fitri yang kelihatan sedikit penat, dipandang sekilas. Kemudian dia kembali alihkan pandangan ke halaman buku yang dibaca.
            “Kenapa penat sangat mukanya?,”
            Fitri meraup wajah. Memang penat. Penat melayan kerenah Hartini. Hanya untuk makan mee kari, hampir satu bandar terpaksa berpusing. Ada saja yang tidak kena tiap kali masuk ke restoran.
            “Nak makan mee kari sampai satu KL kena pusing. Mahu tak penat,”
            Zarra tersenyum.
            “Layankan ajelah. Memang itu ragam perempuan mengandung. Jangan dia senasib macam saya dulu. Jangan sampai dia pun rasa apa yang pernah saya rasa,”
            Fitri diam. Pandangan teralih mencari wajah Zarra. Dalam kata-kata Zarra. Membuat dia teringat pada rungutan-rungutannya tiap kali Zarra menyatakan hasrat untuk merasa itu dan ini semasa isterinya itu mengandungkan Daniel. Dia sering merungut duit yang sentiasa tidak cukup untuk memenuhi permintaan bukan-bukan Zarra. Sering setiap permintaan Zarra akan berakhir dengan pertengkaran dan Zarra akan berlalu tanpa suara. Saat itu, dia tidak menyangka Zarra berlalu bersama luka yang disimpan sedikit-sedikit. Luka yang memunculkan Zarra di hadapannya kini.
            “Kalaulah abang tahu setiap perbuatan abang dulu boleh jauhkan kita macam ni, abang tak akan buat semua tu,”
            Zarra mengangkat muka.
            “Abang abaikan tanggungjawab sebagai suami. Abang ambil kesempatan pada bantuan yang Zarra beri. Abang tak pernah jaga perasaan Zarra sebenarnya walaupun mulut abang selalu cakap abang cintakan Zarra. Memang betul abang cintakan Zarra. Dulu... sekarang...,”
            “Abang, rasanya benda ni dah banyak kali terulang kat mulut kita. Rasanya, biarlah kita selesaikan hal kita ni secara baik. Ingat apa yang saya cakap? Kalau abang dah bersedia, lepaskanlah saya. Untuk apa saya jadi isteri abang yang tak mampu nak senangkan hati abang. Saya pernah berusaha. Bila itu yang saya minta, abang patut tahu yang saya memang betul-betul tak boleh teruskan lagi,”
            Fitri mengeluh perlahan. Terus memegang Zarra bermakna dia menyeksa perasaan Zarra. Melepaskan Zarra, bermakna dia harus membenarkan dirinya merasa seksa itu.
            “Sikit pun tak ada rasa sayang lagi untuk abang?,”
            “Kita boleh jadi kawan. Tetapi kita tak boleh jadi suami isteri. Saya dah tak boleh nak ikhlas melayan abang sebagai suami. Abang tak kasihankan saya? Abang sanggup lihat saya berdosa pada abang setiap kali abang tak redha dengan perbuatan saya? Tindakan saya? Kalau betul abang sayangkan saya, abang sanggup ke tengok saya macam tu?,”
            “Semua ni salah abang. Abang yang tak tahu menghargai dari awal. Abang selalu andaikan, walau macam-mana pun layanan abang, Zarra tetap akan jadi milik abang. Abang lupa, Zarra pun ada perasaan,”
            “Tak guna kita bercakap pasal benda dah lepas. Lebih baik kita pandang apa yang akan terjadi,”
            “Tak boleh beri abang satu lagi peluang untuk menghargai Zarra?,”
            “Takkan kita nak bergaduh lagi bang? Sejak abang kahwin dengan Tini, rasanya kita dah tak bertengkar. Itu buat saya lega. Tapi, malam ni, abang nak mulakannya semula ke?,”
            Fitri menunduk. Rapat menutup mata sambil meraup wajah. Dada sebak tiba-tiba memikirkan konflik emosi yang melanda.
            “Zarra akan bahagia kalau abang lepaskan Zarra?,”
            “Saya akan lega sebab terlepas dari beban rasa berdosa dan bersalah. Abang ingat saya tak rasa berdosa tiap kali saya gagal penuhi setiap keiginan abang dengan ikhlas? Tak rasa bersalah tiap kali saya rasa saya gagal menyayangi abang sebagai suami?,”
            “No. Bukan salah Zarra sepenuhnya. Dan, Zarra tak ada dosa dengan abang. Abang yang sengaja pejamkan mata. Bukan abang tak tahu Zarra memang tak pernah mencintai abang. Tapi, abang pentingkan diri sendiri. Sebolehnya abang mahu Zarra tetap jadi hak mutlak abang. Zarra dah buat apa saja untuk hubungan kita. Dalam kesempitan hidup kita dulu, Zarra yang banyak membantu, tetap abang merungut. Jauh sekali berterima kasih. Memang abang yang tak pernah tahu menghargai,”
            “Sudahlah bang. Semua tu tak akan mengubah apa-apa. Sudah sampai masanya kita bawa haluan masing-masing. Bagi saya, kita dah berusaha tapi...,”
            “Tapi tak berjaya...,”tingkah Fitri sayu.
            Zarra diam. Diam memandang wajah Fitri. Andai kali ini dia benarkan juga rasa kasihan membelenggu hatinya, ranjau pasti akan menjadi semakin panjang. Baginya, semuanya harus diletakkan noktah. Dia sudah cuba yang terbaik. Kalau pun bukan terbaik bagi pandangan orang lain, namun, itulah yang paling baik yang mampu dia lakukan sebelum dia benar-benar meminta perpisahan daripada Fitri. Sekurang-kurangnya sekarang Fitri ada Hartini. Fitri tidak lagi sendirian menghadapi perpisahan.


****


            “Saya ada salah pada kak Zarra? Ada perbuatan saya yang menyinggung perasaan kak Zarra? Sungguh, kalau saya ada buat salah, saya minta maaf. Kak Zarra cakap saja apa yang perlu saya buat. Saya akan buat apa saja. Asal saja Kak Zarra jangalah sampai bercerai dengan abang Fitri. Saya tak nak jadi punca perceraian Kak Zarra dengan Abang Fitri,”
            “Jangan risau. Semua ni tak ada kaitan dengan Tini,”
            “Sungguh Tini tak faham. Dulu kak Zarra restui perkahwinan kami. Tapi sekarang?,”
            “Akak yakin Tini boleh jadi isteri yang baik untuk abang Fitri dan satu saja permintaan akak. Walaupun bukan selalu, tapi, sesekali Daniel muncul di antara Tini dan abang Fitri, layanlah dia macam anak Tini sendiri. Itu saja yang akak harapkan,”
            “Tapi, kak...,”
            “Akak berterima kasih dengan Tini. Cukuplah minta maaf ya. Bukan salah Tini. Bukan salah sesiapa,”
            Hartini termenung panjang. Pertemuan empat mata dengan Zarra gagal mencari punca cerita yang Fitri khabarkan padanya. Sungguh sebagai orang ketiga, dia tidak senang dengan cerita Fitri.
            “Tini...,”panggilan bersama sentuhan lembut di bahu membuang jauh menungnya. Fitri tersenyum nipis.
            “Tini jumpa Kak Zarra,”
            Belum sempat melabuhkan punggung ke kerusi, Hartini sudah bersuara. Fitri mengerutkan kening.
            “Kenapa jumpa Kak Zarra?,”
            “Tini nak minta Kak Zarra jangan minta cerai dengan abang. Tini tak nak jadi pemusnah rumahtangga abang dengan Kak Zarra. Tini tak tamak pun. Tini sanggup beralah untuk buat kak Zarra lagi selesa,”
            Fitri mengeluh perlahan. Wajah gusar Hartini membuat dia sedikit kasihan. Perlahan dia menyentuh jemari Hartini.
            “Abang yakin Tini bukan puncanya,”dia memujuk lembut.
            “Kalau macam tu, janganlah bercerai,”
            “Tini... tahu tak kenapa abang kahwin dengan Tini?,”
            “Sebab abang jatuh cinta dengan Tini?,”
            “Tahu bagaimana abang jatuh cinta dengan Tini?,”
            Hartini diam.
            “Selepas abang duduk dan fikir perasaan Kak Zarra yang selama ini abang tak pernah peduli,”
            Hartini mengangkat kening.
            “Tak faham,”gumamnya perlahan.
            “Kak Zarra. Dia isteri abang. Satu-satunya wanita yang ada dalam hati abang. Abang sayangkan dia lebih dari segala-galanya dalam dunia ni.  Abang cintakan dia. Dia... bagai tulang belakang abang. Selalu ada setiap kali abang ada masalah. Selalu ada untuk selesaikan semua masalah abang. Bisnes abang sekarang... ini pun atas usaha dia. Dia mahu lepaskan abang sebagai seorang yang berjaya. Banyak yang dia lakukan untuk abang. Boleh dikatakan semuanya untuk abang,”
            “Jadi, di mana masalahnya?,”
            “Masalahnya, semuanya untuk abang sampai langsung tak ada untuk diri dia sendiri,”
            Hartini terus memandang wajah Fitri. Mahu lelaki itu meneruskan cerita.
            “Abang cintakan Zarra. Tapi abang tak sedar cinta saja tak cukup. Lebih-lebih lagi untuk orang yang sejak awal kita tahu, tak pernah ada rasa yang sama pada kita. Abang tahu Zarra terima abang sebab abang yang terlalu mendesak. Dia tak sampai hati nak lukakan hati abang. Abang yakin cinta abang dapat membuat dia akan jatuh hati pada abang juga akhirnya. Tapi, cinta tanpa effort tak cukup. Cinta abang hanya di bibir tapi, tindakan abang tak pernah menunjukkan ke arah itu. Walaupun macam tu, dia tetap ada bila abang susah. Baik ikhlas... atau dengan rungutan, dia tetap bantu abang. Tapi, abang tak pernah mampu membantu dia. Dulu abang susah. Keadaan itu buat abang makin fikirkan diri abang saja. Bila ada masalah, bertengkar. Lama-lama jadilah macam ni,”
            “Macam ni?,”
            Fitri diam seketika. Mencari kekuatan untuk mengakui kelemahan sendiri.
            “Selepas enam tahun, akhirnya Zarra nekad mahukan perpisahan. Abang tak boleh terima. Abang tak boleh fikir macam-mana abang akan hidup tanpa dia. Memang hidup kami selama enam tahun ni, bukanlah bahagia sangat. Selalu bertengkar. Saling menyalahkan satu sama lain. Tapi, apabila dia merayu-rayu untuk abang cuba jatuh cinta lagi. Kahwin lagi... abang mula sedar ada sesuatu yang berlaku. Mana ada seorang isteri yang mahu suami jatuh cinta dengan orang lain. Kahwin dengan orang lain. Masa tu abang tahu hati Zarra dah benar-benar tertutup untuk abang. Kalau abang teruskan, ya mungkin dia boleh terus jadi isteri abang, tapi, hatinya?,”
            “Tapi, sekarang abang dah tak macam tu kan?,”
            Fitri tersenyum pahit.
            “Rasanya usia mematangkan abang. Banyak mengajar abang tentang tolak ansur. Hidup pun dah tak sepayah dulu. Tapi, semuanya dah terlambat. Abang dah tak mampu nak memenangi hati Zarra. Melepaskan dia bermakna abang akan makan hati. Menjadikan dia isteri abang sedang hatinya sudah tak ada untuk abang, itu akan buat dia yang makan hati,”luluh bicara Fitri bersama air mata yang menitis perlahan.
            Hartini mengetap bibir. Kali pertama melihat suaminya menitiskan air mata. Tidak pernah dia duga ada beban seberat itu disimpan di dalam perkahwinan Fitri dan Zarra. Sangkanya dia hanya insan ketiga yang biasa, namun hakikat nampaknya tidak begitu.
            “Abang sayangkan dia, tapi kalau abang nak tengok bahagia di hatinya, abang tak boleh bersama dia,”
            Fitri menunduk. Sungguh dia berasa lemah saat ini. Hartini menarik jemari suaminya. Terharu mendengar kisah yang selama ini tidak pernah dia tahu.
            “Kak Zarra tak pernah cerita pun pasal ni?,”
            “Tak mungkin dia akan ceritakan sesuatu yang akan membuka kekurangan abang. Tak ada siapa pun yang tahu pasal ni. Baik keluarga dia atau keluarga abang. Kalau ada pun, cuma Nina. Kawan baiknya. Dia beritahu abang. Tapi abang yakin, tak semua kisah dia kongsikan dengan Nina,”
            “Abang... Tini tak tahu nak cakap apa. Tini faham memang sakit kalau terpaksa berpisah kerana cinta,”
            “Sama juga sakitnya kalau terpaksa bersama walau tak ada cinta,”
            “Kasihan abang... kasihan kak Zarra...,”
            Fitri memaksa satu senyum bersama setitis lagi air mata yang jatuh. Perlahan dia mengangguk. Memang kasihan dirinya juga kasihan Zarra.
            “Sebab tu Kak Zarra mahu abang kahwin? Sekurang-kurangnya kalau dia pergi, abang masih ada Tini?,”
            Fitri hanya mampu diam.
            “Kak Zarra kuat,”
            “Dia terlalu kuat untuk lelaki lemah macam abang,”
            Hartini mengeratkan genggaman. Mahu sedikit kekuatan sampai ke hati Fitri. Mengenali Fitri sebagai majikannya, dia mudah jatuh hati dengan lelaki itu. Kisah mereka terlalu pantas. Fitri mahu membuka hati untuk orang lain, demi melepaskan insan yang dia cintai. Kedengaran agak kejam tetapi, dengan rasa bahagia yang dia kecapi kini, rasanya dia boleh faham dengan tindakan Fitri.


****


            “Untuk kali terakhir, tak boleh ke kita patah balik?,”
            Zarra diam.
            “Dah ada pengganti abang?,”
            Kali ini dia mengangkat muka. Soalan Fitri agak sukar dihadam.
            “Saya tak minta kita berpisah sebab saya ada lelaki lain. Dan, pengalaman enam tahun perkahwinan kita, saya rasa cukuplah dulu,”
            “Abang minta maaf,”
            “Dan, inilah juga sebabnya. Abang penuh dengan prasangka,”
            Fitri menutup mulut. Bukan titik selisih kata yang dicari. Tapi, rasanya dia perlu belajar memberi setelah begitu banyak meminta daripada Zarra.
            “Zarra yakin boleh bahagia tanpa abang?,”
            “Saya tak cari bahagia. Saya cuma nak cari ruang untuk saya cari diri saya yang dah lama hilang. Perasaan saya yang dah lama hilang,”
            Fitri mengeluh lemah.
            “Abang tak sedar saat Zarra terpaksa kuburkan perasaan sendiri demi nak teruskan perkahwinan kita. Itu kesilapan terbesar abang. Jadi, walaupun ianya hampir mustahil untuk abang lakukan, abang harus biarkan Zarra cari apa yang telah Zarra hilangkan untuk abang dulu,”
            Zarra diam tidak membalas. Fitri pula terus memerhati seraut wajah itu. Jauh bezanya dengan Zarra yang dia kenal tujuh tahun dahulu. Kini baru dia sedar, wajah itu semakin hilang emosi.
            “Ini perkara yang paling berat untuk abang katakan. Tapi, satu saja yang abang harap. Abang harap Zarra dapat kembali rasa yang hilang dan serahkan rasa itu pada seseorang yang paling layak. Setelah begitu banyak makan hati demi cinta abang, sekurang-kurangnya abang nak Zarra temui cinta Zarra pula,”
            Zarra tersenyum sinis.
            “Enam tahun masa saya terbuang, sekarang ni, saham pun dah tak ada untuk cari cinta,”
            Fitri tergelak sumbang. Zarra tersenyum.
            “Gurau saja. Apa yang kita lalui selama ini bukanlah satu yang sempurna. Bukan sesuatu yang indah sangat untuk dikenang. Tapi, saya tak pernah menyesal. Satu-satunya perkara paling berharga yang kita ada... itulah dia,”Zarra bersuara membetulkan katanya yang hanya berniat untuk bergurau sambil matanya dipaku pada Daniel yang asyik bermain ditemani Hartini.
            “Dan, saya yakin Tini mampu menyayangi Daniel seadanya. Itu cukup buat saya rasa lega. Dan, percayalah... Daniel tetap anak abang. Jangan risau. Saya tak akan bawa dia jauh dari abang,”
            “Kita mampu jadi kawan?,”soal Fitri lambat-lambat.
            “Kalau abang kuat buang rasa cinta tu, saya sentiasa ada untuk jadi kawan,”
            “Kalau ini boleh buat Zarra tersenyum, ketawa seperti sebelum kita kahwin, abang sanggup berusaha,”
            Zarra diam. Lama memandang wajah Fitri. Sepayah dia mencipta sayang demi menjadi isteri Fitri, dia yakin begitulah payahnya yang Fitri rasa saat ini.
            “Terima kasih, bang. Kita bersama tetapi haluan kita berbeza. Tak mungkin kita boleh bahagia,”
            Fitri mengangguk perlahan sambil menarik lembut jemari Zarra. Payah, namun dia harus setuju dengan hakikat itu.
            “Abang sayangkan Zarra. Kalau abang terpaksa lepaskan Zarra untuk melihat Zarra jadi Zarra yang dulu, abang rela. Cinta abang bukan apa-apa berbanding apa yang telah abang paksa Zarra telan selama enam tahun ini,”
            Zarra tersenyum. Menitis air mata di pipi.
            “Abang boleh bahagia dengan Tini kan?,”
            “Kalau Zarra boleh bahagia tanpa abang, kenapa abang tak boleh bahagia dengan Tini? Betul tak?,”
            Zarra mengangguk sambil menahan sebak. Begitu lama dia mahu bebaskan rasa yang terpendam jauh.... terlalu jauh di sudut hati. Mendengar kata-kata Fitri benar-benar membuat dia lega.
            “Terima kasih, bang,”
            Fitri tersenyum. Laju menyapu pipi apabila air mata bagai tidak dapat ditahan.
            “Terima kasih kena pernah hadir dalam hidup abang. Berkorban sebanyak ini untuk abang,”ucapnya sambil membawa jemari Zarra ke bibir. Mungkin ini akan menjadi momen terakhir dia sebagai suami seorang Zarra.
            Dari jauh, Hartini melihat sambil menarik Daniel ke riba. Anehnya apa yang bernama hati. Dia menghela nafas panjang sambil mendongak. Tidak membenarkan ada air hangat yang menitis.

TAMAT



           
           
           

18 comments:

Unknown said...

Cerita yg sedih tp bagi akak itulh jln yg trbaik,brtrs-trg tdk semua insan mmpunyai ksmprnaan tp kdg2 jika kita tdk mengalaminya...tdk brada disituasi itu...mngkn kita tdk akn brtndk sprti itu.Apa2 pun selagi ia tdk mlnggar hkm agama kita msh mmpuyai pilihan...

JejariMenari said...

Sedih kak... Tak sggup..

Dhia Faaezah said...

Assalamu'alaikum. Boleh komen guna google rupanya. Tak nampak.

Cerpen yang menarik walaupun tak happy ending. Thumbs up! Memang realitinya mungkin ada yang melalui macamni. Well done writer~

Anonymous said...



tq...

citer sedih...semua watak berfikir positf n mahu beralah

Hanni Ramsul said...

Barangkali ada. :)
Bentuk hubungan itu, tidak semestinya bahagia bila bersama.

celoretcute said...

realiti hidup xslalu indah...HR xprnah gagal mnybbkn airmata sy mnitis stiap kali mbc...

celoretcute said...

sy ml mngenali HR mlalui KUSERU RINDU ITU..ksh yg amt mnyntuh prsaan..skrg dh bli sume nvl HR..dh bc MUNGKINKAH?&BIARLH YM Bbicara..agak ringan..ssuai utk release tnsion..skrg tgh bc Biarkn YM trs Bbcra..PAM xbrni lg nk bc sb kn stndby airmta..TAHNIAH HR..smg snts dkurniakn Allah ilham utk mhsilkn krya yg bmutu..yg mmp mdidik scr xlgsg..

AinaaAzlan said...

aduh kak hanni.... kenapa sedih sangat ni. serasa nak nangis meraung2 jea. hukhuk

Unknown said...

Sedih sgt....sbg isteri sy x tahu sy mmpu atau tidak menghadapi situasi ini..melepaskan sesuatu yg mmg menjadi milik kita sekian lama....

anazroiam said...

Mmg ramai yang macam ni. Lupakan perasaan sendiri untuk orang lain.

boy cena said...

Bestt

boy cena said...

Sedehh

Nana Mohd Yasin said...

Sgt menyentuh hati
tapi ini lah realiti kehidupan

Sgt sgt best . Tq.

Anonymous said...

Sungguh... perkahwinan bukanlah akhirnya sebuah cinta. Simpati jua bukan mutlak tuk pemangkin cinta. Moga lebih ramai seutuh Zarra...

amiha said...

Hi hanni...
U so adorable.... Novel2 u sume i beli...

Hanni Ramsul said...

terima kasih amiha :)

Unknown said...

Sedih sgt....

Anonymous said...

Seduh sgt2 coz mcm kisah hidup saya.... still baik dgn my ex..

[11:35:50 PM] hos.getah: