Thursday, September 20, 2012

Mungkinkah? 22


Hampir dua minggu bekerja di sini, membuat dia semakin mengenali Zariff. Telahan awal tentang  lelaki itu ternyata benar semuanya. Seorang lagi lelaki yang berasakan hidup mereka cukup hebat andai dapat tundukkan hati perempuan-perampuan. Satu panorama yang membuat dia terfikir, mungkinkah semua lelaki sekarang memang begitu sikapnya? Terlalu mudah jatuh hati dan terlalu mudah juga melupakan. Melihat gelagat Zariff membuat dia teringat pada Radhi juga pada Encik Karim. Dia mengeluh perlahan. Godaan Encik Karim, dia tepis dengan berhenti kerja. Dan, di sini dia juga berdepan dengan hal yang sama. Malah rasanya tingkah Zariff lebih menggerunkan. Tidak mungkin dia akan berhenti kerja lagi dan pastinya tidak mudah untuk dia mendapat kerja lain. Rezeki yang datang bergolek, tidak mungkin akan berulang banyak kali.
“Arisa…,”
Pantas dia mengangkat muka. Wajah Zariff serius di hadapannya. Sudah dua hari hilang gurau-senda lelaki itu. Tetapi, dia tidak kisah. Serius Zariff membuat dia aman.
  “Ya Encik Zariff?,”
  “Dah book restaurant for me?,”
  Arisa mengangguk.
“Thanks,”
  Sambil tersenyum dia mengangguk lagi. Zariff bergerak meninggalkannya. Cuma beberapa langkah, lelaki itu berpaling.
  “Oh ya. Kalau Azira datang, beritahu I,”
  “Azira?,”
  “Ya. Takkan I nak lunch sorang-sorang kan?,”
Arisa mengangguk. Jadi, teman makan tengahari untuk hari ini, bernama Azira. Rasanya gadis lincah yang cukup murah dengan senyum semalam bernama Nadia. Arisa menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil.
  “What?,”
  Gelengan terhenti. Tidak menyangka lelaki itu masih tercegat di hadapannya.
“Tak ada apa-apa,”
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa senyum-senyum?,”
“Betul. Tak ada apa-apa,”
“Atau you nak ganti tempat Azira ke?,”
“Eh, tak adalah. Kasihan nanti kawan Encik Zariff. Penat-penat bersiap nak makan tengahari tiba-tiba kena cancel pula,”Arisa bersuara sedikit sinis.
“Okay,”sepatah balasan daripada lelaki itu dan Zariff terus hilang ke biliknya.
Arisa mencemik. Cuma hampir dua minggu sahaja, dan ternyata lelaki ini sudah hilang minat untuk mendekatinya.
“Lelaki tetap lelaki…,”bibirnya bergumam perlahan. Kembali menarik kerusi rapat ke meja. Mahu meneruskan kerja yang terhenti dek teguran Zariff. Namun niatnya terhenti lagi apabila matanya tersapa pada susuk kecil molek yang sedang melangkah mendekatinya. Melihat gaya dan rupa si gadis, rasanya dia sudah dapat mengagak siapakah gerangannya.
“Cik Azira?,”
Gadis cantik itu mengangguk bersama senyum. Arisa mengerling ke arah jam di dinding. Rasanya gadis ini muncul agak awal.
“Sebentar ya,”ujarnya lembut sambil jemarinya menekan interkom. Segera memaklumkan kedatangan si gadis yang sedang dinanti oleh ketuanya.
“Cik Azira boleh masuk,”
“Thanks,”
Arisa mengangguk bersama senyum lebar. Sesekali fikiran nakalnya pantas membuat kesimpulan, betapa mudahnya gadis-gadis terpesona dengan rupa dan kemewahan. Namun, segera dia memadam tohmahan jahat itu. Tidak baik berprasangka buruk. Mungkin mereka hanya kenalan biasa.
“Akak!,”
Arisa mengerling. Namun, bibirnya tetap mengukir sekuntum senyum. Jasmine tergelak. Pasti seronok melihat dia terperanjat kecil.
“Ni, buat apa kat sini? Front desk siapa jaga?,”soalnya garang.
Jasmine mencemik. Tidak terkesan dengan usikannya.
“Dah pukul dua belaslah kak. Dah lunch time. Jomlah. Kita pergi makan,”
“Akak kejap lagi. Min pergilah dulu,”
Jasmine mengeluh perlahan.
“Akak… kenapa dengan bos tu ya? Dah lama tau tak ada perempuan datang jumpa dia. Ni, dah dua hari makan tengahari berjemput. Peliklah,”
Arisa tergelak kecil.
“Manalah akak tahu. Akak baru dua minggu kat sini. Kerja akak, akak tahu. Tapi, hal bos kita tu, akak tak tahu,”
Jasmine mengangguk perlahan.
“Penyakit lama datang semulalah tu…,”Jasmine bergumam perlahan.
“Penyakit apa?,”
“Penyakit suka tukar girlfriend,”
Arisa tergelak. Memang dia tidak terkejut kalau Zariff ada ‘penyakit’ itu.
“Eh, bos nak keluar. Saya pergi makan dulu,kak,”laju Jasmine bersuara sebaik mendengar daun pintu ditarik. Laju juga dia berlalu meninggalkan Arisa yang tersenyum lucu. Dia mengalihkan pandangan ke arah bilik Zariff. Memang Zariff sudah keluar sambil lengan Azira kemas memaut lengannya.
“You tak lunch?,”ramah Zariff menyapa.
“Sekejap lagi,”
“Cantik PA you, Riff,”
Arisa tersenyum kecil mendengar pujian yang tidak dia pasti ikhlas atau tidak.
“Cantik pun buat apa. Dia tak minat lelakilah,”
Ternganga Arisa mendengar komentar daripada lelaki itu.
“You ni…,”Azira sudah membuat muka terkejut.
“Serius. You tanya dia, kalau you tak percaya. I tak pastilah dia ni, normal ke tak sebab dia langsung tak tunjukkan minat pada kaum yang berlawanan jenis dengan dia,”tambah Zariff bersama senyum lebar.
Arisa mengerutkan kening. Kejam tohmahan yang Zariff berikan. Azira tergelak halus.
“Tak baik you cakap macam tu. Mestilah you normal, kan….,”
“Arisa…,”ucap Arisa sepatah apabila riak Azira seolah-olah mahu tahu namanya.
“Ya… Arisa. Tentulah you normal kan?,”
“Alhamdulillah. Setakat ni saya normal lagi. Masih tahu benar mana yang halal, mana yang haram. Mana yang baik, mana yang tak baik,”soalan Azira dijawab dengan senyum panjang. Senyum yang ditujukan khas buat Zariff. Senyum yang barangkali Zariff tahu akan maksudnya kerana dia perasan wajah itu sedikit kelat. Zariff membuang pandang.
“Jom. Nanti lambat,”ringkas kata-kata Zariff sambil menarik tangan Azira. Meninggalkan dia dengan wajah tanpa senyuman.
“Bye Arisa,”
Arisa tersenyum melihat langkah Azira yang agak laju dek tarikan tangan Zariff. Cuma anggukan diberi sebagai membalas ucapan Azira. Sebaik hilang dua tubuh itu dari pandangannya, dia menarik muka masam.
“Patut ke dia cakap aku tak normal? Kurang asam betul,”bibirnya merungut geram. Meja dikemas ala kadar kerana dia juga mahu keluar makan tengahari. Gelak kecil menarik perhatiannya. Dia menoleh. Saera sedang tercegat tidak jauh daripadanya dan sedang ketawakan dia.
“Cik Saera. Maaf. Tak perasan Cik Saera ada kat situ. Ada yang boleh saya bantu?,”dia menyapa ala kadar. Sekadar menunjukkan rasa hormat memandangkan wanita itu masih lagi dingin dengannya. Dan, kemunculan wanita itu bersama gelak panjang, sememangnya membuat dia sedikit hairan.
“No. Tak ada apa-apa. You nak lunch ke?,”
Arisa mengangguk.
“Come. Join me….,”
“It’s okay Cik Saera. Saya boleh makan seorang,”
“Tak sudi ke?,”
“No. Bukan macam tu. Saya cuma tak nak ganggu Cik Saera…,”
“I yang ajak kan? So, for sure lah tak ganggu I. Jom,”
Arisa menarik senyum. Aneh tingkah Saera. Mungkinkah Saera mendengar kata-kata Zariff? Mungkin wanita yang belum berkahwin ini memang tidak normal, dan menyangka dia juga tidak normal? Mungkinkah Saera mahu memikatnya?
“Kenapa pandang I macam tu?,”
Arisa menggeleng laju. Terlalu karut andaian yang dia buat. Melihat Saera tercegat menunggu, segera dia mengangkat punggung sambil mencapai beg tangan. Saera tersenyum kecil.


*****

              Perlahan-lahan dia suap nasi ke mulut. Sejak dari tadi, dia selesa berdiam diri, dan Saera juga tidak bersuara. Cuma, wajah wanita itu tidak segarang sebelumnya.
              “So, memang you tak minat lelaki ke? Minat perempuan?,”
              Terbatuk Arisa mendengar patah kata pertama daripada bibir Saera. Segera dia mencapai gelas. Melegakan batuknya.
              “Nauzubillah. Minta dijauhkan. Cik Saera janganlah fikir sampai macam tu,”
              Saera tergelak.
              “Gurau aje,”
              Arisa tersenyum kelat. Walau sekadar gurauan, dia tidak selesa dengan andaian itu.
              “Gurau pun saya tak sanggup nak dengar Cik Saera,”
              “Okay. I’m sorry. First of all, just call me akak,”
              Arisa termangu seketika. Pelik dengan permintaan itu. Teringat pada hari pertama dia mula bekerja, wanita itu cukup tegas mahu dia memanggil dengan panggilan Cik. Tetapi, hari ini, Saera kelihatan sangat ramah. Memang pelik-pelik barangkali pekerja di syarikat itu.
              “Memang you tak kenal Zariff kan?,”
              Arisa menggeleng. Lagi-lagi isu ini yang diutarakan.
              “Langsung tak kenal?,”
              “Saya kenal Encik Zariff, bila Kak Saera perkenalkan dia pada saya. Kenapa ni? Pelik pula rasanya,”
              “Akak ingat you kenal Zariff. Akak ingat you ni teman dia. Masuk kerja cuma untuk berpeleseran dengan dia. Sebab Zariff beria-ia nak you kerja dengan dia tau. Semua calon lain dia tolak and dia nak you start kerja tanpa interview,”
              Arisa diam. Begitu kisahnya. Memang aneh. Patutlah Saera terang-terang menunjukkan riak kurang senang. Rupa-rupanya Zariff sudah tonjolkan imej buruk tentangnya. Sepintas, hatinya tertanya-tanya, kenapa pula Zariff beria-ia mahu dia bekerja dengannya. Padahal mereka tidak kenal antara satu sama lain.
              “Agaknya dia jatuh cinta pandang pertama kot, bila tengok gambar you,”Saera mengusik bersama tawa kecil. Arisa tersenyum kaku.
              “Akak bukan apa. Bila dia mula nak bersuka-suka semasa kerja, akak jadi kurang senang. Yelah. Dia tu, memang nakal sikit. Di luar waktu kerja, kita tak boleh nak halang. Tapi, kalau bawa masuk kekasih hati untuk berdamping semasa kerja, itu yang buat akak kurang senang. Lebih-lebih lagi, dia orang paling penting dalam syarikat. Dulu, dia boleh main-main sebab ibu dia yang handle semua. Tapi, bila ibu dia dah serahkan syarikat tu pada dia, dan dia pula macam nak main-main, itu yang akak jadi kurang senang,”Saera kembali serius.
              “Tapi, saya bukan…,”
              “Yeah. Akak salah-faham. And, akak minta maaf,”
              Arisa mengangguk perlahan. Apa lagi yang hendak dikata. Memang sudah nasib badan, asyik dipandang serong. Dan, melihat hubungan Saera dengan Zariff, rasanya lelaki itu amat menghormati Saera. Saera juga kelihatan amat mengambil berat tentang Zariff.
              “Tapi, rasanya Encik Zariff tu, serius bila bekerja,”dia bersuara selepas seketika sama-sama berdiam diri.
              Saera tersenyum.
              “Memuji nampak?,”
              “No. Bukan memuji. Tapi, dalam dua minggu ni, rasanya saya dah boleh faham cara dia kerja. Time menggatal, dia menggatal, tapi kalau kerja, dia fokus betul,”
              Saera tergelak besar.
              “Kalau dia dengar, sure kena warning letter you,”
              Arisa tersenyum. Terlajak komen pula dia. Tetapi memang hakikat Zariff seorang yang suka menggoda dan gemar memujuk. Jadi, amat sesuai kalau dia labelkan Zariff sebagai ‘lelaki gatal’.
              “Sorry. Bukan niat nak kutuk dia…,”rendah suara Arisa meminta maaf.
              “Tak apa. Memang itu Zariff. Dia ambil you pun, pasti bersebab. So, hati-hati, ya?,”
              Arisa diam. Hati tiba-tiba diamuk resah mendengar amaran daripada Saera. Memang dia boleh berhati-hati. Tetapi, kuatkah dia menangkis sikap Zariff yang melemaskan itu? Setinggi manakah kesabarannya untuk terus bertahan, sedang dia punya tanggungjawab besar untuk adik-adiknya.
              “Takut?,”
              Arisa tergelak kecil. Dia bukan gadis remaja untuk takut pada keadaan sebegitu. Cuma, dia risau rasa rimas nanti akan menjejaskan perjalanan kerjanya. Dia perlukan kerja, dan ditempat kerja ini, ada gangguan yang menanti.
              “Sebenarnya, susah juga nak kerja dalam suasana macam ni. Tapi, inilah cabaran, kan?,”Arisa melontar pendapat. Lebih kepada untuk menyedapkan hari sendiri sebenarnya.
              Saera menjawab cuma dengan segaris senyum.
              “Akak rasa you bijak nak handle bos you tu,”
              Arisa tergelak sumbang. Tidak mampu membalas. Telefon bimbitnya yang berbunyi, mematikan seketika perbualan mereka. Perlahan dicapai. Ada pesanan ringkas. Segera dibuka. Ternyata daripada Zariff.
              “Nampaknya saya kena masuk dulu. Encik Zariff dah mesej,”Arisa bersuara sambil mata memandang screen telefon bimbitnya. Cepat pula lelaki itu masuk ke pejabat.
              “Okay. pergilah dulu,”
              Arisa tersenyum. Mencapai beg tangan sambil terus bangkit. Tidak mahu membuat Zariff tertunggu-tunggu.
              “Thanks kak for the lunch,”
              “Sama-sama. Cepat. Zariff tak suka menunggu,”
              “Yes, I know. Sebab tu saya kena cepat. Bye kak,”
              Saera tergelak kecil melihat Arisa yang tergesa-gesa berlalu. Ternyata dia tersilap membuat andaian pada Arisa. Melihat usaha Zariff yang sentiasa gagal dan melihat pula riak Arisa yang tidak pernah senang dengan tingkah Zariff, dia yakin Arisa bukan seperti gadis-gadis lain yang sanggup berbuat apa sahaja asal dapat menjadi teman Zariff.


******

10 comments:

Anonymous said...

nak lagi nak lagi nak lagi.. like like like

::Em Hej:: said...

ala suke la zariff..biar la bab die goda arisa banyak sikit..heheheh..tak sabar nak tunggu sambungan..sambung lagi ye :)

Unknown said...

hehehe.. cepat smbg sis..blh demam tggu smbgan nya..huhuhu

Anonymous said...

Elokler zharif tu cool down sikit.... Asyik nak menggoda setiap hari, tak thrill ler.... Kalau sekali-sekali bagi ayat2 romantik, lebih berkesan... Tetapi zharif jgn lupa utk tunjukkan keprihatinan supaya jantung PA boleh bergetar....

Rasinah said...

Sambung lg..bila nak keluar hard copy ye

Lina Baharuddin said...

Love it..thx akak..sambung lagi ya.

Zalida said...

Oooo... Zariff terasa ya bila Arisa tak melayan. Eloklah tu... ingat dia boleh goda semua perempuan ke? Go Arisa! :-)

Anonymous said...

innocent je muka that guy..macam tak cukup kick untuk jadi lelaki gatal...sorry ye...

Unknown said...

hoho. best3.

cyah said...

Kak sambung lagi plz... Hehehe x sabar dah ni

[11:35:50 PM] hos.getah: