Friday, July 6, 2012

Lampin Cinta Buat Papa 2

“Saya boleh jaga diri saya sendiri, mama,”
Puan Rogayah mengeluh perlahan. Diamati lama-lama wajah Farish yang tetap sahaja kelam. Bagaimana dia mahu melepaskan Farish pergi dari rumah ini dengan keadaan Farish yang begitu? Dia yakin, Farish hanya akan terus menyeksa hatinya sendiri.
“Mama tak setuju. Apa salahnya kalau Farish tinggal saja dengan mama? Kat sana pun bukan ada sesiapa lagi,”
“Saya nak balik rumah saya, mama. Dah lama benar saya kat sini,”
“Mama tak nak kamu balik ke sana. Kamu kurung diri kamu dengan bayang-bayang Kasih. Farish... mama sayangkan kamu. Apa, kamu dah tak sayang mama? Tak sayang Qalish?,”
“Mama... saya cuma nak balik rumah saya. Rumah saya yang jaraknya bukan jauh pun dari sini. Apa yang mama nak risau sangat?,”
“Mama risau. Mama risau sebab mama tahu kamu nak balik ke sana sebab nak cari Kasih kan? Nak cari bayang-bayang Kasih. Farish, terimalah hakikat. Hakikat yang Kasih dah tak ada dengan kita. Kasih dah pergi,”
“Saya dah besar. Saya bukan budak kecil. Mama tak perlu nak risaukan semua tu,”
“Mama kenal kamu Farish. Mama tahu kamu. Mama tak akan biarkan kamu terus layan perasaan macam ni. Banyak yang  perlu kamu kejar dalam hidup ni. Bukannya terus jadi macam ni. Memang kita semua sayangkan Kasih. Mama pun sayangkan Kasih. Tapi, bukan begini caranya kita tunjukkan sayang kita. Kita doakan yang terbaik untuk dia di sana. Farish tinggal aje dengan mama,”
Farish menggeleng. Dia nekad. Dia mahu pulang semula ke rumahnya. Dan, memang benar kata ibunya. Dia mahu mencari sisa-sisa kenangan antara dia dan Kasih di sana. Mahu melupakan segala kesedihan. Barangkali dengan kenangan-kenangan manis itu, hidupnya akan lebih bermakna. Akan membuat dia menjadi lebih kuat untuk terus melangkah.
“Saya tetap akan pulang ke sana,”akhirnya dia melepaskan keputusan muktamad sambil pandangannya tertebar jauh ke halaman. Berdiri kaku di jendela tanpa sebarang emosi. Tiada apa yang hendak dibincangkan lagi. Dia sudah dewasa dan sudah mampu untuk membuat keputusan sendiri.
“Qalish macam-mana? Kalau kamu balik ke sana, siapa yang nak jaga Qalish kat sana?,”
“Qalish boleh tinggal dengan mama. Lagipun, saya bukan pandai jaga dia,”
Puan Rogayah merengus geram.
“Itulah sebabnya kan? Degil! Mama tahu kamu memang tak nak lupakan Kasih. Kamu nak bersendirian kat sana. Kenapa? Sebab kamu nak terus salahkan diri sendiri? Nak terus salahkan takdir?  Kamu tak perlu seksa diri kamu macam ni! Semua ni bukan salah sesiapa!,”
Farish tersentap. Ternyata ibunya sudah mula emosi. Emosi yang turut sama terlarut di dalam dirinya. Kalau berbicara tentang siapa yang salah... pastilah dia yang bersalah. Berkali-kali ditanya pun, masih juga dia yang bersalah. Perlahan dia meneguk liur. Bibir mata memberat tiba-tiba. Berat hatinya mahu mengakui kesilapan itu. Namun itulah beban yang akan mengiringi setiap langkahnya.
“Memang saya yang salah, mama...,”perlahan dia bersuara. Mengangkat muka memandang wajah ibunya. Ada sendu yang amat dalam pada wajah itu. Sendu yang membuat hati Puan Rogayah menangis dalam diam.
“Farish...,”
“Memang mama! Memang saya yang salah. Kalau saya bersama dengan Kasih, sekarang ni saya yang tak ada kat sini. Mama pun... mama tak akan kehilangan Fakhrul!,”Farish mula membentak. Puan Rogayah sudah mula tersedu. Sekali lagi Farish mengulangi ungkapan yang sama. Ungkapan yang membuat hatinya lebur. Cuma dulu Farish bersuara bersama kelesuan hati. Kini Farish bangkit dengan emosi yang menggunung.
“Saya rela mati dengan Kasih daripada ditinggalkan macam ni, mama...,”nada suara Farish kembali mengendur.
Berderai air mata Puan Rogayah. Sungguh luluh hatinya mendengar rintihan itu. Sekian lama Farish menjadi seorang yang pendiam. Kaku dan beku. Hari ini anaknya berbicara dengan air mata berlinangan di pipi. Berbicara dengan emosi yang merasuk rasa. Segera dia mengangkat punggung. Mendapatkan Farish yang tersandar di dinding.
“Jangan cakap macam tu, nak...,”
“Saya tak boleh hidup tanpa Kasih, mama... saya tak boleh...,”kali ini dia benar-benar menangis. Bersandar lesu dengan hati yang cukup parah.
“Jangan cakap macam tu. Mama tak mahu dengar,”
Farish menoleh memandang wajah ibunya. Wajah yang turut sama basah dengan air mata.
“Kalau saya yang bawa Kasih ke hospital hari tu. Kalau saya tak pergi ke Seremban... pasti saya tak akan terseksa macam ni. Dan, pasti Fakhrul masih ada di sisi mama... Itu kan kenyataan...,”
Puan Rogayah menggeleng bersama air mata yang laju menitis.
“Jangan cakap macam tu, nak...,”dalam esakan dia memeluk tubuh Farish. Dia tidak mahu Farish mengungkit cerita itu lagi.
“Mama dah kehilangan anak mama... menantu mama... mama tak nak kehilangan seorang lagi anak mama. Cuma Farish saja yang mama ada. Mama tak nak Farish terus macam ni...,”
Farish meraup wajahnya yang basah dengan air mata. Kehilangan yang terlalu mendadak itu memang langsung tidak dapat dia terima.
“Saya tak tahu macam-mana nak hidup tanpa Kasih...,”bersama luahan itu, sepasang matanya menikam jauh ke dalam anak mata ibunya.
“Saya tak tahu, mama...,”bisiknya perlahan.
“Kamu kena kuat. Kamu kena kuat sebab kamu ada Qalish. Sampai ke hati kamu nak biarkan saja Qalish macam tu? Itu saja yang kamu ada kan?,”
“Saya tak kuat mama... sebab tu saya nak balik ke rumah saya. Hanya kenangan dengan Kasih yang boleh beri saya semangat,”
“Jangan cakap macam orang tak tahu bersyukur macam tu. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mama tak suka bila Farish terus-terus macam ni... tak baik nak. Ini semua kan dan ditentukan. Kita kena terima. Kena redha...,”
Farish menggeleng. Memang mudah untuk bercakap tentang ketentuan dan tentang takdir. Tetapi, untuk hidup seolah-olah tiada apa yang berlaku, tidak semudah ungkapan itu. Jiwanya yang pergi bersama langkah terakhir Kasih tidak mungkin akan kembali lagi.
“Mama tak setuju. Tapi mama tak nak bincang dalam keadaan kamu macam ni. Nanti kita bincang semua ni sekali lagi,”setelah lama berdiam melayan emosi, Puan Rogayah bersuara lagi.
Farish menghela nafas panjang. Perlahan ibu jari dan jari telunjuknya meraup mata. Cuba untuk menghapus air mata yang berkolam di situ.
“Keputusan saya muktamad...,”perlahan juga dia bersuara. Namun tegas. Puan Rogayah memandang hampa. Dia mahu menyambung kata, namun terganggu dek satu tubuh yang kaku memerhati.
“Ops... saya baru sampai sini. Tak dengar apa-apa,”
Raisya bersuara sebelum sempat dia bertanya. Farish pula terus berlalu tanpa sepatah kata. Dia mengeluh sambil cuba menghapuskan air mata yang bersisa di pipi.
“Puan menangis?,”
“Tak. Saya ketawa,”
Raisya tersenyum kecil.
“Oh... nak saya temankan puan ‘ketawa’?,”
Puan Rogayah diam tidak bersuara. Berusaha untuk bertenang. Raisya tercegat di hadapannya. Diam dan memerhati.
“Saya nak ‘ketawa’ sorang-sorang,”
Senyum gadis itu sedikit melebar.
“Rugilah. Sebab saya memang pakar kalau bab temankan orang ‘ketawa’,”
Puan Rogayah tersenyum kecil.
“Ya. I can see that. Ada apa ni?,”
“Hah? Oh... saya nak ingatkan susu Qalish dah nak habis. Pampers dia pun dah boleh beli lagi,”
Puan Rogayah mengangguk. Kemudian terus diam. Raisya turut diam. Puan Rogayah tidak seperti selalu. Pertama kali dia melihat Puan Rogayah sesedih ini dan pastilah juga pertama kali dia melihat Farish menitiskan air mata. Kalau ikutkan hatinya yang sangat-sangat ingin tahu ini, mahu sahaja dia mencungkil segala cerita. Tetapi, mendengar jawapan wanita itu tadi, dia faham Puan Rogayah tidak mahu berkongsi apa-apa dengannya.
“Kalau boleh saya nak bersendirian,”
“Hah?,”terpinga-pinga seketika dia mendengar keta-kata itu.
“Saya nak bersendirian...,”
Raisya mengangguk laju.
“Saya minta maaf. Saya mengganggu. Tapi kalau Puan masih nak ‘ketawa’ dengan saya, saya sudi...,”
Puan Rogayah tersenyum hambar. Raisya mengangguk perlahan sebelum berlalu meninggalkan Puan Rogayah sendirian di ruang tamu. Mendengar perbualan di antara Puan Rogayah dan Farish seketika tadi, rasanya ada kesedihan yang amat berat yang melanda keluarga ini. Raisya mengeluh perlahan.
“Hai... panjangnya mengeluh. Kenapa? Ada masalah ke?,”
Raisya tersentak. Segera dia berpaling.
“Kak Nom... terkejut saya,”
Anom tersenyum lebar. Raisya menggosok dada sambil melabuhkan punggung di kerusi. Memerhati Anom yang sedang memotong sayur.
“Kak Nom... Fakhrul tu siapa?,”
Anom mengangkat muka. Kerjanya terhenti seketika.
“Mana pula kamu tahu pasal Fakhrul ni?,”
“Tadi saya terdengar Puan bercakap dengan Encik Farish. Dia ada sebut nama Fakhrul. Dia orang nampak macam sedih betul. Apa yang berlaku sebenarnya Kak Nom?,”
Anom diam. Cuma matanya terus menikam wajah Raisya. Membuat Raisya serba-salah.
“Kenapa Kak Nom? Busy body ya? Ok, tak payah jawab soalan tu,”mula berasa tidak senang dengan pandangan Anom Raisya mengambil keputusan untuk berhenti daripada terus menyiasat. Anom tersenyum hambar.
“Fakhrul tu anak Puan juga. Kembar Encik Farish...,”
“Encik Farish ada kembar? Mana dia? Dia beku macam Encik Farish juga ke?,”
“Ish... kamu ni. Tak baik cakap macam tu. Dulu Encik Farish tak macam tu. Fakhrul dah meninggal. Accident. Masa tu dia bawa Puan Kasih ke hospital. Encik Farish out station. Puan Kasih nak bersalin. Masa perjalanan ke hospital, mereka accident. Fakhrul dan Puan Kasih meninggal. Tapi, Alhamdulillah Qalish selamat...,”
Raisya diam. Mendengar cerita itu hatinya hiba serta-merta. Teringatkan wajah suram Farish. Juga teringat pada wajah suci Qalish.
“Kasihannya...,”
“Kamu diam-diam tau. Puan tak suka cakap pasal ni. Puan tak nak ingat semua cerita sedih tu,”
Raisya mengangguk perlahan. Begitu rupa-rupanya kisah yang selama ini tidak pernah dia ambil tahu. Patutlah Farish kelihatan sedih benar. Dan, pendapatnya, yang menjadi mangsa adalah si kecil Qalish yang belum mengerti apa-apa. Tetapi, wajarkah Farish dipersalahkan andai dia terus berasa kehilangan orang yang paling dia sayang?
“Raisya...,”
Raisya berpaling mencari wajah Anom. Leka pula dia berkhayal.
“Jauh menungnya...,”
Raisya tersenyum kecil.
“Tak ada apa-apalah kak. Cuma, tiba-tiba saya rasa kasihan pada Qalish. Dahlah mama dia dah tak ada... papa dia pun buat tak tahu aje kat dia,”
Anom turut mengeluh panjang.
“Kita sama-sama doakan Encik Farish cepat sedar. Boleh terima hakikat ni. Mungkin nanti dia akan sedar...,”
Raisya terus diam. Tiba-tiba dia pun terasa mahu ‘ketawa’ seperti Puan Rogayah.
“Kasihan Qalish....,”tanpa sedar air matanya menitis ke pipi. Laju dia sapu sambil tersenyum.
“Apa kes tiba-tiba emosional. Kan, kak?,”Raisya kembali bersuara ceria.
“Okaylah. Nak tengok Qalish dah bangun tidur ke belum....,”
Belum sempat membalas, gadis kecil molek itu sudah berdesup hilang. Anom tersenyum kecil sambil menggeleng. Kerjanya yang terhenti, disambung semula.

*****

7 comments:

che`leen said...

- bila menulis kita perlu menjiwai byk watak
- sy suka pn rogayah, tp x tau nak discribe.
- kan..kasihan Qalish, Farish perlu menghargai cinta hati ant. dia dan Kasih, jgn sampai menyesal lagi..

miznza84 said...

sambung lagi kak... best...

nOOr said...

cian ny...huhuhu

nur fakhariah said...

sedihnyerr...dapat rasa beratnye beban yang ditanggung farish...harap2 farish redha dgn pemergian isteri dan adiknyer....kasihanlah kat qalish...mesti raisya yang dapat sedarkan farish kan..kan :)

mila said...

raisya yg sentiasa happy, and boleh buat org lain pun happy jgk...harap boleh happykan farish & qalish. tq hanni

Waisya Carissa said...

kesian kat Qalish xdpt kasih syg ayah dia pon...

SAL said...

seperti biasa, best & terbaik...

[11:35:50 PM] hos.getah: