Friday, December 12, 2008

Di Penghujung Rindu 3

Perlahan daun pintu ditolaknya. Matanya menjengah ke dalam bilik. Liar memerhati keadaan di dalam bilik yang sudah lama tidak berpenghuni itu. Segalanya masih tersusun elok. Kakinya mula mengatur langkah, memasuki bilik itu. Segalanya masih seperti dulu. Melihat katil yang tersusun rapi, dan meja yang kemas di satu sudut, hampir dengan jendela, dia bagai ternampak Hakimi sedang tekun menelaah buku di situ.
“Along! Huda tak faham ni,”
“Apa?,”
“Macam mana nak buat soalan math ni? Dah sepuluh kali Huda buat, kenapa jawapannya tak sama dengan jawapan Thirah?,”
“Huda compare dengan jawapan orang buat apa? Buatlah sendiri. Mana Huda tahu jawapan Thirah tu betul?,”
“Thirah terror math. Mestilah jawapan dia betul. Apalah Along ni,”
Hakimi menutup buku. Memandang wajahnya.
“Itu silapnya Huda. Tak yakin lansung pada diri sendiri. Kita kena yakin, apa yang kita buat tu betul. Tak boleh anggap orang pandai tak pernah salah,”
“Along ni! Nak ajar Huda, nak membebel?,”
Hakimi tersengih.
“Huda tak payah belajar ni semua pun, tak apalah. Tak ke mana pun, Huda nanti. Ayah mesti nak Huda berhenti belajar. Tunggu Huda habis SPM saja. Percayalah cakap Along,”
“Apa pulak! Huda nak belajarlah. Huda nak belajar sampai STPM lepas tu nak masuk universiti,”
“Macamlah ayah bagi. Ayah tak akan bagi punya. Abah nak Huda duduk rumah jaga dia saja,”
“Along ni! Suka cakap macam tu tau! Huda tak sukalah. Tak nak ajar sudahlah. Huda boleh buat sendirilah,”
Dia tersenyum kecil. Bagai ternampak di hadapan matanya, dia menghentak kaki ka lantai sambil memeluk buku latihan matematiknya. Kenangan. Indahnya kenangan. Dia teringat lagi, selepas itu, Hakimi berlari mengejarnya sehingga ke pantai. Hakimi memujuknya. Hakimi meminta maaf. Hakimi bercakap itu dan ini. Dan, bicara Hakimi, semuanya indah di telinganya. Ya ALLAH! Dia semakin sedar. Rindunya dia pada lelaki itu. Rindu yang teramat sangat. Rindu yang menjadi bilah belati. Perlahan-lahan menyebat hatinya. Kau rindu pada insan yang salah, Nurul Huda. Janganlah kau himpit perasaan Hakimi, dengan rasa serba-salah yang berpanjangan. Jangan kau seksa lagi lelaki itu. Hakimi pantas merasai bahagia. Akalnya mula berhujah pada hati yang semakin melemah.
“Mak su sengaja menjaga bilik ni. Mana tahu suatu hari nanti, bilik ni kembali berseri macam dulu,”
Nurul Huda sedikit tersentak. Kehadiran Mak Su Senah secara tiba-tiba, melontar jauh kenangan yang mendekat.. Dia berpaling. Mak Su Senah tercegat di ambang pintu bersama Najmi. Dia tersenyum kecil, sambil matanya meneliti setiap barang yang tersusun di bilik itu. Matanya mati pada seraut wajah di dalam bingkai gambar di atas meja. Wajah yang pernah rapat dengannya. Tiba-tiba hatinya menjadi sayu. Kenapalah rindu masih bertenggek pada lelaki ini? Perlahan dia melabuhkan punggung ke katil. Kenangan yang baru menjauh, kembali menerpa di kotak fikiran. Sudah lima tahun wajah itu tidak ditatapnya. Kuatkah dia, andai suatu hari matanya bertembung dengan mata lelaki itu? Gagahkah dia untuk untuk membuang segala kepiluan yang terhimpun di hatinya sekian lama. Mampukah dia untuk menerima lelaki itu seadanya. Mampukah dia melupakan segala kenangan yang mengikatnya dengan lelaki itu? Dan, ingatkah lagi lelaki itu padanya? Atau…. Mungkinkah Hakimi itu telah membuang jauh dirinya dari helaian kamus hidupnya? Sudah lupa pada sebaris nama miliknya?
“Huda teringatkan along?” soalan lembut Mak Su Senah, meresap ke gegendang telinganya. Nurul Huda mengangkat muka . Dia Cuma tersenyum hambar.Tidak tahu jawapan yang bagaimana harus dia berikan.
“Satu hari nanti, mungkin along akan kembali,”
Kali ini, Nurul Huda mengukir senyuman pahit. Rasanya payah untuk menjadi kenyataan segala kata-kata ibu saudaranya itu.
“Tak mungkin mak su,” bisiknya perlahan. Cukup perlahan. Seolah-olah kata-kata itu Cuma untuk dirinya sendiri. Mak su Senah melabuhkan punggung di sebelah Nurul Huda. Walau jawapan Nurul Huda itu cukup perlahan, namun, gegendang tuanya masih mampu menangkap patah bicara dari bibir Nurul Huda. Dia sebenarnya tidak faham dengan apa yang sedang bergolak di dalam jiwa perempuan ini. Dan, sebolehnya dia berusaha untuk cuba memahami anak saudaranya itu. Pelarian selama lima tahun, masih belum diketahui punca sebenarnya. Hatinya kuat mengatakan bahawa Nurul Huda bukan lari dari sini disebabkan pemergian bapanya secara tiba-tiba. Ada sebab lain yang mendorong perempuan itu menjadi pelarian di negara asing.
“Kenapa Huda cakap macam tu? Kalau along tahu Huda dah balik , pasti dia akan mencari Huda,”
Nurul Huda tersenyum hambar.Wajah mak su Senah ditatap hiba. Mak su tidak tahu apa yang berlaku. Mak su tidak akan faham. Hatinya berbisik sendirian
“Huda marahkan along ke?”
Nurul Huda menggeleng. Tidak! Dia tidak pernah marah pada lelaki itu. Dia tidak layak untuk memarahi lelaki itu. Malah dia harus berterima kasih kepada lelaki itu. Kerana bantuan lelaki itulah , impiannya menjadi kenyataan. Kalau tiada Hakimi, dia mungkin dia boleh capai segala yang dia miliki sekarang.
“Saya tak pernah marahkan abang Hakimi. Jauh sekali dendam dengan dia. Abang Hakimi pernah berkorban untuk saya. Saya terhutang budi padanya,” ujar Nurul Huda sambil menarik Najmi ke ribanya. Mak Su Senah memandang wajah itu dengan renungan yang sarat dengan rasa simpati. Yang sarat dengan rasa ingin tahu.
“Takkan Huda tak nak usahakan untuk bersama along lagi. Sudah lima tahun Huda tinggalkan semuanya. Barangkali dalam masa lima tahun ini, ada perubahan yang boleh membahagiakan Huda. Mak su tak tahu apa yang berlaku. Tapi, wajah Huda.. wajah Kimi.. Mak su tahu ada sesuatu yang tak kena. Kamu berdua berahsia. Merahsiakan sesuatu dari Maksu. Kan?,”
Nurul Huda senyum.
“Satu benda saja yang boleh membahagiakan saya. Kebahagiaan abang Kimi. Walau di mana abang Kimi sekarang, saya amat berharap dia sedang hidup bahagia,”
“Dah tu Ajim macam mana?”
Nurul Huda diam. Pipi Najmidicium bertalu. Soalan itu dibiarkan sepi. Mak su Senah mengeluh perlahan.
“Sapa ni mama?”soalan Najmi membuat Nurul Huda semakin kelu. Dia Cuma memandang Najmi yang leka menatap foto Hakimi. Mak su Senah menatap wajahnya. Menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutnya barangkali. Sudahnya dia Cuma mengusap lembut rambut anak tunggalnya itu tanpa jawapan.
“Mama!”
“Ya sayang. Apa dia?”
“Who is this?” mulut kecil itu mengulangi soalan yang sama. Membuat lidahnya semakin kelu. Dia menelan liur. Mengerling ke arah Mak Su Senah yang sedia menanti jawapannya.
“Your uncle,”jawab Nurul Huda pendek. Mak su Senah mengeluh perlahan. Nurul Huda bungkam. Dia sebenarnya serba salah. Tidak tahu jawapan yang bagaimana harus diberi bagi menjawab soalan anak kecilnya itu.
“Ajim keluar dulu ya. Mama nak kemas bilik. Just for a while.Ok?”
“Ajim tolong?,”
“No..no.. tak payah. Ajim, kemaskan your toys. Okay?,”
Najmi mengangguk sambil berlari keluar. Nurul Huda menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya tiada lagi soalan bakal keluar dari mulut kecil itu. Dan dia pula,tidak terus menipu anak sekecil itu.
“Tak baik menipu budak kecil macam tu, Huda…,” Mak Su Senah mula bersuara. Meluahkan ketidakpuasan hatinya.
“Saya tahu mak su. Tapi, saya nak buat macam mana? Kalau saya cakap benda yang betul, nanti lain pula jadinya. Saya pun tak suka nak menipu macam ni, mak su,”
“Itu sebabnya mak su cakap… Huda mesti cari Hakimi. Dia berhak tahu. Ajim pun berhak tahu. Kan senang macam tu,”
“Mak su tak faham…” Nurul Huda bersuara lemah. Ayatnya tinggal tergantung. Tidak tahu bagaimana hendak dijelaskan perkara sebenar kepada mak su Senah.
“Apa lagi yang mak su tak faham? Huda tolong jelaskan pada mak su. Biar mak su faham,”
Nurul Huda menarik nafas panjang. Wajah mak su Senah dipandangnya. Agak lama. Perlahan dia menggenggam jemari ibu saudaranya itu.
“Tak ada apa-apa mak su,” ujarnya bersama sekuntum senyuman yang mekar di bibir. Mak su Senah mencebik marah. Jemari Nurul Huda dipukulnya geram.
“Auch! Sakitlah mak su,” rengek Nurul Huda sambil menggosok jemarinya yang terasa pedih.
“Rasakan. Nak mainkan mak su ya,” balas mak su Senah dengan wajah yang serius. Nurul Huda tergelak kecil. Tubuh mak su Senah dirangkul mesra.
“Ala… mak su janganlah marah. Tengok.. dah bertambah kedut kat muka ni haa…,”
“Panda ilah kamu ambil hati ya,” mak su Senah bersuara sambil menyembunyikan senyuman yang hampir mekar.
“Haa… macam tulah,”ujar Nurul Huda sambil ketawa. Sudahnya mak su Senah turut tergelak. Agak lama tawa pecah antara mereka, sebelum masing-masing kembali menyepi.
“Along pernah pulang ke sini dulu,” tiba-tiba mak su Senah bersuara. Nurul Huda berpaling. Menatap wajah mak su Senah. Khayalannya pecah dek kata-kata Mak Su Senah itu.
“Sebulan selepas arwah ayah Huda meninggal. Dua hari selepas Huda hilang entah ke mana,”Mak Su Senah menyambung cerita, walaupun, Nurul Huda tidak bertanya. Nurul Huda tunduk.
“Lama ke Abang Kimi balik?”hampir tidak kedengaran soalan itu di telinga Mak Su Senah.
“Lama juga. Dia tanyakan Huda. Tapi… mak su nak cakap apa. Mak su pun tak tahu ke mana Huda pergi. Lepas tu, ada juga beberapa kali dia datang. Tanya mak su mana Huda pergi. Agaknya bila dah selalu sangat mak su cakap tak tahu… dia jadi jauh hati. Sampai sekarang dia tidak pulang ke sini,”
Nurul Huda diam. Hakimi datang mencarinya? Untuk apa? Dia tersenyum pahit.
“Dia pulang seorang ke?,”
“Yalah. Dia nak pulang dengan siapa lagi?,”
Nurul Huda tersenyum. Melihat kening Mak Su Senah yang berkerut seribu.
“Janganlah buat macam tu Maksu. Bertambah lagi kedut kat muka tu,”
Kata-kata itu, disambut dengan satu pukulan di bahunya. Membuat dia menyeringai menahan pedih.
“Sakit, Maksu,”
“Rasakan,”
Nurul Huda tergelak kecil.
“Huda nak tinggal di sini ke?,”
Nurul Huda memandang wajah tua di hadapannya. Mak Su Senah sudah mengubah topic perbualan.
“Saya ada interview kat KL,”
Mak Su Senah megeluh.
“Ingat nak duduk sini, dengan Maksu,”
Nurul Huda tersenyum manis sambil menarik tubuh tua itu ke dalam pelukannya.
“Saya janji, akan selalu pulang jenguk Maksu. Lagipun, Jamal kan ada…,”
“Memanglah Jamal ada. Tapi, Maksu ingat Huda nak balik uruskan perniagaan yang arwah Huda tinggalkan ni,”
“Hmm… Biar sajalah Jamal yang uruskan. Lagipun, selama ni, Jamal yang uruskan segalanya kan?,”
“Betul tu memanglah betul. Tapi, Jamal buat semua tu, sebab kamu tak ada. Hakimi pula hilang entah ke mana. Sekarang bila kamu dah pulang, seeloknyalah Jamal serahkan segalanya pada kamu semula,”
Nurul Huda menggeleng laju.
“Tak nak. Mana boleh macam tu. Jamal yang bersusah payah selama ni, kan? Saya Cuma akan tengok dari jauh saja. Saya yakin pada Jamal. Lagipun, dari Cuma uruskan bot-bot nelayan, Jamal dah buat perternakan ikan dalam sangkar. tanah di darat sana, saya tengok semalam, dah kadi ladang sayur. Kolam ikan air tawar pun banyak juga saya tengok. Semuanya usaha Jamal kan?,”
Mak Su Senah tersenyum kecil.
“Dia Cuma buat apa yang patut saja, Huda. Sebab Huda beri dia hak untuk dia uruskan segalanya sebelum Huda hilang dulu. Dia dah cakap dengan Maksu, kalau Huda dah balik, dia akan serahkan semuanya pada Huda semula,”
“Sebahagiannya memang milik Jamal, maksu. Saya Cuma pemilik tanah. Tapi, hasil dari tanah saya, semuanya usaha Jamal. Biarlah Jamal uruskan segalanya. Cuma, kalau dia perlukan bantuan saya, saya akan tolong,”
“Kamu ni… susah nak pujuk,”
Nurul Huda tergelak kecil.
“Oh ya. cakap pasal Jamal. Dah dua hari saya tak Nampak dia. Mana dia pergi?,”
“Tanah kamu kat Kuala Berang sana. Hari tu, dia ada merancang nak buat ladang ternak kambing. Dia ke sanalah. Tengok tempat. Cari tanah untuk disewa,”
“Kenapa?,”
“Nak tanam rumput…,”
Nurul Huda mengangguk perlahan. Kagum dengan usaha sepupunya itu.
***

5 comments:

atashinci said...

best......
cpt2x smbung
cam ne pon nak PAM gak

Anonymous said...

anak huda imran najmi ke faiz?
blur dah bila bc part 3 nie...

norul'ainmatsom said...

ape terjadi ngan huda??
k hanni cptla smbg cite ni..
sy tertanya2 la..
misteri sgt...

Hanni Ramsul said...

THANKS UNTUK TEGURAN ATAA KERALATAN DI ATAS. HEHEHE. SO, SORRY. NAME MISTAKE ARR...

SEBENARNYA, CITER NI, BYK SGT VERSINYA, N BYK KALI TUKAR NAMANYA. SILAP TAIP YA. SO, SEKARANG SAYA DAH BETULKAN. TERIMA KASIH PADA ANONIMOUS YA.

SO, SEKARANG NAMANYA IMRAN NAJMI. SILA TEGUR SEANDAINYA KESILAPAN SAMA BERULANG LAGI YA.

THANKS SBB ALERT TU SEMUA...

misz nana said...

apa agaknya yg terjadi antara hakimi n huda ek?
curious gak ni..

[11:35:50 PM] hos.getah: