Mengharapkan
suasana kerja yang harmoni seperti dahulu, memang sesuatu yang mustahil. Dia
perlu membiasakan diri dengan suasana yang serba-serbi tidak kena yang mulai
menyelubunginya. Dan, dia tahu itu adalah suatu situasi yang harus dia lalui.
Paling kurang untuk tempoh kurang satu bulan ini. Encik Karim benar-benar kecewa dengannya. Juga
benar-benar marah padanya. Walaupun tidak mencampur-adukkan masalah antara
mereka dengan kerja, tetapi, jelas Encik Karim seperti mahu terus menagih
perhatiannya. Dalam rajuk, lelaki itu terus juga mencuba untuk terus memujuk. Tidak
cukup dengan onar Encik Karim, gelagat Puan Salma juga kian menyesakkan. Wanita
itu kini, bertambah kerap berkunjung ke pejabat untuk terus menghadiahkan
kata-kata sinis buatnya. Satu lagi
situasi yang mahu dia hindari secepat yang boleh. Sungguh dia tidak sabar untuk
pergi dari semua kemelut yang merimaskan ini.
“Arisa… masuk kejap,”
Arisa mengangkat muka. Encik Karim
tercegat di hadapannya. Pasti baru pulang daripada makan tengahari. Perlahan
dia mengangguk sambil mengangkat punggung. Terus mengekori langkah Encik Karim.
“Tutup pintu,”lembut namun tegas
arahan yang diberikan. Dia menurut sedang Encik Karim terus menuju ke
kerusinya.
“Duduk,”
Bersama anggukan kecil, Arisa
melabuhkan punggung. Bersedia untuk menerima tugasan sekiranya ada. Namun,
jelas Encik Karim seperti lebih suka untuk terus berdiam diri. Diam di kerusi
sambil mata terus mengamatinya. Membuat dia tahu, tujuan dia dipanggil bukan
lagi untuk urusan kerja.
“Ada apa Encik Karim?,”dia utarakan
soalan. Tidak mahu berlama-lama dengan Encik Karim.
Encik Karim meraup wajah. Sekali
lagi merenung sepasang mata yang sering memukaunya itu. Sejujurnya keputusan
nekad Arisa cukup memberi tekanan padanya.
Dia tidak mahu menyusahkan Arisa. Tetapi, dia juga tidak bersedia untuk
kehilangan Arisa.
“Kenapa awak berkeras tak mahu
terima saya?,”
Sebaik soalan itu habis meniti di
bibir Encik Karim, Arisa mengeluh panjang.
“Encik Karim. Saya rasa saya dah
jelaskan semuanya. Tak perlulah lagi kita terus ulang benda yang sama,”
“Kalau saya belum berkahwin, akan
ada peluang tak untuk saya?,”
Arisa tergelak sinis. Terasa soalan
itu terlalu kebudak-budakan. Apa yang Encik Karim inginkan daripada jawapannya?
“Encik Karim, kita dah sama-sama
matang. Janganlah cakap macam ni,”sedikit sinis dia membalas.
“Please Arisa. I need to know. I nak tahu sangat, sebab saya memang terlalu
berharap awak sudi terima saya. Saya sanggup lakukan apa saja, Arisa. Apa saja…,”
“Lakukan apa saja untuk selamatkan
rumahtangga Encik Karim. Orang yang perlu Encik Karim utamakan saat ini ialah
isteri dan anak-anak Encik Karim. Tolong jangan terus mengharapkan saya setuju
untuk terima Encik Karim. Saya tetap dengan keputusan saya. Saya harap Encik
Karim dapat menghormati keputusan ini,”
Encik Karim menarik nafas sedalam
mungkin. Merenung wajah Arisa agak lama.
“Saya yakin, lepas ni bekas suami
awak akan terus mengganggu hidup awak, Arisa. Awak perempuan. Bukan mudah awak
nak lalui semua tu sendiri. Awak perlukan pelindung. Saya bersedia melindungi
awak daripada lelaki tak guna tu,”
Arisa menggeleng perlahan. Sudah
malas mahu memberi jawapan. Dia yakin Encik Karim mengerti apa yang cuba dia
sampaikan.
“Jadi, memang awak tak akan ubah
fikiran ke?,”
Sekali lagi Arisa menggeleng. Dengan
reaksi wajah yang cukup meyakinkan.
“Untuk kebaikan semua pihak, saya
rasa saya dah buat keputusan yang paling baik, Encik Karim. Terima kasih atas
jasa Encik Karim pada saya selama saya berkhidmat di sini. Encik Karim memang
seorang majikan yang baik. Tapi, saya terpaksa pilih jalan ini,”lembut Arisa
memberi penjelasan. Berusaha untuk tidak terlalu lancang mengeluarkan
kata-kata.
Melihat wajah Encik Karim yang
sedikit sayu, memang dia berat hati. Bukan sehari dua dia bekerja dengan lelaki
ini. Tidak dia nafikan, dia cukup serasi menjadi pembantu Encik Karim. Kalau
bukan kerana fitnah Radhi yang memburukkan keadaan, tidak mungkin dia akan
mengambil keputusan sebegini. Dan kalau bukan sebab perasaan Encik Karim yang
tiba-tiba berubah, mustahil juga dia senekad ini.
“Kalau awak nekad mahu berhenti,
saya mahu pinjaman itu awak langsaikan semua sekali sebelum awak berhenti,”
Pantas Arisa mengangkat muka. Itu
sesuatu yang amat mustahil. Dia yakin Encik Karim tahu mustahil dia mampu
membayar kesemua pinjamannya itu.
“Encik Karim…,”
“Itu syarat saya,”
“Mustahil saya boleh buat macam tu.
Saya mohon sangat-sangat Encik Karim faham keadaan saya. Saya akan tetap bayar
nanti. Saya tak akan lupa pada hutang saya, Encik Karim,”
“I am sorry, Arisa. Kalau dengan
cara tu saya dapat buat awak kembali pada saya, saya nekad,”
Arisa bungkam. Ugutan itu kedengaran
cukup keras. Niat Encik Karim masih juga untuk terus mengikatnya. Encik Karim
sanggup menggunakan isu pinjaman itu untuk terus menahan dia pergi.
“Saya faham saya berhutang. Saya
juga faham, Encik Karim berhak dapatkan semula duit tu. InsyaALLAH saya akan
cuba langsaikan nanti, apabila saya dapat kerja baru,”
Encik Karim tersenyum kecil.
“And,
one more thing, saya nak berterus-terang. Saya tak akan buat laluan awak
jadi mudah. Saya akan cuba halang awak untuk terus dapat kerja lain. Saya mahu
awak kembali ke sini,”
Arisa tertunduk. Lemas dengan ugutan
demi ugutan yang cukup lembut meniti di bibir majikannya itu.
“Awak dengar tak Arisa?,”
Perlahan Arisa mengangkat muka.
Memandang wajah Encik Karim. Sejujurnya, dia sedikit kecewa dengan sikap lelaki
itu. Rasanya lelaki ini bukan laki Encik Karim yang pernah dia kenal selama
empat tahun.
“Kenapa Encik Karim sampai hati buat
saya macam ni?,”akhirnya perlahan soalan itu meniti di bibirnya.
“Because
I love you. Walau baru sekarang saya luahkan semua ni, saya nak awak tahu, dah
cukup lama saya simpan perasaan pada awak. Dulu, awak bersuami. Dah tentu jadi
satu kesalahan untuk saya dapatkan awak. Tapi, sekarang…,”
“Memang perangai lelaki semuanya
sama ke? Orang lelaki selalu fikir boleh
dapat apa saja yang diingini. Kan? Boleh buat sesuka hati?,”sedikit membentak,
Arisa pantas mengangkat punggung.
“Arisa. Jangan salah faham,”
“Saya tak salah faham. Encik Karim,
sekarang ni, saya rasa Encik Karim sama saja dengan bekas suami saya yang tak
guna tu. Memeras… mengugut… Ya, saya tahu masalah saya. Saya tahu masalah saya
dengan Encik Karim. Saya juga tahu risiko yang saya ambil. Tapi, saya yakin, Tuhan
masih ada untuk bantu saya. Encik Karim cuma manusia biasa yang tak boleh
halang keputusan saya. Juga tak boleh nak tentukan masa depan saya,”
Sebelum nekad berlalu, sekali lagi
dia berpaling.
“Dan, tolong jangan cakap pasal ni
lagi dengan saya, Encik Karim. Saya tak suka. Walau apa pun yang Encik Karim
cakap…Encik Karim buat… keputusan saya muktamad. Saya tak nak khidmat saya di
sini berakhir dengan rasa benci yang menggunung pada Encik Karim…,”Arisa
bersuara sambil terus berlalu keluar.
Encik Karim tersandar hampa di
kerusi. Kerasnya hati Arisa. Perlahan dia mengeluh. Benar-benar berharap Arisa
gagal mendapat pekerjaan baru dan juga berharap Arisa akan kembali semula
padanya. Kembali demi hutang yang gagal dilangsaikan. Kembali untuk bersetuju
dengan saranan pernikahan mereka. Perlahan dia meraup wajah. Kemarahan
isterinya bagai sudah tidak terkesan di hati. Dia lebih risau akan kehilangan
Arisa. Ugutan dan tuduhan isterinya bagai titis-titis air yang jatuh ke daun
keladi. Fokusnya kini cuma pada Arisa.
*****
7 comments:
nak lagi kak...nak lagi best2x..hehehe akakak
Ala... Ciputnya... ;-)
BI;A NAK KUAR BUKU NI... LAMANYA TUNGGU....
Lama tunggu citer ni akhirnya ada juga...tq hanni
~kak min~
rindunyer cerita ini...
biler mau tamat daaaa...
tak sabarnyerrrrr :)
whoaaa....bnyk kali bace xjemu...tunggu hero nak kuar jer nih...
#nana jamil#
nekadny en.karim...sggup ugut arisa tuk kpntingn dia.... kejam!!! hahahaaa
Post a Comment