Monday, December 5, 2011

Biar YM Terus Bicara 3


Sebaik sahaja kereta berhenti, segera aku membuka pintu kereta. Ibuku yang tercegat di pangkin di bawah pokok manggis bagai menggamit aku untuk segera sampai padanya. Separuh berlari aku mendapatkan ibuku. Sebaik tiba di hadapannya, satu cubitan singgah di lenganku. Membantutkan hasrat untuk memeluknya.
“Apa ni mak? Sampai-sampai dah kena cubit,”aku mengomel sambil mengucup tangan wanita kesayanganku itu.
“Dah jadi isteri orang, nak berlari-lari lagi ke?,”
Aku tergelak besar sambil terus memeluk ibuku. Melepaskan rindu yang bukan sedikit.
“Rindu mak…,”ujarku manja sambil pipi tua itu aku kucup bertalu-talu. Ibuku tersenyum lebar. Pasti senang dengan kepulanganku.
“Mak sihat?,”soalku sambil memandang wajah ibuku yang jelas ceria.
“Alhamdulillah. Sihat…,”
“Tak rindu Tiya?,”soalku lagi sambil terus memeluk pinggangnya.
“Mestilah rindu. Anak mak cuma seorang. Mestilah mak rindu,”
“Mak…,”
Aku berpaling. Encik Firdaus sudah hampir ke sisiku. Pelukan erat pada ibu, aku leraikan perlahan.
“Apa khabar mak?,”sapa suamiku itu sambil turut mengucup tangan ibuku.
“Sihat. Alhamdulillah,”sekali ibuku mengulang jawapan yang sama.
“Atok mana?,”soalku sambil melilau mencari Atok.
“Ada kat dapur agaknya. Tadi mak bagi makan,”
“Mummy dengan abah kirim salam,”ujar Encik Firdaus sambil mencapai semula beg pakaian yang diletakkan seketika sewaktu dia menghulurkan tangan bersalaman seketika tadi.
“Waalaikumussalam. Mereka sihat, Daud?,”
Encik Firdaus mengangguk dan aku tersengih. Kekal rupanya panggilan Daud itu di bibir ibuku.
“Dah… marilah naik ke atas. Ada pula bersembang kat bawah. Kamu mesti penat kan? Naik kat atas… rehat,”ibuku bersuara sambil mengatur langkah meninggalkan pangkin. Aku segera bergerak menuju ke pintu dapur. Mahu mencari Atok. Encik Firdaus aku biarkan berjalan bersama ibuku menuju ke pintu depan.
“Atok….kakak balik ni…,”aku bersuara riang sambil menjenguk ke ruang dapur. Mencari-cari bayang Atok. Tiada. Pinggan makanannya juga sudah kosong. Tiada di dapur, aku bergerak menuju ke ruang tamu. Tersenyum melihat Atok melingkar tidur di atas sofa. Segera aku menghampiri sambil mengelus lembut bulu Atok yang sudah tidak begitu lebat.
“Tidur rupanya. Akak alihkan kat tempat lain ya. Nanti pakcik nak duduk sini,”aku bersuara perlahan sambil perlahan juga mengangkat tubuh Atok yang sedang lena. Tidak mahu Encik Firdaus tidak selesa dengan Atok nanti. Sebaik berada di dalam pelukanku, lena Atok jelas terganggu. Mengiau lembut apabila diangkat.
“Alolo….sorry Atok. Kakak kacau tidur Atok. Atok tidur sini kejap ya,”ujarku sambil meletakkan Atok ke atas bantal lembut yang memang menjadi tempat tidur Atok. Seketika Atok menggeliat dan kemudian menyambung semula tidurnya membuat aku tersenyum lucu.
Suara ibuku dan Encik Firdaus membuat aku berpaling. Encik Firdaus terus melabuhkan punggung ke sofa sambil ibuku laju bergerak menuju ke dapur. Aku mengorak langkah mendapatkan Encik Firdaus.
“Atok Tiya sihat ke?,”usik Encik Firdaus mengundang senyumku.
“Atok tidur,”balas aku selamba sambil mencapai beg pakaian di kaki Encik Firdaus. Segera beredar ke bilik untuk menyimpan beg tersebut. Kemudian aku berlalu menuju ke dapur. Sebelum ibuku bising, lebih baik aku tunjukkan muka di dapur. Tonjolkan imej isteri yang baik.
“Hmm… pandai pun cari dapur. Buatkan air untuk suami Tiya. Ni, kebetulan mak ada buat goreng pisang tadi. Bawa sekali nanti,”
Aku akur tanpa banyak bicara. Setakat buat air, mudah sangat.
“Tiya macam-mana? Duduk dengan mertua?,”
“Setakat ni, tak ada apa-apa masalah, mak. Mummy dengan abah okay. Mereka terima Tiya seadanya,”
“Lega mak dengar. Pandai-pandai jaga perangai tu. Jangan buat benda bukan-bukan. Kena pandai bawa diri kalau tinggal sekali dengan mertua ni. Hormat mereka macam Tiya hormat mak,”
Aku tersenyum. Menyusun piring dan cawan di dalam dulang. Piring berisi goreng pisang turut disusun bersama.
“Anak mak ni kan, memang anak yang baik,”usikku sambil mengangkat kedua-dua kening.
“Dah belajar masak ke belum?,”
Soalan ibu membuat aku tersengih.
“Tengah belajarlah ni, mak,”
Ibuku menggeleng perlahan.
“Kena belajar. Jadi isteri kena pandai masak untuk suami,”
Aku diam. Apabila ibu mahu memberi nasihat, sebaiknya aku diam mendengar. Memang aku mahu menjadi isteri yang terbaik.
“Dengar ke tidak ni?,”
“Dengar mak. InsyaALLAH Tiya akan belajar nanti. Mak ajarkan ya,”aku bersuara lembut.
“Hmm… dah cepat hantarkan air pada suami kamu. Kasihan dia menunggu tu,”
Aku mengangguk perlahan. Menatang dulang sambil melangkah menuju ke ruang tamu. Encik Firdaus tersandar ke sofa dengan mata terpejam. Perlahan aku meletakkan dulang ke atas meja. Kemudian perlahan juga melabuhkan punggung ke sofa.
“Bang… tidur ke?,”
Mata Encik Firdaus terbuka perlahan.
“Abang nak rehat, pergilah masuk ke bilik,”aku bersuara perlahan. Barangkali Encik Firdaus penat memandu.
Encik Firdaus menggeleng perlahan.
“Mak mana?,”
“Kat dapur. Kejap lagi mesti panggil Tiya tu. Paksa Tiya masak untuk menantu kesayangan dia,”
Encik Firdaus tergelak kecil. Aku pula, tersenyum panjang. Sesekali dapat balik menjenguk ibu, bahagia rasanya.


*****

            Aku tergelak besar melihat Encik Firdaus kerutkan wajah. Mata sudah terpejam rapat.
            “Masam…,”
            “Tak paksa pun makan,”ucapku selamba sambil menarik semula mangkuk di tangan Ecik Firdaus. Buah cermai yang sudah aku tumbuk kasar, terus aku suap ke mulut.
            “Tak eloklah makan masam-masam ni, sayang,”
            “Mana ada masam sangat. Abang tu, lidah manja sangat. Masam sikit pun tak tahan,”
            Encik Firdaus menggeleng perlahan. Laju tangannya mencapai kopi. Meneguk perlahan kopi kurang manis yang dimintanya sebentar tadi.
            “Nanti kalau pregnant, jangan makan masam ni, tau…,”
            “Alah abang ni. Bukannya selalu dapat makan cermai ni pun. Balik kampung sesekali aje, baru dapat jumpa,”
            Encik Firdaus diam. Cuma matanya memandang sekitar halaman rumahku.
            “Terima kasih bang. Sebab abang selalu temankan Tiya balik jenguk mak,”aku bersuara tiba-tiba. Membuka topik yang lebih serius. Bertuah aku mendapat suami yang begitu memahami.
            “Mak kan seorang kat sini. Mestilah selalu kena jenguk. Kan?,”
            “Kalau mak dapat tinggal sekali dengan kita, kan bagus…,”
            Encik Firdaus memandang wajahku. Agak lama.
            “Tiya nak mak tinggal dengan kita ke?,”akhirnya Encik Firdaus membuka mulut. Aku tersenyum.
            “Mana boleh. Takkan nak ajak mak tinggal dengan family abang…,”
            “Kita boleh pindah. Then, kita ajak mak tinggal dengan kita,”saran Encik Firdaus lembut. Aku pandang wajah itu dengan rasa tidak percaya.
            “Nanti apa kata mummy dengan abah?,”
            Encik Firdaus mengukir senyum. Jemariku dibawa ke genggamannya.
            “Abang dah ada Tiya. Dah ada family sendiri. Mummy dengan abah pasti faham. Tiya cuba cakap dengan mak. Tanya mak. Okay?,”
            Aku terdiam. Benar-benar terharu. Kenapa Encik Firdaus begitu memahami? Panas bibir mataku mendengar saranan yang penuh dengan rasa tanggungjawab itu.
            “Abang tak kisah ke? Tak kisah kalau mak tinggal dengan kita? Tak kisah kalau abang terpaksa tinggal berasingan dengan mummy?,”
            “Abang cuma kisah kalau Tiya yang tak ada dengan abang…,”Encik Firdaus mula berseloroh.
            “Abang…Tiya serius ni,”
            “Okay…okay… abang yakin mummy akan faham dan… mak Tiya, mak abang juga. Abang pun lebih suka kalau mak selalu ada dengan kita,”
            Kini air mata menitis tanpa sedar. Syukur pada Tuhan dengan kurniaan sesempurna ini untukku. Jemari Encik Firdaus menyapu air mata di pipi.
            “Abang tak marah… kenapa nak menangis?,”usiknya membuat aku tertawa kecil. Hilang rasa terharuku. Encik Firdaus memaut bahuku. Menarikku rapat ke pelukannya sambil dia terus santai mengambil angin petang di atas pangkin. Aku pula, meriba mangkuk cermai sambil perlahan-lahan menyuap ke mulut bersama Atok yang terlentok lena di hujung kakiku.
            “Tiya!,”
            Aku tersentak. Rosak sudah mood romantik aku. Kepala aku jengah ke arah pintu dapur. Ibuku sudah bercekak pinggang.
            “Kat situ rupanya dia. Mari tolong mak masak…,”
            Aku tersengih.
            “Garang betul mak mertua abang,”aku merungut sambil meletakkan mangkuk cermai ke atas pangkin. Encik Firdaus tergelak. Aku bergerak turun dari pangkin.
            “Tiya tolong mak kejap,”
            Encik Firdaus mengangguk perlahan.
            “Cubalah tanya mak sekali,”pesannya sebelum aku melangkah. Aku balas dengan anggukan juga. Kemudian berlari anak menuju ke dapur. Mahu menemani ibuku memasak hidangan istimewa buat menantu kesayangannya.


****

10 comments:

Anonymous said...

like3x...:)

alfa syamimi said...

suke kak laila..haha encik firdaus tu romantik lebih dari dulu la...

evy said...

wahhhh...sweet la couple ni...best10x

noi said...

serabut mata la baca encik encik encik tu, kalau guna firdaus saja xboleh kewr?

MaY_LiN said...

waaaaaaahhhh
memang kesayangan mak tiya la

Anonymous said...

so sweet nak lg nnti sambung la lg ya..

Anonymous said...

x pela Encik Firdaus punn...sama gak mcm Tengku Firdaus ke, Sheikh Firdaus ke...hik hik hik
-che`leen-

KNR_Nida said...

best!! ske sgt!!

puteri_mukhriz said...

sukanya..romantiknya firdaus...huhu..nak lg..lbh romantik...

Anonymous said...

skitnyer akak...tambah lagi larh..kasi panjang skit..x puas tngok tiya ngan en. firdaus..

[11:35:50 PM] hos.getah: