Tuesday, July 19, 2011

Mungkinkah? 5

Helaian kertas yang sedikit berserakan di atas meja, dikemas dengan sedikit malas. Temujanji sudah selesai, dan dia bersedia untuk pulang semula ke pejabat. Lemah semangat untuk dia meneruskan kerja. Dan tanpa disedari tingkahnya diperhati dalam diam.
            “Kita balik sekarang? Encik Karim?,”dia bersuara sambil mengangkat muka. Bertentang mata seketika dengan majikannya itu. Lelaki itu tersenyum nipis.
            “Arisa, ayah awak macam -mana?,”
            Arisa diam seketika. Memandang wajah Encik Karim. Majikannya itu kelihatan seperti mahu berlama di restoran ini.
            “Semalam dah boleh balik, Encik Karim,”perlahan dia menjawab. Segera teringatkan bapanya yang cukup lemah terbaring di katil. Kasihan bapanya.
            “Apa sebenarnya masalah awak ni? Cuba ceritakan pada saya. Kalau saya boleh tolong, InsyaALLAH saya akan tolong,”
            Arisa memandang wajah Encik Karim yang kelihatan ikhlas bertanya. Melihat wajah itu, dia teringat pada cadangan Tasnim.
                “Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
            “Kau gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu? Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
            “InsyaALLAH boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
                Kata- kata itu berlegar di mindanya. Perlukah dia senekad ini demi menghalang Radhi daripada terus mengganggu dia dan keluarganya?
            “Terlalu peribadi, Encik Karim. InsyaALLAH saya cuba selesaikan sendiri,”
            Encik Karim tersenyum lagi. Kali ini bersama gelengan perlahan.
            “Awak pekerja kesayangan saya. Saya tak nak tengok prestasi kerja awak terganggu dengan masalah peribadi yang tak selesai-selesai. Saya tak suka pekerja yang gagal ketepikan masalah bila berada di pejabat,”
            Arisa menunduk. Itu merupakan teguran Encik Karim yang kedua. Ketara sangatkah kegagalannya menjalankan tugas dek kerana masalah dengan Radhi?
            “Saya faham, encik. Saya minta maaf. Saya akan cuba selesaikan masalah ni secepat mungkin,”
            “Macam-mana?,”
            Arisa mengeluh perlahan. Kembali mencari wajah Encik Karim. Soalan itu tiada jawapan kerana dia sendiri masih buntu mencari jalan penyelesaian.
            “Saya boleh pinjamkan awak dua puluh ribu tu,”
            Arisa ternganga. Membuntang mata memandang wajah majikannya itu. Adakah ini semua satu halusinasi? Mungkinkah dia tersilap dengar. Rasanya dia belum meluahkan apa-apa pada lelaki ini. Dari mana lelaki ini mendapat angka itu?
            “Arisa, tak salah kalau kita minta bantuan daripada orang lain, kalau kita benar-benar perlukannya. Masalah tak akan selesai kalau awak pendam semua masalah awak ni sendiri. Suami awak terus ganggu awak. Keadaan kesihatan ayah awak pun semakin terganggu. Konsentrasi kerja awak turut terjejas. Sampai bila awak nak hadapi itu semua?,”lembut sahaja suara lelaki itu meresap ke gegendang telinganya. Dengan penuh tanda tanya, dia merenung wajah majikannya itu. Tasnim. Hanya imej Tasnim yang memenuhi mindanya saat ini. Hanya Tasnim yang tahu segalanya. Mungkinkah Tasnim yang bercerita?
            “Tasnim?,”sebaris nama itu meniti perlahan di bibirnya.
            Encik Karim tersenyum nipis. Sekuntum senyuman yang mengiyakan teka-teki di kepalanya.
            “Tasnim cuma nak membantu awak,”
            Arisa mengeluh perlahan. Ada sedikit rasa kecewa dengan sikap Tasnim. Namun, beanr kata Encik Karim. Barangkali Tasnim cuba membantunya.
            “Jumlah tu bukannya sikit, Encik Karim. Banyak…,”
            “Anggap saja saya pinjamkan pada awak. Awak bayar perlahan-lahan pada saya. Saya ikhlas nak bantu,”
            Arisa menggeleng perlahan. Merenung wajah majikannya yang sentiasa tenang.
            “Nanti apa kata staff lain?,”
            Lelaki di hadapannya itu tergelak halus.
            “Arisa…Arisa… takkan saya nak buat announcement pada semua staff kalau saya membantu salah seorang staff saya. Yang tahu, cuma saya…awak dan Tasnim. Saya tak nampak di mana masalahnya kalau awak terima pertolongan saya,”
            “Tapi…,”
            “Awak nak kekal hidup dengan suami awak?,”
            Arisa menggeleng. Memang perasaan untuk bersama Radhi sudah mati. Cuma satu yang dia harapkan daripada lelaki itu. Berharap agar Radhi terus lenyap dari hidupnya. Kalau boleh, nama lelaki itu pun dia ingin padam dari ingatannya.
            “Geleng? Means? Tak tahu? Tak pasti? Or…tak mahu?,”Encik Karim bertanya lagi.
            Seketika Arisa terdiam. Bibir bagai terkunci. Pelik rasanya apabila hari ini Encik Karim mengajak dia berbincang soal seperibadi ini. Cukup Tasnim seorang yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Apabila Encik Karim turut menunjukkan sikap mengambil berat, dia benar-benar buntu.
            “Arisa… saya mahu bantu awak. Awak kena benarkan saya bantu awak. Berdiam diri. Memendam rasa, bukan cara untuk selesaikan masalah,”
            “Saya tak selesa berbincang soal peribadi macam ni…,”
            “Awak kena percayakan saya. Saya ikhlas nak tolong awak. Awak memang perlukan seseorang untuk bantu awak,”
            “Saya tahu,”
            “So?,”
            “Saya tak tahu nak minta tolong dengan siapa. Saya tak nak bebankan ayah saya,”
            “Awak memang tak mahu lagi hidup bersama suami awak?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibir Encik Karim.
            “Tak nak,”
            “Awak nak minta fasakh?,”
            “Ayah saya masuk hospital sebab saya beritahu dia, saya nak minta fasakh. Tiap-tiap hari dia datang ganggu ayah…,”
            “Jadi, yang dia mahu cuma duit?,”
            Dengan bibir mata mula memberat, Arisa mengangguk perlahan.
            “Dia cuma akan lepaskan awak, kalau awak bayar dia?,”
            Arisa mengangguk lagi.
            “Tebus talak?,”
            “Nampaknya saya terpaksa buat macam tu. Kalau tak, dia dah ugut dia akan terus ganggu kami sekeluarga,”
            Satu keluhan yang keluar dari mulut Encik Karim, mendorong Arisa mengangkat muka. Memandang wajah lelaki itu kini sedikit mendung.
            “Saya tumpang simpati dengan masalah awak…,”
            Arisa tersenyum kelat.
            “Tak patut saya ceritakan semua ni pada Encik Karim…,”
            “Kalau tak nak cerita pada saya, awak nak cerita pada siapa?,”lelaki itu bertanya dengan nada sedikit berseloroh.  Seloroh yang tidak mampu membuat senyum memekar di bibir Arisa.
            “Kalau dah tak ada pilihan lain, awak terimalah bantuan saya. Selesaikan segera masalah awak. Saya harapkan yang terbaik untuk awak,”
            Arisa membeku. Huluran pertolongan sebegini tidak mungkin akan datang untuk kedua kalinya. Mungkin dia perlu menerima pertolongan daripada Encik Karim? Sememangnya tiada lagi sumber lain yang boleh dia harapkan. Untuk membuat pinjaman bank, dia tidak mahu terus terbeban. Pinjaman untuk membeli kereta masih lagi belum lunas semuanya.
            “Tapi, saya tak mampu nak bayar balik nanti…,”
            “Just take your time. Bayar berapa yang awak mampu,”
            Arisa mengeluh perlahan. Saat ini, memang dia malu mahu berhadapan dengan Encik Karim. Malu dengan ketidakberdayaan dirinya. Namun, peluang ini mustahil mampu dia tolak. Demi bapanya, dia harus singkirkan Radhi secepat mungkin.
            “Saya malu dengan Encik Karim. Tapi, saya memang perlukan bantuan ini. Saya cuba langsaikan pinjaman tu secepat yang saya mampu. Terima kasih, Encik Karim,”
            “Tak boleh bayar, kena jadi wife saya,”
            Arisa terpempan. Tajam merenung wajah lelaki itu yang tersenyum lebar. Tidak percaya majikannya itu boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu.
            “Encik….,”
            Encik Karim tergelak besar.
            “Janganlah buat muka macam tu. Saya gurau saja,”
            Arisa tersenyum kelat. Sungguh kurang senang dengan gurauan majikannya itu.
            “Jangan risau. Saya ikhlas nak membantu,”
            Tanpa mampu bersuara, pantas dia mencapai beg tangannya. Berdiri tegak sambil mencapai beberapa helaian kertas bersama planner.
            “Saya rasa baik kita balik ke pejabat sekarang? Atau…Encik Karim ada hal lain? Saya boleh balik ke pejabat dengan teksi,”
            “Tak. Saya pun nak pulang ke office,”
            Arisa mengangguk perlahan. Encik Karim tersenyum sambil turut mengangkat punggung.


*****

8 comments:

Anonymous said...

thanks for the new n3....

MaY_LiN said...

bila hero nak keluar

aqilah said...

yup!!! waiting for Arisa hero show up!!!!

Aya Ariel said...

apakah encik karim hero itu?
oh tidakkk

Salmah Hanim said...

ntah2 En Karim ni org tengah pd hero Arissa kot.... hehehehe

miznza84 said...

cpt2 la arissa selesai masalah tu.. biar dia dpt bina hidup baru...

nanacunoi said...

sekali bapak hero keluar da..hehe

en_me said...

layannns.. ehehe

[11:35:50 PM] hos.getah: