Aku terus berdiam diri sehingga ke
bilik tidur. Terus tidak bersuara sehinggalah Encik Firdaus muncul bersama baju
tidurnya. Sudah siap tukar pakaian. Aku pula terus mematung di hadapan cermin.
Terpaku memandang imej sendiri. Cuba tenteramkan perasaanku yang sudah mula
berliku-liku. Sentuhan lembut di bahu membuat aku mendongak. Encik Firdaus
tersenyum tenang. Aku cuma membalas dengan sekuntum senyum yang sedikit hambar.
Sangkaku semuanya telah berakhir. Sangkaku Puan Sri Ainul tidak akan
menggangguku lagi.
“Abang suka…,”tiba-tiba kata-kata
itu meniti di bibir Encik Firdaus. Bersama satu kucupan lembut di kepalaku.
Aku masih tidak bersuara. Kurang
mengerti dengan kata-kata itu. Juga dengan senyum manis Encik Firdaus itu. Lebih
dari itu, kepalaku sibuk memproses rasa geram yang belum hilang.
“Suka apa, bang?,”
“Perubahan Tiya. Tiya dah semakin
matang. Macam tulah isteri abang,”
Aku berpaling. Memandang wajah itu
agak lama. Aku semakin matang? Sungguh aku tidak mengerti apa yang Encik
Firdaus maksudkan.
“Tiya tak faham,”sudahnya aku
berterus-terang.
Encik Firdaus tersenyum.
“Makan malam tadi. Tiya dah boleh
terima gurauan mama Mia. Abang bangga dengan Tiya,”
Aku diam. Penjelasan itu membawa aku
pada satu wajah dan satu lakonan yang membuat aku membisu sehingga ke saat ini.
Mengingatkan aku pada satu acara makan malam yang membuat aku makan hati.
Aku terus memerhati dengan hati yang galau. Merenung
suapan Encik Firdaus yang kelihatan begitu berselera. Terlalu sedapkah hidangan
yang Mia sediakan ini? Tumpuan aku beralih kepada Mia. Mia leka dengan
suapannya. Berpaling ke arah Puan Sri Ainul, aku sedar ada senyum sinis yang
aku tahu ditujukan khusus untuk aku di situ. Aku menunduk. Memandang nasi di
pinggan.
“Berselera betul Fir makan, ya?
Takkan Adiya tak pernah masak masakan macam ni?,”
Aku diam. Puan Sri Ainul sudah mula
mencucuk jarum pada sekeping hatiku yang sudah sedikit walang. Aku tahu itu
bunga-bunga sindiran yang mahu ditabur ke hatiku.
“Dah lama tak makan masakan Mia,
aunty. Itu yang berselera tu,”
Sungguh. Jawapan Encik Firdaus
membuat hatiku sedikit tercalar. Aku mengerling sekali lagi. Terpamer sekuntum
senyum puas di bibir Puan Sri Ainul. Telahanku ternyata tepat. Undangan makan
malam yang serba ringkas ini, memang sengaja Puan Sri Ainul aturkan untuk terus
menyakiti hatiku.
“Alah… bukan jauh pun. Ajaklah Diya
datang ke sini selalu. Cakap aje you nak makan apa, nanti I akan masakkan. You
too Diya. Kalau nak makan apa-apa, order aje. Nanti I masakkan,”Mia mencelah
bersama senyum lebar. Aku pula tersenyum kelat.
“Itulah. Kalau jadi menantu
aunty…kan dapat makan macam ni, hari-hari,”
Sudu dan garfu terus aku letakkan di
pinggan. Sungguh aku hilang selera. Sungguh aku mahu berlalu saat ini juga.
“Mama… tak baiklah cakap macam
tu…,”suara Mia yang mencelah tiba-tiba, tidak dapat melenyapkan segunung rasa
kurang senangku. Aku benci Puan Sri Ainul! Noktah!
“Mama gurau ajelah. Aunty gurau aje
Fir…Adiya… Jangan ambil hati ya,”
Menyedari sepasang mata itu tajam
merenungku, aku tersenyum kecil. Kemudian menggeleng perlahan.
“Saya tahu Puan Sri gurau aje,”aku
berbasa-basi dalam senyum penuh sandiwara.
“Aunty… tak payahlah panggil Puan
Sri. Anggap aje aunty ni macam family Adiya juga. Lagipun, Fir ni memang aunty
dah anggap macam anak aunty sendiri. Aunty memang sayang sangat pada Fir ni,”
Ulang tayang yang bermain di kepala
itu membuat aku tersenyum dalam jelak. Teringat pada senyumanku seterusnya.
Juga pada bicaraku yang penuh kepura-puraan demi melayan lakonan hebat Puan Sri
Ainul. Sungguh itulah makan malam paling teruk pernah aku lalui. Sumpah!
Selepas ini, andai ada undangan daripada
wanita elit itu lagi, aku tidak akan sesekali munculkan diri.
“Senyum pula?,”
Teguran itu memadam perlahan-lahan
wajah Puan Sri Ainul yang tidak ubah seperti raksasa di dalam ruang
imaginasiku. Wajah Encik Firdaus aku amati tanpa suara. Melihat wajah ceria itu
tidak sampai hati untuk aku calarkan dengan kesangsianku. Ternyata Encik
Firdaus terlalu berharap agar hubungan aku dengan ibu kepada teman tetapi
mesranya itu terus baik. Encik Firdaus langsung tidak nampak ada niat tidak
baik bertamu di hati wanita itu. Namun, aku tidak boleh salahkan Encik
Firdaus. Barangkali keakraban mereka
yang membuat Encik Firdaus gagal menebak. Ditambah pula dengan lakonan hebat
Puan Sri Ainul.
“Abang rasa memang ibu Mia bergurau
ke?,”soalku sambil menongkat dagu merenung pantulan wajahku di cermin.
Daripada pantulan imej Encik Firdaus
di cermin, aku dapat melihat Encik Firdaus mengangguk perlahan.
“Mama Mia memang suka bergurau. Dari
dulu lagi,”tambah Encik Firdaus lagi.
“Abang rapat dengan dia?,”
“Siapa?,”
“Puan Sri Ainul…,”ujarku lemah.
“Aunty Ainul tu kawan lama mummy and
abah. Dah cukup lama kami kenal. Abang hormat pada dia, macam abang hormat pada
mummy…pada mak…,”
Aku terus terdiam. Tidak berani lagi
bercakap tentang Puan Sri Ainul apabila sebegitu sekali rasa hormat Encik
Firdaus pada wanita itu. Tidak mahu nanti Encik Firdaus tersinggung dengan
kritikanku. Walau apa pun yang cuba Puan Sri Ainul lakukan padaku, biarlah aku
hadapi sendirian. Aku yakin, selagi cinta Encik Firdaus teguh buatku, kata-kata
Puan Sri Ainul langsung tidak membawa makna padaku. Aku pandang jauh ke dalam
sepasang mata milik Encik Firdaus. Sungguh aku yakin pada cinta lelaki ini…
hatiku berbisik sendiri.
“Kenapa ni?,”
Aku menggeleng perlahan. Senyum
segera aku maniskan. Kemudian aku tarik muka masam tiba-tiba. Membuat kening
Encik Firdaus mula berkerut.
“Aik?,”
Aku menjeling. Perlahan mengangkat punggung
meninggalkan Encik Firdaus tercegat di hadapan meja solek. Langkah kuhalakan ke
arah almari. Mencapai tuala.
“Tadi senyum, tiba-tiba masam pula?
Kenapa ni, sayang?,”
Aku menjeling sekali lagi. Namun
tidaklah setajam mana. Jelingan yang membuat Encik Firdaus tersengih panjang.
“Jangan jeling abang macam tu.
Bahaya…,”usik Encik Firdaus sambil tersenyum nakal. Membuat bibirku turut
terukir senyum. Sudahnya aku berpaling memandang tepat ke wajahnya sambil
berpeluk tubuh. Encik Firdaus mengangkat kening.
“Sedap sangat ke masakan Mia
tadi?,”soalku sambil terus berpeluk tubuh.
Encik Firdaus tergelak halus. Terus
melangkah merapatiku.
“Abang salahlah ni?,”soalnya sambil
perlahan memelukku. Belum apa-apa sudah mengaku kalah.
“Mestilah…,”balasku dengan nada
serius yang dibuat-buat. Memang aku sedikit terkesan dengan pujian Encik
Firdaus tadi, tetapi tidaklah sampai mahu merajuk panjang.
“Nak kena dendalah ni?,”
“Mestilah…,”
Encik Firdaus tersenyum lagi. Terus
merenungku dengan renungan yang cukup mendamaikan.
“Tak mahu denda yang berat-berat
ya…,”pintanya perlahan. Aku mengerling.
“Makan macam sedap sangat aje, Tiya
tengok,”aku mengomel perlahan. Memang geram aku melihat aksi Encik Firdaus
menikmati masakan Mia tadi.
“Sebab abang lapar kot?,”
“Tak… sebab abang memang betul-betul
suka masakan tu kan?,”
Encik Firdaus diam. Merenung terus
wajahku. Cuma, kali ini, senyumnya tidak selebar tadi.
“Abang sakitkan hati Tiya ke?,”soalnya lembut sambil
mengelus rambutku. Aku diam seketika. Tidak sangka perkara yang ingin kubawa
sebagai satu usikan tadi, sudah bertukar sedikit serius. Apa pun yang
melibatkan emosi, memang akulah juaranya. Sekali lagi aku dera perasaan Encik
Firdaus dengan emosiku yang tidak stabil.
“Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Tiya. Abang
minta maaf ya. Lepas ni abang tak akan makan apa pun makanan yang Mia masak,”
“Betul?,”soalku sambil mengangkat kening.
“Betul, sayang…,”
Aku tersenyum. Terus memandang wajah Encik Firdaus
yang sudah serius.
“Ingat Tiya kejam macam tu ke?,”soalku bersama
senyum meleret. Sekali lagi kening Encik Firdaus berkerut.
“Sayang ni, macam-macamlah. Kenapa pelik sangat
malam ni?,”
Aku tersengih.
“Tiya tahu Mia dan abang kawan lama. Takkanlah Tiya
nak abang putuskan hubungan tu. Cuma, abang tu, janganlah puji lebih-lebih
masakan Mia tu. Depan Tiya pula tu. Janganlah tunjuk sangat pada Tiya, abang
suka sungguh masakan Mia tu. Tiya tahulah Tiya tak pandai masak. Bila abang
buat macam tu, Tiya rasa tak sedap hati…,”akhirnya aku berterus-terang tentang
perasaanku.
“Larangan ditarik balik ke ni?,”usik Encik Firdaus
senang. Aku mengangguk sambil menjeling manja.
“Macam-macam isteri abang ni…,”gumamnya perlahan
sambil mengusap pipiku. Aku tersenyum senang.
“Nanti Tiya belajar buat semua makanan kegemaran
abang ya. Tak boleh jadilah macam ni. Tiya kena belajar masak…,”
Encik Firdaus tersenyum panjang.
“Abang tak mahu paksa. Apa pun yang Tiya nak buat,
abang tak akan halang. Cuma, abang nak Tiya selalu ingat. Walau macam mana pun
Tiya, abang tetap cintakan Tiya. Ingat tu…,”
“Tiya tahu. Cuma, Tiya nak jadi isteri yang lebih
baik. Tiya nak tengok abang makan masakan Tiya macam abang makan masakan Mia
tadi,”
“Jangan risau. Bukan masakan aje abang makan. Dengan
Tiya sekali pun abang akan makan nanti,”
Aku tergelak besar.
“Mengarutlah tu!,”ujarku sambil jegilkan mata. Encik
Firdaus turut tergelak. Pelukan yang sedikit erat itu, aku leraikan perlahan.
“Tiya nak mandilah,”aku bersuara. Encik Firdaus
meleraikan pelukan.
“Cepat sikit…,”bisiknya di telingaku membuat
jantungku berdegup sedikit kencang. Melawan panahan matanya, aku tersenyum
malu. Dan, apabila satu kenyitan nakal dihadiahkan buatku, laju langkah kubawa
ke bilik air. Tidak sanggup untuk terus berdepan dengan renungan yang begitu
mempesona itu. Sungguh hebat renungan hero hatiku ini…
*****
5 comments:
hehe so sweet en firdaus nie...
tp dah mula gerraammm kt puan sri ainul nihhh...adeiiii
<~ bnyk mkn hati berulam jantung pisang laa tiya lepas nie...
~> keep it up kak hanni
#nana jamil#
“Dah lama tak makan masakan Mia, aunty. Itu yang berselera tu,”... sungguh.. kalau saya ditempat tiya, memang akan terluka sangt2x. mentang2x tiya tak mahir memasak.
tiya harus kuat semangat & dah tiba masa upgrade skill memasak. belajar lebih lagi apa yg mia ada, kalaulah tiya sayang dgn encik hubby...lah..
hehehe.. geram dgn puan sri ainul ni.. mcmlah mia sorg aje yg pandai memasak....
thanks hanni..
sweet sangat kak..syok2x...heheh
Okay. First of all, sy sgt sgt suka. Sweet sgt. 2nd of all, kak, jgn lewat sgt sambung. Sy tgu je update akak. Pls. Baca entries akak boleh buat mood sy jd sgt baik.
amboii puan sri, syokny masuk jarum,.pe la encik fir ni,cam x alert je ngan perasaan tiya,.pe2 pon tiya kne usaha lbeh lgi bg update skill cooking tu keke
Post a Comment