Monday, June 29, 2009

Mimpi Yang Mati 3

NOTA KEPALA( PASAI DUK KAT ATAS...)
[ LAMA TAK SAMBUNG. ILANG SKILL KE... TGH MUSIM X DE ILHAM KE... OR, CITER NI MEMANG SUSAH... APA PUN, CTKDA NI, BERJAYA BUAT SAYA PENING N ILANG FOKUS. HEHE. HARAP TAK MENGHAMPAKAN...]
Ameer menghadap hidangan di hadapannya dengan selera yang sedikit terbantut. Hidangan makan malam itu terasa tidak berjaya memikat seleranya. Padahal semua lauk yang disediakan Laila adalah lauk kegemarannya. Garfu dan sudu diletakkan perlahan-lahan ke meja. Mengangkat muka, mencari wajah Laila sekali lagi.
“Kenapa bang? Abang tak suka lauk ni ke?,”
Ameer mengeluh perlahan.
“Maya tu yang kenapa? Kenapa ni? Is anything wrong?,”
Laila mengangkat kening. Perlahan disenduk nasi ke pinggannya. Makan sekadar untuk menemani suaminya itu. Mata kemas dipaku ke wajah Ameer. Pelik melihat wajah itu yang sedikit keruh.
“Kenapa dengan Maya? Maya okay. Tak ada apa-apa masalah pun,”
Ameer tersenyum kecil. Jawapan itu terasa menguji kesabaran. Terasa Laila cuba bermain dengan emosinya.
“Maya, abang kenal Maya. Dah dua hari. Maya langsung tak bercakap dengan abang. Kenapa?,”
Laila diam. Mangkuk nasi diletakkan perlahan. Pantas tangannya mencapai piring berisi ayam masak merah.
“Abang nak ayam?,”
Ameer menggeleng.
“Sayur?,”
Ameer terus memandang. Merenung dalam pada wajah Laila yang tersenyum nipis di hadapannya. Senyum pura-pura. Dia tahu. Bukan sehari dua dia berdepan dengan senyum pura-pura itu.
“Abang nak jawapan,”
“Jawapan apa bang? Kan Maya cakap tadi. Tak ada apa-apa…,”
Ameer tergelak sinis.
“Please Maya. Jangan jadi budak-budak. Dan, jangan anggap abang budak-budak. Ada sesuatu yang tak kena kan? Apa dia? Kalau ada yang tak kena, terus-terang saja dengan abang. Abang tak suka Maya buat muka macam ni,”tegas bicara yang meluncur di bibir Ameer.
Laila mengeluh perlahan. Renungan suaminya dibalas tanpa perasaan. Berterus-terang? Apa beza sama ada dia berterus- terang atau tidak. Keputusan Ameer tetap sama. Mustahil lelaki itu akan mengubah pendiriannya hanya kerana dia berterus-terang. Rasa terkilan masih bersisa di hati sebenarnya. Terkilan mendengar jawapan Ameer pada soalan ibunya.
“Abang makanlah dulu,”akhirnya dia bersuara perlahan. Tidak mahu selera suaminya terhenti hanya disebabkan perasaannya itu.
“Abang dah hilang selera,”pendek sahaja jawapan Ameer sambil menolak pinggan di depannya. Laila merenung tajam. Geram melihat tingkah itu.
“Abang… penat Maya masak tau. Susah-susah saja Maya keluar cari barang nak masak, masa abang call, and cakap nak balik dinner. Sekarang tak ada selera pula?,”
Ameer terus merenung wajah itu. Sudah sedikit mencuka. Wajah dia sendiri pun, rasanya tidak banyak beza dengan wajah Laila.
“Kembalikan selera abang…,”dia bersuara sekadar cuba berdiplomasi. Tidak mahu terus dibuai emosi. Dia emosi, Laila pun dengan emosinya, pasti perbincangan ini akan melarat ke satu pertengkaran.
Laila mengeluh perlahan. Geram.
“Kalau abang tak nak makan, biarkanlah kat situ. Nanti Maya kemaskan. Maya pun memang tak ada selera makan. Lain kali, tak payah suruh Maya masak lagi,”
Giliran Ameer pula yang mengeluh. Rajuknya berbalas rajuk. Sangkanya Laila yang akan mengalah. Rupa-rupanya dia terlupa. Terlupa Laila Maya gadis yang dikahwininya itu seorang yang terlalu degil. Kalau tidak degil, masakan dia terpaksa menggunakan ibu Laila hanya untuk menjadikan Laila suri hatinya. Masakan dia terpaksa menggunakan segala ikhtiar hanya untuk mendekati gadis ini. Dia tersenyum kelat. Jemari Laila disentuh perlahan. Marahnya cuba dilontar jauh.
“Abang cuma nak tahu kenapa dengan Maya? Itu saja. Sejak balik dari kampung, Maya lain betul,”
Laila diam.
“Maya marah sangat ke pasal duit yang mak minta tu? Tak banyak pun Maya. Lagipun, bukan untuk orang lain. Untuk mak, kan?,”
Laila memandang wajah Ameer. Lelaki ini sedang memujuk.
“Sebab… kalau abang tak bagi, mak akan ungkit pasal Maya kan? Pasal janji abang pada mak, kan? Selama ni, Maya Cuma pelik kenapa mak beria-ia paksa Maya terima abang. Tapi, bila dengar cakap abang hari tu, tak hairanlah kenapa mak sanggup nak buang Maya, kalau Maya tak kahwin dengan abang…,”
“Maya…,”
“Sudahlah bang. Lupakanlah semua tu…,”
Ameer diam. Tahu silapnya mengambil kesempatan atas kelemahan ibu mertuanya itu. Melihat riak marah Ameer berganti wajah yang dibayangi sedih, membuat Laila serba-salah.
“Makanlah dulu. Maya tak nak cakap kat meja makan. Maya tak suka gaduh depan rezeki,”Laila bersuara perlahan. Berharap kata-kata itu boleh membuat Ameer sedikit berpuas-hati. Dia betul. Sedikit senyum terukir di bibir lelaki itu. Melihat senyum itu, dia tunduk memandang nasi di pinggan.
“Maksud Maya, you have some explanation for me?,”
Laila diam sambil menceduk sayur untuk Ameer.
“I take it as a promise…,”sambung Ameer sambil merenung wajah bisu itu.
Laila terus diam. Menceduk sayur ke pinggannya pula.
“Abang nak ayam…,”
Laila mengangkat muka. Ameer tersenyum panjang menunggu dilayan. Melihat senyum itu, dia turut mengukir senyum. Tidak mahu Ameer tersinggung andai permintaan itu dilayan dengan wajah yang tidak manis. Seketul ayam diletakkan di dalam pinggan Ameer.
“Nak suap. Boleh?,”gurau Ameer melihat senyum sudah mula menghiasi bibir Laila. Laila menjeling sambil berpura-pura tidak dengar. Mula memberi fokus pada pinggannya sendiri.

****
Dia terus memerhati Laila yang tenang di meja solek. Lemah menyapu losyen di tangannya. Membuat dia sendiri lemah menanti. Janjinya perlu dituntut. Laila pula, seakan sengaja mahu waktu terus beredar dan biarkan dia leka sendiri.
“Maya…,”
Laila menoleh.
“Kenapa?,”
“Kenapa? Janji tadi. Mana dia? Abang tak dengar apa-apa pun,”
Laila kembali berpaling. Menatap cermin. Rambutnya yang sudah terikat rapi, sengaja diusik berkali-kali.
“You dah cukup cantik dah sayang. Tak usahlah pandang cermin tu lagi. I’m afraid nanti cermin tu jealous kat Maya nanti,”suara itu muncul di telinganya bersama satu rangkulan mesra dari belakang.
Laila tersenyum kecil. Pujian itu tidak meninggalkan kesan di hatinya. Tiada perasaan indah tiap kali dia mendengar pujian dari lelaki itu. Mendengar kata manis Ameer membuat dia menghitung bilangan kekasih lelaki itu yang menerima pujian yang sama. Syukur, selepas begitu lama berkahwin, hatinya masih kuat untuk goyah pada godaan sebegitu. Sungguh dia tidak mahu mendapatkan cinta Ameer. Dia tidak mahu hidup di dalam hati Ameer yang jelas terlalu sukar untuk diukur kejujurannya.
“Kenapa abang tak keluar malam ni?,”soalnya sekadar berbasa-basi.
“Abang rindu,”
“Rindu? Rindu kat siapa?,”
“Kat isteri abang. Tak tahulah kenapa. Kat kampung dia mogok. Balik sini, dia sambung mogok. Abang tak tahu dah nak buat macam mana. Bila abang Tanya, dia buat muka poyo…,”
Laila mencebik.
“Dia memang poyo kot, bang,”tingkahnya sambil perlahan leraikan pelukan Ameer. Ameer akur. Mengekori Laila yang bergerak ke katil.
“Tak. Mana ada dia poyo. Dia bijak. Terlalu bijak. Bijak dera perasaan abang…,”
“Abang deralah perasaan dia jugak, kalau abang rasa dia suka dera perasaan abang,”
“Teringin nak buat macam tu. Tapi, tak bolehlah..,”
Laila memandang wajah Ameer sambil menarik bantal ke riba.
“Kenapa tak boleh?,”
“Sebab abang sayang sangat kat dia,”
Laila tersenyum hambar. Sayang sangat? Memang payah kalau bersuamikan kasanova. Sayang…cinta… semuanya jadi mainan bibir. Semuanya cukup senang terlafaz.
“Kenapa senyum? Tak percaya?,”
Laila terus tersenyum sambil menepuk bantal. Bersedia mengundang lena. Kenapa dia harus percaya? Dia kenal Ameer dari rumah jiran perempuannya. Ameer menghabiskan masa bersama perempuan itu. sering dilihat bermalam di rumah perempuan itu, dan dalam masa yang sama Ameer cuba mendekatinya. Dipaksa kahwin oleh ibunya, cuma membuat dia lebih banyak tahu aktiviti malam Ameer yang sesibuk agenda siangnnya juga. Jadi, di mana dia harus letakkan kepercayaan itu? Haruskah dia mencuba untuk melukakan perasaannya sendiri? Dia tidak mahu menjadi sebodoh itu. Menyerahkan seluruh hidup dan perasaannya pada lelaki seperti Ameer? Tidak mungkin. Barangkali Ameer berjaya memiliki dirinya, namun, untuk memiliki perasaannya, tidak semudah itu.
“Maya tak akan percaya kan?,”soal Ameer lagi. Wajahnya sudah sedikit berubah.
“Abang pernah usaha untuk bagi Maya percaya? Abang pernah cuba untuk yakinkan Maya pada sayang abang tu?,”
Ameer diam. Laila senyum lagi. Kali ini, terasa senyum itu sedang menyindirnya.
“Maya yang cuba menafikan dan terus menafikan. Biarkan peluang terus tertutup untuk abang,”
“Abang yang buat Maya takut nak bagi peluang,”
“Maksud Maya?,”
“Whatever lah. Tak mahu cakap pasal ni. Maya tidur dulu ya,”
“No. Maya dah janji tadi,”
“Abang yang janji. Maya tak cakap apa-apa,”
Ameer menarik tangan Laila. Membatalkan hasrat Laila untuk berbaring. Maya terduduk di hadapannya.
“Abang perlu tahu kenapa Maya macam marah sangat kat abang dua tiga hari ni?,”
“No point lah bang. Even kalau Maya cakap pun, tak ada bezanya. Abang tak akan ubah keputusan abang. Kita lupakan saja. Okay?,”
“No. Abang nak tahu puncanya,”
“Bukan baru hari ni hubungan kita macam ni, kan? Selalu macam ni. Kenapa tiba-tiba abang concern all of this? Sebelum ni pun hubungan kita, on off aje kan? Tak ada apa yang nak dirisaukan okay. Mungkin hari ni mood Maya tak okay. Esok I’ll be fine. Don’t worry, okay,”
“Takkan selamanya kita nak jalani hidup macam ni. It’s weird lah. Okay tapi tak okay. Or…tak okay tapi nampak macam okay?,”
Laila tersenyum. Berbelit ayat Ameer namun dia faham apa yang cuba lelaki itu sampaikan.
“Tak ada masalah untuk Maya lalui semua ni, bang. Abang bahagia dengan hidup abang. Dan abang juga boleh miliki Maya kan? Maya terima. Maya dah boleh terima keadaan ini,”
Ameer menghela nafas panjang. Begitu salah telahan Laila.
“Maya rasa abang bahagia? Bahagia dengan hidup abang?,”
“Abang dapat memiliki apa saja yang abang nak. Apa lagi yang abang mahu?,”
“Maya tak pernah cuba faham perasaan abang kan?,”
“Susah Maya nak faham, bang. Susah sangat. Abang cakap, abang cintakan Maya. Tapi, hakikatnya, abang buat Maya macam patung je dalam rumah ni. Maya tunggu rumah, dan abang keluar entah ke mana ,”
“Apa yang tak kena?,”Ameer bersuara tanpa mengacuhkan kata-kata itu.
Laila mengangkat muka.
“Kenapa Maya lain?,”soal Laila sekadar memulakan semula perbincangan. Dia tahu Ameer tidak suka dia menyentuh soal agenda malamnya.
Ameer mengangguk tanpa perasaan.
“Maya sunyi. Sunyi sangat. Dan, Maya rasa sedih sangat bila terang-terang depan mak, abang cakap abang tak mahu anak. Kalau ada anak, sekurang-kurangnya Maya ada teman,”
Ameer terdiam seketika. Jadi, itu puncanya. Dia mengeluh panjang. Laila turut menarik nafas dalam.
“Betul cakap Maya kan? No point. Abang tetap dengan keputusan abang. Maya tak faham kenapa abang tak mahu anak. Or…mungkin abang tak mahu anak dengan Maya…,”
Ameer tersenyum hambar. Sedikit kecewa dengan cara Laila berfikir. Ternyata isterinya ini sudah salah sangka.
“Siapa cakap abang tak mahu anak? Siapa yang kahwin tapi, tak mahu zuriat? Untuk siapa semua harta ni, kalau abang tak mahu anak?,”
“Maya dengar bang. Maya dengar abang cakap dengan mak. Maya belum pekak. Tahu?,”
“Memang Maya tak pekak. Tapi, Maya tak fikir apa yang cuba abang sampaikan. Maya Cuma ikut emosi Maya. Tak fikir…,”
Laila merengus perlahan. Jadi, sekarang, dia pula yang salah?
“Suka hati abanglah…Maya nak tidur,”
“No. Kita belum selesai,”
“Apa lagi bang? Abang tetap tak nak Maya mengandung kan? So, dah tak ada apa lagi yang nak dibincangkan,”
Ameer merenung tajam wajah Laila yang sudah mencuka.
“Kenapa Maya nak mengandung?,”soalnya tegas.
Laila diam.
“Kenapa Maya nak ada anak?,”
Dia terdiam lagi. Memang dia mahukan anak. Tetapi, apabila soalan itu terlontar padanya, dia tidak mampu menjawab. Kenapa dia mahukan anak?
“Maya cintakan abang?,”
Kelu.
“Hati Maya sudah boleh menerima cinta abang?,”
Laila tunduk. Bertambah buntu jadinya. Masih sedikit keliru dengan soalan bertubi-tubi dari Ameer.
“Kenapa Maya diam? Tak ada jawapan?,”
Laila sekadar mengerling dalam diam.
“Maya nak anak sebab Maya sunyi? Bila sunyi Maya dah hilang, apa akan jadi pada anak tu? Terbiar?,”sambung Ameer sedikit keras.
“Abang tak boleh cakap macam tu. Salah ke kita ada anak? Dah tiga tahun kita kahwin. Memang patut pun kita ada anak. Maya tak faham kenapa abang tak nak. Takkan timbul soal anak itu akan terbiar,”
Ameer menentang renungan Laila yang sedikit marah.
“Anak tu penting bagi abang. Abang tak akan bersedia untuk seorang anak pun, kalau hubungan kita macam ni. Tak ada future. Even apa akan jadi pada kita esok pun, abang tak tahu,”
“Maksud abang?,”
“Abang mahu jaminan untuk anak kita. Abang tak mahu anak kita jadi penonton sandiwara kita. Abang tak mahu letak sebarang risiko untuk anak kita,”
“Risiko apa?,”
“Abang mahu Maya benar-benar cintakan abang. Then kita bincang soal anak,”
“Maya isteri abang. Abang suami Maya. Apa yang complicated sangat pada abang? Kita dah kahwin, and patut ada anak. Senang kan? Love is nothing lah bang,”
“Pada abang tak. Abang mahu anak dari kekasih hati abang yang juga mencintai abang sepenuh hatinya. Bukan dari seorang isteri yang terpaksa menerima abang sebagai seorang suami. Abang mahu cinta Maya,”
Laila mengeluh keras. Memang Ameer tersangat jelas dengan perasaannya. Wajah Ameer yang tegas dipandang geram.
“Kalau abang tahu Maya terpaksa terima abang, kenapa abang teruskan? Dan..kenapa bila dah teruskan, abang seksa Maya macam ni? Maya sunyi bang… Maya sunyi tinggal sendirian dalam rumah sebesar ni. Abang pun…cinta tu cuma kat bibir abang saja kan? Mungkin abang sebenarnya bukan cintakan Maya. Tapi, abang geram bila Maya tak tunduk pada abang macam perempuan lain, kan? Sebab tu, abang nekad nak kahwin dengan Maya. Kalau Maya pun terima abang macam yang lain, mungkin sekarang ni, Maya dah kena tinggal. Tak mungkin abang akan kahwin dengan Maya. Kan?,”
“Jangan ungkit lagi tentang tu. Abang tak mahu dengar. Yang abang tahu, cuma satu. Maya jadi milik abang…,”
Laila menjeling geram.
“Apa yang abang mahu lagi… Maya terima cinta abang. Kita sama-sama bahagia sebab cinta. Susah sangat ke?,”
“Memang abang ni pelik. Cinta abang ada kat mana-mana bang. Abang keluar hampir setiap malam pun, sebab nak jumpa cinta abang kan? Maya tahu semua tu, bang,”
“Abang tahu Maya tahu. Maya yang tak tahu. Tak tahu hati abang. Saban hari, abang berharap sangat Maya halang abang. Cuma sekali Maya bersuara, abang akan lupakan semuanya. Itu saja yang abang nak. Abang sakit hati, bila Maya macam tak rasa apa-apa. At least tunjuk yang Maya cemburu,”
“Nonsense…,”Laila bersuara antara dengar dan tidak. Betul-betul dia tidak faham akan sikap Ameer. Sebegitu mudah lelaki itu meletakkan silap padanya atas kecurangan yang dia lakukan? Hanya kerana dia tidak halang, Ameer terus keluar mencari teman? Dan seandainya dia melarang, Ameer akan terus melupakan cinta-cintanya? Benar-benar mengarut. Semudah itukah teorinya? Sudahnya dia menarik selimut lantas menutup lampu tidur. Tidak larat melayan hujah-hujah Ameer yang pastinya akan jadi lebih mengarut nanti.
“Kenapalah Maya langsung tak nak percaya pada abang?,”
Laila menarik selimut yang menutup wajah. Merenung wajah Ameer yang tegang.
“Jawapan ada kat abang. Abang yang buat Maya tak percaya. Cinta konon. Kalau cinta, buktikan pada Maya cinta tu. Bukan tunjuk kat Maya koleksi kekasih abang kat luar sana…,”
“Bukti yang macam mana yang Maya nak?,”
“Bukti yang jauh dari harta abang. Abang ingat dengan semua tu, abang boleh beli cinta? Abang upah orang abang untuk follow setiap pergerakan Maya sebelum kita kahwin. Abang ingat Maya tak tahu? Abang upah orang.. ugut setiap kawan lelaki Maya…suruh mereka jauhkan diri dari Maya. Abang gunakan duit… suruh mak paksa Maya terima abang…Semua cara abang cuba buktikan cinta abang tu, buat Maya rasa menyampah,”
“Apa?!,”
Pantas Laila menutup semula wajah dengan selimut. Barangkali mulutnya lantang bersuara, namun untuk berdepan dengan kemarahan Ameer, dia tidak begitu berani.
“Menyampah…,”sempat dia bersuara lagi.
Melihat tingkah itu, marah Ameer sedikit menghilang. Memang hatinya membara mendengar Laila lantang bersuara. Namun, apabila difikirkan semua yang Laila katakan itu, benar belaka, tiada guna untuk dia terus marah. Sekurang-kurangnya malam ini dia tahu kenapa hati Laila sekeras itu. Laila seakan memberi sedikit petunjuk untuk dia cuba memenangi hatinya…



****

11 comments:

Anonymous said...

org 1st comment...hehehe...
best! cume dah lupe, sbb lame sgt la cte ni...

Anonymous said...

tuler..lambat sgt update..jdi lupe story nih...kene bace dari awal smule...

Anonymous said...

best2 ,,,jadi ameer buat gtu untuk nak tengok maya cemburu lah ..
hahahha..


tapi org perempuan ni cemburu dia boleh pedam lagi kalu dia mampu lagi,,hahahahha..

cepat2 sambung yer kak...
ubat rindu (PAM)

::cHeeSeCaKe:: said...

hohoho..best cite ni..
tp klu sy jd maya pon geram gak..
gunekn duit utk dptkn kite..

tp best la cite ni..lain dr yg lain..
smbung lg gak..terubat rndu kt
PAM..huhu..

nurhakim said...

eeeeeee
gram tul lah ngan diaorg nie.
npa kwen gak klau dah thu jdi cam nie??
perkhwinan yg cam nie xkan bwa bhgia pda rmah tngga..
pe2 pn enjoy n3 nie.

princess said...

rse nye mcm nk ketuk2 je kpala ameer! dh tau slh sndiri tp x nk mngaku. gram tol la kt ameer tu! kak hanni, nk lgi..

Saichou said...

one word...BEST!!

ManjaLara said...

Aku paling last komen..hahahh...
tak perasan lh cite nie dh ade n3..
jap..kasi aku baca siri ke-5 dlu..
huhu..

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali said...

saya yg terbaru..hehe emm tak sabar nk tahu ending citer ni..adakah diorang stil bersama, atau x.. tp sy hrp diorang still bersama.. cuma sama2 perlu baiki sikap masing2.. kalo ada pape, kena berterus terang.. jgn duk main pendam jer dlm hati.. kalo pendam jer, ssh la.. bnda2 dlm ni, kita xnmpak.. sbb tu kena luah..hehe

zjirha said...
This comment has been removed by the author.
zjirha said...

baru tergerak hati nak baca mimpi yg mati ni.. wowww best!.. berat kisah ni.. tp yg pasti tak lari dari tema Hanni Ramsul - rajuk

[11:35:50 PM] hos.getah: