“Gila
ke laki kau ni, Rissa?,”
Arisa
menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah
dipandang dengan rasa hiba. Bapanya wajar marah dan dia wajar menerima balasan
ini barangkali. Berat untuk dia bercerita tetapi, terasa beban yang ditanggung
sudah tidak mampu digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi.
Semakin hari semakin sulit untuk dia berdepan dengan perangai Radhi. Semakin
hari Radhi semakin sengaja mahu menyakitkan hatinya. Semakin mencabar sabarnya.
Dia berharap Radhi akan berubah. Dia berdoa agar Radhi menjadi lelaki yang
pernah dicintai sepenuh hati sebelum mereka bergelar suami isteri. Tetapi semua
itu mungkin cuma akan menjadi mimpi. Jauh sekali untuk digapai sebagai realiti.
“Itulah.
Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon.
Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Inilah
yang kamu dapat sebab nak pertahankan sangat cinta kamu tu. Kan?,”
Arisa
tunduk. Hujah bapanya tidak mampu dia patahkan. Saat ini, dia akui kebenaran
kata-kata bapanya. Cinta bagai tidak membawa erti lagi padanya. Separuh mati
dia pertahankan Radhi. Bermatian dia cuba yakinkan ibu dan bapanya, Radhi
adalah jodoh yang terbaik untuknya.
Tetapi hari ini sudah terbukti dia silap. Dia silap dan bapanya benar.
“Silap Rissa. Rissa mengaku semuanya salah Rissa. Tapi,
sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah. Dia baik,”perlahan dia bersuara.
Haji
Salleh mengeluh perlahan. Ikutkan geramnya, memang mahu dia hamburkan segala
rasa marah yang terpaksa dipendam kerana sayangkan anak. Walau berat hatinya,
dia akur dengan permintaan Arisa. Dengan separuh hati, akhirnya Radhi terpaksa
diterima sebagai menantu. Tetapi, melihat kesedihan Arisa saat ini, dia tidak
sampai hati. Segalanya telah berlaku. Walau diluahkan segunung marah sekalipun,
mustahil kemarahan itu dapat memulihkan keadaan.
“Sudahlah.
Tak guna nak cakap benda yang dah berlaku,”sudahnya, dia bersuara dengan nada
sedikit kendur.
Arissa
terus menunduk.
“Dia
dah jauh berubah, ayah… dia bukan Radhi yang Rissa kenal dulu,”lemah luahan
yang meniti di bibir.
“Lelaki
ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Nak pula,
jenis yang malas kerja macam suami kamu tu. Tengoklah macam-mana dia buat pada kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada
anak, macam-mana? Bertambah-tambah beban kamu. Yang seronok… dialah. Siang
malam tahunya berjoli… berjudi,”
Arisa
mengeluh panjang. Buntu memikirkan masalah yang semakin menyesakkan kepala.
Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah
tidak mampu untuk dia harungi sendirian, cuma bapanya yang dia ada untuk
mengadu. Dan, kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil
kesempatan padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat
melampiaskan nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat Radhi melepaskan amarah
setiap kali pulang ke rumah dengan muka kelat disebabkan kalah judi. Semenjak
berkahwin, dia seakan tidak bermakna langsung
pada lelaki itu. Kasih Radhi hilang dari matanya. Cinta Radhi juga ghaib entah
ke mana. Yang tinggal cuma satu kenyataan yang membuat hatinya tersayat pilu.
Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.
“Sakit
dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk
sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini.
Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia
nanti? Kamu?,”kali ini, sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh.
Berbaur geram nada yang sampai ke telinga Arisa.
Arisa
tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata yang ditahan dari
tadi, kini menitis jatuh ke pipi. Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah
cukup menghancurkan perasaannya. Selama dua tahun dia ‘menikmati’ cinta suci
Radhi. Cinta yang penuh dengan caci-maki dan air mata. Silap besar dia agungkan
cinta sehingga sanggup ingkar pada teguran bapanya. Pada nasihat arwah ibunya.
Rupa-rupanya cinta suci itu cuma omong kosong. Hakikatnya cinta langsung tidak bernilai.
“Ayah
tak fahamlah. Apa yang kamu tengok pada si Radhi tu? Langsung tak ada masa
depan. Tak cukup ke dia buat kamu selama ni? Dua tahun kahwin, paling lama ayah
tengok dia kerja dua bulan saja. Lepas tu, jadi kutu rayau. Duduk rumah bapak
mertua dah buat macam rumah sendiri. Nak keluar minta duit bini. Balik marah-marah
bini,”kali ini, terlampias juga rasa geram yang terbuku di hati. Memang setiap
kali nama itu melintas di kepala, hatinya terasa sakit.
Arisa
menunduk. Kata-kata itu sedikit sebanyak membias rasa malu di hatinya. Malu
dengan sikap suami sendiri. Mahu nafikan, itulah kenyataannya. Cuma Radhi
seakan tidak pernah ada rasa malu pada bapanya.
“Malu
Rissa dengan sikap dia tu, ayah,”
“Kenapa
pula kamu yang nak malu? Yang buruk perangai suami kamu…,”
Arisa
mengeluh lagi. Perlahan menolak ke belakang rambut ikalnya yang disapa angin
petang.
“Apa
rancangan kamu sekarang? Nak ikutkan juga kehendak suami kamu tu? Nak bermadu?
Sah-sah beban kamu yang bertambah nanti. Sekarang tanggung laki. Nanti dengan
madu kamu pun kamu tanggung. Kalau beranak-pinak nanti, macam mana? Ayah ni,
bukan apa. Ayah tak nak tengok kamu hidup macam ni. Tak ada guna kamu hidup
dengan lelaki macam tu. Bukan ayah nak minta kamu runtuhkan rumahtangga kamu.
Tapi, ayah tak sampai hati nak tengok kamu hidup makan hati macam ni. Keputusan
macam ni, kamu kena fikir masak-masak. Jangan fikir untuk tempoh esok atau
lusa. Kamu kena fikir macam –mana hidup kamu sepuluh tahun nanti kalau kamu
setuju nak bermadu?,”
“Rissa
dah ambil keputusan, ayah,”
“Keputusan
apa?,”
“Rissa
nak bercerai. Rissa tak nak hidup dengan Radhi lagi. Rissa tak nak bermadu. Rissa
tak nak tambah beban dalam hati Rissa. Tak nak terus hidup makan hati macam ni,”
Haji
Salleh mengeluh perlahan. Memandang wajah anak sulungnya itu dengan renungan
simpati. Susah untuk dia memberi pendapat. Mahu Arisa teruskan perkahwinan itu,
dia yakin Radhi tidak akan berubah. Dia yakin Radhi tidak akan berhenti
menyusahkan Arisa. Mahu menyokong Arisa memutuskan hubungan itu, dia juga
serba-salah. Bukan elok bercerai-berai. Dia juga tidak mahu anaknya itu
menempah gelaran janda pada usia semuda itu.
“Ayah
tak tahu nak cakap apa. Serba-salah ayah jadinya. Rissa buatlah keputusan yang
paling baik untuk Rissa. Ini hidup Rissa. Apa saja keputusan Rissa, ayah tetap
akan sokong,”
Arisa
diam. Sepi waktu petang sebegini memberi dia peluang untuk bercakap panjang lebar.
Ketiadaan adik-adiknya membuat dia tergerak untuk berkongsi rasa dengan
bapanya. Dia perlu berbincang dengan bapanya. Hal ini bukan hal kecil untuk dia
simpan sendiri di hatinya. Keputusan yang ingin dia ambil juga satu keputusan
yang akan mengubah jalan hidupnya seratus peratus.
“Tapi…,”
“Tapi
apa pula?,”
Arisa
menghela nafas sedalam mungkin. Memandang wajah bapanya yang kelihatan setia
menunggu. Dia menjadi sedikit serba-salah. Perlukah dia berkongsi cerita ini
dengan bapanya? Atau dia perlu tanggung semua ini sendirian? Perlu bertanggungjawab
sepenuhnya di atas kesilapan yang telah dia buat?
“Rissa?
Ada apa ni? Cuba cerita dengan ayah,”
“Radhi
tak nak ceraikan Rissa. Dia nak madukan Rissa. Dia cakap, kalau Rissa bagi dia
duit, baru dia akan lepaskan Rissa. Kalau tidak, dia tak mahu lepaskan Rissa,”
Haji
Salleh merengus marah. Turun naik mengawal nafas yang tidak terkawal. Perlahan
dadanya diurut. Sungguh sakit hatinya memikirkan perangai menantu sulungnya
itu. Arisa bergerak menghampiri bapanya.
“Memang
hantu budak tu! Kalau bukan Rissa berdegil nak juga kahwin dengan dia, sebelah
mata pun ayah tak ingin tengok muka tu. Ayah tahu dia memang jenis tak tahu
tanggungjawab,”Haji Salleh bersuara geram dengan nada tertahan. Dadanya yang
mula terasa sempit, diusap lagi.
“Ayah
tak apa-apa?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan. Arisa mengusap perlahan dada bapanya. Sudah mula
risau andai jantung bapanya bermasalah lagi. Silap dia, membuka cerita sebegitu
pada bapanya. Timbul rasa menyesal di hati. Mungkinkah dia perlu menyimpan
masalah ini sendiri?
“Dahlah.
Kita tak payah cakap pasal ni lagi, ya?,”
Haji
Salleh menggeleng. Dia dan Arisa memang perlu berbincang.
“Ayah
tak apa-apa. Berapa yang hantu tu nak?,”
Arisa
diam. Cuma memandang wajah bapanya yang jelas tegang melayan marah.
“Kita
bincang lain kali ya, ayah. Ayah tak okay ni. Rissa tak nak nanti ayah jatuh
sakit,”
Haji
Salleh mengeluh perlahan. Mengurut perlahan dadanya. Matanya lari ke wajah anak
sulungnya itu. Wajah itu sudah hilang seri. Barangkali terlalu banyak derita
yang dipendam sendiri.
“Ceritalah
pada ayah. Ayah nak tahu. Ayah nak dengar. Sudah-sudahlah makan hati sebab nak
lindung kesalahan Radhi tu…,”
Arisa
diam seketika. Tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Berdoa agar apa yang
meluncur di bibirnya itu, tidak memberi kejutan berat pada bapanya.
“Radhi
nak duit…,”lambat-lambat patah perkataan disusun. Melantun dalam nada
seperlahan yang boleh. Berharap agar suaranya tidak sampai ke telinga Haji
Salleh.
“Berapa
yang Radhi minta?,”
Arisa
mengangkat muka. Bapanya mendengar.
“Dua
puluh ribu, ayah,”
Haji
Salleh diam. Mengurut dada yang kembali terasa sesak. Arisa menggelabah.
“Ayah…
ayah tak apa-apa?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan. Mengurut dada sambil cuba bernafas setenang
mungkin.
“Gila
suami kau ni, Rissa…,”
Air
mata Arisa menitis. Memeluk tubuh tua itu sambil mengurut dada Haji Salleh.
Mungkin benar suaminya itu sudah gila. Gila pada duit. Gila pada perempuan.
“Rissa
minta maaf, ayah. Sepatutnya, Rissa dah tak jadi beban pada ayah….,”
“Ayah
tak akan biarkan Radhi buat Rissa macam ni. Dia ingat dia siapa? Rissa ni anak
ayah. Ayah tak akan biarkan Rissa tanggung semua ni sendiri,”
“Ayah…
Rissa tak nak panjangkan hal ni. Rissa tak nak gaduh. Rissa tak nak dia cari
pasal dengan ayah. Rissa tak nak ayah sakit sebab Rissa. Ayah sakit sebab
melayan perangai Radhi tu. Rissa akan berikan apa yang dia nak…,”
“Banyak
tu, nak,”
“Rissa
akan usahakan. Yang penting, lepas ni biarlah dia lenyap terus dari hidup Rissa.
Rissa tak nak tengok muka dia lagi,”
“Bagi
duit macam tu aje pada jantan tak guna tu? Tak cukup selama kahwin dengan kamu,
dia peras duit kamu, sampai nak ceraikan kamu pun dia nak peras kamu juga?,”
Arisa
tersenyum pahit. Memandang seketika wajah bapanya. Mahu melihat keadaan bapanya
itu. Haji Salleh kelihatan sudah sedikit tenang. Perlahan dia tunduk sambil
bermain dengan jemari sendiri.
“Rissa
dah serik, ayah. Rissa dah tak sanggup nak hidup dengan dia lagi. Radhi yang
jadi suami Rissa, terlalu jauh bezanya dengan Radhi yang mencintai Rissa dulu,”Arisa
mengadu perlahan. Tidak pernah diluahkan kesengsaraan yang dilaluinya saban
hari. Hari ini, dia mahu mengadu pada bapanya. Dia mahu kosongkan hatinya yang
tepu dengan kecewa. Kecewa pada sebuah ikatan perkahwinan. Angannya,
perkahwinan dia dan Radhi akan menjadi satu perkahwinan yang paling indah.
Angannya juga, dia mahu menjadi isteri Radhi yang paling bahagia rentetan
hidupnya. Dia cuba menjadi isteri yang sempurna dan Radhi akan cuba menjadi
suami yang sempurna juga. Namun, angan-angan itu cuma tinggal satu impian
kosong. Terlalu jauh untuk dicapai menjadi kenyataan.
“Dulu
dia sayang sangat kat Rissa, ayah…,”gumamnya perlahan bersama air mata yang bertandang
lagi.
“Dia
buat Rissa rasa Rissa manusia paling bertuah dalam dunia ni…,”
Haji
Salleh diam seribu bahasa. Hatinya tersentuh melihat air mata itu. Jiwanya
menangis mendengar rintihan itu. Dia faham keperitan yang ditanggung oleh
Arisa. Selama berkahwin, sepatah pun tiada rungutan daripada bibir itu.
Semuanya didiamkan sendiri. Hari ini, apabila anaknya itu bersuara, dia mahu
mendengar semua luahan hati Arisa.
“Luahkan
semua yang Rissa pendam selama ni. Biar ayah dengar semuanya,”
Arisa
menggeleng perlahan. Menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi.
“Rissa
dah tak tahu macam –mana nak luahkan apa yang Rissa rasa ni, ayah. Rissa rasa
macam orang bodoh. Cuba berusaha untuk pulihkan hubungan ini, sedangkan Radhi
langsung tak mahu lihat perkahwinan kami jadi lebih baik. Dia cuma leka dengan
hidup dia sendiri… dengan dunianya sendiri,”
“Ayah
nak yang terbaik untuk anak ayah. Fikirlah apa yang terbaik untuk Rissa. Dulu,
Rissa rasa, Radhi yang terbaik untuk Rissa, ayah mengalah. Sekarang pun, ayah
tak mahu buat keputusan untuk Rissa. Ayah yakin, Rissa lebih tahu apa yang hati
Rissa inginkan,”
Arisa
mengangguk perlahan. Merenung wajah tua di hadapannya itu.
“Mungkin
ini balasan sebab Risa ingkar pada cakap ayah dulu. Kan?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan.
“Jangan
sesekali cakap macam tu. Memang ayah tak setuju bila Rissa pilih Radhi. Tapi,
kalau cuma itu yang boleh buat Rissa bahagia, ayah restu. Ayah tak akan sampai
hati nak buat anak ayah hidup susah. Ayah tetap sokong anak ayah,”
“Rissa
minta maaf, ayah. Rissa tak pernah jadi anak yang menyenangkan. Tak habis-habis
Rissa bagi masalah pada ayah,”
“Sekarang
ni, Rissa fikirkan masa depan Rissa. Bukan pandang ke belakang. Yang dah
berlaku, kita tak mampu nak ubah. Tapi, kita mampu mengubah masa depan kita. Fikir
dalam-dalam. Doa banyak-banyak. Apa pun keputusan Rissa, ayah akan tetap sokong
anak ayah,”
“Terima
kasih, ayah…,”perlahan Arisa berbisik sambil memeluk tubuh itu. Tenang hatinya
apabila bapanya menepuk perlahan belakangnya. Juraian air mata jatuh ke pipi.
Membasuh semua kesedihannya. Lega hatinya apabila semua yang tersimpan kini
terluah sudah.
*****
5 comments:
tahniah, hantu bunga dpt dibuang..
lepas ni jari-jemari boleh lah teruskan acara tari-menari merancakkan blog..
harap2 terus rajin ya. hehe
buat baru ke kak.
Cerita best...ala arisa minta aje la fasakh...layak la dapat fasakh...hehe...sakit hati ni...
Akhirnye cite yg dinnt muncul jgk.tq Hanni.
Post a Comment