Friday, March 11, 2011

Mungkinkah? 3


Dari jendela biliknya yang sedikit terkuak, jelas dia melihat ibunya sedang berpeluk mesra dengan seorang yang amat dia kenali. Perlahan dia mengeluh lemah. Baru sebentar tadi telinganya terpaksa menadah leteran ibunya gara-gara semalaman dia gagal dihubungi, kini sekali lagi telinga terpaksa menderita. Kepala yang tidak gatal, digaru perlahan.           
            Ketukan perlahan di pintu bilik membuat dia semakin lemah. Matanya melirik ke arah jam di dinding. Hampir pukul dua belas tengahari. Nampaknya niat untuk menghabiskan hari minggu bersama Arisa terpaksa dibatalkan. Ketukan dipintu berbunyi lagi.
            “Masuk…,”
            Pintu terbuka. Terjengul wajah Kak Piah seperti yang sudah dia jangka.
            “Encik Zariff, Cik Nabila ada kat bawah,”
            “Hmm…,”
            “Puan Zahra suruh Encik turun cepat sikit,”
            “Yalah. Kejap lagi saya turun,”
            Kak Piah mengangguk dan pintu kembali tertutup.
            “Kacau betullah,”dia merungut perlahan sambil mencapai telefon atas meja. Pantas jemarinya mendail nombor telefon milik Arisa. Menunggu seketika panggilannya berjawab.
            “Assalamualaikum,”
            Salam di hujung talian dijawab perlahan. Suara Arisa yang tenang, menjamah telinganya.
            “Hari ni, I tak jadi pergi rumah you,”dia bersuara tanpa banyak dalih. Suasana diam seketika.
            “Risa?,”
            “Hmm… tak apalah,”
            Mendengar suara Arisa yang sedikit hampa, hatinya disentuh dek sedikit rasa bersalah.
            “You dah masak ke?,”
            “Dah. Tapi tak apalah. Kalau awak tak dapat datang, tak apa. Lauk ni, adik-adik saya boleh habiskan,”
            Zariff diam seketika. Terbayang beranika jenis lauk yang mungkin sudah Arisa sediakan. Hal itu membuat dia sedikit kecewa. Melepas peluang untuk dia menikmati keenakan masakan Arisa.
            “Ruginya I,”
            Terdengar gelak halus di hujung talian. Membuat dia sedikit terpesona. Bukan perkara biasa Arisa gelak begitu. Amat jarang gelak spontan pecah dari bibir wanita itu.
            “Esok saya masakkan untuk awak. Saya bawa ke office. Ganti untuk lunch hari ni,”
            Lebar senyumnya mendengar kata-kata itu. Sukar untuk dia menolak pelawaan itu.
            “Boleh ke? Kalau susahkan you, tak payahlah. Tapi, kalau tak susahkan, masaklah apa aje. Semua I suka,”
            “Kalau macam tu, saya masak nasi putih dengan telur dadarlah,”
            Spontan dia tergelak besar.
            “Dah pandai bergurau dengan I, sekarang ni…,”
            Ketukan di pintu membuat bicaranya terhenti seketika.
            “Okaylah. I kena pergi dulu. Sorry ya,”
            “Okay,”
            Belum pun sempat dia bersuara lagi, talian sudah pun terputus. Dia memandang telefon di tangan. Itulah satu tabiat Arisa yang cukup membuat dia geram. Kalau bab menamatkan panggilan telefon, dialah juara. Belum apa-apa, telefon sudah diletak. Perlahan dia merengus sambil melangkah menuju kea rah pintu. Daun pintu dibuka. Dan, kali ini, wajah ibunya yang tercegat di hadapan pintu bilik.
            “Tukar syif ke?,”soalnya dengan nada berjenaka.
            “Syif apa pulak?,”
            “Syif ketuk pintu,”jawabnya bersama senyum panjang. Jawapan yang membawa cubitan ke lengannya.
            “Banyaklah kamu punya syif. Apa dibuat di dalam tu? Lama Nabila tunggu kat bawah tu,”
            “Ada apa dia datang?,”
            Membutang mata Puan Zahra merenung wajah anak lelakinya itu. Zariff sekadar tersenyum lawa.
            “Jumpa kamulah. Takkan dia nak jumpa mama pula,”
            Zariff mengeluh perlahan. Melangkah keluar dari bilik.
            “Penatlah mama. Ikutkan hari ni, saya nak rehat kat rumah aje. Malas nak ke mana-mana,”
            “Mahu tak penat. Malam-malam hilang entah ke mana. Susah sangat nak cari Zariff sekarang ni, tau,”
            “Dahlah tu, mama. Pagi tadi dah panjang lebar ceramahnya, kan?,”
            Puan Zahra menjeling.
            “Mana mama tak geram. Berkali-kali telefon handphone, tak berjawab. Dah tu, call pula rumah kamu, langsung tak berangkat. Entah mana-mana kamu tidur, ya?,”
            Zariff diam. Malas mahu menjawab. Masakan dia mahu beritahu dia menghabiskan malamnya di rumah teres kos sederhana milik Arisa. Itu namanya dia menggantung diri sendiri. Tanpa sedar dia tersenyum nipis.
            “Dah. Senyum sorang-sorang pulak. Kenapa pula ni?,”menyedari senyum yang terukir di bibir Zariff, laju Puan Zahra menampar bahu anak lelakinya itu. Membuat Zariff tergelak panjang.
            “Apa ni, mama. Janganlah pukul-pukul. Tak baik dera anak,”usiknya sengaja mahu melihat ibunya menarik muka masam.
            “Kamu ni, memang macam-macam tau. Dah, pergi jumpa Nabila. Dia ada kat ruang tamu tu,”
            Zariff mencemik sambil berlalu ke arah ruang tamu. Kadang-kadang naik malas untuk berdepan dengan gadis bernama Nabila itu. Dia sekadar memandang Nabila yang leka membelek majalah. Langkah diatur perlahan-lahan. Kalaulah dia boleh melewati ruangan itu tanpa disedari Nabila…
            “Zariff…,”
            Perlahan dia menoleh.
            “You nak ke mana?,”
            “Sorry. Tak perasan. Ingat you kat luar,”
            Nabila menjeling sambil meletakkan majalah ke atas meja.
            “Dari tadi I tercongok kat sini, takkanlah you tak nampak?,”
            “You kecil sangat. Tak perasan,”
            Nabila tersenyum. Perlahan mengangkat punggun dari sofa. Bergerak mendekati Zariff. Berdiri di hadapan lelaki itu sambil berpeluk tubuh. Wajah itu direnung lama.
            “Dah dua hari balik dari Indonesia, langsung tak contact I pun?,”
            Zariff tersenyum. Menyambung langkahnya yang terhenti di anak tangga menuju ke halaman yang luas.
            “Balik aje, terus I sibuk di office. Betul-betul busy,”
            “Hmm… yalah. Dulu, busy juga. Tapi, tetap ada masa untuk kita. Sekarang ni, dah jadi busy pelik ya?,”
            Zariff menatap wajah Nabila yang sentiasa cantik itu, bersama senyum panjang. Tidak mahu membalas penyataan itu.
            “So, ada buah tangan untuk I tak?,”Nabila mengubah topik, sambil tersenyum manis. Zariff turut tersenyum manis. Buah tangan? Dia cuma teringatkan Arisa. Dan, apa yang dibeli pun, cuma untuk Arisa sahaja. Mindanya kini seakan dikuasai sepenuhnya oleh aura Arisa.
            “So sorry. Tak sempat beli apa-apa pun,”
            Wajah Nabila sedikit berubah.
            “You ni…,”
            Zariff tersengih.
            “I ni, bakal tunang you, tapi, you boleh terlupa beli something for me? Melampaulah you ni,”
            “Dah lupa, nak buat macam mana. Nanti ita shopping. Sebagai denda, you pilihlah apa saja. I bayar,”
            Muncung Nabila sedikit mengendur. Perlahan pandangannya dialihkan ke wajah Zariff. Tersenyum kecil sambil berpeluk tubuh.
            “Apa saja?,”duganya bersama lirikan senyum yang cukup menggoda.
            Zariff mengangguk sambil menjongket bahu. Apa lagi yang mampu dia lakukan untuk menggembirakan gadis kesayangan ibunya ini?
            “Okay. You dah janji. Jom kita shopping,”
            “Tapi, limitnya I yang tentukan,”tokok Zariff melihat Nabila berlari anak ke ruang tamu, mencapai beg tangannya.
            “No…no… Limitnya I yang tentukan,”balas Nabila bersama senyum nakal. Zariff turut tersenyum kelat. Pelik dengan anak orang kaya yang satu ini. Pantang dapat peluang, langsung tidak disia-siakan.

***

            Selesai sahaja bercakap, talian telefon segera dimatikan. Perlahan dia mengeluh sambil memandang meja yang sudah penuh dengan beberapa jenis lauk kesukaan Zariff.
            “Dia yang janji, dia sendiri yang cakap tak jadi. Penat aje masak banyak-banyak macam ni,”dia mengomel sendirian. Memang ada sedikit geram di hati. Namun, apakan daya. Dia tidak boleh banyak berbicara. Pasti ada perkara yang menghalang lelaki itu, dan yang paling pasti, itu semua bukan masalahnya.
            “You tak boleh ambil tahu apa-apa hal tentang I, yang I tak beritahu you, and I pun sama. Faham? Kita tidak perlu masuk campur dalam urusan peribadi masing-masing,”
            Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Dan, dia perlu pegang kata-kata itu sampai bila-bila.
            “Kak Long!,”
            Arisa tersentak. Segera dia berpaling. Memandang wajah Dafi yang sedikit cemas.
            “Kenapa Dafi?,”
            “Abang Radhi,”
            Arisa terkesima.
            “Kenapa?,”
            Dan, dia tidak memerlukan jawapan daripada Dafi, apabila telinganya mula diasak oleh suara Radhi. Pantas dia bergerak ke ruang tamu. Tergamam melihat Radhi yang sudah tercegat di situ bersama sejambak mawar merah.
            “Apa awak buat kat sini? Keluar,”
            “Risa. Berilah abang satu lagi peluang,”
            “Awak, baik awak keluar sekarang. Tak elok awak masuk rumah ni,”
            “Abang datang nak minta maaf. Abang sedar selama ni, abang silap. Maafkan abang ya? Abang rindukan Risa. Beri abang satu lagi peluang, Risa,”
            Arisa membuang pandang. Wajah Radhi yang separuh merayu itu, membuat dia menyampah.
            “Awak baliklah. Saya tak perlukan awak lagi. And, tak payahlah nak beli-beli bunga ni lagi. Saya tak nak ada apa-apa hubungan dengan awak. Antara kita, dah tak ada apa-apa. Awak juga yang cakap macam tu, dulu. Kan?,”
            Radhi bergerak mendekatinya. Jambangan bunga diletakkan di atas meja. Melihat langkah Radhi yang semakin hampir, dia mengundur ke belakang.
            “Awak keluar sekarang, sebelum saya telefon polis,”
            “Risa cintakan abang. Kenapa nak nafikan itu semua. Kita mulakan semuanya sekali lagi. Ya?,”Radhi bersuara sambil mencapai jemarinya. Pantas direntap. Membuat Radhi sedikit tersentak.
            “Antara kita dah tak ada apa-apa. Saya dah tak boleh nak bahagiakan awak, kan? Awak dah jumpa orang yang boleh buat awak lebih bahagia. So, pergilah. Dan jangan ganggu saya lagi. Saya tak suka,”
            “Abang tersilap. Abang mengaku itu semua silap abang,”
            “Kesilapan awak… saya tak perlu jadi korban. Awak tanggung kesilapan yang awak buat. Saya teruskan hidup saya tanpa gangguan awak. The end. Okay?,”
            Langkah Radhi kembali maju ke arahnya. Membuat dia sekali lagi berundur. Dan, apabila Radhi mencapai tangannya, sekali lagi direntap kuat. Namun, kali ini ternyata pegangan Radhi jauh lebih kuat.
            “Lepaskan,”
            “Sayang, cakaplah Risa maafkan abang. Abang tak boleh hidup tanpa Risa,”
            “Itu masalah awak. Dah tak ada kena mengena dengan saya. Tolong lepaskan tangan saya,”
            Radhi menggeleng. Wajah Arisa yang sedikit memucat  direnung tanpa jemu. Dia mahu Arisa  kembali semula di dalam hidupnya. Cuma itu yang dia mahu.
            “I love you. Beri abang satu lagi peluang, ya?,”
            Tanpa menjawab, Arisa terus cuba meleraikan pegangan Radhi yang kuat mencengkam kedua-dua lengannya. Mula memberi rasa sakit padanya.
            “Sakitlah. Lepaskan tangan saya,”
            “Abang akan lepaskan. Tapi, sebelum tu, cakap Risa maafkan abang dan Risa mahu terima abang semula,”
            “No! Tak nak! Saya bukan lagi Arisa yang bodoh yang boleh awak tipu sesuka hati awak! Saya bukan lagi Arisa bodoh yang kerjanya Cuma memaafkan setiap pembohongan yang awak buat! So, please lepaskan tangan saya, sebelum saya menjerit,”Arisa mula menjerit kuat. Dafi yang sedari tadi teragak-agak untuk masuk campur, mula merapati kakaknya.
            “Risa! Abang minta maaf! Berapa kali abang perlu yakinkan Risa, yang abang betul-betul dah berubah?,”
            “Tak perlu!,”jerit Arisa kuat sambil sekuat hati menarik tangannya. Masih gagal. Tangannya mula terasa sengal.
            “Tak perlu Radhi! Arisa ni, dah tak perlukan Radhi dalam hidup dia. So, please let me go!,”sekali lagi dia menjerit sambil sekuat hati menarik tangannya. Pegangan kuat yang terlepas tiba-tiba itu membuat dia terhoyong-hayang sebelum terjatuh ke bucu meja.
            “Kak Long!,”Dafi menjerit kuat. Radhi tergamam seketika. Arisa tertunduk memandang lantai. Kepalanya sedikit berat. Beberapa titis darah mula menitik ke lantai.
            “Risa!,”Radhi menjerit cemas. Segera mendapatkan Arisa yang terus terduduk ke lantai.
            “Apa Abang Radhi buat ni?,”
            “Kita hantar Kak Long ke klinik,”
            “Tak perlu. Saya tak apa-apa. Tolong pergi sekarang,”Arisa bersuara perlahan sambil menekan dahinya yang luka terkena bucu meja. Dia cuba mengangkat muka, namun, pandangannya sedikit berpinar-pinar.
            “No. Abang hantar Risa pergi klinik,”           
            “Dafi, call polis,”Arisa bersuara dingin.
            “Risa! Jangan degil,”
            “Tolong keluar dari rumah saya. Kalau tak, saya call polis,”
            Radhi mengeluh keras.
            “Abang akan pergi. Tapi, selepas abang hantar Risa ke klinik,”
            “Jomlah Kak Long. Luka Kak Long berdarah ni,”tokok Dafi yang sudah cemas melihat darah meleleh melalui celahan jemari Arisa.
            “Kak Long tak apa-apa. Suruh dia pergi. Kak Long boleh uruskan diri Kak Long sendiri,”
            “Jangan berdegil macam ni, Risa,”
            “Dafi, ambil telefon Kak Long,”
            “Okay..okay… abang mengalah. Abang pergi, tapi, tolong berjanji dengan abang, Risa akan pergi klinik. Kepala Risa tu luka,”
            “Saya tahu jaga diri sendiri,”
            Radhi mengeluh hampa. Perlahan dia berdiri. Pandangannya dilarikan ke wajah Dafi.
            “Apa-apa, Dafi call abang ya. Mesti call abang,”
            Dafi mengangguk perlahan. Radhi melangkah perlahan keluar dari ruangan itu. Meninggalkan Arisa bersama Dafi.
            “Kak Long ni. Kenapa degil sangat? Kepala Kak Long berdarah ni,”
            “Kak Long tak apa-apa. Pening sikit saja. Nanti Kak Long letak minyak gamat. Berhentilah darah ni,”
            “Betul cakap Abang Radhi tu. Kak Long ni, degil,”
            “Dafi… Cepat tolong Kak Long. Kak Long pening. Susah nak berjalan. Bawa Kak Long masuk dalam bilik,”
            “Dafi call Abang Zariff ya?,”
            Arisa menggeleng.
            “Abang Zariff pun tak boleh jugak?,”
            “Dafi budak kecil lagi. Tahulah Kak Long apa Kak Long buat. Dafi Cuma ikut saja cakap Kak Long, faham?,”
            “Tahun ni Dafi nak ambil UPSR dah. Dafi bukan budak kecil tau,”
            Dalam pening, Arisa tersenyum kecil.
            “Sikit saja ni. Tak perlu nak susahkan sesiapa. Okay?,”
            “Macam ni punya berdarah, sikit?,”
            “Dah..dah.. diam. Cepat pimpin Kak Long masuk ke bilik,”
            Dafi dia. Cuma akur pada arahan Arisa.

****

11 comments:

apa YANG ku rasa said...

best2...next please.,:)

Aransia Lerant said...

Terima kasih kak hanni!!!

Zass said...

hrmmm.. masih tertanya-tanya... arisa ni dah kawen kew ngan zariff?? sape pulak radhi ni??? bekas pacar arisa kew??? hehehe.. konfius.... masih ada kecelaruan nampaknya....
harap-harap ianya dapat dirungkai dalam n3 kemudian..

amira aihara said...

rasanya risa n zariff nie khwin senyap2 x..huhu

NukSe said...

bestttttt.. rs mcm sikit la plak.. huhu

biruselendang said...

aduh.... semakin berat.....

fatim fatimah said...

masih tertanya2,,diorang ni dah kawin??apapun cerita yg best,,cpt smbung hanni

miznza84 said...

kak hani nk lagi.. best bangat..

Anonymous said...

kak hanni..ni cerpen x bape panjang ek...hehehe..kalau wat novel pun xpe..x sabar nk tgu next entry

ZaYaNi said...

muehehhe...tu diaa..terbaek...
ala2 citer ombak rindu gitu...
tp rasenye ade gak kelainan nye...
keep it up kak hanni..
ape2 pun memang saye suka sgt2!

Dr.LoVe said...

penuh ngan tanda tanya lah..suspen betul....mbuatkan diri ini tertanya2

[11:35:50 PM] hos.getah: