Wednesday, July 11, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 15

Aku tetap juga cuba sedapkan hati sendiri. Sejujurnya, hatiku kurang enak dengan pandangan daripada teman ibu mertuaku ini. Bagai ada yang tidak kena dengan renungannya. Sudah berderet prasangka yang muncul di hati. Namun, mengingatkan nasihat Encik Firdaus agar sentiasa positif, prasangka itu aku campak jauh-jauh. Rasa resah cuba aku hilangkan. Sesekali aku memandang ke arah pintu butik. Berharap agar ibu mertuaku muncul dengan segera. Sungguh aku tidak pandai melayan teman baiknya ini. Lebih-lebih lagi dia tidak langsung menunjukkan keramahannya.
            “Duduklah Puan Sri. Mummy keluar kejap. Puan Sri nak tunggu mummy ke?,”aku bersuara sesopan mungkin.
            Puan Sri Ainul membuang pandang. Amboi! Main jeling-jeling pula. Hati merungut lagi. Namun, tetap juga aku melabuhkan punggung ke kerusi kayu jati di tengah-tengah ruang butik.
            “Puan Sri nak minum apa-apa?,”
            Sekali lagi mata berhias cantik itu, menjeling padaku. Kemudian memandangku dari atas ke bawah. Terkebil-kebil aku melihat tingkahnya itu. Pelik perempuan ini.
            “Pelik juga. Apalah yang dipandang Firdaus tu ya?,”tiba-tiba meluncur kata-kata itu dari bibir yang berkilat dengan lip gloss berwarna pink muda itu.
            Aku termangu seketika. Sungguh tidak faham dengan soalan tergantung yang tiba-tiba muncul itu. Aku mengangkat kening. Mohon sedikit penjelasan agar aku tidak terus terpinga-pinga tidak faham.
            “Kamu kahwin dengan Firdaus tu, atas sebab apa ya? Nak jadi macam sekarang? Duduk goyang kaki di rumah? Kemudian  jadi menantu kesayangan macam ni?,”
            Senyumku mati perlahan-lahan. Soalan itu kedengaran sedikit tidak sopan. Siapa Puan Ainul untuk mempertikaikan tujuan aku berkahwin dengan Encik Firdaus? Apa pula hak dia untuk mencampuri hal yang begitu peribadi?
            “Kenapa Puan Sri tanya macam tu?,”soalku lembut. Cuba untuk tidak terlalu mengikut perasaan.
            Wanita di hadapanku ini sekadar menjongket bahu.
            “Sebab saya rasa orang macam kamu ni, tak layak untuk Firdaus. You’re nothing kalau nak dibandingkan dengan anak saya. Tak fahamlah kenapa Firdaus boleh terpikat dengan orang macam ni,”
            Aku menahan nafas. Ini sudah sampai tahap menghina. Mak! Ada orang hina Tiya! Hatiku sudah menjerit geram.
            “Saya hormat Puan Sri sebagai kawan kepada keluarga mertua saya. Juga sebagai orang yang lebih tua dari saya. Tapi, rasanya apa yang Puan Sri cakap tu, agak keterlaluan. Puan Sri tak ada hak nak hina saya macam tu,”
            Tiba-tiba agak kuat Puan Sri Ainul menepuk meja. Membuat aku tersentak. Kuatnya perempuan ni.
            “Saya ada hak! Bila hak anak perempuan saya dirampas macam tu saja, saya ada hak untuk bertindak!,”
            Terkebil-kebil aku memandang wajah Puan Ainul yang sudah memerah. Marahkan aku barangkali. Dan lagi, hak Mia dirampas? Apa kena dengan orang tua ni?
            “Tapi, Mia dengan Firdaus tak ada apa-apa hubungan,”aku bersuara membela diri. Sungguh tidak dapat aku terima apa yang sedang wanita ini sampaikan. Aku tidak pernah merampas hak sesiapa. Jelas Mia mengatakan yang dia dengan Encik Firdaus cuma teman akrab. Tidak lebih daripada itu. Jadi, sungguh tidak munasabah tuduhan yang aku terima saat ini! Renunganku kini aku rasakan sudah sama tajam dengan renungannya. Kalau mahu ajak bertumbuk pun, saat ini aku sanggup.
            “Hubungan mereka dah bertambah baik. Tapi, kau muncul dan musnahkan semuanya!,”
            Aku diam. Cuba memujuk diri sendiri agar lebih bersabar. Kalau tidak memikirkan wanita di hadapanku ini kenalan rapat keluarga Encik Firdaus, rasanya aku tidak akan menjadi selembut ini.
            “Kita tak boleh lawan kehendak takdir, Puan Sri…,”dengan berat hati, aku cuba berdiplomasi. Cuba beralah walau hati saat ini mendidih bukan kepalang.           
            “Siapa kata tak boleh?,”laju Puan Sri Ainul memintas.
Aku terdiam. Menelan liur perlahan-lahan. Sungguh aku tidak pernah menduga, suatu hari nanti aku akan berdepan dengan situasi begini. Mungkin ini bunga-bunga halangan di dalam perkahwinanku? Tidak. Aku tidak mahu ada sedikit kesukaran pun di dalam perjalan hidup aku dan Encik Firdaus. Aku cuma mahu menganyam bahagia bersamanya.
            “Saya yakin, satu hari nanti, Firdaus akan jadi menantu saya. Kita tengoklah setakat mana Firdaus boleh bertahan dengan orang macam kamu ni,”
            Aku mengangkat muka. Merenung tajam pada wajah yang sedang tersenyum sinis itu.
            “Kenapa dengan saya?,”soalku sedikit berang. Hampir hilang sudah sabarku.
            “Mia jauh lebih elegan berbanding kamu. Jauh lebih cantik. Jauh lebih bijak memenangi hati lelaki. Pasti nanti Firdaus akan kembali pada Mia juga,”
            Aku menggigit bibir. Sakitnya hati mendengar patah demi patah perkataan itu.
            “Saya yakin dengan cinta suami saya, Puan Sri. Jadi, rasanya tak perlulah Puan Sri susah-susah datang cari saya, kemudian cuba nak sakitkan hati saya. Cuba nak huru-harakan rumahtangga saya,”
            Puan Sri Ainul tergelak panjang.
            “Lelaki ni… mudah saja nak berpaling kalau ada bidadari di hadapan mereka. And, between you and Mia… Mia lah bidadari tu,”
            Aku menahan nafas. Keterlaluan sungguh perbandingan ini. Mahu saja aku cubit bibir kecil yang teroles lip gloss cantik itu.
            “Mia tak pernah ada perasaan pada Firdaus dan Firdaus juga tak pernah ada perasaan pada Mia,”aku bersuara geram.
            “Saya tahu, jauh di dalam hatinya, dia memang sayangkan Firdaus. Cuma Firdaus terlalu buta untuk menilai antara kaca dengan permata. Mungkin kamu yang muncul dan singkirkan perasaan dia pada Mia. Kamu yang rosakkan hubungan mereka. Kamu yang buat hidup Mia tak macam dulu,”
            Aku kelu. Lidah bagai benar-benar tidak mampu melafaz kata. Mungkinkah Mia memang ada menaruh perasaan pada Encik Firdaus? Benarkah begitu? Bagaimana pula dengan luahan Mia tentang perasaannya pada Abang Kamal? Adakah itu semua sekadar untuk menghilangkan rasa cintanya pada Encik Firdaus? Jantungku berdegup tiba-tiba. Sekali lagi aku layangkan pandangan pada Puan Sri Ainul. Mencari kebenaran di sebalik kata-kata yang lancar meniti di bibir wanita itu. Sungguh Puan Ainul bijak membuat perasaanku menjadi kacau-bilau.
            “Mia tak macam dulu? Apa maksud Puan Sri?,”
            Puan Sri Ainul kulihat sekadar mencemik bersama renungan penuh kebencian.
            “Dengar sini budak… aku akan pastikan bahagia yang kau rasa sekarang, akan jadi milik anak aku. Faham tu?,”Puan Sri Ainul mula mengugut. Membuat aku kecut perut.
            Aku mahu bersuara lagi, namun bunyi loceng yang bergemerincing menandakan pintu dibuka oleh seseorang. Ibu mertuaku muncul di situ. Wajah kelat Puan Sri Ainul pun sudah berubah manis. Membuat hatiku membeku.
            “Puan Sri… dah lama datang ke? Kenapa tak call dulu?,”ramah ibu mertuaku menyapa. Laju mendapatkan teman baiknya itu. Aku terus kaku di kerusi melihat ibu mertuaku berpelukan dengan Puan Sri Ainul.
            “Kebetulan saya lalu kat area ni. Saja singgah. Tak apa… awak tak ada, saya sembang dengan menantu awak ni. Boleh juga berkongsi cerita. Tak gitu Adiya?,”bersama senyum manis Puan Sri Ainul memulakan lakonannya. Aku tersenyum kecil. Malas mahu turut menjadi pelakon.
            “Puan Sri cari mummy tadi. Since…mummy dah ada kat sini, Tiya nak keluar kejap ya. Nak lunch,”aku bersuara sambil mengangkat punggung. Tidak mahu terus menghadap wajah bermuka-muka itu.
            “Laa…. Tadi mummy tanya kalau-kalau nak pesan apa-apa, Tiya cakap tak nak. Tak lapar,”
            Aku tersenyum.
            “Tiba-tiba lapar…,”
            “Hmmm… nak mummy temankan? Boleh kita lunch together. Puan Sri? You dah lunch?,”
            Laju aku menggeleng.
            “Tak payah susah-susah mummy. Lagipun, rasanya Tiya nak lunch dengan abang Firdaus,”
            “Yalah. Suka hatilah,”
            Aku tersenyum lega. Bergerak mencapai beg tangan di belakang kaunter.
            “Tiya pergi dulu, mummy. Puan Sri, saya pergi dulu ya?,”
            Dua wajah itu mengangguk sambil tersenyum lebar. Aku pula terus melangkah pergi. Tidak mahu menoleh memandang wajah Puan Sri Ainul lagi.


*****


            “Marahkan abang lagi ke?,”   
            Aku diam. Mahu berterus-terang bahawa aku memang marah, rasanya marahku seperti tidak bertempat. Mahu menafikan pula, perasaanku benar-benar tidak tenteram dengan apa yang berlaku tengahari tadi. Mendengar cerita daripada Puan Sri Ainul dan mendapat tahu pula Encik Firdaus sedang makan tengahari bersama Mia, hatiku benar-benar terusik. Kata-kata Puan Sri Ainul mula meracuni perasaanku.
            “Marahlah tu…,”Encik Firdaus bersuara lagi. Bergerak menghampiriku di balkoni. Aku berpaling memandang wajah Encik Firdaus.
            “Selalu ke abang makan tengahari dengan Mia?,”soalku lambat-lambat.
            “Selalu juga. Tadi, abang ajak Tiya join sekali, Tiya tak nak,”
            Aku tersenyum kelat.
            “Tak naklah kacau daun,”balasku sambil mengalihkan pandangan ke arah bintang di langit.
            “Itu yang abang tak suka dengar tu. Kacau apa pula ni? Tiya cakap apa ni?,”lembut Encik Firdaus menegur. Aku tahu dia kurang senang dengan kata-kataku. Encik Firdaus bergerak menghampiriku. Mengeluh panjang sambil memegang bahuku. Memalingkan tubuhku supaya berhadapan dengannya.
            “Satu saja yang abang minta dari Tiya. Jangan salah sangka hubungan abang dengan Mia. Tiya tahu benar apa yang berlaku antara abang dengan Mia, kan?,”
            Aku pandang wajah Encik Firdaus agak lama. Teringat semula kata-kata Puan Sri Ainul. Mia memang ada menyimpan perasaan pada Encik Firdaus. Kalau kata-kata itu benar, bagaimana?
            “Kalau Mia memang sukakan abang, macam-mana?,”soalku perlahan.
            Encik Firdaus mengeluh panjang. Daripada keluhannya aku dapat rasakan Encik Firdaus sudah mula bosan dengan kerenahku. Dengan cemburuku yang tidak bertempat. Tetapi, kalau Encik Firdaus mendengar kata-kata Puan Sri Ainul, masihkah dia menganggap cemburuku ini tidak kena pada tempatnya?
            “Okay. Kita jangan bincang lagi pasal ni. Anggap Tiya tak cakap apa-apa ya?,”laju aku bersuara sambil menggenggam jemari Encik Firdaus. Tidak mahu panjangkan cerita apabila wajah Encik Firdaus sudah sedikit muram.
            “Bukan semudah tu, Tiya. Setiap kali Tiya macam ni… hati abang jadi resah. Tiap kali Tiya ragu-ragu pada abang, abang rasa sedih,”
            Aku membisu. Selalunya Encik Firdaus cuma alunkan kata-kata indah untukku. Tetapi, malam ini, Encik Firdaus seolah-olah meluahkan rasa kecewanya. Aku tertunduk. Mula diamuk rasa bersalah. Akukah yang bersalah kerana terlalu mudah termakan dek kata-kata Puan Sri Ainul? Akukah yang bersalah kerana sewenang-wenangnya sekali lagi meletakkan curiga di hati? Tetapi aku tidak dapat lari daripada memikirkan kemungkinan yang mungkin timbul.
            “Tiya minta maaf, bang,”
            Encik Firdaus diam. Cuma memaut bahuku rapat padanya.
            “Jangan minta maaf lagi dengan abang. Cuma, lepas ni, tolonglah yakin dengan abang. Sebagai isteri, Tiya kena percayakan suami Tiya. Kalau tak ada kepercayaan, hubungan kita tak akan kuat. Tiya kena ingat tu,”
            Aku diam dalam pelukan Encik Firdaus. Kalaulah semudah itu untuk menanam kepercayaan di hati. Sebenarnya aku sudah mula boleh menerima keakraban antara Encik Firdaus dan Mia. Tetapi Puan Sri Ainul muncul dan ranapkan segala usahaku itu. Jadi, wajarkah aku yang dipersalahkan?
            “Abang…,”
            “Hmmm…,”
            Aku diam seketika. Masih berfikir sama ada mahu menceritakan pertemuan aku dengan Puan Sri Ainul atau tidak. Tetapi, apabila mengingatkan reaksi Encik Firdaus ketika aku bercerita tentang ibu Mia tempoh hari, aku batalkan niat itu. Barangkali aku tidak boleh terlalu memberatkan fikiran dengan perkara yang kurang pasti. Membabitkan Encik Firdaus di dalam perkara sebegini pun, rasanya tidak wajar. Biarlah aku diamkan sahaja. Encik Firdaus baru sahaja membicarakan soal kepercayaan. Soal keraguan. Jadi, tidak wajar aku timbulkan lagi perkara-perkara sebegini.
            “Sayang ada nak cakap apa-apa ke?,”
            Aku menggeleng. Memandang wajah Encik Firdaus sambil tersenyum. Mahu mengubati hati Encik Firdaus yang sedikit terguris. Perlahan aku lingkarkan tanganku ke lehernya.
            “Tengahari tadi, abang cakap abang lunch dengan Mia, sebab ada hal. Apa halnya?,”soalku sambil mengangkat kedua-dua kening.
            Encik Firdaus tersenyum. Tangannya memaut pinggangku.
            “Nak tahu ke?,”
            Aku mengangguk.
            “Pasal abang Kamal sayanglah…,”ujar Encik Firdaus sambil meleraikan pelukannya. Melangkah meninggalkan balkoni. Aku bergerak laju mengekorinya.
            “Pasal Abang Kamal?,”soalku penuh minat.
            Encik Firdaus mengangguk. Melabuhkan punggung ke sofa sambil mula membuka buku yang baru diambil di rak buku. Laju aku mengambil tempat di sebelahnya.
            “Kenapa dengan Abang Kamal?,”
            “Tak ada apa-apa. Mia just luahkan perasaan saja. Kecewa sikit dengan sepupu Tiya tu,”
            “Sebab Abang Kamal buat-buat tak tahu pasal perasaan Mia ya?,”
            “Dia tahu Abang Kamal tak ada perasaan pada dia. Dia cakap, dia dengar Abang Kamal ada bercakap dengan Tiya hari tu… masa birthday Abang Kamal,”
            Aku diam. Betul tekaanku. Mia mendengar perbualanku dengan Abang Kamal tempoh hari.
            “Tiya pun serba-salah, bang. Tapi, betul juga kata Abang Kamal. Dia tak nak terima Mia semata-mata sebab…,”kata-kataku terhenti di situ. Perlukah aku lanjutkan kata-kata ini?
            “Sebab nak lupakan Tiya?,”sambung Encik Firdaus sambil memandang wajahku. Dengan berat hati, aku mengangguk perlahan. Berharap Encik Firdaus tidak akan berfikir yang bukan-bukan. Tetapi, Encik Firdaus bukan sepertiku. Encik Firdaus matang dalam menilai sesuatu. Tidak pernah emosional.
            “Abang tak marah kan?,”aku bersuara perlahan.
            “Kalau abang marah, Tiya nak buat apa?,”soal Encik Firdaus sambil tersenyum.
            “Tiya pun serba-salah. Kesian Mia. Mungkin kalau dulu Tiya terima Abang Kamal, agaknya Mia taklah sesedih sekarang. Sekurang-kurangnya, Mia ada abang. Kan?,”
            Laju jemari Encik Firdaus menyentuh bibirku.
            “Abang tak akan sesekali benarkan Tiya bersama lelaki lain. Tiya cuma untuk abang. Cuma untuk abang. Faham tu?,”dia bersuara. Separuh berbisik di telingaku. Membuat jantungku hampir pecah menahan degupan yang kencang. Benarkah begitu? Renunganku bersatu dengan pandangannya yang jelas menunjukkan rasa kurang senang dengan kata-kataku. Membuat aku berasa benar-benar dihargainya. Saat ini, jangankan kata-kata Puan Sri Ainul, wajah Puan Sri Ainul pun langsung tidak terbias di mindaku. Aku yakin, Encik Firdaus cuma perlukan aku di dalam hidupnya.


******

5 comments:

AniLufias said...

sukanya ada n3 En.Firdaus n Tiya nie
mmg mak Mia tu pengacau rumahtangga mrka arrrr....x sukaaaaa
lebiuuuuu Hanni

nzlyna'im said...

eeeee.... puan sri nie nak kena gayang nie

mila said...

aduhhh, en. firdaus oh en firdaus...
tq hanni..

niK hAmiZaH said...

gile romantik betul la si firdaus nie...

Anonymous said...

Okay sumpah suka ada entry tia and firdaus ni!! Akhirnyaaa.... To penulis, akak jgn lah lama sgt. Penat tgu sampai penamat. Lepas ni teruskan lg ya. Jgn stop lama sgt. We love them so much

[11:35:50 PM] hos.getah: